Categories
AGENSI SELANGOR

Pinjaman Hijrah beri impak positif, usahawan kini bergelar ikon

SHAH ALAM, 9 FEB: Peminjam Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) tidak menyangka keputusan meminjam RM5,000 pada 2016 memberi impak positif sehingga berjaya dinobat sebagai Ikon Usahawan Sukses Hijrah yang pertama.

Pengusaha rangkaian restoran Mios Kitchen Mior Amin Badalishah, 32, berkata pada awalnya pinjaman dibuat untuk menambah baik perniagaannya di beberapa medan selera.

Mior Amin berkata ia seterusnya meningkat kepada RM30,000 sehingga RM100,000 dan digunakan untuk membuka rangkaian restoran di Bandar Kinrara, Seksyen 13 Shah Alam, Putrajaya dan Bandar Baru Ampang.

Pemilik restoran Mios Kitchen, Mior Amin Badalishah bercakap kepada SelangorKini ketika Kembara Sukses Hijrah Selangor di Laman Seri, Shah Alam pada 8 Februari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Hijrah bukan sekadar memberi pinjaman wang tetapi turut membimbing usahawan dengan menyediakan kursus sehingga perniagaan berkembang. Sokongan ini membolehkan saya menerima anugerah Usahawan Sukses sebanyak tiga kali berturut-turut sehingga dipilih Ikon Usahawan Sukses Hijrah.

“Saya berterima kasih dan bersyukur dengan pengiktirafan diberikan. Ini bukan usaha saya seorang tetapi adalah kerjasama semua kakitangan dan setiap perniagaan diceburi bermula dari bawah,” katanya ditemui di cawangan Mios Kitchen di Laman Seri di sini.

Semalam, Hijrah mengunjungi tiga usahawannya yang berjaya dalam perniagaan menerusi Program Kembara Sukses Hijrah 2022 termasuk restoran Mios Kitchen.

Dua lagi usahawan ialah Norliza Aizul Zulkifli, pengusaha produk kesihatan dan kecantikan serta Mahmud Mastam (pengusaha produk makanan).

Usahawan produk kesihatan dan kecantikan, Norliza Aizul Zulkifli menunjukkan produknya ketika Kembara Sukses Hijrah Selangor di Bukit Jelutong, Shah Alam pada 8 Februari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Norliza, 42, berkata beliau memulakan perniagaan menghasilkan dua jenis jamu untuk wanita di kediamannya bersama suami sembilan tahun lalu tanpa modal.

“Namun, kawan memperkenalkan skim Hijrah dan di peringkat awal membuat keputusan meminjam RM5,000. Dengannya, saya dapat menambah lebih banyak produk kesihatan untuk wanita dan lelaki.

“Sekarang pinjaman meningkat RM100,000 dan dimanfaatkan membeli mesin baharu dan pemasaran. Alhamdulillah, kini saya mempunyai 400 ejen serta perniagaan sudah memasuki pasaran Brunei, Singapura dan Australia,” katanya.

Mahmud Mastam memberi makan arnab ketika Kembara Sukses Hijrah Selangor di Jalan Kebun, Shah Alam pada 8 Februari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Mahmud, 46, pula berkata pinjaman Hijrah dapat mengembangkan perniagaan kerana membantunya membuat modal pusingan.

“Hijrah tidak membiarkan peminjamnya malah membantu dalam segala aspek. Proses juga mudah berbanding agensi lain dengan bayaran mingguan tidak membebankan,” katanya.

Categories
EKONOMI PERSONALITI RENCANA RENCANA

Hampir ranap gara-gara beri hutang, usahawan pes tumis kini popular di Shopee

Termangu-mangu Hashima Hassan, 42 melihat angka hutang pelanggan. Hampir mencecah RM50,000. Malah, ada kalangan penghutang telah pun gulung tikar.

Fikirannya berserabut. Kekurangan modal pusingan gara-gara hutang lapuk menyebabkan perniagaannya sukar meneruskan operasi.

“Bagaimana hendak kutip hutang orang yang muflis?” Usahawan pes tumis itu kebingungan saat dihimpit masalah pada 2018 ketika baru dua tahun berniaga.

Hashima menggagahkan diri mengutip hutang. Cuma sebahagian kecil dapat dipungut. Terlintas juga untuk berhenti niaga. Namun, hasrat itu dibuangnya jauh-jauh berkat sokongan ahli keluarga.

Hasilnya, jenama Shimaz Tumisan Bonda kini diiktiraf antara jualan tertinggi di Shopee pada 2021. Produk tanpa pengawet itu juga dipasarkan di pasar raya Segi Fresh dan Kohijrah.

Selain itu, Hashimah juga mengenal pasti kesilapannya. Lantaran mentah dalam selok-belok perniagaan, ibu empat anak itu mudah lembut hati memberi hutang.

Kerenah beberapa restoran dan penjual yang hutang mereka berpukal-pukal hampir meranapkan perniagaannya.

Mujur suami Khairul Azhar Bahari, 43, yang bekerja dalam bidang komunikasi rela berkorban masa dan tenaga. Berbekal sisa modal, mereka menggandakan pemasaran di media sosial dan Shopee. Perniagaan tersebut bangkit semula.

Beri percuma

Shimaz Tumisan Bonda bermula dengan modal permulaan RM800. Hashima menghasilkan empat jenis pes tumisan segera kari ikan, ikan bakar, nasi goreng dan masak lemak secara kecil-kecilan di rumah.

“Mula-mula susah mahu jual. Saya banyak beri percuma kepada jiran, saudara-mara dan kawan-kawan tetapi lama-lama ramai yang beli,” kata beliau kepada Selangorkini di kilangnya di Shah Alam baru-baru ini.

Selepas setahun, Hashima menyewa premis berikutan perniagaan kian berkembang. Beliau mendapat kepercayaan pelanggan besar yang mempunyai jenama sendiri dan pengusaha rangkaian restoran. Mereka menjenamakan semula produk Shimaz Tumisan Bonda.

Pengasas Shimaz Tumisan Bonda Hashima Hassan (kiri) menunjukkan mesin steril bagi memastikan produk pes keluarannya tahan lama di Berjaya Park, Shah Alam pada 3 Disember 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Kesungguhan itu mendapat perhatian Exco Usahawan Negeri Selangor, Rodziah Ismail yang membantunya memperoleh mesin steril bernilai RM30,000 pada 2019. Mesin tersebut menjadikan produknya bertahan hingga dua tahun tanpa pengawet.

“Kami tidak guna pengawet supaya lebih sedap. Sebab itulah bila ada mesin steril sangat membantu produk tahan lama,” kata Hashima.

Agensi antaranya Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia dan Jabatan Pertanian turut memberi geran untuk membeli kelengkapan mesin memasak dan membungkus.

Jualan melonjak

Perniagaannya kian maju. Beliau sekali lagi berpindah ke premis lebih besar di Berjaya Park, Seksyen 32, Shah Alam. Hashima juga meminjam RM5,000 daripada Yayasan Hijrah bagi menambah peralatan di kilang baharu.

Sebuah lagi mesin steril berharga kira-kira RM60,000 dibeli pada April tahun lalu bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran kepada 1,200 bungkus pes sehari.

Ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan pada Mac 2020, jualan produknya melonjak sehingga mencecah 11,500 bungkus seminggu.

“Mungkin sebab masa itu orang cuma duduk rumah. Jadi jualan dalam talian melonjak tinggi,” kata Hashima.

Bermula empat jenis produk, jenama Shimaz Tumisan Bonda berkembang kepada 20 produk pelbagai pes tumisan segera.

Beliau juga mampu menggaji sembilan pekerja antaranya golongan fakir miskin dan orang kelainan upaya, sesuatu yang diazaminya ketika mula berniaga.

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Hijrah sasar 100 usahawan mohon skim i-Lestari sehingga akhir tahun

SHAH ALAM, 11 NOV: Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) menyasarkan 100 usahawan menerima pembiayaan skim i-Lestari sehingga akhir tahun ini, kata pengurus promosinya.

Mohd Ridhwan Asmara berkata skim diperkenal akhir bulan lalu menawarkan pembiayaan antara RM51,000 hingga RM100,000 kepada usahawan terlibat dalam semua aktiviti ekonomi.

Beliau menjelaskan seramai 27 individu mendapat manfaat tersebut dengan nilai pembiayaan RM2.56 juta setakat ini, majoriti terlibat dalam perniagaan pembekal dan perkhidmatan.

“Kita menyeru mereka yang sudah menjalankan perniagaan serta memiliki lesen Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) agar memanfaatkan skim ditawarkan.

“Ini selari dengan hasrat kita (Hijrah) untuk membantu peniaga mengembangkan lagi aktiviti perniagaan sekali gus bangkit semula selepas terkesan akibat pandemik Covid-19,” katanya ketika dihubungi semalam.

Individu berminat boleh memohon melalui laman sesawang www.hijrahselangor.com atau hubungi pegawai pembiayaan di 20 cawangan Hijrah.

Pada 27 Oktober, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melancarkan skim i-Lestari, i-Agro dan i-Bermusim di bawah Hijrah yang berkonsepkan islamik.

Skim berkenaan diperkenal bagi usahawan memulih dan memulakan semula perniagaan terjejas susulan Covid-19.

Amirudin menjelaskan jumlah pinjaman ditingkatkan daripada RM50,000 kepada RM100,000 untuk mengembangkan perniagaan.

Categories
AGENSI SELANGOR

Usahawan Hijrah perlu sahut cabaran teroka pasaran baharu

SHAH ALAM, 30 MAC: Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) melaksanakan program Kompas Keusahawanan untuk meningkatkan produktiviti perniagaan usahawan di negeri ini.

Pengarah eksekutifnya berkata golongan tersebut perlu diberi latihan untuk meningkatkan potensi diri serta meneroka pasaran dan mencari idea perniagaan baharu.

“Kita tidak mahu tahap perniagaan usahawan yang mendapat pinjaman Hijrah berada statik, kita mahu ada peningkatan.

“Mereka perlu melangkah ke tahap baharu dan ini cabaran kepada Hijrah dan pihak yang menerima pinjaman,” kata Dato’ Seri Mohamad Suparadi Md Noor sempena Sambutan Ulang Tahun Hijrah keenam di Perbadanan Perpusatakaan Awam Selangor (PPAS) semalam.

Hijrah yang ditubuhkan enam tahun lalu bertujuan mengeluarkan modal mudah, cepat dan tidak membebankan peniaga kecil yang sering menghadapi isu kekangan modal.

Ketika awal penubuhan Hijrah, Kerajaan Negeri melaksanakan Skim Mikro Kredit dengan modal pusingan RM100 juta.

Inisiatif membantu usahawan ditambah baik menerusi program Zero To Hero dengan melatih dan memantau peserta dikendalikan syarikat peneraju terpilih.

Pada 10 Februari lepas, Kerajaan Negeri melancarkan Skim Niaga Darul Ehsan (NaDi) bagi membantu individu yang baharu menjalankan perniagaan dengan tawaran pinjaman antara RM1,000 hingga RM5,000.

Turut dilancarkan Go Digital untuk membantu usahawan sedia ada beralih ke arah pendigitalan menerusi pinjaman pembelian alat telekomunikasi.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Usahawan Hijrah bantu penduduk setempat dapat peluang kerja

SABAK BERNAM, 23 DIS: Usahawan dibantu Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) kini berjaya membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

Perkara itu terbukti apabila pengusaha kuih kapit, Shafinaz Ainaa Muslim sudah mampu menggaji tujuh pekerja terdiri dari kaum wanita di sekitar Tanjung Karang.

Usahawan Syafinaz Aina ditemu bual Media Selangor selepas Lawatan Kembara Sukses Hijrah di Haq Rich Enterprise, Tanjung Karang pada 21 Disember 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Saya mahu perniagaan yang diusahakan membantu kaum hawa menjana pendapatan dan sudahpun membuka peluang kepada suri rumah menjadi ejen untuk menjual kuih kapit ini.

“Terkini, ada ejen jualan memperoleh pendapatan mencecah RM5,000 sebulan, terima kasih kepada Hijrah kerana akhirnya saya dapat membantu orang lain menjana pendapatan,” kata pengusaha Ratu Kapit berusia 35 tahun kepada SelangorKini.

Beliau membuat pinjaman terkumpul dari Hijrah sebanyak RM15,000 dan kini produknya juga sudah menembusi pasaran China, Australia, Vietnam dan Thailand.

Sementara itu, Syamsul Amir Ahmad juga usahawan dibantu agensi Kerajaan Negeri itu sudahpun mempunyai empat cawangan kedai aksesori telefon bimbit dinamakan Cikgu Gadget iaitu masing-masing dua di Sungai Besar dan Tanjung Karang.

Beliau tidak menyangka kedainya dibuka di kawasan luar bandar kini dapat membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

Usahawan Syamsul Amir Ahmad ketika ditemu bual Media Selangor selepas sesi Lawatan Kembara Sukses Hijrah di kedai aksesori telefon bimbit, Cikgu Gadget, Sungai Besar pada 21 Disember 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Saya hanya membuat pinjaman dengabn Hijrah iaitu RM50,000 untuk membuka cawangan Cikgu Gadget, sekarang mempunyai 10 pekerja dan kebanyakannya anak muda.

“Dengan modal diperoleh saya dapat membuka lebih banyak cawangan sekali gus membolehkan ramai penduduk mendapat pekerjaan,” kata usahawan berusia 40 tahun.

Kedua-dua usahawan berkenaan ditemui ketika Program Kembara Sukses Hijrah 2020 oleh EXCO Pembangunan Usahawan, Rodziah Ismail dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Hijrah, Normaiza Yahya.

Rodziah berkata, seramai 66 usahawan dari 20 cawangan seluruh Selangor tercalon menerusi Program Kembara Sukses Hijrah 2020 kali ini dan 21 daripadanya berjaya dipilih.

Bagi fasa pertama selain Shafinaz Ainaa dan Syamsul Amir Ahmad, beliau turut mengunjungi tiga usahawan lain iaitu Elyna Muhammad Hambali selaku pengusaha bengkel kereta, Mohd Faizal Sarwani (pengusaha gerai ayam bakar) dan Siti Zubaidah Husni (pengusaha kedai runcit).

Kesemua usahawan berkenaan menerima sijil penghargaan dan sumbangan hamper dari Hijrah.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Hijrah sediakan skim pinjaman beli alatan telekomunikasi

SABAK BERNAM, 22 DIS: Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) merancang mewujudkan skim pinjaman pembelian perkakas seperti alatan telekomunikasi bagi melahirkan lebih ramai usahawan digital di negeri ini.

EXCO pembangunan usahawan berkata ia bakal dilaksanakan bermula tahun hadapan bagi memudahkan golongan berkaitan terutama di kawasan luar bandar.

“Bukan saja perkakas seperti alatan telekomunikasi tetapi kita juga boleh bantu membina sistem pembayaran e-dompet dan kaedah jualan dalam talian.

“Ini kerana Kerajaan Negeri menuju ke arah pendigitalan termasuk melibatkan usahawan, kita akan bantu mereka menerusi skim pinjaman ini yang akan diumumkan kelak,” kata Rodziah Ismail kepada SelangorKini selepas berkunjung ke Kedai Cikgu Gajet menerusi Kembara Sukses Hijrah 2020 di sini semalam.

Hadir sama Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Hijrah, Normaiza Yahya.

Mengulas lanjut, Rodziah berkata, Hijrah menyasarkan 5,000 lagi usahawan akan dilahirkan sepanjang tahun hadapan.

“Tidak dinafikan, sepanjang Covid-19 terdapat penurunan jumlah peminjam Hijrah, ini mungkin kerana usahawan lebih berhati-hati namun dari sudut lain mereka sudah mula beralih kepada jualan dalam talian.

“Oleh itu kita akan membantu kumpulan ini untuk bersama-sama terus melangkah maju,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

EXCO: Lahir 56,000 usahawan, Hijrah terus membantu

SABAK BERNAM, 22 DIS: Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) berjaya melahirkan seramai 56,000 usahawan dalam tempoh enam tahun.

EXCO pembangunan usahawan berkata usaha tersebut bermula sejak 2015 dengan menggunakan peruntukan pinjaman sebanyak RM244 juta.

“Ramai di antara usahawan berkenaan sudahpun berjaya dalam perniagaan masing-masing. Oleh sebab itu, kita mahu jejak mereka semula dan kisahnya dikongsi dengan masyarakat.

“Melalui kisah kejayaan sebegini, mungkin lebih ramai terdorong untuk bergelar usahawan pada masa akan datang. Malah Hijrah sedia membantu mereka,” kata Rodziah Ismail ketika sesi Kembara Sukses Hijrah Selangor di sini semalam.

Hadir sama, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Hijrah, Normaiza Yahya dan Pengurus Bahagian Khidmat Profesional Hijrah, Nur Siti Hazliana Mat Hashim.

Rodziah berkata, seramai 66 usahawan dari 20 cawangan seluruh Selangor tercalon menerusi Program Kembara Sukses Hijrah 2020 kali ini dan 21 daripadanya berjaya dipilih.

Bagi fasa pertama, beliau mengunjungi lima usahawan iaitu Elyna Muhammad Hambali selaku pengusaha bengkel kereta, Shafinaz Ainaa Muslim (pengusaha kuih kapit traditional), Mohd Faizal Sarwani (pengusaha gerai ayam bakar), Syamsul Amir Ahmad (pengusaha aksesori telefon bimbit) dan Siti Zubaidah Husni (pengusaha kedai runcit).

Kesemua usahawan berkenaan menerima sijil penghargaan dan sumbangan hamper dari Hijrah.

Categories
SELANGOR

Pembiayaan HIJRAH bakal selesai hujung Januari

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 8 JAN: Permohonan pengeluaran bayaran pembiayaan Yayasan Hijrah Selangor (HIJRAH) bagi yang tertangguh akan diselesaikan selewat-lewatnya penghujung Januari ini.

Pengerusi Eksekutifnya, Dato’ Mansor Othman berkata, ia sejajar dengan hasrat HIJRAH yang optimis membantu peniaga kecil mencapai objektif melebarkan kelas menengah sekali gus menangani isu kemiskinan di Selangor.

“Kerajaan Negeri turut maklum perkara berkenaan dan Dato’ Menteri Besarm Amirudin Shari juga sudah mengarahkan perkara itu ditangani secepat mungkin.

“Oleh itu, Kerajaan Negeri melalui pelaksanaan mikrokredit yang dilaksanakan HIJRAH komited dalam pembangunan usahawan di Selangor,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan 15 individu menyerahkan memorandum kepada pengurusan HIJRAH ekoran kelewatan pengeluaran bayaran pinjaman penerima skim itu yang sepatutnya diterima akhir tahun lepas.

HIJRAH adalah program Mikrokredit Bersepadu hasil cetusan daripada mantan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, dengan menggabungkan skim mikrokredit SKIMSEL, MIMBAR dan WALA yang mula dilaksanakan sejak 2010.

Untuk rekod, pada pembentangan Belanjawan Selangor 2019, Kerajaan Negeri turut memperuntukkan RM25 juta bagi kesinambungan perlaksanaan program mikrokredit HIJRAH.

Amirudin berkata, pada suku ketiga 2018, HIJRAH berjaya menyalurkan modal pinjaman kepada seramai 54,609 usahawan dengan nilai pinjaman berjumlah RM405.47 juta.

“Daripada dana peruntukan RM185 juta, Hijrah berjaya menyalurkan gandaan pinjaman kepada RM405.47 juta,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, dengan kadar bayaran balik pinjaman melebihi 80 peratus, HIJRAH berjaya menjana dana pusingan untuk menambahkan lagi jumlah pinjaman dan menambahkan bilangan usahawan baru.

Amirudin berkata, rekod prestasi juga menunjukkan seramai 10,120 usahawan dengan nilai pinjaman RM 188.55 juta berjaya dijana melalui pembiayaan modal pusingan pinjaman kali kedua dan ketiga.

 

 

Categories
SELANGOR

HIJRAH bantu ‘otai’ tulisan khat

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 27 DIS: Sabar, teliti dan ekpresi mendalam antara kesukaran tetap dirasai untuk menghasilkan karya dalam seni kaligrafi khat Jawi yang halus, indah dan berkualiti tinggi.

Bagaimanapun, minat mendalam terhadap seni kaligrafi khat atau tulisan Jawi mendorong Ahmad Dini Juri atau Pak Dini, 71, menceburi perniagaan berasaskan hasil seni itu.

Pak Dini yang terkenal kerana kerap berlakon dalam sesebuah filem dan drama kini rancak membangunkan Gallery Dinie Juri Enterprise, di Rumah Kartun dan Komik Malaysia (RKKM), terletak di Taman Botani Perdana, Kuala Lumpur.

Memegang prinsip ‘kita perlu mencintai apa yang kita buat’, beliau turut mengakui minat dan kebolehannya bukan sahaja dapat menyumbang kepada kegemilangan tulisan Jawi, bahkan mampu memberi pulangan lumayan jika dilakukan bersungguh-sungguh.

Pak Dini berkata, demi mencetuskan aliran baharu dalam tulisan Jawi, beliau bertekad mendapatkan bantuan pembiayaan daripada Yayasan Hijrah Selangor (HIJRAH) dengan pinjaman pertama sebanyak RM10,000.

Katanya, menerusi bantuan itu, beliau dapat menambah peralatan baharu termasuk bahan mentah dengan kuantiti yang lebih banyak dan harga lebih murah.

“Saya menganggap pinjaman HIJRAH adalah sebagai satu amanah untuk memperbesarkan lagi perniagaan, malahan menumpukan pinjaman ini untuk menjalankan projek memartabatkan kembali tulisan Jawi.

“Alhamdulillah, melalui HIJRAH saya rasa ‘segar’ dalam memperjuangkan karier kerana pinjaman ini tidak mempunyai sebarang kadar faedah dan tidak menekan peminjam,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama, bapa kepada 19 anak itu turut memasang cita-cita mewujudkan sebuah galeri khas bagi tujuan pembelajaran seni tulisan khat Jawi, terutama kepada anak Melayu.

“Untuk pinjaman HIJRAH, saya menumpukan ke arah projek membangunkan kembali tulisan Jawi yang memerlukan bahasa al-Quran, selain terus melukis kartun dan potret.

“Hal ini kerana ramai anak Melayu masih lemah dalam penguasaan tulisan Jawi, oleh sebab itu saya mahu membangunkan sebuah galeri supaya mereka dapat diajar dan dididik dengan tulisan Jawi melalui seni kaligrafi.

“Sesiapa sahaja yang berminat untuk bersama memperjuangkan kembali tulisan Jawi, mereka boleh belajar dan pada masa sama boleh menjual dan memasarkan hasil seni daripada galeri ini,” katanya.

Selain itu, Pak Dini juga pernah menyertai beberapa pameran dalam karya tulisan Jawi yang dilukis pada kanvas bersaiz 4×5 dan 4×6, mengikut standard pameran antarabangsa.

Categories
SELANGOR

HIJRAH dan Jawatankuasa Pendidikan ‘bergabung’ mantap potensi diri usahawan

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 13 JUL: Yayasan Hijrah Selangor (HIJRAH) menjalinkan kerjasama dengan Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi Selangor menganjurkan Program INSAN bagi memberikan latihan serta membina jati diri usahawan.

Pengerusi Eksekutif HIJRAH, Datuk Mansor Othman, berkata program kursus ini merupakan usahasama bersepadu bertujuan membina usahawan berwawasan dan berdaya saing, berkemahiran dan proaktif.

MANSOR OTHMAN“Usahasama ini memberi manfaat secara terus kepada kumpulan sasar yang kebanyakannya terdiri daripada golongan berpendapatan rendah.

“Program latihan diberikan ini memperkukuhkan keberkesanan pelaksanaan HIJRAH terutamanya mengenai aspek pembangunan insan selain mengasah potensi dan keyakinan peserta dalam bidang perniagaan,” katanya.

Beliau berkata, INSAN yang dimulakan mengikut DUN ini terbahagi kepada dua kumpulan sasaran membabitkan kelompok usahawan dan anak-anak kepada usahawan HIJRAH.

“Ia diadakan setiap minggu dengan matlamat memantapkan budaya berfikiran positif serta membina budaya kerjapeserta selain mengaplikasi teknik psikologigunaan (NLP) bagi mencapai matlamat sebenar program.

“Manakala program latihan anak-anak peserta pula bermatlamat memberdayakan modal insan dengan memberi pendedahan serta mempertingkatkan kefahaman dalam memperkasa ilmu, emosi, keimanan, ketahanan fizikal serta mental peserta,” katanya.

NIK NAZMI (1)Semantara itu, Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains,Teknologi dan Inovasi, Nik Nazmi Nik Ahmad yakin INSAN yang dijalankan sejak tahun lalu mampu melahirkan lebih ramai ejen perubah dalam kalangan rakyat ke arah membina kemajuan dan pembangunan mampan.

“Kerjasama ini dialu-alukan kerana keselarian objektif kedua-dua program tersebut sekali gus mendekatkan lagi kepada cita-cita melahirkan rakyat berilmu menjayakan gagasan Smart Selangor yang peduli seperti saranan Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali,” katanya.

Program latihan ‘Kursus Keusahawanan: Anda Juara’ melibatkan 80 peserta daripada Kota Raja dan Kuala Langat dijadualkan berlangsung pada 23 Julai depan.

Sejak dilancarkan pada 24 Mac lalu, lebih 26,000 usahawan di seluruh Selangor menerima manfaat dengan perolehan pinjaman RM1,000-RM50,000 sebagai modal tambahan melonjakkan perniagaan.

-nR-

Categories
SELANGOR

MOU Hijrah-CNI perkasa pembangunan usahawan Selangor

OLEH : ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 3 JUN : Permeteraian Perjanjian Memorandum Persefahaman (MOU) antara Yayasan Hijrah Selangor (HIJRAH) dan CNI Corporation Sdn. Bhd mampu menjana kepada pembangunan ekonomi usahawan di seluruh negeri.

Pengurus Operasi HIJRAH, Roslim Akhir, berkata inisiatif tersebut dapat membuka peluang lebih besar kepada usahawan seluruh negeri untuk lebih berdaya saing seiring kehendak pasaran.

HIJRAH CNI“Kerjasama ini tidak terhad kepada pemberian pinjaman kepada usahawan CNI sahaja, tetapi persefahaman ini juga turut beberapa gerak kerja bersama menerusi penganjuran kursus keusahawanan.

“Di pihak CNI sendiri memang mempunyai beberapa fasiliti dan komponen penting untuk membuka jaringan kerjasama ini kerana mereka mempunyai kemudahan serba lengkap untuk membantu usahawan.

“Menerusi jaringan ini, HIJRAH guna peluang ini untuk membantu usahawan mereka dengan memberikan modal pinjaman jangka panjang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui SelangorKini selepas Majlis Permeteraian Perjanjian MOU bersama wakil CNI, Pengarah Esekutif CNI, Chan kOK Liang di Diamond Hall, CNI Enterprise Hicom Glenmarie Industrial Park, di sini petang tadi.

MOU persefahaman itu mefokuskan usahama antara kedua-dua pihak untuk memperlebar jaringan keusahawanan peniaga-peniaga di seluruh Selangor.

Menerusi pemeteraian itu juga Roslim berkata, usahawan CNI dari Selangor berpeluang membuat pinjaman kewangan tanpa faedah daripada HIJRAH untuk meningkatkan jaringan keusahawanan mereka.

HIJRAH CNI 1“Selain daripada memberikan pembiayaan modal kepada usahawan, HIJRAH juga menyediakan kursus-kursus keusahawanan peminjam seluruh negeri.

“Pada masa yang sama anak-anak usahawan juga turut diberikan bantuan contohnya kami mengadakan kem motivasi untuk tujuan pembangunan kebajikan mereka,” katanya.

Sehingga kini, seramai lebih 23,000 peminjam pembiayaan Skim Mikrokredit Hijrah menerima manfaat daripada peruntukan RM116 juta yang dikeluarkan Kerajaan Negeri.

-nR-