Categories
AGENSI SELANGOR

Peserta Selvax digalak muat turun Selangkah, elak ruang daftar sesak

BUKIT JALIL, 28 JULAI: Orang awam yang menyertai Program Vaksinasi Selangor (Selvax) diminta memuat turun aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) di telefon pintar masing-masing bagi melancarkan proses vaksinasi.

Penyelaras Selcare Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Aurora Place berkata tindakan itu mampu mengawal kesesakan di ruang pendaftaran sekali gus mengelak aktiviti perkumpulan memandangkan kehadiran peserta yang ramai.

“Kita nak elakkan pendaftaran secara manual kerana ia akan ambil masa. Jadi kita minta peserta sama ada bawah Selvax Komuniti atau Selvax Industri muat turun SELangkah sebelum datang ke PPV,” kata Nur Zulhafizah Zakaria ketika ditemui.

Beliau berkata program anjuran Kerajaan Selangor itu dilihat sebagai langkah tepat selain turut mendapat sokongan masyarakat dalam usaha membentuk imuniti kelompok.

“Setiap kali Selvax berjalan selepas PPV dibuka 26 Jun lalu, ia melibatkan kira-kira 1,000 hingga 2,000 peserta. Orang ramai nampaknya memang mahukan pelalian jadi program ini membantu mendapatkan vaksin lebih cepat,” katanya.

Kerajaan Selangor melancarkan Selvax Komuniti dan Selvax Industri bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan pelalian rakyat negeri ini.

Usaha melibatkan kos bernilai RM200 juta itu diiktiraf kerajaan persekutuan dan terangkum dalam kerangka Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Maklumat lanjut mengenai Selvax boleh didapati dengan melayari laman sesawang https://vax.selangkah.my atau hubungi talian 1-800-22-6600.

Categories
AGENDA NASIONAL

Empat sekeluarga teruja dapat janji temu Selvax seminggu selepas daftar

GOMBAK, 26 JULAI: Empat sekeluarga tidak menduga menerima tarikh janji temu mendapatkan suntikan bawah program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti seminggu selepas mendaftar melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).

Muhamad Farid Zakaria, 32, bersama isteri Nur Ain Shamsuddin, 29, abang ipar Hairolazni Shamsuddin, 33, yang juga orang kelainan upaya (OKU) serta adik ipar Muhamad Hafiz Shamsuddin, 20, antara 1,300 penduduk Taman Templer mendapat suntikan dos pertama jenis Sinovac di pusat pemberian vaksin (PPV) Dewan Sri Siantan hari ini.

Muhamad Farid Zakaria

Peniaga sate ikan itu berkata beliau lega dan bersyukur kerana diberi peluang dengan segera sekali gus menamatkan penantian hampir empat bulan untuk mendapat perlindungan daripada wabak.

“Memandangkan terlalu lama menunggu panggilan MySejahtera, bapa mentua saya nekad beri nama kami berempat kepada ahli jawatankuasa surau berdekatan rumah untuk didaftarkan dalam Selvax dan kebetulan program ini sedang berlangsung.

“Semalam, kami dapat notifikasi di SELangkah yang memaklumkan layak sebagai penerima vaksin dan perlu hadir ke PPV ini hari ini. Alhamdulillah, tak sangka prosesnya sangat cepat,” katanya ketika ditemui Selangorkini.

Sementara itu, wanita OKU dari Kampung Melayu Batu 16, Rawang, Rohani Abdullah, 52, begitu teruja dan bersemangat ke PPV berkenaan meskipun terpaksa berkerusi roda.

Rohani Abdullah

Beliau yang ditemani adik dan abang ipar yang juga penerima vaksin mengakui gementar untuk disuntik berikutan fobia jarum namun berjaya melengkapkan proses tersebut dalam tempoh kurang 20 minit.

“Walaupun menanggung sakit seketika namun saya percaya ini semua demi kebaikan apatah lagi dengan kemunculan varian baharu yang berbahaya, saya rasa perlindungan diri itu sangat penting.

“Saya berterima kasih kepada Kerajaan Selangor kerana melaksanakan program ini dengan tidak menyisihkan golongan OKU seperti saya,” katanya yang lumpuh kaki kiri sejak lahir.

Seorang lagi peserta Azhi Zaidi Ani, 49, berharap dapat kembali bekerja seperti sediakala selepas lengkap menerima dos kedua nanti memandangkan pendapatan terjejas sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Azhi Zaidi Ani

Bapa kepada dua anak yang menetap di Kampung Batu 17, Rawang berkata kerjayanya sebagai kru penerbitan sambilan terpaksa dihentikan kerana terikat dengan tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan.

“Saya percaya Selvax ini bukan sahaja membantu kerajaan mencapai imuniti kelompok tetapi akan memberi ruang kepada penggiat dalam sektor tertentu untuk beroperasi semula,” katanya sambil memuji proses suntikan yang disifatkan sangat cepat dan mudah.

Categories
AGENDA NASIONAL

Inisiatif kit penilaian dan laporan kesihatan menerusi SELangkah diiktiraf

SHAH ALAM, 25 JULAI: Kenyataan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Chong Chee Kheong mengenai kit penilaian di rumah dan aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) merupakan pengiktirafan kepada Kerajaan Negeri.

EXCO Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud berkata pengiktirafan terhadap dua inisiatif yang dilaksanakan itu adalah hasil saranan Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC).

“Pengiktirafan ini sangat bermakna untuk Kerajaan Negeri meneruskan program-program inisiatif bagi melengkapi usaha kerajaan pusat dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang sedang berusaha sehabis baik mengurus dan menangani pandemik Covid-19.

“Sejak Jun 2021, Kerajaan Negeri melaksanakan sistem sokongan melalui proses penilaian dan pengurusan kes Covid-19 bagi kategori kes positif tidak bergejala atau bergejala ringan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata pemberian kit termasuk alat pengukur kandungan oksigen bertujuan mengurangkan kesesakan di Pusat Penilaian Covid-19 serta pejabat kesihatan daerah selain meringankan beban petugas barisan hadapan.

“Kit penilaian di SELangkah membolehkan pesakit mengemas kini status kesihatan dengan memasukkan keputusan bacaan oksigen beserta simptom. Petugas kesihatan akan memantau keadaan pesakit dan memberi rawatan segera sekiranya perlu.

“Kerajaan Negeri berharap strategi ini dapat dilaksanakan dengan lancar dengan kerjasama baik dari semua pihak demi mengurangkan lonjakan kes dan seterusnya memutuskan rangkaian Covid-19 secepat mungkin,” katanya.

Semalam, Dr Chee Kheong mengarahkan individu tidak bergejala menjalani kuarantin di rumah selama 10 hari dan melaporkan diri secara dalam talian menggunakan kit penilaian di rumah dalam aplikasi MySejahtera, e-Covid atau SELangkah.

Pada 9 Jun, Kerajaan Selangor memperuntuk RM1.25 juta bagi menyediakan kit kesihatan yang setiap satunya mengandungi oximeter, ubat-ubatan, pelitup muka dan jangka suhu.

SELangkah  yang diperkenalkan pada 4 Mei tahun lepas merupakan sistem pendaftaran keluar masuk individu ke premis bagi memudahkan pengesanan kontak jika berlaku jangkitan Covid-19.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Pesakit tanpa gejala kuarantin di rumah, lapor diri guna SELangkah

SHAH ALAM, 24 JULAI: Kementerian Kesihatan Malaysia mengarahkan pesakit Covid-19 yang tidak bergejala menjalani kuarantin selama 10 hari di rumah.

Timbalan ketua pengarah kesihatan (kesihatan awam) berkata individu terbabit perlu melaporkan diri secara dalam talian menggunakan aplikasi MySejahtera atau Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).

“Ujian Covid-19 lebih mengutamakan individu bergejala (simptomatik).

“Bagaimanapun semua kes simptomatik masih perlu dinilai sama ada secara dalam talian atau secara fizikal di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) atau Pejabat Kesihatan Daerah berdekatan,” kata Datuk Dr Chong Chee Kheong menerusi kenyataan.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kurang sejam daftar vaksin di SELangkah, pemuda terkejut dapat tarikh suntikan

SHAH ALAM, 24 JULAI: Seorang pemuda tidak menyangka menerima slot janji temu suntikan kurang sejam selepas mendaftar bawah program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti.

Mohammad Nashuha Ishak, 27, membuat permohonan menerusi aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) kelmarin sebaik dimaklum seorang kenalan berhubung program yang aktif dijalankan Kerajaan Selangor ketika ini.

Mohammad Nashuha Ishak

Bapa kepada seorang anak berkata kelayakan segera itu menebus kehampaannya yang menanti lebih tiga bulan untuk mendapatkan sekurang-kurangnya dos pertama menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

“Hampir setiap hari saya menyemak notifikasi di MySejahtera dengan harapan diberi tarikh suntikan vaksin tetapi masih belum ada rezeki. Mujur ada kawan sarankan agar saya daftar di SELangkah.

“Alhamdulillah, keputusan keluar sangat cepat, tak sampai sejam. Benda seperti ini yang kita mahu memandangkan sebagai ketua keluarga saya kerap berurusan di luar, jadi vaksin ini amat penting demi keselamatan diri dan keluarga,” katanya ketika ditemui Selangorkini.

Pegawai jualan itu antara 2,500 individu disenarai pendek mendapat dos pertama di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Hotel De Palma, Seksyen 19 semalam.

Seorang lagi penerima, Saleha Harith, 38, yang tinggal di Kampung Sungai Udang, Klang bersyukur kerana layak menerima vaksin bawah DUN terbabit walaupun tidak lagi menetap di kawasan berkenaan.

Saleha Harith

Pembantu tadbir syarikat percetakan itu berkata dia hanya mencuba nasib berdaftar dalam sistem SELangkah memandangkan mahu segera mendapat suntikan supaya mampu kembali menjalani kehidupan normal.

“Alhamdulillah, rezeki saya apabila permohonan diterima walaupun sekarang sudah berpindah ke tempat lain yang bukan terletak dalam kawasan DUN Batu Tiga. Kelayakan ini mungkin mengambil kira alamat rumah lama di Seksyen 18, Shah Alam seperti tertera pada kad pengenalan.

“Diharap dengan suntikan vaksin ini saya dan seluruh rakyat dapat hidup normal semula. Kalau boleh saya mahu kembali ke pejabat dan bekerja seperti biasa kerana kerja dari rumah dalam tempoh agak lama itu membosankan,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Daftar awal di SELangkah bukti orang ramai kian sedar pentingnya saringan

KUALA LANGAT, 4 JUN: Dalam tempoh seminggu hampir 1,000 penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Morib mendaftar di aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) bagi menyertai Saringan Komuniti hari ini.

Wakil rakyat Hasnul Baharuddin berkata pendaftaran awal itu membuktikan orang ramai semakin sedar kepentingan ujian Covid-19 sekali gus mengekang penularan pandemik.

“Kita harap peratusan kes disyaki positif rendah berbanding DUN lain,” katanya ketika ditemui di Dewan MPKL Banting Baru.

Timbalan speaker Dewan Negeri Selangor berkata pihaknya menyediakan 20 sukarelawan sebagai usaha melancarkan proses saringan.

Saringan percuma bermula 9 pagi hingga 4 petang turut dijalankan di Kompleks Muhibbah bagi DUN Tanjong Sepat.

Sejak dilancarkan 8 Mei lalu hingga semalam, seramai 87,903 individu menyertai program saringan komuniti itu membabitkan daerah Gombak, Hulu Langat, Petaling, Klang, Sepang dan Kuala Langat.

Dari jumlah terbabit, 3.6 peratus iaitu 3,168 peserta disyaki positif wabak selepas disaring menggunakan kit pantas antigen (RTK-Ag).

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Daftar SELangkah ke Saringan Komuniti, elak ditahan di sekatan jalan

BANTING, 3 JUN: Orang awam disaran mendaftar di aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) sebelum ke saringan komuniti bagi mengelak ditahan polis.

Pengurus program berkata individu hanya perlu menunjukkan kod bar kepada anggota bertugas di sekatan jalan raya (SJR) sebagai bukti sah.

“SELangkah bukan hanya mempercepatkan proses pendaftaran saringan tetapi membantu urusan ke lokasi saringan ketika PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) ini.

“Jadi mereka tidak perlu risau sekiranya ditahan. Untuk program ini, kami sentiasa berhubung dengan IPD (ibu pejabat polis daerah) bagi memastikan segala urusan lancar,” kata Dr Atikah Athirah Abdul Wahid ketika ditemui hari ini.

Dr Atikah Athirah Abdul Wahid. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Susulan pelaksanaan PKP 3.0 pada Selasa lalu, bilangan SJR seluruh negara ditingkatkan kepada lebih 800 berbanding 600 sebelum ini.

Sementara itu, Dr Atikah berkata saringan ketika penguatkuasaan PKP ini tidak mendatangkan masalah ekoran kerjasama baik antara agensi kerajaan.

“Dari segi SOP (tatacara operasi piawai) semuanya berjalan lancar kerana banyak pihak yang bantu antaranya polis, Angkatan Pertahanan Awam dan Jabatan Sukarelawan Malaysia.

“Semua anggota terlibat terutama dari aspek penjarakan fizikal. Kita tidak mahu peserta berkumpul sekali gus berisiko terdedah virus,” katanya.

Isnin lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan saringan komuniti anjuran Kerajaan Negeri diteruskan mengikut jadual sehingga 10 Jun meskipun PKP penuh dikuatkuasakan.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Peserta: Tunjuk daftar SELangkah, polis izinkan ke lokasi saringan

KLANG, 2 JUN: Peserta Saringan Komuniti mendapat kebenaran membuat saringan selepas menunjukkan pendaftaran aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) kepada pihak berkuasa.

Pengaturcara komputer berkata dia pada mulanya bimbang untuk membuat saringan kerana dikhuatiri melanggar tatacara operasi piawai (SOP) susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyeluruh mulai semalam.

Mohammad Hafiz Alwi Ismail. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Saya bersama isteri dan anak untuk memastikan kami benar-benar sihat. Ia atas kehendak sendiri. Sebelum datang saya tanya polis, jika ditahan di sekatan jalan raya (SJR) tunjuk SELangkah akan dibenarkan bergerak,” kata Mohammad Hafiz Alwi Ismail ketika ditemui di Dewan Sukan Klang di sini semalam.

Pekerja restoran makanan segera, K Rubenthiran memaklumkan membuat saringan berikutan bertemu dengan pelbagai pelanggan dan mengelak sesuatu tidak diingini berlaku pada dirinya.

K Rubenthiran. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Walaupun tempat saya bekerja tidak mempunyai kes Covid-19, namun langkah awal dengan mengetahui tahap kesihatan sendiri perlu diambil kerana terdapat cawangan lain yang dilapor sudah mempunyai kes,” katanya.

Pekerja swasta, Usharanjenny mengakui teruja dengan perkhidmatan diberikan di mana walaupun percuma ia seperti berbayar dengan peserta tidak perlu menunggu lama serta ruang menunggu disediakan pendingin hawa.

“Saya pernah buat saringan di tempat lain dan berbanding sebelum ini di sini sangat bagus. Ada pilihan sama ada berada di dalam dewan atau secara pandu lalu,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Khairy, MB sahkan tiada manipulasi sistem oleh SELangkah dalam pendaftaran vaksin

SHAH ALAM, 31 MEI: Tiada manipulasi sistem pemberian vaksin AstraZeneca oleh pengurusan Langkah Masuk dengan Selamat (SELangkah) seperti dakwaan pihak tertentu.

Sebaliknya, Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) dan Kerajaan Selangor dalam kenyataan bersama menegaskan usaha untuk memastikan rakyat Malaysia termasuk Selangor memperoleh suntikan vaksin.

“Tidak berlaku manipulasi sistem oleh pihak SELangkah sepertimana didakwa oleh beberapa pihak baru-baru ini,” menurut kenyataan yang ditandatangani menterinya Khairy Jamaluddin dan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Khairy juga menteri penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) manakala Amirudin pengerusi Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) Selangor.

Mereka bertemu di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec) hari ini bagi mencari penyelesaian isu pendaftaran dan perancangan meningkatkan kadar harian suntikan di Selangor.

Kenyataan itu juga menyebut Kerajaan Selangor membuat pendaftaran vaksin bagi pihak individu dalam ImuniSEL, sebuah program pendaftaran luar talian bagi golongan yang berdepan masalah akses digital.

Setiap individu yang membuat pendaftaran ImuniSEL telah memberi kebenaran untuk didaftar untuk suntikan vaksin.

“CITF mengambil maklum dan menghargai usaha yang dijalankan oleh Kerajaan Selangor serta pihak-pihak lain bagi membolehkan seramai mungkin individu di Malaysia termasuklah di Selangor mendaftar dan mendapat vaksinasi Covid-19,” kata kenyataan itu.

Selain itu, Mosti dan Kerajaan Selangor juga bersetuju untuk membuka PPV berskala mega di beberapa lokasi di negeri ini secara berperingkat bermula minggu kedua Jun.

“Perbincangan yang telah berjalan dalam suasana harmoni ini juga telah bersetuju untuk meningkatkan kerjasama strategik antara pihak Kerajaan Negeri dan pihak CITF bagi membolehkan PICK berjalan dengan lancar serta teratur, seterusnya mencapai sasaran imuniti kelompok.”

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB temu Khairy esok, bincang isu salah faham tempahan vaksin

SHAH ALAM, 29 MEI: Dato’ Menteri Besar dan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan akan bertemu esok bagi  berbincang pelbagai isu termasuk salah faham berkaitan tempahan vaksin.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

SELangkah tidak tempah slot vaksin AstraZeneca

SHAH ALAM, 28 MEI: Pengurusan Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) tidak terlibat dalam kecelaruan tempahan vaksin AstraZeneca.

Menolak sekeras-kerasnya dakwaan Badan Bertindak Imunisasi Covid-10 Kebangsaaan (CITF) termasuk membuat tempahan tanpa kebenaran pemohon, ketua pegawai eksekutif menyifatkan tuduhan itu tidak berasas sama sekali.

Tengku Iesta Tengku Alaudin juga menegaskan mereka tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap badan itu berikutan dakwaan palsu yang menjejaskan reputasi SELangkah.

“Pihak SELangkah menegaskan bahawa kami tiada sebarang penglibatan berkenaan tempahan slot vaksin Astrazeneca seperti yang didakwa.

“Kami juga tidak pernah dihubungi oleh pihak CITF berhubung perkara ini seperti yang didakwa,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Dalam kenyataan hari ini, CITF mengenal pasti punca sebilangan individu diberi janji temu penerimaan vaksin walaupun tidak membuat tempahan.

Mereka kemudian menuduh SELangkah memberi beberapa slot vaksin tersebut dalam jumlah besar tanpa semakan pangkalan data dan persetujuan individu.

CITF juga menyebut pengurusan SELangkah telah memberi jaminan untuk bekerjasama dengan mereka bagi menyelesaikan isu berkenaan.

Selasa lalu, orang ramai merungut berikutan mereka berdepan kesukaran memuktamadkan tempahan menerusi laman sesawang atau aplikasi MySejahtera untuk slot penerimaan vaksin tersebut.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Laluan khas OKU, warga emas ikut jumlah pendaftaran awal

SHAH ALAM, 28 MEI: Jumlah laluan khas di pusat saringan bagi golongan berisiko ditentukan mengikut pendaftaran awal melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).

Kumpulan berisiko termasuk warga emas, orang kelainan upaya (OKU), ibu mengandung dan kanak-kanak.

Pengurus program Saringan Komuniti berkata antara satu hingga tiga laluan disediakan di setiap lokasi bagi memudahkan proses pengambilan sampel untuk mengesan jangkitan Covid-19.

“Kita lihat kesesuaian setiap tempat memandangkan peratusan golongan itu yang mendaftar berbeza. Biasanya, tiga laluan istimewa disediakan jika jumlah pendaftaran lebih 30 peratus.

“Kemudahan ini dibuka supaya mereka tidak perlu beratur lama untuk disaring dan tempoh menunggu dianggarkan antara 15 hingga 20 minit sahaja,” kata Dr Atikah Athirah Abdul Wahid.

Beliau ditemui pada program Saringan Komuniti percuma di Dewan Alamanda, Seksyen 20 di sini.

Sementara itu, Dr Atikah berkata seramai 56,463 individu berjaya disaring menerusi program pengawasan Covid-19 secara aktif membabitkan 28 Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menurutnya, sebanyak 2,385 orang atau 4.22 peratus daripada jumlah itu disyaki positif wabak namun majoriti tidak mengalami sebarang gejala.

“Program saringan ini memang untuk mengesan mereka yang asimptomatik, justeru penduduk Selangor dipelawa menyertainya di setiap lokasi sehingga 10 Jun.

“Saya menyeru masyarakat untuk berusaha menjaga diri, ahli keluarga dan rakan selain mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) kerana ramai petugas hadapan penat mental dan fizikal,” katanya lagi.