Categories
NASIONAL SELANGOR

Majlis Peguam : Zahid Hamidi tidak hormati undang-undang

ZAHID HAMIDI
SHAH ALAM 9 OKT : Majlis Peguam mengecam Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana beliau menunjukkan sikapnya tidak menghormati undang-undang dan hak asasi manusia.

Presiden Majlis Peguam, Christopher Leong, berkata tindakan Zahid itu sebagai mengaibkan negara dan kerajaan ekoran pendedahan rakaman ucapan Menteri Dalam Negeri itu di Melaka oleh media baru-baru ini.

Sebelum ini, Ahmad Zahid semasa dalam satu Majlis Taklimat Keselamatan Bersama Pemimpin Masyarakat di Melaka bercakap mengenai beberapa isu sensitif antaranya melibatkan isu penjenayah masyarakat India serta mempertahankan kumpulan haram Melayu yang dikaitkan dengan aktiviti jenayah.

Majlis Peguam menegaskan tiga pengakuannya dalam ucapan tersebut adalah satu kesalahan serta tidak menghormati lunas undang-undang negara.

Ia berkaitan mengenai arahan menembak tanpa beri amaran, mengakui pindaan Akta Pencegahan Jenayah (PCA) dibuat mengikut arahannya dan juga tahanan tanpa bicara selama dua tahun.

“Kenyataan beliau memalukan dan menyebabkan negara dan kerajaan diaibkan,” kata Leong dalam satu kenyataan.

Menurut Leong, tindakan Ahmad Zahid tersebut adalah suatu kesalahan berat dan boleh didakwa mengikut Akta Hasutan.

“Menteri Dalam Negeri nampaknya melampaui batas dan kemungkinan telah melakukan kesalahan dibawah Akta Hasutan,” ujarnya lagi.

Categories
NASIONAL

ISA 2 : Hari Gelap Untuk Malaysia

bantah ISA

SHAH ALAM 3 OKT : Satu lagi detik hitam melanda sistem perundangan negara apabila Rang Undang-undang Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan) 2013 diluluskan Dewan Rakyat membenarkan penahanan tanpa perbicaraan selama dua tahun.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang dalam twitternya menganggap kelulusan pindaan akta itu merupakan ‘Hari Gelap untuk Malaysia’ yang mengembalikan akta zalim ISA yang dimansuhkan.

“PCA diluluskan pada jam 1245 pagi – ‘a black day for Malaysia! ‘ ” kata Kit Siang.

Sebelum ini, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) diperkenalkan dan dikuatkuasakan pada 1 Ogos 1960 adalah untuk menangani penentangan bersenjata Komunis.

Pakatan Rakyat (PR) membantah pindaan akta berkenaan atas alasan ianya menyalahi hak asasi manusia.

Selain pemimpin politik, anggota badan pertubuhan bukan kerajaan dari Suara Rakyat Malaysia (Suaram) turut membantah pindaan akta berkenaan.

Kumpulan berkenaan turut mengadakan demonstrasi di perkarangan Parlimen minggu lalu dan menyerahkan memorandum bantahan mereka kepada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Draf pindaan itu membenarkan penahanan selama dua tahun tanpa perbicaraan dengan suspek tidak mempunyai hak untuk diwakili oleh peguam undang-undang dalam mana-mana siasatan.

Categories
NASIONAL

PCA menyerupai ISA 2.0, bantahan ke Parlimen

bantah ISA

KUALA LUMPUR, 30 SEPT: Aktivis hak asasi manusia hari ini mengadakan bantahan di perkarangan Parlimen terhadap pindaan Akta Pencegahan Jenayah (PCA) yang memperuntuk penahanan individu tanpa bicara.

Sambil membawa plakad “tarik balik PCA”, “tarik balik akta zalim”, kumpulan berkenaan turut menggelarkan akta berkenaan sebagai Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 2.0.

“Kita tidak perlukan akta seperti ini untuk membanteras jenayah, cukup dengan menyediakan fasiliti kepada anggota polis untuk menentang jenayah berat.

“Kita raikan pemansuhan ISA, namun kurang dari tempoh setahun akta seumpamanya diperkenalkan kembali,” kata Pengerusi Bersama Bersih 2.0, Datuk S Ambiga dipetik The Malaysian Insider.

Selepas sejam, wakil Ahli Parlimen Pakatan Rakyat kemudian membawa wakil kumpulan aktivis itu ke Parlimen untuk menyerahkan memorandum bantahan kepada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Zahid ‘cabar’ Waythamoorthy letak jawatan Timb. Menteri

gambar hiasan
gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 23 OGOS: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencabar Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri,P. Waythamoorthy supaya berhenti memegang jawatannya sekarang berikutan tidak puas hati dengan tindakan pihak polis.

Cabaran Zahid ekoran Waythamoorthy mempersoalkan tindakan pihak polis berhubung kes tembakan ke atas lima penjenayah yang disyaki ahli kongsi gelap 04 di Pulau Pinang Ahad lalu.

Menurut Zahid sebagai seorang anggota kerajaan Waythamoorthy tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan dasar yang ditentukan kerajaan.

“Jangan ingat beliau masih lagi pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) saya cadangkan dia (Waythamoorthy) berhenti (memegang jawatan timbalan menteri) kalau nak bercakap di luar dari bidang dia.” kata Zahid yang dipetik dari laporan media cetak arus perdana.

Waythamoorthy sebelum ini mempersoalkan tindakan pihak polis kerana mendakwa sukar mempercayai berlaku kejadian tembak -menembak selepas melihat gambar mayat yang mati ditembak.

Sebelum ini juga Pakatan Rakyat juga turut membuat bantahan berikutan persepsi yang sama dengan apa yang dicetuskan Waythamoorthy. – mza

Categories
NASIONAL

DAP Mesyuarat Esok Bincang Pembatalan CEC

DAP logo 01

SHAH ALAM 30 JULAI : DAP akan mengadakan mesyuarat esok bagi membincangkan kes pembatalan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu oleh Suruhanjaya Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Setiausaha Pengaturan Anthony Loke Siew Fook ketika dihubungi TVSelangor hari ini enggan mengulas lanjut mengenai perkara tersebut tetapi menyatakan keputusan akan dibuat dalam mesyuarat itu.

“Mesyuarat akan dibuat esok tetapi setakat ini kita belum menerima sebarang surat (mengenai pembatalan CEC dari ROS),” katanya.

Portal Malaysiakini melaporkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah mengumumkan keputusan ROS tersebut semalam.

Bagaimanapun perkara itu belum dimaklumkan kepada DAP secara bertulis.

Sebelum ini, ROS dilaporkan menyiasat pemilihan CEC parti pada Disember lalu atas dakwaan kesilapan dalam pengundian dan penjumlahan undi.

Categories
NASIONAL

PKR Dedah Video Zahid Hamidi Langgar Akta Pilihan Raya

rafizi-vs-zahid

PETALING JAYA 12 JUN : PKR hari ini mendedahkan video yang menunjukkan Ahli Parlimen Bagan Datok, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dalam sidang media di Ibu Pejabat parti itu di sini.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata daripada video itu, dua petisyen difailkan secara berasingan untuk mengisytiharkan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) bagiĀ  kerusi itu sebagai tidak sah.

Petisyen berasingan itu difailkan di Mahkamah Tinggi Malaya di Ipoh pagi tadi oleh bekas calon parlimen Bagan Datok, Madhi Hasan dan pengundi, Azmi Sulaiman.

Hadir sama Mahdi dan peguam bela , Edmund Bon Tai Soon.

Mereka turut menyiarkan tiga video yang berkaitanĀ  Zahid Hamidi melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Dalam video terbabit, pada 19 April menunjukkan bukti bahawa responden secara tidak langsung melalui seseorang, S.Ramalingam memberikan wang tunai RM100 dan lima kampit beras satu kilogram (KG) dengan logo cetakan Barisan Nasional kepada 1,000 orang yang hadir di Dewan Sanmarka, Hutan Melintang.

Manakala dua video lain Zahid mengakui melantik dan mengambil 24,000 orang jentera dengan bayaran wang tunai dan pemberian beras.

Rafizi mendakwa bagi kesalahan-kesalahan itu, responden (Zahid) dikatakan menyalahi undang-undang di bawah Seksyen 21 (1), Seksyen 21 (2) Bahagian IV atas pengambilan kerja dan Seksyen 10 (a) bahagian III serta Seksyen 32 (c) atas kesalahan menyogok dan rasuah.

” Video yang ditunjukkan itu jelas membuktikan bahawa responden melanggar kesalahan pilihan raya.

“Zahid merasakan beliau pandai kononnya mengatakan memberikan duit kepada jentera, walhal undi yang beliau dapat hanya 17,000, maknanya 7,000 undi lagi menunjukkan jenteranya tidak mengundi beliau,” sindir Rafizi.

Rafizi menambah bukti-bukti itu sebenarnya menunjukkan bahawa Zahid membelanjakan lebih RM2 juta untuk memberi ‘gula-gula’ itu.

“Setakat hari ini, PKR memfailkan 19 petisyen, kita akan berkongsi maklumat berkenaan petisyen dari masa ke semasa. Bukti-bukti ini akan dibawa ke mahkamah,” katanya.

Dalam PRU 13 lalu, Zahid memenangi kerusi parlimen itu dengan undian sebanyak 17,176 sekaligusĀ  menewaskan Madhi dengan majoriti 2,108.

Difahamkan petisyen itu akan juga akan dihantar kepada Zahid pada masa yang akan ditentukan kelak.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Kit Siang Dakwa Menteri Dalam Negeri Ada Kes Jenayah – BULETIN 13

Sinopsis

BULETIN 13 Untuk 06062013

Saksikan secara langsung “BULETIN 13” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT. Pelbagai info dan maklumat yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Penasihat DAP, Lim Kit Siang mengingatkan rakyat Malaysia bahawa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi masih tidak membersihkan namanya daripada tuduhan serangan yang disabitkan ke atasnya pada 2006.

2. Lim Kit Siang menyambut baik pendakwaan terhadap anggota polis yang terlibat dalam kes kematian N Dharmendran.

3) Kerajaan Negeri Selangor akan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam masa terdekat bagi membincangkan kerjasama dan halatuju pembangunan sukan di negeri itu.

Categories
NASIONAL

27 NGO Desak Kerajaan Umno-BN Hentikan Penahanan Politik, Bebaskan Adam Adli

NGO serah memo KDN 02

PUTRAJAYA 22 MEI : Sebanyak 27 Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang terdiri daripada Pertubuhan Hak Asasi, pertubuhan pekerja dan persatuan masyarakat menggesa Kerajaan Umno-BN menghentikan penahanan rakyat yang mahu berhimpun secara aman.

Kumpulan NGO tersebut mahu hak rakyat untuk berhimpun bagi menuntut hak mereka seperti yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan dihormati oleh Kerajaan Umno-BN.

Tuntutan tersebut dinyatakan di dalam sebuah memorandum yang diserahkan kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di sini.

Tindakan susulan daripada penahanan aktivis mahasiswa Adam Adli Sabtu lalu dan pendakwaan terhadap Adun Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad.

NGO serah memo KDN 01Sebelum ini Ahmad Zahid juga menyatakan polis akan bertindak terhadap sesiapa sahaja yang menganjurkan himpunan yang membantah Kerajaan Umno-BN.

Aktivis Suara Rakyat Malaysia (Suaram), S. Arutchelvan kumpulan tersebut mendesak agar Adam dibebaskan serta merta dan semua tuduhan ke atas beliau digugurkan.

Katanya, penggunaan undang-undang zalim ke atas rakyat yang hanya mengamalkan hak demokrasi mereka akan memberi imej buruk kepada Polis dan negara.

“Kerajaan harus menjalankan tanggungjawab secara adil dan saksama dan pihak Polis harus dibenarkan menjalankan tanggungjawab mereka secara professional dan berlandaskan undang-undang,” kata beliau.

Memorandum itu diserahkan wakil 27 NGO itu kepada Timbalan Setiausaha Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam Kementerian Dalam Negeri, Shahril Faizalis di Bangunan KDN di sini.

Jelas Arutchelvan lagi, tindakan Polis dan Peguam Negara meminta reman selama tujuh hari ke atas Adam adalah satu tindakan yang bukan bertujuan menjalankan satu siasatan yang adil.

“Penahanan berterusan penganjur perhimpunan aman ini juga menjejaskan imej Perdana Menteri yang sebelum ini mahu melakukan transformasi politik di mana hak rakyat untuk bersuara akan dihormati.

“Kami mendesak Datuk Seri Zahid Hamidi mengambil langkah bijak untuk meredakan kemarahan rakyat dan menghentikan penindasan politik serta merta,” kata Arul.

Turut sama dalam serahan memorandum itu, Pengarah Pilihanraya Pemuda PAS, Sany Hamzan dan Naib Pengerusi Amnesty International Malaysia, Faizal Mustafa.

Khalid Samad : Beli Senjata Tidak Berkualiti, Teguran Sultan Johor Munasabah

SHAH ALAM 11 SEPT : Teguran Sultan Johor, Sultan Ibrahim berkenaan isu pembelian senjata yang tidak berkualiti dengan harga yang tidak munasabah adalah sangat tepat, kata Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad.

Teguran ini katanya mengesahkan bahawa Kementerian Pertahanan merupakan antara ‘lubuk emas’ untuk berlaku penyelewengan dalam sesebuah kerajaan.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor berkata, hal penyelewengan tersebut menjadi mudah kerana pembelian peralatan seperti senjata dan sebagainya adalah sulit.

“Terdapat kajian mengenai perkara ini dan memang menurut kajian, jabatan pertahanan sangat mudah terdedah kepada penyelewengan.

“Ini kerana, pembelian adalah sulit dan kebanyakan orang awam tidak tahu dan asing dengan hal tender, spesifikasi peralatan dan sebagainya,” ujar beliau yang dihubungi melalui panggilan telefon sebentar tadi.

Katanya pekara ini bukan asing kerana sebelum ini negara dikejutkan dengan isu pembelian Scorpene, jet pejuang dan baru-baru ini pula isu pembelian APC (Armored Personnel Carrier) timbul.

“APC Malaysia dibeli dengan harga tiga kali ganda daripada yang dibeli oleh Amerika Syarikat sendiri, ini juga sesuatu yang harus diberi perhatian dan disiasat,” dakwanya.

Beliau menambah, sebarang usaha untuk menyiasat mengenai penyelewengan peringkat atasan seperti ini perlu dilakukan oleh sebuah kerajaan yang telus, berintegriti dan berkredibiliti.

“Masalah dengan kerajaan Umno-BN, apabila orang tegur, dia kata dia akan siasat, lakukan tindakan dan sebagainya.

“Ini merupakan sesuatu perkara atau janji yang kita biasa dengar, namun akhirnya sama sahaja tiada perubahan,” jelas Khalid.

Sultan Johor pada Sabtu lepas melahirkan rasa dukacita kerana kelengkapan ketenteraan yang dibekalkan kepada Kor Gerak Khas tidak mencukupi, tidak bermutu serta tidak menepati spesifikasi.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengeluarkan kenyataan semalam untuk menyiasat sendiri teguran yang dibuat Sultan Johor itu.