Categories
SELANGOR

Minta SPAN siasat keperluan SPLASH bayar pampasan kepada pengguna

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 13 MAC: Suruhanjaya Perkhimatan Air Negara (SPAN) digesa menyiasat kegagalan syarikat konsesi air Selangor, Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) menyelenggarakan Loji Rawatan Air (LRA) SSP3 hingga menyebabkan kerosakan sebelum membawa kepada kejadian letupan tiga pam baru-baru ini.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago, berkata, siasatan itu perlu dibuat bagi menentukan sama ada SPLASH perlu membayar pampasan kepada pengguna di negeri itu.

“Saya minta SPAN menyiasat punca kerosakan sistem loji itu tidak dibaiki selama lebih setahun di mana menyebabkan letupan, sama ada prosedur, adakah diselenggara dengan baik dan keperluan SPLASH membayar pampasan kepada pengguna yang terjejas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, pada persidangan Dewan Rakyat, Parlimen di sini, hari ini.

Jelasnya, sebagai pemegang konsesi SPLASH harus mengambil tanggungjawab terhadap kejadian bekalan air yang mengakibatkan kerugian kepada pelbagai lapisan masyarakat khususnya golongan peniaga.

Katanya, hal ini dapat dilihat apabila SPLASH juga boleh dianggap cuai kerana tidak membaiki kerosakan tiga pam yang rosak sejak 2016 lagi.

Katanya lagi, SPLASH bukan sahaja tidak memaklumkan status terkini kerja pembaikan kepada Kerajaan Negeri, malah lebih membimbangkan lagi SPLASH juga tidak mempunyai pelan sokongan dalam mengendalikan kejadian kecemasan.

=EZY=

 

Categories
SELANGOR

Bukan Selangor tangguh penstrukturan air

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 6 MAC: Kerajaan Selangor tidak melanjutkan proses penangguhkan penstrukturan air negeri, kata Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago.

Beliau berkata, tindakan pemansuhan dibuat Kerajaan Persekutuan menimbulkan persepsi negatif, jika ia dibuat dengan tujuan bermotifkan politik.

“Adakah ia sebahagian daripada permainan politik supaya pengguna di Selangor menderita dan untuk memalukan Kerajaan Negeri menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14)?

“Atau adakah ia sebagai tanda Kerajaan Persekutuan berhadapan masalah kewangan kronik?” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Kabinet menetapkan penstrukturan air Selangor yang sebelum ini ditangguhkan dari Mei kepada Oktober 2017, ditangguhkan sehingga penghujung 2018 ini.

Bagaimanapun Charles berkata, mengikut dasar air negara, Kerajaan Persekutuan perlu menanggung pembelian aset air bagi membantu negeri.

Beliau berkata, ia termasuk aspek penilaian bebas bagi pengambilalihan aset air yang belum diambil alih diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan oleh Kerajaan Selangor dan ia dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet, pada Mei 2017.

“Kerajaan Persekutuan juga sudah selesai dalam penilaiannya terhadap aset air terbabit, namun berdegil mahu Kerajaan Negeri menyatakan harganya.

“Perkara itu tidak munasabah memandangkan Kerajaan Persekutuan adalah pembelinya. Tanggungjawab pengambilalihan aset air jelas terletak pada Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri melaksanakan pelan jangka panjang yang menggabungkan industri air negeri di bawah satu syarikat pengendali senaraian awam dengan perkhidmatan lebih cekap, efektif, berdaya saing dan mampan.

Bagaimanapun, langkah berkenaan tidak diteruskan secara berkesan ekoran langkah penangguhan penstrukturan baru yang dilaksanakan di peringkat Persekutuan.

Categories
NASIONAL

Tapis pemohon pekerja elak ganguan seksual kanak-kanak

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 2 NOV: Individu memohon pekerjaan melibatkan kanak-kanak perlu diwajibkan melalui tapisan penilaian bagi mengelakkan gejala seksual berlarutan.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata, pendedahan identiti pesalah kepada umum semata-mata tidak memberikan penyelesaian mutlak.

“Kita perlu melakukan langkah-langkah pencegahan bagi mengelakkan insiden ini berulang.

“Pelbagai kejadian seksual dilaporkan melibatkan guru dan kanak-kanak sekolah.

“Adalah penting untuk membuat pemeriksaan pra-pekerjaan dan pemeriksaan polis bagi guru, sukarelawan dan mereka yang bekerja atau mempunyai akses dengan kanak-kanak,” katanya.

Charles berkata, Timbalan Ketua Unit Penyiasatan Seksual (D11) Bukit Aman, Tan Gee Soon dilaporkan berkata, Malaysia di tangga ketiga di negara Asean untuk memiliki dan mengagihkan potnografi kanak-kanak.

Agensi berita Reuters turut melaporkan sebanyak 12,987 kes penderaan seksual kanak-kanak dilaporkan kepada antara Januari 2012 dan Julai 2017.

Daripada jumlah itu, 2,189 kes dibawa untuk pendakwaan dengan hanya melibatkan 40 sabitan.

Categories
NASIONAL

Jangan biar ‘jerung besar’ 1MDB terus bebas

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 11 MEI: Kesungguhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan penyiasatan dan pendakwaan dalam usaha menurunkan indeks rasuah negara sangat dialu-alukan, malah diharapkan akan berterusan sepanjang masa.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata, beliau dan pimpinan PAKATAN mengharapkan lebih ramai ‘jerung besar’ terbabit dengan rasuah dibawa ke muka pengadilan serta tidak mengheret ‘ikan bilis’ semata-mata.

“Kita menyokong dan mengalu-alukan usaha SPRM tetapi harus diingat satu ‘jerung besar’ yang terlibat dengan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) masih bebas dan segala pendakwaan nampaknya dibatalkan.

“Harus diingat apabila orang atasan mengamalkan rasuah, tidak menjadi pelik jika kakitangan bawahan juga melakukan perkara sama,” katanya.

Katanya, budaya rasuah dilihat sebagai kebiasaan di negara ini terutama apabila berlaku sesuatu kesalahan dan ia harus dibenteras selain memberi pendidikan awal kepada pelajar di sekolah berkenaan kesannya kepada negara.

Charles-Santiago-LPada masa sama, Charles berkata, individu terlibat rasuah biasanya mengamalkan cara hidup mewah melebihi pendapatan bulanan mereka.

“Sebagai contoh, mereka mempunyai keinginan memiliki kereta mewah. Jika ingin membelinya, sudah tentu harganya mahal dan tidak mampu dengan gaji sedia ada, maka rasuah menjadi jalan penyelesaian.

“Itu tidak masuk kos penyelenggaraan kereta berkenaan selain pelbagai barangan peribadi seperti jam tangan atau beg tangan,” katanya.

Categories
NASIONAL

Kematian Balamurugan: Charles gesa polis terlibat disiasat

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 20 FEB: Pegawai polis yang menyebabkan kematian tahanan S Balamurugan, 44, perlu disiasat dan tidak terlepas daripada dikenakan tindakan undang-undang.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata, hal itu kerana bedah siasat kedua mengesahkan mangsa mengalami pelbagai pukulan.

Katanya, badan siasatan bebas perlu ditubuhkan bagi menyiasat ‘amalan’ yang sering berlaku itu.

“Keputusan bedah siasat kedua dijalankan ahli patologi Hospital Kuala Lumpur (HKL) menunjukkan Balamurugan mengalami beberapa kecederaan di dada, kepala, kaki dan belakang menyebabkan kegagalan jantung.

“Pukulan itu tidak masuk akal dan laporan pakar patologi cukup untuk menahan pegawai polis terbabit,” katanya dalam kenyataan.

Charles berkata, mereka yang terbabit perlu didakwa di mahkamah bebas dan mempunyai legitimasi serta tidak dimanipulasi orang berkepentingan.

“Polis tidak seharusnya menyalahgunakan kuasa dan tidak mempunyai hak untuk mendera tahanan. Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) melaporkan 721 banduan dilaporkan mati dalam tahanan, pada 2013 hingga April 2016.

Charles-Santiago-L“Ia dengan purata 18 kematian bagi setiap bulan, namun polis terus memperlihatkan kuasa berlebihan semasa penyiasatan dengan sewenang-wenangnya dan terlepas daripada tindakan undang-undang,” katanya.

Semalam, Peguam keluarga mangsa, Lathefa Koya dan N Surendran mendesak penahanan segera dan pendakwaan terhadap semua anggota polis terbabit dalam serangan Balamurugan hingga menyebabkan kematiannya.

Balamurugan meninggal dunia dalam tahanan polis, pada 8 Februari di balai polis Klang Utara dan menurut laporan berita, mangsa ditemui dalam keadaan mukanya lebam dan berdarah.

Bedah siasat pertama dijalankan di Hospital Klang menunjukkan dia meninggal dunia kerana “masalah jantung” dan keluarganya kemudian memfailkan permohonan bedah siasat kedua dilakukan. Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan permohonan itu.

Dilaporkan, kira-kira 10 anggota polis ibu pejabat Klang Utara sedang disiasat berhubung kematian Balamurugan.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan turut menyiasat kes itu.

-AA-

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Kaji semula perjanjian perdagangan antarabangsa Malaysia-Amerika

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 26 JAN: Kajian semula perjanjian perdagangan antarabangsa perlu dijalankan bagi memastikan kepentingan rakyat terus terjamin.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata, beberapa langkah efektif perlu disemak semula supaya berupaya menjaga kepentingan rakyat yang semakin terhimpit dengan arus globalisasi.

Katanya, ia termasukl pemeteraian rundingan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang dilihat ramai pihak sebagai menguntungkan syarikat korporat.

Charles-Santiago-L“Ia (perjanjian perdagangan) tidak harus hanya menjaga kepentingan korporat. Kepentingan rakyat juga penting.

“Adalah lebih baik kerajaan menyemak semula kedudukan perjanjian yang ditawarkan itu, dari Malaysia sebagai negara membangun kemudian melompat daripada satu perjanjian perdagangan ke satu perjanjian lain,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, tumpuan tersebut terarah kepada jaminan kedaulatan Malaysia supaya tidak wujudnya pelanggaran yang akhirnya menafikan hak rakyat.

Terdahulu, perjanjian TPPA dimuktamadkan selepas rundingan berkenaannya dijalankan selama tujuh tahun antara Amerika Syarikat dan Malaysia.

Bagaimanapun, Amerika mengumumkan penarikan daripada perjanjian itu selepas presiden barunya, Donald Trump menerajui kepimpinan negara berkenaan.

-NFN-

Categories
NASIONAL SELANGOR

Tubuh badan khas bantu mangsa penipuan atas talian

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 5 SEPT: Kerajaan Persekutuan digesa mewujudkan ‘Financial Scams Asset Recovery Centre’ bagi membantu mangsa penipuan khususnya membabitkan e-dagang mendapatkan kembali hak mereka.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata, keperluan itu dilihat mendesak ekoran kebanyakannya mangsa kes terbabit tidak dapat pembelaan sewajarnya.

“Pusat ini sangat penting untuk mangsa mendapatkan pembelaan dan hak mereka. Kebanyakannya mangsa datang kepada saya merupakan peniaga yang mahu membantu keluarga keluar dari kemiskinan tetapi terjerat dalam kes penipuan.

“Saya mencadangkan pusat ini ditubuhkan dan dianggotai oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dengan bantuan Bank Negara Malaysia (BNM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan serta polis,” katanya dalam sidang media di pejabatnya.

CHARLESCharles turut mahu Mahkamah Siber yang baru ditubuhkan bulan ini, mempunyai cawangan di setiap negeri bagi membantu mangsa penipuan atas talian.

Pada masa yang sama, Charles menggesa pihak polis mengambil tindakan segera berikutan banyak laporan polis sudah dilakukan di seluruh negara.

“Kerajaan perlu mengambil isu ini sebagai serius. Dasar kerajaan menggalakkan e-dagang, namun jika tidak diberi garis panduan, penguatkuasa dan badan yang boleh membantu mereka, usaha memperkenalkan e-dagang hanya sia-sia,” katanya.

Sementara itu, salah seorang mangsa yang dikenali sebagai Sue, 27, mengalami kerugian lebih RM60,000 ekoran pembelian lampin pakai buang.

Katanya, beliau mempercayai pembekal dan orang tengah kerana mereka menyediakan dokumen perniagaan sah.

“Saya menempah belian barangan sebelum ini tiga kali dan barang yang ditempah sampai ke rumah saya seperti yang dijanjikan. Namun, untuk tempahan kali keempat itu, tidak sampai.

“Mei lalu tempahan dibuat dan sehingga kini tiada sebarang traksaksi pemulangan wang dilakukan selepas barang gagal diterima,” katanya.

Beliau mendakwa pembekal utama melantik empat orang tengah untuk mencari pelanggan dan tempahan yang gagal dihantar membabitkan RM2.2 juta.

“Saya juga difahamkan pembekal utama itu merupakan seorang ‘scammer’ yang aktif menipu sejak 2005 dalam pelbagai jenis perniagaan antaranya emas, tiket pelancongan dan alat ganti motorsikal.

“Lebih teruk, orang tengah yang dilantik sebelum ini mengaku mengenali pembekal utama itu menghilangkan diri,” katanya.

-nR-

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Rahman ‘jahil’, akui Najib MO1 tapi nafi PM suspek – Charles

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 2 SEPT: Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago menyelar Pengarah Komunikasi Strategik BN, Datuk Abdul Rahman Dahlan kerana bersikap ‘jahil’ dan mengatakan Perdana Menteri Najib Abdul Razak bukan sebahagian daripada siasatan Jabatan Kehakiman (DOJ) berhubung isu 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau berkata, ini kerana Rahman mengakui ‘Malaysia Official 1 (MO1) adalah Najib tetapi menegaskan bahawa Najib tidak boleh dinamakan dalam saman sivil DOJ.

“Beliau secara terbuka mengakui MO1 adalah Najib. Namun, mengatakan Najib bukan subjek siasatan DOJ keatas dakwaan pengubahan dan pelesapan wang 1MDB. Ini menunjukkan kelemahan dan kejahilannya,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, Najib tidak dinamakan dalam saman itu kerana beliau tidak mempunyai hartanah di Amerika dibeli menggunakan wang dicuri daripada 1MDB.

“Tetapi laporan itu merujuk kepada MO1 sebanyak 36 kali dan menamakan anak tiri Najib, Riza Aziz, pembiaya yang membantu menubuhkan 1MDB, Jho Low dan Bekas Pengarah Urusan Abu Dhabi International Petroleum Investment Co, Khadem Al Qubaisi, sebagai defendan,” katanya.

Charles berkata, beberapa dakwaan di MO1 ditemui dalam Laporan Wall Street Journal pada tahun lepas ke atas AS $ 681,000,000 (RM2.6 bilion) yang disalurkan ke dalam akaun bank peribadi Najib.

Charles-Santiago-L“Tuntutan itu berkata, wang itu, dari jualan 2013 bon oleh 1MDB, dipindahkan ke dalam akaun ‘MO1’.

“Goldman Sachs mengeluarkan sejumlah wang dalam sekelip mata selepas pertemuan peribadi dengan Najib di Switzerland, juga sedang disiasat,” katanya.

Charles berkata Kerajaan AS memohon mendapatkan semula lebih AS $1 bilion nilai aset yang dibeli menggunakan wang dicuri daripada dana pembangunan negeri.

“Ini adalah penyalahgunaan sistem kewangan dalam skim pengubahan wang haram yang kompleks melibatkan pemimpin terkemuka politik, ahli perniagaan terkemuka, bank dan elit pemerintah.

“Lebih baik Rahman cuba untuk memahami laporan sebelum meneruskan kata-kata dan mengeluarkan hujah yang tidak masuk akal,” katanya.

-nR-

Categories
NASIONAL

Kecualikan GST kepada peniaga kecil

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 12 SEP: Pengecualian Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) perlu dilakukan terhadap peniaga kecil kerana ia membebankan mereka.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago, berkata kebanyakan peniaga kini berdepan kerugian ekoran jumlah pelanggan yang semakin berkurangan disebabkan kenaikan harga barang.

charles“Kerajaan tidak akan memansuhkan GST tetapi mereka boleh mengecualikannya untuk peniaga kecil yang menjual makanan atau ubat-ubatan.

“Rakyat juga perlu terus-terusan mengemukakan bantahan kerana suara mereka lebih besar dan didengari kerajaan,” katanya kepada Selangor Kini.

Beliau berkata, masalah sama turut dihadapi pemandu teksi yang terpaksa membayar lebih satu GST untuk menjalankan perusahaan mereka.

Katanya, lebih membebankan mereka kini terpaksa bersaing dengan perkhidmatan kereta sewa Uber walaupun tidak mendapat kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD).

“Sudahlah terpaksa bersaing dengan perkhidmatan lain, pendapatan mereka juga kian berkurang sehingga 30 peratus apabila GST dikuatkuasakan,” katanya.

Terdahulu, peniaga gerai makanan dan runcit menggesa kerajaan supaya menghapuskan GST dalam Bajet 2016 yang akan dibentang di Parlimen, pada 23 Oktober ini.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Isu air: Tak adil minta Azmin letak jawatan

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 29 JUN: Tidak adil bagi Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meminta Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berundur jika gagal menyelesaikan penstrukturan semula air di negeri itu.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago, berkata ketika pentadbiran Abdul Khalid dulu, beliau dilihat lebih memberi kuasa kepada Kerajaan Persekutuan berbanding Selangor berhubung isu itu.

Katanya, perjanjian yang dimeterai terdahulu juga banyak memihak kepada Kerajaan Persekutuan.

charles parlimen 01“Pandangan Abdul Khalid adalah tidak bertanggungjawab kerana ketika beliau menjadi Menteri Besar, Kerajaan Negeri sebenarnya banyak hilang kuasa pengurusan air di Selangor.

“Kerajaan Negeri hanya ada tanggungjawab mengarahkan pembangunan kepada pemaju membina Loji Rawatan Air Langat 2 dan memberi tanah, tetapi tiada kuasa menentukan teknologi mana yang boleh digunakan,” katanya kepada Selangor Kini.

Terdahulu, Abdul Khalid yang juga mantan Menteri Besar Selangor mengulangi gesaannya supaya Mohamed Azmin segera menyelesaikan penstrukturan semula air di negeri itu atau berundur daripada jawatannya.

Beliau mendakwa, Mohamed Azmin sengaja melambatkan proses pengambilalihan empat syarikat konsesi air dan gagal mengambil pelan tindakan terperinci menyelesaikan isu itu.

Bagaimanapun, kenyataan itu dibidas Mohamed Azmin yang mengatakan Abdul Khalid gagal menyelesaikan isu terbabit selama enam tahun berkhidmat sebagai Menteri Besar.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Segera muktamad isu air, elak krisis serius

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 29 JUN: Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan digesa segera memuktamadkan penstrukturan industri air Selangor demi kepentingan rakyat.

Penyelaras Gabungan Membantah Penswastaan Air (CAWP), Charles Santiago, berkata ia bagi mengelakkan rakyat berdepan krisis air yang serius terutama musim kering.

Katanya, akses utama pengurusan air masih belum dimiliki sepenuhnya oleh Kerajaan Selangor walaupun perjanjian sudah ditandatangani.

charles“Ia harus disegerakan kerana dalam tempoh seminggu ini, cuaca terlalu panas tanpa hujan dan jika berlarutan masalah bekalan air akan berlaku.

“Oleh itu, isu ini perlu diselesaikan segera,” katanya kepada Selangor Kini.

Pada masa sama, Charles yang juga Ahli Parlimen Klang, berkata beliau difahamkan Kerajaan Negeri sudah bermesyuarat bersama Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) untuk memuktamadkan penstrukturan air, pada 25 Jun lalu.

Bagaimanapun, katanya, tiada sebarang kenyataan akhbar disiarkan berhubung perkara itu, sekali gus membuktikan isu berkenaan masih belum selesai.

“Difahamkan, Kerajaan Persekutuan mula berfikir balik atau ulang kaji beberapa klausa yang diputuskan kedua pihak tahun lalu sehingga isu ini dipanjangkan.

“Saya juga diberitahu bahawa Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali akan menandatangani perjanjian untuk memuktamadkan penstrukturan air di Selangor tetapi mungkin ia ditangguhkan,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Denggi: Isytihar segera darurat, wabak menular ke organ penting

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 26 JUN: Kerajaan Persekutuan digesa mengisytiharkan darurat seterusnya meminta campur tangan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ekoran wabak denggi yang kini membimbangkan.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago, berkata jangkitan denggi kini menyerang organ penting antaranya hati, paru-paru dan buah pinggang tanpa tanda amaran yang biasa seperti demam, sakit badan dan gusi berdarah.

Katanya, wabak denggi luar biasa itu juga menyebabkan keupayaan menyelamatkan pesakit berkurangan.

charles parlimen 01“Ini amat menakutkan. Kementerian Kesihatan juga mengakui bahawa kegagalan organ dan sistem saraf kerap berlaku.

“Oleh itu, kerajaan perlu mengisytiharkan darurat untuk wabak ini dan menanganinya dengan menggunakan sumber kepakaran tempatan juga antarabangsa,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kerajaan juga perlu menyediakan pelan tindakan baru dengan segera bagi menggantikan yang sedia ada dan tidak berkesan.

Santiago berkata, amalan pengasapan kerajaan tidak berkesan memandangkan peningkatan kes sejak dua tahun lalu dan mencadangkan pelepasan pepatung di tempat pembiakan sasaran.

“Pengasapan tidak berfungsi kerana masih terdapat tempat pembiakan dan kes meningkat dari masa ke masa.

“Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga perlu mempertingkatkan pemeriksaan mengejut di setiap kawasan dan melakukan pengawasan berterusan.

DENGGI GRAFIK“Program kesedaran denggi juga perlu lebih komprehensif dilakukan di seluruh negara dan dana khas perlu disediakan bagi membentuk pasukan pakar perubatan,” katanya.

Sejak Januari hingga Mei lalu, 144 kematian dicatatkan berbanding 72 tahun lalu dan 38 dalam tempoh sama bagi tahun 2013.

Pada bulan Januari hingga Jun 2014, seramai 36,825 individu dijangkiti, manakala jumlah terus meningkat kepada 49,313 untuk tempoh sama, tahun ini.

Santiago membawa usul tergempar di Dewan Rakyat bagi membincangkan penyakit endemik tetapi ditolak Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia, minggu lalu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri S Subramaniam juga mengakui keadaan semasa membimbangkan dan kerajaan juga sedang mencari jawapan untuk menangani masalah itu.

-NFN-