Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Nutrisi Kanak-Kanak Selangor bermula Jun, tangani isu bantut

SHAH ALAM, 12 MEI: Program Nutrisi Kanak-Kanak Selangor untuk keluarga berpendapatan rendah (B40) dijangka bermula pada Jun, kata EXCO kesejahteraan bandar.

Rodziah Ismail berkata golongan tersebut dibekalkan makanan seimbang selama enam bulan melibatkan peruntukan sejumlah RM1 juta.

“Inisiatif ini menyasarkan kanak-kanak bandar di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan rumah kos rendah yang tidak menerima bahan makanan itu kerana kemiskinan.

“Kita sudah melaksanakan soal selidik melibatkan golongan sasar, Insya-Allah program ini akan berjaya dengan kerjasama pelbagai pihak,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada penghantar barangan bernaung Rantaian e-Bekalan Digital Selangor (Seldec) di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) hari ini.

Belanjawan Selangor 2021 memperuntuk RM6 juta untuk program Bank Makanan Selangor di seluruh 56 Dewan Undangan Negeri (DUN).

Sejumlah RM1 juta daripada peruntukan itu digunakan untuk Program Nutrisi Kanak-Kanak Selangor yang menfokuskan
golongan berusia enam tahun ke bawah.

Pada 30 Oktober tahun lepas, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kajian Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) di PPR Kota Damansara mendapati 33 peratus kanak-kanak di perumahan tersebut mengalami masalah pertumbuhan terbantut dan kekurangan nutrisi.

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Digi lanjutkan tawaran internet produktiviti 30GB percuma untuk B40

KUALA LUMPUR, 1 MEI: Digi Telecommunications Sdn Bhd bertindak memperkukuh komitmennya menyokong kalangan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) dengan melanjutkan tawaran percuma Internet Produktiviti 30GB sebulan (1GB sehari) sehingga 31 Julai, 2021 serta terus membantu keperluan usaha e-pembelajaran dan bekerja secara jarak jauh.

Dalam kenyataan pada Sabtu, syarikat telekomunikasi itu berkata kesemua pelanggan pascabayar dan prabayar aktif akan terus menikmati Internet Produktiviti 30GB sebulan bagi tujuan pembelajaran dan produktiviti yang melebihi peruntukan data bulanan pelan sedia ada masing-masing.

Selain itu, syarikat itu juga akan terus menawarkan akses percuma dan tiada had melibatkan aplikasi, laman sesawang dan perkhidmatan berkaitan maklumat bagi memastikan rakyat negara ini sentiasa mendapat perkembangan terkini mengenai Covid-19.

“Ini termasuk aplikasi MySejahtera dan MyTrace, laman sesawang penting dan talian penting berkaitan kesihatan seperti Pusat Kesiapsiagaan dan Respon Krisis (CPRC) Kementerian Kesihatan selain Pertubuhan Kesihatan Sedunia serta sebagainya,” katanya.

Maklumat lanjut boleh diperoleh menerusi https://www.digi.com.my/bpr.

– BERNAMA

Categories
ADN SELANGOR

Rapat jurang digital, 100 penduduk B40 DUN Kinrara terima komputer riba

SHAH ALAM, 24 MAC: Dewan Undangan Negeri (DUN) Kinrara menyumbang 100 komputer riba kepada penduduk sebagai langkah merapatkan jurang pendigitalan.

Wakil rakyat Ng Sze Han berkata bantuan diutamakan kepada keluarga berpendapatan rendah (B40) bagi memudahkan urusan pembelajaran anak-anak penerima.

“Sebanyak 500 permohonan diterima namun setakat ini hanya 100 keluarga layak mendapat bantuan itu.

“Kita akan melawat rumah pemohon dan lakukan penelitian lanjut. Ini antara kaedah memastikan golongan sasar yang terima manfaat,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Sementara itu, beliau memaklumkan program Dapur Kinrara diperkenalkan tahun lalu mendapat sambutan menggalakkan.

Menurut Sze Han, pihaknya mengutamakan program terbabit memandangkan manfaat lebih besar diterima penduduk.

“Setiap Ahad dari jam 12 hingga 2 petang kita agihkan makanan tengah hari percuma kepada golongan memerlukan dan terbaharu pada minggu lalu kita sediakan lebih 200 bungkus,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Perkeso bantu cari kerja, tumpu golongan B40

KUALA LUMPUR, 20 MAC: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan menganjurkan program Jom Kerja bagi membantu individu terutama golongan B40 yang terkesan akibat pandemik Covid-19 mendapatkan pekerjaan.

Perkeso dalam kenyataannya di sini hari ini memaklumkan sebagai permulaan, program Jom Kerja akan memfokus kepada langkah membantu pencari kerja di sekitar kawasan Projek Perumahan Awam dan Projek Perumahan Rakyat (PA/PPR) di Kuala Lumpur.

“Program Jom Kerja dimulakan dengan Program Persediaan Temu Duga-Sesi Profiling. Sesi Profiling yang berlangsung dari 9 pagi hingga 4 petang hari ini yang diadakan di 24 lokasi di PA/PPR merangkumi kawasan Titiwangsa, Setiawangsa, Lembah Pantai, Bandar Tun Razak, Batu, Seputeh dan Cheras,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut program hari ini akan diikuti dengan Karnival Pekerjaan yang berlangsung pada 11 April.

Perkeso juga menyeru semua pencari kerja termasuk graduan, pekerja yang kehilangan pekerjaan, lepasan sekolah dan sesiapa sahaja yang ingin mencari pekerjaan supaya menghadiri sesi profiling itu.

Individu yang berminat boleh membuat pendaftaran di pautan http://bit.ly/PPRKL bagi membolehkan Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan Perkeso membantu mereka.

“Selain itu, pencari kerja boleh terus berdaftar di Portal Pekerjaan MYFutureJobs yang dikendalikan Perkeso menerusi laman sesawang www.myfuturejobs.gov.my yang mempunyai lebih 180,000 kekosongan jawatan aktif untuk dipohon dari semasa ke semasa,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, seorang pencari kerja, Nur Amirah Nor Muhammad, 22, berkata program tersebut amat berguna terutama pada masa ini ketika ramai individu kehilangan kerja akibat pandemik Covid-19.

Nur Balkis Saidam, 26, pula berkata penganjuran program sedemikian perlu digiatkan lagi kerana ia memudahkan pencari kerja mencari kerjaya yang bersesuaian dengan kemahiran dan kelayakan masing-masing.

-BERNAMA

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

ADN Rawang teruskan bantuan komputer riba selepas PKP

SHAH ALAM, 5 MAC: Ahli Dewan Negeri Rawang prihatin dengan keperluan keluarga berpendapatan rendah (B40) apabila meneruskan program bantuan komputer riba.

Chua Wei Kiat berkata sumbangan tersebut dijalankan sejak dua bulan lalu ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan dilanjutkan kerana melihat kepentingan membantu pelajar.

“Sasaran kita adalah pelajar tingkatan empat dan lima serta mahasiswa kerana kelompok ini paling ramai menggunakannya.

“Setakat ini 10 orang tanpa mengira kaum sudah dibantu dan terbaru empat lagi menerimanya hasil kerjasama dengan Syarikat Ainqa Health semalam” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri Rawang bersama syarikat korporat akan terus bekerjasama dalam mengenal pasti pelajar B40 yang memerlukan.

“Individu atau pihak berminat turut serta boleh bersama saya dalam menyumbang kepada masyarakat di Rawang,” katanya.

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Bank sedia lanjutkan bantuan, moratorium susulan PKP 2.0

KUALA LUMPUR, 18 JAN: Pihak industri perbankan bersedia membantu kalangan peminjam atau pelanggan mereka yang terjejas susulan pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di beberapa negeri dan Wilayah Persekutuan.

Dalam kenyataan bersama pada Ahad, Persatuan Bank-Bank Malaysia (ABM) dan Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia (AIBIM) berkata institusi kewangan terbabit akan terus melanjutkan bantuan pembayaran balik, termasuk melanjutkan moratorium sedia ada kepada individu yang terbukti terjejas akibat PKP.

Pada masa sama, bank-bank juga mengumumkan lanjutan bantuan bayaran balik bagi mangsa-mangsa banjir berkaitan dan mereka telah diminta untuk menghubungi bank masing-masing bagi tujuan itu.

Menurut ABM dan AIBIM, lanjutan itu membabitkan semua skim bantuan bayaran balik bersasar yang diumumkan sebelum ini.

“Ini terutamanya membabitkan pelanggan yang kehilangan kerja pada 2020 atau 2021. Mereka boleh memohon bagi bantuan itu untuk tempoh tiga bulan pada bila-bila masa pada atau sebelum 30 Jun, 2021.

“Selain itu, individu yang masih bekerja tetapi pendapatan mereka dikurangkan susulan pandemik ini, juga boleh memohon untuk menurunkan jumlah ansuran bayaran.

“Bagi kalangan isi rumah M40 yang juga penerima Bantuan Prihatin National, bank-bank membenarkan mereka membuat pengisytiharan diri,” kata persatuan itu.

Isi rumah B40 yang berdaftar dengan pangkalan data Bantuan Sara Hidup atau Bantuan Prihatin Rakyat boleh memohon bagi sama ada pengecualian bayaran ansuran selama tiga bulan atau pengurangan ansuran sebanyak 50 peratus selama enam bulan.

Usahawan mikro dengan pinjaman/pembiayaan membabitkan jumlah asal sehingga RM150,000, boleh memohon untuk sama ada penangguhan ansuran selama tiga bulan atau mengurangkan ansuran sebanyak 50 peratus selama enam bulan.

Menurut ABM dan AIBIM, bantuan pembayaran balik untuk B40, M40 dan perusahaan mikro itu adalah untuk pinjaman/pembiayaan yang diluluskan sebelum 1 Oktober 2020 dan tidak tertunggak lebih 90 hari dari tarikh permohonan bantuan bayaran balik yang dikemukakan kepada bank.

Selain itu, semua peminjam/pelanggan lain yang turut berdepan kesukaran membuat bayaran balik pinjaman/pembiayaan masing-masing, juga boleh menghubungi bank untuk membincangkan pakej bayaran balik yang sesuai dengan keadaan mereka.

Persatuan itu berkata, setakat 31 Dis, 2020, lebih 1.3 juta permohonan bantuan bayaran balik telah diterima dengan kadar kelulusan sebanyak 95 peratus.

“Sejajar dengan tempoh mencabar ini, industri perbankan ingin menggalakkan peminjam/pelanggan yang mempunyai aturan bayaran balik sedia ada dan sukar meneruskan obligasi itu untuk menghubungi bank mereka bagi bantuan selanjutnya.

“Penerimaan bantuan bayaran balik bersasar dalam tempoh itu tidak akan dimasukkan dalam laporan sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS),” kata persatuan itu.

Sementara itu, Pengerusi ABM merangkap Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Malayan Banking Bhd (Maybank) Datuk Abdul Farid Alias berkata bank-bank juga kekal komited untuk membantu para pelanggan yang terjejas akibat keadaan semasa.

“Kami dapat mengatur skim bantuan kewangan mengikut keadaan khusus peminjam supaya mereka dapat menstabilkan keadaan kewangan dan menumpukan kehidupan yang lebih memerlukan perhatian,” katanya.

Presiden AIBIM merangkap CEO RHB Islamic Bank Bhd Datuk Adissadikin Ali pula yakin bahawa negara mahu pun bank dan orang ramai kini lebih bersedia dalam menghadapi tempoh sukar tersebut.

“Oleh itu, komunikasi antara pelanggan terjejas dan bank haruslah terus berlaku demi manfaat kedua-dua pihak. Bantuan pembayaran ini masih ada untuk mereka yang terjejas,” katanya.

Dalam pada itu, ABM dan AIBIM berkata bank-bank juga komited untuk memastikan proses yang mudah serta lancar bagi peminjam/pelanggan memohon bantuan kelonggaran bantuan bayaran semula itu.

Bagi kebanyakan kes, mereka terbabit boleh memohon dan melengkapkan permohonan secara dalam talian atau melalui telefon selain memohon di cawangan bank.

Namun, mereka juga dinasihatkan untuk menyemak laman sesawang bank masing-masing mengenai maklumat perubahan waktu operasi atau pengaturan perkhidmatan di kaunter.

Dalam pada itu, demi keselamatan pelanggan dan pekerja bank, institusi kewangan terbabit turut beroperasi dengan mematuhi prosedur operasi standard ditetapkan susulan pandemik itu dan orang ramai digalakkan melakukan transaksi perbankan secara dalam talian atau saluran digital lain, kata ABM dan AIBIM.

– BERNAMA

 

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

DUN Bukit Gasing tawar saringan Covid-19 serendah RM30

SHAH ALAM, 30 DIS: Penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Gasing boleh melakukan saringan Covid-19 menggunakan kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) dengan bayaran serendah RM30.

Wakil Rakyatnya, Rajiv Rishyakaran berkata saringan untuk individu kategori berpendapatan rendah (B40) dijalankan di PJ Polyclinic dan Klinik Kim di Petaling Jaya serta Klinik One Medic, Puchong.

“Syaratnya penduduk hanya perlu bawa kad pengenalan atau bil elektrik dan air sebagai bukti mereka adalah penduduk DUN ini,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata tawaran turut dibuka kepada orang awam sama ada warganegara atau warga asing dengan caj dikenakan hanya RM70.

Rajiv menjelaskan harga yang ditawar berpatutan berbanding saringan RTK-Ag di tempat lain yang berharga lebih RM130.

Tambahnya, tiada temujanji perlu dibuat sebaliknya mereka boleh terus ke klinik tersebut.

“Inisiatif ini bermula sejak 6 November lalu dan masih berjalan. Tujuan kita buat adalah memastikan lebih ramai disaring demi mengekang penularan Covid-19,” katanya.

Categories
EXCO SELANGOR

Lebih RM600,000 bantu pelajar India B40 sambung pengajian

SHAH ALAM, 10 DIS: Kerajaan Negeri memperuntuk RM609,960 bagi membantu pelajar India daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) menyambung pelajaran ke institusi pengajian tinggi.

EXCO Kebajikan Masyarakat V Ganabatirau berkata seramai 139 pelajar menerima manfaat melalui tiga fasa Program Cek Bantuan Yuran Pengajian (BYP).

“Program BYP khusus untuk membantu anak pekerja ladang tetapi melihat kepada keperluan rakyat Selangor yang kian terjejas susulan Covid-19, Kerajaan Negeri menambah baik program dengan menyalurkan bantuan ini kepada pelajar India yang layak daripada golongan B40.

“Kerajaan Negeri berharap dengan pemberian insentif ini dapat meringankan beban ibu bapa dalam menampung kos yuran pengajian yang tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bantuan tersebut diberikan kepada pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah pertama atau diploma di universiti awam, institusi pengajian tinggi swasta dan politeknik tempatan.

Categories
AGENDA NASIONAL

B40 dapat baucar RM50 beli produk perlindungan diri

SHAH ALAM, 6 NOV: Golongan berpendapatan rendah (B40) menerima baucar RM50 bagi memperluas perlindungan sosial melalui Program Baucar Perlindungan Tenang.

Menteri kewangan berkata baucar tersebut membolehkan golongan berkenaan membeli produk Perlindungan Tenang termasuk takaful hayat dan kemalangan diri.

“Kerajaan juga melanjutkan tempoh pengecualian duti setem ke atas semua produk Perlindungan Tenang dengan sumbangan tahunan tidak melebihi RM100 untuk tempoh lima tahun lagi,” kata Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Persekutuan 2021 di Dewan Rakyat hari ini.

Categories
AGENDA NASIONAL

Bayaran fasa pertama BPN 2.0 bermula awal dari dijadualkan

KUALA LUMPUR, 24 OKT: Bayaran fasa pertama Bantuan Prihatin Nasional (BPN) 2.0 yang dijadualkan pada 26 Oktober ini telah dipercepatkan kepada 19 Oktober lepas.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan hari ini berkata pembayaran BPN 2.0 fasa pertama itu dapat dipercepatkan berikutan komitmen dan usaha pegawai-pegawai kementerian, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) dan institusi kewangan yang terlibat.

“Pembayaran sedang dibuat secara berperingkat dengan mengutamakan golongan B40 melibatkan 7.5 juta penerima iaitu 3.7 juta penerima kategori isi rumah dan 3.8 juta penerima kategori bujang.

Manakala golongan M40 pula yang melibatkan 3.1 juta penerima iaitu 1.4 juta penerima kategori isi rumah dan 1.7 juta penerima kategori bujang, pembayaran telah bermula pada 22 Okt,” menurut kenyataan itu.

Kementerian itu turut memaklumkan proses pengkreditan bayaran BPN 2.0 itu akan berterusan dan dijangka diselesaikan sebelum hujung bulan ini.

Menurut kenyataan itu, penerima yang tidak mempunyai akaun bank boleh membuat penunaian di Cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) mulai 26 Oktober ini manakala penerima yang didapati gagal kredit pula akan dapat membuat penunaian mulai minggu kedua November 2020.

Kenyataan itu menambah bagi negeri-negeri yang sedang dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), pihak BSN akan mengeluarkan panduan prosedur operasi standard (SOP) dari semasa ke semasa bagi menjaga kesihatan dan keselamatan penerima.

“Kerajaan juga ingin mengingatkan bahawa tempoh permohonan baharu BPN 2.0 masih dibuka sehingga 15 November ini. Bagi mereka yang diluluskan, bayaran akan dibuat secara sekali gus pada Januari 2021.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian bebas tol 1800-88-2747 serta e-mel kepada [email protected],” katanya.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

EXCO gesa persekutuan lanjutkan pengecualian sewa PPR, perumahan awam

SHAH ALAM, 23 OKT: EXCO perumahan dan kesejahteraan bandar menggesa Kerajaan Persekutuan melanjutkan pengecualian bayaran sewa kepada golongan berpendapatan rendah (B40) yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan perumahan awam.

Rodziah Ismail berkata pengecualian itu perlu kerana golongan berkenaan paling terkesan dengan situasi ekonomi tidak menentu sejak pandemik Covid-19 melanda negara.

“B40 merupakan golongan yang paling terjejas dengan situasi yang melanda. Kebanyakan mereka yang bekerja di sektor bawahan diberhentikan kerja.

“Kesukaran mendapatkan pekerjaan pada ketika ini merupakan satu cabaran buat golongan B40,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu, Kerajaan Selangor memberikan pengecualian bayaran sewa bagi bulan April melibatkan semua penyewa PPR di bawah pengurusan pentadbiran negeri dengan jumlah keseluruhan bernilai RM562,358.

Selain itu, penangguhan bayaran sewa selama dua bulan turut diberikan bagi bulan Mei dan Jun di semua PPR terlibat dengan kos sebanyak RM1.124 juta.

Rodziah menambah kerajaan juga perlu meneliti data Jabatan Perangkaan Malaysia yang menunjukkan negara mengalami penyusutan ekonomi paling ketara dalam kalangan negara Asean.

“Mengikut data itu, ekonomi kita menyusut sebanyak 17.1 peratus dalam suku kedua 2020. Begitu juga dengan kadar pengangguran yang meningkat kepada 4.7 peratus pada Julai lalu berbanding 3.3 peratus pada Julai 2019.”

Katanya, peratusan pengangguran itu merupakan angka yang besar iaitu bersamaan dengan 745,100 orang.

Categories
AGENDA NASIONAL

B40, OKU boleh mohon pengecualian, pengurangan bayaran kuarantin

KUALA LUMPUR, 22 OKT: Individu tertentu seperti golongan B40 dan Orang Kurang Upaya (OKU) boleh memohon pengecualian bayaran kuarantin atau pengurangan bayaran kepada Kementerian Kesihatan (KKM), demikian menurut Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata walaupun kerajaan telah menetapkan kos kuarantin, namun mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), kuasa bagi mengurangkan bayaran dan pengecualian bayaran adalah terletak atas budi bicara menteri kesihatan.

“B40, OKU, pelajar B40 dan kes-kes tertentu boleh juga memohon…kes-kes seperti dibuang kerja tentu sahaja menghadapi masalah kewangan, jadi kita faham sebab itu boleh merayu.

“Saya minta kepada pihak yang terlibat merayu kepada pihak menteri kesihatan… sila menulis surat secara rasmi memohon untuk mengecualikan atau pengurangan bayaran,” katanya dalam sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata demikian bagi mengulas isu video tular rakyat Malaysia di Singapura yang membangkitkan mengenai kos kuarantin yang membebankan selain halangan untuk pulang ke Malaysia oleh kerajaan Singapura.

Mengulas mengenai isu individu tersebut yang tidak mendapat kebenaran kerajaan Singapura untuk pulang ke Malaysia, beliau berkata perkara tersebut akan dimaklumkan kepada Kementerian Luar untuk mengadakan perbincangan dengan Kementerian Luar Singapura.

Sebelum ini, Ismail Sabri mengumumkan rakyat Malaysia di Singapura tidak pernah dihalang untuk pulang dan perlu membuat permohonan melalui Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi urusan keluar masuk ke negara ini sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Sementara itu, Ismail Sabri menjelaskan tujuan pelaksanaan bekerja dari rumah adalah bagi mengurangkan pergerakan orang ramai untuk memutuskan penularan Covid-19 dalam negara.

“Jadi bila kita kurangkan pergerakan, mungkin lebih berjaya dari segi kita untuk memutuskan rantaian Covid-19 ini sebab semakin kurang orang boleh berinteraksi antara satu sama lain.

“Sebab itulah apabila orang kata kenapa kereta tidak boleh benarkan lebih daripada dua orang (tanpa mengikut saiz muatan kenderaan) sebab kita nak kurangkan jumlah individu yang berada di merata-rata tempat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihati para majikan supaya bertanggungjawab dalam memberi surat pelepasan kepada pekerja yang perlu merentas daerah untuk hadir ke tempat kerja.

“Saya harap perkara ini tidak perlulah kami nak ambil tindakan yang tegas dan sebagainya sebab majikan perlu tahu, jika pekerja yang dibayar gaji penuh tidak datang kerja, kerana kesilapan mereka (majikan) tidak keluarkan surat tersebut, yang rugi adalah syarikat mereka sendiri,” katanya.

– BERNAMA