Categories
AGENDA NASIONAL

SPM 2020 tamat selepas tertangguh akibat wabak Covid-19

KUALA LUMPUR, 25 MAC: Sesudah tamatnya kertas peperiksaan subjek Sains Komputer hari ini, maka berakhirlah Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 yang tertangguh sejak tahun lepas akibat wabak Covid-19.

Pelbagai gelagat pelajar dapat disaksikan, antaranya melakukan sujud syukur, bertepuk gemuruh serta bersyukur setelah berjaya menjawab kesemua kertas peperiksaan yang sepatutnya mereka duduki tahun lepas.

Di KUALA LUMPUR, pusat peperiksaan SPM 2020 di Victoria Institution walaupun hanya 15 calon yang menduduki peperiksaan pada hari terakhir SPM 2020, namun pusat peperiksaan itu tetap gamat dengan sorakan calon menandakan berakhirnya peperiksaan utama negara itu.

Lebih mencuri perhatian, kesemua calon yang menduduki peperiksaan subjek Sains Komputer di sini, melakukan sujud syukur sebaik sahaja tamat peperiksaan itu sebagai tanda syukur dan meraikan ‘perjuangan’ mereka dalam SPM2020.

Seorang pelajar Sekolah Victoria Institution di Kuala Lumpur mengaminkan bacaan doa kesyukuran setelah selesai menjawab kertas soalan Sains Komputer pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2020 pada 25 Mac 2021. Foto: BERNAMA

Bagi Syed Fikri Syaddad Syed Izwan,18, dia mengakui walaupun berasa kurang selesa dengan pemakaian pelitup muka sepanjang masa ketika menjawab peperiksaan, namun baginya itulah cabaran dalam membiasakan amalan norma baharu bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

“Rasa kurang selesa juga (pakai pelitup muka) tapi inilah cabaran dan juga satu kenangan buat kami sebagai kumpulan pertama SPM dengan pematuhan SOP (tatacara operasi piawai) ketat,” katanya ketika ditemui Bernama di sini.

DI NEGERI SEMBILAN, cabaran ketika menduduki peperiksaan dalam suasana norma baharu susulan pandemik Covid-19 membuatkan kebanyakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seremban 2 di sini, melipat gandakan usaha untuk menjawab peperiksaan SPM dengan lebih baik.

Ahmad Syafi Ahmad Sahfengi, 18, berkata cabaran ketika menjawab peperiksaan SPM pada tahun ini memerlukan dirinya berusaha lebih susulan banyak menghabiskan masa belajar hanya dalam talian sebelum menjelang hari peperiksaan SPM.

Muhd Afeeq Haiqal, 18, pula berkata suasana peperiksaan sememangnya berbeza tahun ini apabila tiada pelajar yang berkumpul dan berbincang selepas keluar dari dewan peperiksaan.

Di KEDAH, wakil pelajar Kolej Sultan Abdul Hamid, Muhd Arman Mohd Sobri, 18, dalam ucapannya berkata dia dan rakan-rakan seperjuangannya sangat berharap agar keputusan yang akan diperolehi mampu membanggakan semua pihak.

Pelajar ceria selepas selesai menduduki kertas peperiksaan terakhir hari ini pada Majlis Kesyukuran Pengurusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2020 di Kolej Sultan Abdul Hamid di Alor Setar, Kedah pada 25 Mac 2021. Foto: BERNAMA

Sementara itu, Timbalan Ketua Setiausaha Perancangan dan Pembangunan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Noor Azman Abdul Rahman berkata walaupun sedang berdepan pandemik Covid-19, semua pelajar berjaya menduduki peperiksaan SPM.

“Bukan mudah untuk menduduki peperiksaan SPM kali ini kerana sejak Mac tahun lalu, pelajar tidak boleh ke sekolah. Cabaran untuk mengajar dan belajar ini sukar kerana perlu menggunakan cara pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR),” katanya ketika berucap pada Majlis Kesyukuran Pengurusan SPM 2020 di Kolej Sultan Abdul Hamid di sini hari ini.

Di KELANTAN, seorang pelajar perakaunan, Alyaa Maisarah Mohd Zamani, 17, melahirkan rasa gembira SPM akhirnya sampai ke penghujung biarpun terpaksa menjawab peperiksaan mengikut SOP yang ditetapkan.

“Rasa bahagia… akhirnya semuanya tamat selepas beberapa kali ditangguhkan. Sepanjang peperiksaan memang tidak selesa perlu menjawab dalam keadaan perlu memakai pelitup separuh muka,” katanya ketika ditemui di Majlis Kesyukuran Sempena Tamat SPM 2020 di SMK Salor, Kota Bharu.

Di TERENGGANU, Ketua Pengawas peperiksaan SPM di SMK Sultan Sulaiman di Kuala Terengganu, Muhammad Othman berkata antara cabaran yang dihadapi sepanjang menjaga peperiksaan pada kali ini adalah SOP yang ketat bagi mengekang penularan COVID-19 dalam kalangan calon dan pengawas.

“Sepanjang 10 tahun menjadi pengawas peperiksaan, SPM 2020 ini adalah yang paling tidak boleh dilupakan. Antara yang perlu dipatuhi adalah kami perlu memakai sarung tangan setiap kali mengedarkan kertas soalan dan perlu menukar sarung tangan yang baru setiap kali mengutip kertas peperiksaan,” katanya ketika ditemui dalam Majlis Kesyukuran Sempena Tamat SPM 2020 dilaksanakan sekolah itu.

Ketua Pelajar SMK Sultan Sulaiman Muhammad Khalil Muzammil Mohamad Yusof,18, berasa bersyukur kerana akhirnya selesai menduduki SPM dan menganggapnya sebagai pengalaman yang tidak akan dilupakan kerana menjadi antara calon pertama menduduki SPM dengan norma baharu.

Di PERLIS, pelajar SMK Tuanku Lailatul Shahreen, Goh Guang Wei, 18, berkata walaupun agak tertekan apabila peperiksaan SPM ditunda sebanyak dua kali, ia tidak mematahkan semangatnya untuk terus belajar.

Turut berkongsi pengalaman Amirul Azri Zamri, 18, berkata beliau bersyukur kerana akhirnya dapat menjawab kesemua tujuh kertas peperiksaan yang diduduki dan kini bercadang untuk bekerja sementara menunggu keputusan SPM.

Di PAHANG, calon SPM di SMK (LKTP) Jengka 2 Anis Zulaikha A.Mujaini, 18, turut merasa lega kerana akhirnya berjaya menamatkan sesi persekolahan selepas tidak dapat menduduki peperiksaan penting itu tahun lalu mengikut jadual asal.

“Dahulu setiap masa berdebar dan tertanya-tanya bila saya boleh mengambil SPM kerana saya mahu belajar ke peringkat lebih tinggi dan sudah tentu untuk memohon institusi pengajian tinggi memerlukan keputusan SPM. Lega juga apabila semuanya berjalan lancar dan tamat hari ini,” katanya kepada Bernama.

Di JOHOR, seorang wakil pelajar Maktab Sultan Abu Bakar (MSAB), Luqmanul Hakeem Mohd Nurr, 18, menyifatkan peperiksaan SPM amat mencabar baginya kerana beberapa kali tertangguh untuk menduduki peperiksaan berkenaan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memutuskan rantaian Covid-19.

Di PULAU PINANG, Ketua Pengawas Peperiksaan, Mohd Zulfadli Jusoh berkata dari segi moral para pelajar tidak terdapat sebarang masalah dan tiada yang menunjukkan tanda-tanda tekanan emosi memandangkan tidak banyak perubahan dalam pengurusan peperiksaan.

“Kalau peperiksaan sebelum ini, pelajar akan dijarakkan satu meter (m), cuma kerana SOP Covid-19, jarak itu ditambah ke 1.5m,” katanya.

Di LABUAN, wakil pelajar SPM SMK Mutiara Muhd Amsyar Dzulqarnain Amirulla berkata dengan masa yang lebih mencukupi dan sistem PDPR akan membolehkan mereka memperolehi keputusan yang cemerlang.

Di PERAK, R. Ruthannie, 18, pelajar SMK Jelapang Jaya, di Ipoh, berkata beliau berasa gembira kerana akhirnya berjaya menamatkan peperiksaan itu yang tertangguh sejak tahun lepas dan berterima kasih kepada ibu bapanya kerana banyak memberi sokongan dan galakan supaya saya tidak berputus asa.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Operasi Sekolah), Datuk Adzman Talib berkata pihak Kementerian Pendidikan akan terus memantau SOP untuk pelajar yang dibenarkan menduduki peperiksaan selepas disahkan bebas Covid-19.

“Jika ada keperluan mengubah SOP yang lain, Lembaga Peperiksaan Malaysia akan meneliti, berhati-hati dan kita akan berbincang dengan Kementerian Kesihatan serta Majlis Keselamatan Negara untuk pastikan semua pelajar menduduki peperiksaan dengan cukup selamat dan kesihatan mereka terjaga,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Waktu mula peperiksaan SPM sesi petang dipinda mulai Isnin

KUALA LUMPUR, 26 FEB: Waktu mula peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 sesi petang dipinda dari pukul 2 petang kepada 2.15 petang, berkuat kuasa mulai 1 Mac hingga tamat peperiksaan itu pada 25 Mac.

Dengan pindaan itu, waktu tamat peperiksaan juga akan dilanjutkan selama 15 minit.

Lembaga Peperiksaan Kementerian Pendidikan Malaysia (LPKPM) dalam satu kenyataan menyatakan, pindaan itu bertujuan untuk memberi ruang dan keselesaan kepada calon untuk berehat, makan dan menunaikan sembahyang, sementara menunggu waktu mula peperiksaan bagi sesi tersebut.

“Sehubungan itu, LPKPM memohon kerjasama semua pihak yang terlibat dengan SPM 2020 termasuk calon, ibu bapa, petugas peperiksaan, pihak sekolah, pejabat pendidikan daerah (PPD) serta jabatan pendidikan negeri (JPN), mengambil perhatian dan tindakan berkaitan,” katanya.

Pindaan itu dibuat demi kepentingan dan kebajikan calon untuk memastikan kelancaran pengurusan peperiksaan mengikut tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Usia 65 tahun bukan penghalang warga emas duduki SPM

SEREMBAN, 22 FEB: Usia bukan penghalang untuk menuntut ilmu. Itu yang dibuktikan seorang warga emas Salman Ahmad.

Meskipun usianya sudah menjangkau 65 tahun, Salman mempunyai keazaman yang tinggi untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) buat pertama kali hari ini.

Salman adalah antara 645 calon persendirian daripada keseluruhan 16,554 jumlah calon SPM 2020 di Negeri Sembilan yang menduduki peperiksaan itu bermula hari ini.

Beliau yang juga bekas Timbalan Pengarah Tourism Malaysia telah bersara pada 2012, berkata keputusan itu dibuat kerana ingin membuktikan kepada masyarakat khususnya golongan muda bahawa usia bukan penghalang untuk menimba ilmu dan memperoleh kejayaan.

“Dulu saya ambil peperiksaan Malaysia Certificate of Education (MCE) pada 1973, semua subjek dalam Bahasa Inggeris. Kemudian saya melanjutkan pelajaran di Institut Teknologi Mara dalam bidang Pentadbiran Awam. Sekarang saya ingin cabar diri saya untuk ambil SPM pula.

“Saya juga ingin beri contoh dan motivasi kepada anak cucu saya. Usia bukan penghalang untuk belajar, menuntut ilmu adalah proses sepanjang hayat,” katanya kepada pemberita selepas menduduki peperiksaan Bahasa Melayu Kertas 1 di Sekolah Menengah Kebangsaan King George V di sini hari ini.

Salman berkata keinginan untuk menduduki peperiksaan awam itu timbul sejak tahun lepas, namun terpaksa menangguhkan hasratnya itu susulan penularan wabak Covid-19.

Anak jati Negeri Sembilan itu turut berkongsi persediaan bagi menghadapi SPM kali ini, beliau membeli beberapa buku ulang kaji sejak tahun lepas dan adiknya yang bertugas sebagai guru turut memberi tunjuk ajar serta mengikuti pembelajaran secara dalam talian jika ada kelapangan.

“Keluarga saya banyak beri sokongan dan galakan. Saya tidak malu, saya tidak hairan apa-apa orang kata, kata orang tua belajarlah sampai ke negara China dan dari buaian hingga ke liang lahad,” katanya.

Dalam pada itu, bapa dua anak itu berkata selain mengambil subjek Bahasa Melayu sebagai peringkat permulaan, beliau mengambil dua lagi mata pelajaran iaitu Bahasa Inggeris dan Sejarah selain berhasrat mengambil subjek lain tahun depan sekiranya mendapat keputusan cemerlang dalam SPM 2020.

Malaysia mencatat sejarah apabila seramai 401,105 calon di seluruh negara menduduki peperiksaan SPM 2020 dalam norma baharu ketika negara masih ‘berperang’ dengan Covid-19 yang dilaksanakan mengikut tatacara operasi piawai (SOP) ketat.

Hari pertama peperiksaan dimulakan dengan subjek Bahasa Melayu Kertas 1 pada 8 pagi dan Bahasa Melayu Kertas 2 pada 2 petang ini dengan sebanyak 48,014 pengawas peperiksaan ditugaskan bagi memastikan pematuhan sepenuhnya SOP.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

SPM berjalan lancar seluruh negara, SOP ketat dipatuhi

KUALA LUMPUR, 22 FEB: Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 pastinya diingati dalam lembaran sejarah negara apabila menjadi dalam kalangan 401,105 insan ‘istimewa’ yang menduduki peperiksaan berkenaan dalam norma baharu ketika negara masih ‘berperang’ dengan Covid-19.

Dilaksana mengikut tatacara operasi piawai (SOP) ketat, calon memulakan hari pertama peperiksaan dengan subjek Bahasa Melayu Kertas 1 pada pukul 8 pagi dan Bahasa Melayu Kertas 2 pada 2 petang ini dengan seramai 48,014 pengawas peperiksaan yang akan memastikan pematuhan sepenuhnya SOP.

Calon SPM serta pelajar yang mengambil Sijil Vokasional Malaysia (SVM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) menduduki peperiksaan tersebut di 3,310 pusat peperiksaan di seluruh negara yang telah dinyahkuman, selain kesemua mereka perlu menyerahkan borang perisytiharan kesihatan lengkap sebelum memasuki dewan peperiksaan.

Calon SPM pada hari ini juga merupakan kumpulan pelajar yang telah mengikuti sesi kelas SPM tahunan terpanjang iaitu hampir 14 bulan yang memaksa mereka beralih kepada pembelajaran dalam talian menerusi aplikasi seperti Google Meet, Google Classroom dan Skype gara-gara penularan pandemik Covid-19.

Tinjauan Bernama di sekolah-sekolah di seluruh negara mendapati seawal 6.30 pagi, kumpulan pertama pelajar yang menduduki peperiksaan SPM dalam pembudayaan norma baharu itu mula tiba di pekarangan sekolah dengan menjalani pemeriksaan suhu badan selain memakai pelitup muka sepanjang tempoh menduduki peperiksaan.

Di SELANGOR, Timbalan Menteri Pendidikan Muslimin Yahaya meninjau perjalanan peperiksaan SPM di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMK) Yoke Kuan, Sekinchan dan berpuas hati terhadap pematuhan SOP di sekolah berkenaan.

Katanya, bagi peperiksaan SPM kali ini, sekolah turut menyediakan bilik persediaan, bilik isolasi dan bilik kuarantin bagi kemudahan setiap pelajar yang mengambil SPM.

Di NEGERI SEMBILAN, seramai 16,554 pelajar di 151 pusat peperiksaan di seluruh negeri menduduki peperiksaan dan menerusi tinjauan di SMK Senawang, pasangan kembar Suhaila Md Zahar dan Suhaili Md Zahar, 17, antara yang mencuri tumpuan menyatakan biarpun gementar, ia tidak mematahkan semangat untuk mencapai cita-cita menjadi antara pelajar cemerlang.

Di MELAKA, 13,464 calon menduduki SPM di 102 pusat peperiksaan di negeri berkenaan.

DI JOHOR BAHRU, 175 pelajar SMK Perempuan Sultan Ibrahim merupakan antara 49,472 pelajar di seluruh Johor yang menduduki peperiksaan SPM di 366 pusat peperiksaan.

Menerusi pemantauan oleh Pengerusi Kumpulan Penggerak Ibu bapa, Komuniti dan Swasta (KPIKS) Johor Datuk Yahya Jaafar di sekolah berkenaan, beliau yakin peperiksaan akan berjalan lancar tanpa sebarang masalah kerana persediaan rapi telah dibuat.

Di GEORGE TOWN, 19,919 pelajar termasuk calon persendirian menduduki peperiksaan itu di 151 pusat peperiksaan di Pulau Pinang manakala di TERENGGANU, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Salim Ab Ghani berkata seramai 18,743 calon menduduki SPM di 169 pusat peperiksaan di seluruh negeri dengan jumlah pengawas peperiksaan pula ialah 1,427 orang.

Di PERAK, 33,075 calon menduduki peperiksaan di 327 pusat peperiksaan. Menerusi tinjauan di SMK Anderson, Ipoh, pelajar yang kebanyakannya dihantar ibu bapa masing-masing kelihatan bersemangat memasuki kawasan sekolah.

Perubahan kaedah persekolahan ketika suasana pandemik COVID-19 di negara ini tidak menjejaskan semangat 27,719 calon untuk menduduki peperiksaan di 285 pusat peperiksaan di seluruh KELANTAN apabila rata-rata calon bersemangat ke sekolah sambil mematuhi SOP.

Di PAHANG pula peperiksaan SPM 2020 melibatkan 20,765 calon termasuk 672 calon persendirian di 226 pusat peperiksaan seluruh negeri sementara di KEDAH, peperiksaan SPM berjalan lancar dan seramai 29,936 pelajar mula mengambil peperiksaan itu di 263 pusat peperiksaan di seluruh negeri.

Di PERLIS, Exco Pendidikan Negeri Rozieana Ahmad berharap 3,974 calon di negeri itu terus bersemangat menduduki peperiksaan dan mematuhi SOP ditetapkan.

Di PUTRAJAYA, seramai 1,616 calon SPM 2020 dan 110 calon SPM persendirian menduduki peperiksaan itu di 11 sekolah di sekitar Putrajaya dengan tinjauan mendapati anggota polis dan guru memantau kehadiran pelajar di pintu masuk sekolah bagi memastikan pematuhan terhadap SOP.

Dalam pada itu, di LABUAN 1,227 pelajar termasuk 140 calon persendirian mula menduduki peperiksaan itu di 14 pusat peperiksaan, hari ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 400,000 calon SPM 2020 duduki peperiksaan dalam norma baharu

KUALA LUMPUR, 22 FEB: Hari ini, seramai 401,105 pelajar di seluruh negara mula menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 dalam suasana negara masih berdepan pandemik Covid-19 yang menuntut mereka membawa ‘perisai’ tambahan.

Selain berbekalkan pen dan ilmu pengetahuan seperti kebiasaannya apabila memasuki dewan utama peperiksaan, kelainan bagi calon SPM 2020 ialah mereka juga perlu membawa ‘perisai’ iaitu pelitup muka atau pelindung muka bagi mencegah penularan wabak tersebut.

Pada hari pertama peperiksaan hari ini, calon akan menjawab subjek Bahasa Melayu Kertas 1 dan 2, masing-masing bermula pukul 8 pagi dan 2 petang.

Kumpulan pelajar Tingkatan Lima termasuk pelajar Sijil Vokasional Malaysia (SVM) itu menjadi kumpulan pertama yang menduduki peperiksaan SPM dalam pembudayaan norma baharu.

Bagi menjamin keselamatan calon sepanjang peperiksaan, penyediaan 3,310 pusat peperiksaan SPM di seluruh negara dilaksanakan mengikut garis panduan dan tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Kementerian Kesihatan (KKM), termasuklah proses disinfeksi dewan peperiksaan.

Semua pelajar juga perlu menyerahkan borang perisytiharan kesihatan yang lengkap setiap hari sebelum memasuki dewan peperiksaan selain mengambil suhu badan dan memakai pelitup muka sepanjang tempoh menduduki peperiksaan.

Selain itu, calon yang didapati positif Covid-19 atau calon yang diarahkan menjalani kuarantin kerana merupakan kontak rapat tidak dibenarkan menduduki peperiksaan pada hari tersebut dan hanya boleh menduduki kertas peperiksaan yang dijadual semula selepas disahkan berada dalam keadaan sihat oleh doktor yang merawat berserta surat pengesahan doktor.

Seramai 48,014 pengawas peperiksaan akan memastikan SOP yang ditetapkan dipatuhi sepenuhnya sepanjang tempoh peperiksaan yang dijadualkan berlangsung hingga 25 Mac.

Calon SPM pada hari ini juga merupakan kumpulan pelajar yang mengikuti sesi kelas SPM tahunan terpanjang iaitu hampir 14 bulan yang memaksa mereka beralih kepada pembelajaran dalam talian menerusi aplikasi seperti Google Meet, Google Classroom dan Skype gara-gara penularan pandemik Covid-19.

Peperiksaan SPM, SVM dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) diadakan pada November setiap tahun, namun bagi 2020, peperiksaan terbabit terpaksa ditangguh kepada Januari 2021 sebelum dianjak sekali lagi kepada Februari 2021 berikutan penularan pandemik Covid-19 yang memaksa penutupan sekolah.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kurang 24 jam SPM bermula, persiapan akhir lancar

KUALA LUMPUR, 21 FEB: Kurang 24 jam lagi, seramai 401,105 pelajar seluruh negara akan melangkah ke ‘medan perang pen dan kertas’, Peperiksaan Sijil Pelajar Malaysia (SPM) 2020 yang bermula esok dalam suasana pembudayaan norma baharu.

Kelainan bagi calon SPM 2020, mereka bukan sahaja hadir ke dewan peperiksaan dengan ‘berbekalkan’ pen dan pengetahuan, malah kali ini mereka perlu membawa ‘bekalan tambahan’ iaitu pelitup muka dan cecair pembasmi kuman untuk mencegah penularan Covid-19.

Bagi menjamin keselamatan calon sepanjang peperiksaan itu, persiapan akhir di 3,310 pusat peperiksaan SPM di seluruh negara dilaksanakan mengikut garis panduan dan tatacara operasi piawai (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Kementerian Kesihatan (KKM), termasuklah proses disinfeksi dewan peperiksaan.

Di JOHOR, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Johor (JBPM) Datuk Yahaya Madis berkata 288 sekolah menengah terlibat dalam peperiksaan itu telah menjalani proses sanitasi, merangkumi dewan sekolah, bilik darjah dan bilik kuarantin.

Beliau berkata proses sanitasi dilakukan sekali sepanjang peperiksaan, namun proses sama akan dilakukan sekali lagi sekiranya terdapat laporan kes Covid-19 di sekolah terlibat.

Sementara itu di KEDAH, Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia negeri Datuk Najmi Ahmad memberi jaminan pihak pengurusan sekolah amat menitikberatkan aspek berkaitan keselamatan dan kesihatan pelajar sepanjang peperiksaan itu.

Seramai 29,939 calon SPM berdaftar di negeri itu dan calon teramai antaranya adalah di daerah Sungai Petani iaitu 5,944 calon, diikuti Kota Setar (4,931); Kulim (4,138); Kubang Pasu (3,495) dan Baling seramai 2,623 calon.

Di KELANTAN pula, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Dr Izani Husin berkata bagi calon SPM yang menjalani kuarantin, mereka tidak akan menduduki peperiksaan esok.

Jelasnya, mereka akan dikumpulkan pada satu masa dan tarikh yang sesuai untuk mengambil peperiksaan itu selepas tamat tempoh kuarantin.

Di PULAU PINANG, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Saadon Mokhtar berharap pelaksanaan proses sanitasi dijalankan sejak minggu lepas dapat meredakan kebimbangan pelajar, petugas serta ibu bapa mengenai soal keselamatan calon.

Di TERENGGANU, hanya perbualan telefon dan kiriman doa mengubat rindu ibu bapa terhadap anak mereka yang berada di asrama agar dapat menempuhi peperiksaan SPM dengan mudah dan lancar.

Bagi Nurul Husna Mohamed, 48, beliau akur dengan arahan pengurusan sekolah yang tidak membenarkan ibu bapa berjumpa anak di asrama demi keselamatan calon SPM, meskipun jauh di sudut hatinya agak terkilan tidak dapat mendakap anaknya dan memberi sokongan emosi.

“Apa yang mampu saya lakukan hanya berdoa dan berpesan kepada anak agar sentiasa tenang dan bertawakal kerana sudah berusaha sebaik mungkin selama ini, keluarga dan guru pasti mendoakan kejayaan mereka,” katanya yang kali terakhir bertemu anaknya pada 9 Jan lepas sebelum pulang ke asrama di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuantan, Pahang.

Sementara di NEGERI SEMBILAN, seramai 16,554 calon yang menduduki peperiksaan itu esok dinasihatkan mematuhi semua SOP yang ditetapkan termasuk menjaga jarak fizikal,membawa cecair pembasmi kuman dan memakai pelitup muka.

Pengarah Pendidikannya, Md Fiah Md Jamin berkata guru dan pihak sekolah juga sudah membuat segala persiapan menghadapi peperiksaan dengan SOP terkini, selain sentiasa berhubung rapat dengan Pusat Kesihatan Daerah dan MKN bagi berdepan segala kemungkinan.

Di PERAK, 620 pegawai dan anggota polis ditugaskan bagi memantau 428 pusat peperiksaan dan sekolah di seluruh negeri sepanjang peperiksaan awam itu.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata pemantauan itu melibatkan penugasan rondaan oleh 100 unit kereta peronda polis (MPV) dan 200 Unit Rondaan Bermotosikal (URB) di semua daerah seluruh negeri itu bagi menjamin keselamatan calon yang hadir ke pusat peperiksaan.

Menteri Besar Perak Datuk Saarani Mohamad pula mendoakan semua calon dapat menjawab dan tenang seterusnya memperoleh keputusan cemerlang.

Selain calon SPM, peperiksaan Sijil Vokasional Malaysia (SVM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2020 juga berlangsung serentak esok.

Lembaga Peperiksaan sebelum ini memaklumkan bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian SPM 2020, seramai 48,014 petugas peperiksaan dilantik untuk bertugas di 3,310 pusat peperiksaan di seluruh negara.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Sesi kelas terpanjang, calon SPM 2020 cipta sejarah tersendiri

KUALA LUMPUR, 20 FEB: Seramai 401,105 calon sekolah yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 akan mencipta sejarah tersendiri apabila peperiksaan itu bermula di seluruh negara Isnin ini.

Kumpulan pelajar Tingkatan Lima terbabit mengikuti sesi kelas SPM tahunan terpanjang iaitu hampir 14 bulan, namun pembelajaran bersemuka paling singkat – hanya sekitar empat bulan – semuanya gara-gara penularan pandemik Covid-19 yang memaksa mereka beralih kepada pembelajaran dalam talian menerusi aplikasi seperti Google Meet, Google Classroom dan Skype.

Mereka juga terpaksa menduduki peperiksaan itu tanpa berpeluang menguji kemampuan diri dalam pelbagai mata pelajaran menerusi peperiksaan percubaan seperti kelaziman.

Bukan sedikit suara yang menggesa agar peperiksaan SPM 2020 ditangguhkan namun ramai juga yang mahu pelajar menduduki peperiksaan itu selepas melakukan persediaan selama 26 bulan (termasuk 12 bulan ketika di Tingkatan Empat), dengan sebahagian calon sudah berusia 18 tahun, iaitu setahun lebih tua berbanding kebiasaan.

Calon-calon SPM ini serta mereka yang mengambil Sijil Vokasional Malaysia (SVM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) akan menduduki peperiksaan tersebut di 3,310 pusat peperiksaan dalam persekitaran normal baharu dengan tatacara operasi piawai (SOP) yang ketat.

“Peperiksaan kali ini amat jauh bebeza (berbanding tahun-tahun sudah).

“SOP lebih ketat dan terperinci bagi memastikan anak-anak kita dapat menduduki peperiksaan dalam suasana tenang, selesa dan selamat,” kata Menteri Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.

Seramai 48,014 pengawas peperiksaan akan memastikan SOP ini dipatuhi sepenuhnya.

Semua pelajar perlu menyerahkan borang perisytiharan kesihatan yang lengkap setiap hari sebelum memasuki dewan peperiksaan selain mengambil suhu badan dan memakai pelitup muka sepanjang tempoh menduduki peperiksaan.

Persiapan rapi telah dilakukan bagi memastikan setiap calon dapat menduduki peperiksaan terbabit,

Selain dewan utama, turut disediakan bilik alternatif bagi calon yang mungkin menunjukkan simptom Covid-19. Turut disediakan kelas isolasi dan transit.

Sekiranya ada keperluan untuk dewan disanitasikan, calon akan dipindahkan ke bilik darjah yang disediakan bagi memastikan peperiksaan dapat berjalan lancar.

Peperiksaan SPM, SVM dan STAM diadakan pada November setiap tahun, namun bagi 2020, peperiksaan terbabit terpaksa ditangguh kepada Januari 2021 sebelum dianjak sekali lagi kepada Februari 2021 berikutan penularan pandemik Covid-19 yang memaksa penutupan sekolah.

Pelajar-pelajar ini perlu diberikan masa untuk bersedia menghadapi peperiksaan tersebut.

Sesi persekolahan 2020 bagi pelajar Tingkatan Lima dan Enam dibuka semula pada 20 Januari tahun ini, iaitu sebulan sebelum peperiksaan berlangsung.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL PENDIDIKAN

Calon SPM sihat di kawasan PKPD perlu duduki peperiksaan

PUTRAJAYA, 18 FEB: Calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang berada di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) tetap perlu menduduki peperiksaan tersebut yang dijadualkan bermula Isnin ini.

Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Habibah Abdul Rahim berkata hanya calon yang disahkan positif Covid-19 atau kontak rapat kepada kes positif diberikan kelonggaran untuk tidak hadir ke pusat peperiksaan.

Bagaimanapun, beliau berkata calon tersebut hendaklah menyertakan bukti daripada doktor atau Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) masing-masing yang menyatakan mereka positif Covid-19 atau kontak rapat yang perlu dikuarantin.

“Kalau mengikut garis panduan, calon yang sihat sahaja hadir, jadi di manapun calon berada, di kawasan PKP, PKPB (PKP Bersyarat) atau PKPD sekalipun, mereka boleh bergerak untuk mengambil peperiksaan asalkan mereka sihat.

“Kalau disahkan positif atau kontak rapat, dan mereka di bawah kuarantin dalam tempoh kuarantin itu, tidak boleh hadir ke pusat peperiksaan. Tetapi setelah tempoh (kuarantin) tersebut, maka boleh datang ke pusat peperiksaan untuk terus mengambil kertas yang masih berlangsung.

“Bagi kertas yang telah ketinggalan disebabkan dalam tempoh kuarantin, maka kementerian akan menjadualkan semula bagi (peperiksaan) kertas tersebut,” katanya dalam temu bual bersama Bernama, Utusan Malaysia dan The Star mengenai Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah dalam Norma Baharu 2.0 di Kementerian Pendidikan (KPM) di sini hari ini.

Menurut data Kementerian Pendidikan, seramai 401,105 calon akan menduduki peperiksaan SPM di 3,310 pusat peperiksaan seluruh negara. Daripada jumlah calon itu, seramai 1,150 calon berdaftar akan menumpang di pusat peperiksaan lain.

Mengulas kemungkinan soalan peperiksaan bocor kepada calon yang akan dijadualkan semula, Habibah berkata isu itu tidak timbul memandangkan kementerian akan menyediakan set soalan yang lain dengan standard dan format yang sama.

Sehubungan itu, beliau berharap calon peperiksaan SPM dan setaraf telah bersedia memandangkan ia adalah peperiksaan penting untuk menyambung pelajaran atau memasuki bidang pekerjaan.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Anak petugas barisan hadapan ditawar kelas digital SPM percuma

KUALA LUMPUR, 9 FEB: Planetmahir menawarkan langganan kelas digital Mahir Tutor secara percuma kepada anak-anak petugas barisan hadapan yang akan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 22 Feb ini.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir dalam kenyataan hari ini berkata ia adalah sebagai sumbangan untuk menghargai jasa petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus memastikan rakyat terpelihara daripada wabak virus yang berbahaya ini.

“Semoga sumbangan yang tidak seberapa ini dapat membantu anak-anak frontliners (petugas barisan hadapan) membuat ulang kaji pelajaran dan membuat persiapan yang secukupnya bagi menghadapi peperiksaan SPM nanti.

“Planetmahir menawarkan 10 subjek kepada pelajar yang akan menghadapi peperiksaan SPM, dan pembelajaran yang dijalankan boleh diikuti pada bila-bila masa kerana dijalankan secara digital ‘video on demand’,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Subjek SPM yang ditawarkan ialah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sejarah, Pendidikan Islam, Sains, Fizik, Kimia, Biologi dan Matematik Tambahan. Mahir Tutor kini mempunyai seramai lebih 20,000 pelajar yang mengikutinya di seluruh negara.

Pelajar yang ingin mengikuti kelas tuisyen dalam talian percuma tersebut boleh melayari laman web planetmahir.com atau mengubungi Planetmahir di talian 011 2354 3133.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tamat PdP bersemuka tidak jejas persiapan calon SPM, SVM

KUALA LUMPUR, 9 FEB: Persediaan calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Vokasional Malaysia (SVM) bagi tahun 2020 tidak akan terjejas walaupun sesi persekolahan secara bersemuka tamat mulai hari ini, kata Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP).

Setiausaha Agungnya Harry Huat Hock berkata walaupun sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) bersemuka berlangsung kurang sebulan sejak 20 Jan, persiapan SPM dilakukan guru serta murid sejak tahun lepas termasuk sesi PdP di rumah (PdPR) bagi menghabiskan silibus subjek.

Jelasnya, tempoh kira-kira dua minggu sebelum SPM bermula pada 22 Feb ini adalah ‘pecutan’ akhir bagi calon untuk membuat persediaan peperiksaan termasuk latihan teknik menjawab soalan.

“Kini adalah masa untuk mereka (calon) belajar sendiri serta membuat persiapan terakhir dan jika masih memerlukan bantuan secara individu, mereka masih boleh menghubungi guru mereka,” katanya ketika dihubungi Bernama semalam.

Menerusi edaran pekeliling Kementerian Pendidikan (KPM) bertarikh 4 Feb yang tular baru-baru ini, sesi persekolahan secara bersemuka bagi semua calon SPM dan SVM tahun 2020 akan berakhir esok bagi memberi ruang kepada pelajar untuk membuat persediaan kendiri sebelum peperiksaan bermula pada 22 Feb selain membolehkan pelajar menyambut Tahun Baharu Cina.

Pekeliling itu turut menyatakan sekiranya terdapat keperluan mengadakan kelas tambahan bagi calon peperiksaan, pihak sekolah boleh melaksanakan dengan persetujuan ibu bapa serta pematuhan SOP ketat.

Susulan itu, terdapat saranan daripada beberapa pihak termasuk calon peperiksaan supaya sesi PdP bersemuka di sekolah diteruskan sehingga bermula peperiksaan.

Sementara itu, beberapa calon peperiksaan yang ditemui Bernama berpendapat persiapan mereka menduduki peperiksaan hujung bulan ini tidak terkesan malah ruang masa yang ada dimanfaatkan dengan mengulang kaji pelajaran.

Calon SPM 2020, Mohamad Fikri Mohd Noor, 17, berkata sesi PdP sejak 20 Jan lepas digunakan sepenuhnya dengan mengulang kaji silibus yang diajar ketika PdPR.

Beliau yakin semua calon SPM akan memanfaatkan tempoh akhir ini untuk memantapkan teknik menjawab soalan peperiksaan.

Pelajar SMK Batu Muda, Sentul, Nur Farah Aqilah Huzair, 17, berkata sepanjang persekolahan secara PdPR sebelum ini, guru dan rakan sekelasnya menghabiskan silibus subjek.

“Kami masuk sekolah (baru-baru) hanya ulang kaji silibus sebelum ini dan buat latih tubi soalan ramalan dan koleksi soalan peperiksaan tahun-tahun lepas,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA PENDIDIKAN

Format peperiksaan SPM 2020 kekal – LPM

PUTRAJAYA, 8 FEB: Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) hari ini menegaskan format peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 kekal seperti sedia ada.

Dalam satu kenyataan hari ini, LPM memaklumkan laporan sebuah akhbar berkaitan perubahan format peperiksaan SPM pada masa hadapan adalah tidak benar dan LPM tidak pernah membuat sebarang pengesahan berhubung perkara tersebut.

Menurut LPM, tajuk dan laporan akhbar itu berbahasa Melayu itu menimbulkan banyak kekeliruan kepada orang ramai khususnya kepada calon peperiksaan SPM 2020.

“Sekiranya terdapat sebarang perubahan kepada format peperiksaan SPM dan sistem pentaksiran, LPM akan memaklumkan secara rasmi kepada orang ramai,” menurutnya dalam kenyataan itu di sini hari ini.

Akhbar berkenaan pada 7 Februari menyiarkan laporan “Wajah Baharu SPM” di muka hadapan, “SPM Bakal Dirombak” di muka surat dua dan “Peperiksaan Boleh Buka Buku” di muka surat tiga.

– BERNAMA

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Cadangan tambah subjek elektif dalam eptrs.my akan dibincang

BANTING, 5 FEB: Cadangan memuatkan mata pelajaran elektif dalam portal Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) akan dibawa ke perhatian Kerajaan Negeri.

Jurucakap PTRS berkata usul itu perlu dibincangkan terlebih dahulu dengan pihak berkaitan berikutan pelaksanaannya membabitkan peruntukan tambahan.

“Kalau boleh kita mahu semua mata pelajaran disediakan, tetapi bergantung pada bajet kerana apa yang ada sudah memadai untuk menjentik hati anak-anak belajar bagi memperoleh kejayaan.

“Malah, kita mahu pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) mempunyai bilangan kredit yang cukup untuk melangkah ke fasa pengajian seterusnya,” katanya kepada Media Selangor.

Terdahulu, subjek tambahan dicadangkan meliputi matematik tambahan, fizik, kimia, biologi dan sains komputer untuk SPM selain ekonomi serta pengurusan perniagaan untuk STPM.

Jurucakap itu menjelaskan penambahan subjek melalui portal pendidikan itu sebagai salah satu pendekatan meningkatkan jumlah penyertaan pelajar terutama calon peperiksaan utama di negeri ini.

Beliau juga percaya hasrat itu akan dipenuhi berpandukan kepada komitmen Kerajaan Selangor yang mendahului negeri lain dalam menyediakan sistem sokongan pendidikan untuk pelajar pada era pandemik Covid-19.

“Program tuisyen ini melalui transformasi kerana sekarang sudah ada modul dan menapak satu langkah lagi dengan wujudnya eptrs.my.

“Sudah tentu usaha sebegini menunjukkan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap keperluan pendidikan pelajar,” katanya.

Portal tersebut antara inisiatif disediakan Kerajaan Negeri menerusi Pakej Kita Selangor dibentang pada 20 Januari bagi membantu calon peperiksaan SPM dan STPM.

Platform itu memuatkan pembelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains, Matematik dan Sejarah untuk SPM manakala Pengajian Am dan Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (Muet) untuk STPM.

Pada Mac tahun lalu, Kerajaan Negeri melaksana program e-pembelajaran, Selangor Tutor sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang mendapat sambutan menggalakkan.