Categories
NASIONAL

UMNO Sabah lumpuh: 5 MP, 9 Adun & 2 Senator keluar parti

KOTA KINABALU, 12 DIS: UMNO Sabah lumpuh selepas hampir kesemua anggota jawatankuasa badan perhubungan negeri itu termasuk Pengerusinya Datuk Seri Hajiji Mohd Noor mengumumkan keluar parti hari ini.

Dalam sidang media di sini, Hajiji yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman, berkata semua ketua bahagian kecuali Tenom, Kalabakan, Sepanggar dan Kinabatangan turut mengumumkan keluar parti.

Tindakan keluar parti yang berkuat kuasa hari ini melibatkan lima anggota Parlimen, sembilan ADUN dan dua senator, kata Hajiji yang juga Ketua UMNO Tuaran.

Lima anggota Parlimen itu ialah Datuk Seri Ronald Kiandee (Beluran), Yamani Hafez Musa (Sipitang), Datuk Azizah Mohd Dun (Beaufort), Datuk Zakaria Edris (Libaran) dan Datuk Rahim Bakri (Kudat), katanya.

Menurut Hajiji selain beliau, lapan lagi ADUN ialah Datuk Seri Masidi Manjun (Karanaan), Datuk Japlin Akim (Usukan), Datuk Musbah Jameh(Tempasuk), Datuk Gulam Haidar Khan (Kawang), Datuk Mohd Arifin Arif (Membakut), Datuk Isnin Aliasnih (Klias), Matbali Musah (Lumadan) dan Datuk Nizam Titingan (Apas).

Katanya buat masa ini kesemua wakil rakyat terbabit akan menjadi wakil Bebas.

Menurut Hajiji, dua senator UMNO yang keluar parti ialah Datuk Ghani Yassin dan Datuk John Ambrose.

Turut mengumumkan keluar parti ialah bekas Bendahari UMNO yang juga bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak yang merupakan Ketua Bahagian Kota Belud.

UMNO bahagian yang kehilangan ketuanya termasuk yang memangku ialah Kudat, Kota Marudu, Tuaran, Kota Kinabalu, Penampang, Papar, Kimanis (memangku), Beaufort, Sipitang, Keningau, Beluran, Sandakan, Batu Sapi, Silam, Semporna, Tawau, Libaran, Putatan dan Ranau.

Menurut Hajiji baki empat lagi bahagian iaitu Tenom, Kalabakan, Sepanggar dan Kinabatangan belum menyatakan pendirian mereka.

Tindakan keluar parti itu turut melibatkan ketua Puteri semua UMNO bahagian sementara Ketua Wanita UMNO Sabah Datuk Jainab Ahmad berkata pemimpin sayap tersebut belum membuat keputusan.

Dalam satu kenyataan di sini, Jainab berkata Wanita UMNO memerlukan tempoh bertenang sebelum tindakan seterusnya diambil, termasuk memberi penerangan kepada pemimpin Wanita peringkat bahagian.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Lebih 7,200 ahli Umno keluar parti, sertai Warisan

TAWAU, 9 DIS: Parti Warisan Sabah (Warisan) menerima kemasukan 7,206 bekas ahli UMNO menyertai 121 cawangan di bahagian Kalabakan, di sini, hari ini.

Penyerahan borang keahlian itu disampaikan oleh wakil cawangan kepada Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan disaksikan oleh Setiausaha Agung parti, Lorreto S Padua.

Mohd Shafie, yang juga Ketua Menteri, dalam ucapannya berkata, penting untuk ahli parti membesarkan parti dengan menambah keanggotaan parti.

“Menjadi tanggungjawab anggota parti untuk menguatkan parti dengan membesarkan parti.

“Namun dalam membesarkan parti banyak nilai-nilai positif perlu diamalkan ahli parti, bukan hanya ahli bahkan pimpinan itu perlu beramal kepada rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, sokongan rakyat membolehkan pimpinan kerajaan baharu hari ini memimpin dan menukar pemerintah yang lama.

“Setiap perkara yang dilakukan ahli parti perlu berpaksikan kepada rakyat, kehendak rakyat walaupun bukan semua yang dapat dipenuhi sekarang.

“Ada rakyat yang mahu kerja, ada rakyat yang mahu rumah, tetapi sekurangnya kita perlu besarkan parti ini untuk kita mengetahui citarasa serta rintihan rakyat selain membangunkan Sabah dan mempertahankan hak rakyat seperti yang disebut dalam janji Warisan pada pilihan raya umum yang lalu,” katanya.

Selain itu, beliau berkata partinya menerima sesiapa sahaja yang mahu menyertai Warisan kerana bertujuan untuk menyatukan rakyat.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

KJ resah Umno hilang arah

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 13 JULAI: Semakin hilang arah, begitulah senario baru digambarkan Khairy Jamaluddin kepada Umno susulan kekalahan teruk dalam sejarah, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Menerusi Twitter, Ahli Parlimen Rembau itu berkata, Umno kini berada di persimpangan jalan untuk memilih sama ada mengambil haluan kanan atau tengah.

“Ke kanan mungkin menang sorak sementara. Tetapi pasti lingkup 10-15 tahun lagi.

“Haluan tengah bukan mudah. Sukar difahami akar umbi. Tetapi itulah jalan yang ada untuk ‘survive’,” tulisnya.

Khairy yang gagal merebut jawatan presiden parti pada Pemilihan Umno lalu menyuarakan parti itu gagal mendengar suara rakyat.

“Sejak selesai pemilihan Umno, apa yang parti saya buat? Main sentimen kaum, kutip tabung untuk mantan presiden dan ‘repeat’ (ulang) semula.

“Tak salah kita bersolidariti dengan DSN (Datun Seri Najib Razak) tetapi tak kan itu sahaja Umno “baharu”.

“Dah kena pukulan maut semasa PRU14, masih pekak terhadap suara rakyat,” tulisnya.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu merujuk kepada kempen derma tabung yang dilancarkan kumpulan “Solidariti Bersama Datuk Najib”, pada 5 Julai lalu.

Khairy kemudian menyelar tindakan pemimpin Umno dan mendakwa rakannya dalam parti itu sengaja memainkan isu perkauman susulan pelantikan beberapa jawatan tertinggi, di negara ini daripada bukan Islam.

“Jika modal untuk PRU15 hanya dengan momokan orang Melayu dengan isu seperti pelantikan bukan Melayu sebagai Ketua Hakim, lupakan sahaja impian menawan semula Putrajaya.

“Keresahan Melayu memang ada tetapi perkara ini kecil berbanding isu ekonomi dan sosial,” tulisnya.

Categories
NASIONAL

Menang Presiden Umno, ini pesan Azmin buat Zahid

OLEH ERMIZI MUHAMAD

GOMBAK, 1 JULAI: Walaupun berjaya dipilih mengemudi kepimpinan tertinggi Umno, namun Datuk Seri Zahid Hamidi diingatkan supaya tidak terlalu selesa dengan keputusan itu.

Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Presiden parti ketuanan Melayu itu perlu bertanggungjawab terhadap kemusnahan negara yang berlaku ekoran kegagalan urus tadbir Umno, sebelum ini.

Katanya, imej buruk itu harus diakui Ahmad Zahid dan seluruh kepimpinan tertinggi Umno yang tumbang pada, Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

“Ahmad Zahid mempunyai peranan penting sebagai Presiden Umno selain wakil rakyat di Parlimen, saya juga melihat Umno perlu mengakui kesilapan dan kecurangan yang berlaku sebelum ini.

“Apa yang dilakukan Umno itu sehingga menyebabkan negara terpaksa menanggung hutang begitu besar seperti sekarang,” katanya pada Majlis Silaturrahim Eidul Fitri, peringkat Gombak dan DUN Gombak Setia, di Taman Berjaya.

Namun Mohamed Azmin berkata, pemilihan Ahmad Zahid diharap dapat menjalankan fungsi terbaik kepada pembangkang untuk menilai gerak kerja pentadbiran Putrajaya.

Katanya, ini termasuk keterbukaan Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) menerima kritikan, selaras keperluan prinsip demokrasi negara.

“Saya ucapkan tahniah kepada Ahmad Zahid yang dipilih sebagai Presiden Umno. Tentunya saya mengalukan kehadiran Umno sebagai pembangkang di Dewan Rakyat dan ini satu perkembangan sihat dalam demokrasi negara.

“Proses demokrasi ini menetapkan pembangkang ada peranan penting sebagai ‘check and balance’ untuk memastikan Kerajaan Persekutuan dapat menjalankan tugas mereka dengan telus dan bertanggungjawab,” katanya.

Pemilihan Umno menyaksikan Ahmad Zahid yang sebelum ini menjalankan tugas Presiden menang mudah bagi penggal 2018-2021.

Beliau memperoleh 78 undi, manakala calon lain iaitu Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah masing-masing mendapat 53 dan 28 undi, setakat jam 12.30 tengah malam Ahad.

Bagaimanapun, kemenangan Ahmad Zahid menimbulkan pelbagai kritikan umum yang menyifatkan Umno akan terus kekal ditolak rakyat kerana gagal mengubah kepimpinan baru parti.

Categories
NASIONAL

Umno tarik peruntukan kewangan semua bahagian?

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 31 MEI: Tular di media sosial salinan surat mendedahkan maklumat penamatan penyaluran peruntukan bulanan kepada Umno Bahagian seluruh negeri, berkuatkuasa Mei lalu.

Kandungan surat berkenaan difahamkan ditandatangani sendiri, Setiausaha Agungnya, Tengku Adenan Tengku Mansor, bertarikh 22 Mei.

“Sayugia dimaklumkan, Ibu Pejabat telah meneliti kedudukan kewangan parti ingin memaklumkan yang mana penyaluran peruntukan bulanan kepada pihak Bahagian dan Pergerakan Sayap-Sayap Bahagian terpaksa ditamatkan bermula Mei 2018.

“Walaubagaimanapun, adalah diharapkan agar pihak Bahagian dan Sayap Pergerakan Bahagian dapat meneruskan pengoperasian Bahagian sepertimana kebiasaan sebelum ini,” menurut kandungan surat berkenaan.

Difahamkan, edaran surat berkenaan turut diberikan kepada Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, Setiausaha Badan Perhubungan, Penolong Setiausaha Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri, Ketua Umno Bahagian dan Ketua Pergerakan Wanita, Pemuda, dan Puteri Umno Bahagian.

Sehingga kini, tidak dapat disahkan lagi kesasihan penularan surat berkenaan.

Bagaimanapun, sejak kekalahan teruk parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, Umno mengalami pergolakan terbesar parti itu yang akhirnya memaksa Presidennya, Datuk Seri Najib Razak melepaskan jawatan.

Categories
NASIONAL

Tun Daim dakwa UMNO pertubuhan haram

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 3 MEI: Bekas Menteri Kewangan dan Bendahari UMNO, Tun Daim Zainuddin mendakwa parti Melayu itu sebagai haram dan beliau tidak boleh menjadi seorang ahli ‘pertubuhan haram’.

Katanya, keadaan itu menyebabkan beliau keluar melawan bagi menegakkan keadilan.

“Saya memperjuang keadilan untuk rakyat. Saya tidak takut tindakan disiplin yang akan diambil kerana UMNO sebuah pertubuhan haram dan di bawah undang-undang, saya tidak boleh menjadi ahli pertubuhan haram,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan pertemuan dengan pengundi, di Pendang.

Memetik laporan portal The Edge Market, dakwaan Daim itu berpunca daripada tindakan UMNO yang menagguhkan pemilihan parti sehingga 19 April 2019 dan diluluskan Pendaftar Pertubuhan (ROS) sedangkan ia sepatutnya dilakukan, pada 19 April lalu.

Categories
NASIONAL

16 anggota Umno cabar penangguhan pemilihan parti di mahkamah

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 20 APR: 16 anggota cawangan Umno hari ini memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk kebenaran semakan kehakiman bagi membatalkan keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) yang membenarkan Umno melanjutkan masa mengadakan pemilihan parti di semua peringkat.

Pemohon berusia antara 30 hingga 55 tahun adalah daripada 11 cawangan di enam negeri dan menamakan ROS dan Setiausaha Kerja Umno, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebagai responden.

Memetik laporan Malaysiakini, mereka juga memohon perintah mandamus untuk mewajibkan ROS menggunakan Seksyen 13, 14, 16 dan 66 Akta Pertubuhan untuk menyiasat Umno berdasarkan surat-menyurat yang dihantar kepada ROS.

Selain itu, mereka juga memohon perintah mandamus untuk memaksa ROS mengambil tindakan serta-merta ke atas Rauf kerana didakwa melanggar Perkara 9.3, 9.4, 15.3, 18.2 dan 10.16 Perlembagaan Umno kerana tidak mengadakan pemilihan parti dalam tempoh 18 bulan ditetapkan.

Di samping itu, mereka juga memohon supaya Umno dibubarkan sementara sebaik sahaja ROS menyelesaikan siasatannya berhubung dakwaan melanggar perlembagaan parti.

Mereka juga memohon mahkamah mewajibkan ROS untuk mengeluarkan notis di bawah Seksyen 14 (2) dan 14 (5) di bawah Akta Pertubuhan bagi notis pembubaran sementara dan pembubaran muktamad.

Secara tambahan, pemohon juga mahu mahkamah memaksa ROS untuk menggantung semua aktiviti Umno sehingga kes permohonan semakan kehakiman selesai.

Pemohon juga mahu pengisytiharan bahawa semua bahagian Umno dan Majlis Tertinggi Umno tidak mempunyai kuasa yang sah dari segi undang-undang untuk beruruasan dan terbatal atau terbubar berkuatkuasa hari ini, 20 April 2018.

Mereka juga mahu perintah bahawa keseluruhan institusi atau pertubuhan yang dipanggil dan atau dikenali sebagai Umno adalah tidak sah dan terbatal atau terbubar mulai hari ini juga.

Ini berikutan hujah mereka bahawa hari terakhir untuk bahagian-bahagian mengadakan pemilihan mereka adalah pada 28 Februari dan hari terakhir untuk Majlis Tertinggi adalah semalam (19 April).

Kali terakhir, bahagian-bahagian Umno mengadakan pemilihan mereka adalah pada 31 Ogos 2013 dan sepatutnya pemilihan baru seharusnya diadakan pada 31 Ogos 2016 tetapi diberikan lanjutan masa 18 bulan oleh ROS.

Categories
NASIONAL

Umno-BN tiru manifesto PAKATAN

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUNGAI BULOH, 8 APR: Umno-Barisan Nasional (BN) semakin ketandusan idea sehingga menciplak beberapa idea Pakatan Harapan (PAKATAN) dalam manifesto mereka.

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Damansara, Radzlan Jalaluddin, berkata BN turut memperlekehkan Manifesto PAKATAN.

“Kerajaan Selangor berjaya buktikan bahawa kita berjaya memerintah dengan lebih baik daripada Umno-BN,” katanya pada program Ceramah Perdana di tapak pasar malam Paya Jaras Tengah di sini, hari ini.

Jelasnya, rakyat Selangor bernasib baik apabila PAKATAN berjaya merampas pentadbiran Kerajaan Negeri pada 2008.

Katanya, rakyat Selangor kemudiannya memberi mandat lebih besar kepada PAKATAN pada Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu.

“Sekiranya BN menang pada masa itu sudah pasti tarif air akan naik seperti yang kontrak dipersetujui BN sebelum itu,” katanya.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Petisyen dilancarkan, Umno didakwa pertubuhan tidak sah?

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 3 MAC: Umno sekali lagi berhadapan krisis perlembagaan dengan berhadapan kemungkinan diisytiharkan sebagai pertubuhan haram apabila didakwa didapati melanggar perlembagaannya sendiri berhubung isu penangguhan pemilihan.

Menurut satu petisyen yang dilancarkan di laman sesawang change.org yang dilancarkan bagi menggesa siasatan adil Pendaftar Pertubuhan (ROS) menyebut, Fasal 10.16 Perlembagaan Umno memperuntukkan tarikh pemilihan (cawangan, bahagian dan Majlis Tertinggi Umno) yang sepatutnya diadakan pada 31 Ogos 2016 dan 19 Oktober 2016 sudah pun dilanjutkan secara maksima 18 bulan iaitu ke tarikh 28 Febuari 2018 dan 19 April 2018.

“Maka mustahil serta tidak sah untuk dilanjutkan lagi di sisi Perlembagaan Umno sekali pun, oleh MAJLIS TERTINGGI Umno, mahupun diluluskan oleh pihak ROS Malaysia.

“Ini bermakna, kesemua Cawangan Umno di seluruh Malaysia menjadi tidak sah di sisi undang-undang pada 1 Mac 2018.

“Oleh kerana Cawangan Umno tidak sah maka, kesemua Bahagian Umno di seluruh Malaysia dan Majlis Tertinggi Umno akan menjadi tidak sah di sisi undang-undang pada 19 April 2018,” katanya.

Jelas petisyen itu, di segi undang-undang, Majlis Tertinggi Umno mahupun ROS tidak boleh membuat apa-apa lanjutan penangguhan, selepas tarikh akhir pengadaan pemilihan kerana ianya bertentangan dengan Fasal 10.16 Perlembagaan Umno sendiri.

Katanya, maka dengan itu, Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak secara automatik tidak sah sebagai Presiden Umno selepas tarikh 19 April 2018.

“Hatta, Umno sebagai parti politik yang tidak sah selepas 19 April 2018, tidak boleh bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 yang diadakan selepas 19 April 2018.

“Najib Razak juga tidak boleh angkat sumpat jawatan sebagai Perdana Menteri di hadapan Ke-Bawah Duli Yang Di-pertuan Agong kerana penjawatan Presiden Umno tidak sah selepas 19 April 2018,” katanya lagi.

Justeru katanya lagi, ROS perlu adil dalam menjalankan siasatan keatas Umno berkaitan krisis keperlembagaan pertubuhan itu tanpa bersifat berat sebelah,” ujarnya.

Sementara itu petisyen yang dilancar sejak 1 Mac itu sudah pun ditandatangani seramai 1,505 orang.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor sebelum ini mengeluarkan kenyataan untuk menangkis dakwaan itu.

Katanya penangguhan pemilihan itu diputuskan oleh Majlis Tertinggi UMNO dan mendapat kelulusan daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).

“Dakwaan tersebut adalah tidak benar dan sengaja ditularkan bagi mengelirukan orang ramai khususnya ahli-ahli UMNO dan para penyokongnya selain usaha pihak tertentu untuk memburukkan parti”, katanya.

Kelulusan penangguhan pemilihan tersebut merujuk kepada Seksyen 13A (4) Akta Pertubuhan 1966, Pendaftar Pertubuhan berkuasa untuk melanjutkan tarikh/waktu pemilihan Pertubuhan berdaftar dengan syarat suatu permohonan bertulis dibuat.

Selaras dengan itu, beliau menegaskan bahawa UMNO masih berkuatkuasa di semua peringkat dan melaksanakan tanggungjawabnya sebagaimana terkandung dalam asas dan tujuan penubuhannya.

=EZY=

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Pemimpin UMNO harus terima hakikat tak berjaya selesai isu tanah di Ijok

OLEH SYAZWANI SUFIAN

KUALA SELANGOR, 22 FEB: Pemimpin UMNO seharusnya memberi sokongan penuh kepada Kerajaan Negeri selepas hampir 20 tahun isu rumah terbengkalai Alam Mutiara dan Alam Utama Bukit Cerakah dapat diselesaikan pimpinan kini.

Pengerusi Ahli Jawatankuasa Bertindak Rumah Terbengkalai Alam Mutiara daan Alam Utama Bukit Cerakah, Umar Ali Bashah berkata, segelintir pemimpin UMNO harus terima hakikat bahawa mereka tidak berjaya menyelesaikan masalah itu sejak 20 tahun lalu kerana terlalu mementingkan diri.

“Selepas penantian selama 20 tahun selesai, mengapa masih ada pemimpin UMNO yang pertikai sedangkan masalah ini berlaku ketika zaman mereka dan pemimpin ketika itu tidak dapat selesaikannya.

“Jika Selangor masih di bawah pemerintahan UMNO-Barisan Nasional, pasti tanah ini dilelong bank dan institusi pemberi pinjaman,” katanya ketika sidang media di Bukit Kuching Tengah, Jeram, di sini, pada 20 Februari lalu.

Umar berkata, hanya 987 peneroka daripada 1063 sahaja yang berhak mendapat rumah dan 76 peneroka selebihnya menjual lot rumah kepada pemaju lama.

Katanya 358 daripada 987 peneroka itu tidak sempat melihat rumah terbabit siap dibina kerana sudah meninggal dunia.

“Kami bersyukur kerana akhirnya projek terbengkalai ini dapat diselesaikan dan menerima RM180,000 wang pampasan serta sebuah rumah dengan harga RM250,000.

“Selepas siapnya rumah itu, ia akan bernilai tidak kurang dari RM450,000. Ini bermakna kita mendapat wang pampasan dan aset keseluruhan berjumlah RM630,000,” katanya,

Beliau turut melahirkan rasa syukur kepada Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali kerana berjaya menyelesaikan masalah itu hingga berjaya.

Categories
NASIONAL

Najib kata Melayu dibangsatkan adalah biadap, tak layak jadi PM

OLEH NAZLI IBRAHIM

KELANA JAYA, 10 DIS: Kenyataan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak kononnya orang Melayu akan dibangsatkan sekiranya Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 mendapat kutukan keras.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata, kenyataan itu merupakan sesuatu yang biadap dan tidak sepatutnya keluar dari mulut seorang Perdana Menteri.

“Kalau tak mahu membincangkan masalah orang Cina, orang India pun tak apalah tapi ini soal orang Melayu pun tak dibincangkan.

“Apa yang dilakukan hanya menakut-nakutkan, antara perkara disebut dalam ucapan dasar kalau pembangkang menang di Putrajaya, kalau KEADILAN menang, Melayu akan dibangsatkan.

“Bagaimana seorang Perdana Menteri guna istilah yang cukup biadab dan tidak teratur. Ini tidak layak menjadi Perdana Menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Jelajah Peduli Rakyat di Padang Awam Desa Mentari di sini, malam tadi.

Jelasnya, tuduhan Najib itu jelas satu pembohongan apabila nasib Melayu selama lapan tahun di bawah naungan Pakatan Harapan di Selangor lebih baik dibandingkan dengan rekod lebih 50 tahun di bawah Umno-Barisan Nasional.

Mohamed Azmin turut menemplak Umno apabila tidak memberikan perhatian khusus kepada masalah rakyat melibatkan tekanan kos sara hidup semakin tinggi dalam perhimpunan berlangsung selama empat hari itu.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Ucapan di PWTC penuh perkauman, hasutan tiada manfaat untuk rakyat

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUBANG, 9 DIS: Empat hari Perhimpunan Agung Umno (PAU) dilangsungkan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), namun tidak memberi sebarang manfaat kepada rakyat.

Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, sebaliknya perhimpunan tahunan parti itu hanya sarat dengan fitnah, hasutan dan kebencian berbaur perkauman.

“Seorang pemimpin tertinggi berucap tetapi sedihnya tiada manfaat untuk rakyat, sebaliknya hanya ucapan fitnah.

“Mereka juga kata kononnya jika Pakatan Harapan memerintah, perkhidmatan awam akan dikecilkan di mana ini adalah satu fitnah,” katanya pada program Jelajah Peduli Rakyat di tapak Pasar Tani Kampung Melayu Subang, di sini, hari ini.

Jelasnya, sebaliknya Pakatan Harapan lebih menghargai penjawat awam berbanding Kerajaan Persekutuan sendiri.

Katanya, Kerajaan Negeri sendiri sentiasa menghargai kerja keras penjawat awam di Selangor dalam menjayakan dasar Kerajaan Negeri dengan memberi bonus tahunan.

Katanya lagi, pada tahun ini Kerajaan Negeri memberikan bonus sebanyak tiga bulan gaji sebagai penghargaan kepada penjawat awam di Selangor.

=EZY=