Categories
NASIONAL SELANGOR

Hannah : Lampu Limpah USJ2 Mampu Kurangkan Jenayah

 

hannah yeoh lampu parkir 01SUBANG JAYA 31 JULAI : Pemasangan lampu limpah di kawasan letak kereta di taman perumahan USJ2 di sini sejak Mac lalu berjaya mengurangkan kejadian jenayah di kawasan itu.

Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh berkata, kemudahan itu disediakan demi kebaikan penduduk di situ yang mengadu kejadian jenayah kerap berlaku akibat keadaan gelap.

Katanya, peruntukan sebanyak RM20,510 daripada Kerajaan Negeri digunakan untuk pemasangan lampu limpah tersebut.

“Penduduk di sini pernah menahan suspek yang terlibat dalam kejadian jenayah ketika kawasan ini dulu gelap.

“Di sini terdapat dewan orang ramai, kabin rukun tetangga USJ2 dan USJ6 serta Masjid Al-Mukminun jadi kawasan letak kereta ini memang digunakan oleh ketiga-tiga pihak dengan kerap,” katanya kepada media selepas lawatan ke kawasan itu hari ini.

Projek tersebut bermula 22 Februari hingga 13 Mac lalu menggunakan sebahagian peruntukan RM500,000 disalurkan Kerajaan Negeri untuk penambahbaikan infrastruktur di DUN Subang Jaya.

Hannah berkata, pelbagai projek dirancang itu adalah mengikut cadangan dikemukakan pelbagai pihak termasuk Ahli Majlis Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

Tambahnya, pembinaan dua wakaf bernilai RM20,240 turut dilakukan di situ untuk kegunaan penduduk bagi menggantikan wakaf sedia ada dibina mereka yang terpaksa dirobohkan MPSJ kerana terlalu hampir dengan kediaman penduduk.

Nazir Masjid Al Mukminun, Zainal Abidin Zakarian menjelaskan kawasan letak kereta itu memang memerlukan lampu limpah supaya keadaannya menjadi lebih terang.

Sebelum itu, katanya, berlaku beberapa kejadian tidak diingini yang menimbulkan rasa tidak senang di kalangan penduduk.

“Kejadian jenayah kerap berlaku di sini terutama pada waktu malam. Pemasangan lampu ini memang berguna dan memberi kebaikan kepada semua pihak di sini,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Penduduk Tuntut Prasarana Bentang Pelan Pejalan Kaki Projek BRT Sunway Line

Hannah Gotong Royong

SUBANG JAYA 15 JUN : Pemaju projek Bas Rapid Transit (BRT) Sunway Line, Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana) digesa segera membentangkan pelan laluan pejalan kaki kepada penduduk di PJS 7 dan PJS 9.

Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh Tseow Suan berkata, penduduk terlibat sudah menunggu sejak daripada tahun lalu bagi melihat cadangan pelan laluan pejalan kaki tersebut kerana meragui aspek keselamatan.

Katanya, pada 24 November tahun lalu, Prasarana mengadakan sesi dialog bersama penduduk dan berjanji memberikan pelan laluan kaki tersebut kepada penduduk untuk membuat penilaian sewajarnya.

“Prasarana berjanji untuk memberikan pelan laluan tersebut kepada penduduk untuk dinilai sama ada sesuai atau tidak tetapi sehingga ke hari ini, pelan cadangan tersebut belum dibentangkan kepada para penduduk di PJS 9,” katanya.

Menurut Hannah, penduduk di PJS 9 membantah cadangan laluan tersebut kerana khuatir laluan tersebut melalui belakang kawasan perumahan mereka.

“Saya menggesa Prasarana untuk segera membentangkan pelan berkenaan kepada penduduk, sama ada di buat macam terowong ke, kita tak tahu sebab pelan itu belum dibentangkan,” ujarnya lagi.

Bagaimanapun, penduduk PJS 7 menyatakan persetujuan mengenai cadangan laluan pejalan kaki tersebut.

Dalam pada itu, BRT merupakan sistem rapid transit lengkap yang menggabungkan pengangkutan awam lain seperti Transit Aliran Ringan (LRT) dan Keretapi Tanah Melayu (LRT).

Projek berkenaan akan dimulakan pada suku kedua tahun 2013 dan dijangka siap pada 2015.

Hannah ditemui dalam satu program gotong-royong bersama penduduk USJ6, Subang Jaya anjuran Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan Bridget Bomba Seksyen 17, Subang Jaya.