Categories
AGENDA GLOBAL JENAYAH

AS mohon ekstradisi dua rakyat Malaysia disyaki penggodam siber

KUALA LUMPUR, 18 SEPT: Pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) memohon dua rakyat Malaysia diekstradisi ke negara itu kerana dipercayai terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram dan jenayah komputer (siber) di AS.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata kedua-dua suspek berkenaan, seorang ahli perniagaan berusia 40-an dan juruanalisa komputer berusia 30-an kini direman di Penjara Sungai Buloh.

“Kedua-dua suspek ditahan di sekitar Perak pada 8.45 pagi 14 September lepas oleh sepasukan anggota polis Bahagian D12 National Central Bureau (NCB) /Interpol, Bahagian D14 Jenayah Terancang, Jabatan Siasatan Jenayah dan Jabatan Siasatan Komersial Bukit Aman,” katanya dalam kenyataan di sini, malam tadi.

Menurut Huzir, kedua-dua suspek didapati menjalankan perniagaan penjualan artifak permainan seperti kit dan urusan kredit secara tidak sah di AS.

“Pihak berkuasa Amerika Syarikat telah menghantar permohonan ekstradisi pada 3 September lepas terhadap kedua-dua suspek dan Jabatan Peguam Negara telah bersetuju untuk melaksanakan permohonan itu,” katanya.

Huzir berkata permohonan ekstradisi berkenaan selaras dengan peruntukan di bawah Akta Ekstradisi 1992 serta perjanjian ekstradisi antara kerajaan Malaysia dengan kerajaan Amerika Syarikat.

Beliau berkata pada 11 September lepas, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur telah mengeluarkan waran pemberkasan sementara (provisional warrant of arrest) ke atas kedua-dua suspek.

“Permohonan reman dibenarkan oleh Mahkamah Majistret selama 60 hari di bawah Seksyen 16(1) Akta Ekstradisi 1992 serta Artikel 11(4) perjanjian ekstradisi antara kerajaan Malaysia dan kerajaan Amerika Syarikat,” katanya.

Huzir berkata pihak forensik juga membuat rampasan terhadap bahan bukti dan dokumen berkaitan di syarikat milik mereka di Perak.

Kelmarin, agensi media asing melaporkan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat mendakwa lima rakyat China dan dua rakyat Malaysia kerana disyaki menjalankan operasi menggodam global, mencuri identiti dan teknologi permainan video di AS dan luar negara.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Dua sindiket proses, edar dadah RM5.16 juta tumpas

KUALA LUMPUR, 11 SEPT: Dua sindiket pemprosesan dan pengedaran dadah di Kuala Lumpur dan Selangor tumpas dengan penahanan 17 individu dalam operasi polis di Lembah Klang pada Selasa dan Rabu lepas.

Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman DCP Zainudin Ahmad berkata mereka yang ditahan dalam operasi dua hari itu terdiri daripada 11 lelaki dan empat wanita tempatan serta dua wanita Vietnam, yang kesemuanya berumur 28 hingga 59 tahun.

Beliau berkata pelbagai jenis dadah bernilai kira-kira RM5.16 juta turut dirampas dalam serbuan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman bersama narkotik Kuala Lumpur dan Selangor itu.

Katanya dalam operasi pertama, pihaknya menahan lima individu termasuk seorang ketua sindiket dan menyita pelbagai barangan serta wang tunai yang kesemuanya bernilai RM6.68 juta.

“Melalui operasi itu, polis juga berjaya membongkarkan sebuah makmal memproses dadah di sebuah rumah sewa di Damansara, di sini,” katanya pada sidang media khas di Bukit Aman di sini hari ini.

Zainuddin berkata dalam operasi pertama pada 3.30 pagi Selasa lepas, polis merampas dadah jenis ketamin seberat 43.5 kilogram (kg), syabu (154 gram), pil Erimin 5 (34.8 gram), pil ekstasi (1.5 gram), mushroom (11.6 gram) dan ganja (8.68 gram), bernilai RM2.25 juta dalam enam serbuan berbeza.

“Turut dirampas ialah wang tunai berjumlah RM63,350, empat kenderaan mewah, dua utas rantai leher, tiga bentuk cincin, dua pasang subang, satu utas gelang tangan dan tujuh utas jam tangan berjenama yang kesemuanya bernilai RM334,750,” katanya.

Zainudin berkata dalam operasi kedua pada 4.30 petang Rabu, polis menahan 12 individu termasuk seorang ketua sindiket berkenaan.

“Polis merampas serbuk dadah jenis MDMA seberat 32.72 kg, syabu (1.4 kg); pil ekstasi (11.4 kg); pil Erimin 5 (2.9 kg); ketamin (3.3 kg) serta peralatan memproses dadah dalam sembilan serbuan berbeza di sekitar Lembah Klang,” katanya.

Beliau berkata polis juga merampas wang tunai berjumlah RM393,905, mata wang asing bernilai USD115, 14 kenderaan pelbagai jenama, lima utas jam tangan dan pelbagai barang kemas yang keseluruhannya bernilai RM1.2 juta.

“Kesemua suspek direman selama tujuh hari sehingga 17 September ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Polis akan terus mengesan saki-baki ahli sindiket yang terlibat untuk dibawa ke muka pengadilan,” katanya sambil menambah pihaknya telah melakukan siasatan terhadap kedua-dua sindiket itu selama tiga minggu sebelum operasi ini dijalankan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis umum tukar enam pegawai kanan berkuat kuasa 21 Sept

KUALA LUMPUR, 22 OGOS: Ketua Polis Daerah Kluang Johor, ACP Mohd Abduh Ismail antara enam pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terlibat dalam pertukaran jawatan berkuat kuasa 21 September depan.

Ketua Komunikasi Korporat PDRM Datuk Asmawati Ahmad dalam kenyataan semalam, memaklumkan Mohd Abduh dilantik sebagai Komander Briged Sabah, Pasukan Gerakan Am, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Kinarut, Sabah dengan memangku pangkat Senior Asisten Komisioner (SAC).

Pertukaran lain melibatkan Supt E2C2, Cawangan Khas, Bukit Aman Supt Nur Azlin Lim Wee Lin dilantik selaku Pegawai Turus E3F Cawangan Khas, Bukit Aman dengan memangku pangkat Asisten Komisioner (ACP).

Selain itu, Ketua Polis Daerah Jempol, Negeri Sembilan, Supt Mohd Khairiel Mohd Arif dilantik menjadi Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Pulau Pinang dengan memangku pangkat ACP.

Pertukaran lain turut menyaksikan Pegawai Turus Operasi Darat, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Johor Supt Low Hang Seng dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, dengan memangku pangkat ACP.

Asmawati berkata Penolong Pengarah (Pengurusan Fasiliti) Cawangan Pengurusan Fasiliti, Bahagian Fasiliti, Bekalan, Aset, Jabatan Logistik dan Teknologi, Bukit Aman Supt Basri Abu Bakar dilantik sebagai Penolong Pengarah (Telekomunikasi) Cawangan Telekomunikasi dan Sistem Maklumat, Bahagian Teknikal/Operasi, Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman dengan memangku pangkat ACP.

Pertukaran lain turut melibatkan Ketua Penolong Pengarah (Kawalan Lalu Lintas) Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Supt Gan Chip Pho dilantik sebagai Timbalan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (Operasi) Pahang, dengan memangku pangkat ACP.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis umum pertukaran 10 pegawai kanan berkuat kuasa 6 Julai

KUALA LUMPUR, 2 JUN: Ketua Urus Setia KPN (Perundangan) PDRM, Urusetia Pejabat KPN, Bukit Aman SAC Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri adalah antara 10 pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terlibat dalam pertukaran jawatan berkuatkuasa 6 Julai depan.

Ketua Komunikasi Korporat PDRM Datuk Asmawati Ahmad dalam kenyataan hari ini berkata Mohd Azman dilantik sebagai Timbalan Pengarah Forensik/ Databank DNA/ Perancangan Strategik, Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu pejabat polis Bukit Aman dengan memangku pangkat DCP.

Menurut Asmawati, jawatan Mohd Azman akan diganti oleh Penolong Pengarah (Siasatan Jenayah Korporat/ Persatuan/ Syarikat), Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Bukit Aman ACP Rajagopal Ramadhass dengan memangku pangkat SAC.

Pertukaran lain antaranya melibatkan Supt E2D1, Cawangan Khas, Bukit Aman, Supt Datin Nor Hayati Ghazali yang dilantik sebagai Pegawai Turus E2D, Cawangan Khas, Bukit Aman dengan memangku pangkat ACP.

Nor Hayati menggantikan ACP Nor Azizi Maarof yang akan memegang jawatan Timbalan Ketua Cawangan Khas Risikan dan Operasi, Pulau Pinang.

Pertukaran itu turut menyaksikan Penolong Pengarah (D11) Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-Kanak, Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman Supt Siti Kamsiah Hassan dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah D11 dengan memangku pangkat ACP.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Kedah DSP Hussin Zamora pula bakal memegang jawatan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Johor dengan memangku pangkat Supt.

Hussin menggantikan Supt Ahsmon Bajah yang akan memegang jawatan ACP Perhubungan Antarabangsa Urus Setia KPN (Pentadbiran), Urusetia Pejabat KPN, Bukit Aman dengan memangku pangkat ACP.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Rentas negeri tanpa sebab jejas pergerakan petugas barisan hadapan

KUALA LUMPUR, 20 MEI: Tindakan segelintir individu melakukan perjalanan rentas negeri tanpa alasan munasabah hanya mengganggu pergerakan petugas barisan hadapan yang kini berusaha mengekang penularan Covid-19.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata tindakan tidak bertanggungjawab itu hanya mengganggu kelancaran pergerakan kenderaan perkhidmatan perlu untuk sampai ke destinasi tertentu.

Katanya tindakan tegas termasuk kompaun akan dikenakan terhadap individu yang cuba melakukan pergerakan rentas negeri untuk menyambut Aidilfitri.

“Nasihat saya… polis akan bertegas dan arahkan mereka (yang tidak mendapat kebenaran rentas negeri) berpatah balik.

“Jika degil, tindakan kompaun dan undang-undang akan diambil dan saya seru semua pihak berkorban demi kebaikan bersama… ianya hanya untuk raya tahun ini sahaja,” katanya ketika dihubungi Bernama, semalam.

Dalam pada itu, beliau berkata pasukan ‘jam squad’ masih ditugaskan memantau kesesakan lalu lintas yang berlaku di sekatan jalan raya.

“Pasukan ini akan memberi nasihat serta memastikan aliran trafik di sekatan jalan raya lancar,” katanya.

Pada 19 April lepas, Azisman berkata polis menubuhkan pasukan ‘jam squad’ yang dianggotai 20 anggota bermotosikal bagi memantau kesesakan lalu lintas di sekatan jalan raya sekitar Lembah Klang sewaktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Bas ekspres, motosikal tidak dibenar perjalanan antara negeri

KUALA LUMPUR, 6 MEI: Mereka yang terlibat dalam perjalanan rentas negeri bermula esok hingga 10 Mei ini tidak dibenar menggunakan perkhidmatan bas ekspres atau motosikal.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata perkara itu telah dimuktamadkan oleh polis sebelum ini.

“Bagi perjalanan menerusi penerbangan pula perjalanan di Semenanjung Malaysia dibenarkan namun mereka yang mahu ke Sabah dan Sarawak perlu membuat permohonan secara dalam talian melalui platform disediakan (kerajaan negeri) sebelum membeli tiket penerbangan,” katanya pada sidang media khas di Bukit Aman, di sin hari ini.

Mengulas bilangan individu yang dibenar menaiki sesebuah kenderaan ketika perjalanan rentas negeri, beliau berkata peraturan mengehadkan kepada empat orang.

“Bagaimanapun, ia bergantung pada budi bicara petugas sekatan jalan raya yang membuat pemeriksaan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PKP: Kadar kemalangan jalan raya turun 70 peratus – polis

KUALA LUMPUR, 19 APRIL: Kadar kemalangan jalan raya menurun hampir 70 peratus sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa satu dan dua, yang dilaksanakan sejak 18 Mac lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Azisman Alias berkata, sebanyak 10,382 kes kemalangan direkodkan di seluruh negara dalam tempoh PKP yang masuk hari ke-32 hari ini.

Katanya, daripada jumlah keseluruhan itu, sebanyak 130 kemalangan maut membabitkan 145 kematian dicatat sehingga 14 April, manakala purata kemalangan ketika PKP fasa satu dan dua adalah sebanyak 370 kemalangan sehari.

“Trend ini menunjukkan penurunan hampir 70 peratus yang mana sebelum pelaksanaan PKP, polis merekodkan sebanyak 1,500 kes kemalangan setiap hari dengan 16 hingga 17 maut dicatatkan.

“Dengan pelaksanaan PKP, trend kemalangan maut menunjukkan penurunan antara empat hingga lima kemalangan maut dicatatkan setiap hari,” katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Menurut Azisman, sebanyak 80 peratus daripada jumlah kemalangan maut yang dicatatkan semasa PKP fasa satu dan dua, adalah membabitkan penunggang motosikal.

Sementara itu, mengenai persiapan polis menghadapi bulan Ramadan, Azisman berkata pihaknya masih meneliti beberapa perkara berkaitan dalam pelaksanaan arahan PKP serta bergantung kepada pengumuman dan polisi kerajaan.

“Untuk pihak saya, adalah lebih baik jika bilangan kenderaan atas jalan raya kurang, dan apabila diumumkan bahawa tiada bazar Ramadan, maka ia lebih baik.

“Kalau tidak, wabak Covid-19 ini tidak dapat diputuskan rantaiannya, (dan) ini akan memeningkan polis trafik dengan kenderaan yang banyak di tempat meletak kenderaan di tepi jalan berdekatan bazar,” katanya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

284 kotak tas tangan, 72 beg barang kemas dirampas berkait 1MDB

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 18 MEI: Sebanyak 284 kotak mengandungi tas tangan mewah pelbagai jenama dan 72 beg berisi barang kemas serta wang tunai pelbagai mata wang dirampas polis dipercayai berkait bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berkata, rampasan itu dijalankan ekoran ia mempunyai kaitan dengan siasatan berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dari beberapa kondominium mewah di Kuala Lumpur, lewat malam tadi.

“Jumlah nilai rampasan tidak dapat ditentukan lagi kerana jumlah barang yang dirampas adalah banyak.

“Polis akan membuat pemeriksaan secara terperinci bagi menentukan jumlah nilai sebenar rampasan,” katanya dilapor Free Malaysia Today.

Difahamkan polis berada di lokasi sejak kira-kira 7.30 malam.

“Antara beg tangan mewah yang dirampas adalah berjenama Hermes Birkin dan Louis Vuitton.

“Bagaimanapun, ketika operasi dijalankan tiada penghuni di unit kediaman berkenaan,” katanya.

Difahamkan, Polis terpaksa menggunakan lima trak polis untuk membawa bagasi dan kotak beg tangan mulai jam 12. 15 tengah malam dan selesai dua jam setengah kemudian.

Amar berkata, JSJK juga membuat pemeriksaan serentak sejak malam kelmarin di enam permis bagi membantu siasatan kes 1MDB iaitu Pejabat Perdana Menteri dan kediaman rasmi Perdana Menteri di Seri Perdana di Putrajaya, kediaman peribadi Najib di Jalan Langgak Duta, Taman Duta, di sini serta tiga unit kediaman di kondominium tersebut.

Diminta menjelaskan mengenai pemilik tiga unit kediaman tersebut, Amar berkata, salah satu daripada unit itu milik seorang “Tan Sri”, namun enggan mendedahkan butiran lanjut.

 

Categories
NASIONAL

Patut bicara semula kes Altantuya, PKR desak tubuh RCI

bicara semula kes Altantuya 01

KUALA LUMPUR, 24 OGOS: Mahkamah Rayuan patut mengadakan perbicaraan semula apabila mendapati wujud kecacatan dalam penghakiman kes, bukan membebaskan tertuduh, kata Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa.

Merujuk kes Altantuya Shariibuu, peguam itu berkata, Seksyen 60 Akta Kehakiman Mahkamah 1964 membolehkan hakim memerintahkan perbicaraan semula sesebuah kes ketika proses rayuan diadakan.

Memetik Keadilan Daily, Ahli Parlimen Subang itu juga mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berikutan banyak kecacatan dalam kes berkenaan.

?Contohnya, saksi penting seperti DSP Musa Safri tidak dipanggil untuk memberi keterangan di mahkamah,” katanya pada sidang media bersama Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua, hari ini.

Semalam, Mahkamah Rayuan membebaskan anggota Unit Tindakan Khas, Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar dari tuduhan membunuh Altantuya.

Penghakiman dibaca Hakim Datuk Tengku Maimun Tuan Mat memutuskan berlaku penyalaharahan serius oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam mensabitkan tertuduh.

Ia termasuk tidak memanggil DSP Musa Safri dan kegagalan mengemukakan diari balai polis yang menyatakan Azilah berada di Bukit Aman pada masa kejadian.

Sivarasa berkata saksi lain yang patut dipanggil ialah Datuk Seri Najib Razak, Datin Seri Rosmah Mansor, selain bekas Setiausaha Sulit Najib selama 20 tahun, Nasir Safar; dan adik Najib, Datuk Nazim Razak.

?Semua saksi ini penting bukan untuk membuktikan kesalahan Sirul dan Azilah tetapi untuk membuktikan siapakah yang mengarahkan kedua-dua tertuduh membunuh Altantuya,? katanya.

Selain itu, beliau berkata, saksi penting yang baru ialah ahli perniagaan permaidani, Deepak Jaikishan; peguam Americk Singh Sidhu dan Cecil Abraham.

?Pendakwaan cacat dan skrip ulangan yang melucukan kerana mahkamah gagal mengenal pasti dan mendakwa individu yang arah pembunuhan Altantuya. Ini menyebabkan sistem keadilan di Malaysia hancur di mata dunia.

?Justeru saya mendesak sebuah suruhanjaya ditubuhkan bagi memulihkan kembali imej dan kredibiliti mahkamah,? katanya.
-FZL

Categories
NASIONAL

Isteri Dharmendran : Polis Cuba Tutup Kes Kematian

dharmendran isteri bukit aman 01

KUALA LUMPUR, 13 JUN: Isteri mendiang N Dharmendran, Marry Maria Susay telah mengemukakan aduan tatatertib terhadap Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah kerana mengeluarkan kenyataan palsu berhubung kematian suaminya.

Dalam satu sidang media pada 22 Mei lalu, Chin Wah menyatakan Dharmendran pada waktu malam 21 Mei, mengadu sakit dada dan mengalami sesak nafas ketika ditahan di Ibupejabat Polis Kuala Lumpur.

Mendiang kemudian dibawa ke Hospital Kuala Lumpur tetapi meninggal dunia sebaik tiba di hospital.

Namun, menurut laporan bedah siasat pakar patologi Hospital Kuala Lumpur, Dharmendran  meninggal dunia akibat pukulan dengan objek tumpul dan keras.

“Mengapa dia (Ku Chin Wah) masih melindungi dan mengeluarkan kenyataan palsu kepada media dan umum?” soal Marry, selepas mengemukan aduan tersebut di ibupejabat Polis Persekutuan di Bukit Aman di sini.

Laporan aduan berkenaan telah diterima ASP Ramia Kanapathi di Unit Rekod Pengaduan Urus Setia Ketua Polis Negera (Tatatertib) Bukit Aman.

Sementara itu, peguam keluarga, Sivamalar Genaphaty menegaskan pihaknya tetap menggesa penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC) dan menolak penubuhan pasukan khas siasatan seperti yang diumumkan Suruhanjaya Integriti Awam Penguatkuasaan (EAIC).

“Perkara ini perlu menjadi pengajaran kepada semua pegawai polis. Selepas ini kami tidak mahu ada lagi kejadian kematian dalam tahanan. Ku Chin Wah perlu disiasat,” tegasnya.

Dharmendran dilaporkan ditahan polis selepas terlibat di dalam satu kejadian tembak menembak pada 11 Mei di kawasan Bandar Tun Razak. dharmendran isteri bukit aman 03

Isteri dan ibu bapanya hanya mengetahui mengenai penahanan tersebut pada 19 Mei dan mengunjungi Dharmendran di lokap polis.

Beliau sepatutnya dibebaskan dengan jaminan pada 21 Mei namun Marry menerima panggilan yang menyatakan bahawa Dharmendran telahpun meninggal dunia.

Susulan daripada protes parti Pakatan dan keluarganya, tiga anggota polis telah didakwa di Mahkamah Tinggi pada kerana membunuh Dharmedran.

Kerajaan Persekutuan juga telah mengumumkan bahawa badan EAIC akan menyiasat kematian Dharmendran dan seorang lagi, R. Jamesh, di ibupejabat polis Pulau Pinang pada 26 Mei.

 

Categories
NASIONAL

Sifat Kebudak-budakan Umno Serlahkan Politik Kotor Parti Itu

KUALA LUMPUR, 9 MEI : Tindakan kumpulan Umno-BN menimbulkan kekecohan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman tempoh hari menyerlahkan sikap parti itu sebagai politik lama lagi tua yang gagal berhujah, kata Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin.

Badrul Hisham yang juga dikenali sebagai Chegubard berkata, keputusannya menyerahkan memorandum yang mewakili 29 pertubuhan lain kepada polis adalah bagi mendesak mereka menahan anggota yang melakukan rusuhan ke atas orang awam semasa perhimpunan BERSIH 3.0, 28 April lalu.

Namun menurutnya, pada hari kejadian, SAMM dimaklumkan beberapa ‘front’ Umno-BN diketuai salah seorang exco pemuda pusat cuba mencipta kekecohan dengan mengganggu proses penghantaran memorandum yang dirancang.

“Ketika menghampiri pintu Bukit Aman, kami diserbu berpuluh-puluh orang Umno-BN yang bertindak memaki hamun. Seperti yang dijangka, polis ‘terpaksa’ akur dan berlembut dengan kumpulan ini kerana mereka semua berlindung di sebalik menteri regim penguasa.

“Tidak mempedulikan Umno yang terjerit terlolong, saya fokus untuk menerangkan kepada wakil Bukit Aman mengenai memorandum yang mewakili 29 pertubuhan anak muda dan mahasiswa tersebut. Memorandum diterima dan salinan penerimaan ditandatangani, namun kumpulan ini terus terjerit-jerit tanpa menghormati kehadiran wakil Bukit Aman,” ujarnya.

Malah, semasa sidang media ringkas diadakan di hadapan ibu pejabat polis Bukit Aman, kumpulan Umno-BN itu masih terjerit dan terlolong bertindak kasar terhadap anggota polis.

Dalam pada itu Chegubard turut menegaskan, SAMM bersama beberapa pertubuhan lain tidak sama sekali anti-polis, sebaliknya kurang senang terhadap keganasan beberapa anggota yang bertugas semasa perhimpunan BERSIH 3.0.

“Kami menyedari polis dipaksa bertindak ke atas telunjuk regim walaupun dalam banyak keadaan mereka tidak redha. Apa yang kami lakukan ialah membantu mendesak ke arah mewujudkan sebuah institusi keselamatan yang unggul demi masa depan negara.

“Tidak kira siapa memerintah, polis seharusnya bertindak berdasarkan keperluan perundangan dengan memahami konsep keadilan dan kemanusiaan yang tinggi,” tegasnya.