Categories
AGENDA NASIONAL

Pesakit Covid-19 boleh lapor kendiri guna MySejahtera

KUALA LUMPUR, 15 JAN: Pesakit Covid-19 yang sedang menunggu panggilan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) kini boleh membuat pelaporan kendiri menerusi aplikasi MySejahtera.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata pemerkasaan aplikasi itu bertujuan melancarkan pengurusan kes positif wabak tersebut selain memenuhi keperluan pengguna dalam memutuskan rantaian jangkitan dalam kalangan komuniti dengan lebih berkesan.

“Mereka (pengguna) boleh ke MySejahtera HelpDesk di halaman utama aplikasi MySejahtera dan ikuti arahan di ruang G,” katanya dalam kenyataan perkembangan Covid-19 hari ini.

Dr Noor Hisham berkata pengguna yang didaftarkan sebagai kes positif di Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) KKM juga akan diberi notifikasi menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) dan Push Notification melalui MySejahtera mulai hari ini.

Katanya pengguna juga akan mendapat nasihat dan pelan susulan penilaian kendiri serta peringatan untuk melakukan penilaian pemantauan gejala pandemik itu di bahagian ‘Perlu dilakukan’ bagi tempoh 10 hari berturut-turut.

“Sekiranya pengguna bergejala, maklumat tersebut akan terus disalurkan ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) dan pengguna akan dihubungi oleh petugas kesihatan untuk penilaian lanjut,” katanya.

Justeru katanya, orang ramai dinasihati untuk mengemas kini aplikasi MySejahtera dan menggunakan sepenuhnya semua fungsi dalam aplikasi tersebut.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Covid-19: Dr Noor Hisham rayu masyarakat tidak bohongi petugas kesihatan

KUALA LUMPUR, 27 DIS: Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah hari ini merayu masyarakat agar tidak menipu petugas kesihatan dengan menyembunyikan status kesihatan mereka ketika datang mendapatkan rawatan atau untuk saringan Covid-19.

“Jangan tipu frontliners, kami juga perlu dilindungi, ada keluarga dan rakan-rakan, jangan aniaya frontliners,” katanya menerusi Facebook, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai merujuk perkongsian seorang doktor menerusi Facebook mengenai pesakit menipu ketika menjalani saringan kesihatan menyebabkan petugas kesihatan menjadi mangsa Covid-19.

Dalam tulisannya yang turut dikongsikan oleh Dr Noor Hisham dalam akaun Facebooknya, doktor wanita itu berkata terdapat seorang pesakit datang ke hospital untuk janji temu imbasan tomografi berkomputer (CT scan).

Pesakit mengaku sihat ketika disaring di pintu masuk jabatan dan dibenarkan masuk kerana suhu badan juga normal, kata doktor itu dalam tulisannya.

“Saya merupakan doktor yang menyediakan pesakit ini untuk scan ( penerangan prosedur, pemasangan IV branula dan sebagainya). Terkejutnya kami bila melihat gambar paru-parunya di CT sama seperti paru-paru pesakit Covid-19.

“Apabila ditanya semula, akhirnya dia mengaku yang dia batuk dan demam selama seminggu, tetapi berasa sedikit sihat untuk datang ke janji temu CT. Ternyata tindakannya menyusahkan orang lain. Pesakit itu disahkan positif Covid-19 selepas dua hari,” tulisnya.

Susulan itu, doktor terbabit menjalani ujian calitan Covid-19 dan turut disahkan positif jangkitan tersebut.

Beliau yang berasa kecewa dengan sikap pesakit berkenaan meluahkan rasa sedih kerana terpaksa berpisah dengan keluarga.

“Keputusan swab mendapati saya positif. Saya menangis semasa dapat tahu sebab sedih terpaksa terpisah dengan anak-anak dan suami. Risau terhadap keluarga dan rakan sekerja yang mungkin saya jangkiti. Kecewa terhadap sikap pesakit saya.

“Mohon jangan tipu kami sekiranya anda bergejala. Tindakan anda melibatkan pesakit-pesakit lain, petugas kesihatan serta keluarga mereka. Kami juga manusia,” tulisnya.

Pada 22 Disember lalu, Dr Noor Hisham mendedahkan 1,880 petugas kesihatan disahkan positif Covid-19 menerusi saringan yang dibuat setakat 15 Disember.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Mutasi A701V tersebar banyak kluster Covid-19 gelombang ketiga

KUALA LUMPUR, 25 DIS: A701V, virus Covid-19 bermutasi yang dikesan dalam sampel Kluster Benteng LD di Sabah tersebar ke sebahagian besar kluster dalam gelombang ketiga di Semenanjung Malaysia dan Sabah, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata mutasi itu pertama kali dikesan dalam kalangan 22 jujukan SARS-CoV-2 dan antara kluster gelombang ketiga yang telah dijujukkan ialah Teratai, generasi ketiga Benteng LD, Tapak Bina Damanlela, Perigi, Selasih, Saguking, Tenaga, Kasih, Bah Ketil, Bukit dan Kaya.

“A701V itu kini menular bersama-sama jenis perebak utama D614G berikutan peningkatan luar biasa kes semasa gelombang ketiga.

“Memandangkan kebanyakan kluster mempunyai jenis ini, kehadiran A701V mungkin memberikan kelebihan tambahan kepada virus itu dalam menjadi strain dominan, mungkin menjadikannya lebih mudah menjangkiti,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik menerusi Facebook hari ini.

Dr Noor Hisham berkata prevalens A701V dalam kalangan kes gelombang ketiga ialah 86 peratus manakala D614G ialah 100 peratus.

Beliau berkata di peringkat global, Afrika Selatan, Australia, Belanda dan England juga melaporkan kehadiran jenis A701V pada waktu hampir sama dengan Malaysia.

“Dalam GISAID (satu inisiatif sains global dan sumber utama untuk data genom virus influenza), prevalens strain ini didapati sekitar 0.18 peratus dan peranan strain ini masih belum dapat dipastikan,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata setakat ini Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Institut Kesihatan Negara (NIH), Kementerian Kesihatan (KKM) telah menjalankan analisis terhadap lebih 120 jujukan genom penuh SARS-CoV-2 daripada sampel klinikal yang merangkumi gelombang pertama hingga ketiga kes Covid-19 di Malaysia.

Mengenai varian baharu dari United Kingdom dengan nama saintifiknya VUI 202012/01, Dr Noor Hisham berkata buat masa ini virus itu tidak dijumpai di Malaysia.

Bagaimanapun katanya IMR akan terus menjalankan penjujukan genom untuk memantau kehadiran varian itu serta varian lain dan KKM akan terus berwaspada dengan mengambil pelbagai langkah untuk mencegah penularan varian baharu ke Malaysia.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kes baharu Covid-19 naik kepada 2,062, pesakit sembuh 911

SHAH ALAM, 22 DIS: Kes baharu Covid-19 terus kekal empat angka apabila sebanyak 2,062 kes direkodkan hari ini berbanding 2,018 kes semalam menjadikan jumlah keseluruhan di seluruh negara 97,389.

Ketua pengarah kesihatan berkata seramai 911 pesakit sembuh dan dibenarkan keluar hospital menjadikan jumlah pulih daripada wabak itu 79,304.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 pula adalah 17,646 kes.

“Sehingga kini, terdapat 111 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 51 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya pada kenyataan media.

Beliau berkata terdapat pertambahan satu kematian Covid-19 menjadikan jumlah kumulatif kes kematian adalah sebanyak 439.

Dr Noor Hisham berkata Selangor kekal melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu 1,014 kes diikuti oleh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak 504 kes dan Sabah sebanyak 252 kes.

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM timbang tempoh 10 hari individu jalani kuarantin

KUALA LUMPUR, 14 DIS: Tempoh perintah pengawasan dan pemerhatian selama 10 hari akan dipertimbang bagi mereka yang sedang menjalani kuarantin pada masa ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata Kementerian Kesihatan (KKM) akan menjalankan ujian saringan ke atas mereka pada hari kelapan dan kesembilan kuaratin.

“Mereka yang sedang menjalani kuarantin akan juga dipertimbangkan untuk kita kuarantin selama 10 hari sahaja. Kita juga akan menjalankan ujian (saringan) pada hari kelapan dan kesembilan. (Sekiranya) ujian negatif, baru (kita) lepas (mereka) pada hari ke-10,” katanya dalam sidang media perkembangan Covid-19 hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada pengurangan tempoh perintah pengawasan dan pemerhatian bagi pengembara yang pulang dari luar negara serta tempoh pengurusan kontak rapat di Malaysia daripada 14 hari kepada 10 hari yang berkuat kuasa hari ini, turut terpakai bagi mereka yang sedang menjalani tempoh kuarantin.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata nilai kadar kebolehjangkitan atau r-naught bagi tempoh 12 September sehingga 15 Disember berjaya diturunkan kepada nilai 1.1, susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Kita mula dengan r-naught 2.2. Kalau tidak ada PKPB, (seramai) empat juta penduduk akan dijangkiti. Tetapi PKPB berjaya turunkan kadar kebolehjangkitan kepada nilai 1.1,” katanya.

Sementara itu Dr Noor Hisham berkata definisi ‘kontak rapat’ yang digunakan ketika ini adalah berdasarkan kepada definisi yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Bagaimanapun menurutnya Kementerian Kesihatan akan mengkaji definisi itu dari semasa ke semasa.

“Kontak rapat ditakrifkan di Malaysia sebagai pendedahan yang berkaitan dengan penjagaan kesihatan tanpa perlindungan PPE, termasuk membekalkan penjagaan terus bagi pesakit Covid-19, bekerja dengan petugas penjagaan kesihatan yang dijangkiti virus Covid-19, melawat pesakit atau tinggal dalam persekitaran tertutup yang sama dengan pesakit, bekerja bersama dalam kedudukan yang hampir atau berkongsi persekitaran bilik yang sama dengan pesakit Covid-19.

“Namun begitu, pihak kementerian akan menyemak definisi itu daripada masa ke semasa. Ini adalah definisi yang kita guna pakai daripada WHO,” katanya.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Dua lagi kluster baharu Covid-19 dikesan, keseluruhan 364 – KKM

KUALA LUMPUR, 1 DIS: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan dua lagi kluster baharu Covid-19 di Sabah, melibatkan Daerah Kota Kinabalu dan Tuaran.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kluster pertama iaitu Kluster View Kolombong membabitkan Daerah Kota Kinabalu dan Tuaran dengan kes indeks dilaporkan positif Covid-19 pada hari ini, hasil saringan individu bergejala.

“Sehingga hari ini, sejumlah 76 individu disaring, dengan 40 kes dikesan positif Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata kluster kedua ialah Kluster Talang-Talang melibatkan Daerah Kota Kinabalu, dengan kes indeks dilaporkan positif Covid-19 pada 23 November lepas hasil saringan individu bergejala.

Sehingga hari ini, seramai 67 individu disaring dengan 18 kes dikesan positif Covid-19.

Pertambahan dua kluser baharu di Sabah itu, menjadikan sejumlah 364 kluster dilaporkan sehingga hari ini, katanya.

Jumlah kluster yang ditamatkan pula ialah sebanyak 184, termasuk tiga hari ini iaitu Kluster Highway, Kluster Inai dan Kluster Jalan Meru.

“Ini menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah sebanyak 180 kluster. Daripada jumlah tersebut, 33 kluster melaporkan pertambahan kes.

Kluster-kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi pada hari ini adalah Kluster Teratai (778 kes), Kluster Hentian (118 kes) dan Kluster Batu Tujuh (37 kes),” katanya.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM kenal pasti lima kluster baharu, tiga lagi diisytihar tamat

PUTRAJAYA, 25 NOV: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti lima kluster baharu manakala tiga kluster diisytiharkan tamat hari ini, menjadikan jumlah kluster aktif setakat ini sebanyak 169.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata tiga kluster yang tamat ialah Kluster Idaman melibatkan Daerah Petaling, Gombak, Titiwangsa dan Cheras; Kluster Bayu (Johor Bahru dan Muar), serta Kluster Bah Kota di Negeri Sembilan.

Beliau berkata kluster baharu yang dikenal pasti adalah Kluster D’Bajaru, Kluster Gangsa, Kluster Batu Tujuh, Kluster Tanjung Bunga dan Kluster Kerengge yang melibatkan Johor (dua kluster), Sabah (satu), Selangor (satu) dan Terengganu (satu).

“Bagi Kluster D’Bajaru, ia melibatkan Daerah Lahad Datu, Sabah. Kes-kes bagi kluster ini mula dilapor positif Covid-19 sejak 11 Nov lalu hasil saringan komuniti di dua kampung berisiko tinggi. Sehingga hari ini, sejumlah 609 individu disaring dengan 90 kes dikesan positif dalam kluster ini.

“Kluster Gangsa pula melibatkan Daerah Kuala Langat, Selangor. Kes indeks (kes ke-56,262) dilaporkan positif hasil saringan di tempat kerja pada 23 November lalu. Sehingga hari ini, sejumlah 78 individu disaring, dengan 30 kes dikesan positif melibatkan 29 bukan warganegara,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan Covid-19, di sini hari ini.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata Kluster Batu Tujuh melibatkan Daerah Batu Pahat dan Johor Bahru, dengan kes indeks (kes ke-54,703) merupakan kes Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) yang dilaporkan positif pada 22 November lepas.

Beliau berkata sehingga hari ini, sejumlah 144 individu disaring dengan 13 kes dikesan positif bagi kluster tersebut.

Mengenai Kluster Tanjung Bunga, beliau memaklumkan ia melibatkan Daerah Johor Bahru, Johor, dengan kes indeks (kes ke-53,639) merupakan kes Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) yang dilaporkan positif pada 21 Nov lepas.

Sejumlah 87 individu disaring, dengan 11 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini, setakat hari ni.

“Kluster Kerengga ini melibatkan Daerah Marang, Terengganu. Kes indeks (kes ke-49,709) dilaporkan positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala pada 17 November. Sehingga hari ini, sejumlah 680 individu disaring, di mana enam kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini,” katanya.

Beliau turut memaklumkan dengan pertambahan lima kluster itu, secara keseluruhan sebanyak 339 kluster dilaporkan setakat hari ini, manakala kluster tamat pula sebanyak 170 kluster.

Jumlah kluster aktif yang merekodkan pertambahan kes hari ini pula adalah sebanyak 40 kluster, katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Satu daripada dua pesakit tidak tahu hidap diabetes – Dr Noor Hisham

KUALA LUMPUR, 14 NOV: Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah hari ini mendedahkan seorang daripada dua pesakit di negara ini tidak tahu mereka menghidap diabetes sehinggalah mereka menjalani saringan gula dalam darah.

Beliau juga berkata sebahagian besar kes diabetes boleh dicegah menerusi gaya hidup sihat, dan dengan saringan berkala penyakit itu dapat dikesan lebih awal.

Dr Noor Hisham berkata bersempena Hari Diabetes Sedunia hari ini, Kementerian Kesihatan (KKM) menasihati rakyat Malaysia agar mencegah dan mengawal diabetes menerusi pemakanan seimbang, gaya hidup aktif, tidak merokok, memupuk minda sihat dan menghindari pengambilan alkohol secara berlebihan.

Katanya pematuhan terhadap rawatan dan nasihat pakar kesihatan selain mengamalkan gaya hidup lebih sihat juga akan membantu mengawal diabetes pada tahap optimum selain mencegah komplikasi.

“Negara sedang mendepani Covid-19 yang tidak menunjukan sebarang tanda akan berakhir dalam masa terdekat. Kajian menunjukkan individu berusia, individu obes, pesakit diabetes dan hipertensi berisiko untuk mendapat jangkitan Covid-19 lebih serius dan membawa maut,” katanya dalam kenyataan di sini.

Katanya Laporan National Diabetes Registry 2013-2019 menganggarkan hanya 32.4 peratus pesakit yang mendapatkan rawatan di klinik kesihatan kerajaan mencapai tahap kawalan diabetes yang optimum.

Dr Noor Hisham berkata Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019 menganggarkan 3.9 juta (18.3 peratus) rakyat Malaysia berusia 18 tahun dan ke atas menghidap diabetes, peningkatan ketara berbanding 11.2 peratus pada 2011 dan 13.4 peratus pada 2015.

Katanya diabetes bukan sahaja memberi kesan negatif kepada kualiti hidup dan kos penjagaan kesihatan, tetapi juga menambah beban ekonomi individu, keluarga serta masyarakat serta mengurangkan produktiviti negara.

Beliau berkata tema “Diabetes: Jururawat Nadi Perubahan” yang dipilih untuk sambutan tahun ini bertujuan meningkatkan tahap kesedaran masyarakat mengenai peranan penting yang dimainkan oleh jururawat dalam aktiviti pencegahan dan kawalan diabetes di Malaysia dan seluruh dunia.

“Tidak dapat dinafikan peranan jururawat dan petugas kesihatan barisan hadapan yang lain amat penting dalam pengurusan pesakit diabetes, lebih-lebih lagi dengan peningkatan jumlah pesakit setiap tahun,” katanya.

Dr Noor Hisham seterusnya menasihati orang awam agar melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala dengan memeriksa status Indeks Jisim Tubuh (BMI), tekanan darah, paras gula dan kolestrol dalam darah masing-masing.

“Jika anda menghidap diabetes, pemantauan kendiri paras gula dalam darah sangat digalakkan dan ini boleh dilakukan sendiri di rumah menggunakan glucometer,” katanya.

KKM katanya telah merangka pelbagai program dan aktiviti berkaitan pencegahan dan kawalan penyakit tidak berjangkit (NCD), termasuk memperkukuh Program Komuniti Sihat Pembina Negara (KOSPEN) pada peringkat komuniti bagi menggalakkan gaya hidup sihat dan pengesanan awal NCD.

Beliau turut memperingatkan mereka yang menyambut Deepavali agar makan secara berhemah dan meneruskan gaya hidup sihat, di samping mengamalkan norma baharu dan mematuhi prosedur operasi standard dalam aktiviti harian.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Elak pembelian panik sempena Deepavali – Dr Noor Hisham

PUTRAJAYA, 9 NOV: Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menasihatkan masyarakat India yang akan menyambut perayaan Deepavali Sabtu ini supaya tidak melakukan pembelian panik bagi mengelakkan risiko penularan wabak Covid-19.

Beliau berkata pembelian panik hanya akan menyebabkan kesesakan di lokasi tumpuan membeli-belah, sekali gus memudahkan jangkitan berlaku.

“Bila kita melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), sektor ekonomi masih dibuka, kedai masih dibuka, jadi tidak perlu kita melakukan pembelian panik,” katanya pada sidang media harian perkembangan Covid-19 hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kesesakan di beberapa lokasi tumpuan membeli persiapan sambutan Deepavali di Lembah Klang yang menimbulkan kebimbangan muncul kluster Deepavali.

Dr Noor Hisham meminta orang ramai supaya membataskan pergerakan dan mengelakkan perhimpunan ramai serta merancang pembelian sepanjang PKPB bagi membantu meratakan lengkung jangkitan Covid-19.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Perangi Covid-19, ambil iktibar PRN Sabah – Dr Noor Hisham

KUALA LUMPUR, 25 OKT: Rakyat Malaysia perlu bersatu dan bersama dalam memerangi wabak Covid-19 bukan bertelagah antara satu sama lain, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Menerusi posting di laman Facebook beliau semalam, Dr Noor Hisham turut menasihatkan orang ramai agar mengambil iktibar daripada Pilihan Raya Negeri Sabah.

“Petugas barisan hadapan bertahan berada di lapangan selama 24/7 dalam tempoh 10 bulan sebelum ini. Keletihan dari segi mental dan fizikal. Ada yang hampir menyerah. Tolonglah ambil iktibar daripada PRN Sabah dan jangan ulangi lagi,” katanya.

Sementara itu, dalam satu lagi posting, Dr Noor Hisham meminta rakyat Malaysia bersama dan berusaha sedaya upaya untuk sekali lagi melandaikan lengkung penularan Covid-19 di negara ini.

“Ia adalah cabaran untuk melindungi dan mencapai keseimbangan antara kesihatan dan ekonomi dalam memerangi Covid-19. Hilang keseimbangan bermakna kehilangan nyawa dan mata pencarian. Bersama-sama kita mengubah sesuatu yang mustahil kepada kejayaan melandaikan lengkung sekali lagi,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM cadang sambung PKPB di Lembah Klang jika kes Covid-19 terus naik

PUTRAJAYA, 24 OKT: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mencadangkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya menyambung Perintah Kawalan Bergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang akan tamat pada 27 Oktober ini jika kes Covid-19 terus meningkat.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata buat masa ini kementerian sedang memantau data kes setiap hari bagi melihat sama ada PKPB di negeri berkenaan perlu disambung.

“Data itu akan kita sebarkan, masing-masing kita (akan) tahu sama ada perlu sambung (PKPB) atau tidak. Tetapi yang nyata pada hari ini kes semakin meningkat,” katanya pada sidang media harian perkembangan Covid-19, di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata hari ini terdapat 76 kes baharu Covid-19 di Selangor menjadikan jumlah keseluruhan 3,880 kes.

Katanya negeri itu mencatatkan kenaikan 1,279 kes positif dalam tempoh 14 hari berbanding pada 11 Oktober yang hanya merekodkan 26 kes baharu dengan jumlah kumulatif 2,601 kes.

Dr Noor Hisham berkata kenaikan kes itu juga mengakibatkan jumlah Zon Merah di negeri Selangor meningkat daripada dua kepada enam daerah dalam tempoh 14 hari.

“Kenaikan paling ketara adalah dalam Daerah Hulu Langat (168 kes), Klang (115 kes) dan Gombak (93 kes). Peningkatan kes penularan tempatan di dalam negeri Selangor mula dilihat pada 2 Okt 2020 dan meningkat secara konsisten sehingga ke hari ini,” katanya.

Tiga lagi daerah yang merupakan Zon Merah ialah Daerah Petaling, Kuala Langat dan Sepang.

Menurut Dr Noor Hisham, penularan Covid-19 di Selangor dalam gelombang ketiga pada mulanya hanya melibatkan kes yang mempunyai sejarah perjalanan dari Sabah melibatkan sembilan kluster, namun kemudian berlaku penularan tempatan melibatkan 35 kluster aktif.

“Mutakhir ini iaitu mulai 11 Oktober 2020, penularan tempatan di Selangor mula mengakibatkan kluster berkaitan tempat kerja, di mana setakat ini enam kluster dikesan di Selangor,” katanya.

Oleh itu, Dr Noor Hisham berkata selain meneruskan saringan Covid-19 di semua pintu masuk antarabangsa dan domestik bagi pengunjung pulang dari Sabah, PKPB di Lembah Klang dilaksanakan berkuat kuasa 14 Oktober lepas, manakala pekerja peringkat pengurusan dan pengawasan sektor awam dan industri dibenarkan bekerja dari rumah berkuat kuasa 22 Oktober.

Untuk itu, katanya majikan bertanggungjawab untuk mengambil tindakan kepada pekerja yang dibenarkan bekerja dari rumah tetapi tidak menjalankan tugas yang diberikan kerana keluar melakukan aktiviti sosial seperti bersiar-siar, membeli-belah dan sebagainya.

“Contohnya saya berpengalaman duduk di rumah untuk tempoh 14 hari. Pada awalnya mungkin saya rasa duduk rumah tidak banyak kerja tetapi untuk tempoh 14 hari, saya rasa saya kerja 14 hari.

“Pukul 8 pagi saya mesyuarat sampai pukul 2 atau 3 (petang), jam 5 petang Facebook live (siaran langsung sidang media ), lepas jam 5 petang update (kemas kini) informasi di dalam sosial media sampai jam 8 atau 9 malam, tiap-tiap hari untuk 14 hari. Tiada masa untuk keluar rumah sebab kita ada Petunjuk Prestasi Utama (KPI),“ katanya.

Dr Noor Hisham berkata tujuan utama bekerja dari rumah supaya lebih ramai duduk di rumah, mengurangkan pergerakan masyarakat dan kebolehjangkitan virus Covid-19 di dalam kawasan PKPB.

Beliau juga memohon semua majikan dan pekerja untuk mematuhi ketetapan ini kerana ia akan membantu mengurangkan risiko penularan di kawasan tempat kerja.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Dr Noor Hisham muncul adiwira baharu BoBoiBoy, sampai mesej CAPP

KUALA LUMPUR, 23 OKT: Setiap individu boleh menjadi wira melawan Covid-19 hanya dengan mengamalkan pembudayaan norma baharu yang dikenali sebagai CAPP, kata “adiwira baharu” siri animasi popular tempatan, BoBoiBoy, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Namun jangan khuatir, ketua pengarah kesihatan itu bukannya beralih kerjaya, sebaliknya muncul sebagai figura animasi 3D dalam video pesanan khidmat masyarakat bertajuk “CAPP: Kuasa untuk Lawan Covid-19”, inisiatif syarikat harta intelek dan watak, Monsta bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Dalam video berdurasi seminit itu, Dr Noor Hisham kelihatan menggunakan cecair pembasmi kuman sebelum menjadikannya sebagai “perisai” melawan virus Covid-19 bagi melindungi watak-watak dalam animasi berkenaan seperti BoBoiBoy dan rakan-rakannya.

“Kamu tak perlukan kuasa untuk mengalahkan virus Covid-19, kamu hanya perlukan CAPP. Dengan CAPP anda pun boleh menjadi wira,” kata Dr Noor Hisham dalam video itu.

CAPP adalah pendekatan pembudayaan norma baharu yang menyasarkan individu, keluarga dan komuniti dalam mencegah penularan Covid-19 iaitu mencegah dan mendidik dari awal, mengamalkan norma baharu, mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dan memantau status kesihatan.

Ia bertujuan melindungi daerah hijau kekal bebas dari Covid-19 dan pada masa sama menukarkan daerah kuning kepada hijau dalam tempoh 14 hari.

Video berdurasi seminit itu kini tular di pelbagai laman media sosial dengan lebih 150,000 jumlah tontonan di akaun rasmi YouTube, Facebook dan Instagram BoBoiBoy dalam tempoh 24 jam.

Video itu juga diulang kicau hampir 30,000 kali melalui Twitter BoBoiBoy, KKM, selain turut mendapat pujian berikutan kreativiti dan mesej yang ingin disampaikan.

Sementara itu, Monsta dalam kenyataan memaklumkan pesanan khidmat masyarakat itu bertujuan mendidik seluruh rakyat meningkatkan rasa tanggungjawab dalam memutuskan rantaian penularan Covid-19 yang semakin meningkat.

Selain BoBoiBoy, syarikat Monsta yang juga menghasilkan pelbagai siri animasi, filem dan produk pengguna turut dikenali dengan francais animasi popular seperti “Papa Pipi”, siri pelancongan “Fly With Yaya” dan siri animasi akan datang iaitu “Mechamato”.

-BERNAMA