Categories
AGENDA NASIONAL PENDIDIKAN

Tambahan slot program TV Pendidikan calon SPM bermula esok – KPM

KUALA LUMPUR, 26 JAN: Bermula esok, Kementerian Pendidikan (KPM) akan menambah slot program TV Pendidikan dalam program DidikTV@NTV7, khusus untuk calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2020 yang akan menduduki peperiksaan, mulai 22 Februari ini.

KPM dalam satu kenyataan memaklumkan slot tambahan itu melibatkan sesi selama dua jam pada hari Isnin hingga Jumaat bermula dari 3 hingga 5 petang di saluran NTV7.

“KPM juga telah menambah lima jam waktu siaran di saluran yang sama pada hari Sabtu dan Ahad bermula dari 9 pagi hingga 12 tengah hari dan 3 petang hingga 5 petang,” menurut KPM.

Penambahan slot ini menjadikan keseluruhan waktu siaran TV Pendidikan sebanyak 11 jam setiap hari yang disiarkan di saluran TV Okey, Astro Tutor TV dan DidikTV@NTV7.

KPM turut melahirkan keyakinan program TV Pendidikan yang disediakan itu dapat dimanfaatkan oleh pelajar, guru dan ibu bapa sebagai antara kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang berkesan.

Jadual rancangan boleh didapati dengan melayari portal rasmi KPM di www.moe.gov.my atau di media sosial rasmi KPM iaitu Facebook, Instagram dan Twitter @KemPendidikan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tidak setara, NUTP bantah cadangan guna keputusan percubaan SPM

KUALA LUMPUR, 20 JAN: Saranan menggunakan keputusan peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi menggantikan peperiksaan sebenar dilihat kurang sesuai, menurut Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP).

Menjelaskan perkara itu, Setiausaha Agung NUTP Harry Tan Huat Hock berkata peperiksaan percubaan SPM adalah sebagai kaedah bagi guru mengenal pasti kemampuam dan kelemahan pelajar sebelum menduduki peperiksaan sebenar.

Beliau berkata taraf peperiksaan percubaan SPM tidak setara dengan SPM sebenar, yang mempunyai penilaian selaras piawaian antarabangsa.

“Percubaan SPM tiada tanda aras dengan taraf antarabangsa, justeru tidak adil guna keputusan peperiksaan percubaan untuk menggantikan SPM sebenar.

“Tanpa menduduki peperiksaan percubaan, guru masih ada kaedah lain boleh dilakukan sebagai persediaan bagi calon SPM dalam sepanjang tempoh takwim persekolahan tahun ini sebelum SPM bermula,” katanya dihubungi Bernama.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas saranan sebilangan ibu bapa yang mahu SPM dibatalkan dan menggunakan gred keputusan peperiksaan percubaan SPM sebagai keputusan sebenar.

Kelmarin, menerusi senarai Soalan Lazim (FAQ) KPM memaklumkan peperiksaan percubaan SPM 2020 tidak perlu dilakukan bagi sekolah yang belum melaksanakannya dan tidak akan menjejaskan peluang murid yang tidak menduduki peperiksaan percubaan memasuki institut pengajian tinggi awam.

Tan berkata adalah penting pada masa ini bagi guru dan calon peperiksaan memfokuskan diri kepada persediaan SPM.

Beliau berkata keputusan membatalkan peperiksaan percubaan itu sekurang-kurangnya meredakan tekanan calon SPM khususnya mereka di kawasan terjejas banjir dan kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Dalam keadaan sekarang, adanya satu tarikh tetap bagi satu peperiksaan (SPM dan peperiksaan setara) semua yang terlibat boleh memfokuskan kepada satu peperiksaan sahaja,” katanya.

Di Sabah, ibu bapa calon SPM di negeri ini berpendapat sebarang keputusan berhubung SPM termasuk menangguhkan tarikh peperiksaan atau mengguna pakai keputusan ujian percubaan sebagai keputusan sebenar perlu adil terhadap pelajar,

Unus Limun, 46, ketua kampung Lokub di Kiulu, berkata langkah melindungi pelajar daripada Covid-19 sememangnya baik namun adalah tidak adil membuat keputusan mengguna pakai percubaan SPM sebagai keputusan sebenar.

“Ujian percubaan ini sebuah percubaan bagi lihat pencapaian anak kita dan perbaiki kelemahan mereka sebelum ambil ujian SPM sebenar,” kata bapa kepada Adrian Melvin Unus, 17, yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Fuad Stephens, Kiulu ketika dihubungi Bernama semalam.

Bagi Runah Bernadus, 45, pembantu taska di Tawau tidak bersetuju jika keputusan ujian percubaan dijadikan sebagai keputusan sebenar SPM kerana tidak adil kepada pelajar yang menaruh harapan melakukan yang terbaik pada peperiksaan sebenar.

“Pada saya, peperiksaan percubaan tidak boleh dijadikan penunjuk prestasi sebenar kerana sudah tentu ada pelajar mendapat keputusan tidak memberangsangkan ketika percubaan namun pelajar ini berharap melakukan lebih baik pada peperiksaan sebenar,” kata ibu kepada Ameera Najla Lucius, 17.

Sabtu lepas, KPM memaklumkan persekolahan secara bersemuka bermula 20 Januari hanya melibatkan pelajar calon peperiksaan SPM, Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Diploma Vokasional Malaysia (DVM) 2020 serta peperiksaan antarabangsa yang setara tahun lepas.

Tarikh peperiksaan SPM, SVM dan STAM dianjak ke 22 Februari depan, manakala tarikh baharu bagi peperiksaan STPM ditetapkan pada 8 Mac 2021.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Portal eptrs.my sediakan teknik jawab soalan mudahkan calon SPM, STPM

SHAH ALAM, 17 JAN: Teknik menjawab soalan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) turut disediakan dalam portal pendidikan Selangor eptrs.my

Dato’ Menteri Besar berkata segala kandungan portal berkenaan dilengkapkan oleh guru pakar serta berpengalaman dalam setiap mata pelajaran.

“Proses ulangkaji akan lebih mudah dengan perkongsian tips menjawab soalan peperiksaan melalui rakaman video.

“Semuanya adalah percuma. Lengkapkan diri anda dengan Program Pecutan Akhir di www.eptrs.my,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari di Facebook hari ini.

Portal pendidikan Selangor eptrs.my dilengkapi sesi pembelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains, Matematik dan Sejarah untuk SPM serta Pengajian Am dan Ujian Bahasa Inggeris (Muet) untuk STPM.

Semalam portal dilengkapi sesi pembelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains, Matematik dan Sejarah untuk SPM serta Pengajian Am dan Ujian Bahasa Inggeris (Muet) untuk STPM dilancarkan bagi membantu calonnya.

Melalui portal berkenaan, pelajar berpeluang menyertai sesi soal jawab bersama guru bimbingan selain membolehkan mereka melakukan ulang kaji pelajaran.

Ia turut menyediakan program khas ‘Pecutan Terakhir’ untuk meningkatkan penguasaan calon peperiksaan.

Berikut adalah cara untuk mendaftar: 

 

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

PKP: Calon SPM 2020, 2021 dibenar hadir ke sekolah

SHAH ALAM, 11 JAN: Pelajar yang bakal menduduki peperiksaan utama bagi sesi 2020 dan 2021 dibenar hadir ke sekolah, tertakluk tatacara operasi piawai (SOP) ketat.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kebenaran tersebut turut melibatkan sekolah di negeri yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Berhubung perkara ini, Kementerian Pendidikan Malaysia akan memperincikan SOP yang akan dilaksanakan,” katanya dalam perutusan khas hari ini.

Pada 8 November, kerajaan mengumumkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dipinda ke 22 Februari 2021. Tarikh bagi peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) juga dianjak ke 8 Mac.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

SPM, SVM, STAM dipinda kepada 22 Feb, STPM 8 Mac

SHAH ALAM 8 NOV: Tarikh peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Peperiksaan Sijil Vokasional Malaysia (SVM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dipinda kepada 22 Februari depan.

Menteri pendidikan berkata Peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) pula dianjak kepada 8 Mac 2021.

Dr Radzi Jidin berkata perincian mengenai semua peperiksaan awam itu akan dimaklumkan dalam masa terdekat.

“Bagi membantu calon peperiksaan awam 2020 membuat persediaan secukupnya sebelum menduduki peperiksaan, Kementerian Pendidikan (KPM) memutuskan bahawa mereka akan menyambung persekolahan secara bersemuka di sekolah mulai 20 Januari 2021.

“KPM berharap ruang yang ada ini akan dapat memberi manfaat kepada calon yang terkesan dengan penutupan sekolah,” katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau berkata kesemua ketetapan itu juga terpakai kepada sekolah swasta dan institusi pendidikan berdaftar dengan KPM.

“Bagi sekolah tidak berdaftar dengan KPM pula, mereka juga disaran mengikuti ketetapan ini,” katanya.

Terdapat 400,445 calon berdaftar bagi peperiksaan SPM, 7,996 STAM sementara 14, 942 (semester 2) dan 8,371 (semester 4) bagi peperiksaan SVM. Untuk calon STPM seramai 45,956 orang bagi semseter 1 dan 47,008 semester 3.

Dr Mohd Radzi berkata pihaknya juga akan menjadualkan semula semua pentaksiran berkaitan peperiksaan percubaan SPM, kerja kursus serta pentaksiran yang telah dijadualkan sehingga Disember 2020.

Bagaimanapun pelaksanaan Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) bagi tingkatan satu dan empat ditangguhkan kepada suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

“Penjadualan semula peperiksaan awam ini tidak akan menjejaskan kemasukan murid ke institusi peringkat tertiari awam serta kemasukan murid ke institusi pengajian tinggi awam melalui sistem UPUOnline yang dikendalikan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT),” katanya.

Dr Mohd Radzi menambah pelajar Program Matrikulasi KPM dan pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) akan meneruskan pembelajaran secara dalam talian sepenuhnya dan melakukan ulang kaji kendiri sehingga 31 Disember 2020.

Katanya pelajar akan kembali semula ke kolej dan meneruskan program pada 4 Januari 2021 sementara ujian Malaysian University English Test (MUET) untuk pelajar matrikulasi yang dijadualkan pada 8 hingga 19 Disember 2020 akan ditangguhkan ke tahun hadapan.

Categories
AGENSI SELANGOR

Kuis pelawa pelajar lepasan SPM, STPM lanjut pengajian

SHAH ALAM, 23 OKT: Pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia dipelawa menyambung pengajian di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis).

Menurut laman web universiti itu, tawaran sama terbuka kepada pelajar lepasan Sijil Vokasional Malaysia dan Sijil Tinggi Agama Menengah untuk mengikuti 77 program yang ditawarkan.

“Antara program ditawarkan berkaitan pengajian Islam, pengurusan, perakaunan, komunikasi, syariah, pendidikan dan teknologi maklumat selain diajar pensyarah berpengalaman.

“Kuis mempunyai kampus lengkap berkeluasan 104 hektar. Segala keperluan pembelajaran dan sukan disediakan. Pemandangan persekitaran juga menarik selain kedudukan strategik dengan kemudahan pengangkutan,” kata universiti itu.

Maklumat lanjut boleh didapati melalui pautan http://www.kuis.edu.my/v4/kemasukan/program-pengajian, manakala permohonan melalui http://onlineapp2.kuis.edu.my:8080/onlineapp/default.jsp

Pemohon juga boleh menghubungi pegawai pemasaran melalui WhatsApp di talian 019-2260746 atau 019-3896937.

Categories
ADN SELANGOR

Program bimbingan ke IPTA DUN Sentosa berjaya tarik 30 pelajar

SHAH ALAM, 12 OGOS: Program Trek Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa berjaya menarik hampir 30 pelajar walaupun baru dilancarkan hujung Julai lalu.

Ahli Dewan Negeri berkata program itu membimbing pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun depan dan lepasan SPM tahun lalu mendapat tempat di institut pengajian tinggi awam (IPTA).

“Menjadi satu tanggungjawab kita bagi memastikan anak muda dibimbing agar mereka berada di trek yang betul supaya mendapat peluang melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat tertinggi.

“Sehingga kini, seramai sembilan pelajar lepasan SPM 2019 berjaya dibimbing,” kata Dr G Gunarajah dalam kenyataan.

Beliau menambah program yang dijalankan setiap Selasa, jam 7 petang di Pusat Khidmat Masyarakat Sentosa terus memberi khidmat nasihat dan bimbingan kepada pelajar.

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: SPM dipinda kepada 16 November, UPSR kekal

SHAH ALAM 28 MAC: Tarikh peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dipinda 16 November hingga 7 Disember ini, berikutan penularan wabak Covid-19.

Namun, tarikh Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) kekal pada 1, 2, 3, 7 dan 8 September.

Kementerian Pendidikan dalam kenyataan berkata, penjadualan semula dibuat selepas meneliti keadaan semasa dan memastikan semua kurikulum subjek berkaitan dapat diselesaikan dalam tempoh ditetapkan.

Katanya, tarikh bagi Ujian Pencapaian Bahasa Antarabangsa (UPBA); Sijil Pelajaran Malaysia Ulangan (SPMU) lisan dan bertulis; Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) bertulis serta Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) Semester Tiga juga kekal seperti tarikh asal.

Peperiksaan SPM sepatutnya dijalankan bermula 5 hingga 14 Oktober bagi fasa satu dan bersambung 2 hingga 19 November bagi fasa dua.

Bagi Ujian Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3), KPM menetapkan 28 dan 29 September bagi ujian Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

Categories
AGENDA NASIONAL

Keputusan SPM diumum 5 Mac

SHAH ALAM, 27 FEB: Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019 membabitkan 416,416 calon akan diumumkan 5 Mac ini, kata Kementerian Pendidikan Malaysia.

Kementerian dalam kenyataan hari ini memaklumkan calon boleh mendapatkan keputusan di sekolah masing-masing bermula 10 pagi atau melalui perkhidmatan mySMS dengan menaip SPMAngka Giliran dan hantar ke 15888.

“Perkhidmatan akan mula diaktifkan pada 10 pagi, 5 Mac ini dan ditamatkan pada 6 petang, 11 Mac. Calon juga boleh menyemak keputusan melalui portal Lembaga Peperiksaan Malaysia di sppat.moe.gov.my/semakan,” kata kenyataan itu.

Kementerian berkata calon persendirian pula akan dimaklumkan melalui pos atau berhubung dengan Jabatan Pendidikan Negeri, bergantung kepada tempat mendaftar ketika menduduki peperiksaan.

Seramai 416,416 calon mendaftar untuk menduduki SPM di seluruh negara dengan 357,010 calon adalah sekolah kerajaan, bantuan kerajaan dan sekolah agama bantuan kerajaan.

Selain itu, 8,320 calon di bawah agensi kerajaan selain Kementerian Pendidikan Malaysia, sekolah menengah agama negeri (8,317), sekolah menengah agama rakyat (2,209), sekolah swasta (14,203) manakala calon persendirian (26,357).

Categories
AGENDA NASIONAL

Dr Mahathir nasihat calon SPM tenang hadapi peperiksaan

KUALA LUMPUR, 5 NOV: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menasihati calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) supaya sentiasa tenang menghadapi cabaran peperiksaan.

Menerusi video yang dikongsi di Facebook rasmi beliau, Dr Mahathir berkata berharap semua pelajar yang akan menduduki SPM dan STPM supaya menghadapi cabaran dengan tenang dan membuat persediaan yang cukup untuk mendapat keputusan yang sebaik mungkin.

“Untuk peperiksaan, kita perlu ulang balik segala yang kita dapat sepanjang tahun dan ulang berkali-kali bermakna kita tidak akan lupa tentang isi kandungan jawapan yang diperlukan.

“Saya berdoa semua penuntut akan lulus dengan baik dan saya harap mereka akan gembira selepas peperiksaan diumumkan (tamat),” kata Dr Mahathir.

Peperiksaan SPM fasa dua akan berlangsung bermula hari ini, hingga 28 November sementara peperiksaan STPM berlangsung semalam sehingga 13 November depan.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Lepasan cemerlang SPM digalak mohon IPG

PUTRAJAYA, 30 MEI: Kementerian Pendidikan (KPM) menggalakkan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang cemerlang untuk memohon Program Persediaan Ijazah Sarjana Muda Perguruan ( PPISMP) di Institut Pendidikan Guru (IPG).

Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata, sebanyak 6,000 tempat ditawarkan di bawah program itu namun kebanyakan pelajar cemerlang lebih tertumpu kepada kursus profesional sedangkan negara juga memerlukan guru-guru yang cemerlang.

“Semuanya ingat nak masuk matrikulasi, akhirnya IPG mengalami kemerosotan. Jadi kita menggalakkan pelajar cemerlang yang berminat memohon menjadi guru” kata pada majlis berbuka puasa KPM bersama media, di sini semlam.

Selain itu, Maszlee berkata KPM juga menggalakkan permohonan untuk menjadi guru Bahasa Mandarin dan Tamil yang diperlukan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil.

“Kita menghadapi kurangnya permohonan untuk guru mengajar Bahasa Mandarin dan Bahasa Tamil,” katanya.

Dalam pada itu, Maszlee berkata KPM akan memberi tumpuan kepada usaha mendidik masyarakat supaya melihat kepada kursus yang menjanjikan peluang kerjaya pada masa depan seperti bioteknologi, teknologi nano, analisis data dan robotik.

Mengakui KPM belum berjaya mendidik masyarakat untuk melihat masa depan yang lebih mencabar, beliau berkata pelajar cemerlang lebih tertumpu kepada kursus profesional seperti perubatan, farmasi, pergigian, guaman dan akauntan.

“Ramai yang masih terikat dengan kursus tradisional dan bila tak dapat, masing-masing marah walhal banyak kursus yang menjanjikan peluang kerja lebih baik pada masa depan tidak ada orang ambil,” katanya.

Katanya, pada tahun lepas terdapat 5,000 tempat di universiti awam (UA) bagi kursus-kursus sains berbeza yang tidak mendapat sambutan.

Maszlee berkata kerajaan tidak mahu wujud ketidak sepadanan antara kursus yang diambil pelajar di institusi pengajian tinggi dengan peluang kerjaya yang ditawarkan pada masa akan datang.

-BERNAMA

 

Categories
NASIONAL PENDIDIKAN

Dakwaan kertas peperiksaan SPM bocor tidak benar

KUALA LUMPUR, 17 NOV: Berita tentang kebocoran kertas Bahasa Melayu, Matematik dan Bahasa Cina bagi Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) 2018 adalah tidak benar, kata Lembaga Peperiksaan (LP), Kementerian Pendidikan hari ini.

Menurut LP dalam satu kenyataan hari ini, sehubungan itu, tidak ada keperluan untuk calon menduduki semula peperiksaan bagi kertas berkenaan.

Lembaga Peperiksaan telah menjalankan siasatan berkaitan aduan yang diterima.

Ibu bapa tidak perlu bimbang mengenai perkara ini memandangkan peperiksaan itu telah dijalankan mengikut garis panduan yang diberikan oleh LP dengan penyeliaan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

Menurut kenyataan itu, Kementerian Pendidikan juga memohon semua pihak agar lebih prihatin, berhati-hati dan tidak menularkan sesuatu perkara yang tidak tepat kerana dikhuatiri akan mengganggu emosi dan fokus calon serta ibu bapa.

Peperiksaan SPM 2018 dilaksanakan mulai 13 Nov sehingga 13 Dis tahun ini namun terdapat khabar angin yang tular menyatakan bahawa kertas peperiksaan tersebut telah bocor dan calon dikehendaki menduduki semula kertas tersebut pada tarikh lain yang telah ditetapkan.

SUMBER: BERNAMA