Categories
NASIONAL SELANGOR

7 DUN Selangor Selesai Kenal Pasti 100% Pengundi

SHAH ALAM 30 JULAI: Tujuh Dewan Undangan Negeri (DUN) di Negeri Selangor berjaya menyelesaikan proses mengenal pasti pengundi dalam Program Selangorku Bersih.

Tujuh DUN terbabit adalah Rawang, Batu Caves, Bukit Melawati, Sungai Pinang, Sri Kembangan, Morib dan Tanjung Sepat.

Manakala dari 56 keseluruhan kawasan DUN di Selangor, hampir 20 DUN yang lain turut berjaya menyelesaikan lebih 90 peratus dalam program sama.

Demikian menurut Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika mengumumkan status terkini program yang dijalankan di bawah Program Pendemokrasian Rakyat Selangor oleh Kerajaan Negeri itu.

“Saya harap proses pendemokrasian ini dapat diselesaikan dalam masa dua minggu lagi,” kata beliau di Majlis Berbuka Puasa Menteri Besar Bersama Pemimpin Masyarakat yang diadakan di kediaman rasminya.

Program Selangorku Bersih diadakan bagi mengenal pasti kewujudan pengundi berdaftar yang sah di Selangor.

Program yang menerima peruntukan sebanyak RM5 juta dari Geran Selangorku ini membabitkan kerjasama antara Adun kawasan, Ahli-ahli majlis dan Ahli Jawatankuasa Kemajuan Kampung.

TV Selangor difahamkan keputusan kajian tersebut akan diumumkan setelah keputusan penuh dan analisa dari kajian tersebut dibuat.