Categories
SELANGOR

Seramai 168 Dari Paya Jaras Terima RM 1,500 Khairat Kematian


SUNGAI BULOH 21 JUL : Skim Mesra Usia Emas (SMUE) membawa kebaikan bukan sahaja kepada warga emas yang berdaftar, malah turut memberi kelebihan kepada ahli keluarga yang lain.

Mohd Hanif Husin 62, berterima kasih atas wang khairat kematian kerana dapat membantynya menguruskan pemergian arwah ibunya pada pertengahan bulan lalu.

“Sememangnya saya sangat setuju dengan langkah Kerajaan Negeri mewujudkan skim sebegini kerana sekurang-kurangnya dapat membantu kami mengurus jenazah dengan lebih baik.

“Dengan wang yang diterima hari ini, Insya-Allah saya ingin menaik taraf kubur arwah ibu dengan batu marmar selain menganjurkan kenduri tahlil untuknya,” ujarnya yang berasal dari Paya Jaras.

Keluarga warga emas yang berdaftar dengan SMUE akan menerima RM 1,500 di bawah program khairat kematian.

Mohd Hanif antara 168 penerima wang khairat kematian SMUE yang diraikan di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Paya Jaras sempena Program Khas Mesra Rakyat di sini petang semalam.

Seorang lagi penerima, G. Neela 59, berkata beliau sangat berbesar hati dengan langkah bijak Kerajaan Negeri yang disifatkannya sebagai berpandangan jauh.

“Di mana lagi di Malaysia kita mahu cari pemberian wang khairat kematian seperti ini melainkan di Selangor?

“Sebelum ‘pergi’ kita dijaga dengan pelbagai kebajikan, apabila sudah ‘pergi’, keluarga yang ditinggalkan pun tidak terbeban untuk mengurus jenazah lebih-lebih lagi kepada keluarga miskin,” jelasnya yang hadir ditemani anak lelakinya.

Sebanyak RM 252, 000 disumbangkan kepada 168 penerima daripada 10 kawasan DUN dan kesemuanya disampaikan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Turut hadir dalam program tersebut barisan Exco Kerajaan Negeri, Dr. Ahmad Yunus Hairi, Ronnie Liu, Dr. Halimah Ali, Rodziah Ismail,

Juga hadir Datuk Bandar MBSA, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan selain Penyelaras DUN Paya Jaras, Khairuddin Othman.

Categories
SELANGOR

Kompleks Belia dan Kebudayaan Selangor Catat Peningkatan Pendapatan Lebih 37%

SHAH ALAM, 11 JUL : Kompleks Belia dan Kebudayaan Selangor di Seksyen 7, di sini mencatat peningkatan pendapatan lebih 37 peratus sejak Januari hingga Jun 2012 berbanding tempoh sama tahun lalu.

Exco Adat Istiadat Melayu, Belia dan Sukan, Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, pada tahun 2011, kompleks itu memperoleh pendapatan sejumlah RM319,845, manakala tahun ini bertambah sebanyak RM439,648.

Menurutnya, peningkatan itu juga sekaligus menolak dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan bahawa prestasi kompleks kian merosot.

“Sehingga kini Kerajaan Negeri menerima respon positif daripada penyewa dan pelanggan yang rata-ratanya berpuas hati dengan perkhidmatan di situ.

“Sehubungan itu, dakwaan yang mengatakan kompleks kian tidak terurus saya kira tidak tepat kerana kita lihat pengunjung atau penyewa semakin bertambah,” katanya.

Dr Ahmad Yunus berkata demikian bagi menjawab soalan Shuhaimi Shafiei (PKR-Sri Muda) berhubung pengurusan Kompleks Belia dan Sukan Negeri Selangor setakat ini.

Beliau berkata, kompleks itu diuruskan sepenuhnya oleh Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) Holdings, iaitu anak syarikat Perbadanan Menteri Besar (MBI) sejak Januari 2012.

Tambahnya, MSNS Holdings turut bertanggungjawab terhadap kerja-kerja penyelenggaraan kompleks itu.

“MSNS Holdings amat peka dan sensitif terhadap maklum balas pelanggan kerana menjadi matlamat Kerajaan Negeri untuk memastikan pelanggan berpuas hati terhadap perkhidmatan yang disediakan,” jelasnya.

Categories
SELANGOR

Dr Ahmad Yunos: Kerajaan Negeri Tidak Sekat Minat Belia

SHAH ALAM, 26 MEI : Kerajaan Negeri Selangor tidak menyekat golongon belia di negeri ini untuk memenuhi minat masing-masing dengan merencanakan pelbagai program khusus selagi mematuhi syarat yang disediakan.

Exco Adat Resam Melayu, Belia dan Sukan, Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, kerajaan negeri sentiasa menyokong minat belia selaras dengan perkembangan dunia semasa.

“Golongan belia merupakan aset dan penentu masa depan negara dan kerajaan negeri mengambil beberapa langkah demi mengelakkan golongan belia terlibat dengan gejala negatif,” katanya ketika ditemui meninjau perjalanan program Himpunan dan Konvensyen Belia Selangor 2012 di Kompleks Belia dan Sukan Selangor malam tadi.

Menurutnya, program yang bermula semalam hingga hari ini menganjurkan pelbagai aktiviti antaranya persembahan muzik, mendeklamasi sajak, kugiran serta teater jalanan selain penjualan makanan dan pakaian.

Himpunan ini dijangka menarik penyertaan belia dan beliawanis, pengerusi dan ahli jawatankuasa Penggerak Belia Tempatan (PeBT), belia dari badan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan belia serta kalangan mahasiswa khususnya di Selangor.

Katanya, pihaknya menganggarkan seramai kira-kira 2,500 orang belia dan beliawanis dari seluruh Selangor akan menghadirkan diri dalam program tersebut.

Dengan dengan tema ?Anak Muda Penentu Kepimpinan dan Pemacu Pembangunan Selangor dan Negara?, pelbagai acara menarik di sediakan antaranya sesi forum dan konvensyen turut dijalankan melibatkan panelis dari pelbagai persatuan belia dan NGO turut diadakan.

Seorang pengunjung, Aina Syafiqah Hussin, 21, berkata program yang dianjurkan lebih santai dan bukan menjurus ke arah hiburan semata-mata.

“Kalau kita lihat masa kini, konsert-konsert lebih menjerumus gejala negatif seperti pergaulan tidak terbatas tetapi program ini ternyata membawa kelainan dengan lagu-lagu yang dibawakan berunsur nasihat dan motivasi,” katanya.

Selain itu, malam tadi, Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said melancarkan antologi buku ” Puisi Jadi Senjata 2″ dan turut mendeklamasikan sajak dari buku itu.

Beliau ketika ditemui sejurus selesai pelancaran buku itu berkata, belia merupakan tonggak utama dalam sesebuah negara dan golongan ini perlu didekati supaya suara hati mereka dapat didengari dan diberi tindakan sewajarnya.

“Anak muda adalah pewaris kepimpinan masa kini dan golongan ini tidak seharusnya dibiarkan tanpa diberi garis panduan yang sepatutnya demi masa depan negara,” katanya.

Categories
SELANGOR

RM 1 Juta Diperuntukkan Untuk Karnival Anak Muda Selangorku

SUBANG, 7 MEI : Kerajaan Selangor memperuntukkan RM 1 juta untuk menjayakan Karnival Anak Muda Selangorku khusus untuk mengembangkan bakat dan kebolehan anak muda dengan cara yang sihat.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata Kerajaan Negeri peka akan keinginan dan naluri anak muda untuk mencuba sesuatu yang baru termasuk berlumba motosikal dan aktiviti-aktiviti lasak.

Beliau berkatanya demikian ketika merasmikan upacara penutup Karnival Selangorku “Selangor Motor Race 2012” pusingan pertama di Speedway Plus Circuit Elite USJ semalam.

Karnival Selangorku “Selangor Motor Race 2012” ini memberi ruang kepada golongan muda yang meminati sukan perlumbaan bermotor mengembangkan bakat di tempat yang sah serta diiktiraf badan sukan permotoran tempatan.

Menurut Exco Adat Resam Melayu, Belia dan Sukan, Dr Ahmad Yunus Hairi, program ini bertujuan memberi impak kepada pembangunan serta mengembalikan kegemilangan sukan perlumbaan motor.

“Karnival ini julung-julung kali diadakan dan persedian penganjuran selama tiga tahun bagi mendapat kerjasama Automobile Association of Malaysia (AAM) dan Motorsports Association of Malaysia (MAM),” katanya ketika memberi ucapan di majlis yang sama.

Perlumbaan ini disertai hampir 300 pelumba dan kepada semua jenis model motosikal yang menggunakan sistem engin empat dan dua lejang berkuasa 150cc ke bawah.

Bagi kategori Marco Simoncelli Cup empat lejang pengubahsuaian penuh, tempat pertama dimenangi oleh Mohd Adib Rosli yang membawa pulang hadiah RM2,500. Tempat kedua dimenangi oleh Mohd Rizal Shahril dengan hadiah RM1,500 manakala tempat ketiga dimenangi Suhaizarul Suhaizat yang mendapat RM1,000.

Hadiah kesemua kategori disampaikan oleh Abdul Khalid diiringi Dr Yunus Hairi serta Adun Kota Anggerik, Yaakob Sapari dan MP Shah Alam, Khalid Samad.

Selain itu, karnival ini turut diserikan dengan kehadiran penceramah bebas, Ustaz Azhar Idrus yang turut memberikan kuliah santai sejurus selepas majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang.

Karnival tiga hari ini menyediakan pelbagai acara menarik seperti pameran motorshow dan cabutan plat nombor bertuah serta turut memberi peluang kepada usahawan-usahawan muda melalui pameran perniagaan.

Pusingan kedua Karnival Selangorku “Selangor Motor Race 2012” akan berlangsung pada 1 hingga 3 Jun 2012 di litar yang sama.

Categories
SELANGOR

Azhar Idrus Jelaskan Hukum Lumba Haram, “Clubbing”

SUBANG, 7 MEI : Sempena dengan “Selangor Motor Race 2012”, penceramah agama popular, Ustaz Azhar Idrus mengadakan Kuliah Santai yang mencuit hati para kaki motor yang datang ke Speedway Plus Circuit Elite USJ di sini, semalam.

Sesi soal jawab bersama Azhar kali ini tertumpu kepada isu yang melibatkan sukan bermotor dan tuntutan agama Islam.

Antara soalan yang dikemukakan hadirin adalah apakah hukum menonton perlumbaan haram?

Azhar menjawab:

“Lumba haram bermaksud perlumbaan yang tidak dibuat di trek dan memudaratkan diri sendiri, hukum tengok lumba haram tidak haram tetapi haram jika tengok tidak memakai seluar kerana menunjukkan aurat”.

Soalan lain juga menanyakan apakah hukum jiran sebelah rumah yang membunyikan motor sehingga mengganggu solat.

Azhar lalu menjawab:

“Tiada hukum dalam hadis mengatakan ekzos motor itu haram namun yang ada haram menyakiti dan menyusahkan orang lain serta haram membuat bising ketika melalui rumah orang”.

Selain itu, ada juga soalan bertanyakan hukum ‘clubbing’ (mengunjungi kelab malam) tetapi tidak minum arak.

Azhar menjawab:

“Clubbing tidak haram tetapi suasananya yang menjadikannya haram kerana ada wanita tidak menutup aurat dan sebagainya, jadi lebih baik kita ‘clubbing’ di rumah bersama isteri kerana isteri memang ditugaskan untuk melayan kita dan halal”.

Sementara itu, Azhar berkata, sukan sudah wujud di zaman Nabi Muhammad kerana Khalifah Umar Al Khattab suka perlawanan gusti dan juga terdapat lumba unta di waktu itu.

“Islam nak memperkenalkan bahawa hobi dan minat boleh asalkan tidak bertentangan dengan hukum syarak.”

“Main dam boleh tetapi tak bolehla main dari pukul dua petang sampai tiga pagi,” ujarnya.

Katanya, main dam dibenarkan tetapi tidak sampai mengganggu tugasan harian yang lain seperti mencari rezeki dan beribadat.

Majlis penyerahan hadiah “Selangor Motor Race 2012” turut dihadiri Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Exco Selangor Dr Ahmad Yunus Hairi dan MP Shah Alam Khalid Samad.

 

 

Categories
SELANGOR

Kejohanan Futsal Jelajah Selangor 2012 Tonjolkan Bakat Lebih Tinggi


AMPANG 5 MEI : Setelah 20 minit bertarung sengit, akhirnya pasukan futsal wanita, REM FC A berjaya mengenepikan pasukan Pan Catola dengan keputusan 1-0 untuk merebut gelaran Juara Kategori Wanita bagi Kejohanan Futsal Jelajah Selangor 2012.

Perlawanan itu merupakan antara aksi menarik dalam siri kejohanan anjuran Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri Selangor yang diadakan di Sports Planet di sini petang tadi.

Sementara itu, pasukan MG 2B memenangi kategori lelaki apabila mengenepikan saingannya, Kiddo FC dalam pusingan tendangan penalti setelah seri satu sama.

Pemenang kategori lelaki menerima wang tunai RM 5,000 dan piala iringan manakala juara kategori wanita membawa pulang wang tunai RM 3,000 berserta piala iringan.

Selain perlawanan akhir, orang ramai yang hadir turut berpeluang menyaksikan perlawanan antara pasukan jemputan yang diungguli Kedah B menewaskan pasukan jemputan lain seperti pasukan Kedah A, Kelantan dan TVSelangor.

Turut mencuri tumpuan ramai ialah perlawanan persahabatan antara pasukan Pilihan YB Exco dengan pasukan Artis Tempatan yang berkeputusan 2-1.

Kejohanan tersebut turut dihadiri Exco Belia dan Sukan, Dr. Ahmad Yunus Hairi, MP Ampang, Zuraida Kamaruddin dan Adun Bukit Antarabangsa, Azmin Ali.

Dr. Yunus dalam ucapan penutupnya menyifatkan penganjuran kali ini berjaya mencapai matlamat untuk melibatkan golongan belia dan anak muda dalam aktiviti yang mampu melonjakkan prestasi mereka khususnya dalam bidang sukan.

“Saya melihat kejohanan kali ini menunjukkan peningkatan yang besar dari segi bakat dan kebolehan yang tonjolkan pada hari ini.

“Mereka juga memperlihatkan kita bakal-bakal calon atau bintang yang akan mewakili negeri Selangor atau negara satu hari nanti,” ujar Dr. Yunus.

Majlis kejohanan hari ini yang mendapat kerjasama daripada Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) dan Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) menyaksikan 24 pasukan lelaki dan 24 pasukan wanita daripada seluruh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berentap merebut gelaran.