Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

KUIS kutip zakat RM7.2 juta dalam tempoh lima tahun

OLEH NADIAH ZAMLUS

SEMENYIH, 23 MEI: Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) berjaya mengutip dana zakat sebanyak RM7.2 juta dalam tempoh lima tahun.

Rektornya, Dato’ Dr Ab Halim Tamuri berkata, sementara jumlah kutipan wakaf adalah sebanyak RM1.2 juta, juga bagi tempoh yang sama.

“Kutipan ini dibuat untuk membantu pelajar-pelajar KUIS yang kurang berkemampuan dan ianya diperkasakan sejak 2014.

“Terima kasih diucapkan kepada semua penyumbang yang sudi berzakat dan berwakaf di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sembah ucapan Majlis Berbuka Puasa Sultan Selangor bersama rakyat dan penyampaian sumbangan hari raya di Masjid Al Azhar KUIS, di sini hari ini.

Hadir mencemar duli, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, serta turut hadir, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dan Pengarah JAIS, Dato’ Haris Kasim.

Pada majlis berkenaan baginda turut berkenan menyerahkan sumbangan Aidilfitri kepada 250 pelajar KUIS terdiri daripada asnaf, fakir miskin dan mualaf.

Ab Halim berkata, pada tahun ini, seramai 186 orang mahasiswa dan mahasiswa KUIS telah mendapat bantuan Lembaga Zakat Selangor.

Katanya, ia berdasarkan bancian ke atas asnaf fakir dan miskin mengikut had kifayah.

“Manakala bantuan bagi asnaf mualaf pula seramai 66 orang, semoga sumbangan ini dapat meringankan beban yang ditanggung oleh penerima,” katanya.

Categories
NASIONAL

Jangan tangguh tunai zakat fitrah, bayar melalui amil yang sah

ALOR SETAR, 23 Mei: Umat Islam di Kedah dinasihatkan supaya tidak menangguhkan kewajipan menunaikan zakat fitrah dan memastikan bayaran dibuat melalui amil sah yang mempunyai kad kuasa bagi mengelakkan penipuan.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Syeikh Zakaria Othman berkata, bayaran awal juga dapat mengelakkan orang ramai terlupa menunaikan kewajipan itu, kerana sibuk dengan persiapan hari raya.

“Jangan tangguh dan malam raya baru nak bayar, kerana waktu itu sibuk nak beli baju, kuih raya dan orang ramai sesak hingga ada yang lupa nak bayar fitrah sampailah terbit fajar satu Syawal,” katanya selepas majlis Penyerahan Bantuan Pendidikan LZNK di Maktab Mahmud di sini, hari ini.

Beliau berkata bagi negeri ini, orang ramai boleh membuat bayaran zakat fitrah dengan tiga jenis kadar iaitu RM7, RM14 dan RM21 menerusi 621 kaunter serta pusat kutipan di seluruh negeri.

Sementara itu Syeikh Zakaria berkata sebanyak RM6.13 juta Bantuan Pendidikan LZNK diperuntukkan untuk diagihkan kepada sekolah pondok, Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan para pelajar yang melanjutkan pengajian ke luar negara. -BERNAMA

 

Categories
AGAMA NASIONAL

Agihan Zakat Selangor hanya untuk orang Islam

 

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 21 MEI: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menegaskan pengagihan zakat di negeri itu adalah hanya untuk umat Islam sahaja dan bukan untuk disalurkan kepada agama lain.

Ketua Pegawai Penyelarasnya, Abdul Basith Hamid berkata, skop pengagihan zakat di Selangor yang diuruskan pihaknya adalah berdasarkan kepada hukum syarak meliputi lapan kategori asnaf seperti dijelaskan dalam surah at-Taubah ayat 60.

“Kita ingin menegaskan bahawa agihan zakat di Selangor hanya kepada umat Islam dan menafikan ia akan disalurkan kepada agama lain.

“Ini bagi menepis kekeliruan masyarakat berkaitan pekeliling dalaman yang dikeluarkan organisasi ini berhubung penggunaan motto baharu ‘Manfaat Zakat Untuk Semua’ yang tular di media sosial dan WhatsApp serta menimbulkan kekeliruan di kalangan masyarakat sejak semalam,” katanya dalam kenyataan.

Kenyataan itu dikeluarkan semula selepas isu pekeliling wang zakat Selangor didakwa diberikan kepada mereka bukan beragama Islam kembali tular di laman sosial.

Abdul Basith menegaskan bahawa tahun ini pihaknya mengubah motto lama iaitu ‘Meneraju Perubahan’ kepada motto baru iaitu ‘Manfaat Zakat Untuk Semua’ yang membawa maksud sangat luas dengan menggambarkan ibadah zakat.

Katanya, walaupun hanya dikhususkan kepada umat Islam tetapi manfaatnya dinikmati semua ahli masyarakat dalam kitaran ekonomi dan sosial.

“Ini selaras dengan peranan zakat yang mensucikan dan menyuburkan.

“Sekiranya taraf kehidupan asnaf dipertingkatkan secara tidak langsung akan meningkatkan taraf sesebuah negeri atau negara serta kepada rakyatnya tanpa mengira bangsa atau agama,” katanya.

Dalam kenyataan sama, beliau berkata, LZS tidak ada kaitan dan tidak dipengaruhi mana-mana pihak termasuk parti politik serta akan terus menyantuni asnaf di Selangor bagi meningkatkan taraf kehidupan mereka.

“LZS sentiasa mematuhi Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 dan Peraturan-Peraturan Zakat Dan Fitrah (Negeri Selangor) 2012 dalam melaksanakan operasi agihan dan kutipan zakat di Negeri Selangor.

“Agihan dan kutipan zakat di negeri Selangor sentiasa mengikut hukum syarak dan ia dipantau rapi oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) serta dikawal selia oleh jawatankuasa yang dilantik termasuk Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Sultan Selangor terima bayaran zakat perniagaan RM10.8 juta

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

BUKIT JELUTONG, 20 MEI: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima pembayaran zakat perniagaan daripada enam syarikat korporat bernilai RM10,835,939.03 juta pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, di sini hari ini.

Enam syarikat korporat berkenaan adalah Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) yang diwakili Pengurus Besar Kewangan, Ahmad Rizal Omar, menunaikan zakat perniagaan sebanyak RM4,414,826, diikuti Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Raja Shahreen Raja Othman yang mengeluarkan zakat sebanyak RM1,761,293.03.

Kumpulan Syarikat Rafulin Holdings Sdn Bhd yang mewakilkan Pengarah Urusan, Dato’ Mohamed Raffe Chekku menunaikan zakat perniagaan berjumlah RM1,339,820, manakala Universiti MAHSA yang diwakili Pengerusinya, Prof Tan Sri Datuk Dr Mohamed Haniffa Abdullah menunaikan zakat berjumlah RM1,320,000.

Sementara itu, Sime Darby Property diwakili Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif, Dato’ Wan Hashimi Al Bakri mengeluarkan zakat perniagaan berjumlah RM1,000,000 dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) mewakilkan Pengurus Besar Kumpulan, Tamby Omar Mohamed menunaikan zakat perniagaan berjumlah RM1,000,000.

Pada majlis yang sama, Sultan Sharafuddin turut berkenan menyampaikan sumbangan Hari Raya kepada 70 asnaf fakir, 211 asnaf miskin dan 53 asnaf mualaf sebanyak RM500 setiap seorang membabitkan jumlah zakat RM219,500.

Baginda juga berkenan menyampaikan insentif berjumlah RM10,000 kepada Johan Qari Peringkat Antarabangsa 2019, Abdul Khair Jalil.

Sultan Sharafuddin kemudiannya bersama hadirin berbuka puasa sebelum menunaikan solat Maghrib berjemaah diikuti solat Isyak serta tarawih.

Terdahulu, keberangkatan tiba baginda diiringi isteri, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah serta Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari

Hadir sama, Mufti Selangor, Dato’ Mohd Tamyes Abdul Wahid; Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Dato’ Mohammed Khusrin Munawi; Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Dato’ Haris Kasim dan Ketua Pegawai Penyelaras Lembaga Zakat Selangor (LZS), Abdul Basith Hamid.

 

Categories
AGAMA EKONOMI

Sedeqah, wakaf perlu diperkukuhkan biayai aset berisiko

KUALA LUMPUR, 6 OKT: Penggunaan elemen kewangan sosial Islam seperti sedekah dan wakaf sebagai pilihan baharu pembiayaan untuk aset berisiko seperti keperluan perniagaan syarikat pemula niaga perlu diperkukuhkan dan dirasmikan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Antarabangsa Pendidikan Kewangan Islam (INCEIF), Profesor Datuk Dr Mohd Azmi Omar, berkata walaupun persekitaran kewangan Islam Malaysia berkembang pesat, ia perlu melihat kepada segmen lain, iaitu kewangan sosial Islam.

Dengan kutipan zakat di seluruh dunia mencecah US$500 bilion setahun, sistem yang juga rukun Islam dalam soal berkaitan harta ini dicadangkan beberapa pihak supaya digunakan untuk membiayai aset berisiko seperti perniagaan pemula niaga Islam.

Mengulas mengenai cadangan itu, Azmi berkata, ia menimbulkan persoalan kerana ia tidak memenuhi kriteria lapan golongan asnaf menurut ajaran Islam.

Lapan asnaf berkenaan adalah fakir, miskin, amil, mualaf, hamba, mereka yang berhutang, mereka yang berjihad ke jalan Islam dan Ibnus Sabil (musafir yang kehabisan bekalan dalam perjalanan atau semasa memulakan perjalanan kerana Islam)

“Jika bantuan kewangan itu tidak memenuhi lapan kriteria penerima, zakat tidak boleh diagihkan (untuk membiayai aset berisiko). Kewangan sosial Islam adalah luas dan terdapat komponen lain yang boleh digunakan.

“Saya mencadangkan supaya digunakan sedekah dan infak atau wakaf untuk tujuan itu,” katanya kepada Bernama di luar Forum Kewangan Islam Global 2018, di sini.

Idea untuk menggunakan dana ini sudah diperkatakan di Malaysia sementara di beberapa negara, ia dikategorikan di bawah sektor keempat dan pengurusannya terletak di bawah institusi.

“Sebagai contoh, di Turki, terdapat hospital, sekolah dan kemudahan lain dibiayai oleh dana ini. Bagi Malaysia, kita masih di peringkat awal dan kita baru sahaja memulakan langkah terhadap wakaf korporat, itu sahaja,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, terdapat keperluan untuk melaksanakan teknologi baharu seperti blockchain ke dalam amalan kewangan sosial Islam bagi menangani isu berkaitan amanah, termasuk dalam pembayaran dan agihan zakat.

SUMBER: BERNAMA

Categories
AGAMA SELANGOR

Sultan Sharafuddin terima zakat perniagaan RM1.1 juta

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KLANG, 9 JUN: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, berkenan mencemar duli menerima pembayaran zakat perniagaan daripada Jakel Trading Sdn Bhd berjumlah RM1.1 juta.

Jakel Trading Sdn Bhd mewakilkan Pengarah Urusannnya, Datuk Mohamed Feroz Mohamed Jakel, menunaikan zakat perniagaan bagi tempoh berakhir 2018.

Majlis penyerahan zakat perniagaan itu berlangsung di Masjid Al-Falah, Kota Kemuning, semalam.

Majlis turut disaksikan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya serta barisan Exco Kerajaan Negeri iaitu Dr Shaharuddin Badaruddin, Dr Siti Mariah Mahmud, Haniza Talha dan Ir Izham Hashim.

Turut hadir, Menteri Pertahanan yang juga Ahli Parlimen Kota Raja, Mohamad Sabu dan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Dato’ Setia Mohammed Khusrin Munawi.

Pada masa sama, baginda turut berkenan menyampaikan sumbagan Aidilfitri kepada 294 asnaf fakir dan 199 golongan asnaf, sekitar Klang.

Semua penerima menerima bantuan sumbangan zakat bernilai RM500 setiap seorang di bawah peruntukan zakat berjumlah RM246,500.

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

DYMM Sultan Selangor berkenan terima zakat perniagaan RM17.84 juta

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 30 MEI: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sharafuddin Idris Shah Alam berkenan menerima pembayaran zakat perniagaan daripada enam syarikat korporat berjumlah RM17,841,460.67.

Baginda mencemar duli dalam Majlis Berbuka Puasa bersama rakyat di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong.

Kumpulan DRB Hicom Berhad mendahului senarai syarikat dan anak syarikat berjumlah RM6,306,775.67 yang diserahkan oleh Pengarah Urusan Kumpulan, Dato’ Seri Syed Faizal Akbar Syed Ali Rethza Albar.

Diikuti Bank Kerjasama Rakyat (Bank Rakyat) yang diwakili Pengerusinya, Tan Sri Shukry Mohd Salleh sebanyak RM4,745,578 dan PLUS Malaysia Berhad diwakili oleh Pengarah Urusan, Datuk Azman Ismail menunaikan zakat perniagaan berjumlah RM2,697,757.

Manakala Pemerbadanan Menteri Besar Selangor yang mewakilkan Ketua Pegawai Eksekutif, Raja Shahreen Raja Othman, menyerahkan zakat perniagaannya berjumlah RM1,891,350.

Selain itu, Seriemas Development Sdn Bhd yang diwakili oleh Ketua Pegawai PNB Development Sdn Bhd, Mohd Salem Kailany, berjumlah RM1.2 juta.

Bagi Sime Darby Property Berhad yang diwakili oleh Pengerusinya, Tan Sri Abdul Wahid Omar  menyerahkan zakat perniagaannya sebanyak RM1 juta.

=EZY=

Categories
AGAMA SELANGOR

LZS agih zakat lebih RM700 juta, santuni ummah

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 24 MAC: Lembaga Zakat Selangor (LZS) terus komited dalam menyantuni ummah apabila berjaya menyempurnakan tanggungjawab menguruskan agihan zakat lebih RM700 juta tahun lalu.

Ketua Divisyen Pembangunann Asnaf, Zaharuddin Salim berkata, LZS bertanggungjawab dengan menyediakan kemudahan terbaik kepada umat Islam yang ingin menunaikan zakat di negeri ini.

“Setiap tahun LZS berusaha menyempurnakan amanah kepada lebih 278,000 pengeluar zakat dengan menyalurkan sejumlah RM124.5 juta bantuan zakat di bawah Program Pembangunan Asnaf.

“Kita mengutamakan pendidikan dan latihan kepada generasi kedua asnaf untuk mengubah diri dan kehidupan keluarga.

“Antara bantuan yang disalur setiap tahun ialah Bantuan Pendidikan Dalam dan Luar Negera, Dermasiswa Huffaz, Kursus Pembangunan Asnaf, Program Sekolah Angkat (PROSA) dan banyak lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Agihana Pendidikan Pelajar Asnaf 2018 di Dewan Canselor, Management dan Science University (MSU), hari ini

Zaharuddin berkata, tahun lalu juga LZS menyalur bantuan pendidikan bagi 263 pelajar yang melanjutkan pengajian ke Timur Tengah berjumlah RM7 juta.

Selain itu, katanya bagi Bantuan Wang Saku, LZS telah mengagihkan sejumlah RM15.2 juta kepada 6,000 pelajar asnaf di Selangor.

“Kesemua sumbangan dan bantuan ini adalah daripada penyalur zakat yang prihatin.

“Sekiranya pihak pengeluar zakat terus memberikan kepercayaan untuk menunaikan zakat dengan LZS, bantuan ini akan disalurkan pada tahun-tahun akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, Zaharuddin berkata LZS memerlukan sejumlah peruntukan untuk pengurusan rumah-rumah perlindungan asnaf di Bait Al-Mawaddah (warga emas), Bait Al-Hasanah (pelajar), Baitul Salam (mualaf) dan Baitul Hikmah serta Pusat Latihan Asnaf Zakat Selangor.

Peruntukan zakat juga disalur kepada beberapa rumah perlindungan di bawah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bagi asnaf Riqab.

=EZY=

Categories
AGAMA SELANGOR

LZS salur RM1.2 juta santuni golongan asnaf

OLEH SHEEDA FATHIL

PUCHONG, 23 FEB: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyalurkan bantuan zakat sejumlah RM1.2 juta kepada 130 golongan asnaf fakir dan miskin melalui program Bantuan Asas, di daerah Petaling, hari ini.

Ketua Divisyen Operasi Agihan LZS, Abdul Basith Hamid berkata, ia adalah kesinambungan daripada bantuan lain yang sudah diterima mereka sebelum ini selain memenuhi keperluan asasi asnaf zakat, di Selangor.

“Ia merangkumi bantuan sara hidup, makanan, perlindungan, perubatan dan pendidikan supaya mereka dapat menikmati kehidupan yang lebih berkualiti.

“Namun, hari ini, dikhususkan pemberian kediaman kepada golongan asnaf fakir dan miskin dengan setiap tahun kami sudah memperuntukkan RM50 juta bagi menyediakan penginapan kepada mereka,”katanya pada sidang media selepas Majlis Program Bantuan Keperluan Asasi Asnaf Fakir dan Miskin di Dewan Pangsapuri Enggang, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Zulkurnain Che Ali.

Abdul Basith berkata, sejumlah 26 rumah di Pangsapuri Enggang itu akan menjadi milik golongan asnaf fakir dan miskin berkenaan sebelum Hari Raya Aidilfitri ini.

“Antara syarat yang dikenakan, golongan asnaf fakir dan miskin tidak boleh menjual atau menyewakan rumah berkenaan selama tempoh 10 tahun. Ini bermakna mereka perlu menetap, di situ. Tugas LZS adalah membantu golongan ini daripada segi membayar baki akhir rumah mereka dan membaik pulih kediamannya.

“Selain itu, ia juga selaras dengan usaha pihak LZS untuk memberi keselesaan serta semangat kepada golongan asnaf fakir miskin ini untuk berusaha dan keluar dari kepompong kemiskinan,”katanya.

Sementara itu, penerima bantuan zakat, Azlan Ahmad, 44, berkata, beliau berterima kasih kepada LZS kerana membantunya untuk memiliki rumah, sekali gus dapat meringankan bebannya yang hanya bekerja sebagai pemandu.

“Saya berasa gembira kerana terpilih untuk turut serta dalam program hari ini, terima kasih LZS,” katanya yang mempunyai tanggungan sembilan anak.

Selain itu, bagi penerima bantuan zakat, Zawiyah Nordin, 70, beliau gembira dan berharap LZS akan meneruskan program seperti itu, pada masa akan datang.

“Saya berharap LZS akan terus membantu golongan asnaf fakir dan miskin ini pada masa akan datang terutamanya di saat ekonomi yang kian merudum ini,”katanya.

Categories
AGAMA SELANGOR

LZS jangka kutipan zakat 2017 lebihi RM710 juta

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 26 DIS: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menjangkakan kutipan zakat melebihi RM710 juta tahun ini melebihi sasaran sebanyak RM700 juta.

Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf, LZS Abdul Basith Hamid berkata, sehingga November, jumlah kutipan zakat yang diterima LZS adalah sebanyak RM585.8 juta.

Manakala, katanya, sehingga tempoh itu juga, jumlah agihan zakat adalah sebanyak RM460.5 juta.

“Sehingga November lepas, jumlah kutipan zakat yang diterima LZS adalah sebanyak RM585.8 juta dan sehingga bulan lepas juga, jumlah agihan zakat adalah sebanyak RM460.5 juta.

“LZS berharap dapat mencapai sasaran kutipan zakat melebihi RM710 juta tahun ini, bagi menyantuni golongan asnaf di Selangor,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan zakat yang disempurnakan oleh Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa, baru-baru ini.

Selain itu, Abdul Basith berkata LZS akan memperkenalkan kadar had kifayah (haddul kifayah) iaitu pengiraan penentuan kelayakan keluarga asnaf fakir miskin untuk memohon zakat, bermula tahun depan.

Katanya, menerusi haddul kifayah baharu, lebih ramai golongan asnaf fakir miskin dijangka dapat dikenal pasti untuk disantuni.

“Buat masa ini, kita ada 48,000 keluarga asnaf fakir miskin, dan melalui haddul kifayah baharu, kita anggar tidak kurang 60,000 keluarga asnaf fakir miskin akan kenal pasti,” katanya.

Abdul Basith memaklumkan sumbangan agihan yang diterima daripada program ‘Kasihku Zakat Selangor’ pada tahun ini adalah berjumlah RM10.7 juta dengan penyertaan daripada 30 syarikat korporat termasuk individu.

=EZY=

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Empat syarikat serah zakat RM11.7 juta

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 16 JUN: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima bayaran zakat perniagaan dari empat syarikat berjumlah RM11.7 juta.

Dalam Majlis Berbuka Puasa bersama rakyat di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, empat syarikat terdiri daripada Bank Kerjasama Rakyat Malaysia (Bank Rakyat) menyerahkan RM4.7 juta yang diwakili Pengerusinya, Tan Sri Shukry Mohd Salleh.

Diikuti dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebanyak RM2.9 juta diwakili Pengurus Besar Negeri Bahagian Pembahagian, Dato’ Mohd Zahir Md Nor.

344A6255Selain itu, Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Raja Shahreen Raja Othman yang menunaikan zakat perniagaan berjumlah RM2.5 juta.

Manakala, Seriemas Development Sdn Bhd diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Mohd Salem Kailany menunaikan zakat berjumlah RM1.6 juta.

Pada masa sama, baginda turut berkenan menyampaikan sumbangan Hari Raya kepada 252 asnaf fakir dan miskin serta 120 asnaf mualaf dengan semua mereka menerima sumbangan RM500.

Mengiringi baginda, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa dan Dato’ Seri Utama Diraja Mufti negeri, Dato’ Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Dato’ Haris Kasim.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Lima syarikat serah zakat RM15.8 juta

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 29 MEI: Sultan Selangor, Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima pembayaran zakat daripada lima syarikat berjumlah RM15.8 juta, hari ini.

IMG_5429Penyerahan zakat disampaikan dalam Majlis Berbuka Puasa DYMM Sultan Selangor bersama rakyat di Masjid Negeri, di sini.

Antara lima syarikat itu ialah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Noraida Mohd Yusof yang menunaikan zakat perniagaan bagi PKNS dan anak syarikatnya sebanyak RM5 juta.

Manakala, syarikat PLUS Malaysia Berhad pula RM3.6 juta dan UMW Holdings yang diwakili Pengerusi Kumpulan, Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah Che Othman menunaikan zakat RM3.4 juta.

Sementara itu, Worldwide Holdings Berhad menyerahkan zakat perniagaan RM2.4 juta dan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) berjumlah RM1.2 juta.

Difahamkan, semua syarikat itu menunaikan pembayaran zakat perniagaan bagi tahun kewangan akhir 2016.

Pada majlis sama, Sultan Selangor turut berkenan menyampaikan sumbangan Hari Raya kepada 61 asnaf fakir, 229 asnaf miskin serta 120 mualaf dengan setiap seorang menerima sumbangan RM500.