Categories
NASIONAL SELANGOR

Penduduk PJS 9 keliru pertukaran poskod baru

PJS 9 keliru pertukaran poskod baru 1

SUBANG JAYA 18 OKT: Penduduk Petaling Jaya Selatan (PJS) 9 keliru dengan perubahan poskod yang dikeluarkan Pos Malaysia bagi kawasan Subang Jaya dan Petaling Jaya.

Berdasarkan notis yang dikeluarkan Pos Malaysia, awal bulan ini, poskod baru untuk kawasan Subang Jaya yang turut membabitkan PJS 9 dan PJS 11 adalah 47500.

Perubahan itu berlaku disebabkan pecahan kawasan Pilihan Raya yang menetapkan kawasan PJS 7, PJS 9 dan PJS 11 yang terletak di kawasan Bandar Sunway berada di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Subang Jaya dan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

PJS 9 keliru pertukaran poskod baru 4

Sementara itu, kawasan Desa Mentari yang membabitkan kawasan PJS 8 dan PJS 10 pula berada di bawah DUN Seri Setia dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Timbalan Pengerusi Rukun Tetangga PJS 9, Mohamad Noor, berkata beliau keliru dengan perubahan poskod berkenaan apabila kad pengenalannya masih menggunakan poskod 46150 di bawah kawasan Subang Jaya, manakala poskod sama yang tercatat dalam lesen memandu didaftarkan dalam kawasan Petaling Jaya.

PJS 9 keliru pertukaran poskod baru 2

“Perubahan baru kepada poskod 47500 Subang Jaya ini bakal membebankan penduduk sekitar terutama dalam urusan alamat surat menyurat,” katanya pada sidang media di Padang PJS 9/14, di sini, hari ini.

PJS 9 keliru pertukaran poskod baru 3

Pengerusi Rukun Tetangga PJS 9, Goh Hai Thun, pula berkata, kad pengenalan dan lesen memandunya masih menggunakan poskod 46150 yang didaftarkan di kawasan Petaling Jaya dan boleh dihubungi untuk urusan surat menyurat

“Sebagai jawatankuasa penduduk, kami ingin tahu sebab utama pertukaran poskod ini berlaku tanpa memaklumkan kepada penduduk. Kami tinggal di PJS yang membawa maksud Petaling Jaya Selatan dan jika mahu meletakkan di bawah kawasan Subang Jaya, ia perlu ditukar kepada SS.

hannah yeoh

Sementara itu, Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh yang turut hadir dalam sidang media berkenaan berkata, pengumuman terbaru itu mengelirukan penduduk terutama membabitkan dokumen penting kerana terpaksa memaklumkan pertukaran poskod kepada beberapa agensi.

“Kita mempunyai sistem Mykad yang canggih dan penduduk tidak perlu pergi ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk menukar poskod, sebaliknya JPN perlu memaklumkan pertukaran itu secara automatik.

“Pos Malaysia seharusnya memaklumkan perubahan ini kepada penduduk, namun sehingga kini kita tidak tahu sama ada mereka melakukannya atau tidak, termasuk memaklumkan kepada agensi penting seperti Bank Negara dan Pejabat Tanah supaya menukar poskod dalam sistem mereka,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Penduduk Tuntut Prasarana Bentang Pelan Pejalan Kaki Projek BRT Sunway Line

Hannah Gotong Royong

SUBANG JAYA 15 JUN : Pemaju projek Bas Rapid Transit (BRT) Sunway Line, Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana) digesa segera membentangkan pelan laluan pejalan kaki kepada penduduk di PJS 7 dan PJS 9.

Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh Tseow Suan berkata, penduduk terlibat sudah menunggu sejak daripada tahun lalu bagi melihat cadangan pelan laluan pejalan kaki tersebut kerana meragui aspek keselamatan.

Katanya, pada 24 November tahun lalu, Prasarana mengadakan sesi dialog bersama penduduk dan berjanji memberikan pelan laluan kaki tersebut kepada penduduk untuk membuat penilaian sewajarnya.

“Prasarana berjanji untuk memberikan pelan laluan tersebut kepada penduduk untuk dinilai sama ada sesuai atau tidak tetapi sehingga ke hari ini, pelan cadangan tersebut belum dibentangkan kepada para penduduk di PJS 9,” katanya.

Menurut Hannah, penduduk di PJS 9 membantah cadangan laluan tersebut kerana khuatir laluan tersebut melalui belakang kawasan perumahan mereka.

“Saya menggesa Prasarana untuk segera membentangkan pelan berkenaan kepada penduduk, sama ada di buat macam terowong ke, kita tak tahu sebab pelan itu belum dibentangkan,” ujarnya lagi.

Bagaimanapun, penduduk PJS 7 menyatakan persetujuan mengenai cadangan laluan pejalan kaki tersebut.

Dalam pada itu, BRT merupakan sistem rapid transit lengkap yang menggabungkan pengangkutan awam lain seperti Transit Aliran Ringan (LRT) dan Keretapi Tanah Melayu (LRT).

Projek berkenaan akan dimulakan pada suku kedua tahun 2013 dan dijangka siap pada 2015.

Hannah ditemui dalam satu program gotong-royong bersama penduduk USJ6, Subang Jaya anjuran Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan Bridget Bomba Seksyen 17, Subang Jaya.