Categories
PERSONALITI RENCANA

Apabila si cilik gegarkan litar lumba

Oleh Balkish Awang

KUALA LUMPUR, 6 OKT: Jika kanak-kanak lain seusianya lebih banyak menghabiskan masa dalam dunia siber bermain permainan dalam talian dan melayari aplikasi seperti TikTok dan YouTube, Awwal Haiqal Mohd Safuan, 11, memilih aksi dunia nyata dengan berlumba motosikal mini untuk mengisi masa lapangnya.

Mungkin ada yang berpandangan hobi itu tidak begitu sesuai untuk seorang kanak-kanak kerana berisiko tinggi, namun bagi Awwal Haiqal, menunggang motosikal mini atau moto mini yang boleh mencapai kelajuan hingga 60 kilometer sejam tersebut, memberikannya satu kepuasan dan keseronokan yang tiada galang ganti.

“Rasa memang seronok sangat. Walaupun dah banyak kali jatuh, kemalangan serta mengalami kecederaan seperti terseliuh dan retak di bahagian bahu, saya tidak berputus asa dan mahu melakukan yang terbaik,” katanya ketika ditemui Bernama.

Menjadikan pelumba Moto2 negara Hafizh Syahrin Abdullah sebagai idolanya, murid tahun lima di Sekolah Kebangsaan Kota Warisan, Sepang, Selangor itu memasang cita-cita untuk menjadi penunggang profesional dan berlumba di persada antarabangsa.

“Saya mahu jadi pelumba berjaya seperti Hafizh Syahrin dan pelumba antarabangsa pula saya amat meminati (juara MotoGP sembilan kali) Valentino Rossi,” kata anak sulung daripada empat beradik itu.

Menurutnya, dia mula berjinak-jinak dalam sukan permotoran selepas neneknya menghadiahkan sebuah pocket bike pada hari jadi keenamnya.

Anak kelahiran Muar, Johor tersebut berkata sejak itu, dia mula menyertai komuniti moto mini dan aktif mengikuti sesi latihan serta perlumbaan anjuran komuniti berkenaan.

Dia yang kini menunggang moto mini grand prix juga bertuah kerana mendapat sokongan keluarga termasuk bapanya, seorang anggota polis trafik di KLIA Sepang.

Berdebar saksi penunggang cilik ambil selekoh

Melihat sendiri ketangkasan anak kecil itu mengendalikan jentera mini berkenaan di litar lumba cukup mendebarkan, terutama ketika dia mengambil selekoh yang diketahui boleh menyebabkan kemalangan sekiranya tersilap langkah walaupun dalam kalangan pelumba profesional.

Siti Azielah Wahi, 36, mengakui jantungnya berdegup kencang setiap kali melihat anaknya itu beraksi. Katanya dia hanya mampu memanjatkan doa agar anaknya serta penunggang cilik lain yang bersaing dalam perlumbaan dilindungi daripada kecelakaan.

Aksi Awwal Haiqal Mohd Safuan menunggang motosikal miniGP yang boleh mencapai kelajuan hingga 60 kilometer sejam. Foto Facebook SIC Ohvale Junior Championship

“Setiap kali anak saya beraksi di litar lumba, hati sentiasa berdebar. Bimbang, risau, tetapi pada masa sama rasa bangga berbaur terharu bila dia menunjukkan aksi menarik di selekoh. Semasa kejar-mengejar, debaran hanya Allah yang tahu, sepanjang dia berlumba saya sentiasa berzikir dan berdoa semoga Allah lindungi, pelihara, kuatkan semangat dia dan selamatkan perlumbaan dia dan kawan-kawannya tanpa sebarang kemalangan,” katanya.

Hingga kini Awwal Haiqal telah menyertai pelbagai pertandingan di seluruh negara dan pernah menaiki podium bagi kategori junior.

Selain itu, dia turut menyertai dua kejuaraan Mini Cub Prix Kementerian Belia dan Sukan yang membabitkan 10 pusingan, masing-masing pada 2018 dan 2019.

“Pada 2020, Awwal Haiqal menyertai Kejohanan SIC MiniGP 2020 bagi kategori 110 cc dan mendapat tempat keempat keseluruhan dan ketiga semasa perlumbaan kedua,” katanya.

Menurut Siti Azielah, anaknya turut terpilih berlumba di SIC Ohvale Junior Championship yang akan memulakan perlumbaan pada bulan ini di Litar Antarabangsa Sepang dan Langkawi, namun mereka terpaksa menarik diri atas faktor kewangan dan juga masa.

Didik kefahaman mental dan fizikal

Bercerita lanjut, Siti Azielah berkata penglibatan dalam sukan permotoran membuatkan anaknya itu lebih berdisiplin, kuat semangat, tidak mudah mengalah selain mempunyai daya tumpuan yang tinggi.

“Karakter di atas litar itu terbawa-bawa dalam kehidupan seharian dia sebagai anak sulung dan pelajar yang menggalas tugas sebagai ketua kelas dan pengawas. Dia mampu melakukan sesi latihan kecergasan sendiri yang merangsang fizikal dan mentalnya,” katanya.

Menurutnya lagi, Awwal Haiqal amat menyukai cabaran dan sentiasa mahu melakukan sesuatu yang baharu serta tidak jemu mencuba walaupun banyak halangan.

Mengenai cabaran dalam melebarkan sayap dan bakat anaknya, Siti Azielah yang bekerja di sektor swasta, berkata kekangan kewangan antara cabaran utama memandangkan sukan tersebut memerlukan perbelanjaan yang besar.

“Jika ada yang kata sukan ini sukan ‘orang kayangan’ saya bersetuju. Sukan melibatkan enjin sangat kasar perbelanjaan, kerana motosikal perlu sentiasa diselenggara. Kena selalu tukar minyak hitam, tukar macam-macam alat ganti. Tayar juga perlu kerap ditukar. Begitu juga dengan kelengkapan keselamatan seperti sut lumba, helmet, sarung tangan dan kasut lumba,” jelasnya.

Aksi Awwal Haiqal Mohd Safuan. Foto Facebook SIC Ohvale Junior Championship

Wanita itu berkata mereka memperuntukkan kira-kira RM2,000 sebulan untuk latihan dan lain-lain.

Masakan tidak, untuk satu sesi latihan mereka perlu menyewa trek pada kadar RM150 sehari, manakala yuran penyertaan perlumbaan pula boleh mencecah ribuan ringgit, tambahnya.

Dedah dan asah bakat sedari kecil

Sementara itu, bekas pelumba Moto2 negara Zulfahmi Khairuddin, 29, berkata pendedahan awal terhadap sukan permotoran bagi kanak-kanak yang meminati bidang tersebut adalah satu langkah yang baik kerana bakat si cilik dapat digilap sedari awal, khususnya jika dia berhasrat menjadi pelumba profesional.

“Amat penting untuk melatih pelumba-pelumba ini dari kecil kerana mereka lebih mudah menyerap perkara-perkara positif selain dapat mempelajari sesuatu dengan lebih cepat berbanding pelumba yang sudah berumur.

“Menerusi pelbagai latihan dan program yang diajar kepada pelumba cilik kita seperti MiniGP, saya dapat lihat perkembangan positif yang ditonjolkan oleh golongan si kecil ini dalam sukan permotoran dua roda, yang mana mereka mempunyai sifat profesional di dalam dan juga di luar litar,” katanya.

Beliau berkata sambutan ibu bapa yang mahu menggilap bakat anak mereka dalam sukan berkenaan juga amat menggalakkan.

Sementara itu, bekas pelumba MotoGP kebangsaan Shahrol Yuzy Ahmad Zaini, 45, berkata penglibatan kanak-kanak dalam sukan permotoran mampu menjadikan mereka individu yang kental dalam mendepani cabaran.

“Sudah pasti sukan ini memberikan si cilik kekuatan selain dapat mendisiplinkan mereka. Menjadi seorang pelumba motosikal akan melatih mereka lebih berdisiplin selain dapat membuatkan seseorang itu bagus dalam akademik,” katanya yang juga Presiden Persatuan Sukan Bermotor Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PSBWPKL).

Tambahnya, cabang sukan itu kini mendapat tempat di hati ibu bapa dan kanak-kanak yang boleh dilihat melalui peningkatan jumlah penyertaan pelumba cilik dalam kejohanan, antaranya Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas, saban tahun.

Menyentuh soal kekangan kewangan yang sering dihadapi ibu bapa apabila mahu mengembangkan bakat anak mereka, Shahrol Yuzy berkata sememangnya bidang sukan itu memerlukan perbelanjaan yang besar, namun perkara tersebut bergantung pada kesediaan ibu bapa untuk berbelanja demi masa depan anak mereka.

“Ya, benar. Sukan permotoran ini memerlukan perbelanjaan besar. Tapi bagi saya terpulang, sebenarnya perbelanjaan untuk anak di bawah 18 tahun memang memerlukan kos yang banyak. Jika kita dapat tahu, peka dengan kehendak anak, kita boleh tumpukan kepada perkara tersebut dan dedahkan dia kepada perkara yang diminati,” katanya yang berpendapat semua bidang memerlukan perbelanjaan yang besar.

“Jadi bagi saya, kenal pasti minat sebenar anak dan fokus terhadap apa yang kita mahu berikan kepada si kecil tersebut,” tambahnya.

– BERNAMA

Categories
PERSONALITI RENCANA

Watak Cik Yah beri teguran ‘mak-mak’ melalui TikTok

Oleh Norhidayyu Zainal

KUALA LUMPUR, 3 OKT: Lazimnya, teguran dan nasihat daripada seorang ibu adalah yang terbaik dalam mendidik anak-anak supaya mereka menjadi insan berguna suatu hari nanti.

Bukan menidakkan peranan bapa namun mungkin disebabkan naluri keibuan yang lebih lembut dan memahami membuatkan golongan hawa itu lebih dekat dengan si anak.

Mengambil kira faktor itu, Amar Reza Zainalabidin, 27, mencipta karakter Cik Yah melalui aplikasi animoji yang digambarkan sebagai seorang ibu berusia 55 tahun sebagai cara menyampaikan mesej, informasi, maklumat serta pengajaran kepada masyarakat melalui medium media sosial.

“Saya gambarkan Cik Yah adalah seorang ibu kepada tiga anak iaitu Sepul, Dayah dan Faiz serta merupakan pengerusi Persatuan Bini-Bini Tak Berlaki dan menetap di Kampung Gajah Termenung.

“Jadinya, apabila seorang ibu atau lebih tua yang dikatakan ‘lebih banyak makan garam’ menegur, ia tidak menjadi masalah besar berbanding watak orang muda yang lebih mudah dipertikaikan,” katanya kepada Bernama.

Cik Yah yang mempunyai 145,000 pengikut di TikTok dan 52,000 pengikut di Instagram mula dikenali selepas beberapa episod videonya seperti ‘Mak-mak Bila Kejut Bangun Sahur’, ‘Mak-mak Bila Naik Kereta’, ‘Mak-mak Bila Tetamu Nak Datang’ dan ‘Makcik-makcik Bila Pergi Majlis’ tular menerusi media sosial sejak dimuat naik pada Mac lepas.

Antara paling mencuri tumpuan adalah kandungan video berdurasi 5 minit 8 saat yang memaparkan telatah Cik Yah dengan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Mohd Zafrul Tengku Abdul Aziz mengenai Bantuan Geran Khas Prihatin (GKP 4.0) yang berjaya menarik lebih 35,000 tontonan sejak dimuat naik menerusi Instagram pada 21 Sept lepas.

Amar Reza yang juga pelakon suara Cik Yah berkata hampir 50 peratus karakter Cik Yah yang dilakonkan semula itu menyerupai gaya ibunya, Hanizah Abdul Hamid, 50, sekali gus menjadikannya sebagai pusat rujukan utama dan nasihat dalam setiap cerita.

“Saya suka memerhati, jadi, setiap video saya akan dinilai terlebih dahulu oleh ibu sebelum dimuat naik ke media sosial. Biasanya, ibu akan beri pendapat apa perlu ditambah baik dari sudut pandangan seorang ibu dan wanita yang berusia.

“Sebabnya, saya sebagai orang muda masih belum mencapai fasa mereka dan hanya melakonkan semula. Saya tidak mahu karakter itu dilihat sangat ‘plastik’, keterlaluan atau tidak kena dengan gaya mak-mak,” katanya yang mengalami batuk hampir dua bulan gara-gara menghasilkan suara Cik Yah.

Bercerita lanjut, pensyarah Komunikasi dan Seni Persembahan di Universiti Teknologi Kreatif Limkokwing itu berkata karakter Cik Yah juga tidak ketinggalan menerima kecaman hebat daripada warganet gara-gara sikapnya yang sinis dan menjengkelkan serta bersuara lantang.

“Ketika awal-awal Cik Yah muncul di TikTok, karakternya bersifat mencemuh seni namun itu juga yang menjadikannya cepat dikenali. Niat saya hanyalah untuk menyampaikan mesej dan pengajaran tetapi disalah erti.

“Situasi itu menyebabkan Cik Yah dimarah dan dikritik selain turut diugut bunuh serta disimbah asid sehingga memberi kesan kepada tahap kesihatan mental saya,” katanya yang enggan mengaku kalah dan menyifatkannya sebagai asam garam yang perlu dilalui.

Tambah Amar Reza, setiap video yang dihasilkan mengambil masa satu hingga tiga hari untuk disiapkan dan setiap idea ditonjolkan berdasarkan situasi semasa yang berlaku dalam masyarakat sekeliling.

Dalam pada itu, anak kelahiran Kuala Lumpur itu berharap Cik Yah akan menjadi satu watak yang dikenali sepertimana karakter animasi lain pada masa akan datang.

“Saya berharap ada pihak dapat membantu saya mengembangkan animoji Cik Yah dalam menjadi siri animasi yang berfokus kepada golongan remaja dan dewasa serta terus kekal relevan,” katanya yang turut menerima permintaan daripada pihak swasta dan badan bukan kerajaan dalam menghasilkan video kempen kesedaran.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA PERSONALITI RENCANA

Taasub kafein, sanggup beli mesin bancuhan kopi puluhan ribu ringgit

Pernah suatu malam, Afiq Ammar Khan, 33, (kiri) resah tidak tahu hendak berbuat apa. Selepas termenung, beliau kemudian terkenang keenakan kopi di Singapura.

Menetap di Bukit Jelutong, Shah Alam, beliau kemudian membeli tiket kapal terbang ke republik tersebut dan pulang ke tanah air keesokannya. Tentunya selepas menghirup kopi sekurang-kurang secawan.

Memang Afiq peminat tegar minuman berkafein itu. Kalau boleh beliau mahu menikmati aneka rasa kopi di seluruh dunia. Rasanya pasti berbeza. Demi kopi, beliau pernah berkelana ke Thailand, Indonesia dan Australia.

Segala-gala berkaitan minuman itu menggamit perhatiannya. Lebih 30 buku berkaitan kopi termasuk bahan terbitan luar negara ada dalam koleksinya.

Bapa dua anak juga memiliki mesin espresso dan pengisar terpakai bernilai RM25,000 semata-mata mahu menikmati kopi dengan cita rasa sendiri. Peralatan itu dibeli secara ansuran.

Sebenarnya, penanaman kopi di negara ini dibuat Syarikat Hindia Timur Inggeris pada 1779 berdasarkan Jurnal Pakej Teknologi Kopi terbitan Jabatan Pertanian Malaysia pada 2001. Namun, kopi jenis arabika yang dibawa dari benua Afrika tidak menjadi lantaran cuaca kurang sesuai.

Hanya pada 1875, seorang warga British bernama Leonard Wray memperkenal penanaman kopi liberika. Kali ini menjadi. Sejak itu, perusahaan kopi tempatan berkembang. Perlahan-lahan ia meresap dalam budaya tempatan seterusnya mencipta peminat tegar tersendiri.

Afiq Ammar Khan menunjukkan kemahiran membancuh kopi di kediamannya di Bukit Jelutong, Shah Alam ketika ditemu bual SelangorKini. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Rasa berbeza

Afiq antara jutaan penduduk yang taasub. Lulusan Sarjana Muda Sains Bioperubatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia mula meminati kopi sejak berusia 13 tahun, gara-gara ibu saudaranya tersilap menghidangkan minuman itu ketika sarapan.

Sejak itu, beliau memulakan pagi dengan kopi tetapi hanya menjadi pengemar tegar mulai 2013. Sejak berusia 24 tahun, Afiq sering ke kafe hanya untuk mencicip kopi.

Perbezaan rasa di setiap kafe menumbuhkan lagi minatnya terhadap minuman itu. Beliau mengumpul duit untuk ke luar negara untuk menghayati budaya minum kopi.

“Minum kopi gaya moden memang hobi yang mahal. Biji kopi juga mahal, kadang kala harga biji kopi seberat 200 gram boleh sampai RM300 tetapi boleh buat untuk 10 cawan sahaja.

“Ada juga biji kopi dari ladang terkenal dijual secara lelong dan harganya boleh mencecah jutaan ringgit,” kata bekas pengajar barista swasta kepada Selangorkini sempena Hari Kopi Sedunia yang dirai pada 1 Oktober.

Pada 2019, beliau juga ada membuka kafe kopi bersama rakan kongsi tetapi terpaksa ditutup setahun kemudian ekoran perniagaan terjejas teruk berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan. Sejak itu, beliau menjadi ‘home barista’, menjual dalam talian kepada pelanggan tetap.

Muhammad Hussaini Khairudin berpeluang mencuba kopi di serata dunia. Setakat ini, kopi 25 negara telah dicicipnya. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Kunjungi 25 negara

Seorang lagi penggemar tegar Muhammad Hussaini Khairudin, 35, menyukai minuman itu ketika belajar di Universiti Putra Malaysia pada 2009. Minatnya itu didorong keenakan kopi yang dibawa rakan berasal dari Yaman.

Ketika masih bertugas di sebuah agensi pelancongan, beliau berpeluang mencuba kopi di serata dunia. Setakat ini, kopi 25 negara telah dicicipnya.

Beliau mendapati setiap negara ada keunikan tradisi minuman itu. Di Istanbul, Turki, misalnya, kopi dihidang menggunakan teko tembaga kecil, bahagian bawahnya digesel-gesel atas pasir panas.

“Di Arab Saudi pula mereka campurkan dengan beberapa herba dan diminum sambil duduk di lantai,” katanya.

Kopi panas dalam tin pula banyak dijual melalui mesin layan diri di Jepun. Antaranya Kopi Wanda yang turut dijual di Malaysia.

Berdasarkan pengalaman bapa tiga anak itu, kopi Brazil pula berasa kacang manakala di Indonesia ada kopi berasa buah nangka, manggis dan raspberi.

“Kopi berasa buah di Indonesia adalah semula jadi. Rasa setiap kopi ditentukan kaedah yang dinamakan nota rasa. Setiap kopi ini mempunyai nota rasa (kenal pasti rasa) unik mengikut ladang dan negara penghasil. Sebab itulah ada kopi dari ladang tertentu yang harganya tinggi,” kata Muhammad Hussaini.

Minat terhadap kopi juga mendorong beliau dan beberapa rakan berkongsi membeli mesin espresso dan pengisar berharga RM24,000 untuk diletak di pejabat.

Sejak agensi pelancongan tempatnya bekerja tidak beroperasi mulai Mac 2020, mereka menjadikan minat itu untuk menampung hidup dengan menghasilkan produk kopi botol jenama Celsius Coffee.

Categories
BERITA UTAMA PERSONALITI RENCANA

Artis zahir makanan jalanan kegemaran atas kanvas

Oleh Soon Li Wei

KUALA LUMPUR, 15 SEPT: Penularan pandemik Covid-19 mengubah sebahagian besar cara hidup kita, baik di rumah mahupun semasa berada di luar, menyebabkan ada antara kita yang rindukan suasana pra-Covid-19.

Antaranya ialah kebebasan makan di luar, dan Malaysia yang disifatkan oleh pengunjung asing sebagai antara “syurga makanan”, kaya dengan pelbagai penganan yang boleh didapati hampir di mana-mana sahaja, dari gerai di tepi jalan hinggalah ke restoran terkemuka.

Bagi yang “hantu” makan, pastinya mereka merindukan kemeriahan pasar malam yang menjadi “lubuk” orang ramai mencari makanan kegemaran, atau sekadar lepak di warung tepi jalan yang namanya menjadi buah mulut orang. Namun, buat masa ini semua itu perlu ditangguhkan.

Tidak mahu suasana itu menjadi sekadar cebisan memori yang tersimpan dalam ingatannya, artis Lui Cheng Thak menggunakan olesan dan goresan warna untuk menzahirkan penganan kegemarannya di atas kanvas.

“Ramai yang merindukan masa-masa makan di luar, malah (sebelum ini) ada yang sanggup menjelajah ke negeri-negeri ‘memburu’ makanan yang enak, manakala rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara pula pasti merindui rasa asli makanan jalanan di tanah air,” katanya dalam temu bual dengan Bernama.

Antara lukisan Lui Cheng Thak. Foto Facebook PINKGUY

Terkenal menerusi lukisan bangunan bersejarah, kebudayaan dan warisan, artis berusia 54 tahun itu menjadikan warna-warna makanan jalanan sebagai subjek pameran solo ke-11 beliau – ‘Colour of Taste’ bersama PINKGUY Gallery.

Warna berbeza untuk rasa berbeza

Mempamerkan 12 hasil seni cat minyak di atas kanvas linen bersaiz kecil, pameran dalam talian yang berlangsung dari 28 Ogos hingga 29 Sept itu boleh diakses di www.pinkguygallery.com. Menurut Lui, pameran secara maya dengan galeri itu adalah yang pertama beliau sejak 2010.

Mengulas mengenai karyanya, pelukis kelahiran Negeri Sembilan itu berkata beliau menggunakan 12 warna dan teknik berbeza yang memberikan kesan visual berlainan berdasarkan tetapan pencahayaan yang menghasilkan tarikan tersendiri pada setiap karyanya.

“Ada 12 ‘cita rasa’ berbeza dan saya namakan setiap satu mengikut warna seperti ‘Blue’, ‘Turquoise, ‘Yellow Ochre’, ‘Cobalt Blue’, dan lain-lain.

“Kebanyakannya merupakan makanan jalanan kegemaran rakyat Malaysia seperti ‘nasi ayam periuk tanah, bak kut teh, char kuetiau, lemang, nasi lemak dan banyak lagi makanan popular dan ikonik Malaysia,” katanya.

“Sesetengah orang ingat saya hanya sekadar melukis bangunan warisan, pemandangan dan khalayak ramai, sebenarnya tidak, perkara paling penting ialah saya melukis masa, cita rasa dan perasaan.

“Saya gunakan kontras warna dan cahaya kerana bagi saya ‘perasaan’ dan ‘suasana’ yang lahir daripada sebuah lukisan bergantung pada ‘perasaan’ dan ‘cita rasa’, sepertimana cahaya dan bayang pada lukisan memberikan kesan yang berlainan,” jelas Lui, menambah sesebuah lukisan membawa makna yang berbeza jika dilihat pada waktu berbeza oleh orang berlainan.

Rasa cinta terhadap bangunan warisan dan kebudayaan

Mengulas lanjut, Lui berkata ideanya untuk menghasilkan koleksi itu datang semasa negara berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan yang memperkenalkan pelbagai tatacara operasi piawai (SOP) serta mengalami peningkatan kes Covid-19 pada penghujung 2020.

“Sebagai penggiat fotografi, saya mula merakam pemandangan menggunakan kamera ketika membeli makanan untuk dibawa pulang atau semasa berjalan di lorong-lorong yang mempunyai deretan warung.

“Saya kemudian melakar dan melukis imej yang dirakam itu menggunakan warna dan elemen saya sendiri bagi menggambarkan perasaan dan cita rasa saya bagi setiap makanan,” katanya.

Bagi Lui, makanan Malaysia merupakan sesuatu yang menarik, mengadunkan pelbagai rasa, bahan dan teknik yang mencerminkan kepelbagaian kaum yang membentuk rakyatnya .

“Ada pengaruh Cina dan India serta Melayu dan boleh mengelirukan, setidak-tidaknya pada peringkat awal. Itulah yang menjadikan Malaysia unik, bukan sahaja dari segi kebudayaan dan warisan tetapi juga makanan.

“Saya luahkan rasa cinta saya terhadap makanan Malaysia melalui lukisan,” katanya.

Perjalanan Lui dalam bidang kesenian bermula semasa beliau mengikuti program Diploma Seni dan Reka Bentuk di Kuala Lumpur College of Art pada 1987 selama tiga tahun.

Karya beliau kebanyakannya berkisar pada seni reka bentuk bangunan bersejarah di negeri-negeri seperti Pulau Pinang, Melaka dan juga Kuala Lumpur, mengetengahkan keperluan pemeliharaan landskap bersejarah di tengah-tengah kepesatan pembangunan bandar raya.

Lui berkata beliau lazimnya meluangkan masa antara dua dan tiga minggu bagi setiap lukisan.

“Contohnya apabila saya melukis bangunan, saya perlu tahu sejarah bangunan tersebut seperti tarikh dibina dan fungsi bangunan, jadi saya perlu melawat bangunan itu,” katanya dan menjelaskan beliau turut meletakkan elemen beliau sendiri dalam karyanya.

Antara lukisan Lui Cheng Thak. Foto Facebook PINKGUY

Kerjasama dengan PINKGUY Gallery

Sementara itu, pemilik dan kurator PINKGUY Gallery Winson Loh berkata pameran tersebut adalah pameran solo ke-11 Lui bersama galeri berkenaan dan siri yang dipamerkan kali ini juga merupakan paling bermakna setakat ini.

Katanya semua lukisan dalam siri itu juga akan ditampilkan dalam kalendar 2022 bersaiz mega yang pertama galeri berkenaan yang akan diberi kepada pembeli karya Lui.

“Kami mengadakan pameran secara maya bagi memastikan peluang sama rata untuk semua pelawat melihat dan kemudian membeli karya seni tersebut tanpa membuat tempahan terlebih dahulu.

“Kesemua 12 lukisan terbabit telah terjual pada hari pertama pameran secara maya berlangsung,” katanya.

Loh turut mengagumi komitmen Lui dalam memastikan karyanya sempurna.

“Ketika semua 12 lukisannya dipamerkan di galeri, beliau perasan lapisan warna pada satu daripada karyanya bertajuk ‘Pink’ (menampilkan sate celup) tidak sempurna dan beliau terus membetulkan masalah itu.

“Itulah kelebihan pameran solo, beliau boleh terus menambah baik kekurangan kerana beliau berpeluang melihat kesemua lukisan pada masa yang sama.

“Komitmen terhadap hasil seninya antara sikap beliau yang saya senangi,” kata Loh.

– BERNAMA

Categories
PERSONALITI RENCANA

Dari basikal besi ke pingat perak Olimpik

KUALA LUMPUR, 8 OGOS: Daripada menunggang basikal biasa diperbuat daripada besi di kampung dan menjadikan bukit serta belukar sebagai gelanggang latihan, hari ini jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang seorang pemenang pingat perak Olimpik.

Mohd Azizulhasni yang diberi nama julukan “The Pocket Rocketman” kini merupakan pelumba berbasikal trek negara paling berjaya dengan rekod satu pingat perak dan satu gangsa sepanjang empat penampilan di pentas Olimpik sejak edisi Beijing 2008.

Malah, beliau merupakan atlet berbasikal pertama negara menaiki podium Olimpik.

Pingat perak diraih beliau dalam acara keirin pada hari terakhir Sukan Olimpik Tokyo 2020 juga adalah pencapaian tertinggi dalam kariernya selepas memenangi gangsa dalam acara sama di Rio 2016 sebelum bergelar juara dunia keirin di Hong Kong lapan bulan kemudian pada April 2017.

Pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu turut boleh berbangga selepas muncul antara dua atlet Malaysia yang berjaya memenangi pingat perak Olimpik dalam acara individu di samping legenda badminton negara Datuk Lee Chong Wei (Beijing 2008, London 2012, Rio 2016).

Atas pelbagai kejayaan dilakar dan bakti yang ditabur dalam mengharumkan nama Malaysia di persada sukan dunia menyaksikan beliau dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan 2017, namun segalanya bermula daripada sebuah pengorbanan.

Selain pengorbanan, keberanian dimiliki pemegang Ijazah Sarjana Pengurusan Sukan Universiti Deakin, Melbourne itu untuk mencuba sesuatu baharu turut melonjakkan potensi tersembunyi dalam diri beliau.

Pelumba basikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang menunjukkan pingat perak kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas majlis penyampaian pingat acara akhir keirin lelaki pada temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 di Izu Velodrom, Shizuoka pada 8 Ogos 2021. Foto BERNAMA

Jurulatih pertamanya Rozimi Omar yang meninggal dunia pada 2015, adalah individu yang mengarahkan Mohd Azizulhasni untuk fokus kepada arena trek, biarpun beliau berkemampuan beraksi dalam hampir kebanyakan acara seperti BMX dan MTB.

Beliau bersama arwah jurulatihnya sering berulang-alik dari Dungun ke Kuala Lumpur untuk menyertai siri perlumbaan di Velodrom Cheras yang dirobohkan pada 2017 dan ketika itu beliau tidak mempunyai peralatan khas untuk bertanding di trek.

Ayah kepada dua cahaya mata itu juga pernah dibekalkan RM100 oleh ibunya untuk bertanding di Kejohanan Kebangsaan di Kuala Lumpur pada 2002 dan meraih pingat emas kategori bawah 15 tahun dengan berbekalkan basikal yang dipinjam daripada pelumba lain.

Segala pengorbanan dilakukan beliau sewaktu remaja membawanya ke Sekolah Sukan Bukit Jalil dan bakat serta potensi beliau lebih terserlah dan mula diserap ke dalam pasukan kebangsaan sebelum mencipta nama di Kejohanan Trek Asia 2008 – memenangi pingat emas keirin dan 200m pecut.

Nama Mohd Azizulhasni mula meniti di bibir peminat sukan tanah air selepas memenangi pingat perak acara pecut di Kejohanan Dunia 2009 di Poland diikuti kejayaan merangkul perak dan emas acara keirin masing-masing pada Kejohanan Dunia 2010 di Denmark dan Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China.

Insiden kemalangan di Manchester, United Kingdom pada 2011 ketika beliau menyertai Kejohanan Trek Berbasikal Siri Piala Dunia yang menyaksikan betis kirinya tertusuk serpihan kayu sepanjang 20 sentimeter membuktikan semangat wira yang tersemat dalam diri Mohd Azizulhasni.

Beliau menunjukkan semangat luar biasa apabila bangkit dan mengayuh basikalnya ke garisan penamat biarpun serpihan kayu masih tertusuk di betisnya untuk memenangi pingat gangsa acara keirin.

Di pentas Sukan Asia, beliau pernah merangkul pingat emas acara pecut dan perak (pecut berpasukan) pada edisi Jakarta-Palembang 2018 sementara pada penyertaan di Sukan Komanwel, beliau berjaya memenangi gangsa pecut berpasukan pada edisi Delhi 2010 dan keirin (Glasgow 2014).

Pada aksi final di Velodrom Izu di Shizuoka, yang berlangsung sengit, hari ini, penyandang juara Jason Kenny dari Britain mengesahkan pingat emas untuk mengekalkan gelarannya sekali gus memecahkan rekod enam pingat emas legenda berbasikal trek Britain Chris Hoy.

Mohd Azizulhasni melintasi garis penamat untuk pingat perak manakala pelumba Belanda Harrie Lavreysen yang merangkul pingat emas dalam acara pecut lelaki, meraih pingat gangsa.

-BERNAMA

Categories
PERSONALITI RENCANA

Covid-19 uji ketakwaan kepada Allah

Dato’ Menteri Besar mengingatkan umat Islam betapa cabaran masyarakat sepanjang pandemik Covid-19
bukan sekadar menguji daya tahan fizikal tetapi ketakwaan kepada Allah.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ketakwaan itu boleh dicapai dengan mematuhi perintah-Nya termasuk ibadat korban terutama ketika wabak melanda.

Berikut perutusan penuh sempena sambutan Aidiladha:

Pejam celik pejam celik, sudah empat hari raya kita lalui pada zaman pandemik ini. Ini bererti telah lebih setahun kita bersama-sama menghadapi saat-saat yang cukup mencabar ini, dengan sama-sama melalui dua hari raya Aidilfitri dan dua hari raya Aidiladha, termasuk yang akan kita sambut tidak lama lagi, dalam keadaan “lockdown”.

Dalam pada itu, berita dari Arab Saudi sungguh menghibakan umat Islam di seluruh dunia, memandangkan hanya rakyat mereka sahaja yang diberi izin untuk melaksanakan ibadat Haji pada tahun 2021/1442 Hijrah ini.

Covid-19 ternyata menduga bukan sahaja daya tahan jasad kita, tetapi turut menguji keimanan kita  serta ketakwaan kita untuk terus mengabdi kepada Yang Maha Mencipta dalam suasana yang sangat berbeza.

Amirudin Shari menyertai ibadah korban ketika Program Sumbangan Lembu, Ziarah Korban, Majlis Kenduri Rakyat Hari Raya Aidiladha 2019 di sekitar surau DUN Sungai Tua. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Kita sedia maklum bahawa Hari Raya Aidiladha cukup sinonim dengan tema korban dan pengorbanan. Kita mengenang kisah pengorbanan Nabi Ibrahim AS, Nabi Ismail AS dan Siti Hajar. Kita turut mengenang peristiwa korban yang dipersembahkan oleh Habil dan Qabil.

Dalam surah al-Maidah, ayat 27, ketika al-Quran membicarakan kisah ini, ditegaskan bahawa Allah hanya menerima korban dan amalan daripada orang yang bertakwa. Mesej sebegini turut ditemui dalam surah al-Hajj, ayat 37:

“Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu.”

Ternyata, pengorbanan memerlukan syarat ketakwaan. Malah, tiada nilai pada pengorbanan tanpa ketakwaan.

Namun, dalam konteks kita sebagai warganegara yang baik, apakah erti ketakwaan? Ketakwaan bererti melakukan perkara baik dan bermanfaat serta menjauhi perkara buruk.

Allah menyebut beberapa sifat orang bertakwa, antaranya yang disebut dalam al-Baqarah, ayat 177, ialah “seseorang yang mendermakan harta yang disayanginya kepada sanak saudara, anak-anak yatim, orang miskin, orang yang terputus belanja ketika dalam perjalanan mengerjakan sesuatu yang murni.”

Ini merupakan nilai universal yang cukup penting buat manusia dan kemanusiaan. Ketakwaan inilah yang mahu dicapai dalam pelbagai perintah dan arahan Tuhan termasuklah ibadat korban, lebih-lebih lagi di zaman buruk akibat pandemik ini.

Seperti mana kisah agung pengorbanan Nabi Ibrahim AS serta anakandanya Nabi Ismail AS bermula dengan berita “buruk” tentang arahan penyembelihan sebelum akhirnya mendapat Rahmat dan Maghfirah daripada Tuhannya, begitu juga diharapkan agar di hujung perjalanan panjang Covid-19 ini, Allah Yang Maha Mengetahui akan membuka hijabnya serta akhirnya memahamkan kita akan HikmahNya dalam RencanaNya yang sempurna sesuai dengan IradatNya.

Meskipun kesempurnaan hanya milik Yang Maha Sempurna, Kerajaan Negeri beriktikad untuk terus memberikan khidmat yang terbaik dan berkorban sebaik mungkin demi kemaslahatan rakyat, yang terbaharu menerusi Pakej Kita Selangor 2.0.

Dengan matlamat mencapai ketakwaan, saya berpesan kepada diri sendiri dan seluruh rakyat Malaysia terutamanya warga Selangor untuk kita berusaha sedaya mungkin berkorban dan saling membantu saat amat mencabar ini.

Marilah pada yang mampu, bersama-sama mengorbankan sedikit kesenangan untuk dikongsikan kepada yang memerlukan.

Saya cukup terharu dengan kisah-kisah yang berlegar di sekeliling kita. Sekiranya anda memerlukan bantuan atau mengenali sesiapa yang dalam kesempitan, jangan bertangguh untuk hubungi kami. Kerajaan Negeri akan berusaha keras memastikan tiada orang yang tertinggal pada saat ini kerana kita sama-sama jaga kita. Marilah kita saling cakna, bertanya khabar dan meminjamkan telinga untuk mendengar rintihan teman-teman terdekat agar tiada sesiapa yang menghadapi tekanan perasaan atau terjejas kesihatan mentalnya.

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada semua umat Islam di Selangor.

Dengan tema “Pengorbanan Wahana Penyempurnaan”, semoga kita semua warga Selangor terus tabah menghadapi dugaan ini dan tidak pernah berhenti berkorban demi mencapai penyempurnaan pengabdian kita kepada Allah Azza Wa Jalla.

Categories
PERSONALITI RENCANA

Atlet pecut gigih bahagi masa antara pelajaran, aksi di Tokyo

Oleh Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif

KUALA LUMPUR, 7 JULAI: Pelajaran tetap menjadi keutamaan atlet pecut muda wanita negara Azreen Nabila Alias dalam kesibukannya membuat persediaan rapi menjelang Sukan Olimpik Tokyo bulan ini, yang turut menjadi penampilan sulungnya di temasya berprestij itu.

Tatkala fokus atlet lain sudah tertumpu kepada Sukan Olimpik, Azreen Nabila, 21, yang mendapat tiket “wild card” ke Tokyo kini gigih membahagikan masa antara pelajaran dan sesi latihan apabila bakal menduduki peperiksaan akhir semester kedua bermula 11 hingga 21 Julai ini.

Situasi tersebut menjadikan penuntut Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi itu lebih kreatif dalam memanfaatkan sepenuhnya masa 24 jam sehari bagi mentelaah kesemua enam mata pelajaran dan mencapai objektif sesi latihan.

Namun, jadual harian padat yang dilalui tidak dianggap sebagai bebanan, malah beliau yang akan bertanding dalam acara 100 meter(m) pecut wanita di Tokyo turut enggan meletakkan sebarang tekanan tidak perlu untuk memastikannya berada pada tahap terbaik untuk beraksi di negara matahari terbit.

“Sekarang sangat sibuk sebab peperiksaan akhir semakin hampir, dalam sehari saya perlu berlatih dan menghadiri kelas. Tetapi itu tidak menjejaskan persiapan ke Tokyo kerana saya sentiasa berikan tumpuan sepenuhnya dalam sesi latihan,” katanya kepada Bernama.

“…dan ketika ini saya juga tidak mahu terlalu memikirkan pasal pertandingan (Olimpik), apabila saya terlalu fikirkan ia akan memberi tekanan kepada diri sendiri,” kata beliau yang dijadual berlepas ke Tokyo pada 25 Julai.

Atlet dengan rekod peribadi terbaik 11.81 saat (s) yang dilakukannya di Sukan Malaysia (Sukma) 2018 di Perak itu layak ke Tokyo selepas menjadi atlet pilihan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) yang diberikan satu slot “wild card”.

Catatan terbaik Azreen Nabila musim ini adalah 12.00s yang dilakukan pada April lepas, selepas mencipta kejutan menewaskan nama besar antaranya S Komalam Shally dari Perak dan atlet Johor Siti Fatimah Mohamad untuk merangkul emas 100m pecut Kejohanan Grand Prix (GP) Malaysia.

Berdasarkan catatan dilakarnya dan kekurangan kejohanan kompetitif di samping impak pandemik Covid-19, Azreen Nabila mengakui beliau perlu berpijak di bumi nyata apabila bakal bersaing dengan barisan jaguh dunia, selain perlu mempunyai sasaran realistik di Tokyo.

“Pecah rekod kebangsaan? Saya hanya mahu buat yang terbaik. Sasaran utama saya bersama jurulatih adalah memperbaiki catatan peribadi, saya memang berhasrat nak perbaharui rekod 11.81s sebelum ini,” katanya yang dinobatkan sebagai Olahragawati Sukma 2018.

Rekod kebangsaan 100m pecut wanita berusia 28 tahun dipegang bekas ratu pecut negara G Shanti dengan catatan masa 11.50s yang dicipta pada Pra-Sukan SEA di Kuala Lumpur pada 1993.

Sementara itu, Azreen Nabila yang merupakan anak ketujuh daripada lapan beradik menyasarkan untuk menurunkan berat badan sebanyak tiga kilogram (kg) sebelum berlepas untuk membantunya mencapai prestasi puncak di Tokyo.

Dengan masa semakin suntuk, beliau yang mempunyai berat badan 54kg berharap dapat mencapai berat badan ideal melalui kaedah mengurangkan pengambilan kuantiti makanan yang diamalkannya sejak terpilih ke Tokyo.

“Saya tidak boleh gandakan latihan atau membuat sesuatu di luar program kerana ia boleh menggugat persiapan sehingga mendatangkan kecederaan. Saya lihat dengan cara mengawal pemakanan sahaja dapat turunkan berat badan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengakui terkejut namanya terpilih mengisi slot “wild card” ke Sukan Olimpik Tokyo, namun melihat itu sebagai rezeki serta berkat doa ibu dan arwah bapanya yang merupakan individu terpenting sepanjang beliau bergelar atlet.

Malah, Azreen Nabila mengakui keputusannya melanjutkan pelajaran di peringkat prauniversiti di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) suatu ketika dahulu sebagai memenuhi kehendak arwah bapanya yang mahu beliau mendapat akses terbaik dalam kariernya.

“Saya tidak menyesal ikut permintaan ibu dan arwah ayah, sebab dengan kata-kata mereka selama ini lah yang bawa saya sampai ke tahap sekarang, boleh beraksi di Olimpik. Kalau saya tidak tunaikan permintaan mereka mungkin saya tidak berada di sini,” katanya.

Profil Azreen Nabila

Nama penuh: Azreen Nabila Alias

Tarikh lahir: 29 Jun 2000 (21 tahun)

Tempat lahir: Hospital Kuala Terengganu

Hobi: Mendengar lagu dan menonton filem

Cita-cita: Ahli perniagaan

Keluarga: Anak ketujuh daripada lapan beradik (lima kakak, seorang abang dan adik lelaki seorang)

Catatan masa terbaik: 11.81 saat

Jenama kasut: Asics

Idola: Allyson Felix (Amerika Syarikat)

Penampilan antarabangsa: Sukan SEA 2019 di Filipina

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA PERSONALITI RENCANA

Enam wanita teraju desa, pikul tugas setara pencapaian lelaki

SHAH ALAM, 12 JUN: Seramai 16 wanita berperanan sebagai ketua kampung di Selangor, jawatan yang lazimnya didominasi golongan lelaki.

Pelantikan mereka selaras ke arah menjayakan dasar Kerajaan Negeri yang menetapkan 30 peratus pentadbiran semua peringkat kepada wanita.

Sekalipun berdepan pelbagai cabaran, keupayaan mereka dalam memikul tanggungjawab setara dengan pencapaian golongan lelaki.

Wartawan Nazli Ibrahim meringkaskan sebahagian pencapaian dan perancangan enam ketua kampung wanita. Mereka antara 79 individu yang menerima watikah pelantikan daripada EXCO Pembangunan Luar Bandar Borhan Aman Shah sebagai ketua kampung di Sabak Bernam pada 7 Mei.

Nur Farehan Nieza Othman

  • Berusia 28 tahun, beliau ketua kampung paling muda di Selangor
  • Ibu kepada dua anak memulakan tugas pada 1 Oktober 2019. Beliau juga pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Parit 16 Binjai Patah di Sabak Bernam
  • Menyifatkan peringkat awal pelantikan fasa paling mencabar atas faktor usia tetapi menggunakannya untuk menarik minat generasi muda menyertai program
  • Menyelesaikan masalah penduduk antaranya menukar bumbung rumah uzur, bantuan wakaf untuk surau dan meningkatkan kesedaran untuk mendaftar inisiatif Kerajaan Selangor
  • Menambah baik prasarana antaranya membina pondok bas baharu dan menyelesaikan masalah lampu jalan tidak berfungsi

Mas Lina Husein

  • Berusia 40 tahun. Ibu kepada lima anak dilantik sebagai Ketua Kampung Parit 5/6 Gambut pada 1 Mac 2021
  • Pernah memegang beberapa jawatan antaranya Ahli Jawatankuasa (AJK) Pusat Wanita Berdaya, pengerusi Pertubuhan Semarak Progresif, sebuah badan bukan kerajaan dan Ketua Kebajikan Angkatan Wanita Amanah Sungai Besar
  • Menyelesaikan isu bantuan zakat untuk ibu tunggal, mengatasi isu haiwan liar perosak tanaman, menyediakan kelengkapan menguruskan jenazah dan menggantikan peralatan surau
  • Berusaha mendapatkan dana bagi membeli mesin penjana elektrik untuk kegunaan kecemasan lain, membaiki lampu dan pagar jalan
  • Menyasar untuk menyelesaikan isu reban ayam komersial yang berlarutan sejak 2008 hingga mengakibatkan bau busuk

Azizah Samin

  • Berusia 57 tahun. Ibu lima anak dilantik sebagai Ketua Kampung Baharu pada 1 Mac 2020
  • Menggalas tanggungjawab sebagai AJK MPKK Kampung Batu 40 pada 2008 hingga 2010 dan 2018 hingga 2020
  • Pernah menyandang jawatan penyelia Pusat Wanita Berdaya bagi Dewan Undangan Negeri Sabak selama empat tahun sejak ditubuh pada 2014
  • Diberi kepercayaan sebagai AJK Koperasi Muslimah Sabak Bernam, Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Koperasi selama lapan tahun dan AJK Masjid Jamek Sultan Salehuddin pada 2008 kira-kira tiga tahun. Turut berperanan sebagai AJK dalam badan bukan kerajaan, Wanita Prihatin Sabak

Mariani Hassim

  • Berusia 42 tahun. Ibu kepada empat anak dilantik sebagai Ketua Kampung Parit 8 Sungai Leman pada 1 Oktober 2020. Beliau menetap di kampung itu selama 25 tahun
  • Pernah menjadi setiausaha Pusat Wanita Berdaya DUN Sekinchan pada 2019 sebelum meletak jawatan pada 2020 apabila dilantik sebagai ketua kampung

Norsuhana Jaafar

  • Berusia 44 tahun. Ibu kepada enam cahaya mata dilantik Ketua Kampung Parit 11/12 Gambut pada 1 Mac 2021
  • Anak jati kampung itu pernah dilantik sebagai setiausaha Penggerak Belia Tempatan pada 2012 sebelum dilantik sebagai pengerusi tahun berikutnya
  • Tekad menjadikan Kampung Parit 11/12 Gambut setanding kampung lain, antaranya memiliki tempat riadah untuk golongan belia menghabiskan masa lapang dengan bermanfaat
  • Mahu menghidupkan semula balai raya yang sebelumnya ‘mati’ melalui program menjana ekonomi penduduk dan mengerat silaturahim
  • Mahu menggerakkan kegiatan riadah untuk masyarakat termasuk golongan ibu selepas PKP berakhir

Salasiah Sahat

  • Berusia 45 tahun. Ibu kepada enam anak dilantik Kampung Parit 16 Binjai Jaya pada Oktober 2019. Beliau menetap di situ sejak berusia lima tahun
  • Aktif dalam pelbagai kegiatan antaranya sebagai AJK Penerangan Parti Keadilan Rakyat Cabang Sungai Besar, AJK surau dan AJK Persatuan Desa Kasih Merbau Berdarah Parit 16 Binjai Jaya sejak 2013 hingga sekarang
  • Berusaha mengatasi masalah lambakan bertan-tan buah pisang yang tidak dapat dipasar membabitkan hampir 20 penduduk dengan bantuan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan
Categories
PERSONALITI RENCANA

Daripada biji buangan jadi benih raja buah berkualiti

Oleh Noorazlina Jindeh

KOTA BELUD, 20 APRIL: Biji durian lazimnya dibuang setelah selesai menikmati isinya, namun bagi pengusaha benih durian ia adalah sumber utama untuk menghasilkan benih raja buah yang berkualiti.

Ini kerana, biji itu akan disemai untuk menjadi ‘pokok penanti’ sebelum ‘dikahwinkan’ dengan benih durian daripada jenis lain antaranya durian Musang King, Tembaga dan D24.

Donny Ien, 39, dari Kampung Rangalau, di sini berkata, beliau biasanya mendapatkan biji durian daripada penjual buah berkenaan pada harga antara RM3 hingga RM4 sekilogram yang mudah diperoleh ketika musim durian.

“Idea untuk memulakan perniagaan menyemai benih durian timbul apabila melihat harga sebiji durian Musang King di Pulau Pinang mencecah sehingga RM100 sekilogram ketika bekerja di negeri itu pada 2013.

Foto: BERNAMA

“Dari situ saya berfikir memang lumayan pendapatan menjual durian dan saya bersama isteri mengambil keputusan pulang ke Sabah untuk belajar sendiri bagaimana cara menyemai benih durian.

“Saya tidak mengikuti mana-mana kursus tetapi disebabkan minat saya teruskan belajar sendiri selain belajar daripada seorang rakan yang juga berpengalaman menghasilkan durian kahwin,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di tapak semaian tanaman miliknya yang juga terletak di kampung itu, baru-baru ini.

Pokok penanti kahwin Musang King

Bercerita lanjut sambil menunjukkan proses ‘mengahwinkan’ pokok durian, bapa kepada dua orang cahaya mata yang berasal dari Kampung Marak Parak, Kota Marudu itu berkata biji durian perlu direndam semalaman sebelum ditanam di dalam polibeg yang telah diisi dengan campuran tanah kuning dan hitam.

Selepas sebulan, biji itu akan tumbuh menjadi pokok yang dipanggil sebagai pokok penanti setinggi kira-kira setengah meter.

Pokok penanti itulah yang akan dicantumkan dengan mata tunas dari batang durian Musang King yang diambil daripada pokok asalnya, sebelum diikat dengan pita khas dengan kaedah yang dikenali sebagai cantuman mata tunas.

Donny yang merupakan suku kaum Dusun mendapatkan tunas mata durian Musang King dari kebun ibu saudaranya yang terletak berhampiran tempat tinggal beliau.

“Proses cantuman perlu dibuat dengan berhati-hati supaya ia mudah bercantum. Semasa proses cantuman dilakukan jangan tutup mata tunas dan kawasan cantuman perlu ditutup rapi supaya tidak dimasuki air ketika menyiram.

“Selepas tamat tempoh 21 hari, pita pada cantuman perlu dibuka bagi membolehkan tunas itu membesar sehingga mengeluarkan hasil dalam tempoh empat hingga lima tahun,” katanya yang membuka tapak semaian ‘Don Nursery’ sejak 2017.

Mengimbau detik awal percubaan menyemai biji durian, beliau berkata ianya agak sukar kerana hampir kesemua pokok cantumannya tidak menjadi namun berpegang kepada prinsip tidak mudah berputus asa, beliau kini mampu meraih pendapatan sehingga RM20,000 sebulan.

Permintaan yang semakin meningkat menjadikan beliau gigih membuka tapak semaian berkenaan dengan menyewa tiga lot tanah yang berlatarbelakangkan Gunung Kinabalu.

“Selain kaedah cantuman mata tunas, saya turut menggunakan kaedah cantuman baji kerana ianya lebih cepat membesar. Dalam sehari saya boleh membuat cantuman antara 200 hingga 300 pokok dengan dibantu oleh tiga orang pekerja yang merupakan penduduk sekitar kampung ini,” katanya.

Import dari Kelantan

Donny pada masa sama turut menjual pokok benih durian Musang King pada harga antara RM38 hingga RM150 sepokok (mengikut saiz) kepada pelanggan yang lazimnya datang dari sekitar Kota Belud termasuk Tawau.

Beliau berkata walaupun ketika pandemik Covid-19, masih ada permintaan daripada pelanggan namun kebanyakan mereka tidak dapat datang ke tapak semaian kerana tidak boleh merentas daerah.

“Biasanya sebelum ini pelanggan yang datang ke sini… kalau dari daerah lain saya akan hantar menggunakan perkhidmatan pos,” katanya sambil menambah benih durian yang berumur antara tiga hingga empat bulan sudah boleh dijual.

Foto: BERNAMA

Bersyukur kerana pada peringkat awal menceburi bidang itu ia tidak memerlukan modal yang besar berbanding perniagaan lain, Donny berkata beliau hanya menggunakan batang buluh dan beberapa gulung jaring untuk menutup tapak semaian yang dianggarkan mempunyai lebih 1,000 batang pokok.

Untuk penjagaan benih, beliau menggunakan sekam padi bagi mengelak tumbuhan lain tumbuh di dalam polibeg di samping turut bertindak sebagai baja kepada pokok durian.

“Biji durian lebih mudah diperoleh ketika musim durian iaitu bermula dari Julai hingga Disember setiap tahun… adakalanya saya menggunakan sistem barter dengan penjual durian,” katanya sambil menambah bagi memenuhi permintaan pelanggan beliau turut membeli pokok durian bersaiz kecil pada harga RM10 dari Pasir Mas, Kelantan dengan sebahagiannya turut dijual kepada mereka yang berminat.

Jarak tanaman, kongsi ilmu

Selain benih pokok durian Musang King, Donny turut menyemai benih pokok durian Dalit yang berwarna oren, durian Bunga Merah, pulasan, manggis, avocado dan kelapa pandan.

Mengulas antara cabaran yang perlu dihadapi beliau berkata ia termasuklah penyakit hawar daun terutamanya pada musim hujan, serangan serangga seperti belalang dan siput yang merosakkan benih yang sedang membesar.

Antara petua yang dikongsi bagi menyuburkan tanaman pokok durian, Donny berkata kedalaman lubang untuk menanam dianggarkan sedalam 0.30 meter (satu kaki) dan menggunakan campuran tiga jenis baja iaitu baja subur, buah dan dolomite yang dimasukkan ke dalam lubang sebelum ditutup.

“Selepas tiga minggu lubang itu dibuka semula untuk ditanam pokok durian kerana bajanya sudah sebati dengan tanah. Setiap tiga bulan sekali perlu ditabur dengan baja subur sebelum menghasilkan buah dalam tempoh lima hingga tujuh tahun.

“Bagi mengelak buah durian ‘diganggu’ oleh haiwan seperti tupai dan monyet saya menjarakkan tanaman kira-kira 12 meter antara satu pokok dengan pokok yang lain supaya dahannya tidak berdekatan apabila pokok itu membesar,” katanya yang bercadang menjadi pemborong benih Musang King di Sabah untuk dipasarkan.

Di samping mengadakan kursus kaedah menyemai biji durian di sekitar Kota Belud dan Ranau, beliau juga kini sedang berjinak-jinak dengan dunia penulisan mengenai pertanian dan mengeluarkan majalah secara dalam talian sejak empat bulan lepas.

Majalah yang memaparkan pelbagai jenis pertanian yang diusahakan golongan belia tempatan khususnya di Negeri Di Bawah Bayu itu boleh dilayari di laman web https://penjanahijau.com/utama/ dengan yuran langganan serendah RM3 sebulan atau RM36 setahun.

“Idea menghasilkan majalah ini adalah untuk memberi semangat kepada golongan belia yang mengusahakan pertanian sekali gus memberi kesedaran kepada masyarakat bahawa pertanian juga mampu mengubah hidup menjadi lebih baik,” katanya yang juga editor kepada majalah berkenaan.

Majalah yang turut dikenali sebagai E-Mag itu dikeluarkan sekali dalam tempoh sebulan dan kini telah memasuki edisi keempat dengan lebih banyak informasi berkaitan penjagaan tanaman bunga, ternakan lembu, arnab dan ikan.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA PERSONALITI RENCANA

Magis resipi kuih kapit, usahawan eksport ke China, Australia

Foto FIKRI YUSOF

DULU hendak beli ais krim berharga seringgit pun habis satu rumah digeledah untuk mencari sisa duit syiling demi memuaskan keinginan anaknya.

Shafinaz Ainaa Muslim, 36, tidak mahu peristiwa itu berulang. Beliau berusaha membaiki kehidupan, berjalan kaki dari rumah ke rumah untuk menjual kerepek pisang.

Bahang terik matahari telah lali dilaluinya. Disangka pendatang Indonesia juga pernah dirasai ibu empat anak itu. Perasaan malu sudah lama dibuangnya jauh-jauh.

Pintu rumah sekitar Ijok, Kuala Selangor diketuk satu persatu. Selesai satu kampung, ke kampung sebelah pula. Badan penat kakinya lenguh. Namun, beliau puas jualannya laris. Belum tiga jam semuanya habis.

Namun, untungnya tidak seberapa. Kerepek dibeli secara borong, bukannya dibuatnya sendiri. Selepas kira-kira setahun, Shafinaz Ainaa mula menggunakan resipi kuih kapit daripada mentua.

Jualan itu mula mendapat sambutan hangat. Beliau mengubah suai resipi mengikut selera anak muda. Produk juga dipelbagai sejak 2015.

Beliau tidak lagi berjalan kaki rumah ke rumah sebaliknya mengeksport kuih kapit ke China, Thailand dan Australia. Kecekalan itu menobatkan Shafinaz untuk menerima anugerah Usahawan Sukses Hijrah Selangor.

Makanan ringan

Menjelang sambutan Aidilfitri pada 2015, Shafinaz berniaga kuih kapit. Sambutannya luar biasa. Namun, jualan kembali suram selepas perayaan. Beliau kembali berniaga kerepek pisang rumah ke rumah.

Lama kelamaan, timbul idea menjadikan kuih kapit makanan ringan sepanjang masa, bukan takat juadah raya sahaja. Shafinaz mula mengubah suai resipi mentuanya.

“Saya terfikir saya mesti ada produk keluaran sendiri lain daripada lain yang boleh mendapat pulangan lebih baik,” katanya kepada Selangorkini baru-baru ini.

Berbekal RM3,000, Shafinaz memulakan perusahaan kecil di Batu Dua, Pasir Penambang. Beliau memperoleh modal itu dari simpanan suami dan bantuan ibu mentua.

Pada 2016, lahirlah kuih kapit pelbagai perisa seperti coklat, kacang, kuaci, coklat kacang tabur dan mentega kacang bersama kacang tabur keluaran Haq Rich Enterprise, syarikat miliknya.

Ternyata, strategi beliau berhasil. Kuih kapit jenama Mabeles mendapat sambutan. Produknya juga mula dipasar dalam talian.

Shafinaz kemudian menaik taraf bengkelnya menjadi kilang yang memiliki pensijilan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Bukan mudah, banyak pembaikan perlu dibuat.

Kerja menaik taraf dibuat sedikit demi sedikit selama tujuh bulan demi memenuhi piawaian. Shafinaz bernasib baik diperkenal dengan Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah Selangor).

“Kali pertama saya mendapat pinjaman Hijrah berjumlah RM5,000 pada tahun 2016 untuk menaik taraf jalan. Kali kedua pada tahun lalu sebanyak RM50,000 untuk menambah modal pusingan,” katanya.

Shafinaz menganggap Hijrah banyak mendidiknya dalam aspek disiplin kewangan, selain membantu memajukan perniagaannya.

Melalui 30 ejen di Selangor, Pahang, Johor dan Negeri Sembilan, produk keluaran syarikatnya ditempatkan ke stesen Petronas dan pasar raya Aeon. Kuih itu juga menembusi pasaran China, Thailand dan Australia.

Eksport terkandas

Namun, bukan semuanya indah belaka dalam perniagaan. Saat dilambung kejayaan, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lalu menguji kestabilan perniagaannya.

Shafinaz menanggung kerugian lebih RM8,000 apabila kuih kapit yang dieksport ke China terkandas terlalu lama di pelabuhan mengakibatkan 6,400 bungkus rosak.

Ia tidak melunturkan semangatnya. Kerugian itu ditampung keuntungan jualan dalam pasaran tempatan melalui dalam talian, pasar raya Aeon, rangkaian stesen Petronas dan jualan terus di Ratu Kapit Station.

Kini, jualan kuih kapit Mabeles mampu mencecah RM30,000 sebulan dan sasaran ditingkatkan kepada RM60,000.

“Insya-Allah dengan usaha semua pihak, saya yakin mampu mencapai sasaran tersebut, lebih-lebih lagi lebih kurang dua bulan sahaja lagi menjelang raya,” katanya.

Categories
PERSONALITI RENCANA

Daripada perniagaan khemah kepada kedai jual ikan

Oleh Nor Amirah Mahmuddin

KUALA LUMPUR, 16 MAC: Amalan norma baharu dalam penganjuran majlis akibat wabak Covid-19 membuatkan Sani Shamsuddin yang mengusahakan perniagaan sewa khemah sejak 2013 bertukar arah menjadi peniaga ikan.

Pemilik Sani Canopy Marquee Tent sedar beliau mungkin tidak dapat meneruskan perniagaannya untuk jangka masa yang lama.

Ini memandangkan rata-rata masyarakat di negara ini hanya mengadakan majlis secara kecil-kecilan dan penganjuran sambutan serta perayaan yang lazimnya diadakan setiap tahun juga dibatalkan.

Tidak lagi hanya mahu menunggu rezeki datang bergolek, beliau membuat keputusan untuk meneroka bidang baharu sebagai penjual ikan segar kepada pelanggan di sekitar bandar Shah Alam di Selangor.

Sani yang berusia 35 tahun nekad untuk mencuba bidang perniagaan baharu itu meskipun tidak mempunyai pengetahuan mahupun pengalaman dalam perniagaan ikan.

Tekadnya berjaya membuahkan hasil sehingga mampu membuka ‘pasar mini’ yang dikenali sebagai Sani Freshmart.

Kini, kedainya tidak hanya menjual pelbagai jenis ikan segar seperti ikan merah, cencaru, pelaling, sardin, kerisi, tongkol, siakap, jenahak, bawal, kerapu, pari tuke, tetapi juga makanan laut yang lain serta sayur-sayuran dengan harga yang amat berpatutan.

Tidak kenal jenis ikan

Bermula dengan niat sekadar mahu mengisi lapang, Sani tidak menyangka perniagaan jualan ikannya sejak Oktober 2020 mampu mendatangkan hasil yang lumayan dengan jualan sehingga 500 kilogram ikan sehari.

Bercerita lanjut, Sani berkata, idea menjual ikan itu muncul apabila beliau bertemu rakan yang juga menukar kerjaya daripada pengusaha katering kepada ‘tauke ikan’ sejak tahun 2020.

Disebabkan keputusan untuk berniaga dibuat secara mendadak, beliau terpaksa membawa ayahnya ke jeti sekitar Sekinchan bagi membantu membeli bekalan kerana tidak mengenali jenis-jenis ikan.

“Hari pertama, saya beli ikan dengan harga keseluruhan RM4,000 dan sebenarnya saya sendiri kurang pasti sama ada stok tersebut boleh dijual sehingga habis ataupun tidak,” katanya dalam wawancara di Wisma Bernama baru-baru ini.

Menurut beliau, pada peringkat permulaan, beliau tidak mempunyai tapak ataupun kedai dan hanya menjual di kawasan berdekatan rumah ibu bapanya. Sambutan menggalakkan yang diterima membuatkan beliau lebih bersemangat untuk mempelajari selok-belok perniagaan ikan.

“Sejak hari itu, saya banyak belajar daripada ayah sebab dulu ayah pernah buka restoran jadi dia lebih mahir tentang ikan dan penjual ikan di jeti tentang jenis ikan, teknik penjagaan, cara menyiang serta ikan mana yang lebih digemari oleh orang ramai,” tambahnya lagi.

Beliau juga sempat berniaga di tepi jalan menggunakan lorinya untuk tempoh yang singkat sebelum berpindah ke sebuah kedai yang disewa di Seksyen 7 Shah Alam pada Januari 2021.

Biarpun janggal pada mulanya, Sani akhirnya dapat menyesuaikan diri dengan rutin pekerjaan baharu dan corak perniagaan yang berbeza.

“Tahun lepas (2020) adalah tahun pertama saya dapat beraya bersama-sama keluarga kerana sebelum ini, musim perayaan adalah paling sibuk bagi kerana banyak tempahan untuk majlis sambutan,” katanya.

2020 tahun sukar

Menurut Sani, beliau tidak pernah menyangka akan berdepan dengan situasi seperti tahun 2020 dan sokongan daripada keluarga terutama isteri menjadi penguat dirinya.

Tanpa sokongan mereka, beliau mungkin boleh mengalami kemurungan kerana tahun lalu merupakan tempoh kehidupan yang amat sukar berikutan perniagaannya mengalami kerugian sehingga ratusan ribu setiap sebulan.

Ini memandangkan perniagaan sewa khemah yang sebelum ini beroperasi di seluruh Semenanjung mampu memberikan untung bersih puluhan ribu sebulan, tetapi disebabkan pembatalan majlis, beliau mengalami kerugian kerana terpaksa memulangkan semula bayaran (refund) kepada pelanggan termasuk wang pendahuluan.

Beliau juga tetap membayar gaji pekerja seperti biasa dan memberi sedikit bonus sewaktu musim perayaan menggunakan wang simpanan yang ada kerana mahu mereka terus bermotivasi dan setia bersama perniagaannya.

Percaya bahawa setiap yang berlaku pasti ada hikmah, beliau lebih banyak mempelajari agama dan mendekatkan diri kepada Tuhan serta melakukan refleksi diri ketika menghadapi tempoh sukar tahun lalu.

“Betullah kata pepatah, ‘besar periuk besarlah keraknya’. Jadi, kita sentiasa perlu bersedia secara mental dan juga kewangan kerana perkara yang tidak pernah dijangka boleh berlaku pada bila-bila masa,” tambahnya.

Beliau turut bersyukur kerana mempunyai wang simpanan hasil sikap cermat dalam berbelanja sepanjang perniagaan sewa khemahnya.

Promosi perniagaan dalam talian

Tidak mahu hanya menjadi ‘tauke ikan’ biasa, beliau turut mempromosikan perniagaan ikan secara dalam talian menggunakan iklan Facebook, Instagram, Whatsapp dan kini beliau telah memperkenalkan aplikasi Sani Freshmart yang boleh dimuat turun di Google Play.

Dengan menggunakan aplikasi tersebut, para pelanggan hanya perlu menempah secara dalam talian dan barangan tersebut akan dihantar ke lokasi yang diinginkan.

“Pada awalnya saya sedikit ragu-ragu mahu mempromosi perniagaan jualan ikan segar atas talian kerana kalau dahulu saya boleh muat naik gambar dan rakaman dron pelbagai jenis khemah di Instagaram tetapi gambar ikan ni bentuknya sama sahaja,” katanya.

“Tetapi apabila saya melanggan iklan di Facebook dan ada pelanggan yang sudah mula bertanya lokasi kedai, saya nekad untuk teruskan kerana modalnya pun tidak banyak serta boleh mencapai lebih ramai pelanggan di luar,” tambah Sani.

Beliau turut mengetepikan rasa malu dengan membuat ‘live’ di Facebook dan Instagram walaupun tidak begitu mahir dan berkeyakinan.

“Ada yang cakap takkanlah jual ikan pun nak ‘live’ di Facebook tetapi bagi saya media sosial mempunyai impak yang sangat kuat sebab kalau ada seorang yang menonton dan berkongsi, lama kelamaan ramai yang akan tahu tentang Sani Freshmart,” katanya lagi.

Mahu teruskan perniagaan

Menurut Sani, walaupun mungkin pada masa akan datang industri acara akan kembali beroperasi seperti biasa, beliau tetap akan meneruskan perniagaan ikan dan bercita-cita untuk membuka cawangan Sani Freshmart.

“Buat masa ini, saya merancang untuk memanjangkan waktu operasi kedai sehingga malam kerana sekarang kami hanya beroperasi dari jam 7.45 pagi hingga dua petang dan merancang akan menambah bekalan ikan serta pekerja,” katanya.

Sani turut menasihatkan supaya mereka yang terlibat dalam industri acara dan pelancongan supaya terus cekal dan keluar daripada zon selesa untuk berikhtiar mencuba sesuatu yang lain dalam mencari pendapatan sampingan.

“Jika kita berasa susah untuk memulakan sesuatu yang baru, maka belajarlah. Jangan malas dan takut kerana yakinlah setiap yang kita usahakan pasti akan mendatangkan hasil,” katanya.

– BERNAMA

Categories
PERSONALITI RENCANA

Perginya Jamali Shadat, tiada lagi keletah ‘Atan’ dan ‘Atok

KUALA LUMPUR, 3 FEB: Tiada lagi keletah ‘Atan’, watak budak lelaki yang sering membuli datuknya apabila empunya suara yang memainkan peranan itu pergi buat selamanya awal pagi ini.

Pelawak legenda Datuk Jamali Shadat yang terkenal pada era 1970-an, berbakat dalam melontarkan suara dan membawa watak ‘Atan’ dan datuknya, ‘Atok’ serta rakan kanak-kanak itu dalam nada berbeza dan mengikut bahasa slanga rakyat Malaysia, meninggal dunia di kediamannya di Kampung Sungai Pinang, Pulau Indah, Pelabuhan Klang pada usia 78 tahun.

Jamali atau nama sebenarnya Jamalai Shadat mula mencipta nama sebagai pelawak (standing comedian) negara yang begitu unik selepas memenangi tempat kedua dalam pertandingan Bakat TV anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 1971 dan muncul dalam beberapa program televisyen termasuk Sendarama, Hiburan Malam Minggu dan Kuiz Kepintaran Anda.

Kebolehan Allahyarham melantunkan suara watak pelbagai dialek seperti Mandarin, Jawa, Sikh dan Tamil dalam rutin lawak beliau, begitu sinonim dengan masyarakat majmuk di Malaysia.

Aksi bersahajanya di atas pentas bukan sahaja mengundang tawa penonton, malah sepanjang lebih 40 tahun penglibatannya dalam komedi lawak, Jamali banyak membudayakan lawak keharmonian hubungan antara kaum malah menyatukan masyarakat dengan mengangkat isu semasa sebagai bahan ceritanya yang disampaikan dalam gaya, intonasi suara dan mimik muka yang melucukan.

Pernah Bintangi Filem

Jamali yang dilahirkan pada 18 September 1942 di Bukit Kapar, Klang Selangor juga pernah membintangi beberapa filem antaranya Hantu Siang pada 1986, Mr Cinderella 2 (2003), Senario The Movie Episode 2: Beach Boys (2009) dan Semerah Cinta Stiletto (2010).

Watak Atan yang meminjam suara emasnya juga pernah muncul dalam siri animasi terkenal Upin dan Ipin musim kesembilan pada 2015 yang disiarkan selama tiga episod.

Jamali juga pernah terlibat menjayakan program Raja Lawak terbitan Astro dan menerima Anugerah Lawak Warna bagi kategori Anugerah Khas Juri pada 2014 sebagai mengenang jasa dan bakatnya dalam arena komedi.

Pada sekitar 1970-an, Jamali juga pernah menghasilkan album sketsa bersama pelawak veteran Hamid Gurkha.

Kesihatan bapa kepada lapan orang anak itu dilaporkan mula merosot sejak pemergian isterinya, Allahyarham Lela Yacob akibat serangan angin ahmar pada 2018.

Jenazah Jamali akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pinang, Pulau Indah, Pelabuhan Klang.

– BERNAMA