Categories
AGENDA ALAM SEKITAR & CUACA BERITA UTAMA NASIONAL

Amaran cuaca waspada hujan lebat sehingga 5 Jan

KUALA LUMPUR, 3 JAN: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran cuaca waspada dengan hujan lebat dijangka berlaku di Kelantan, beberapa kawasan di Terengganu dan Pahang sehingga Selasa ini.

MetMalaysia dalam kenyataan yang dikeluarkan pada pukul 11.40 pagi ini memaklumkan di Terengganu, ia melibatkan daerah Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Marang dan Dungun, manakala di Pahang ia melibatkan Tanah Tinggi Cameron dan Lipis.

Amaran cuaca buruk dengan hujan lebat berterusan pula dijangka melibatkan daerah Kemaman di Terengganu, Pahang (Raub, Jerantut, Bentong, Temerloh dan Bera) dan daerah Segamat dan Kluang di Johor sehingga Selasa ini.

Sementara itu, amaran cuaca waspada dengan hujan lebat sehingga esok turut dijangka berlaku di Perak (Kinta, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim) dan di Selangor melibatkan daerah Sabak Bernam, Kuala Selangor dan Hulu Selangor).

“Situasi sama juga dijangka berlaku di daerah Tangkak, Muar, Batu Pahat, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru di Johor manakala di Sabah pula melibatkan Pantai Barat (Kota Belud), Sandakan (Telupid dan Beluran) dan Kudat,” menurut kenyataan itu.

Amaran cuaca bahaya dengan hujan sangat lebat (torrential rain) pula dijangka berterusan di Pahang (Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin) dan Mersing di Johor, hari ini.

– BERNAMA

Sumber Grafik: METMalaysia
Categories
AGENDA ALAM SEKITAR & CUACA NASIONAL

Amaran cuaca bahaya beberapa kawasan Pahang, Johor

KUALA LUMPUR, 3 JAN: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran cuaca bahaya dan buruk, dengan hujan lebat berterusan di beberapa kawasan di Pahang dan Johor.

MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan amaran cuaca bahaya dengan hujan lebat berterusan dijangka berlaku hari ini di daerah Pekan dan Rompin di Pahang, manakala di Johor melibatkan daerah Mersing.

Menurut kenyataan itu, amaran cuaca buruk dengan hujan lebat berterusan pula melibatkan daerah Raub, Bentong, Temerloh, Maran, Kuantan dan Bera di Pahang, serta Segamat dan Kluang di Johor.

Amaran cuaca waspada dengan hujan lebat sehingga esok pula dikeluarkan bagi Kelantan, Terengganu, Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis dan Jerantut) dan Johor (Tangkak dan Muar).

“Amaran cuaca waspada dengan hujan lebat juga dijangka berlaku di Batu Pahat, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru sehingga hari ini,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, kebanyakan kawasan di negeri pantai barat Semenanjung, Sarawak dan lain-lain kawasan di Sabah dijangka mengalami kejadian ribut petir, hujan lebat dan angin kencang terutamanya pada waktu petang sehingga awal malam dan keadaan ini berpotensi menyebabkan banjir kilat.

MetMalaysia juga meramalkan angin kencang timur laut berkelajuan melebihi 60km/jam dengan ombak melebihi 4.5 meter dijangka boleh berlaku di perairan negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur dalam tempoh tersebut.

“Di perairan Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, angin kencang timur laut berkelajuan sehingga 60 km/jam dengan ombak sehingga 4.5 meter dijangka boleh berlaku dalam tempoh sama, dan kejadian ini boleh mendatangkan risiko limpahan air laut di pesisir pantai dan muara sungai kawasan terbabit,” menurut kenyataan itu.

– BERNAMA

Sumber Grafik: METMalaysia
Categories
AGENDA ALAM SEKITAR & CUACA NASIONAL

Amaran cuaca buruk lima negeri

KUALA LUMPUR, 2 JAN: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran cuaca buruk dan waspada, dengan hujan lebat dijangka berlaku di empat negeri Semenanjung dan beberapa kawasan di Sabah sehingga hari ini.

MetMalaysia dalam kenyataan awal pagi Sabtu memaklumkan, amaran cuaca buruk dengan hujan lebat berterusan diramal berlaku di daerah Kuantan, Pekan dan Rompin di Pahang, manakala di Johor pula melibatkan daerah Segamat, Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru.

Menurut kenyataan itu, amaran cuaca waspada dengan hujan lebat pula dijangka berlaku di seluruh negeri Kelantan, Terengganu dan daerah Batu Pahat dan Pontian di Johor.

Amaran cuaca waspada dengan hujan lebat turut diramal berlaku di Pahang (Lipis, Jerantut, Temerloh, Maran dan Bera) dan Sabah (Tuaran, Ranau, Kota Belud, Telupid, Beluran, Sandakan dan Kudat).

– BERNAMA

Sumber Grafik: METMalaysia
Categories
AGENDA ALAM SEKITAR & CUACA NASIONAL

Amaran cuaca buruk di Pahang, Johor hingga esok

KUALA LUMPUR, 1 JAN: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran cuaca buruk (peringkat jingga) dengan hujan lebat dijangka berlaku di beberapa kawasan di Pahang dan Johor sehingga esok.

Ketua Pengarahnya Jailan Simon dalam kenyataan hari ini, berkata amaran cuaca waspada (kuning) turut dikeluarkan bagi beberapa daerah lain di dua negeri terbabit serta di Kelantan dan Terengganu bagi tempoh sama.

Menurutnya amaran cuaca peringkat jingga melibatkan daerah Kuantan, Pekan dan Rompin di Pahang serta Segamat dan Mersing di Johor, manakala amaran peringkat kuning meliputi daerah Lipis, Jerantut, Temerloh, Maran dan Bera di Pahang serta seluruh Kelantan dan Terengganu.

“Dalam tempoh berkenaan, kejadian angin kencang boleh berlaku di kawasan pantai di negeri-negeri pantai timur Semenanjung.

“Pada masa sama, kebanyakan kawasan di negeri-negeri pantai barat Semenanjung, Sarawak dan Sabah dijangka mengalami kejadian ribut petir dan hujan lebat berserta angin kencang terutamanya pada waktu petang sehingga awal malam.

“Keadaan itu berpotensi menyebabkan banjir kilat di kawasan rendah serta kerosakan kepada struktur tidak kukuh,” katanya.

Jailan berkata angin kencang timur laut berkelajuan melebihi 60 kilometer sejam dengan ombak mencapai 4.5 meter dijangka boleh berlaku di perairan negeri Kelantan, Terengganu, Pahang, Sarawak, Wilayah Persekutuan Labuan dan Sabah dalam tempoh berkenaan.

Keadaan itu, katanya boleh mendatangkan risiko limpahan air laut di pesisir pantai serta muara sungai kawasan terbabit.

– BERNAMA

Sumber Grafik: Facebook MET Malaysia

 

Categories
AGENDA ALAM SEKITAR & CUACA NASIONAL

Tiada kelulusan lombong bukan radioaktif di hutan simpan kekal

KUALA LUMPUR, 9 DIS: Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) tidak mengeluarkan sebarang kelulusan untuk aktiviti perlombongan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) di kawasan Hutan Simpan Kekal, kata menterinya Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Beliau berkata kelulusan di kawasan selain dari Hutan Simpan Kekal adalah tertakluk kepada penilaian dan kelulusan teknikal yang diperoleh terlebih dahulu.

“Setakat ini, masih belum ada mana-mana pihak yang memohon dan diberikan kelulusan untuk menjalankan perlombongan NR-REE.

“Mana-mana pihak yang melakukan perlombongan tanpa kebenaran dan kelulusan akan diambil tindakan mengikut sistem perundangan sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jelasnya, kawalan tatacara operasi piawai (SOP) dan perundangan adalah penting bagi memastikan aktiviti berkaitan perlombongan NR-REE tidak memberi kesan negatif terhadap kelestarian alam sekitar, keselamatan, kesihatan pekerjaan dan kesejahteraan masyarakat.

Beliau berkata kementerian akan terus memastikan aktiviti perlombongan diusahakan secara mampan dan perlu mematuhi SOP yang ditetapkan.

Menurutnya, ketika ini SOP perlombongan NR-REE dalam proses akhir untuk dimuktamadkan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA ALAM SEKITAR & CUACA NASIONAL

Tanam pokok di rumah, selamatkan bumi melalui ‘Go Green 2020’ 12 Dis

KUALA LUMPUR, 6 DIS: Rakyat terutamanya generasi muda digalakkan menanam pokok di rumah mereka untuk menyelamatkan bumi dengan menyertai acara secara maya ‘Go Green 2020-A Voice of Nation’ pada 12 Disember ini.

Duta elit acara itu Dr Nisha Thayananthan berharap acara dianjurkan negara ini buat pertama kali tersebut dapat membantu pelajar sekolah dan universiti menyedari kepentingan memelihara dan memulihara alam sekitar serta bersedia menangani cabaran yang muncul akibat pemanasan global dan perubahan iklim.

“Melalui acara ini, para peserta akan menanam anak pokok, melafazkan ikrar Go Green dan menyanyikan lagu Go Green (lagu digubah khas untuk acara ini yang menggambarkan perpaduan pelbagai budaya di Malaysia).

“Acara yang dibuka kepada semua rakyat Malaysia akan berlangsung secara maya dari 9 pagi hingga 9 malam pada 12 Disember dan para peserta hanya memerlukan 10 hingga 15 minit untuk menjalankan ketiga-tiga aktiviti ini dari rumah masing-masing,” katanya kepada Bernama di sini.

Dr Nisha yang juga Miss Earth Malaysia 2020/21, berkata peserta boleh mendaftar secara percuma di www.gogreenvoiceofnation.com dan merakam ketiga-tiga aktiviti itu menggunakan telefon bimbit serta memuat naik video tersebut di akaun YouTube masing-masing sebelum menghantar pautan video kepada [email protected].

“Kita mungkin berkurung di rumah dan kita mungkin berasa tidak berupaya melawan Covid-19 tetapi kita masih boleh mengambil langkah positif untuk planet ini dengan menanam pohon bagi menjamin kelestarian yang lebih baik pada masa depan.

“Keutamaan saya sekarang ialah menjadikan Malaysia sebagai tempat tinggal yang lebih hijau dan lebih baik dengan mempromosikan kesejahteraan,” kata doktor perubatan itu yang kini bertugas di Hospital Putrajaya.

Dr Nisha secara simbolik menanam pokok pertama bersempena acara itu di pekarangan Flamingo Hotel by The Lake, di sini semalam.

Acara yang dianjurkan secara bersama oleh Sethurams Sruthilaya Arts Academy dan SSAA Go Green, itu akan diiktiraf oleh Imperial World Records and Awards sebagai ‘Nyanyian Pelbagai Bahasa Terbesar berkaitan Go Green dalam tempoh 12 jam’.

Sebanyak 250,000 anak pokok dijangka dapat ditanam oleh pelajar dan ibu bapa daripada hampir 500 institusi pendidikan termasuk sekolah, institusi latihan perguruan, kolej dan universiti.

-BERNAMA

Categories
AGENDA ALAM SEKITAR & CUACA NASIONAL

Banjir di Terengganu, Kelantan semakin pulih, cuaca baik

KUALA TERENGGANU, 6 DIS: Terengganu dan Kelantan terus pulih daripada banjir dengan cuaca semakin baik dan bilangan mereka yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) semakin berkurangan.

Di Terengganu, jumlah mangsa terus berkurang kepada 295 orang daripada 73 keluarga setakat 8 pagi ini berbanding 437 mangsa daripada 107 keluarga, petang semalam.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Lt Kol (PA) Che Adam A Rahman berkata hanya lima PPS beroperasi ketika ini, masing-masing dua di Besut dan Setiu dan satu di Marang.

“Mangsa paling ramai ketika ini ialah di Besut iaitu 199 orang diikuti Setiu (61) dan Marang (35). Lebih ramai dijangka akan pulang ke rumah masing-masing sekejap lagi kerana cuaca yang semakin baik hari ini,” katanya.

Di Kelantan, bilangan mangsa banjir juga berkurangan kepada 108 orang daripada 22 keluarga berbanding 109 orang semalam.

Kesemua mereka ditempatkan di empat PPS membabitkan dua jajahan, masing-masing dua di Pasir Mas dan Pasir Puteh.

Menurut InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, Pasir Mas menjadi daerah mencatat jumlah tertinggi mangsa banjir dengan 58 mangsa daripada 12 keluarga yang dipindahkan di dua PPS, manakala di Pasir Puteh melibatkan 50 orang daripada 10 keluarga di dua PPS.

Sementara itu, menurut laman sesawang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), http://publicinfobanjir.water.gov.my, setakat 8 pagi ini menunjukkan Sungai Golok di Rantau Panjang masih melepasi paras bahaya iaitu pada bacaan 9.39 meter (m) (bahaya 9m).

Cuaca di Kelantan keseluruhan cerah tanpa hujan pada pagi ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA ALAM SEKITAR & CUACA NASIONAL

Mangsa banjir Kelantan, Pahang meningkat, Terengganu berkurangan

KUALA LUMPUR, 5 DIS: Banjir di Kelantan dan Pahang masih mencatat peningkatan manakala keadaan di Terengganu semakin baik.

Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan di tiga jajahan di Kelantan terus meningkat kepada 400 orang sehingga 8 pagi ini, berbanding 323 orang petang semalam.

Menurut Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), seramai 87 mangsa daripada 18 keluarga ditempatkan di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) jajahan Kota Bharu iaitu 26 mangsa di Sekolah Kebangsaan (SK) Melor, SK Tiong (50) dan 11 mangsa di Islamic Out Reach ABIM Kok Lanas.

Pasir Puteh pula mencatat jumlah mangsa tertinggi setakat ini dengan enam PPS dibuka iaitu Dewan Kompleks Kamil yang menempatkan 67 mangsa, SK Changgai (17), SK Bukit Jawa 2 (37), SK Kamil 3 (44), SK Sungai Petai (23) dan SK Wakaf Raja (31).

Di Pasir Mas, seramai 74 mangsa daripada 16 keluarga di tempatkan di PPS SK Gual Tok Deh dan 20 mangsa di PPS SK Kubang Kual, manakala di PPS Balai Raya Padang Kijang, Tanah Merah yang menempatkan 12 mangsa daripada tiga keluarga sebelum ini, ditutup.

Sementara itu, menurut laman sesawang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di http://publicinfobanjir.water.gov.my setakat 8 pagi ini, Sungai Golok di Rantau Panjang melepasi paras bahaya iaitu pada bacaan 9.59 meter (m) (bahaya 9 m) namun ia adalah trend menurun.

Di PAHANG, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 156 mangsa melibatkan 52 keluarga berbanding petang semalam iaitu 109 mangsa daripada 34 keluarga dengan lapan PPS di Raub beroperasi.

Menurut aplikasi Info Bencana JKM, SK Ulu Sungai menempatkan mangsa paling ramai iaitu 42 orang daripada 11 keluarga dari Kampung Sungai Ulu diikuti Masjid Kampung Kuala Semantan (38 orang, 12 keluarga), Dewan Serbaguna Kampung Pia (26 orang,10 keluarga) dan Masjid Kuala Temau (16 orang, tujuh keluarga).

Selain itu, Balai Raya Kampung Sengkela pula menempatkan 12 orang daripada empat keluarga, SK Tersang (11 orang, tiga keluarga), Balai UMNO Kampung Batu Talam (enam mangsa, empat keluarga) dan Balai Raya Kampung Chenua (lima orang, satu keluarga)

Menurut laman web publicinfobanjir.water.gov.my setakat 8 pagi, Sungai Jempol di Ran Felda Jengka, Maran telah melepasi tahap waspada dengan mencatat 29.6 meter paras air berbanding 29 meter setakat 8 pagi ini.

Di PERAK, banjir termenung di Kampung Matang Tengah, Beriah dalam daerah Kerian belum surut dan menyebabkan 27 orang masih berada di PPS SK Changkat Lobak, Bagan Serai setakat pukul 8 pagi ini.

Di TERENGGANU pula, situasi banjir bertambah baik dengan jumlah mangsa berkurangan kepada 1,621 orang daripada 416 keluarga setakat 8 pagi tadi, berbanding 2,130 orang daripada 550 keluarga pada 4 petang semalam.

Penurunan itu berikutan penutupan 10 PPS iaitu lima di Besut, Marang (dua), Hulu Terengganu (dua) dan Dungun (satu) menjadikan jumlah terkini PPS adalah 48.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata mangsa paling ramai adalah di Marang iaitu 527 orang daripada 138 keluarga berbanding 769 orang daripada 203 keluarga petang semalam.

Di Dungun, jumlah mangsa berkurangan daripada 166 orang berbanding 190; Besut (359 mangsa daripada 385); Setiu (268 mangsa daripada 294); Kemaman (43 mangsa daripada 116); Kuala Nerus (134 mangsa daripada 218) dan Kuala Terengganu pula berkurangan kepada 124 orang berbanding 139 sebelum ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA ALAM SEKITAR & CUACA NASIONAL

Amaran cuaca waspada peringkat kuning, hujan lebat sehingga esok

KUALA LUMPUR, 2 DIS: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran cuaca waspada peringkat kuning dengan hujan lebat dijangka di beberapa negeri, sehingga esok.

MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan negeri terlibat ialah Perlis; Kedah; Pulau Pinang; Perak (Hulu Perak); Kelantan (Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai); dan Terengganu (Besut, Setiu, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu).

Kenyataan itu turut memberitahu hujan lebat dijangka di Terengganu (Hulu Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman); serta Pahang (Jerantut, Temerloh, Maran, Kuantan, Bera, Pekan dan Rompin), bermula esok hingga Sabtu ini (5 Disember).

Sementara itu, ribut petir dan hujan lebat serta angin kencang juga dijangka melibatkan kebanyakan negeri di pantai barat Semenanjung pada waktu petang sehingga awal malam, dalam tempoh berkenaan.

Negeri yang terlibat ialah Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Labuan, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan pedalaman Pahang serta barat Sabah dan Sarawak.

Kenyataan itu menyebut keadaan itu boleh menyebabkan banjir kilat di kawasan rendah serta kerosakan kepada struktur yang tidak kukuh.

“Angin kencang timur laut berkelajuan 50 hingga 60km/jam dengan ombak mencapai 4.5 meter boleh berlaku di perairan Kelantan, Terengganu dan Pahang dalam tempoh itu.

“Keadaan ini boleh mendatangkan risiko limpahan air laut di pesisir pantai dan muara sungai kawasan terbabit,” menurut kenyataan jabatan itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA ALAM SEKITAR & CUACA GLOBAL

Malaysia mahu Asean bersatu tangani isu alam sekitar

PUTRAJAYA, 24 NOV: Malaysia mahu negara anggota Asean bersatu dari segi pandangan terhadap isu alam sekitar pada 26th Conference of Parties (COP26) Konvensyen Rangka Kerja Mengenai Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC) berlangsung di Scotland tahun depan.

Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Dr Zaini Ujang berkata perkara itu ditekankan dalam Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan Asean Mengenai Alam Sekitar (Asoen) ke-31 yang dipengerusikannya hari ini dan esok.

Menurutnya, negara-negara rantau ini tidak pernah bersatu pandangan sebagai sebuah blok Asean di UNFCCC, sebaliknya mengambil pendekatan tersendiri terhadap isu alam sekitar seperti jerebu, pelepasan gas karbon dan pencemaran laut.

“Jadi, kita nak gunakan kesempatan pada hari ini dan esok untuk meyakinkan negara-negara Asean kalau kita bersatu dari segi pandangan kita, kita akan mewakili 700 juta penduduk dunia dan mungkin pandangan kita itu lebih diberi keutamaan,” katanya pada sidang media sebelum mesyuarat Asoen ke-31 yang dijalankan secara maya, di sini hari ini.

Zaini berkata mesyuarat itu akan turut membincangkan mengenai pandemik Covid-19 sebagai pendorong untuk mewujudkan laluan pemulihan hijau.(green recovery pathway).

“Kita mencari cara bagaimana mengurangkan kesan alam sekitar, contohnya mungkin kita tak perlu banyak pergerakan menggunakan kenderaan ke sana sini, kita boleh menggunakan mesyuarat secara dalam talian,” katanya.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA ALAM SEKITAR & CUACA NASIONAL

Waspada hujan lebat kebanyakan negeri semenanjung

KUALA LUMPUR, 23 NOV: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran cuaca waspada peringkat kuning dengan hujan lebat dijangka berlaku di Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor (Tangkak, Segamat & Muar) hingga Isnin (23 Nov).

Ketua Pengarah MetMalaysia Jailan Simon berkata hujan lebat juga dijangka berlaku di Kelantan (Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh & Kuala Krai); Pahang (Maran, Kuantan, Bera, Pekan & Rompin); dan Terengganu hingga Rabu (25 Nov).

“Angin kencang barat laut dan timur laut berkelajuan 40 hingga 50 km/jam dengan ombak mencapai 3.5 meter dijangka berlaku di perairan negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Kelantan dan Terengganu dalam tempoh itu.

“Kejadian ini boleh mendatangkan risiko limpahan air laut di pesisir pantai dan muara sungai kawasan terbabit,” katanya dalam kenyataan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA ALAM SEKITAR & CUACA NASIONAL

Amaran cuaca buruk utara Semenanjung Malaysia

KUALA LUMPUR, 22 NOV: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengemas kini amaran cuaca waspada (kuning) yang dikeluarkan petang semalam untuk Perlis dan beberapa kawasan di Kedah serta Perak kepada amaran cuaca buruk (jingga) berkuat kuasa sehingga esok berikutan hujan lebat yang dijangka berterusan di kawasan berkenaan.

Ketua Pengarah MetMalaysia Jailan Simon dalam satu kenyataan hari ini terdapat pertambahan kawasan bagi amaran cuaca waspada peringkat kuning dengan hujan lebat dijangka berlaku dikeluarkan untuk kawasan Batu Pahat, Pontian dan Johor Bahru, Johor yang juga berkuat kuasa sehingga esok.

“Keadaan hujan berterusan sedang berlaku di negeri-negeri pantai barat Semenanjung. Amaran cuaca buruk (jingga) berkuat kuasa di Perlis, Kedah (Kubang Pasu, Padang Terap, Sik, Baling, Kulim dan Bandar Baharu), dan Perak (Kerian, Larut, Matang, Selama dan Hulu Perak).

Angin kencang barat laut dan timur laut berkelajuan 40 hingga 50 km/jam dengan ombak mencapai 3.5-meter dijangka berlaku di perairan negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Kelantan dan Terengganu dalam tempoh itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kejadian ini boleh mendatangkan risiko limpahan air laut di pesisir pantai dan muara sungai kawasan terbabit, menurut kenyataan itu.

-BERNAMA