Categories
NASIONAL

Polis Mahu “Lakar Sejarah” Kerjasama Dengan Penganjur Himpunan 12 Jan

saifuddin ceramah grey 01

SHAH ALAM 8 JAN : Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar  berjanji bahawa polis akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada penganjur Himpunan Kebangkitan Rakyat agar perhimpunan itu dapat berlangsung secara aman dan sejahtera.

Jaminan tersebut disambut dengan optimis dan terbuka oleh pihak penganjur yang mengadakan pertemuan selama sejam setengah dengan Ismail di Bukit Aman petang tadi.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail yang menyertai pertemuan itu berkata, pihak polis kali ini berjanji untuk memainkan peranan sebagai fasilitator.

Ini selaras dengan garis panduan yang ditetapkan dalam Akta Perhimpunan Aman 2011 bagi memastikan kekecohan dahulu tidak berulang.

“Tan Sri Ismail sendiri mengajak kita bersama-sama untuk mencipta satu ‘historical moment’ dalam negara bahawa polis dan penganjur boleh bekerjasama dalam satu perhimpunan aman.

“Mereka juga mengaku kesilapan dahulu dan bertekad untuk belajar daripada kelemahan dan tidak mengulanginya lagi selepas ini,” jelas Saifuddin sewaktu dihubungi TVSelangor hari ini.

Himpunan yang digerakkan gagasan Pakatan Rakyat itu bakal menarik satu juta peserta pada Sabtu ini.

Pihak penganjur masih lagi memohon kepada Permodalan Nasional Berhad untuk menggunakan Stadium Negara, tetapi sehingga kini, tiada maklumbalas dari PNB.

Mengulas mengenai lokasi perhimpunan yang bakal berlangsung pada 12 Januari ini, Saifuddin yang juga MP Machang berkata sehingga kini mereka tidak menerima sebarang berita berhubung kelulusan untuk menggunakan Stadium Merdeka.

“Kita akan tunggu sehingga jam 1 tengah hari esok, jika masih tiada jawapan, kita akan mengumumkan lokasi himpunan dalam satu sidang media pada 4 petang esok di Ibu Pejabat PAS.

“Ketua Polis juga ada menanyakan mengenai perkara ini, dan kita beritahu beliau bahawa kita akan maklumkan kepada pihaknya sejurus kita mendapat satu keputusan muktamad esok,” tambahnya lagi.

Selain Saifuddin, pemimpin Pakatan Rakyat yang hadir bersama mesyuarat Ketua Polis Negara petang tadi ialah Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, Ahli Jawatankuasa DAP Pusat, Datuk Teng Chang Kim serta aktivis NGO Bersih Maria Chin Abdullah dan Hishamuddin Rais.

Ismail pula diiringi Timbalannya, Datuk Seri Khalid Abu Bakar, Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Salleh Mat Rashid serta pegawai-pegawai cawangan khas Bukit Aman.

Categories
SELANGOR

Penyata Pendengaran Awam SELCAT Diedarkan Isnin

SHAH ALAM, 21 NOV : Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Datuk Teng Chang Kim memaklumkan, lima laporan penyata Jawatankuasa Pilihan Mengenai Keupayaan Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) telah dibentangkan di dalam sidang dewan kali ini.

Menurutnya, laporan tersebut berkenaan rumusan yang dibuat Jawatankuasa Selcat selepas semua pendengaran awam sepanjang tahun ini.

Beliau turut memaklumkan, laporan penuh dalam bentuk buku masih belum sempat dicetak dan hanya akan diedarkan pada Isnin hadapan.

“Untuk makluman, Jawatankuasa Selcat telah membentangkan lima penyata berkaitan pendengaran awam di dewan (DNS) (pada Isnin lalu),” katanya ketika sidang media.

Lima penyata tersebut adalah tentang Pembangunan Tanah Padang Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Kelana Jaya dan Rancangan Tempatan Petaling Jaya 2 (RTPJ2), dan siasatan ke atas Urusniaga Perlombongan Pasir Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB).

Selain itu, terdapat juga penyata mengenai pendengaran berkaitan perolehan penggunaan dan pulangan pinjaman RM 90.3 juta oleh Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor Agro Industry Sdn Bhd (PAISB) daripada Kementerian Kewangan, kejadian banjir Hulu Langat dan Klang Selatan, dan Laporan audit 2010 pengurusan kewangan Yayasan Selangor.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Status Tanah Berubah Selepas Jumpa Pemaju?

SHAH ALAM 28 JUN : SELCAT yang bersidang hari ini didedahkan bahawa kehadiran pemaju berjumpa dengan bahagian Perancang Bandar Majlis Bandaraya Petaling Jaya(MBPJ) didakwa mengubah status kawasan ‘zoning’ yang sudah digazetkan sebagai rekreasi dan tanah lapang di padang SS7 Kelana Jaya.

Kenyataan saksi daripada bekas Pengarah Perancangan Bandar MBPJ, Noraini Roslan dan Penolongnya, Faiwos Abdul Hamid menimbulkan spekulasi bahawa keputusan penukaran kawasan zoning dipengaruhi oleh pihak pemaju.

Difahamkan, arahan penukaran status berlaku selepas pemaju hadir pada 24 Ogos tahun lalu bagi membuat permohonan memajukan tanah berkenaan dan status tanah itu berubah selepas perjumpaan berkenaan tetapi tiada tarikh khusus yang dinyatakan bila ia berubah.

Oleh yang demikian, Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Keupayaan Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT), Datuk Teng Chang Kim meminta Noraini menyediakan dokumen berkaitan bagi mengetahui tarikh dan siapa yang terbabit dalam pertukaran status tanah tersebut.

Khamis depan ditetapkan oleh Teng bagi Noraini mengemukakan maklumat tersebut.

Sebelum itu, Noraini dalam kenyataannya mendakwa beliau memperolehi maklumat berkenaan potensi kawasan itu untuk dimajukan daripada pihak pemaju ketika beliau masih memegang jawatan itu.

Menurutnya, pemaju berkenaan membuat permohonan untuk memajukan kawasan tersebut namun pada ketika itu, zoning masih lagi diwartakan sebagai kawasan rekreasi dan tanah lapang.

Bagaimanapun, ketika disoal Teng, mengapa permohonan itu wujud dan perlu dilayani, Noraini sekadar mendiamkan diri.

Ekoran itu, seorang lagi ahli SELCAT, Hannah Yeoh mempersoalkan samada perjumpaan bersama pihak pemaju itu yang mempengaruhi keputusan penukaran status zoning terbabit kepada tanah komersial.

“Jadi, selepas kamu berjumpa dengan pemaju, pemaju yang bagi maklumat pada kamu bahawa tanah ini adalah tanah komersial dan boleh dimajukan?

“Ini kerana selepas perjumpaan itu barulah timbul cetakan Rancangan Tempatan Petaling Jaya 2(RTPJ2) versi MBPJ yang mengatakan kawasan itu sebagai komersial berbeza dengan apa yang telah diwartakan sebelum ini,” kata Hannah.

Bagaimanapun tiada jawapan untuk soalan itu walaupun berulang kali disoalkan.

SELCAT juga dimaklumkan Datuk Bandar MBPJ tidak dijemput dalam mesyuarat penyelarasan pindaan bersama pihak Jabatan Perancangan Bandar dan Desa(JPBD).

Noraini menjawab Datuk Bandar tidak perlu dimaklumkan kerana menurut beliau, pada peringkat perbincangan terbabit hanya melibatkan pegawainya sahaja selain menganggap ia tidak penting untuk dimaklumkan.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Isu PTPTN: Kerajaan BN Takut dengan Keberanian, Keupayaan PR

SHAH ALAM, 8 JUN: Terkejut dengan keberanian dan keupayaan Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor yang bersedia untuk menampung pembiayaan pendidikan pelajar Universiti Selangor (Unisel) selain desakan pelbagai pihak, akhirnya Kerajaan Pusat akur dan menarik semula pembekuan pinjaman Perbadanan Tinggi Pinjaman Tabung Nasional (PTPTN).

Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Datuk Teng Chang Kim dalam reaksinya berkata, tindakan bolak-balik (flip flop) Kerajaan Pusat ini jelas menunjukkan mereka sebenarnya takut dengan keupayaan Kerajaan Negeri yang akhirnya membuatkan pemimpin Umno-BN menjilat air liur mereka semula.

Tindakan kononnya ingin ‘menguji’ Kerajaan Negeri sebenarnya mampu menjadi ‘senjata makan tuan’ kepada Umno-BN memandangkan sebelum ini mereka begitu mendabik dada mampu merampas kembali Selangor dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

“Mereka menguji sehari dan mendapati kerajaan Pakatan Rakyat adalah serius dalam perkara ini. Ini membuktikan pentadbiran Pakatan Rakyat memang mampu untuk membiayai perbelanjaan di peringkat IPTA ini.

“Atas sebab itu mereka terpaksa membuat keputusan untuk menarik balik keputusan sebelum ini,” katanya.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid dalam satu kenyataan semalam mengumumkan, pencairan aset hartanah seluas 500 ekar yang diperolehi hasil penyusunan semula hutang TALAM yang dianggarkan bernilai RM30 juta bagi membantu pelajar yang teraniayai akibat dari tindakan kerajaan Umno-BN membekukan PTPTN.

Tidak sampai 24 jam selepas itu, pihak PTPTN mengumumkan penarikan semula pembekuan pinjaman tersebut yang menyaksikan Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) turut menerima nasib sama.

Sebelum ini beberapa pimpinan Umno-BN dengan lantang memuji langkah sekatan yang dikenakan terhadap dua IPT milik kerajaan Selangor namun Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berpendirian sebaliknya.

Teng turut menegaskan, Kerajaan Negeri tidak mempunyai sebarang masalah untuk membiayai pendidikan di negeri ini sekiranya pembayar cukai membuat bayaran kepada Kerajaan Negeri dan bukannya kepada Kerajaan Pusat.

Katanya, Pakatan Rakyat tetap realistik dan optimis untuk melaksanakan pendidikan percuma sekiranya berjaya menakluki Putrajaya dalam PRU-13.