Categories
AGENDA NASIONAL

Agong, menteri kesihatan UAE bincang sumbangan vaksin Covid-19

KUALA LUMPUR, 24 DIS: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap Menteri Kesihatan dan Prevensi Emiriah Arab Bersatu (UAE) Dr Abdul Rahman Mohammed Al Owais di Emirates Palace, Abu Dhabi pada Rabu.

Sesi menghadap itu adalah satu daripada acara lawatan khas lima hari Al-Sultan Abdullah ke Abu Dhabi, UAE.

Pertemuan itu antara lain membincangkan hasrat kerajaan UAE untuk menyumbang vaksin Covid-19 kepada Malaysia antaranya bertujuan untuk kajian klinikal di negara ini.

“Al Sultan Abdullah menzahirkan setinggi penghargaan kepada Dr Abdul Rahman dan kerajaan UAE atas hasrat itu,” kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan di sini hari ini.

Ahmad Fadil berkata bagaimanapun, Seri Paduka Baginda bertitah bahawa beberapa proses perlu diambil kira bagi mengetahui kebolehlaksanaan kajian klinikal di Malaysia.

“…khususnya menerusi Pusat Penyelidikan Klinikal, Institut Penyelidikan Klinikal dan Bahagian Regulatori Farmasi Negara sebelum sebarang vaksin diterima masuk ke Malaysia,” katanya.

Ahmad Fadil berkata hasrat sumbangan vaksin Covid-19 dan lawatan khas itu mencerminkan hubungan dua hala yang kukuh dan erat terjalin antara kedua-dua negara.

Ia juga menunjukkan Malaysia dan UAE bersama berganding bahu dalam usaha memerangi Covid-19 serta kerjasama pemulihan pascawabak.

Dalam lawatan itu, Al-Sultan Abdullah juga berkenan melakukan kunjungan mesra terhadap Putera Mahkota Abu Dhabi Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan di kediaman rasminya pada 22 Disember.

Lawatan khas itu adalah atas jemputan Sheikh Mohamed dan Al-Sultan Abdullah dijadual berangkat pulang ke tanah air pada Jumaat (25 Disember).

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong berangkat ke Abu Dhabi untuk lawatan khas

KUALA LUMPUR, 18 DIS: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berangkat ke Abu Dhabi untuk lawatan khas lima hari ke Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) bermula hari ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata lawatan khas berkenaan adalah atas jemputan Putera Mahkota Abu Dhabi Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan.

“Agenda utama lawatan khas ini melibatkan perbincangan Al-Sultan Abdullah bersama Sheikh Mohamed Zayed dan kepimpinan tertinggi kerajaan UAE berkenaan hasrat kerajaan UAE untuk menyumbang sebanyak 500,000 dos vaksin Covid-19 kepada Malaysia bagi tujuan ujian klinikal fasa ketiga di negara ini,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Istana Negara.

Ahmad Fadil berkata Al-Sultan Abdullah juga akan berbincang mengenai usaha memperkukuh dan meningkatkan lagi kerjasama serta hubungan dua hala Malaysia-UAE dalam pelbagai sektor.

Pada lawatan khas itu, Yang di-Pertuan Agong antara lain dijadualkan berangkat menghadiri majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat, sekali gus meluangkan masa menyantuni dan beramah mesra bersama diaspora Malaysia di UAE, serta berangkat melawat Abu Dhabi National Oil Company (ADNOC) dan Pusat Vaksinasi Covid-19 Abu Dhabi.

Bagi memastikan keselamatan dan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) pencegahan penularan wabak Covid-19, Ahmad Fadil berkata lawatan khas Seri Paduka adalah berlandaskan pengendalian dan tatacara-tatacara SOP yang ditetapkan kerajaan Malaysia dan UAE, meliputi semua majlis yang dihadiri Al-Sultan Abdullah.

“Berdasarkan SOP yang ditetapkan, Al-Sultan Abdullah dan delegasi telah menjalani ujian saringan Covid-19 empat hari (96 jam) sebelum berangkat ke Abu Dhabi dan akan menjalani ujian sama sebaik sahaja mendarat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Abu Dhabi,” katanya.

Al-Sultan Abdullah dan delegasi juga akan menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum berangkat pulang dari Abu Dhabi dan sebaik mendarat tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Sekembali ke tanah air kemudian, Seri Paduka akan menjalani kuarantin diri di Istana Negara selama 10 hari seperti ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) manakala anggota delegasi menjalani kuarantin diri di lokasi ditetapkan KKM.

Ahmad Fadil berkata lawatan khas itu adalah lawatan ketiga Al-Sultan Abdullah ke Abu Dhabi. Lawatan pertama Al-Sultan Abdullah ke Abu Dhabi merupakan lawatan khas pada Jun 2019, diikuti lawatan peribadi atas jemputan Sheikh Mohamed Zayed pada November tahun sama.

Sheikh Mohamed Zayed melakukan lawatan khas ke Malaysia atas jemputan Al-Sultan Abdullah bersempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Julai 2019.

UAE merupakan rakan dagang dan sumber eksport serta import terbesar Malaysia di rantau Asia Barat dengan nilai dagangan dua hala berjumlah US$6.42 bilion (RM25.9 bilion) pada 2019.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PM: Agong isytihar darurat di Parlimen Gerik, DUN Bugaya

KUALA LUMPUR, 16 DIS: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan mengisytiharkan Proklamasi Darurat di Parlimen Gerik, Perak dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah, sekali gus membatalkan dan menangguhkan pilihan raya kecil (PRK) dua kerusi berkenaan.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Seri Paduka bertitah demikian selepas memperhalusi penjelasan beliau yang menyembah maklum nasihat jemaah menteri berhubung perkara itu.

“Seri Paduka Baginda telah berkenan untuk mengisytiharkan darurat bagi kedua-dua PRK tersebut setelah berpuas hati bahawa adanya keperluan pengisytiharan Proklamasi Darurat berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

“Ia bagi memasyhurkan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu)(No.2) 2020 Sn Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No.3) 2020 di bawah Fasal (2B) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan yang membolehkan PRK Gerik dan Bugaya yang dijadualkan 16 Jan 2021 dibatalkan dan ditangguhkan ke suatu tarikh akan ditentukan kelak.

“Saya bagi pihak jemaah menteri menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Seri Paduka Baginda atas perkenan untuk mengisytiharkan darurat bagi kedua-dua bahagian pilihan raya berkenaan,” kata Muhyiddin dalam kenyataan.

Muhyiddin berkata jemaah menteri pada 4 Dis lalu membincangkan secara terperinci akan kesan PRK Gerik dan Bugaya jika diadakan pada masa pandemik Covid-19 masih menular di negara ini.

Perdana menteri berkata mengambil iktibar penularan Covid-19 susulan Pilihan Raya Negeri Sabah pada September lepas, jemaah menteri berpandangan kedua-dua PRK itu perlu dielakkan atas faktor ancaman kesihatan awam, ancaman ke atas kehidupan ekonomi dan ancaman ketenteraman awam.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan kedua-dua PRK itu diadakan serentak pada 16 Jan depan susulan kematian wakil rakyat kedua-dua kawasan tersebut.

Ahli Parlimen Gerik Datuk Hasbullah Osman meninggal dunia pada 16 Nov lalu di Raub, Pahang akibat serangan jantung, sementara, ADN Bugaya Manis Muka Mohd Darah pula meninggal dunia keesokan harinya (17 Nov) kerana komplikasi penyakit buah pinggang.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong, Permaisuri sumbang makanan kepada petugas PKRC Pahang

KUANTAN, 12 DIS: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mengurniakan sumbangan makanan kepada petugas Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Pahang (Sukpa), hari ini.

Sumbangan itu disampaikan menerusi Juruiring Tentera Darat Seri Paduka Brig Jen Datuk Zahari Mohd Ariffin, Pegawai Khas Sultan Pahang Tok Aria Rakna Ahmad Nurbadelin Abdul Murad dan Pegawai Khas (Kebajikan) Sultan Pahang Datuk Abdul Rahman Endut.

Selain polis dan petugas kesihatan, turut bertugas di PKRC itu ialah bomba, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Pahang, tentera, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

Sukpa yang terletak di Indera Mahkota diaktifkan sebagai PKRC sejak Khamis lepas, bagi menempatkan pesakit Covid-19 warga asing berisiko rendah dan tidak memerlukan rawatan khusus, ekoran pertambahan kes daripada kluster Jalan Genting di Bentong, kira-kira 170 kilometer dari sini.

Pembukaan PKRC itu bagi memastikan perkhidmatan hospital kerajaan di Pahang tidak terjejas dengan peningkatan kes positif Covid-19 dan setakat semalam, seramai 131 pesakit dipindahkan ke situ bagi rawatan.

Pengarah MKN Pahang Mohd Zairasyahli Shah Zakaria sebelum ini, memberi jaminan bahawa orang ramai tidak perlu bimbang dengan pembukaan PKRC Sukpa kerana ia dikawal ketat 24 jam oleh pasukan keselamatan selain dipasang kawat duri sepanjang 354 meter bagi mengelakkan pesakit melarikan diri.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Fatwa vaksin Covid-19: Kerajaan tunggu perkenan Agong

PUTRAJAYA, 10 DIS: Kerajaan masih menunggu perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Majlis Raja-Raja berhubung fatwa penggunaan vaksin COVID-19 dalam kalangan umat Islam di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas mengenai fatwa vaksin Covid-19 telah dipersembahkan kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja selepas mesyuarat muzakarah berkenaan minggu lepas.

“Selepas mendapat perkenan dan persetujuan, kita akan uar-uarkan sebab fatwa ini bukan untuk disembunyikan. Kita ikut tertib-tertibnya,” katanya selepas menyampaikan 80 pek bantuan sumbangan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) kepada penghantar makanan, pekerja pembersihan dan pengawal keselamatan, hari ini.

Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas itu bersidang pada 3 Disember lepas bagi membincangkan isu berkenaan sebelum dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja.

Pada majlis hari ini, Zulkifli turut melancarkan Bilik Gerakan Bencana Banjir Yadim yang diwujudkan bagi menyelaras usaha membantu mangsa yang terjejas akibat bencana itu.

Dalam ucapannya, beliau meminta Yadim untuk memohon bantuan sebanyak RM500,000 daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (Maiwp) di bawah bantuan asnaf sebagai tambahan kepada peruntukan sedia ada.

Zulkifli juga berkata, walaupun usaha membantu mangsa banjir diselaraskan di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), namun inisiatif Yadim dan badan bukan kerajaan (NGO) yang lain dapat membantu kerajaan menggerakkan penyampaian bantuan kepada golongan yang memerlukan.

“Saya juga mahu kolaborasi dengan badan bukan kerajaan (NGO) yang arif mengenai banjir. Kalau boleh kita belajar daripada pengalaman mereka,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong isytihar darurat di Parlimen Batu Sapi, Sabah

KUALA LUMPUR, 18 NOV: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini mengisytiharkan Proklamasi Darurat di Parlimen Batu Sapi, sekali gus membatalkan pilihan raya kecil kerusi itu.

Proklamasi darurat berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan dilakukan selepas memperhalusi penjelasan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mempersembahkan nasihat beliau susulan keputusan mesyuarat Jemaah Menteri berhubung perkara itu.

“Dengan pengisytiharan ini juga apa-apa prosiding yang telah bermula bagi maksud perjalanan PRK bagi P.185 Batu Sapi tidak akan diteruskan dengan tujuan mengekang dan menghalang daripada berlakunya gelombang keempat penularan wabak Covid-19 dan satu tarikh yang lain akan ditetapkan untuk PRK tersebut.

“Maka dengan itu, Seri Paduka Baginda telah memberi perkenan supaya Pengisytiharan Proklamasi Darurat bagi P.185 Batu Sapi, Sabah dilaksanakan sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak Covid-19,” demikian menurut kenyataan Istana Negara hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon PRK Batu Sapi pada 23 Nov manakala hari pengundian pada 5 Dis dan pengundian awal pada 1 Dis.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Liew Vui Keong pada 2 Okt akibat jangkitan paru-paru.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan itu berkata Al-Sultan Abdullah amat prihatin terhadap keselamatan rakyat ekoran kenaikan mendadak beberapa kluster baharu dan kes positif harian Covid-19 di negara ini sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 pada 26 Sept.

“Sehubungan itu, Seri Paduka Baginda berpendapat bahawa amatlah wajar PRK ini dibatal dan ditangguhkan demi keselamatan rakyat jelata dan kesejahteraan negara,” katanya.

Beliau berkata perkenan Yang di-Pertuan Agong itu dilakukan dengan mengambil iktibar dan pengalaman daripada PRN Sabah yang menjadi faktor utama gelombang ketiga penularan Covid-19 di Malaysia.

Ahmad Fadil berkata perkenan Seri Paduka itu juga mengambil kira jumlah pemilih berdaftar yang tinggal di luar kawasan Parlimen Batu Sapi yang akan merentas daerah dan negeri untuk pulang mengundi.

Berdasarkan data SPR, jumlah pemilih berdaftar Parlimen Batu Sapi adalah 32,962 orang dan sejumlah 3,170 orang daripadanya beralamat di luar bahagian Parlimen itu, termasuk di Semenanjung dan Sarawak.

Di samping itu, dianggarkan sejumlah 16,000 pemilih beralamat umum iaitu tiada nombor rumah dan akan menyukarkan pelaksanaan undi pos.

Kementerian Kesihatan merekodkan peningkatan mendadak sehingga 148.4 peratus iaitu 3,842 kes kumulatif pada 10 Okt selepas dua minggu hari mengundi PRN Sabah.

Kes positif harian Covid-19 kekal melonjak dua minggu berikutnya dengan peningkatan sehingga 193.7 peratus iaitu sebanyak 11,285 kes kumulatif yang dicatat pada 24 Okt.

Terdahulu, Seri Paduka menerima menghadap perdana menteri di Istana Negara dan mendengar taklimat daripada Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan Pengerusi SPR Datuk Abdul Ghani Salleh.

Pertemuan pada 4 petang itu berlangsung selama satu jam.

Berhubung dengan peningkatan mendadak kes Covid-19, Al-Sultan Abdullah menasihati rakyat agar terus berdisplin dan memainkan peranan masing-masing dalam membendung penularan wabak itu serta mengajak seluruh rakyat untuk bersama Seri Paduka berdoa agar wabak Covid-19 berakhir segera.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan penghargaan dan sanjungan tinggi kepada wira dan wirawati barisan hadapan atas ketabahan dan pengorbanan menjalankan tanggungjawab tanpa mengira masa dan penat lelah.

“Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut menzahirkan ucapan takziah kepada semua ahli keluarga mangsa Covid-19 dan berharap mereka tabah menghadapi dugaan,” kata Ahmad Fadil.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Agong ucap Selamat Menyambut Deepavali

KUALA LUMPUR, 14 NOV: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini mengucapkan Selamat Menyambut Deepavali kepada semua masyarakat beragama Hindu di seluruh negara.

Kedua-dua Seri Paduka Baginda menyampaikan ucapan tersebut menerusi akaun Facebook Istana Negara, hari ini.

“Semoga festival cahaya akan menerangi kehidupan anda dengan keamanan, kemakmuran, kesihatan dan kegembiraan,” menurut tulisan itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong: Halusi cadangan, rangka Belanjawan 2021 inklusif paksi rakyat

KUALA LUMPUR, 4 NOV: Kerajaan disaran memperhalusi setiap cadangan bagi merangka Belanjawan 2021 bersifat inklusif serta komprehensif, berpaksikan kebajikan rakyat, pemulihan ekonomi negara dan pembendungan efektif wabak Covid-19.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan harapan itu semasa menerima menghadap Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Istana Negara petang tadi.

Pada pertemuan yang berlangsung selama 70 minit itu, Al-Sultan Abdullah berkenan menerima sembah taklimat ringkas mengenai kedudukan ekonomi semasa dan fiskal negara serta usaha Kementerian Kewangan menyediakan Belanjawan 2021 sejak Julai, melalui lebih 40 sesi libat urus melibatkan lebih 2,000 individu dan wakil perniagaan, termasuk wakil parti-parti politik negara.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan penghargaan kepada kerajaan serta parti-parti politik di atas semangat bipartisan dan pemuafakatan yang telah ditunjukkan,” kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Fadil berkata dalam majlis menghadap itu, Tengku Zafrul disertai Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Asri Hamidon.

“Al-Sultan Abdullah berpendapat amalan kematangan berpolitik dengan mengetepikan perbezaan dan kepentingan parti atau peribadi amat penting pada ketika ini demi keselamatan dan kebajikan rakyat serta kesejahteraan negara yang amat terkesan akibat bencana wabak Covid-19,” katanya.

Seri Paduka turut bertitah semangat itu adalah selaras dengan budaya syura yang dianjurkan oleh Islam sebagaimana dipamerkan oleh Raja-Raja Melayu dalam sesi Perbincangan Khas di Istana Negara pada 25 Oktober lalu.

Al-Sultan Abdullah bertitah dalam keadaan situasi sukar dan genting ini, amat wajar kemaslahatan masyarakat umum mendahulukan kepentingan individu secara khusus.

Sehubungan itu, Seri Paduka menzahirkan harapan agar semangat kerjasama yang dizahirkan oleh pelbagai pihak dapat diteruskan demi kesejahteraan rakyat dan negara.

-BERNAMA

Categories
AGAMA NASIONAL

PAKATAN ingatkan PM titah Agong runding Belanjawan

SHAH ALAM, 29 OKT: Pakatan Harapan (PAKATAN) mengingatkan perdana menteri agar mengadakan rundingan segera dengan pembangkang berhubung isi kandungan Belanjawan 2021 sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat pada 6 November ini.

Menerusi kenyataan bersama, Majlis Presiden PAKATAN berkata perbincangan perlu diadakan selaras titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah seterusnya mencapai objektif diingini baginda.

“Majlis Presiden amat bersetuju dengan DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bahawa amatlah penting dan serius untuk Belanjawan 2021 ini dirundingkan dengan pembangkang sebelum dibentang di Parlimen.

“Majlis Presiden yakin semua ahli parlimen akan terlibat di dalam sesi perbahasan yang sihat untuk memastikan Belanjawan 2021 mengutamakan kepentingan negara dan rakyat serta menepati aspirasi seperti dititah Tuanku,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan dikeluarkan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu dan Presiden Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Lim Guan Eng.

Semalam, Al-Sultan Abdullah menasihati ahli parlimen memberi sokongan padu kepada Belanjawan 2021 demi kesejahteraan rakyat serta pemulihan ekonomi negara yang terkesan akibat penularan Covid-19.

Mengulas lanjut, Majlis Presiden berkata Belanjawan 2021 perlu memberi fokus terhadap keperluan petugas barisan hadapan selain menetapkan hala tuju yang mampu memastikan negara terus maju sewaktu dan selepas pandemik.

Katanya, tumpuan termasuk mengenal pasti strategi pembangunan baharu untuk ekonomi dan membantu rakyat Malaysia yang terkesan akibat kehilangan pekerjaan ataupun pendapatan sepanjang tahun ini.

“Berjuta-juta rakyat Malaysia yang berada pada atau di bawah paras kemiskinan amat mengharapkan bantuan melalui belanjawan ini. Golongan yang tidak harus ketinggalan juga adalah yang mengharapkan moratorium pinjaman dilanjutkan,” katanya.

Categories
AGAMA AGENDA NASIONAL

Agong zahir ucapan Maulidur Rasul, perbanyakkan selawat

KUALA LUMPUR 29 OKT: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan selamat menyambut Maulidur Rasul kepada seluruh rakyat Malaysia beragama Islam.

Ucapan itu dimuat naik menerusi hantaran akaun Instagram Istana Negara hari ini.

“Rasulullah merupakan pemimpin terbaik sepanjang zaman yang patut dicontohi setiap umat Islam. Marilah kita bersama mencontohi sikap dan sunnah Rasulullah dalam kehidupan harian kita.

“Marilah kita juga bersama memperbanyakkan selawat ke atas Baginda SAW. Semoga kita beroleh syafaat dari Baginda di padang Mahsyar kelak,” menurut tulisan tersebut.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Agong: Beri sokongan padu Belanjawan 2021, pulih ekonomi

SHAH ALAM, 28 OKT: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan ahli parlimen untuk memberi sokongan padu kepada Belanjawan 2021 demi kesejahteraan rakyat serta pemulihan ekonomi negara kesan Covid-19.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata Al-Sultan Abdullah menegaskan Belanjawan 2021 amat penting kepada kerajaan dan pihak berkuasa khususnya petugas barisan hadapan.

Beliau berkata ia bagi meneruskan dan melancarkan dasar serta usaha membendung dan menangani Covid-19 daripada terus merebak.

“Seri Paduka Baginda mengingatkan ahli Dewan Rakyat bahawa sengketa politik untuk kepentingan peribadi merugikan negara dan seluruh rakyat menjadi mangsa,” kata Ahmad Fadil dalam kenyataan media.

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian selepas menerima menghadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mesyuarat Pra-Kabinet di Istana Negara, hari ini.

Dalam sesi menghadap yang berlangsung lebih satu jam, Al-Sultan Abdullah berkenan menerima taklimat ringkas berkenaan Belanjawan 2021 yang dibentang di Parlimen pada 6 November.

“Al-Sultan Abdullah menzahirkan harapan Seri Paduka Baginda agar Belanjawan 2021 ini memberi penekanan kepada pemulihan ekonomi negara dan kesejahteraan serta kelangsungan hidup rakyat yang terkesan akibat penularan Covid-19,” katanya.

 

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Anwar: Kerajaan harus patuh titah Agong, elak salah guna kuasa

SHAH ALAM, 27 OKT: Kerajaan harus patuh pada titah Raja-Raja Melayu agar menjaga batas semak dan imbang dalam Perlembagaan Persekutuan bagi mengelak salah guna kuasa, kata ketua pembangkang.

“Alhamdulillah, kita berjaya menyelamatkan negara ini daripada diisytiharkan darurat dan sekali lagi saya menzahirkan kesyukuran ke atas keprihatinan Raja-Raja Melayu mempertahankan keluhuran Perlembagaan daripada penyalahgunaan kuasa pemerintah.

“Peringatan dan penegasan Raja-Raja Melayu terkait penyalahgunaan kuasa dan prinsip keadilan tidak harus dipandang enteng, malah harus didukung oleh semua pihak yang punya kesedaran dan kejituan dalam menolak kebobrokan,” kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam kenyataan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja bagi menjelaskan asas menolak cadangan mengisytiharkan darurat, perkataan “membatasi” ditanda dengan huruf merah.

“Raja-raja berpendirian pentingnya dihormati mekanisme semak dan imbang antara pelbagai cabang kerajaan dan peranan Seri Paduka Baginda untuk mengimbangkan pelbagai tuntutan demi menjamin berlakunya keadilan dan membatasi sebarang unsur penyalahgunaan kuasa,” kenyataan itu dipetik.

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bertitah usul yang dibawa Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin “tidak perlu buat masa ini” kerana wabak Covid-19 berjaya dibendung.

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah kepada semua pemimpin politik agar memberhentikan segera segala percakaran politik yang mengganggu kestabilan negara.