Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

MB mengadap Sultan, persembah perkembangan semasa negeri

SHAH ALAM, 27 OKT: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor berkenan menerima mengadap Dato’ Menteri Besar untuk menyembah maklum berhubung perkembangan semasa di Istana Bukit Kayangan di sini hari ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj diberi penerangan berhubung ekonomi, usaha menangani Covid-19 serta Belanjawan Selangor 2021 yang bakal dibentang pada Jumaat.

“Menjunjung kasih DYMM tuanku atas keprihatinan terhadap keadaan semasa melibatkan ekonomi dan wabak Covid-19 yang dihadapi sekalian rakyat Selangor ketika ini.

“Kasih sayang tuanku menjadi inspirasi buat pentadbiran ini untuk sentiasa berikhtiar demi rakyat dan negeri,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Terdahulu Dato’ Menteri Besar berkata sektor ekonomi, pertanian, pelancongan, kesihatan awam, usahawan mikro, digitalisasi serta banyak lagi terus diperkasakan dalam Belanjawan Selangor 2021.

Pembentangannya dipancarkan secara langsung dari Dewan Negeri Selangor dan boleh diikuti melalui saluran TV Selangor, http://selangortv.my.

Siaran langsung juga boleh diikuti melalui Facebook Live Media Selangor.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Sultan titah rakyat duduk rumah, elak ke tempat sesak

SHAH ALAM, 2 OKT: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menitahkan rakyat duduk di rumah berikutan bimbang dengan peningkatan kes Covid-19 yang mendadak di negeri ini.

Khuatir dengan penduduk semakin leka dan alpa, Tuanku menyeru supaya mereka terus waspada dan tidak mengambil mudah kesemua amalan tatacara operasi piawai (SOP) selain menasihatkan tidak keluar ke lokasi sesak jika tiada keperluan.

“Individu yang mempunyai gejala atau baru pulang dari kawasan-kawasan berisiko perlu segera melakukan ujian saringan di hospital, seterusnya patuh dengan arahan kuarantin wajib.

“Kekalkan jarak fizikal sekurang-kurangnya satu meter apabila berada di tempat awam, sentiasa memakai pelitup muka apabila keluar dari rumah serta menggunakan cecair pembasmi kuman dan menjaga kebersihan diri,” demikian titah Baginda dalam kenyataan yang dikeluarkan Istana Alam Shah, hari ini.

Sultan Sharafuddin bertitah, statistik terbaharu menunjukkan Hulu Selangor, Klang, Gombak, Petaling, Hulu Langat dan Sepang kembali merekodkan kes positif Covid-19.

“Melihat perkembangan yang membimbangkan ini, setiap individu dari semua lapisan masyarakat perlu memainkan peranan bagi memutuskan rantaian Covid-19,” titah baginda lagi.

Malaysia hari ini merekodkan kes harian baharu positif Covid-19 paling tinggi iaitu 287 kes berbanding 277 pada 4 Jun lalu. Sementara Selangor pula mencatatkan kenaikan kes baharu sebanyak dua kali ganda iaitu 31 kes berbanding 13 semalam.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Sultan Selangor berkenan beli Kasut Emas Khalid Jamlus

SHAH ALAM, 14 SEPT: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan membeli Kasut Emas milik bekas pemain bola sepak kebangsaan, Khalid Jamlus.

Selangor Royal Office dalam kenyataan memaklumkan majlis penyerahan ringkas trofi itu berlangsung di Istana Alam Shah, Klang hari ini.

“Pembelian Kasut Emas ditetapkan pada satu nilai dipersetujui kedua-dua pihak.

“Sultan Selangor berkenan trofi dimenangi Khalid pada 2002 itu diletakkan di Muzium Galeri Bola Sepak Selangor di perkarangan Istana Alam Shah,” katanya.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menerima mengadap bekas pemain bola sepak kebangsaan Khalid Jamlus dan menerima trofi Kasut Emas di Istana Alam Shah, Klang pada 14 September 2020. Foto Facebook Selangor Royal Office

Khalid mewakili Selangor untuk saingan Liga Perdana selama dua musim pada 2005 dan 2006.

Bagaimanapun beliau memenangi Kasut Emas itu ketika mewakili Perak apabila muncul penjaring terbanyak dengan merekodkan 17 gol dan membantu negeri itu menjuarai liga.

Isu Kasut Emas serta beberapa koleksi lain milik Khalid menjadi tular beberapa bulan lalu apabila beliau memutuskan menjualnya susulan tidak mempunyai pendapatan tetap selama tiga tahun tambahan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19 yang memeritkan lagi kehidupannya.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Sultan titah penjara mandatori buat pesalah cemar bekalan air

SHAH ALAM, 8 SEPT: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj mahu hukuman penjara mandatori dikenakan kepada pesalah yang mencemar sumber air negeri ini.

Baginda melalui utusan surat kepada Dato’ Menteri Besar turut menitahkan individu terbabit dikenakan denda maksimum selain pihak berkuasa diminta meroboh rumah dan kilang haram beroperasi di tebing sungai yang berpotensi mencemarkan sungai.

“Sultan Selangor telah lama menitahkan Kerajaan Negeri menubuhkan jawatankuasa khas memantau dan memastikan air sungai tidak tercemar dengan bahan kimia atau sampah sarap yang boleh menjejaskan bekalan air mentah kepada loji rawatan air.

“Baginda khuatir rakyat akan memberontak dan menyebabkan ketegangan hingga menjejaskan keharmonian sekiranya masalah air ini berterusan,” kata Selangor Royal Office melalui Facebook hari ini.

Menurut kenyataan, baginda Sultan turut berdukacita melihat kesan ditanggung rakyat susulan insiden pencemaran sungai.

“Baginda tidak berkenaan adanya unsur campur tangan politik dalam penguatkuasaan berkaitan alam sekitar dan pencemaran air sungai,” katanya.

Terdahulu, Dato’ Seri Amirudin Shari menghadap Sultan Sharafuddin di Istana Bukit Kayangan, dekat sini berhubung masalah bekalan air bersih yang berlaku sekali lagi.

Khamis lalu, seramai 1.2 juta pemegang akaun di tujuh wilayah mengalami gangguan bekalan air selepas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), Fasa 2 (SSP2) dan Fasa 3 (SSP3) dan Rantau Panjang dihenti tugas.

Gangguan itu melibatkan Kuala Lumpur, Petaling, Klang-Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Junjung kasih titah Sultan Selangor, tekad pastikan tiada rasuah – MB

SHAH ALAM, 24 OGOS: Kerajaan Negeri tidak akan mensia-siakan pengiktirafan Juara Bebas Rasuah diterima dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pada tahun lalu.

Dato’ Menteri Besar berkata pihaknya menyambut baik dan memberi perhatian serius titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dalam memastikan rekod pencapaian bebas rasuah itu tidak lagi tercalar.

“Kerajaan Negeri menjunjung kasih akan keprihatinan Baginda berhubung isu rasuah dalam kalangan segelintir pegawai Jabatan Penguatkuasaan agensi kerajaan di Selangor.

“Komitmen kita dalam agenda banteras gejala rasuah adalah salah satu komponen reformasi institusi yang diperjuangkan sejak dahulu,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari dalam kenyataan.

Beliau berkata perkara itu ditegaskan lagi dengan komitmen Kerajaan Negeri melalui Ikrar Bebas Rasuah ditandatangani pada 19 Ogos tahun lalu.

“Justeru, tekad dan iltizam untuk membanteras gejala tidak sihat ini akan terus dimantapkan dari semasa ke semasa dan terus menghormati lunas perundangan dalam setiap tindakan diambil,” katanya.

Hari ini, Sultan Selangor menyeru kakitangan penguat kuasa di semua pihak berkuasa tempatan dan agensi kerajaan tidak terlibat dengan rasuah serta perkara yang menimbulkan tohmahan penyelewengan.

Baginda bertitah ini termasuk aspek penyalahgunaan kuasa bagi kepentingan diri atau pihak tertentu yang perlu dielakkan semasa bertugas.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Sultan zahir tahniah LZS telus, berkesan agih zakat

SHAH ALAM, 11 OGOS: Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah AlHaj menzahirkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) kerana menguruskan hal ehwal kutipan serta agihan zakat di negeri ini dengan baik.

Sultan Selangor sukacita operasi agensi itu yang berperanan secara telus dengan agihan zakat dibuat secara efisien kepada golongan memerlukan seperti asnaf, fakir miskin dan mualaf setiap tahun.

“Ini termasuk keprihatinan LZS menyalurkan bantuan khas zakat Covid-19 baru-baru ini,” titah baginda menerusi kenyataan menerusi Facebook Selangor Royal Office.

Baginda berharap LZS terus meningkatkan usaha dalam menguruskan perkara berkaitan dengan lebih baik di samping memaklumkan kepada masyarakat ke mana wang zakat diagihkan.

Sehingga kini, 57,000 keluarga asnaf dan fakir miskin di Selangor menerima bantuan zakat manakala kutipan zakat tahun lalu mencecah RM855 juta dengan agihan mencapai RM868 juta.

LZS mengutip RM341 juta bagi Januari hingga Mei lalu dengan RM337 juta daripadanya diagihkan kepada semua golongan asnaf memerlukan.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Nama calon EXCO dipersembah kepada Sultan Selangor

SHAH ALAM, 13 JULAI: Kerajaan Negeri telah mempersembahkan nama calon bagi mengisi kekosongan dua kerusi EXCO kepada Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah AlHaj.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pihaknya kini menunggu perkenan tuanku berhubung tarikh angkat sumpah jawatan.

“Istana Selangor akan tetapkan tarikh sesuai angkat sumpah atau jika dapat perkenan, Kerajaan Negeri akan umumkan. Kita ada protokol dan istiadat yang perlu dipatuhi semua pihak, jadi kita tunggu waktu sesuai,” katanya ketika sidang media selepas membentangkan pakej rangsangan ekonomi akibat penularan Covid-19 pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Pada 5 Mac pentadbiran Kerajaan Negeri tidak lagi dianggotai Bersatu selepas mengambil kira dinamik politik semasa pada peringkat Persekutuan.

Sehubungan itu Ahli Dewan Negeri (ADN) Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari digugurkan jawatan EXCO kebudayaan dan pelancongan, peradaban Melayu dan warisan.

Pada Jumaat lalu, Dato’ Menteri Besar mengumumkan memangku EXCO perumahan dan kehidupan bandar susulan kekosongan kerusi ditinggalkan ADN Lembah Jaya, Haniza Talha.

Kekosongan kerusi itu susulan pelucutan keahlian Haniza dalam KEADILAN dengan syor Lembaga Disiplin ketika mesyuarat bulanan pada 28 Jun lalu.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Kagumi Dr Khoo, Sultan Selangor ingatkan ahli politik fahami sejarah

SHAH ALAM, 11 JULAI: Ahli politik diingatkan memahami sejarah negara dengan betul ekoran masih ramai memandang remeh kepentingannya, demikian titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Dalam kenyataan dikeluarkan Selangor Royal Office, baginda membangkitkan perkara itu kerana melahirkan rasa kagumnya kepada mendiang Prof Emeritus Tan Sri Dato’ Dr Khoo Kay Kim yang banyak menyumbang idea terutama berkaitan sejarah tempatan.

“Ini termasuk menyemarakkan kembali semangat cintakan sejarah dalam kalangan anak muda serta pembangunan arena sukan tempatan iaitu bola sepak.

“Semangat ditonjolkan mendiang dalam mengutamakan fakta sejarah turut dikagumi walaupun ada segelintir memutar belitkannya,” titah baginda menerusi Facebook.

Pada masa sama, baginda berharap jasa dan sumbangan Dr Khoo terus dikenang seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa sebagai simbol semangat perpaduan Malaysia sebenar.

Pada 9 Julai lalu, Sultan Selangor berkenan terima menghadap balu tokoh Sejarahwan Negara itu, Puan Sri Rathi Khoo dan dua anak mereka.

Difahamkan, pertemuan itu sebagai tanda penghargaan di atas perkenan baginda mengabadikan nama mendiang di salah sebuah jalan di Petaling Jaya, iaitu Jalan Prof Khoo Kay Kim.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Sultan Selangor titah tiada solat Jumaat hingga 30 Jun

SHAH ALAM, 1 JUN: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menitahkan sekatan solat Jumaat dan solat jemaah lima waktu melibatkan orang ramai di masjid dan surau di negeri ini dilanjutkan sehingga 30 Jun ini.

Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata ia kerana baginda masih bimbang dengan risiko jangkitan Covid-19 jika kawalan dilonggarkan mengakibatkan nyawa rakyat akan turut terancam.

“Justeru itu, dengan perasaan berat hati, baginda memutuskan agar tempoh larangan bagi mengerjakan solat Jumaat dan solat jemaah lima waktu di masjid dan surau dilanjutkan kecuali di 39 masjid yang dibenarkan sebelum ini.

“Namun demikian, semakan semula akan dilakukan selepas minggu pertama Jun dan sekiranya penularan wabak menurun secara konsisten maka pertimbangan akan dibuat bagi membolehkan jumlah jemaah solat Jumaat ditambah dan masjid dibuka lebih awal bagi mendirikannya secara berperingkat khususnya di kawasan zon hijau,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 14 Mei lalu, Sultan Selangor berkenan membenarkan solat Jumaat di 39 masjid terpilih dengan jumlah jemaah tidak melebihi 12 orang terdiri kalangan pegawai dan ahli jawatankuasa masjid sahaja susulan penurunan kadar jangkitan Covid-19.

Mohamad Munir berkata Sultan Selangor turut menyeru supaya rakyat terus mengamalkan penjarakan sosial, memakai pelitup muka dan mematuhi setiap arahan dan garis panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Agama Islam Selangor.

“Ia bagi memastikan keadaan pulih dan umat Islam boleh kembali mengimarahkan masjid,” katanya.

DNS : Kebajikan rakyat dan peranan pembangkang terus diperkukuh

Pembangunan dan kebajikan rakyat terus diberi perhatian Kerajaan Negeri melalui perbahasan dan pembentangan di Dewan Negeri Selangor (DNS).

LZS Terima Zakat & Beri Sumbangan Kepada ATM, PDRM Serta Asnaf

sultan buka puasa jul 12 02

SHAH ALAM 13 JULAI : Lembaga Zakat Selangor (LZS) menerima zakat perniagaan daripada Sime Darby Property Berhad (SDPB) berjumlah RM 1 juta untuk tahun kewangan berakhir 2012.

DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menerima bayaran zakat berkenaan daripada Pengarah Urusan SDPB, Datuk Abdul Wahad Maskan di Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong di sini semalam.

sultan buka puasa jul 12 01Turut hadir, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamed Khusrin Munawi, dan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Datuk Setia Mohamad Adzib Mohd Isa.

Juga hadir Pengerusi LZS, Tan Sri Syed Anwar Tuanku Syed Putra Jamalullail, Mufti Selangor, Datuk Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Datuk Marzuki Hussin serta ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri.

Pada majlis sama, LZS turut menyerahkan sumbangan zakat kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang masing-masing berjumlah RM 100 ribu.

Sumbangan tersebut untuk disalurkan kepada keluarga perajurit yang terlibat di dalam misi keselamatan dan keamanan di Lahad Datu, Sabah.

sultan buka puasa jul 12 03ATM diwakili oleh Timbalan Pengarah Operasi Kagat, Kolenel Mohamad Saodi Kasim dan PDRM diwakili oleh Pemangku Ketua Polis Selangor, SAC Datuk A Thaiveegan.

Di samping itu, nasib tiga buah keluarga anggota PDRM dari Selangor yang terkorban di dalam operasi menentang militan Sulu di Lahad Datu juga mendapat perhatian oleh LZS.

LZS menyalurkan bantuan pendidikan tinggi untuk anak-anak keluarga Allahyarham Sarjan Sabaruddin Daud, Allahyarham Supritenden Ibrahim Lebar dan Allahyarham Koperal Azrul Tukiran.

Turut diraikan di majlis berkenaan ialah 150 orang asnaf fakir, 150 orang asnaf miskin, 100 orang asnaf mualaf dan 141 orang anak yatim.

Ksemuanya menerima sumbangan RM 400 setiap seorang kecuali anak-anak yatim yang menerima RM 100 seorang.