Categories
SELANGOR

Hadiah RM100 untuk lepasan SPM di Kuala Kubu Bharu

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM 1 APRIL : Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2013 di DUN Kuala Kubu Bharu yang memperoleh 6A dan ke atas akan menerima hadiah wang RM100 seorang daripada Adunnya, Lee Kee Hiong pada Jumaat ini.

Majlis penyampaian akan diadakan di Dewan Merdeka, Kuala Kubu Bharu pada jam 3.30 petang.

Lee Kee Hiong aKee Hiong berkata, sumbangan itu adalah penghargaan Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Kuala Kubu Bharu kepada golongan terbabit yang mencatat keputusan cemerlang dalam SPM tahun lalu.

“Saya harap insentif ini akan menggalakkan pelajar berusaha dengan gigih untuk mencapai kecemerlangan akademik,” katanya.

Kepada mereka yang layak boleh menghubungi PKM DUN Kuala Kubu Bharu di No 15, Jalan Gamelan 1, Off Jalan Hamzah, Taman Gamelan, 44000 Kuala Kubu Bharu untuk pendaftaran sehingga esok jam 5 petang.

EZY

Categories
NASIONAL

Pelajar mangsa kegagalan pertingkat sokongan pembelajaran BI

Presiden Teras Pengupayaan Melayu (TERAS), Mohd Azmi Abdul Hamid

SHAH ALAM 7 SEPT : Pelajar Melayu dan luar bandar berisiko menjadi mangsa ketinggalan dalam arus pembangunan jika Kerajaan Pusat meneruskan dasar wajib lulus Bahasa Inggeris tanpa sistem sokongan pembelajaran yang berkesan.

Presiden Teras Pengupayaan Melayu (TERAS), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata golongan itu tidak mempunyai sistem sokongan yang kuat kerana latar belakang keluarga yang tidak menggunakan Bahasa Inggeris sebagai pertuturan seharian.

Kesannya, kata Azmi, pelajar yang lemah berbahasa Inggeris tidak memperolehi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) nanti, lantas menjejaskan masa depan mereka.

“Jika ia diwajibkan maka ada pelajar yang sebahagiannya akan terpinggir kerana tidak memperolehi sijil SPM mereka,” kata beliau.

Azmi berkata Kerajaan Pusat perlu memastikan sistem sokongan dan prasarana dibina terlebih dahulu terutamanya dengan menyediakan jumlah guru Bahasa Inggeris terlatih yang secukupnya.

“Negara juga masih kekurangan guru Bahasa Inggeris dan pembahagian gurunya masih tidak mencukupi,” kata beliau.

Mengulas lebih lanjut, Azmi berpendapat Bahasa Inggeris sewajarnya dijadikan pelengkap dan bukan syarat penentu memperoleh sijil SPM.

Beliau melahirkan kebimbangan kurangnya perhatian keatas usaha mempertingkat bahasa Melayu ketika Bahasa Inggeris diberi penekanan akan memberi mesej yang salah kepada masyarakat umum.

“Ia akan menghadkan peluang pelajar dari segi penguasaan Bahasa Melayu dan menjadikan pembelajaran mereka yang membebankan,” katanya.

Categories
NASIONAL

Saran Program MES Untuk Anak Muda

 

amirudin shari

SHAH ALAM 3 JULAI : Dalam usaha melahirkan generasi masa depan Selangor yang lebih cemerlang, Kerajaan Negeri disaran merangka program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) khusus untuk golongan anak muda.

Bercakap di sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) pagi tadi, Adun Batu Caves, Amiruddin Shari berkata usaha sedia ada perlu diperluaskan lagi dengan pelbagai program meliputi aspek sosial, ekonomi, pendidikan dan kebudayaan.

“Antaranya saya menyeru Kerajaan Negeri mengkaji dan merangka skim khas membiayai yuran peperiksaan percuma dan ini juga adalah seperti jihad dalam bidang pendidikan.

“Kerajaan Negeri juga mungkin boleh mewujudkan Skim Peluang Kedua untuk anak muda yang gagal dalam peperiksaan utama (SPM, STPM) untuk diberi peluang sekali lagi,” cadang Amiruddin sewaktu membentangkan perbahasannya pagi tadi.

Selain itu, beliau juga menekankan kepentingan pembangunan infrastruktur sukan di negeri ini untuk kegunaan anak-anak muda.

“Saya sarankan agar kemudahan sedia ada dinaik taraf dan dipertingkatkan untuk memberi impak yang lebih baik dan lebih besar dalam pembangunan sukan.

“Sehubugan itu juga, saya minta agar Kerajaan Negeri melihat kembali peruntukan untuk pembangunan sukan negeri,” katanya lagi.

Beliau turut mengutarakan cadangan untuk mewujudkan Skim Mimbar untuk golongan belia, memperbanyakkan aktiviti kebudayaan untuk anak muda selain membuka lebih banyak pusat pendidikan vokasional.

Categories
NASIONAL SELANGOR

CSR Unisel Bimbing 400 Pelajar Hadapi SPM

UNISEL logo

SHAH ALAM, 16 APRIL : Seramai 400 pelajar Tingkatan 5 daripada 10 sekolah akan menjadi mahasiswa UNISEL selama tiga hari mulai 23 hingga 25 April ini dengan mengikuti tuisyen tiga mata pelajaran teras iaitu bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.

Pengarah Komunikasi Korporat Unisel, Rosniza Mohammad Rasol berkata, program itu merupakan jalinan kerjasama dengan Jabatan Pelajaran Selangor (JPS) menerusi program kemasyarakatan Sekolah Sahabat UNISEL 2013 (SSU2013)

Ia khusus mendampingi warga sekolah menengah yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada akhir tahun ini.

“2013 ini adalah tahun keempat SSU dilaksanakan dengan kerjasama JPS dan mahasiswa yang menjadi tetamu istimewa UNISEL mengikuti program ini akan dipantau oleh 60 pensyarah yang akan mengunjungi mahasiswa UNISEL ini di sekolah masing-masing.

“Ia adalah program tanggungjawab khidmat sosial korporat dalam mengukuhkan hubungan dengan masyarakat,” kata Rosniza dalam kenyataan medianya.

Ujarnya, tetamu istimewa ?400 mahasiswa? Unisel akan dipantau oleh 50 pensyarah berpengalaman UNISEL yang membimbing tuisyen dalam mata pelajaran Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris.

Menerusi subjek Sains pelajar didedahkan menerusi lapan jenis gerai Sains dengan mempamerkan demonstrasi fizik, equilibrium, genetik yang akan mengetengahkan demo jangka hayat lalat, kajian DNA dan demo bagaimana gunung berapi terjadi.

Program ini mendapat tajaan daripada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Nestle, Tourism Selangor Sdn Bhd, F&N Fruit Tree, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

Turut sama adalah Majlis Perbandaran Klang (MPK), Bank Simpanan Nasional (BSN), Worldwide Holdings, Majlis daerah Kuala Selangor (MDKS) ,Yayasan Selangor dan orang perseorangan.

Categories
SELANGOR

Abdul Khalid : YAPIS Untuk Bela Sekolah Agama Rakyat

pic buletin 13 - 12Apr13 6ptg

KLANG, 13 APRIL : Kerajaan Negeri menubuhkan Yayasan Pendidikan Islam Selangor (YAPIS) supaya dapat membela nasib Sekolah Agama Rakyat (SAR), Maahad Tahfiz dan sekolah pondok di seluruh Selangor yang diabaikan oleh Kerajaan Umno-BN sebelum 2008.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, YAPIS ditubuhkan supaya semua institusi pendidikan agama di seluruh Selangor dapat pembelaan yang sewajar oleh satu yayasan.

Katanya, SAR tidak mendapat perhatian dan pemantauan daripada Kerajaan Negeri sebelum 2008 hingga menyebabkan rata-rata pelajarnya keciciran dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Dengan cara ini, aktiviti pendidikan Islam yang terutamanya dipanggil sekolah-sekolah pondok dahulu dapat diperkemaskan dan dipertingkatkan lagi.

“Dan kita dapati juga hasil daripada usaha ini begitu ramai pelajar-pelajar yang dulunya tercicir di sekolah telah dapat dirangkumi semula.

“Sebagai contoh, lebih daripada 100 anak-anak muda kita tercicir daripada pelajaran tetapi mereka dapat peluang kedua untuk menyertai Sekolah Tahfiz ini dan menjalankan program antara lain menghafaz Al-Quran dan kita sulami dengan beberapa program pendidikan yang membolehkan mereka menduduki SPM,” katanya.

Abdul Khalid berkata demikian ketika Majlis Penyerahan Dana Pendidikan Kepada YAPIS bertempat di Kompleks Tahfiz Al-Quran Sofiuddin (KOMTAS), Kampung Sungai Delek, Klang.

Dalam majlis itu, Abdul Khalid menyampaikan dana sebanyak RM1 juta kepada YAPIS di mana pemberian dana itu dipersetujui Kerajaan Negeri pada tahun lalu.

Sepanjang lima tahun ini juga, Kerajaan Negeri telah menyalurkan dana sebanyak RM32.5 juta bagi pembangunan infrastruktur SAR di seluruh Selangor.

Turut hadir pada majlis itu, Dr Halimah Ali, Timbalan Pengerusi YAPIS, Prof Dr Zainal Abidin Kidam, Naib Canselor Unisel, Prof Dr Anuar Ahmad serta hampir 300 pelajar tahfiz dan penduduk setempat.

Categories
NASIONAL SELANGOR

SRA Kebun Baharu Dapat Bangunan Tambahan Bernilai RM5 Juta

MB Kenduri Rakyat Kuala Langat 06

KUALA LANGAT 6 APRIL : Sekolah Rendah Agama (SRA) Kebun Baharu menerima RM5 juta untuk membina bangunan tambahan bagi keselesaan pelajarnya.

MB Kenduri Rakyat Kuala Langat 08Exco Adat Melayu dan Belia dan Sukan, Dr Ahmad Yunus Hairi berkata pembinaan sebuah bangunan empat tingkat yang memuatkan 24 bilik darjah itu akan dimulakan hujung tahun ini dan dijangka siap selewatnya-lewatnya dalam tempoh dua tahun.

Katanya, peruntukan pembinaan itu diberikan ekoran kapasiti pelajar yang meningkat setiap tahun yang menyebabkan ketika ini pelajar terpaksa belajar di surau sekolah terbabit.

“Setakat ini, sekolah itu mempunyai seramai 1,529 pelajar bagi kedua-dua sesi. Keadaan yang sesak menyukarkan mereka untuk belajar. Bangunan kantin juga kita akan dirikannya, ” katanya ketika ditemui selepas Majlis Kenduri Kesyukuran pembinaan surau dan cadangan pembinaan bangunan Sekolah Rendah Agama, di Kampung Medan, di sini.

Sementara itu, Guru Besar SRA Kebun Baharu, Norehan Mahamud mengucapkan kesyukuran dan terima kasih kepada Kerajaan Negeri.

MB Kenduri Rakyat Kuala Langat 07Katanya, kapasiti pelajar yang ramai menyebabkan pelajarnya tidak selesa untuk mengikuti pembelajaran.

“Walaupun kita mempunyai empat blok yang memuatkan 18 buah kelas tetapi disebabkan pelajar yang ramai, ia menjadi sesak. Sekolah ini juga terhimpit dengan pembangunan perumahan yang padat, jadi tindakan Kerajaan Negeri membantu pelajar sangat dihargai,” katanya.

Dalam pada itu, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menghadiri majlis kesyukuran sempena siap pembinaan bangunan gantian surau SRA Kampung Medan di sini

Surau berkenaan dilengkapi tandas dan juga tempat wuduk dengan kos sebanyak RM490,000.

Hadir sama Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani.

Dalam majlis itu juga, Abdul Khalid turut menyampaikan bantuan Skim Mesra Usia Emas bagi DUN Sijangkang dan sumbangan pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta Pelancaran Mumtaz Milikku 2013.

Yunus turut memaklumkan program Mumtaz Milikku melahirkan banyak pelajar cemerlang dalam Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA).

MB Kenduri Rakyat Kuala Langat 05Mengikut rekod, pada 2008 sebanyak 48 pelajar cemerlang ; 2009 sebanyak 70 pelajar cemerlang ; sebanyak 100 pelajar bagi tahun 2010 ; 126 pelajar pada tahun 2011 dan 135 pelajar pada 2012.

Manakala jumlah yang mengikuti program ini turut bertambah dari tahun. Pada 2008 dan 2009 sebanyak 120 pelajar ; 2010 sebanyak 180 pelajar ; 2011 sebanyak 202 pelajar dan pada tahun 2013 sebanyak 222 pelajar.

” Ia menunjukkan peningkatan setiap tahun. Walaupun kos kelas tambahan ini tidak sampai RM20,000 setahun tetapi terdapat unsur kejayaan daripada program ini, jadi saya harap ia akan berterusan,” katanya.

Categories
SELANGOR

Konvokesyen Unisel Kali Ke-7 Pada 9 Mac

Unisel Konvokesyen 2012 03

SHAH ALAM 7 MAC : Seramai 341 graduan Universiti Selangor (Unisel) termasuk 57 pelajar yang mengikuti program Diplima Kejuruteraan Jepun/Unisel Japanese Associate Degree Programme (JAD) akan menerima ijazah serta diploma masing-masing.

Ia akan diserahkan dalam Istiadat Konvokesyen Ketujuh Unisel yang akan berlangsung pada 9 Mac ini di Dewab Pro-Canselor, Kampus Unisel di sini.

Naib Canselornya, Prof Dr Anuar Ahmad berkata, istiadat itu akan dirasmikan oleh Canselor Unisel, YAM Tan Sri Datuk Seri Raja Arshad Raja Tun Uda yang turut akan dihadiri oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

“Kumpulan 57 pelajar cemerlang ini ditaja sepenuhnya oleh Yayasan Pelajaran MARA (YPM) yang dipilih daripada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk mengikuti program JAD di Unisel yang dijalankan sejak 2005.

“Sehingga kini seramai 547 graduan JAD sudah menamatkan pengajian di Unisel,” kata Prof Dr Anuar ketika sidang media di pejabatnya di sini.

Jelas Prof Dr Ahmad, mereka akan berlepas ke Jepun pada 25 Mac depan bagi menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda yang dibiayai sepenuhnya oleh YPM selama dua tahun yang bergabung di bawah 15 konsortium Universiti Jepun.

“Program JAD adalah projek khas Kerajaan Malaysia menerusi konsep Dasar Pandang Ke Timur untuk pelajar Bumiputera menyambung pengajian mereka di Jepun.

“Pelajar perlu mengikuti pengajian JAD di Malaysia dengan menguasai bahasa Jepun sepenuhnya selama tiga tahun bagi mengikuti program Diploma Kejuruteraan Mekanikal, Diploma Elektrikal dan Kejuruteraan Elektrik Teknikal Jepun,” kata beliau.

Pelajar PTRS 2013 Azam Untuk Cemerlang Dalam SPM

PTRS Halimah Ali 01

SHAH ALAM 2 MAC: Peluang tuisyen percuma yang disediakan Kerajaan Negeri tidak akan disia-siakan bahkan akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk berjaya dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini.

Itulah azam pelajar seperti Syahmi Anis Shamsuddin, 17, yang terpilih pada tahun ini untuk menyertai Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) bersama 2,270 pelajar yang lain di seluruh Selangor.

Katanya, beliau ingin berjaya sehingga melanjutkan pengajian ke peringkat universiti dan seterusnya membalas jasa ibu dan bapanya.

“Saya bukanlah daripada kategori pelajar yang pandai.

?Tapi bila dapat peluang seperti ini, saya akan berusaha bersungguh-sungguh untuk masuk universiti dan membantu mak ayah saya satu hari nanti,” katanya yang bersekolah di SMK Bandar Banting.

Ahmad Yusri Zainurdin, 17, pula turut bersemangat dan berazam untuk menggunakan peluang PTRS ini untuk mendapatkan keputusan cemerlang pada SPM kelak.

PTRS Halimah Ali 02“Selama hampir sebulan program ini baru berjalan, saya rasa tuisyen seperti ini bagus kerana percuma serta dapat tunjuk ajar daripada cikgu-cikgu yang berpengalaman,” katanya ketika ditemui.

Syahmi dan Ahmad Yusri ditemui ketika menghadiri Majlis Perlancaran PTRS bagi tahun 2013 di Dewan Jubli Perak, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) hari ini.

Majlis ini dirasmikan oleh Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali dan dihadiri pelajar-pelajar yang menyertai PTRS bagi tahun ini.

Dr Halimah di dalam ucapannya berkata PTRS adalah untuk membantu ibubapa yang menginginkan anak-anak mereka berjaya dalam SPM tetapi tidak mampu membayar tuisyen.

Jesteru itu, Dr Halimah berkata, objektif Kerajaan Negeri dalam melaksanakan program ini adalah untuk meningkatkan prestasi pencapaian pelajar dan memperbaiki sahsiah atau akhlak pelajar.

Sejak dilancarkan pada 2009, PTRS berjaya membantu hampir 20,000 ribu pelajar di seluruh Selangor dengan peruntukan sebanyak RM 17.25 juta sepanjang empat tahun.

Categories
NASIONAL

Gambar Lama Buku Latihan Dipapar Untuk Burukkan Imej Adun Teluk Datuk

IMG_1391 copy copy

SHAH ALAM, 28 JAN : Isu Buku Latihan Percuma sumbangan Kerajaan Negeri yang didakwa gagal diedarkan Adun Teluk Datuk, Philip Tan merupakan isu yang sengaja direka untuk memburukkan imej beliau menjelang Piliharan Raya Umum Ke -13.

Philip yang dihubungi berkata, gambar yang dipaparkan oleh bekas ahli DAP, Yap Kon Min di media baru-baru ini merupakan gambar lama kerana buku-buku latihan itu sudah diedarkan kepada pelajar yang memerlukan.

Philip Tan

Ujarnya, sebelum ini buku-buku latihan tersebut lambat diterima oleh pihak Pusat Khidmat DUN itu menyebabkan ia disimpan bagi mengedarkan pada masa yang sesuai.

“Masa diterima buku latihan itu sekolah sudah dibuka dan apabila saya mengedarkan guru besar menyatakan buku latihan itu sudah lambat untuk diedarkan.

“Gambar yang ditunjuk adalah gambar lama kerana mereka berniat untuk menjadikannya suatu isu dimana ia merupakan cerita lama sekitar setahun ke dua tahun,” kata Philip.

Jelas Philip, dakwaan itu sengaja dilempar oleh bekas ahli DAP yang sudah dipecat itu dengan menjaja cerita-cerita untuk memburukkan adun-adun DAP di seluruh kawasan yang ditandingi parti itu.

“Mereka sudah seperti menjadi agen kepada Barisan Nasional,” katanya.

Ujar Philip, kini buku-buku itu sudah diedarkan dan hanya menyimpan sedikit yang diperuntukkan untuk pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

” Dakwaan 10,000 buku yang tidak diedarkan itu adalah dakwaan yang salah.

“Kini hanya ada 1,000 buku yang tinggal untuk diperuntukkan kepada pelajar SPM,” katanya.

Categories
SELANGOR

Pelajar SMK Seksyen 7 Antara Penerima Anugerah Maulidur Rasul 2013

anugerah malidur rasul 2013  nawarzir 01

SHAH ALAM, 24 JAN : Seorang pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 7, di sini, tidak menyangka apabila dipilih sebagai penerima Anugerah Saidina Ali sempena sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Selangor tahun ini.

Pelajar tersebut, Nawarzir Ahmad Zuri, 18, dipilih berdasarkan pencapaian akademiknya yang cemerlang apabila mendapat 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Tidak hanya cemerlang dalam akademik, anak tunggal ini juga aktif dalam bidang kokurikulum di mana beliau dilantik sebagai Ketua Fasilitator Kursus Kepimpinan Murid Tahun 2012.

Semasa ditemui, Nawarzir melahirkan kesyukuran ke hadrat Ilahi atas pemberian anugerah tersebut yang disifatkan sebagai pembakar semangat kepada dirinya untuk menjadi lebih baik.

“Saya berkenan menjunjung duli ke atas DYMM Sultan Selangor kerana telah berkenan memilih saya sebagai penerima anugerah ini.

“Terima kasih juga kepada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan seluruh ahli keluarga serta guru-guru di SMK Seksyen 7.

“Saya akan terus berusaha dengan bersungguh-sungguh dan memberi sumbangan kepada bangsa, agama dan negara.

anugerah malidur rasul 2013 abdul aziz   01“Saya juga ingin menyeru kepada semua remaja yang menjadi aset negara ini untuk berpegang kepada ajaran Islam supaya segala perbuatan diberkati,” katanya.

Beliau yang dilahirkan di Petaling Jaya menerima wang tunai RM5000, sijil penghargaan, piala iringan dan sepersalinan pakaian yang disampaikan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Nawarzir yang mempunyai minat mendalam terhadap bidang Agama Islam pernah memegang jawatan sebagai Pemimpin Khatam Al-Quran di sekolah, Iftar Jamie dan Solat Terawih 2012.

Beliau juga menjadi Penyampai Tazkirah Sempena Program Ihya 2011 dan terlibat dalam Majlis Perarakan Sambutan Maulidur Rasul 1433H/2012M.

Pemegang Anugerah Tokoh Murid 2012 ini turut pernah dianugerahkan Anugerah Khas Tokoh Akademik, Anugerah Tokoh Pemimpin Murid Lelaki, Anugerah Lencana Kecemerlangan Gemilang Emas Akademik Peperiksaan Percubaan SPM, Anugerah Kecemerlangan Sahsiah dan Anugerah Kecemerlangan Gemilang Perak PMR.

Sementara itu, penerima Anugerah Khalid Al-Walid, Tan Sri Ismail Adam, 63, berasa terharu apabila diberi pengiktirafan dalam sambutan tahun ini.

Beliau yang telah berkhidmat selama 38 tahun dalam perkhidmatan awam bertekad untuk terus menyumbang tenaga dan bakti kepada negeri selagi diberi kudrat oleh Ilahi.

“Apalah sangat sumbangan yang saya berikan kepada negeri, tetapi saya amat bersyukur dan terharu kerana dipilih untuk menerima anugerah ini.

“Saya ingin merakamkan setinggi penghargaan kepada DYMM Sultan dan Kerajaan Negeri atas pengiktirafan ini,” katanya yang kini berkhidmat sebagai penasihat di Syarikat Prasarana Sdn Bhd.

Selain itu, turut menerima anugerah pada sambutan tahun ini ialah Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor, Datuk Abdul Aziz Andik Achok, 78, (Anugerah Umar Abdul Aziz).

Juga menerima anugerah ialah Pegawai Penyelidik Agensi Nuklear Malaysia, Dr Mohd Abdul Wahab Yusof, 53, (Anugerah Imam Al-Ghazali) dan Rektor Universiti Islam Antarabangsa, Profesor Datin Paduka Dr Zaleha Kamaruddin, 52, (Anugerah Saidatina Khadijah).

Mereka masing-masing membawa pulang wang tunai berjumlah antara RM 15,000 dan RM 10,000 beserta sijil penghargaan, piala iringan dan sepersalinan pakaian.

malidur rasul 2013 semua