Categories
PBT SELANGOR

Operasi padam kebakaran MPSJ di tapak haram Seri Kembangan selesai

OLEH HAFIZAN TAIB

SUBANG JAYA, 27 JUN: Operasi pemadaman pembakaran terbuka dijalankan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) bersama beberapa agensi di tapak pelupusan sampah haram Taman Pinggiran Putra, Seri Kembangan, mulai 15 Jun berakhir Isnin lalu.

Timbalan Pengarah Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategik MPSJ, Azfarizal Abdul Rashid berkata, tindakan itu diambil ekoran tiada lagi kebkaaran dikesan berlaku di lokasi berkenaan.

“Beberapa siri mesyuarat dilaksanakan bagi memantau tindakan di tapak itu dengan mesyuarat terkini pada Isnin lalu memutuskan Bilik Gerakan Operasi Pemadaman ditutup sepenuhnya pada tarikh sama (25 Jun).

“Ia berikutan makluman Ketua Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat (Bomba) bahawa proses pemadaman api dihentikan keranma tiada lagi kebakaran berlaku di tapak itu,” katanya dalam kenyataan.

Bagaimanapun, beliau berkata, tindakan lanjut tambakan tanah dijalankan MARDI di tiga lokasi dipercayai masih menghasilkan asap seperti mana dibuktikan melalui mesin pengesan haba digunakan Unit Pengurusan Bencana Negeri.

Katanya, kerja tambakan tanah dicadangkan BOMBA itu turut dilaksanakan dengan pembabitan anggota jabatan itu seperti mana dipohon MARDI bagi mengenal pasti lokasi tepat mempunyai bara.

“MPSJ akan membuat halangan jalan di lokasi terpilih selepas kerja tambakan tanah selesai dan sebagai langkah penguatkuasaan, MARDI akan merangka satu pelan tindakan kawalan di tapak bagi memastikan perkara itu tidak berulang.

“Operasi pemadaman berikutan aduan awam dilaksanakan MPSJ bersama Bomba, MARDI, Unit Pengurusan Bencana Negeri, pihak Lebuhraya MEX dan Tenaga Nasional Berhad,” katanya.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Bomba terpaksa padam kebakaran di pembuangan sampah haram

SERDANG 17 JUN: Kebakaran tempat pembuangan sampah haram berhampiran Taman Pinggiran Putera yang berlarutan sejak kelmarin, memaksa pasukan bomba melakukan operasi pemantauan dan memadam kebakaran selama 24 jam, ini.

BH ONLINE melaporkan operasi memadam kebakaran membabitkan 80 peratus kawasan terbakar yang keseluruhannya dianggarkan berkeluasan 0.8 hektar sudah pun dimulakan semalam, sebaik menerima laporan pada jam 9.05 malam.

Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor Mohd Rizal Buang memaklumkan, lokasi berkenaan terletak hampir dengan kawasan penempatan menyebabkan asap tebal menyelubungi kawasan kediaman penduduk di taman perumahan berkenaan.

Ini kerana katanya, jarak antara lokasi yang terbakar dengan kawasan kediaman penduduk hanyalah kira-kira 93 meter.

“Kerja memadam kebakaran sedang dipergiatkan dan buat masa ini ia baru meliputi 20 peratus kawasan yang terbakar dengan ketinggian longgokan sampah dianggarkan setinggi 9.1 meter.

“Seramai 23 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Cyberjaya dan Serdang sedang bertungkus lumus memadamkan api menggunakan tiga jentera termasuk sebuah jentera tangki air,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, selain pemantauan di darat, pihak bomba turut melakukan pemantauan udara menggunakan ‘drone’ dengan bantuan Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor (UPBNS).

Menurutnya lagi, pihak bomba kini beroperasi 24 jam di lokasi itu sehingga api kebakaran sampah itu berjaya dipadamkan.

SUMBER: BH ONLINE

Categories
NASIONAL

Ops Raya Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia 2018 dilancarkan

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 11 JUN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengadakan Ops Raya JBPM 2018 secara bersepadu dengan koordinasi bersama agensi lain selama 15 hari, bermula 8 hingga 22 Jun ini.

Ketua Pengarahnya, Mohd Hamdan Wahid berkata, JBPM sudah mengenalpasti 18 lokasi strategi sepanjang Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dan LPT II.

“Setiap lokasi ini ditempatkan satu unit FRT/LFRT dengan kekuatan tujuh pegawai dan satu unit EMRS bersama tiga pegawai, sepanjang ops ini berkuatkuasa,” katanya pada program Pelancaran Ops Raya JBPM 2018, di sini, hari ini.

Mohd Hamdan berkata, berdasarkan analisa Ops Raya 2017, sebanyak 3,354 kes panggilan kebakaran dicatatkan berbanding hanya 2,400 kes, sepanjang Ops Raya 2016.

Hamdan berkata, kes panggilan kemalangan jalan raya pula mencatatkan peningkatan 156 kes sepanjang ops raya 2017 berbanding 129 kes, pada ops raya tahun sebelumnya.

Manakala, panggilan penyelamat pula mencatatkan 2,095 kes pada Ops Raya 2017 berbanding 1,449 kes, tahun sebelumnya.

“Pada ops raya ini, pegawai JBPM akan bertugas selama 24 jam secara bergilir bagi bersedia menangani insiden membabitkan kebakaran dan kerja penyelamatan seperti kemalangan jalan raya,” katanya.

Sementara itu, Mohd Hamdan menggesa supaya orang ramai memastikan bekalan elektrik yang tidak digunakan dimatikan, ketika bercuti.

“Berdasarkan statistik JPBM tahun lalu, sebanyak 29,356 kes dilaporkan dan daripada jumlah itu sebanyak 1,737 adalah berpunca daripada elektrik,” katanya.

Categories
NASIONAL

Bomba: Litar pintas dipercayai punca kebakaran stor IFPN HKL

KUALA LUMPUR 17 MAC: Kebakaran di stor penyimpanan peralatan Makmal Jabatan Patologi di Institut Forensik Perubatan Negara (IFPN) Hospital Kuala Lumpur (HKL) hari ini dipercayai berpunca daripada litar pintas.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Khirudin Drahman berkata stor penyimpanan yang terbakar melibatkan peralatan bedah siasat yang diperbuat daripada plastik.

Beliau berkata kebakaran pada kira-kira 12.15 tengah hari itu menyebabkan dua petugas yang berada di dalam stor di tingkat bawah bangunan berkenaan terperangkap, namun kedua-duanya sempat naik ke tingkat atas sebelum diselamatkan anggota bomba.

“Susulan itu, pihak HKL telah mengambil tindakan dengan menutup suis elektrik di makmal itu termasuklah membawa keluar kira-kira 150 tong oksigen ke tempat selamat.

“Selain itu, bomba juga mengalihkan bahan kajian HKL yang diletakkan di dalam peti sejuk dan mengalihkan 19 mayat dari bilik mayat ekoran suis peti sejuk ditutup,” katanya pada sidang akhbar di IFPN di sini.

Khirudin berkata, stor berkenaan terbakar 100 peratus tetapi kebakaran tidak merebak ke bahagian lain kerana api berjaya dikawal pihak bomba dalam masa setengah jam.

“Pengoperasian HKL berjalan seperti biasa kecuali di makmal stor penyimpanan itu yang ditutup sementara untuk siasatan forensik kebakaran.

“Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada kira-kira 12.20 tengah hari dan tiba di lokasi 10 minit kemudian bersama lima jentera bomba antaranya dari Balai Bomba dan Penyelamat Titiwangsa dan KLCC dengan jumlah keanggotaan sebanyak 31 anggota serta lapan pegawai,” katanya.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada petugas HKL kerana memanggil pasukan Emergency Response Team HKL sebelum ketibaan pasukan bomba di tempat kejadian.

Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kebakaran itu.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Hubungi dulu, bukan kalut rakam gambar

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 6 MAC: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia meminta orang awam menghubungi mereka terlebih dahulu, berbanding mengambil gambar kejadian bagi memastikan operasi menyelamat dapat dilakukan segera.

Ketua Pengarah Bomba Malaysia, Datuk Seri Wan Mohd Nor Ibrahim berkata, tindakan orang awam yang suka mengambil gambar sebelum menghubungi bomba antara faktor pasukan penyelamat lewat menerima panggilan kecemasan.

“Orang awam jangan hanya sibuk merakam gambar atau video berkenaan kejadian kecemasan sahaja tetapi segera mengubungi bomba atau pasukan keselamatan supaya tindakan segera boleh diambil,” katanya lapor Sinar Harian.

Beliau berkata, pihaknya menerima rungutan orang awam yang mengatakan bomba lewat tiba di kawasan kejadian, namun apabila disiasat ia ekoran kelewatan menerima panggilan kecemasan.

Categories
SELANGOR

Operasi SAR pemancing hanyut diperluaskan hingga 20 KM

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 20 FEB: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) tiga lagi mangsa hilang dikhuatiri lemas ketika memancing di Sungai Gasi, berhampiran Kem Sungai Buloh, diperluaskan sehingga 20 kilometer dari jarak mangsa dihanyutkan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Azmi Osman berkata, operasi hari ini diteruskan dengan kekuatan lebih 70 anggota bomba bersama agensi lain seperti polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Selangor turut digerakkan untuk membuat pencarian dari bawah, menuju ke lokasi mangsa dilaporkan hanyut.

“Pencarian dari lokasi kejadian juga akan diteruskan, mengikut strategi yang dirancang untuk hari ini, ” katanya kepada media.

Pada masa sama, beliau berkata, Unit Anjing Pengesan (K9) Bomba dan Pasukan Penyelamat Dalam Air (PPDA) juga digunakan untuk melakukan pencarian di lokasi yang dikenal pasti.

“Anggota PPDA akan melakukan pencarian di lubuk di kawasan sungai itu,” katanya sambil menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan aktiviti air seperti memancing di sungai atau tali air.

Katanya, bagi tempoh Januari sehingga hari ini, sebanyak 12 mangsa dilaporkan mati lemas di Selangor dengan 10 daripada mangsa meninggal dunia ketika menjalani aktiviti di sungai manakala dua lagi di tali air.

Sumber gambar: Bomba Selangor

Categories
SELANGOR

Operasi SAR pemancing hanyut disambung pagi ini

OLEH SABIRAH AZIZ

SUNGAI BULOH, 20 FEB: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pemancing yang dihanyut arus Sungai Gasi di sini, petang semalam, disambung semula pagi ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor berkata, operasi SAR itu membabitkan dua Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) menggunakan dua bot untuk mengesan kedudukan mangsa.

“Ketika ini, pencarian oleh kedua-dua pasukan berkenaan sudah sampai ke aliran sungai sekitar Saujana Utama, Puncak Alam, kira-kira 20 kilometer dari lokasi kejadian.

“Operasi juga ditumpukan pada tebing sungai hingga ke Kuala Selangor dengan beberapa lokasi pemeriksaan seperti Jambatan Merbau Sempak; Jambatan Kubu Gajah dan perangkap sampah di Bestari Jaya serta Kuala Selangor,” katanya lapor Berita Harian.

Setakat ini, daripada lima pemancing termasuk dua wanita yang dilaporkan hilang dalam kejadian kira-kira jam 5 petang semalam, mayat dua mangsa sudah ditemui.

Mangsa pertama ditemui pada jam 9.50 malam kira-kira 8.2 kilometer dari lokasi kejadian, manakala mayat kedua ditemui jam 1.26 pagi, kira-kira satu kilometer daripada lokasi penemuan awal.

Pengarah JBPM Selangor, Azmi Osman dijangka mengadakan sidang media jam 9.30 pagi ini.

=EZY=

Categories
SELANGOR

13 rumah atas air hangus di Bagan Hailam

OLEH SABIRAH AZIZ

PELABUHAN KLANG, 19 FEB: Sambutan Tahun Baharu Cina bertukar suram bagi penduduk Kampung Bagan Hailam di sini, apabila 13 rumah setinggan atas air yang dihuni mereka musnah dalam kebakaran, malam tadi.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, sebahagian besar daripada mangsa berbangsa Cina berkenaan tiada di rumah kerana keluar berhari raya dan makan malam bersama keluarga.

Api marak mengakibatkan semua kediaman berstruktur kayu berusia lebih 100 tahun itu hangus sepenuhnya, menyebabkan mereka hanya tinggal sehelai sepinggang.

Bagaimanapun, tindakan pantas bomba berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke rumah berdekatan dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang, Penolong Kanan Penguasa Bomba Juyana @ Azlan Musa, berkata pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 10.23 malam.

“Seramai 42 pegawai dan anggota bersama lima jentera serta tiga tangki air dari Balai Bomba Pelabuhan Klang, Shah Alam, Sungai Pinang, Sri Andalas dan Sungai Buloh dikerah memadamkan kebakaran itu.

“Setibanya di tempat kejadian, api sedang marak memusnahkan semua rumah berkenaan, namun sebahagian besar penghuni tiada di situ,” katanya di tempat kejadian, pagi ini.

Beliau berkata, kebakaran berjaya dikawal pihaknya pada jam 11.55 malam dan padam sepenuhnya jam 1 pagi tadi.

Juyana berkata, punca sebenar kejadian dan anggaran nilai kerugian masih dalam siasatan.

Sementara itu, Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) kawasan itu yang juga saksi kejadian, Soh Eng Chew, 48, berkata dia terkejut melihat cahaya terang luar biasa ketika berada di sebuah tokong berdekatan.

“Bagi mendapatkan kepastian, saya segera mengajak beberapa penduduk kampung lain menuju ke lokasi itu dan terkejut melihat kebakaran berkenaan.

“Namun, kebakaran itu tidak merebak ke rumah saya yang berada sederet dengan lokasi kejadian. Sebahagian besar daripada penghuni keluar beraya di sekitar daerah ini,” katanya lapor Berita Harian.

SUMBER: BERITA HARIAN

Categories
SELANGOR

Bomba Selangor rekod 19,046 panggilan kecemasan tahun lalu

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 25 JAN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor mencatatkan sebanyak 19,046 panggilan kecemasan, bagi tempoh Januari hingga Disember 2017.

Pengarahnya, Azmi Osman berkata, jumlah itu membabitkan 12,559 panggilan menyelamat, 6,396 kebakaran dan 85 tugas-tugas khas.

“Daripada jumlah itu, sebanyak enam panggilan palsu turut direkodkan dalam tempoh terbabit. Ini membabitkan kerugian hartanah dan harta benda bernilai RM832.6 juta, manakala RM29.54 bilion berjaya diselamatkan.

“Berdasarkan nilai harta yang diselamatkan, ia dapat dikaitkan dengan kecekapan operasi pemadaman oleh anggota bomba yang berjaya mengawal kebakaran dengan cepat sebelum merebak,” katanya kepada SelangorKini.

Azmi berkata, daripada kes kebakaran, jabatan itu merekodkan 31 kematian, 72 cedera, manakala 97 lagi berjaya diselamatkan.

“Sementara itu, bagi tugas menyelamat pula menunjukkan 188 kematian, 1,078 cedera dan 1,146 berjaya diselamatkan.

“Statistik turut merekodkan Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Buloh menerima 1,356 panggilan kebakaran dan kecemasan tertinggi berbanding balai lain, dalam tempoh sama.

“Ianya meliputi 1,004 panggilan menyelamat, 347 panggilan kebakaran dan lima panggilan tugas-tugas khas,” katanya.

Beliau berkata, daripada kes kebakaran itu, tiga meninggal dunia dan satu cedera, manakala bagi kes menyelamat, seramai 13 cedera, enam selamat dan empat lagi meninggal dunia.

Ia membabitkan kerugian harta bernilai RM64 juta, manakala RM115 juta lagi berjaya diselamatkan.

Categories
SELANGOR

4 maut dalam kebakaran rumah di Sepang

SEPANG 13 DIS: Dua warga emas dan dua kanak-kanak lelaki maut dalam kebakaran di sebuah rumah di Jalan Tepi Laut, Tanjung Sepat, Sepang kira-kira jam 6 pagi tadi.

Mangsa yang dikenalpasti adalah Lim Mai Shak, 68; Chia Tee Nang, 73 dan Chia Yuan Bin, tiga tahun manakala seorang lagi kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun belum dikenalpasti, lapor BH ONLINE.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul, berkata pihaknya mendapat panggilan mengenai kejadian itu pada jam 6.08 pagi, dan 15 anggota dan tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sepang serta Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Kebakaran membabitkan sebuah rumah berkeluasan 7.4 x 7.4 meter persegi musnah sepenuhnya.

“Empat mangsa ditemui selepas api berjaya dipadamkan,” katanya.

Mohd Sani berkata, mangsa pertama ditemui jam 6.43 pagi, kedua pada jam 6.47 pagi manakala mangsa ketiga dan keempat ditemui pada jam 6.58 pagi.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Bomba selamatkan 2 lelaki nyaris lemas banjir di Bukit Raja

SHAH ALAM 7 NOV: Pasukan Bomba dan Penyelamat berjaya menyelamatkan dua lelaki hampir lemas selepas terperangkap dalam kenderaan akibat banjir kilat di hadapan Pasar Raya Aeon Bukit Raja di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi itu, dua lelaki berusia 43 dan 58 tahun berkenaan bagaimanapun berjaya diselamatkan selepas menghubungi pihak Bomba.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 5 pagi sebelum sepasukan anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi mendapati air telah naik setinggi kira-kira satu meter dan dua lelaki terperangkap di dalam sebuah lori, kedua-dua mereka berjaya dibawa keluar dengan selamat,”katanya lapor KOSMO!.

Mohd. Sani turut memberitahu, beberapa lokasi di sekitar Bandar Bukit Raja dan Taman Rasah, Klang dinaiki air kira-kira satu meter sejak jam 5 pagi tadi.

Bagaimanapun katanya, ketika ini air telah mulai surut dan tiada mangsa yang dipindahkan.

=EZY=

Categories
SELANGOR

3 lelaki dikhuatiri terjatuh dalam tangki minyak terbakar

RAWANG 4 NOV: Tiga lelaki dikhuatiri terjatuh ke dalam tangki minyak diesel yang meletup dan terbakar di sebuah kilang simen di Jalan Kuang Garing, Rawang semalam.

Dalam kejadian pada kira-kira jam 4 petang itu, tiga lelaki tempatan berusia 28 hingga 49 tahun yang belum dikenal pasti identiti mereka, hilang semasa kebakaran tangki simpanan minyak diesel setinggi 4.26 meter itu.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada 4.24 petang.

Beliau berkata kebakaran tangki minyak itu dapat dipadamkan kira-kira sejam kemudian namun, tiga mangsa berkenaan masih belum dijumpai.

Mohd Sani berkata lima jentera bersama-sama 30 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Batu Arang, Rawang serta Selayang diarahkan ke lokasi kejadian.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) tiga warga tempatan itu dijangka selesai hari ini.

Mohd Sani Harul ia susulan pasukan penyelamat terpaksa mengeluarkan lebih 725,000 liter minyak diesel dari tangki setinggi 4.26 meter itu bagi mengesan mangsa.

“Tujuh lori tangki digunakan dalam kerja-kerja mengeluarkan minyak berkenaan… ia akan mengambil masa yang agak lama untuk mengesan mangsa,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Menurutnya, ketika kejadian ketiga-tiga mangsa sedang melakukan kerja penyelenggaraan di atas tangki sebelum berlaku letupan yang mengakibatkan mereka terjatuh.

Sementara itu, Lafarge dalam satu kenyataan semalam berkata kebakaran tercetus di Loji Rawang syarikat itu antara jam 4.15 hingga 4.20 petang dan dipadamkan oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat sejurus tiba di tempat kejadian.

Syarikat itu berkata mereka menjalankan siasatan menyeluruh mengenai punca kejadian itu.

“Tiga orang masih hilang, anggota bomba dan pasukan loji bekerja sepanjang malam untuk mencari mangsa. Keluarga mangsa telah dimaklumkan mengenai insiden itu dan kami akan memaklumkan perkembangan terkini kepada mereka dan menghulurkan sokongan yang diperlukan.

“Doa dan ingatan kami sentiasa bersama-sama mereka,” kata syarikat simen itu dalam kenyataan.

SUMBER: BERNAMA