Categories
NASIONAL

Hanya Umno mahu Kit Siang jadi PM

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PETALING JAYA, 15 OKT: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng secara sinis berkata, hanya Umno mahukan pimpinan DAP menjadi Perdana Menteri sekiranya Pakatan berjaya menawan Putrajaya.

Beliau berkata, parti itu mengeluarkan kenyataan tidak masuk akal dan sengaja mahu mencetuskan provokasi dan kebimbangan umum.

Kata Guan Eng, realitinya dakwaan itu adalah tidak benar dan bertujuan untuk memburuk-burukkan gabungan Pakatan Harapan yang turut dianggotai DAP.

“Mereka (Umno) cakap Perdana Menteri baru selepas Najib adalah Lim Kit Siang. Sedangkan Lim Kit Siang sudah nafikan, bukan dia.

“Tun Dr Mahathir cakap, bukan dia dan semua cakap bukan mereka tetapi hanya Umno mahu Lim Kit Siang jadi Perdana Menteri,” sindirnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada himpunan antikleptokrasi – Sayangi Malaysia Hapuskan Kleptokrasi bertempat di Padang Timur, Petaling Jaya, malam tadi.

Guan Eng berkata, Umno juga mendakwa kononnya DAP sebagai sebuah parti komunis yang mempunyai pengaruh Chin Peng.

Menafikan dakwaan itu, Ahli Parlimen Bagan itu menyarankan supaya Parti Ketuanan Melayu itu merujuk semula sejarah kedatangan pemimpin Parti Komunis Malaya berkenaan.

“Mereka kata DAP adalah komunis. Chin Peng adalah keluarga kepada Lim Kit Siang dan saya adalah anak saudara Chin Peng.

“Kenyataan ini tidak masuk akal! Nama keluarga saya Lim dan bukannya Chin. Kenapa kata kami sekeluarga?” katanya.

Terdahulu, tafsiran negatif mengenai dakwaan itu tersebar luas di media sosial mengaitkan DAP sebagai sebuah parti bersifat perkauman yang bakal mengenepikan hak Bumiputera sekiranya berjaya mentadbir negara.

Provokasi itu dipercayai dilakukan individu tertentu dengan harapan kononnya mampu mengoyahkan kepercayaan rakyat terhadap parti itu.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Provokasi Jamal tiada restu Umno

KUALA LUMPUR, 6 OKT: Bukan sahaja dikecam kerana membuat provokasi di hadapan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri, malah tindakan Datuk Seri Jamal Md Yunos turut dikritik pimpinan kanan Umno.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perbuatan Ketua Umno Sungai Besar itu memecahkan botol minuman keras di hadapan pejabat Kerajaan Selangor, semalam tidak direstui parti.

“Kami tidak sokong perbuatannya. Beliau juga pengerusi NGO (badan bukan kerajaan) dan seorang daripada ketua bahagian kami.

“Satu daripada 191 (bahagian), lagi 190 tidak pecahkan apa-apa,” katanya lapor BHOnline.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN mengenai Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan ke-10, di sini, hari ini.

Semalam, Jamal bersama anggota gabungan itu membawa 10 kotak berisi kira-kira 100 botol minuman keras ke SUK, sebagai simbolik bantahan terhadap penganjuran pesta arak di negeri berkenaan.

Jamal kemudian bertindak memecahkan semua botol minuman keras itu di depan pintu masuk utama bangunan terbabit.

Ekoran tindakan itu, polis menahan Jamal dan tujuh individu lain selepas menerima laporan kejadian daripada pengawal keselamatan.

Categories
KENYATAAN MEDIA

Jangan jadikan sekolah medan berpolitik

Semalam hangat diperkatakan umum apabila sebuah sekolah rendah di Putrajaya telah mengadakan pertandingan dan persembahan bertemakan Umno yang menyaksikan murid-murid sekolah meneriakkan slogan ‘Hidup Umno’, mengibarkan bendera serta menyanyikan lagu parti itu.

Majlis tersebut dihadiri sendiri oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang juga Ahli Parlimen Putrajaya merangkap Setiausaha Agung Umno.

Sebelum ini, Kementerian Pendidikan dengan tegas mengeluarkan arahan agar sekolah tidak dibenarkan sama sekali untuk dijadikan medan berpolitik.

1. Program yang diadakan di sebuah sekolah rendah ini menjadi sebahagian tindakan terdesak Umno secara terang-terangan dengan helah politik di sebalik pertandingan yang dianjurkan.

Tiada keperluan untuk diadakan program sedemikian rupa memandangkan terdapat banyak lagi tempat yang bersesuaian untuk mempromosikan parti politik.

Menteri Umno dilihat dangkal kerana tidak tahu membezakan antara kerajaan dan parti, di mana kerajaan sendiri didokong oleh rakyat dan bukannya parti.

2. Kami melihat anak-anak kecil yang naif tentang politik telah menjadi mangsa sang penguasa di dalam program ini.

Adakah hanya Umno sahaja boleh menggunakan segala kemudahan rakyat sewenang-wenangnya demi kepentingan parti?

3. Jika alasan sejarah mahupun atas semangat bulan kemerdekaan sekalipun, program seumpama ini telah dijalankan pada setiap tahun sepanjang bulan Ogos.

Sedangkan kerajaan sendiri berpendirian bahawa tidak boleh mempolitikkan premis awam dan perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku kerana bercanggah serta melampau.

4. Guru selaku penjawat awam yang berbakti di sekolah sebagai pendidik anak bangsa telah menjadi ‘mangsa’ yang menuruti segala arahan oleh pihak atasan.

Rata-rata guru yang terlibat sememangnya kurang senang dan tidak bersetuju dengan tema program yang dianjurkan. Dilihat hanya Guru Besar sahaja menyokong penuh kepada program ini.

Maka kami daripada Pakatan Harapan Putrajaya dengan ini membuat bantahan sekeras-kerasnya keatas program sedemikian serta mendesak supaya amalan ini dihentikan segera kerana penjawat awam tertakluk kepada undang-undang perkhidmatan awam yang melarang sebarang program berbentuk kepartian di premis milik kerajaan.

5. Sewajarnya guru-guru yang dipertanggungjawabkan mendidik anak bangsa tidak sepatutnya dilibatkan dalam program yang memihak parti kerajaan kerana pekeliling yang dikeluarkan jelas menyebut program sebegitu tidak dibenarkan sama sekali melibatkan pegawai kerajaan yang gaji mereka dibayar oleh rakyat.

Kami menyeru agar pendidikan di sekolah lebih menekankan kepada sikap patriotik yang mengutamakan kepentingan negara berbanding fahaman sempit menyokong parti-parti tertentu. Sikap sebegini boleh menimbulkan suasana perpecahan di kalangan masyarakat dalam negara yang kita cintai.

Sekian.

PAKATAN HARAPAN PUTRAJAYA

Onn Abu Bakar
Ketua Cabang
Parti KEADILAN Rakyat (KEADILAN) Putrajaya

Haji Kamal Koh
Ketua Kawasan
Parti Amanah Negara (AMANAH) Putrajaya

Haji Hasnul Hadi Ahmad
Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Putrajaya

Categories
NASIONAL

Sikap angkuh Menteri Umno berpolitik dalam sekolah wajib dibantah

SHAH ALAM 4 OKT: Sikap melampau Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor sehingga tergamak berpolitik di dalam sebuah sekolah melibatkan pelajar dan guru wajar dikecam.

Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, ini adalah sikap bongkak dari Setiausaha Agung Umno kerana beliau tahu tiada siapa di dalam parti itu atau dalam kerajaan yang berani menegur atau mengambil tindakan terhadapnya.

Katanya, lebih mendukacitakan apabila pelajar turut dikerah mengibarkan bendera Umno dan memakai pakaian mengikut tema Puteri dan Wanita Umno.

“Selepas enam dekad negara merdeka, adakah ini budaya politik sihat yang dibawa oleh sebuah parti pemerintah yang tidak segan silu menggunakan premis pendidikan untuk kepentingan politik sempit Umno?

“Malah dalam satu video yang tular, jelas Menteri Umno itu menyeru para guru supaya menyertai Umno. Tetapi saya memahami sikap terdesak ini berpunca daripada kebimbangan Umno yang semakin terhakis kepercayaan rakyat untuk menghadapi pilihan raya,” katanya dalam kenyataan media.

Beliau berkata sekolah perlu dihormati sebagai tempat untuk pelajar dan guru bersama-sama memenuhi keperluan pendidikan dalam Pengajaran dan Pembelajaran (P&P).

“Malanglah jika perkara asas seperti ini gagal difahami baik menteri Umno ini. Kerajaan sepatutnya pulihkan sistem pendidikan negara yang semakin caca-merba sehingga menyusahkan pelajar dan guru, bukannya sibuk bawa agenda sempit politik ke dalam sekolah.

“Saya mendesak Umno memohon maaf di atas sikap berpolitik keterlaluan seperti dibuat Datuk Seri Tengku Adnan ini,” katanya.

Dr Mariah berkata ibu bapa dan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) juga patut menyatakan bantahan terhadap sikap jumud Umno yang menjadikan sekolah tempat berkempen dan pentas ceramah politik.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Umno boleh lupakan impian ingin lihat Selangor muflis

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 11 SEPT: Dakwaan pemimpin Umno kononnya Selangor akan muflis apabila PAKATAN mengambilalih pentadbiran Kerajaan Negeri pada 2008 ternyata kata-kata politik untuk menakutkan rakyat.

Bekas Timbalan Pengarah Bank Negara Malaysia (BNM), Dr Rosli Yaakob, berkata, perkara itu dapat dilihat apabila selepas dua penggal mentadbir, Kerajaan Negeri hari ini berjaya membawa pembangunan lebih pesat dalam pelbagai aspek khususnya meningkatkan ekonomi untuk kesejahteraan rakyat.

“Itu hanyalah kata-kata politik. Kalau ada negeri yang muflis di Malaysia ini, Selangor bukan negeri dalam senarai tetapi teratas sekali dalam senarai kemungkinan muflis tak kiralah siapa pun perintah adalah Perlis. Selangor tak mungkin berada dalam senarai negeri boleh muflis apabila ditadbir PAKATAN.

Dr-Rosli-Yaakop“Jelas itu hanyalah kata-kata kosong. PAKATAN dah buktikan selama dua penggal ini Selangor membangun lebih pesat, pentadbiran yang cekap, bebas daripada rasuah, tatakelola, urus tadbir yang baik dan telus menyebabkan negeri ini berada di kedudukan terhadapan sekali dengan mempamerkan ekonomi yang seimbang,” katanya ketika dihubungi SelangorKini, di sini, hari ini.

Katanya, pembangunan negeri juga terus berkembang pesat dan tidak terbantut atau negatif seperti cuba digambarkan Umno.

Beliau berkata, kepesatan pembangunan dan ekonomi di Selangor dan Pulau Pinang itu bukan sahaja bukti terhadap kemampuan PAKATAN mentadbir sesebuah negeri tetapi juga membuktikan kesediaan untuk menerajui Kerajaan Persekutuan.

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

PRU-14: Selamat tinggal Umno?

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 21 OGOS: Badan pemikir, Kajian Politik Untuk Perubahan (KPRU) menjangkakan Umno bakal kehilangan undi Melayu, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) ekoran perselisihan faham antara pemimpin parti itu dengan bekas pemimpinnya.

Pengarah eksekutif KPRU, Ooi Heng berkata, hal sama pernah berlaku antara bekas Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan dua anggota tertinggi partinya ketika menghadapi dua pilihan raya, pada 1990 dan 1996.

Katanya, situasi itu menyebabkan undi Melayu kian merosot terhadap Umno, sekali gus parti berkenaan bakal kehilangan beberapa kerusi Parlimen.

“Hal ini terbukti apabila Tengku Razaleigh Tengku Hamzah mengambil keputusan menubuhkan parti Semangat 46, sekali gus menyaksikan UMNO kehilangan 12 kerusi dari 83 kerusi dimenanginya pada 1986 dan hanya memperoleh 71 kerusi, pada 1990.

“Situasi sama berlaku apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 1998 yang menyaksikan beberapa ahli UMNO mengambil keputusan menubuhkan KEADILAN.

“Akibatnya, 17 kerusi Parlimen Umno hilang dari 89 kerusi dimenangi, pada 1995 kepada 72 kerusi, pada 1999,” katanya dalam kenyataan.

Beliau turut menjangkakan Umno akan kehilangan 15 ke 20 kerusi Parlimen iaitu dari 88 kerusi, pada PRU-13 kepada 73 atau 68 kerusi jika parti itu tidak mencari cara memikat pengundi Melayu.

Pada masa sama, Ooi berpendapat langkah Dr Mahathir menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menyebabkan Umno berada dalam situasi kritikal.

“Dengan Dr Mahathir yang mempunyai pengalaman menerajui kerajaan selama 22 tahun dan senario pilihan raya umum 2008 juga 2013, rakyat boleh melihat landskap politik negara ini banyak berubah,” katanya.

Categories
NASIONAL

PRU-14: Najib bimbang pertemuan satu lawan satu

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 18 OGOS : Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak bimbang jika permuafakatan membabitkan gabungan pembangkang berlaku akan menyebabkan parti itu kalah teruk pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Pengarah Komunikasi Strategik Pejabat Menteri Besar Selangor, Yin Shao Loong berkata, permuafakatan itu membolehkan berlakunya Tsunami Melayu yang terus menghakis penguasaan Umno daripada mentadbir Putrajaya.

Beliau optimis, perkara itu mampu direalisasikan hasil perbincangan rapat Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali bersama gabungan komponen pembangkang, di peringkat Persekutuan.

“Parti pembangkang kini berada dalam keadaan peralihan ketika Umno kini berada pada krisis kepercayaan dan populariti selain dipimpin perdana menteri yang paling tidak popular. Najib bimbang senario partinya akan menghadapi saingan sukar berdepan komponen parti pembangkang yang akan mendatangkan kerugian maksimum kepada Umno.

mou-pakatan1“Malah, ia sekali gus membolehkan terbentuknya Tsunami Melayu dan membuka jalan bagi perubahan dalam Kerajaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, permuafakatan komponen pembangkang sebelum ini juga menjadi landasan terbaik bahawa penyatuan itu berjaya menafikan penguasaan Umno, pada PRU-13.

“Masih wujud peluang bagi permuafakatan itu demi kepentingan semua komponen pembangkang jika ia direalisasikan. Seterusnya, tidak mustahil permuafakatan itu mampu menafikan penguasaan Umno di 20 kerusi atau lebih,” katanya.

PRU13 lalu menyaksikan PAKATAN meraih undi popular hasil daripada permuafakatan komponen pembangkang dengan menang 89 kerusi Parlimen dan 230 kerusi Dewan Undangan Negeri, berbanding Barisan Nasional (BN) iaitu 133 kerusi Parlimen tetapi hilang tujuh kerusi dari 140, pada PRU ke-12.

Bagi undi keseluruhan pula, PAKATAN berjaya mendapat 5.5 juta undi berbanding BN 5.2 juta sahaja, dalam PRU-13.

Walaupun di atas kertas BN menang dengan 133 kerusi Parlimen, hakikatnya rakyat menolak parti itu berdasarkan peratusan jumlah undi diberikan kepada PAKATAN.

Bagaimanapun, jika Malaysia mengamalkan kaedah yang diguna pakai di luar negara iaitu ‘Propotional Representation’ (PR), bermakna secara jelas PAKATAN berjaya membentuk Kerajaan Persekutuan.

Categories
KENYATAAN MEDIA

Menakutkan rakyat adalah amalan Umno-BN yang penakut

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak mengenai penafian Umno BN mengamalkan politik menakutkan rakyat sepetimana yang diucapkan pada 29 Julai lalu di Persidangan Umno Bahagian Parit jelas menunjukkan bahawa Presiden Umno ini melakukan pembohongan secara terang-terangan.

Realitinya, Umno BN sejak merdeka lagi telahpun mengamalkan politik menakut-nakutkankan rakyat melalui propaganda media yang berat sebelah dan memfitnah pembangkang. Umno begitu sinonim dengan memomokkan orang Melayu supaya berasa fobia dan takut kepada Parti Tindakan Demokratik (DAP) akan kehilangan kuasa Melayu dan Bumiputera.

Hakikatnya, Umno BN hari ini begitu menyusahkan bukan sahaja Melayu, bahkan sebahagian besar 32 juta rakyat Malaysia. Disamping pengenalan pelbagai cukai yang membebankan kehidupan seharian rakyat, Umno BN kini terpalit dengan pelbagai skandal .

Isu 1 Malaysia Development Berhad (1MDB), tatakelola teruk FELDA, kerugian saham Tabung Haji dan KWSP, skandal pembelian hartanah MARA dan bumiputera Johor, serta penyalahgunaan wang Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPeIM). Kesemua ini adalah bukti jelas menunjukkan Umno BN sendiri yang memberi masalah kepada institusi-institusi negara, bukannya DAP dan komponen parti pembangkang yang lain.

Amalan ‘baling batu sembunyi tangan’ telah sinonim dengan kamus kehidupan Umno BN. Media-media utama telah menjadi senjata propoganda untuk menakutkan rakyat.

NAJIB-1MDBBegitu takutnya Najib Razak akan berlakunya pertukaran pentadbiran kerajaan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, sedangkan Perlembagaan Persekutuan membenarkanya atas prinsip Demokrasi Raja Berpelembagaan. Adakah Najib mahu menafikan hak yang telah termaktub di dalam perlembagaan?

Untuk membuktikan bahawa Umno BN tidak bermain ‘politics of fear’, kerajaan sepatutnya mengimplimentasi amalan media bebas dan adil. Rata-rata media utama yang wujud pada hari ini adalah dimiliki oleh golongan korporat pro-Umno BN. Media utama telah menjadi saluran ‘propaganda menakutkan rakyat’ terutama kepada penduduk luar bandar yang tidak dapat mengakses media alternatif.

Izinkan Pakatan Harapan dan juga media-media alternatif yang lain untuk menjadi sebahagian media utama negara. Wujudkan platform media yang baharu agar rakyat mampu menilai hujah ahli politik mengenai keadaan semasa negara, terutama mengenai ekonomi dan polisi.

Sudah tiba masanya Malaysia menuju ke arah politik yang membijakkan rakyat, bukannya bermain tohmahan negatif semata-mata untuk menakutkan rakyat untuk melaksanakan perubahan yang lebih baik.

Persoalannya, beranikah Umno BN untuk menerima pakai konsep media bebas dan meninggalkan amalan politik yang selama ini menakutkan dan memperbodohkan rakyat?

Umno BN hanyalah parti bacul yang sentiasa mahu menjadi jaguh kampung, sedangkan percakapan mereka hanyalah ‘indah khabar dari rupa’. Mahu tidak mahu, rakyat wajib tumbangkan Umno BN daripada terus membawa bala kepada negara pada PRU yang akan datang.

Aminuddin Harun
ADUN Sikamat
Pengerusi KEADILAN Negeri Sembilan
Parti KEADILAN Rakyat

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Cabutan bertuah tonjol kisah ‘suka dalam duka’ Umno

OLEH NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 18 APR: Semakin menghampiri pilihan raya, penolakan ahli Umno terhadap parti itu semakin teserlah, kata Ahli Parlimen Kapar, G Manivanan.

Menurutnya, Umno terpaksa memberi habuan mewah menerusi cabutan bertuah bagi menarik kehadiran ahlinya menyertai sambutan ulang tahun parti itu ke-71 di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada 11 Mei ini.

“Ini terbukti apabila Setiausaha Kerja Umno, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengumumkan tujuh kereta termasuk sebuah  Proton Perdana dan 10 motosikal menanti ahli Umno dalam bentuk cabutan bertuah.

“Penasihat Umno wajar diberikan kepujian kerana dapat menyedari bahawa perhimpunan kali ini hanya akan menjadi medan protes ahli mereka sendiri.

“Maka, ahli Umno akan hadir beramai – ramai dan akan menunggu sehingga selesai sambutan Ulang Tahun ini. Acara ini akan digunakan sebagai senjata persepsi politik yang menunjukkan sokongan padu terhadap Umno menuju PRU 14 akan datang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Manivanan berkata, pendekatan diguna pakai Umno itu hanya mencerminkan ‘suka dalam duka’ yang dihadapi pemimpin tertinggi parti itu.

“Realiti tetap realiti, kerana seramai mana yang hadir untuk cabutan bertuah itu, tidak akan sesekali menjauhkan penderitaan rakyat termasuk ahli Umno sendiri dengan harga barang dan kos sara hidup meningkat, kualiti kehidupan merudum, bebanan cukai GST serta pemansuhan subsidi terhadap barang-barang keperluan,” katanya.

-nR-

Categories
NASIONAL

Hanya 40 peratus Melayu sokong Umno

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 2 MAC: Umno hanya mampu meraih 40 peratus sokongan Melayu buat masa ini, berdasarkan tiga kaji selidik dijalankan Pusat Inisiatif Dasar Invoke (I-CPI), sejak Disember lalu.

Naib Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli berkata, kajian itu dilakukan bagi mengenal pasti sokongan ke atas setiap parti dalam konteks pertandingan tiga penjuru dan calon perdana menteri.

“Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lalu, Umno berjaya memenangi 58 peratus undi Melayu apabila berdepan calon PAS dan mendapat antara 60 hingga 63 peratus undi Melayu ketika berdepan calon KEADILAN.

“Umno juga mendapat sokongan Melayu lebih tinggi iaitu 70 peratus apabila berdepan calon DAP,” katanya.

Rafizi berkata, kaji selidik terbaru itu menunjukkan sokongan kepada Umno menurun 20 peratus.

“Sokongan pengundi Melayu kepada Umno di seluruh negara kekal rendah, pada tahap 40 peratus secara purata.

“Saya tidak ragu-ragu sekarang sokongan terhadap Umno sudah berpecah,” katanya.

-AA-

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Bila ZAM ungkap ‘mampuslah Umno’

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 13 FEB: Reaksi bengang veteran Umno, Tan Sri Zainuddin Maidin terhadap parti itu kian terserlah apabila menghamburkan perkataan ‘mampus’ yang jelas menunjukkan parti ketuanan Melayu terbabit tidak akan berubah.

Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Fahmi Mohd Fadzil berkata, pembangkang harus melipat gandakan penerangan kepada rakyat berkenaan pelbagai isu semasa sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) bagi menyelamatkan Malaysia.

“Tan Sri Zam bukan calang-calang orangnya. Untuk seorang seperti beliau, mengeluarkan kata seperti itu di blognya menunjukkan betapa parahnya keadaan di dalam Umno.

FAHMI“Bagaimanapun, bagi saya kenyataan beliau tidak akan ke mana-mana terutama kerana pucuk pimpinan Umno sudah terlalu jauh terpisah daripada realiti kehidupan rakyat hari ini.

“Berapa ramai di antara pimpinan UMNO yang betul-betul tertekan akibat naiknya harga minyak mentah, barang dan parkir di Kuala Lumpur,” katanya ketika dihubungi SelangorKini, di sini, semalam.

Katanya, kebencian rakyat terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang digambarkan Zainuddin bukanlah satu perkara baru tetapi perasaan itu sudah dirasai sekian lama dan semakin meningkat.

Terdahulu, bekas ketua pengarang Kumpulan Utusan itu dalam blognya mendakwa sentimen anti Najib dan Rosmah sedang berada di kemuncaknya di seluruh negara, pada masa ini.

Katanya, sentimen itu dapat dirasakan di banyak tempat termasuk pejabat kerajaan, surau atau masjid terutama kedai mamak.

“Pengalaman memberitahu saya, walaupun kebangkitan anti (Tun Dr) Mahathir (Mohamad) hangat memuncak ketika rakyat menyokong reformasi (Datuk Seri) Anwar Ibrahim tetapi orang ramai tidak bersuara secara terbuka seperti sekarang yang merangkumi semua lapisan masyarakat.

ZAM“Saya tidak perlu menambah cerita tentang sentimen anti Najib dan Rosmah yang panas memuncak di seluruh negara sekarang yang dapat kita cium, dengar dan lihat di mana juga kita pergi sama ada di pejabat kerajaan, di surau atau masjid, apatah lagi di kedai mamak,” kata Zainuddin.

Beliau juga menggesa Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), polis cawangan khas, perisik tentera dan jentera Umno melaporkan kepada Najib secara jujur dan terus terang akan perasaan sebenar rakyat terhadap perdana menteri itu demi keselamatan Umno juga orang Melayu.

“Sekiranya maklum balas ini tidak mahu diterima orang Umno, BN dan pihak perisikan, maka konklusi saya ialah ‘nak mampus, mampuslah Umno’. Apa nak buat lagi, nasihat semua pihak yang ikhlas dan sayangkan Umno, tak dipedulikan,” katanya.

Zainuddin berkata, kempen memburukkan imej Tun Dr Mahathir juga mendorong kebencian dan kemarahan terhadap Najib semakin memuncak.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Umno yang dulu bukanlah yang sekarang

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA LUMPUR, 10 FEB: Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan Umno-Barisan Nasional (BN) sebagai pengkhianat kepada bangsa Melayu dan negara.

Katanya, Umno yang sekarang jauh berbeza dengan dahulu dan tidak lagi dijadikan contoh kepada negara lain dalam aspek pembangunan serta pentadbiran.

“Apabila Muhyiddin mengaku Umno-BN membangun dan memaju negara Malaysia, maka pembodek pun gembira dengan pengakuan ini.

“Kenyataan ini adalah berkenaan Umno-BN dahulu yang memerdekakan dan membangun Malaysia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mahathir berkata, Umno ketika ini lebih dikenali sebagai kleptokrasi pimpinan penyangak dan pencuri yang memberi nama amat buruk kepada Malaysia di seluruh dunia.

PC (11 of 22)“Sesungguhnya nama baik Umno-BN sudah dicemar sehingga beralih kepada nama dibenci rakyat dan dipandang hina seluruh dunia.

“Penyokong Najib sama ada dibeli atau tidak, tidak kurang daripada mengkhianati bangsa dan negara,” katanya.

Sebelum ini, mantan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui kejayaan kerajaan pimpinan BN dalam memacu Malaysia menjadi negara membangun dan model negara Islam.

Katanya, pembangunan itu diusahakan parti itu menerusi pucuk kepimpinan diwarisi dan tidak boleh dinafikan memandangkan Malaysia bermula sebagai negara yang tidak memiliki apa-apa selepas merdeka.

-AA-