Categories
SELANGOR

DUN Damansara Utama anjur bengkel kreatif

OLEH SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 10 OGOS: Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Damansara Utama menganjurkan ‘Creative Workshop’ untuk melatih anak muda yang berminat dalam bidang reka bentuk, pembikinan filem dan fotografi pada 26 hingga 28 Ogos ini.

Adunnya, Yeo Bee Yin, berkata program itu khusus untuk anak muda berumur 17 hingga 35 tahun berlatar belakang kreatif berkemahiran asas pembuatan filem, fotografi serta ilustrasi selama tiga hari dua malam di Shah Alam.

“Hampir RM10,000 diperuntukkan DUN saya bagi melaksanakan program ini untuk anak muda yang ingin menyumbang kepada aktivisme, perubahan dan pembangungan negara.

“Program ini juga sebagai platform yang menyokong anak muda meluaskan dan mengasah kemahiran mereka ada dalam menerokai pelbagai teknik baru,” katanya dalam kenyataan.

YB Yeo Bee Yin isu kolam takungan banjir (3)Katanya, selama tiga hari program itu berlangsung menampil ahli panel berpengalaman termasuk kehadiran Ahli Parlimen Kluang dan Pengarah Pendidikan Politik DAP, Liew Chin Tong, pengarah filem dan aktivis sosial, Hisham Rais dan Waze Sales Manager, Edward Ling.

“Program ini terhad kepada 30 orang peserta sahaja.

“Diharap melalui bengkel ini terlahir anak muda lebih berfikiran kreatif bersama pemimpin ke arah negara lebih mapan, adil dan lebih baik,” katanya.

Untuk pendaftaran boleh layari http://bit.ly/CreActExchangeWorkshop2016 atau sebarang pertanyaan lanjut, boleh e-mel ke [email protected].

EZY

Categories
SELANGOR

TNB tolong keluarkan jambatan kabel, SYABAS nak baik pulih paip

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 10 DIS: Tenaga Nasional Berhad (TNB) digesa mengambil tindakan segera mengeluarkan jambatan kabelnya yang runtuh di Sungai Kayu Ara berhampiran Taman Mayang Emas, Petaling Jaya.

Adun Damansara Utama, Yeo Bee Yin, berkata kelewatan TNB menyebabkan Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) tidak dapat membaik pulih paipnya yang retak dihempap jambatan itu.

Katanya, paip SYABAS itu kelihatan kritikal dan dikhuatiri memberi kesan kepada keselamatan penduduk, apalagi dengan musim tengkujuh ketika ini.

JAMBATAN TNB“Ini bukanlah perkara yang harus dipandang ringan. Janganlah kita menunggu sehingga sesuatu buruk berlaku atau ada nyawa yang terkorban baru hendak bertindak.

“Bak kata pepatah ‘mencegah lebih baik dari mengubati’,” katanya dalam kenyataan.

Pada 8 Disember lalu, Bee Yin melawat ke kawasan berkenaan hasil aduan penduduk dengan disertai Timbalan Ketua Jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Petaling, Jamaludin Sharif.

Hadir sama Ketua SYABAS Daerah Petaling Jaya, Khor Tze Tong dan Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd, Amin Lin Abdullah.

Beliau berkata, seorang penduduk mendakwa halaman belakang rumahnya di tebing sungai terhakis 10 kaki.

HAKIS“Tanah yang ada disekeliling kawasan itu juga pun agak lembut kini dan tidak berapa stabil lagi berbanding dahulu.

“Dengan keadaan hujan lebat sekarang, air deras mengalir dari hulu sungai kerap kali membawa bersama sampah sarap yang banyak hingga menyebabkan sampah sarap ini tersangkut di jambatan kabel TNB itu,” katanya.

-nR-

Categories
NASIONAL SELANGOR

MB harap lesen tubuh polis bantuan disegerakan

khalid

SHAH ALAM 21 OGOS : Kerajaan Negeri masih menunggu lesen dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membenarkan penubuhan pasukan Polis Bantuan di Petaling Jaya.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata Kerajaan Negeri ketika ini mengharapkan permohohan itu diluluskan dengan secepat mungkin.

“Kita masih meminta supaya Kerajaan Pusat terutamanya pihak polis untuk memberikan kita lesen tubuhkan pasukan itu bagi membantu memantau keselamatan dan ketenteraman awam.

” Walaupun terdapat kos pengendalian, kita sanggup berikan dana untuk perkara itu kerana ia penting. Kita harap ia diselesaikan secepat mungkin,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Jalinan Kasih Aidilfitri Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Pusat Konvensyen Shah Alam.

Semalam, Adun Damansara Utama, Yeo Bee Yin mendakwa polis memberi kelulusan kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) untuk menubuhkan pasukan Polis Bantuan bagi mempertingkatkan keselamatan di premis-premis milik Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Mahkamah.

Yeoh berkata pasukan Polis Bantuan dengan kekuatan 50 anggota itu boleh membantu PDRM menumpukan rondaan keselamatan di kawasan-kawasan lain.

Mengulas lanjut, Abdul Khalid berkata ia merupakan projek perintis yang akan ditambah mengikut keperluan dari masa ke semasa dan perlu berkembang ke kawasan PBT lain.

Katanya, beliau menyambut baik perkara itu namun bilangan anggota polis bantuan itu perlu mengikut nisbah antara populasi penduduk mengikut keperluan.

“Kadar nisbah seorang anggota polis 1:1000 ia terlalu ramai, jadi kita rasa ia mesti dikurangkan kepada nisbah 1:300, itu yang perlu dibuat,” katanya.

– HM

Categories
NASIONAL SELANGOR

20,000 tandatangani petisyen polis bantuan di Lembah Klang

POLIS

SHAH ALAM , 19 OGOS : Sebanyak 20,000 tandatangan berjaya diperolehi untuk petisyen kepada Ketua Polis Negara (KPN) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) agar meluluskan permohonan dari PBT-PBT di Lembah Klang untuk menubuhkan Polis Bantuan.

Dua minggu selepas kempen itu dilancarkan, desakan orang-ramai mendorong PDRM memberi kelulusan kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya untuk menubuhkan pasukan Polis Bantuan dengan kekuatan merekrut 50 anggota.

Adun Damansara Utama, Yeo Bee Yin berkata usaha akan terus dipertingkatkan bagi mencapai sasaran sebanyak 100,000 tandatangan dalam masa terdekat.

“Kita akan meneruskan kempen ini dari masa ke semasa untuk meningkatkan kesedaran awam berkenaan keperluan polis bantuan bagi pencegahan jenayah,” kata beliau ketika dihubungi.

Kempen itu yang dilancarkan pada 4 Julai lepas di Dewan Negeri Selangor (DNS) bertujuan mendesak Kerajaan Persekutuan membenarkan Kerajaan Selangor membentuk pasukan polis bantuan.

Orang ramai boleh menyertai kempen dengan mendapatkan borang di pejabat Adun Pakatan Rakyat atau dari laman web : www.safercity.com.my

Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan mengenai petisyen ini, Sila hubungi:

No Telefon : +6016 878 2472
Alamat E-mail : [email protected]

Alamat Surat Menyurat :
Petisyen Polis Bantuan55M,
Jalan SS21/1A, Damansara Utama,
47400 Petaling Jaya, Selangor

Categories
NASIONAL SELANGOR

MBPJ peroleh kelulusan 50 anggota polis bantuan

Yeo Bee Yin damansara utama 01

SHAH ALAM , 19 OGOS : PDRM memberi kelulusan kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) untuk menubuhkan pasukan Polis Bantuan bagi mempertingkatkan keselamatan di premis-premis milik PBT dan Mahkamah.

Adun Damansara Utama, Yeo Bee Yin, berkata pasukan Polis Bantuan dengan kekuatan 50 anggota ini boleh membantu PDRM menumpukan rondaan keselamatan di kawasan-kawasan lain.

“Permohonan untuk mendapatkan seramai 50 Polis Bantuan ini merupakan projek perintis yang akan ditambah mengikut keperluan dari masa ke semasa,” kata beliau.

Sementara itu, pihaknya juga sedang berbincang dengan PDRM untuk membenarkan polis bantuan membuat rondaan keselamatan di kawasan-kawasan lain.

“Kita akan berbincang dengan pihak Polis kerana Polis Bantuan mempunyai kuasa yang terhad. Polis bantuan ini hanya boleh membuat kawalan di bangunan milik MBPJ dan mahkamah sahaja,” kata beliau.

Beliau berkata, usaha kini digerakkan agar pihak berkuasa tempatan lain di kawasan Lembah Klang juga diberi kelulusan yang sama.

 

– HM

Categories
NASIONAL SELANGOR

PJ perlu tambahan 1,000 polis untuk penuhi piawai selamat Antarabangsa

POLIS

SHAH ALAM, 19 OGOS : Nisbah optimum anggota polis kepada penduduk yang disaran oleh polis antarabangsa (Interpol) ialah 1:250 dengan seorang anggota polis dipertanggungjawabkan untuk menjaga 250 penduduk.

Adun Damansara Utama, Yeo Bee Yin, berkata di Petaling Jaya, nisbah anggota polis bersamaan 1:470 dengan seorang anggota polis menjaga 470 penduduk.

Jumlah itu tidak memenuhi piawai yang ditetapkan di peringkat antarabangsa bagi kawalan keselamatan di sesuatu kawasan.

“Justeru mengikut perkiraan matematik maka kawasan Petaling Jaya memerlukan tambahan 1,000 anggota polis bagi mencapai sasaran nisbah polis yang ditetapkan Interpol.

Beliau menganggarkan jumlah itu memerlukan tambahan kos pembiayaan sebanyak RM35 juta setahun.

“Di negara ini kita mempunyai cukup anggota polis namun pengagihan pasukan keselamatan itu perlu diperbaiki dengan meletakkan di kawasan yang diperlukan,” kata beliau.

Katanya, Klang dan Cheras antara kawasan-kawasan yang amat memerlukan tambahan anggota polis kerana mempunyai jumlah kepadatan penduduk yang tinggi.

– HM