Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB: Utama dos penggalak kepada golongan berisiko dijangkiti wabak

KLANG, 24 OKT: Penerima vaksin jenis Sinovac di bawah program Vaksin Selangor (Selvax) boleh mendapatkan dos penggalak vaksin Covid-19 jenis Comirnaty (Pfizer-BioNTech), kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari bagaimanapun mencadangkan pemberian dos penggalak itu diberi kepada golongan rentan, warga emas dan petugas barisan hadapan yang berdepan risiko jangkitan wabak.

Menurutnya, kesan sampingan mungkin membabitkan kelompok awal penerima vaksin tetapi data di luar negara menunjukkan keberkesanan mencapai sehingga 87 peratus dan penggunaannya turut disahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Mereka yang ingin dos penggalak boleh dapatkan secara percuma di program suntikan yang dilaksanakan kerajaan pusat, setiap vaksin mempunyai selang waktu sehingga enam bulan sebelum keberkesanannya berkurang.

“KKM putus untuk beri kepada penerima Sinovac, tetapi bagi saya lebih baik suntik golongan rentan, warga emas, doktor dan barisan hadapan terlebih dahulu,” katanya selepas meninjau hari pertama Selvax Remaja di Dewan Serbanguna Majlis Perbandaran Klang Pandamaran Jaya di sini, hari ini.

Categories
AGENDA NASIONAL

Dos penggalak Pfizer diberi kepada penerima vaksin Sinovac mulai esok

KUALA LUMPUR, 21 OKT: Kementerian Kesihatan (KKM) akan melanjutkan pemberian dos penggalak vaksin Covid-19 jenis Comirnaty (Pfizer-BioNTech) kepada individu yang telah lengkap dos vaksin Sinovac, sekurang-kurangnya selepas tiga bulan penerimaan dos kedua vaksin itu.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata pemberian dos penggalak secara heterologous itu adalah secara penggunaan off-label dan akan diberikan kepada penerima vaksin Sinovac yang layak mulai esok secara berfasa di seluruh negara.

“Sebagai permulaan, dos penggalak ini akan diberikan kepada individu berumur 60 tahun ke atas berdasarkan saranan Strategic Advisory Group of Expert (SAGE) on Immunisation daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang bersidang pada 4 hingga 7 Okt lepas.

“Pemberian itu akan dijadikan sebagai cabang kajian dalam kajian The Real World Evaluation of Covid-19 Vaccination (RECoVaM) dan kajian kesan serius selepas vaksinasi (SAFECOVAC), iaitu bagi semua penerima dos penggalak,” katanya pada sidang media hari ini.

Khairy berkata pemberian dos penggalak itu dilakukan secara sukarela dan percuma di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dengan objektif memastikan tempoh perlindungan optimum kepada penerima vaksin Covid-19 di Malaysia.

Katanya inisiatif itu akan diterajui oleh pengamal perubatan swasta di bawah penyelarasan Protect Health Corporation Sdn Bhd.

“Individu yang layak akan dimaklumkan melalui aplikasi MySejahtera dan melalui pesanan ringkas kepada nombor telefon yang berdaftar bagi individu yang tidak mempunyai MySejahtera.

“Kaedah janji temu pemberian dos penggalak akan ditambah baik dari semasa ke semasa dan tidak lama lagi penerima vaksin boleh membuat janji temu melalui sistem yang sedang dibangunkan oleh KKM,” katanya.

Terdahulu Menteri Kesihatan itu berkata pelaksanaan pemberian dos penggalak telah dimulakan di seluruh negara pada 13 Okt lepas menggunakan vaksin Comirnaty, melibatkan seramai 47,728 penerima setakat 19 Okt lepas.

Beliau berkata ketika ini pemberian dos penggalak diberikan kepada penerima vaksin Comirnaty sekurang-kurangnya enam bulan yang lepas dengan keutamaan kepada anggota barisan hadapan (kesihatan dan keselamatan), warga emas berusia 60 tahun dan ke atas dan individu dengan komorbid.

Mengenai situasi pandemik bagi minggu epid ke-41 (10 hingga 16 Okt), Khairy berkata jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital awam dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) awam bagi Zon Tengah (Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya) mula menunjukkan tren meningkat selepas kebenaran merentas negeri diberikan pada 11 Okt lepas.

Beliau berkata situasi sama turut berlaku di Sarawak, terutamanya bagi pesakit kategori tiga, empat, dan lima, selepas kebenaran rentas negeri diberikan.

“Begitu juga trend kemasukan pesakit Covid-19 kategori tiga, empat, dan lima ke hospital awam di Zon Selatan, dengan Negeri Sembilan mula menunjukkan trend meningkat bermula minggu epidemik ke-40,” katanya.

Sementara itu, Khairy turut mengumumkan pelancaran Strategi Pengujian Covid-19 Kebangsaan yang akan menelitikan strategi ujian untuk Covid-19 yang lebih jelas seperti konteks apa yang diperlukan untuk melakukan ujian Covid-19.

Katanya dokumen itu akan dimuat naik di dalam laman sesawang KKM pada pagi esok.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pengarah Kesihatan Negeri individu awal terima suntikan dos penggalak

SHAH ALAM, 14 OKT: Pengarah Kesihatan Negeri Selangor Dato’ Dr Shaari Ngadiman menjadi individu terawal di negeri ini menerima suntikan penggalak vaksin Covid-19 hari ini.

Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) menerusi Facebook memaklumkan pemberian dos penggalak itu bagi memastikan perlindungan yang lebih optimum kepada penduduk terutama golongan berisiko tinggi.

Menyusuli Dr Shaari, seramai 29 petugas kesihatan lain di Hospital Shah Alam pula menerima suntikan penggalak tersebut.

Pengarah Kesihatan Negeri Selangor Dato’ Dr Shaari Ngadiman menunjukkan isyarat bagus ketika menerima suntikan penggalak vaksin Covid-19 hari ini. Foto Facebook Jabatan Kesihatan Negeri Selangor

Semalam, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin memaklumkan kementerian akan memulakan dos penggalak bagi warga emas dan anggota barisan hadapan yang telah menerima dos lengkap sekurang-kurangnya selepas enam bulan.

Khairy berkata pemberian dos penggalak dilakukan secara sukarela dan percuma di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Pemberian dos penggalak membabitkan penerima dos lengkap vaksin Comirnaty keluaran syarikat Pfizer-BioNTech dahulu dan individu terbabit akan menerima vaksin yang sama (Comirnaty).

Categories
AGENDA NASIONAL

Dos penggalak mula diberi kepada warga emas, barisan hadapan

PUTRAJAYA, 13 OKT: Kementerian Kesihatan (KKM) akan memulakan dos penggalak vaksin Covid-19 bagi warga emas dan anggota barisan hadapan yang telah menerima dos lengkap sekurang-kurangnya selepas enam bulan, kata Menterinya Khairy Jamaluddin.

“Individu yang layak akan dimaklumkan melalui aplikasi MySejahtera. Bagi individu yang tidak mempunyai aplikasi MySejahtera, pemakluman akan dibuat melalui pesanan ringkas atau panggilan telefon oleh pusat pemberian vaksin (PPV),” katanya.

Dos penggalak merupakan dos tambahan yang perlu diberikan kepada seseorang yang belum mendapat perlindungan mencukupi selepas vaksinasi lengkap namun perlindungan tersebut menurun dari semasa ke semasa.

Khairy dalam satu kenyataan hari ini berkata pemberian dos penggalak dilakukan secara sukarela dan percuma di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

“Objektif pemberian dos penggalak vaksin Covid-19 adalah untuk memastikan tempoh perlindungan yang optimum diperoleh oleh penerima vaksin Covid-19 di Malaysia,” katanya.

Mengenai pelaksanaan pemberian dos penggalak vaksin itu, Khairy berkata klinik swasta akan memberikan vaksin kepada anggota barisan hadapan serta warga emas berumur 60 tahun dan ke atas.

Fasiliti kesihatan kerajaan pula akan memberikan vaksin kepada anggota kesihatan masing-masing manakala fasiliti kesihatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi anggota barisan hadapan ATM, katanya.

Beliau berkata anggota kesihatan swasta boleh mendapatkan dos penggalak daripada fasiliti masing-masing bergantung kepada persetujuan Jabatan Kesihatan Negeri.

Khairy berkata pemberian dos penggalak akan melibatkan penerima dos lengkap vaksin Comirnaty keluaran syarikat Pfizer-BioNTech dahulu dan individu terbabit akan menerima vaksin yang sama (Comirnaty).

Ini kerana hanya vaksin Comirnaty yang telah mendapat kelulusan bersyarat oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) pada 8 Okt lepas, katanya.

Khairy berkata pemberian dos tambahan pula akan diberikan kepada individu yang mempunyai imuniti rendah seperti pesakit kanser, penerima organ dan pesakit buah pinggang yang menjalani rawatan dialisis memandangkan pemberian dos lengkap tidak cukup untuk memberikan perlindungan optimum kepada mereka.

“Dos tambahan ini diberikan sekurang-kurangnya 28 hari selepas penerimaan dos lengkap vaksin Covid-19,” katanya.

Pemilihan vaksin bergantung kepada kelulusan indikasi penggunaan oleh pakar perubatan merawat serta bekalan vaksin yang tersedia sama ada daripada jenis yang sama (homologous) atau berlainan (heterologous) dengan dos terakhir, katanya.

“Pemberian dos tambahan ini akan diberikan di fasiliti kesihatan terpilih di bawah pemantauan pakar perubatan,” katanya.

Khairy berkata KKM juga merancang untuk memulakan kajian pemberian dos penggalak bagi jenis vaksin yang berlainan.

Kajian itu akan dilaksanakan di Sarawak bulan depan yang juga akan diperluaskan ke negeri lain selepas mendapat kelulusan oleh Jawatankuasa Etika Penyelidikan Perubatan (MREC), katanya.

“KKM memberi jaminan sekali lagi bahawa bekalan vaksin di Malaysia mencukupi bagi perlaksanaan pemberian dos tambahan dan dos penggalak vaksin Covid-19,” katanya yang menggalakkan individu yang layak supaya mengambilnya bagi perlindungan optimum daripada jangkitan Covid-19.

PICK bermula 24 Feb lepas sebagai antara langkah mengawal pandemik Covid-19 dan sehingga 12 Okt, sebanyak 94.9 peratus populasi dewasa telah menerima satu dos vaksin Covid-19 manakala 90.6 peratus populasi dewasa telah menerima dos lengkap.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pakar WHO syor golongan bermasalah sistem imun diberi dos penggalak

GENEVA, 12 OKT: Pakar Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Isnin mengesyorkan dos penggalak vaksin Covid-19 diberikan kepada golongan yang mengalami masalah sistem imun terkompromi (keadaan sistem imun defektif) pada tahap sederhana dan teruk, lapor Xinhua.

Selepas perbincangan empat hari pada minggu lalu, Kumpulan Pakar Strategi Penasihat Imunisasi WHO (SAGE) mengesyorkan agar kumpulan itu menerima dos ketiga menggunakan mana-mana vaksin dalam Senarai Penggunaan Kecemasan WHO kerana mereka “cenderung untuk kurang menunjukkan tindak balas yang sepatutnya terhadap siri vaksinasi standard dan berisiko tinggi terkena penyakit Covid-19 yang teruk. ”

Sejak akhir September, beberapa vaksin Covid-19 telah disahkan oleh Penyenaraian Penggunaan Kecemasan WHO, termasuk Pfizer-BioNTech, Janssen, Moderna, Sinopharm, Sinovac, AstraZeneca, dan Covishield. SAGE mengatakan pihaknya juga telah mengkaji COVAXIN, yang dihasilkan oleh Bharat Biotech di India, dan cadangan dasar akan dikeluarkan setelah vaksin berkenaan diluluskan oleh Penyenaraian Penggunaan Kecemasan WHO.

Menurut pakar WHO, dos ketiga vaksin virus tidak aktif Sinovac dan Sinopharm harus diberikan kepada mereka yang berusia lebih 60 tahun, kata pakar WHO. Sementara itu, penggunaan vaksin heterologi (atau virus hidup) untuk dos tambahan juga boleh disyorkan berdasarkan pertimbangan bekalan dan akses vaksin.

“Semasa melaksanakan cadangan ini, negara-negara harus menyasarkan untuk memaksimumkan liputan dua dos kepada penduduk terlebih dahulu, dan kemudiannya memberikan dos ketiga, dimulakan dengan golongan paling berusia,” kata SAGE.

WHO sebelumnya telah meminta moratorium global untuk dos penggalak Covid-19, untuk memastikan pengedaran vaksin yang lebih adil di seluruh dunia bagi membolehkan setiap negara memvaksinasi sekurang-kurangnya 40 peratus daripada penduduknya.

Minggu lalu, WHO mengumumkan inisiatif untuk memvaksinasi 40 peratus penduduk setiap negara pada akhir 2021, dan 70 peratus pada pertengahan 2022. Langkah ini akan mengutamakan penghantaran vaksin ke negara berpendapatan rendah, terutamanya di Afrika.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tidak wajib, warga emas, petugas kesihatan disaran ambil dos penggalak

SHAH ALAM, 7 OKT: Kerajaan persekutuan menyarankan kumpulan tertentu seperti warga emas dan petugas barisan hadapan mengambil dos penggalak vaksin Covid-19 untuk mengekalkan tahap imuniti mereka.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata dos berkenaan tidak wajib dan tidak akan menjejaskan status lengkap vaksin seseorang individu.

“Kita akan tawarkan dos penggalak kepada kumpulan yang kita rasa layak menerimanya tetapi ia bukan wajib.

“Kita tidak akan paksa tapi kita sangat mengesyorkan, enam bulan selepas dos kedua,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata, dos penggalak diberikan memandangkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati terdapat sedikit penurunan respon imun daripada vaksin yang diberi sebelum ini.

Sarawak dilaporkan akan memulakan pemberian dos penggalak pada bulan ini sekali gus menjadi negeri pertama yang memulakan inisiatif berkenaan.

Khairy berkata KKM menyediakan garis panduan klinikal mengenai pelaksanaan pemberian dos penggalak dan ia akan memberi fokus kepada golongan berisiko tinggi berusia 60 tahun ke atas, serta mereka yang mempunyai komorbid serius.

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Khairy: Sarawak negeri pertama beri dos penggalak mula Oktober

KUCHING, 26 SEPT: Sarawak akan memulakan pemberian dos penggalak vaksin Covid-19 pada bulan Oktober ini sekali gus menjadi negeri pertama yang memulakan inisiatif berkenaan, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan (KKM) sedang menyediakan garis panduan klinikal mengenai pelaksanaan pemberian dos penggalak vaksin Covid-19 itu, dan ia akan memberi fokus kepada golongan berisiko tinggi berusia 60 tahun ke atas, serta mereka yang mempunyai komorbid serius.

Menurutnya Sarawak akan menjadi negeri pertama memulakan program pemberian dos penggalak vaksin itu kerana ia merupakan negeri terawal menyelesaikan program vaksinasi.

“Antara yang akan kita sediakan dalam garis panduan klinikal itu nanti adalah berkenaan jenis vaksin yang akan diberikan. Kita masih menilai sama ada mahu beri jenis vaksin sama atau yang berbeza,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri mesyuarat khas Imunisasi dan pengurusan pandemik bersama wakil kerajaan negeri di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.

Sementara itu Khairy berkata di Sarawak, KKM berpendapat bahawa keputusan positif daripada kit ujian RTK Antigen, sama ada dibuat di makmal ataupun secara kendiri, adalah cukup untuk mereka yang dikesan positif diasingkan serta diberikan Perintah Pemantauan di Rumah.

“Ini sangat penting untuk kita maklum kepada rakyat terutamanya di Sarawak, apabila ada apa-apa gejala, secepat mungkin laksanakan ujian RTK Antigen dan jika positif, asingkan diri di rumah atau di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC),” katanya.

Beliau berkata dalam aspek meningkatkan kapasiti kesihatan untuk tindak balas sekiranya berlaku peningkatan kes-kes yang serius, KKM akan menghantar sejumlah 118 unit ventilator dan 1,008 silinder oksigen ke Sarawak, yang dijangka tiba pada Selasa ini.

“KKM juga akan menambah modular Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan penambahan sebanyak 20 katil. Ketika ini 10 katil sedang disiapkan di Hospital Sibu dan kita serah kepada kerajaan negeri untuk tetapkan di mana mereka mahu menempatkan penambahan katil baharu itu,” katanya.

Khairy berkata pihaknya turut menerima permohonan daripada Kerajaan Sarawak untuk mendirikan Hospital Medan di Sibu dan secara prinsip pihaknya telah bersetuju serta akan berbincang dengan Angkatan Tentera Malaysia mengenainya.

Selain itu katanya 64 pegawai perubatan tambahan akan diatur gerak pada minggu depan untuk dihantar ke Sarawak bagi membantu pengurusan kes Covid-19.

Sementara itu Khairy berkata pihaknya juga akan mempercepatkan pembukaan Hospital Sri Aman, sekali gus mengurangkan bebanan di Hospital Umum Sarawak di Kuching.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Dos ketiga vaksin bermula Oktober, sasar golongan berisiko tinggi

ALOR SETAR, 19 SEPT: Pemberian dos ketiga atau dos penggalak vaksin Covid-19 untuk golongan rentan dan berisiko dijangkiti Covid-19 dijangka bermula pada Oktober ini, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata golongan itu termasuk warga emas dengan komorbiditi seperti mempunyai masalah kesihatan kronik, petugas barisan hadapan, individu kurang daya tahan imun serta mereka yang tinggal dan bekerja di pusat jagaan jangka panjang.

“Kita akan buka kepada golongan ini dahulu kerana berdasarkan data kematian, data kategori 5 yang masuk ke ICU (unit rawatan rapi), kebanyakan daripada mereka terdiri daripada golongan tersebut, warga emas yang ada masalah jantung, kencing manis, hipertensi dan sebagainya.

“Pemberian dos ketiga atau (dos) penggalak itu juga tidak bermaksud pemberian dua dos vaksin sebelum ini tidak berkesan, sebaliknya ia adalah bagi meningkatkan sistem imun,” katanya pada sidang media sempena lawatan kerja beliau ke Kedah di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Beliau berkata banyak negara sudah memulakan pemberian dos penggalak vaksin Covid-19 termasuk di Amerika Syarikat, United Kingdom dan Singapura bertujuan untuk meningkatkan lagi sistem imun individu terhadap wabak itu.

Bagaimanapun, Khairy berkata Kementerian Kesihatan (KKM) belum membuat keputusan sama ada dos penggalak itu akan diberikan kepada semua individu di negara ini.

“Perkara ini masih dalam perbincangan. KKM juga ketika ini sedang melakukan perbincangan dengan pakar dalam menentukan kumpulan usia individu yang akan menerima dos itu,” katanya.

Beliau berkata pihaknya juga telah mengarahkan semua syarikat pengeluar vaksin untuk menghantar maklumat lanjut kepada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) bagi menentukan jenis vaksin yang boleh diberikan dos penggalak.

“Buat masa ini, kita sedang mendapatkan maklumat daripada pengeluar vaksin untuk didaftar di bawah NPRA, dos ketiga ini perlu dapat kebenaran NPRA, sebab NPRA hanya bagi kebenaran contohnya kepada Pfizer, AZ (AstraZeneca), Sinovac (hanya dibenarkan diberi) dua dos sahaja,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan bersetuju untuk melaksanakan pemberian dos ketiga vaksin Covid-19 dalam usaha meningkatkan perlindungan kepada golongan rentan daripada risiko jangkitan pandemik berkenaan.

Beliau berkata keutamaan pemberian dos ketiga itu akan tertumpu kepada kumpulan berisiko tinggi terlebih dahulu seperti anggota barisan hadapan kesihatan dan pesakit kurang daya tahan imun (terimunokompromi).

Selain itu, perdana menteri berkata turut diberikan keutamaan adalah warga emas dengan komorbiditi serta individu yang tinggal atau bekerja di pusat jagaan jangka panjang dan kesemuanya akan dilaksanakan apabila liputan imunisasi populasi dewasa di seluruh negara melebihi 80 peratus.

— BERNAMA