Categories
NASIONAL

Umno Tubuh Unit Khas Fitnah Pembangkang, Kata Abdul Kadir

KUALA SELANGOR, 16 JULAI: Veteran Umno, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir mendakwa kerajaan Umno-BN mewujudkan sebuah unit khas untuk menlancarkan fitnah terhadap pemimpin pembangkang.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan 6,000 orang di Himpunan Hijau Menuju Ke Putrajaya peringkat Negeri Selangor, di Stadium Kuala Selangor malam tadi.

“Mereka dah wujudkan unit khas cipta fitnah.

“Buat fitnah, fitnah, fitnah, tetapi bila keluarkan kenyataan menerangkan keadaan sebenar untuk menafikan dakwaan tersebut, tak terbit, terus dok panjangkan fitnah itu lagi,” kata Abdul Kadir.

Beliau yang juga bekas menteri Kerajaan Pusat turut menceritakan bagaimana kerajaan sekarang memaksa rakyat mengisi borang keahlian Umno sebelum boleh memohon pelbagai peruntukan dan kemudahan yang sepatutnya menjadi hak rakyat.

“Kamu lapar ya? Saya ada pinggan cantik, nasi dengan lauk yang sedap-sedap.

“Kalau kamu mahu, kamu kena merangkak ke mari dan ‘tabik’ saya dahulu, kemudian barulah saya beri nasi kamu,” kata Abdul Kadir apabila menggambarkan kesombongan Umno tatkala menghulurkan ‘bantuan’ kepada rakyat.

Beliau turut melahirkan rasa hormat dan kagum dengan pendirian ahli PAS yang tetap mempertahankan maruah mereka walaupun menerima tekanan hebat dari parti korup yang mentadbir negara selama 54 tahun itu.

“Sebab itulah saya tabik kepada ahli PAS kerana walaupun hidup susah, nak mohon peruntukan bantuan kerajaan tak boleh, tetapi tak gadai maruah mereka untuk mendapatkan ‘nasi’ itu,” katanya lagi.

Sebelum ini, sudah diketahui umum bahawa beberapa agensi kerajaan mengenakan ‘syarat tambahan’ tatkala memohon sebarang peruntukan dan bantuan yang disediakan kerajaan untuk rakyat.

Antara ‘syarat tambahan’ tersebut, pemohon tersebut diwajibkan menjadi ahli Umno atau dikehendaki mengisi borang keahlian Umno sekiranya masih belum berbuat demikian.

Antara agensi yang kerap diperkatakan di kalangan masyarakat umum negara ini adalah agensi yang terlibat dengan permohonan Pinjaman Tekun, permohonan rumah kos rendah, pinjaman pelajaran dari agensi kerajaan, permohonan tanah rancangan Felda serta Felcra dan beberapa yang lain.

Selain Abdul Kadir, turut menyampaikan ucapannya malam tadi, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Exco Kanan Selangor, Teresa Kok dan Timbalan Pesuruhjaya II PAS Negeri Selangor, Iskandar Abd Samad.

Selain itu, Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abd Aziz Nik Mat turut menyampaikan amanatnya melalui tayangan video.

Dalam amanat Nik Aziz, beliau menyeru semua golongan masyarakat khususnya ahli-ahli PAS agar bersedia untuk menumbangkan kerajaan Umno-BN yang dianggapnya sebagai merosakan perpaduan penduduk negara ini.

Perhimpunan malam tadi turut dimeriahkan dengan cabutan nombor bertuah yang menawarkan hadiah telefon bimbit jenama Samsung Galaxy, basikal dan ketuhar gelombang mikro.

Categories
NASIONAL

Tangani Kebimbangan Sebenar Jenayah, Saran Dr Wan Azizah

PETALING JAYA 13 JULAI : Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diminta menangani kebimbangan sebenar berhubung ke mana hilangnya 71 peratus kos mengurus persepsi awam hasil dari peruntukan Program Tranformasi Kerajaan(GTP).

Perkara ini disaran oleh Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sambil membidas kenyataan yang mengelirukan seperti yang dikeluarkan oleh Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU).

Sebelum ini Pengarah Pencegahan Jenayah NKRA (Bidang Keberhasilan Utama Negara) PEMANDU, Eugene Teh Yee mengatakan hanya 0.75 peratus daripada dana GTP dibelanjakan untuk aktiviti ini.

“Jawapan PEMANDU adalah salah, dengan menonjolkan angka 0.75 peratus tanpa mendedahkan perbelanjaan penuh, menjalankan ‘nitpicking’ dan bertujuan untuk mengalihkan perhatian rakyat dari isu sebenar,”ujar Dr Wan Azizah.

Wan Azizah menambah PEMANDU jelas memilih untuk menyerlahkan perkara ini dalam kes perhubungan awam dan bukannya menangani masalah sebenar.

Selasa lalu, Dr Wan Azizah mempertikai kerajaan kerana membelanjakan RM170 juta dengan cara salah hanya untuk membetulkan persepsi orang awam terhadap polis.

Tambahnya, perbelanjaan daripada belanjawan NKRA tahun 2012 adalah untuk mengurangkan perasaan takut terhadap aktiviti jenayah.

“Jika PEMANDU mahu ‘nitpick’ pada istilah perhubungan awam, sudah tentu matlamat meningkatkan kepuasan awam terhadap polis harus jatuh dibawah definisi mereka sendiri.

“Belanjawan yang diperuntukkan untuk mencapai matlamat itu ialah RM27 juta yang merupakan 11.25 peratus daripada belanjawan pengurusan NKRA,”jelas Dr Wan Azizah.

Mengulas lanjut berhubung perkara ini beliau mengingatkan kepimpinan Perdana Menteri bahawa rakyat menuntut tindakan ke atas jenayah dan bukannya pengurusan persepsi.

“Malah bekas KPN(Tan Sri Musa Hassan) pernah berkata bahawa kepimpinan Najib menyembunyikan fakta daripada pengetahuan orang ramai berhubung kadar jenayah di negara ini sebaliknya menyatakan keselamatan awam kini mencapai peringkat yang membimbangkan,”katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Geran RM5 Juta Diperuntuk Pelihara Alam Sekitar

PETALING JAYA 5 JUN : Kerajaan Negeri Selangor memperuntukkan RM5 juta dalam ‘Geran Selangorku’ pada tahun ini bagi melaksanakan pemeliharaan dan aktiviti penjagaan alam sekitar di negeri ini.

Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong berkata, geran alam sekitar diberi kepada badan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan-persatuan dalam melaksanakan program yang dirancang berkaitan alam sekitar.

“Jadi fasa pertama, Kerajaan Negeri telah memberi lebih RM250,000 kepada NGO-NGO terbabit.

“Dalam senarai juga ada lagi 10 lagi permohonan dan pada masa terdekat kita akan menilai kesemuanya dan jika menepati kriteria maka Kerajaan Negeri akan meluluskannya,” kata Elizabeth dalam sidang media selepas penyerahan cek untuk projek dan aktiviti alam sekitar di sebuah hotel di sini.

Elizebeth berkata, Geran Selangorku yang dikhususkan kepada projek alam sekitar itu tidak terhad kepada NGO sahaja malah pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) juga dialu-alukan mengemukakan cadangan bagi mendapatkan geran itu.

 

“Kita juga menggalakkan sebagaimana JKKK Sungai Chua Kajang yang mempunyai program, di mana di peringkat akar umbi kita mahu memupukkan kesedaran awam di lingkungan orang kampung berkenaan penjagaan alam sekitar,” ujar beliau.

Tambah Elizabeth, sempena Hari Alam Sekitar Sedunia yang disambut 5 Jun (hari ini) dengan tema ‘Ekonomi Hijau’, Kita ada tanggungjawab yang berat kerana pembangunan di negeri Selangor ini dapat juga memenuhi kriteria-kriteria hijau dalam penjagaan alam sekitar,” kata Elizabeth.

Dalam majlis itu, Elizabeth menyerahkan geran kepada empat NGO dan sebuah JKKK yang masing-masing diterima oleh wakilnya.

Turut hadir dalam majlis itu, isteri Menteri Besar, Puan Seri Salbiah Tunut dan Isteri Penasihat Ekonomi Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Menurut Pegawai Komunikasi, The Malaysian Conservation Alliance for Tigers (MYCAT), Wong Pui May berkata, persatuan itu berharap dengan penerimaan geran itu akan meningkatkan usaha dalam penjagaan hidupan liar di negara itu.

“Dengan Geran ini,maka usaha pihak persatuan akan digiatkan dalam menyebarkan maklumat dan info berkenaan penjagaan dan pemeliharaan hidupan liar khususnya di Selangor dan memberitahu masyarakat tindakan yang boleh dilakukan dalam menjayakan usaha itu,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Teknikal Resource Stewardship Consultants Sdn Bhd (RESCU) , Lim Teck Wyn berkata badan itu dengan penerimaan geran itu akan menumpukan kepada projek pemeliharaan hutan melalui usaha penjagaan pokok kayu bakau.

“Kebanyakkan hutan asli telah dilindungi dan dijadikan hutan simpan tetapi masih ada hutan bakau yang ada diluar hutan simpan, maka kami ada projek untuk pemetaan hutan bakau yang akan dimasukkan ke dalam pewartaan hutan simpan yang belum dilindungi,” katanya.

Categories
NASIONAL

PKR Kutuk Najib Berhubung Tuntutan Kepada BERSIH

SHAH ALAM 25 MEI : Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pakatan Rakyat mengutuk keras pendakwaan terbaru oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak terhadap Pengerusi Bersih, Datuk S. Ambiga serta ahli jawatankuasa Bersih.

Lebih mengecewakan, menurut Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, sehingga kini pihak polis masih tidak dapat memastikan pihak yang bertanggungjawab melakukan kerosakan namun tetap mengambil tindakan undang-undang dan tuntutuan kerugian daripada ahli jawatankuasa Bersih.

“Kecuali bagi kes adik Mohd Safuan Mamat yang dipukul sewaktu dalam usaha menyerah diri dengan sukarela, kes lain polis masih tiada kata putus.

“Jadi adalah tidak adil untuk mendakwa mereka ini dalam kes kerugian yang dialami polis dengan tuntutan sehingga RM 122, 000 atas 15 kenderaan polis termasuk dua trak yang rosak ketika perhimpunan.

“Kita juga tidak jelas bagaimana jumlah ini diperolehi kerana tiada saksi dari kedua belah pihak dan kemungkinan juga kerosakan itu sengaja dilakukan untuk mewujudkan kos kerugian yang besar,” jelas Dr. Wan Azizah dalam kenyataannya.

Mengulas lanjut, beliau menyarankan kerajaan pimpinan Najib untuk fokus kepada lapan tuntutan Bersih daripada sibuk mendakwa gerakan sivil rakyat.

“PKR mendesak Najib untuk memastikan segala sumber ditumpukan dalam usaha membersihkan sistem pilihanraya demi memastikan pilihanraya di Malaysia ini bersih dari sebarang penipuan.

“Kedua-dua Pengerusi dan Timbalan SPRM (Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia) juga seharusnya meletakkan jawatan dan memberi peluang kepada muka-muka baru yang boleh bekerja dengan persatuan sivil dalam usaha menjadikan pilihanraya telus dan bebas,” akhiri beliau.

Categories
SELANGOR

Wan Azizah: Guru Mampu Martabat Mutu Pendidikan Negara

 

KUALA LUMPUR 16 MEI : Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yakin para guru yang ada pada hari ini mempunyai iltizam yang jitu dalam membela dan memartabatkan mutu pendidikan negara bagi mencapai sasaran pendidikan sempurna.

Keyakinan ini diungkapkan oleh  Wan Azizah sempena perutusan hari guru yang jatuh pada hari ini.

“Setiap tahun, pada 16 Mei adalah suatu hari yang sungguh bermakna buat para pendidik terutamanya kepada guru-guru yang sentiasa tabah meneruskan tugas dan tanggungjawab untuk membina anak-anak bangsa yang madani. Begitulah besarnya bakti seorang guru dan sesungguhnya guru adalah penyuluh budi.

“Dikesempatan ini PKR mengucapkan Selamat Hari Guru kepada seluruh pendidik dari peringkat rendah hinggalah peringkat tertinggi. Tahniah buat guru-guru yang telah menjadi teras pembangunan negara dan persaudaraan rakyat.”kenyataan itu dipetik.

Wan Azizh juga memaklumkan dalam cabaran berdepan dengan gelombang globalisasi, kebajikkan guru-guru mestilah dipelihara. Termasuk memantapkan skim pengajian dan elaun guru yang meliputi kesihatan, keselamatan, keluarga dan persaraan mereka.

Jelasnya, inilah yang PKR akan perjuangkan agar kedudukan pendidik ini terbela seterusnya memperkukuhkan lagi sistem pendidikan negara.

Tambahnya lagi, PKR melihat kerjaya sebagai pendidik ini satu pekerjaan yang mulia dan mesti dipergiatkan untuk golongan muda agar minat kepada tenaga pengajar lebih mendalam disamping dapat membantu ekonomi diri, keluarga, masyarakat dan negara amnya.

“Guru adalah pencorak minda dan nilai kemanusian sepertimana di dalam Al-Quran Surah Al-Baqarah ayat ke 269 ada menyatakan bahawa ?Allah memberikan hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendakiNYA (menurut aturan yang ditentukanNYA). Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya,” katanya.

Maka, guru adalah insan yang dipilih untuk membentuk perkembangan minda agar kewarasan dan nilai anak-anak dapat dididik sebaiknya.

Oleh yang demikian, PKR bersama-sama rakan dalam Pakatan Rakyat bertekad dengan memastikan apa yang kita hebahkan dalam buku jingga itu akan kita perkotakan dan laksanakan dengan formula pentadbiran yang telus dan mantap.

Imbuhan RM500 sebulan kepada setiap guru itu merupakan satu dari 10 tawaran Pakatan Rakyat kepada rakyat Malaysia untuk dilaksana dalam masa 100 hari selepas diberi mandat sebagai Kerajaan Pusat baru pada pilihan raya umum akan datang. Tawaran itu turut diisytihar dan dicatat dalam Buku Jingga sempena Konvensyen Pakatan Rakyat pada November 2010.

Categories
NASIONAL

Nik Aziz : Umno-BN Tak Patut Takut Pada Bersih 3.0 Jika Menang Dengan Adil

SHAH ALAM, 5 MEI: Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mempertahankan penganjuran perhimpunan Bersih 3.0 dan berkata ia bukan untuk menggulingkan kerajaan sebaliknya menuntut sistem pilihanraya yang telus dan adil.

Menurut beliau, kerajaan pusat pimpinan Umno-BN tidak sepatutnya takut terhadap tuntutan himpunan tersebut sekiranya mereka selama ini menang dengan cara yang telus dalam pilihanraya sebelum ini.

“Takkan Bersih nak gulingkan kerajaan. Mereka menang selama ini bersih ke?” soal beliau di satu majlis makan malam di sini.

Dalam lawatannya ke Kelantan baru baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata peserta himpunan Bersih ingin menjadikan Dataran Merdeka seperti Tahrir Square di Mesir tahun lepas yang menjatuhkan presiden negara itu Hosni Mubarak.

Jelas Nik Aziz, yang juga Menteri Besar Kelantan, sistem pemerintahan yang dianjurkan Islam merupakan sistem yang terbaik memandangkan Malaysia merupakan negara yang mempunyai masyarakat majmuk seperti negara lain.

Sementara itu, Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail menggesa negeri Pakatan Rakyat yang lain agar mencontohi cara urus tadbir yang dilakukan oleh Kelantan yang dipimpin oleh Nik Aziz.

Katanya, Pakatan tidak harus patah semangat dengan segala tomahan yang dilemparkan oleh Umno-BN dalam usaha Pakatan untuk menawan Putrajaya dan mengingatkan semua pihak bahawa ujian lebih besar akan menanti apabila berjaya memerintah kelak.

Majlis Makan Malam Bersama Pemimpin Pakatan Rakyat di I-City dianjurkan Dewan Pemuda Pas Kelantan. Ia bertujuan untuk mengumpul dana pilihanraya ke-13. Turut hadir Timbalan Pengerusi DAP, Dr Tan Seng Giaw, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dan beberapa pimpinan Pas Kelantan.

Turut diadakan lelongan barangan peribadi milik Nik Aziz selain persembahan dikir barat dari Kumpulan Dikir Barat Warisan Darul Naim.

Categories
NASIONAL

Wan Azizah : 1Care Satu Lagi Agenda Retorik BN

PETALING JAYA 23 MAC : Tindakan Kementerian Kesihatan untuk mewujudkan sistem Kesihatan 1Care (1Care) merupakan satu lagi agenda rektorik politik sempit  kerajaan Umno-BN demi kelangsungan hayat politik mereka.

Perkara tersebut dinyatakan oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr Wan Azizah Wan Ismail berhubung janji Kementerian itu untuk melancarkan satu sesi penerangan seluruh negara bagi menjelaskan dan mendengar pandangan rakyat tentang 1Care.

“Kami mengambil maklum jawapan Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai bahawa rancangan 1Care hanya akan siap dalam masa dua tahun.

“Sebagaimana disebutkan di dalam kenyataan kami sebelum ini, kami mempersoalkan jaminan Menteri Kesihatan sebagaimana rekodnya di dalam kontroversi Lynas,”jelas Azizah.

Azizah turut mempersoalkan tindakan Menteri Kesihatan tersebut yang dilihat sebagai amat mengejutkan selepas 1Care mendapat tentangan daripada rakyat.

“Seperti pengumuman BN yang lain contohnya SBPA, proses perundingan nampaknya dilakukan selepas mendapat kritikan rakyat.

“Kami juga menerima aduan-aduan daripada doktor-doktor yang terlibat di dalam perbincangan mengenai 1Care sebelum ini bahawa tiada proses rundingan dan dialog sebenar. Kerajaan nampaknya akan meneruskan 1Care,”katanya.

Mengulas lanjut perkara ini, Azizah berharap agar Menteri Kesihatan akan memberi respons terhadap cadangan Pakatan Rakyat sebelum ini bagi langkah-langkah segera bagi menambahbaik system kesihatan Negara.

Dalam kenyataan sebelum ini, Azizah mendedahkan perbelanjaan kesihatan kerajaan sebanyak 2.2 peratus daripada KDNK pada 2008 adalah lebih rendah daripada cadangan WHO sebanyak 5 hingga 6 peratus.

WHO juga menganggarkan bahawa 20 hingga 40 peratus perbelanjaan kesihatan kerajaan dibazirkan kerana ketidakcekapan termasuk rasuah.

“Justeru memperkenalkan 1Care tanpa mengatasi ketidakcekapan ini hanya akan membuka ruang untuk meningkatkan rasuah yang membebankan sistem kesihatan negara.

Aziziah menambah, amalan lazim kepimpinan kerajaan Umno-BN seperti penswastaan pelbagai sektor sistem kesihatan negara sepanjang dua dekad ini, bukanlah jawapan untuk meningkatkan kecekapan, sebaliknya hanya meningkatkan ketirisan.

Ini termasuklah penswastaan Stor Perubatan Kerajaan, Hospital-Hospital Universiti, Jabatan Kardiologi dan Perkhidmatan Sokongan Hospital yang telah membawa peningkatan kos yang tinggi tanpa meningkatkan kecekapan.