Categories
AGENDA GLOBAL

Agong zahir ucapan takziah kepada rakyat Indonesia

KUALA LUMPUR, 25 APRIL: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah amat berdukacita dan menzahirkan ucapan takziah kepada Presiden Indonesia Joko Widodo dan seluruh rakyat negara itu susulan tragedi menimpa kapal selam KRI Nanggala 402.

Ucapan sama turut dizahirkan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dalam kenyataan yang dimuat naik menerusi laman Facebook Istana Negara hari ini.

Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian perajurit-perajurit dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga mereka bersabar serta tabah menghadapi ujian pada bulan Ramadan ini.

KRI Nanggala 402 yang membawa 53 kru, dilaporkan terputus hubungan jam 4.25 pagi pada 21 April 2021 ketika dalam misi latihan penembakan torpedo. Foto: Wikipedia

“Sesungguhnya pemergian perajurit-perajurit kapal selam tersebut di bulan Ramadan yang mulia ini merupakan satu kehilangan yang besar buat negara Indonesia dan semoga pengorbanan mereka akan terus dikenang sepanjang masa,” titah Seri Paduka Baginda berdua dalam kenyataan itu.

Seri Paduka Baginda berdua turut berharap agar seluruh rakyat Indonesia kekal tabah dan diberikan kekuatan dalam menghadapi ujian itu.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah juga mendoakan agar roh mereka yang terkorban dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman.

Menerusi kenyataan itu, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin turut menyampaikan ucapan takziah Seri Paduka Baginda berdua kepada Duta Besar Indonesia di Malaysia Hermono.

KRI Nanggala 402 dilaporkan terputus hubungan pada 4.25 pagi Rabu lepas ketika dalam misi latihan penembakan torpedo di utara perairan Bali, yang turut disertai 21 kapal Angkatan Laut Tentera Nasional Indonesia (TNI), lima pesawat tempur dan satu kapal selam lain.

Panglima Tentera Indonesia (TNI) Hadi Tjahjanto hari ini mengumumkan semua kru kapal selam KRI Nanggala-402 telah terkorban.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Agong zahir takziah kepada keluarga bekas jaguh sukan tembak Sabiamad

KUALA LUMPUR, 11 APRIL: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga bekas jaguh sukan menembak Datuk Sabiamad Abdul Ahad yang meninggal dunia akibat serangan jantung semalam.

Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Olimpian negara itu dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarganya sabar serta tabah menghadapi suasana sedih dan pilu ini.

“Seri Paduka Baginda berdua amat menyanjung tinggi dan menghargai khidmat bakti, jasa serta pengorbanan Allahyarham kepada negara serta menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar, khususnya kepada sukan menembak negara.

“Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin,” menurut kenyataan Istana Negara dalam laman Facebook hari ini.

Sebagai rekod, Sabiamad sebelum ini pernah mewakili negara ke Sukan Olimpik Los Angeles di Amerika Syarikat pada 1984 dalam acara menembak dan beraksi sebagai penembak kebangsaan dari 1981 sebelum bersara pada awal 1990-an.

Ketika zaman kegemilangannya, Allahyarham mengungguli acara Air Pistol di peringkat Asia Tenggara juga acara Central Pistol, Rapid Pistol dan Standard Pistol.

Sabiamad pernah meraih pingat emas untuk negara dalam acara 50 m pistol lelaki individu pada Sukan SEA 1983 di Singapura.

Selepas persaraan, beliau aktif membantu sukan menembak sebagai jurulatih dan pengurus pasukan negara dan pernah menjadi pengurus pasukan menembak Sukan SEA 2013 di Myanmar, Sukan SEA 2017 di Singapura dan Sukan Olimpik Rio 2016 di Brazil.

Sabiamad juga pernah menjadi Ahli Lembaga Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb).

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong, Permaisuri ucap takziah pemergian Jamali Shadat

KUALA LUMPUR, 3 FEB: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga penghibur terkenal tanah air, Datuk Jamali Shadat yang meninggal dunia hari ini.

Seri Paduka Baginda berdua menerusi satu hantaran di akaun Facebook Istana Negara, menzahirkan rasa sedih dengan pemergian pelawak ‘stand up’ itu dan berharap agar seluruh keluarga Allahyarham sabar serta tabah menghadapi suasana sedih dan pilu.

“Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah amat menghargai khidmat bakti dan jasa Allahyarham kepada masyarakat dan negara serta menyifatkan pemergiannya sebagai satu kehilangan besar kepada dunia hiburan.

“Seri Paduka Baginda berdua juga mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin,” demikian menurut hantaran yang dimuat naik oleh Istana Negara.

Allahyarham Jamali Shadat yang dilahirkan di Bukit Kapar, Klang, Selangor mempunyai lapan anak dan 39 cucu, cukup dikenali dengan kebolehan melakonkan watak kanak-kanak bernama Atan bersama atuknya serta rakan dari pelbagai kaum pada zaman kegemilangannya.

Selain itu, pelawak lagenda yang terkenal sejak era 1970-an itu turut mempunyai kebolehan meniru dialek seperti Mandarin, Jawa dan Tamil dalam persembahan pentas.

Jamali Shadat meninggal dunia kira-kira pukul 8.30 pagi tadi, pada usia 78 tahun di kediamannya di Kampung Sungai Pinang, Pulau Indah, Pelabuhan Klang.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

MB zahir takziah kepada keluarga Kpl Baharuddin Ramli

SHAH ALAM, 24 NOV: Dato’ Menteri Besar menzahirkan takziah kepada keluarga anggota polis mendiang Koperal Baharuddin Ramli yang maut ditembak ketika bertugas awal pagi tadi.

Dato’ Seri Amirudin Shari menyifatkan jasa dan pengorbanan mendiang dalam mempertahankan keselamatan negara simbol keperwiraan selaku anggota polis.

“Saya melahirkan rasa hiba dan sayu dengan berita pemergian mendiang Koperal Baharuddin Ramli ketika bertugas.

“Jasa dan pengorbanan beliau mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara adalah simbol keperwiraan anggota polis. Takziah diucapkan kepada keluarga mendiang,” tulisnya di Twitter.

Pada masa sama Amirudin turut mendoakan Koperal Norihan Tari yang cedera dalam kejadian sama supaya segera sembuh dan diberikan kekuatan.

“Di samping itu saya turut mendoakan agar Koperal Norihan Tari yang turut tercedera ketika bertugas agar sembuh dan pulih dari kecederaan. Semoga diberi kekuatan dan kesihatan,” katanya.

Bernama melaporkan kejadian berlaku apabila kedua-dua anggota polis itu berbalas tembak dengan kumpulan penyeludup di Tembok Sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar, Perlis.

Kejadian pada 2.30 pagi itu melibatkan dua anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang sedang menjalankan tugas risikan di kawasan berkenaan.

Kpl Baharuddin Ramli, 54, daripada Batalion 3 (Senoi Praaq), Briged Utara, PGA, yang terkena tembakan di bahagian kiri perut, maut di tempat kejadian manakala rakan setugasnya Kpl Norihan a/l Tari dari Pos Kawalan Sempadan, berada dalam keadaan kritikal akibat tiga das tembakan di rusuk serta perut dan kini dirawat di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di Kangar.

Norihan, 39, selesai menjalani pembedahan di HTF petang tadi dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

Categories
AGENDA NASIONAL

Sultan, Permaisuri zahir takziah pemergian Tan Sri Zaleha Ismail

SHAH ALAM, 15 NOV: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor menzahirkan ucapan takziah atas pemergian Tan Sri Datin Paduka Seri Zaleha Ismail malam tadi.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Tengku Permaisuri Norashikin dalam titah baginda menyifatkan Allahyarhamah sebagai tokoh pemimpin wanita tersohor yang banyak berjasa kepada rakyat.

Baginda berdua bertitah Allahyarhamah yang juga bekas menteri perpaduan dan pembangunan masyarakat dari 1995 hingga 1999 pernah menjadi wakil rakyat Permatang, Selangor pada 1978 dan ahli parlimen Gombak pada 1987.

DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin (kanan) berkenan menerima menghadap Tan Sri Datin Paduka Seri Zaleha Ismail di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam pada 15 Mac 2018. Foto Facebook Selangor Royal Office

“Sikap Allahyarhamah yang mudah mesra dan peramah menyebabkan ramai yang menyenanginya sehingga beliau pernah dilantik sebagai penaung kehormat Persatuan Ibu Tunggal Selangor.

“Semoga roh Allahyarhamah ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman,” titah baginda melalui Facebook Selangor Royal Office.

Baginda bertitah Allahyarhamah dikurniakan Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Selangor pada 1980 dan Seri Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada 2001 yang membawa gelaran Datin Paduka Seri.

Zaleha yang dilahirkan di Kuala Langat pada 18 Mei 1936 menghembuskan nafas terakhir di Hospital Pakar KPJ Tawakkal, Kuala Lumpur kira-kira jam 8.15 malam tadi.

Sebelum aktif dalam politik, Allahyarhamah pernah bertugas di Radio Malaya sebagai pembantu rancangan dan pegawai ensiklopedia di Dewan Bahasa dan Pustaka.

Categories
AGENDA NASIONAL

MB, Anwar ucap takziah Pemergian Tan Sri Dr Abdul Rahman

SHAH ALAM, 16 OGOS: Dato’ Menteri Besar menyampai ucapan takziah kepada keluarga tokoh pendidikan negara Allahyarham Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad yang meninggal dunia hari ini.

“Innalillahi wa inna ilaihi raji’uun. Hiba dan pilu menerima berita pemergian Allahyarham Tan Sri Rahman Arshad, tokoh pendidikan negara.

“Satu nama yang sinonim dengan pembangunan sektor pendidikan di Malaysia. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Twitter.

Ucapan sama turut disampaikan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Facebooknya.

“Hari yang amat sedih bagi saya tatkala guru saya dan mantan Ketua Pengarah Pendidikan Tan Sri Abdul Rahman Arshad telah kembali menemui Ilahi awal pagi tadi.

“Saya berkesempatan mengunjungi beliau beberapa minggu yang lalu. Mendoakan kekuatan dan kecekalan buat keluarga saat ditimpa ujian ini,” katanya.

Abdul Rahman, 83, pernah dilantik sebagai Pro-Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 15 Disember 2002.

Universiti itu dalam kenyataan hari ini berkata Allahyarham disahkan meninggal dunia kira-kira 10.45 pagi tadi di kediamannya di Taman Ampang Utama, Ampang, Selangor.

Jenazah akan disolatkan di Masjid Jamiul-Huda, Jalan Pinang, Kampung Melayu, Ampang, sebelum dikebumikan di Kampung Air Limau, Melaka.

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong, Permaisuri zahir takziah kepada keluarga Adun Chini

KUALA LUMPUR, 7 MEI: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Datuk Seri Abu Bakar Harun, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata Seri Paduka berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham ke rahmatullah dan berharap agar seluruh keluarga Allahyarham sabar dan tabah menghadapi dugaan dan suasana pilu itu.

“Jasa, khidmat serta bakti Allahyarham sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Pahang amat dihargai oleh Seri Paduka Baginda berdua,” katanya dalam satu kenyataan Istana Negara hari ini.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah mendoakan agar roh Allahyarham dirahmati Allah SWT dan ditempatkan bersama solihin.

Abu Bakar, 60, meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur dipercayai akibat serangan jantung, awal pagi tadi.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengesahkan pemergian Allahyarham dalam catatan di Facebook dan Instagram rasminya.

Jenazah Abu Bakar akan dibawa pulang dari Kuala Lumpur untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Felda Chini lewat pagi ini.

Allahyarham Abu Bakar meninggalkan isteri Datin Seri Razana Fatin Abdullah@Razali dan difahamkan dua orang anak, hasil perkahwinan pertama arwah.

Abu Bakar merupakan penyandang kerusi DUN Chini sejak 2004.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB ucap takziah tragedi anggota polis maut ketika bertugas

SHAH ALAM, 3 MEI: Dato’ Menteri Besar mengucapkan takziah kepada keluarga Koperal Safwan Muhammad Ismail, anggota polis yang maut ketika bertugas menjaga sekatan jalan raya (SJR) Op Covid-19 awal pagi tadi.

“Takziah diucapkan kepada keluarga Allahyarham Koperal Safwan yang terkorban ketika bertugas di SJR pagi ini. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan di syurga penuh nikmat,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari di Twitter hari ini.

Awal pagi tadi, Safwan, 31, anggota Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang meninggal dunia selepas dirempuh pemandu disyaki mabuk di Plaza Tol Kajang Selatan Lebuhraya Lekas.

Kejadian jam 2.11 pagi berlaku apabila pemandu Toyota Hilux yang datang dari arah Kajang menuju plaza tol berkenaan hilang kawalan hingga merempuh mangsa dan kenderaan polis di tepi jalan.

Berikutan itu, Safwan mengalami kecederaan parah di kepala dan badan. Jenazah akan dikebumikan di Ulu Kinta, Perak.

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong dan Permaisuri ucap takziah kepada keluarga TPM

KUALA LUMPUR, 10 DIS: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah merakamkan ucapan takziah kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan keluarga atas pemergian bapanya, Datuk Dr Wan Ismail Wan Mahmood.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata Seri Paduka berdua yang kini berada di London, untuk rangka lawatan khas ke United Kingdom sehingga 16 Dis, berharap Dr Wan Azizah dan seluruh keluarga tabah menghadapi suasana pilu ini.

“Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham dirahmati Allah S.W.T dan ditempatkan bersama solihin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Ismail, 93, meninggal dunia pada 2.30 pagi tadi akibat sakit tua.

Allahyarham meninggalkan isteri Datin Mariah Khamis, empat anak perempuan termasuk Dr Wan Azizah dan seorang anak lelaki.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB ucap takziah pemergian Tan Sri Hassan Azhari

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 7 OKT: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menzahirkan ucapan takziah buat keluarga Tokoh Agama, Allahyarham Tan Sri Hassan Azhari.

“Innalillah. Tan Sri Hassan Azhari, nama yang sinonim dengan perkembangan syiar Islam dan Al Quran di Malaysia telah menghembuskan nafas terakhir jam 5.07 petang.

“Beliau juga dikenali sebagai orang yang melaungkan azan ketika 31 Ogos 1957.

Semoga roh beliau dicucuri rahmat. Al Fatihah,” tulis Amirudin menerusi Twitternya.

Terdahulu, Allahyarham dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur, Ahad lalu selepas disahkan menghidap kanser limfoma tahap empat.

Beliau pendidik terkenal dalam rancangan Muqaddam pada awal 1970-an di saluran RTM selain menjadi individu yang melaungkan azan ketika kemerdekaan negara Malaysia pada 31 Ogos 1957.

Allahyarham juga adalah hakim Pertandingan Tilawah al-Quran yang paling lama berkhidmat dalam negara iaitu hampir 46 tahun.

Tiga anak lelakinya dikenali ramai iaitu Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Klang Datuk Fuad Hassan dan pelakon terkenal, Datuk Jalaluddin Hassan.

Difahamkan, Allahyarham akan dikebumikan di Makam Diraja Shah Alam, di Persiaran Kayangan, Seksyen 5, Shah Alam, Selangor, atas titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Categories
NASIONAL

Serangan bom Jakarta: Ketua Pembangkang ucap takziah

SHAH ALAM 14 JAN: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengecam siri letupan bom di Jakarta, Indonesia yang mengakibatkan enam terbunuh setakat ini.

“Kejadian ini cukup mengharukan, dan saya bersama Ahli-Ahli Parlimen Pembangkang mengecam sekeras-kerasnya tindakan keganasan ini yang juga merupakan satu jenayah kemanusiaan.

1477640_10153862083516797_6465354867592185848_n“Kami berharap agar pihak berkuasa Indonesia akan dapat menangkap penjenayah dan pembunuh yang terlibat agar mereka segera dihadapkan ke muka pengadilan,” katanya dalam kenyataan.

Wan Azizah yang juga Presiden KEADILAN merakamkan takziah buat semua keluarga mangsa serangan tersebut.

“Saya berdoa agar Presiden Joko Widodo dan rakyat Indonesia akan diberi kesabaran dan kekuatan oleh Allah SWT untuk menghadapi dugaan di saat yang cukup getir ini,” kata Ahli Parlimen Permatang Pauh itu.

Sebelum ini, tidak jelas siapa yang menjadi dalang disebalik serangan di Jakarta itu yang mirip serangan di Paris.

Beberapa media melaporkan letupan itu disebabkan bom grenade dan bukan dilakukan pengebom berani mati.

EZY

Categories
SELANGOR

MB ucap takziah keluarga Rafidah Aziz pemergian suami

SHAH ALAM 1 JUN: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengucapkan Takziah kepada Tan Sri Rafidah Aziz dan keluarga atas pemergian suami beliau, Allahyarham Tan Sri Muhammad Basir awal pagi tadi.

Abdul Khalid menyampaikan ucapan takziah itu melalui laman twitternya.

tansriAllahyarham Tan Sri Mohamed Basir Ahmad, meninggal dunia pada pukul 3.51 pagi Ahad di Hospital Besar Singapura.

Jenazahnya akan dibawa pulang dari Singapura dan akan dibawa ke Masjid Umar Al-Khattab, Bukit Damansara untuk disembahyangkan, sebelum dikebumikan selepas solat Asar di Tanah Perkuburan Bukit Kiara.

Mohamed Basir menjadi pengerusi Maybank selama 16 tahun, bermula sebagai
pengarah pada 5 Ogos 1993 selepas berkhidmat sebagai penasihat Bank Negara
Malaysia sejak 1980.

Beliau dilantik sebagai pengerusi Maybank pada 9 Oktober 1993.

EZY