Categories
AGENDA NASIONAL

700,000 rakyat Selangor lengkap dua dos vaksin

SHAH ALAM, 20 JULAI: Seramai 700,000 individu atau 14.75 peratus rakyat Selangor lengkap menerima dua dos vaksin setakat hari ini.

Dato’ Menteri Besar memaklumkan sejumlah 2.84 juta dos vaksin diberikan menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Berdasarkan perkongsian infografik di Facebook, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata 2.14 juta rakyat atau 45.1 peratus telah menerima dos pertama.

Manakala, bagi program Selangor Vaksin (Selvax) pula sebanyak 79,657 dos telah disuntik.

Kelmarin, Amirudin berkata jumlah pemberian vaksin harian negeri boleh mencecah ke tahap maksimum 300,000 dos sehari menjelang hujung bulan ini.

Jumlah itu hasil program Selvax, PICK dan Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (Pikas).

Program Selvax merupakan pelengkap kerangka PICK.

Sebanyak dua juta dos vaksin disediakan kepada sejuta pekerja termasuk warga asing bagi mengawal perebakan wabak di tempat kerja menerusi Selvax Industri.

Manakala program percuma Selvax Komuniti akan memberi manfaat kepada 250,000 rakyat yang masih belum divaksin membabitkan 500,000 dos.

Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 14 juta dos vaksin Covid-19 diberi setakat semalam

KUALA LUMPUR, 18 JULAI: Jumlah keseluruhan pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang dilaksanakan sejak 24 Feb, kini melebihi 14 juta iaitu 14,002,324 dos setakat semalam.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba menerusi perkongsian infografik data pemberian vaksin Covid-19 di Twitter memaklumkan daripada jumlah itu, seramai 9,570,974 individu menerima dos pertama manakala 4,431,350 orang telah melengkapkan dos kedua.

Semalam sahaja sebanyak 380,440 dos suntikan Covid-19 diberikan membabitkan 253,830 individu menerima dos pertama dan 126,610 lagi, lengkap dos kedua.

— BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Persekutuan majikan: Kekalkan SOP meski lengkap dua dos vaksin

KUALA LUMPUR, 12 JULAI: Cadangan garis panduan kepada individu yang sudah melengkapkan dua dos vaksin Covid-19 yang akan dibentangkan kerajaan haruslah jelas, konsisten dan merangkumi tatacara operasi piawai (SOP) yang sesuai bagi melindungi keselamatan serta kesihatan pekerja dan rakyat.

Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) Datuk Syed Hussain Syed Husman berkata SOP perlu terus diamalkan oleh mereka yang telah melengkapkan vaksinasi kerana tiada jaminan bahawa vaksin itu akan memberi perlindungan sepenuhnya terhadap virus Covid-19.

“Berdasarkan pengalaman di negara lain setakat ini, individu yang sudah menerima vaksin sepenuhnya dibenarkan bergerak bebas dan mereka yang dijangkiti tidak mengalami gejala yang teruk, tidak memerlukan rawatan rapi, sekali gus tidak akan membebankan sistem kesihatan awam.

“Bagaimanapun, difahamkan tiada bukti klinikal pada masa ini yang menunjukkan mereka yang menerima dua dos vaksin akan bebas daripada dijangkiti Covid-19, ini kerana mutasi dan kemunculan varian baharu dan lebih memudaratkan tidak mempunyai bukti klinikal untuk menunjukkan bahawa vaksin akan menjadi perlindungan yang berkesan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai laporan berita baru-baru ini bahawa Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba akan membentangkan garis panduan itu kepada Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam masa terdekat, bagi memberi lebih kelonggaran kepada mereka yang sudah melengkapkan vaksinasi.

Syed Hussain berkata MEF prihatin dengan keselamatan dan kesihatan semua pekerja termasuk mereka yang sudah menerima vaksin dan mencadangkan agar kerajaan mewujudkan satu platform mengenai kesan sampingan, sekiranya ada, dapat direkod, dipantau dan dilaporkan.

Selain itu, beliau berkata pihak berkuasa perlu memastikan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dan garis panduan berkaitan termasuk program kesedaran mengenai manfaat dan risiko vaksinasi, selaras dengan hak individu, etika perubatan profesional dan prinsip undang-undang dalam informed consent (keizinan bertulis).

“Kehidupan rakyat harus dipelihara serta dilindungi dan dengan meletakkan intervensi seperti itu juga membantu mengesahkan keselamatan dan keberkesanan vaksin serta mengetepikan khabar angin dan berita palsu.

“Kami berpandangan bahawa cadangan garis panduan untuk mereka yang telah menerima dua dos vaksin perlu tertakluk kepada SOP dan tidak mendiskriminasi individu yang belum menerima dua dos vaksin bagi mengelakkan pelanggaran hak asasi manusia, komplikasi undang-undang dan dasar kawalan sosial yang negatif,” katanya.

MEF turut menggesa pihak berkuasa untuk melibatkan pihak berkepentingan industri, pengamal perubatan profesional dan pakar dalam bidang lain dalam merangka SOP bagi memastikan keberkesanannya untuk manfaat semua pihak.

“Perlu ada tanggungjawab kolektif antara pihak berkepentingan untuk menangani Covid-19 dengan berkesan. Kami berharap garis panduan ini akan dapat diseragamkan, jelas dan tanpa kepelbagaian bagi mengelak kekeliruan kepada majikan dan pekerja.

“Perlu ada satu sahaja dasar untuk cadangan garis panduan itu di bawah satu agensi yang mengendalikan semua pertanyaan,” katanya.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 7 juta dos vaksin diberi setakat semalam – menteri

KUALA LUMPUR, 26 JUN: Sejak pelaksanaannya hingga semalam, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan menyaksikan 7,039,072 dos vaksin telah diberikan kepada penduduk di negara ini, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata jumlah itu merangkumi 5,072,714 penerima dos pertama dan 1,966,358 individu menerima suntikan dos kedua vaksin.

“Sebanyak 215,968 suntikan vaksin Covid-19 diberikan semalam,” katanya dalam hantaran Twitter beliau hari ini.

Dr Adham berkata daripada jumlah suntikan vaksin yang diberikan semalam, 148, 380 merupakan dos pertama manakala 67,588 adalah suntikan dos kedua, pelengkap vaksinasi.

Beliau berkata lima negeri yang mencatatkan penerimaan dua dos vaksin tertinggi ialah Selangor dengan 262,635, diikuti Sarawak (202,741), Johor (201,340), Perak (181,545) dan Kuala Lumpur (170,594).

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Suntikan vaksin harian hampir 200,000 dos semalam, Selangor tertinggi

KUALA LUMPUR, 15 JUN: Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan mencatat rekod vaksinasi harian tertinggi semalam, dengan pemberian 197,963 dos sekali gus menghampiri sasaran vaksinasi harian yang ditetapkan kerajaan iaitu 200,000 dos sehari.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba menerusi perkongsian di Twitter berkata daripada jumlah itu, seramai 142,890 individu menerima dos pertama manakala 55,073 individu menerima dos kedua.

Beliau berkata, seramai 1,413,039 individu telah melengkapkan dua dos vaksin Covid-19 dan seramai 3,275,194 individu telah menerima dos pertama, menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua di negara ini adalah sebanyak 4,688,233.

Lima negeri yang mencatatkan penerima kedua-dua dos tertinggi ialah Selangor dengan 180,605 diikuti Sarawak (159,920); Johor (135,621); Perak (135,435) dan Kuala Lumpur (127,174).

Sementara itu, berdasarkan perkongsian laporan harian jumlah pendaftaran kumulatif vaksin, Dr Adham berkata seramai 13,811,642 pendaftaran direkodkan semalam, dengan perkembangan nasional sebanyak 59 peratus.

Selangor menjadi negeri tertinggi yang merekodkan jumlah pendaftaran iaitu sebanyak 3,510,783 diikuti Johor (1,723,619), Sarawak (1,321,651) dan Kuala Lumpur (1,167,136).

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin sebelum ini berkata, kerajaan menyasarkan lebih 200,000 orang akan menerima suntikan vaksin COVID-19 sehari bermula Julai ini, dan kemudian ditingkatkan kepada lebih 300,000 orang sehari mulai Ogos.

— BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KEADILAN gesa tambah pusat vaksin luar bandar, mudahkan rakyat

SHAH ALAM, 10 JUN: Kerajaan Persekutuan digesa menambah pusat pemberian vaksin (PPV) di Selangor khususnya kawasan luar bandar bagi memudahkan rakyat mendapat suntikan.

Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) negeri, Halimey Abu Bakar berkata kaedah suntikan secara pandu lalu atau klinik bergerak juga mempercepat Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

“Kerajaan persekutuan wajar memanfaatkan kemudahan 16 Klinik Selcare serta tenaga mahir dimiliki anak syarikat Kerajaan Negeri, Selgate Corporation Sdn Bhd,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Halimey yang juga Ahli Dewan Negeri Seri Setia berkata dos vaksin perlu diberi mengikut kepadatan penduduk negeri untuk memastikan PICK berjalan teratur, adil dan saksama.

“Titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj supaya bilangan dos vaksin ditambah sangat bertepatan, memang jelas jumlah diberikan tidak adil,” katanya.

Kelmarin Sultan Selangor berharap Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJABV) mempercepat dan menambah bilangan dos vaksin untuk penduduk negeri ini.

Baginda terkejut apabila Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) mengesahkan Selangor hanya menerima 615,210 dos vaksin Covid-19, bukan 2.9 juta seperti dakwaan sebelum ini.

Sultan Sharafuddin juga berharap jumlah PPV di negeri ini khususnya di luar bandar termasuk kaedah pandu lalu atau klinik bergerak ditambah bagi meluaskan liputan suntikan vaksin.

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Lebih sejuta individu lengkap dua dos vaksin, Selangor tertinggi

KUALA LUMPUR, 7 JUN: Seramai 1,130,301 individu telah melengkapkan dua dos vaksin Covid-19 di negara ini setakat semalam, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Dr Adham menerusi akaun Twitternya hari ini berkata seramai 2,444,075 individu menerima dos pertama, menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua di negara ini ialah 3,574,376 dos setakat semalam.

Beliau berkata lima negeri yang telah melengkapkan kedua-dua dos tertinggi ialah Selangor dengan 145,972 dos diikuti Sarawak (119,421); Perak (105,546); Kuala Lumpur (101,822); dan Johor (98,429).

Setakat semalam, 52.4 peratus atau 12,708,357 individu telah mendaftar untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dan Selangor mencatatkan jumlah pendaftaran tertinggi iaitu 3,357,323 orang.

Mengikut perancangan, fasa kedua program itu yang bermula April hingga Ogos ini akan melibatkan pemvaksinan 9.4 juta warga emas, kumpulan rentan dan Orang Kurang Upaya.

Fasa ketiga bermula bulan lepas hingga Februari 2022 pula melibatkan individu 18 tahun dan ke atas, warganegara dan bukan warganegara, dengan sasaran 13.7 juta orang atau lebih.

Pada fasa pertama program yang berlangsung dari Februari hingga April lepas, kira-kira 500,000 petugas barisan hadapan termasuk warga kesihatan menerima vaksin itu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

555,288 individu terima dua dos vaksin setakat semalam

KUALA LUMPUR, 2 MEI: Seramai 555,288 individu telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19 menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan setakat semalam, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Dalam akaun Twitter hari ini beliau berkata setakat semalam juga, sejumlah 898,094 individu telah menerima suntikan dos pertama menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua di negara ini berjumlah 1,453,382 dos.

Menerusi satu infografik Dr Adham berkata lima negeri yang menerima suntikan dos pertama vaksin tertinggi ialah Selangor dengan 120,749 dos diikuti Sarawak (92,292), Kuala Lumpur (90,611), Johor (78,716) dan Sabah (74,740).

Beliau berkata lima negeri yang melengkapkan dua dos suntikan Covid-19 tertinggi ialah Selangor dengan 74,962 diikuti Sarawak (57,812), Sabah (52,557), Perak (51,918) dan Kuala Lumpur (51,615).

Setakat semalam, hanya 38.90 peratus atau 9,447,232 daripada golongan sasaran telah mendaftar untuk menerima suntikan vaksin dengan Selangor mencatatkan jumlah pendaftaran tertinggi 2,450,363 iaitu 50.60 peratus.

Mengikut perancangan program imunisasi itu, tempoh pelaksanaan fasa pertama pemberian vaksin yang bermula Februari hingga bulan ini melibatkan 500,000 anggota barisan hadapan termasuk petugas kesihatan.

Fasa kedua bermula pada April hingga Ogos depan pula membabitkan 9.4 juta warga emas, kumpulan rentan dan Orang Kurang Upaya manakala fasa ketiga, yang dijadualkan dari Mei hingga Februari 2022, melibatkan individu 18 tahun dan ke atas, warganegara dan bukan warganegara, dengan sasaran 13.7 juta orang atau lebih.

– BERNAMA