Categories
NASIONAL

Azmin-Rafizi tampil bersama sidang media Presiden KEADILAN

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

PETALING JAYA, 21 SEPT: Penampilan dua calon Timbalan Presiden Keadilan, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan Rafizi Ramli pada sidang media khas Ketua Umum KEADILAN, hari ini jelas menunjukkan kedua pemimpin itu sebenarnya tidak bertikam lidah.

Sambil mengadakan perbincangan bersama sementara menunggu ketibaan Datuk Seri Anwar Ibrahim, mereka dilihat mesra dan saling melontarkan senyuman di hadapan kira-kira 100 petugas media yang bersiap sedia membuat liputan sidang media itu.

Hal itu, sekali gus menepis dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan parti terbabit sedang mengalami pergolakan ekoran mereka berdua.

“Kami sedang berbincang,” kata Mohamed Azmin.

Antara yang turut kelihatan adalah beberapa pimpinan KEADILAN iaitu calon Ketua Angkatan Muda (AMK), Dr Afif Bahardin dan Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid.

Categories
NASIONAL

Azmin yakin rakyat Kedah bijak buat pilihan

OLEH SABIRAH AZIZ

GURUN, 5 JAN: Rakyat Kedah boleh menikmati pelbagai program kebajikan seperti yang dinikmati rakyat Selangor menerusi Inisiati Peduli Rakyat (IPR) sekiranya Pakatan Harapan (PAKATAN) mengambil alih negeri jelapang padi itu.

Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, beliau tidak berhasrat mengajar rakyat Kedah sebaliknya yakin mereka bijak membuat keputusan terbaik dalam pilihanraya akan datang.

“Saya yakin rakyat Kedah cukup matang menentukan masa depan mereka, maka saya kongsikan apa yang Selangor buat hari ini.

“Pelbagai manfaat diberikan Kerajaan Negeri kepada rakyat Selangor, jadi saya juga mahu rakyat Kedah turut mendapat manfaat sama seperti rakyat Selangor.

“Justeru itu, rakyat Kedah mesti memilih Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 14 kali ini,” katanya dalam siri Jelajah Keadilan Peduli Rakyat, di sini, pagi tadi.

Keadaan hujan dilokasi jelajah tidak mematahkan semangat Mohamed Azmin untuk terus menyantuni rakyat.

Dalam program itu, beliau yang juga Dato’ Menteri Besar Selangor turut menyampaikan sumbangan kepada anak yatim dan mangsa kebakaran di kawasan itu.

Program Jelajah Keadilan Peduli Rakyat Kedah dan Perlis berlangsung dua hari bermula Jumaat hingga Sabtu.

Antara kawasan terlibat adalah Gurun, Sidam, Bukit Selambau, Lunas, Kulim, Kuala Kedah dan Kangar bagi mendekati rakyat melalui program minum pagi bersama anak muda, sukan rakyat dan sumbangan.

Categories
NASIONAL

MB rakam takziah pemergian Pak Jabit

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 7 SEPT: Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali merakamkan takziah kepada keluarga aktivis KEADILAN Pahang, Man Kadir Shamsi yang meninggal dunia pagi ini.

Allahyarham yang lebih dikenali sebagai Pak Jabit meninggal dunia ketika sedang mendapatkan rawatan kecemasan di Klinik Kesihatan Lanchang di sini jam 7.10 pagi ini.

Mohamed Azmin yang juga Dato’ Menteri Besar Selangor turut menzahirkan rasa sedihnya dan mendoakan allahyarham mendapat husnul khatimah.

“Sedih menerima khabar pemergian aktivis KEADILAN Pahang, Man Kadir atau Pak Jabit.

“Saya mendoakan almarhum mendapat husnul khatimah,” tulisnya di Twitternya.

Terdahulu, berita kematian pelakon filem Hantu Kak Limah itu dimaklumkan salah seorang anaknya menerusi akaun Facebook dan dikongsi rakannya pagi ini.

Allahyarham akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Rantau Panjang di sini selepas solat zohor hari ini.

Sebelum ini, Pak Jabit terkenal menerusi lakonannya dalam filem-filem komedi arahan Mamat Khalid antaranya Man Laksa, Zombi Kampung Pisang dan Hantu Kak Limah Balik Rumah.

Categories
NASIONAL

Usaha cari jalan terbaik

OLEH HAFIZAN TAIB

BATU CAVES, 18 OGOS: Pertemuan dengan pimpinan PAS adalah usaha diputuskan KEADILAN bagi mencari jalan penyelesaian terbaik berkait kerjasama dengan parti berkenaan dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14).

Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, bagaimanapun pertemuan yang belum ada sebarang keputusan itu tiada kaitan dengan Pakatan Harapan (HARAPAN).

“Ia tiada kaitan dengan HARAPAN kerana saya tidak boleh mengadakan perbincangan mewakili HARAPAN.

“Ia adalah tindakan diputuskan KEADILAN untuk terus mengadakan perbincangan dengan PAS,” katanya kepada media selepas majlis penyerahan lembu korban sempena Aidiladha peringkat Selangor di Masjid Selayang Baru, di sini, hari ini.

Dato’ Menteri Besar Selangor itu berkata, sebarang pertemuan atau perbincangan dengan pimpinan PAS mengenai perkara berkaitan adalah inisiatif diambil KEADILAN bagi mewujudkan kerjasama dengan parti berkenaan.

Categories
NASIONAL

Najib amal politik takutkan rakyat – Azmin

OLEH ERMIZI MUHAMAD

BATU CAVES, 12 OGOS : Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengamalkan politik sempit dengan memainkan sentimen bersifat ‘propaganda’ bagi menakut-nakutkan rakyat, kata Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, kenyataan Najib kononnya langkah menukar Kerajaan Persekutuan sedia ada tidak mampu menyelesaikan kemelut negara ini adalah tidak tepat.

Katanya, kredibiliti pimpinan Pakatan mengurus tadbir Selangor dan Pulau Pinang menjadi contoh terbaik bahawa peralihan pentadbiran kepada Pakatan mampu membawa perubahan positif kepada negara.

AZMIN ALI (1)“Pulau Pinang dan Selangor sudah membuktikan bahawa langkah menukar kerajaan adalah penyelesaian terbaik.

“Rakyat mengharapkan pemimpin bersih yang mampu melawan rasuah dan kerajaan intergriti.

“Ini sudah dibuktikan di Selangor, kalau kita boleh tadbir Selangor dengan kejayaan, saya percaya Putrajaya juga mampu kita tadbir,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada penganjuran Karnival Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) di Padang Awam, Kampung Baru Batu Caves, Gombak, pagi ini.

Terdahulu, Perdana Menteri ketika berucap pada majlis di Lipis baru-baru ini menegaskan langkah menukar kerajaan bukanlah jaminan penyelesaian terbaik kepada semua masalah.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan mendakwa, kononnya pertukaran pentadbiran Kerajaan hanya akan mengundang lebih banyak masalah dan memudaratkan ekonomi negara.

Bagaimanapun, Mohamed Azmin menegaskan, pentadbiran Pakatan di Selangor misalnya menjadi penandas aras terbaik dengan kemajuan pertumbuhan ekonomi negeri di bawah Kerajaan Pakatan.

“Kita kekal sebagai pengeluar KDNK tertinggi negara, malah dalam RM1 wang rakyat Pekan, 20 sen itu datangnya dari kejayaan ekonomi Selangor,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Azmin rujuk formula Anwar tawan Putrajaya

OLEH ERMIZI MUHAMAD

ALOR SETAR, 26 MAC : Formula yang pernah dilaksanakan bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengetuai Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 lalu membolehkan komponen pembangkang memperoleh kemenangan besar.

Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mendedahkan, permuafakatan semua gabungan membolehkan pembangkang merealisasikan pelaksanaan formula itu sekali gus membolehkan Pakatan menerajui kepimpinan di Putrajaya.

“Dasar satu lawan satu bermaksud dalam kalangan pembangkang untuk lawan calon Barisan Nasional (BN) di semua kerusi.

AZMIN KONVENSYEN (1)“Walaupun perkara ini senang didengar, tapi ia sebenarnya sukar dilaksana. Sebagai pemimpin, inilah cabaran kita untuk meletakkan kepentingan negara mengatasi kepentingan peribadi.

“Syaratnya satu lawan satu mesti dilakukan untuk lawan BN dan menawan Putrajaya,” katanya.

Katanya, formula itu telah menghasilkan kejayaan besar pada PRU lalu apabila Pakatan waktu itu meraih undi popular 52 peratus.

“Kita perlu bersabar sedikit. Anwar ketika di luar pun itulah peranan yang dimainkan beliau.

“Walaupun diherdik, namun tokoh pemimpin itu ‘telan’ kerana Anwar tahu rangka gabungan itu boleh menumbangkan Umno,” katanya.

Terdahulu, Mohamed Azmin berucap pada Konvensyen KEADILAN Majlis Perwakilan Negeri Kedah dan Perlis di Hotel Fuller, di sini.

PRU13 lalu menyaksikan Pakatan menang 89 kerusi Parlimen dan 230 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berbanding BN 133 kerusi Parlimen tetapi hilang tujuh kerusi daripada 140 pada PRU ke-12.

Bagi undi keseluruhan pula, Pakatan berjaya mendapat 5.5 juta undi berbanding BN 5.2 juta sahaja.

Walaupun di atas kertas BN menang dengan 133 kerusi Parlimen, hakikatnya rakyat menolak parti itu berdasarkan peratusan jumlah undi yang diberikan kepada Pakatan.

Bagaimanapun, jika Malaysia mengamalkan kaedah yang diguna pakai di luar negara iaitu ‘Propotional Representation’ (PR), bermakna secara jelas Pakatan sudah pun berjaya membentuk Kerajaan Persekutuan.

-nR-

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Putrajaya jangan bertindak emosi, jelaskan situasi sebenar

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 8 MAC: Kerajaan Persekutuan diminta memberikan penjelasan situasi sebenar dihadapi Malaysia dan Korea Utara ekoran situasi yang semakin tegang ketika ini.

Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, perancangan teliti juga perlu dibuat bagi memastikan warganegara Malaysia berada di sana dibawa pulang dengan selamat.

“Putrajaya perlu bertanggungjawab memberi penjelasan khususnya kepada ahli-ahli parlimen, kita ingin tahu apakah sebenarnya yang berlaku dan mengapa tindakan diambil tanpa perancangan lebih teratur.

AZMIN“Harap penjelasan dapat diberikan dalam tempoh terdekat dan kita harus memastikan semua usaha mesti diambil untuk membawa balik warganegara Malaysia yang kini berada di sana,” katanya ketika ditemui, di sini.

Dato’ Menteri Besar itu juga berkata, Kerajaan Persekutuan tidak seharusnya mengambil tindakan beremosi yang memberi kesan kepada rakyat Malaysia.

Katanya, perancangan juga perlu diteliti bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih tegang.

“Sekarang keadaan makin tegang. Sudah tentu keutamaan kita memastikan bawa pulang warganegara kita di Korea Utara. Kaedahnya hendaklah dirancang dan disusun dengan betul.

“Kita tidak mahu Putrajaya mengambil tindakan secara beremosi yang akhirnya akan memberi kesan kepada rakyat Malaysia yang berada di sana,” katanya.

Beliau berkata langkah diplomatik sepatutnya diambil kira lebih awal sebelum keadaan tegang seperti kini.

-nR-

Categories
NASIONAL

PAS berhak berhimpun seperti dijamin perlembagaan

OLEH NAZLI IBRAHIM

AMPANG, 12 JAN: Semua pihak mempunyai hak mengadakan perhimpunan aman seperti dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan, kata Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Jelas beliau, ini termasuklah perhimpunan aman Himpunan Mega RUU 355 (Rang Undang-undang 355) anjuran PAS pada 18 Febuari nanti.

“Kita telah menyatakan pendirian kita mengenai RUU ini dan sekiranya PAS berhasrat mengadakan perhimpunan itu adalah hak mana-mana individu atau organisasi mengadakan perhimpunan aman.

“Pendirian kita telah kita nyatakan berulang kali,” katanya.

Mohamed Azmin yang juga Dato’ Menteri Besar Selangor itu berkata demikian kepada media selepas mengadakan lawatan tapak projek menaiktaraf sistem saliran di Sekolah Kebangsaan Hulu Kelang, semalam.

Jelasnya, KEADILAN akan mengadakan perbincangan sekiranya terdapat jemputan untuk menyertai perhimpunan itu nanti.

“Setakat ini saya belum dimaklumkan dan saya kira mereka juga sedang mengenalpasti lokasi. Kita akan bincang dalam parti tentang penyertaan kita,” katanya lagi.

-nR-

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Ruang rayuan masih ada, penjarakan Rafizi tak luntur semangat tegak keadilan

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 14 NOV: Masih ada ruang bagi Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Rafizi Ramli mengemukakan rayuan terhadap Keputusan Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur yang menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan ke atas beliau.

Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata beliau berharap semoga Rafizi dalam rayuannya nanti akan dibebaskan daripada pertuduhan ini sekali gus dapat bersama meneruskan perjuangan menegakkan keadilan.

“Saya percaya pihak peguam akan mengemukakan rayuan ke atas keputusan tersebut dan itu adalah proses yang dibolehkan untuk Yang Berhormat Rafizi membela diri.

azmin-parlimen“Keputusan hari ini bukan satu keputusan muktamad kerana beliau boleh lagi menggunakan ruang Mahkamah Rayuan bagi menegakkan keadilan dan itu dibenarkan undang-undang,” katanya kepada media di Lobi Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen di sini, hari ini.

Beliau yang juga Dato’ Menteri Besar Selangor percaya isu didedahkan Rafizi itu bukan bertujuan menggugat keselamatan negara tetapi demi membongkar isu penyelewengan pengurusan kewangan kerajaan yang mampu melemahkan ekonomi negara.

Katanya, pemenjaraan Rafizi itu juga tidak akan melemahkan semangat KEADILAN dan rakan seperjuangan lain untuk meneruskan perjuangan.

“Ini tidak akan melemahkan semangat kita untuk terus berjuang. Kita cukup yakin dengan perjuangan KEADILAN adalah untuk menegakkan keadilan serta kebenaran dan saya percaya hukuman ini akan memperkukuhkan lagi perpaduan dan kekuatan dalam parti untuk meneruskan perjuangan,” katanya lagi.

Hari ini, seorang lagi menjadi mangsa skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) apabila Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan ke atas Rafizi atas tuduhan melanggar Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Berdasarkan kertas pertuduhan Rafizi didakwa memiliki secara salah halaman 98 laporan Ketua Audit Negara berkaitan 1MDB yang melanggar Seksyen 8(1)(c)(iii) OSA 1972.

Rafizi juga dituduh mengedarkan dokumen sulit tanpa kebenaran di lobi parlimen pada 28 Mac dan didakwa melanggar Seksyen 8(1)(e)(iv) akta sama.

-nR-

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Wahai isteri pemimpin, contohilah Tun Dr Siti Hasmah

OLEH ERMIZI MUHAMAD

BERA, 3 OKT: Isteri pemimpin di negara ini perlu menjadikan Tun Dr Siti Hasmah sebagai ikon dan contoh terbaik untuk terus mendukung pembinaan negara yang lebih sejahtera.

Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, sepanjang 23 tahun mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memerintah negara, imej Siti Hasmah disifatkan lebih bersih di mata seluruh rakyat Malaysia.

“Lihat Tun Dr Siti Hasmah, 23 tahun jadi isteri Perdana Menteri tetapi tidak ambil satu kontrak pun.

“Beliau sentiasa bersama Tun Mahathir mendukung aspirasi pentadbiran negara dan membangunkan Malaysia, tidak seperti yang seorang itu sanggup tumpang suami (atas jawatan) dan kaut hasil negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada siri jelajah 1Malaysia Development di Simpang Kepayang, di sini malam tadi yang turut dihadiri Tun Mahathir dan Tun Siti Hasmah.

img_20161002_222848_892Siti Hasmah sebelum ini sinonim dalam kalangan masyarakat Malaysia sebagai individu yang cukup disenangi dengan imej bersih dan tidak pernah terpalit dakwaan negatif.

Tanpa mencampuri urusan Tun Mahathir ketika tampuk pemerintahan dipegang suaminya, Tun Siti Hasmah lebih banyak terlibat dalam program kerakyatan dan pembangunan sosial di seluruh negara.

Atas komitmen itu, beliau menerima pengiktirafan menerusi Anugerah Khas Srikandi Negara susulan khimdat baktinya dalam pendidikan yang menyumbang kepada kelangsungan penyampaian ilmu pengetahuan kepada masyarakat.

-AA-

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor model muafakat hadapi PRU, tumbang Umno BN – Azmin

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SABAK BERNAM, 3 SEPT : Selangor menjadi contoh permuafakatan terbaik membabitkan penyatuan komponen gabungan pembangkang di seluruh negeri.

Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata penyatuan tersebut diyakini mampu mengorak langkah menumbangkan Umno Barisan Nasional, menjelang pilihanraya depan.

“Sebagai sebuah kerajaan peduli rakyat, kita melihat bagaimana Selangor itu menjadi model permuafakatan baru untuk menghadapi pilihanraya.

“Sememangnya kita tiada pilihan lain membentuk muafakat agung dengan matlamat sama menolak Umno BN,” katanya.

JELAJAH 1MDBBeliau bercakap pada Program Jelajah 1MDB di Stadium Mini Sabak Bernam, dengan kehadiran lebih 500 hadirin.

Hadir sama, Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua, Shamsul Iskandar dan Dr Xavier Jayakumar.

Dalam perkembangan itu, bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut hadir, sebagai penggerak utama pelaksanaan program berkenaan.

Bercakap lanjut, Mohamed Azmin yang juga Dato’ Menteri Besar berkata, penyatuan komponen pembangkang turut membuka lembaran baru kepada harapan rakyat terhadap pentadbiran telus dan bersiih.

“Kita mahu semua parti politik pembangkang menjadi rakan kita untuk menyerang BN.

“Saya percaya, jika kita tidak menyusun strategi dengan baik, kejahatan disusun rapi itu akan tumpaskan kebaikan yang kita bina,” katanya.

-nR-

Categories
NASIONAL

Azmin tidak tahu penubuhan parti baru Muhyiddin

OLEH AFIX REDZUAN

DENGKIL, 8 OGOS: Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali memaklumkan beliau tidak mempunyai sebarang butiran berkenaan parti baru yang bakal ditubuhkan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, parti itu bukan di bawah kendaliannya, malah menafikan wujudnya perbincangan antara penganjur parti baru itu dengan parti pembangkang.

“Tak tahu, tak ada bincang. Bukan parti saya macam mana saya nak tahu.

“Parti saya Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), saya rapat dengan semua orang satu Malaysia,” katanya ringkas.

Memetik laporan portal Malaysiakini, mantan ketua pengarang New Straits Times, Datuk A Kadir Jasin berkata, adalah tidak adil menuduh Muhyiddin membelakangkan kepelbagaian budaya dengan membuka keahlian hanya kepada bumiputera dalam parti baru yang akan ditubuhkannya.

Katanya, langkah itu adalah strategik supaya tidak bertembung dengan parti lawan BN yang berlatar belakang pelbagai kaum dan perbincangan dengan parti pembangkang lain menunjukkan ‘tanda-tanda positif’.

Minggu lalu, Kadir juga mengesahkan bahawa keanggotaan parti yang bakal ditubuhkan Muhyiddin hanya akan dibuka kepada masyarakat Melayu dan bumiputera sementara bekas Perdana Menteri,  Tun Dr Mahathir Mohamad akan menjadi pengerusi parti, manakala Muhyiddin sebagai presiden.
-AA-