Categories
SELANGOR

FOMCA : Wajar contohi Selangor beri khidmat bas percuma

Oleh : HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM 28 Nov : Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menyokong penuh langkah Selangor melaksanakan perkhidmatan bas percuma kepada masyarakat dan wajar dicontohi negeri lain.

Setiausaha Kehormat Fomca, Mohd Shani Abdullah, berkata pendekatan diambil Selangor wajar dipuji dan ia menunjukkan keprihatinan berhubung masalah dihadapi rakyat yang ketika ini dibebani kos sara hidup yang tinggi.

fomca-awam copy“Tindakan Selangor adalah satu langkah yang tepat pada masanya dan boleh dijadikan contoh kepada kerajaan negeri lain. Semua kerajaan harus memahami dan menggunakan pembiayaian sektor sosial termasuk pengangkutan awam untuk membantu golongan berpendapatan rendah.

“Memang ini adalah saranan FOMCA dalam sesi pembentangan belanjawan setiap tahun, yang mana kita menggesa kerajaan memberi peruntukan tambahan kepada semua sektor sosial termasuk pengangkutan awam,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini, di sini, semalam.

Mohd Shani berkata, pengangkutan awam adalah salah satu perkhidmatan digunakan rakyat yang tidak mempunyai pengangkutan sendiri atau golongan berpendapatan rendah.

Beliau berkata, golongan yang menggunakan perkhidmatan itu dapat menjimatkan sebahagian kos sara hidup dan membantu menampung perbelanjaan yang meningkat dalam bidang lain seperti keperluan asas dan pendidikan.

Katanya, sama ada warga tempatan atau asing, kerajaan tidak seharusnya membezakannya kerana mereka adalah pengguna yang berhak atas perkhidmatan disediakan.

“Daripada segi hak asasi manusia, sesuatu perkhidmatan tidak harus mendiskriminasikan kaum atau tahap. Adalah penting untuk menghormatinya.

“Hal iIni kerana warga asing juga membayar cukai. Walaupun mereka tidak membayar cukai pendapatan kerana tidak menerima pendapatan tinggi untuk tujuan itu, tetapi membayar cukai dalam bentuk barangan dibeli jadi berhak untuk menerima perkhidmatan ini,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL

FOMCA : Henti segera ‘MySikap’, gagal bantu urusan pengguna

Oleh : Mohd Ezli Mashut

SHAH ALAM 13 NOV : Kerajaan pusat digesa menghentikan pelaksanaan sistem ‘MySikap’ oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ekoran kegagalan sistem itu berfungsi dengan baik sehingga menyusahkan pengguna sejak dilaksanakan, pada 1 November lalu.

Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Kebangsaan (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata kerajaan sewajarnya tidak melaksanakan sistem baru itu secara mendadak sehingga terdapat banyak rungutan negatif terhadap sistem baru itu.

Katanya, sebelum melaksanakan sesuatu pembaharuan dalam sistem, kerajaan perlu membuat penilaian teliti dan menyediakan langkah khas apabila sistem itu gagal berfungsi dengan baik.fomca orang

“Banyak projek yang dilaksanakan kerajaan dibuat tanpa melihat secara keseluruhan sama ada sistemnya lengkap atau tidak serta sempurna.

“Apabila berlaku masalah kegagalan dalam sistem, ia akan menyusahkan banyak pihak terutama pengguna,” katanya ketika dihubungi portal Selangor Kini, di sini, hari ini.

Menurut laporan media, kebanyakan pengguna menyuarakan rasa tidak senang hati kerana terpaksa berdiri terlalu lama sehingga luar bangunan dan terdedah dengan keadaan panas serta hujan, selain ada yang berulang-alik selama beberapa hari kerana tidak mempunyai masa menunggu.

Mohd Yusof berkata, kerajaan sepatutnya sudah menguji keberkesanan sistem itu sebelum dilaksanakan di seluruh negara dan menjadikan kegagalan projek terdahulu sebagai pengajaran supaya tidak berulang.

Beliau berkata, kerajaan perlu menghentikan segera pelaksanaan sistem itu sehingga segala permasalahan diperbaiki terlebih dahulu, jika pelaksanaan sistem MySikap itu terus gagal.

“Selagi sistem itu tidak berada pada tahap yang memuaskan, maka kerajaan perlu menangguhkannya. Apabila prasarana tidak bersedia sepenuhnya, akan mendatangkan masalah kepada pengguna yang ingin mendapatkan perkhidmatan daripada JPJ, ” katanya.

Sistem MySikap membabitkan kos bernilai hampir RM200 juta yang menggantikan sistem lama bagi memudah dan mempercepatkan urusan pengguna dengan JPJ hanya melalui atas talian.

-NFN-

Categories
NASIONAL

FOMCA : CGT tidak beban pengguna

Oleh : Lizawati Madfa,

SHAH ALAM 12 NOV : Kerajaan Pusat disarankan melaksanakan Cukai Keuntungan Modal (CGT) bagi menggantikan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang dilaksanakan pada 1 April 2015 kerana ia mampu memberikan pendapatan kepada kerajaan dan tidak membebankan pengguna.

fomca-GSTPengarah Komunikasi Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata bagaimanapun perkara cadangan perlaksanaan CGT memerlukan kajian dan analisis lebih mendalam oleh pakar-pakar ekonomi.

Kata beliau, kajian itu penting dilakukan bagi memastikan keputusan yang dibuat tidak membebankan rakyat yang semakin terhimpit dengan kos dan bebanan sara hidup yang semakin meningkat saban tahun.

“Jika CGT didapati lebih baik, maka elok juga dipertimbangkan perlaksanaanya menggantikan sistem cukai sedia ada.

“Kita faham bahawa kerajaan memerlukan sumber pendapatan bagi membangunkan negara namun kita mahu agar ia dilaksanakan secara tidak membebankan rakyat,” kata Yusof ketika dihubungi Selangor Kini.

CGT bermaksud cukai yang dikenakan ke atas keuntungan jualan aset seperti jualan saham, bon, hartanah, emas dan sebagainya.

Buat masa sekarang kerajaan hanya mengenakan CGT ke atas keuntungan jualan hartanah yang juga dipanggil Real Property Gain Tax (RPGT).

Beliau berkata demikian bagi mengulas cadangan Penganalisis Ekonomi, Azrul Azwar Ahmad Tajudin agar Kerajaan Pusat melaksanakan CGT untuk mengurangkan beban rakyat miskin daripada terus dihimpit dengan pelaksanaan GST.

Mengulas perlaksanaan GST, Yusof mencadangkan agar Kerajaan Pusat menimbang kembali kadar enam peratus yang dikenakan agar tidak memberi kesan mendadak kepada pengguna.

“Saya fikir GST sebagai satu perkara baru di Malaysia diperkenalkan pada kadar lebih rendah iaitu sekitar tiga atau empat peratus sepertimana diamalkan di negara jiran Singapura.

“Ini penting agar rakyat atau pengguna tidak menerima kesan mendadak dengan perlaksanaan enam peratus cukai,” kata Yusof.

– EZY

Categories
NASIONAL SELANGOR

FOMCA : GST Perlu Lindungi Pengguna – BULETIN 13

Sinopsis

BULETIN 13 Untuk 21052013

Saksikan secara langsung “BULETIN 13” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT. Pelbagai info dan maklumat yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Gabungan Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia atau FOMCA menggesa kerajaan supaya mengkaji semula kadar caj 7% yang akan dikenakan sebagai Cukai Barangan & Perkhidmatan.

2. Rata-rata rakyat berpendapatan rendah tidak bersetuju dengan tindakan Kerajaan Pusat itu dilaksanakan pada tahun ini.

3. Gerakan Mansuhkan ISA menyokong tindakan Ahli Dewan Undangan Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad untuk mencabar Akta Perhimpunan Aman 2012 di Mahkamah Tinggi.

4. Pelantikan Datuk Paul Low, daripada badan ketelusan antarabangsa, Transparency International, sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri tidak mendatangkan hasil sekiranya peranan beliau dalam jemaah menteri tidak diberdayakan sepenuhnya.

Categories
NASIONAL

Bajet 2013 FOMCA Minta Kerajaan Tumpu Pengangkutan Awam, Rumah Mampu Milik

SHAH ALAM 25 SEPT : Sistem pengangkutan awam dan rumah mampu milik merupakan dua perkara yang perlu diberi perhatian serius oleh Kerajaan Pusat dalam Bajet 2013  pada 28 September depan.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Muhammad Sha’ani Abdullah berkata inisiatif itu perlu dizahirkan bukan sahaja di sekitar Lembah Kelang, tetapi di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak.

“Contohnya pengangkutan awam, jika dibandingkan perkhidmatan pengangkutan awam hari ini dengan 30 tahun lepas, keadaan dulu adalah berkali ganda lebih baik daripada apa yang kita ada hari ini.

“Pada masa ini, sesetengah tempat langsung tidak mempunyai perkhidmatan bas menyebabkan rakyat terpaksa pula menyewa kenderaan untuk ke sesuatu destinasi.

“Keadaan ini harus diubah dan kerajaanlah yang berkuasa memastikan keadaan ini mampu berubah,” ujarnya yang dihubungi TV Selangor.

Selain itu, beliau berkata Kerajaan Pusat juga perlu memperbanyakkan pembinaan rumah mampu milik dan menyemak semula dasar penempatannya.

“Kerajaan perlu mengkaji bagaimana harga rumah dapat dikurangkan atau mencapai satu harga yang mana setiap rakyat mampu membeli dan memiliki rumah sendiri,”katanya.

Beliau yang juga Pesuruhjaya SUHAKAM memberitahu agar kerajaan menyemak semula penempatan penduduk, jangan meminggirkan kawasan luar bandar dan membiarkan kawasan pesisir bandar pula dimonopoli perumahan elit.

Beliau bagaimanapun berkata segala usaha menaik taraf kehidupan rakyat ini hanya mampu dicapai melalui sebuah kerajaan yang telus dan komited.

“Jika tiada komitmen yang baik, tidak ada kesungguhan untuk membela dan memastikan rakyat hidup selesa, keadaan tidak mustahil akan menjadi lebih teruk lagi,” tegasnya ringkas.

Categories
NASIONAL SELANGOR

FOMCA : Kenaikan Ron 97 Jejas Pengguna

SHAH ALAM 10 SEPT : Kerajaan Pusat perlu meneliti semula kenaikan harga petrol gred RON97 sebanyak RM0.30 yang diumumkan baru-baru ini.

Penurunan ini perlu bagi mengurangkan bebanan orang ramai untuk menanggung kos sara hidup yang makin meningkat kini.

Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan- Persatuan Penguna Malaysia(Fomca), Mohd Yusoff Abdul Rahman berkata kenaikan ini akan memberi kesan kepada golongan tertentu terutama bagi mereka yang menggunakan kenderaan berkuasa tinggi.

Menurutnya, tindakan Kerajaan Pusat menaikkan harga petrol memberi kesan kepada peningkatan kos pengangkutan, ditambah dengan kenaikan harga barangan yang semakin serius sejak kebelakangan ini.

“Walaupun kita mendapati ramai yang menggunakan RON95, tetapi ramai juga yang beralih ke RON 97 kerana mendapati kualitinya lebih baik untuk perjalanan jauh.

“Ini menyebabkan kos perjalanan atau pengangkutan meningkat. Saya berharap Kerajaan Pusat perlu melakukan sesuatu supaya ia tidak memberi kesan kepada masyarakat secara keseluruhannya untuk jangka masa panjang,” katanya.

Beliau berkata, pengguna juga harus bijak mengatur perbelanjaan supaya tidak terlalu terbeban dengan kenaikan harga petrol serta harga barang di pasaran.

Menurutnya, pengingkatan harga petrol dan harga barang tidak dinafikan mula memberi kesan terutama bagi golongan berpendapatan rendah.

“Kesannya memang mula dirasai. Saya sarankan Kerajaan Pusat perlu ambil tindakan untuk mengurangkan kesan kepada pengguna,” katanya lagi.

Untuk kali kedua dalam tempoh kurang sebulan, Kerajaan Pusat secara senyap-senyap menaikkan harga petrol gred RON97 kepada RM0.30 menjadikan harganya mencecah RM3 seliter.

Kali terakhir pengumuman rasmi dibuat ialah pada bulan Julai apabila Menteri Kewangan Kedua, Datuk Ahmad Husni Hanadzlah mengumumkan pengurangan RM0.20 harga seliter.

Sejak September 2009, harga RON97 harga ditentukan oleh apungan terurus sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan persekutuan untuk mengetatkan jumlah subsidi kerajaan.

Sebagai kompromi, Kerajaan Pusat memperkenalkan petrol gred RON95 dengan harga RM1.85 seliter.

Ia dinaikkan kepada RM1.90 seliter pada bulan Disember 2010 dan sejak itu tidak berubah.

Categories
NASIONAL

FOMCA : Bank Patut Bekalkan Kenyataan Bulanan Secara Percuma

PETALING JAYA 15 MAC : Sempena Hari Hak-hak Pengguna Sedunia, Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) melancarkan kempen bagi menuntut bank supaya memberikan penyata bulanan secara percuma kepada pemegang akaun simpanan.

Kempen ?Hak Mendapatkan Penyata Simpanan Saya? itu akan digerakan menerusi laman sosial ‘Facebook’ kata Presiden FOMCA, Datuk Marimuthu Nadason.

“Sekarang, kebanyakan bank tidak lagi mengeluarkan buku bank atau penyata aliran dan jika pengguna perlu membuat pembayaran serendah RM2 dan adakala sehingga RM5O bagi sehelai penyata.

“Selain itu, buku bank dan penyata ini juga penting sebagai bahan bukti aliran kewangan pengguna secara hitam putih bukan sekadar melalui internet dan sebagainya,” ujar Marimuthu dalam satu sidang media yang diadakan di Bangunan SKPPK di sini pagi tadi.

Selain itu, FOMCA turut mendesak kerajaan pusat untuk memberi perhatian terhadap beberapa isu berkaitan sektor perbankan yang mengelirukan pengguna.

“Pihak bank sering mengemukakan terma dan syarat yang tidak jelas atau kontrak berat sebelah, sikap tidak peduli aduan pengguna, caj tersembunyi serta perkhidmatan pelanggan yang tidak memuaskan.

“Kadangkala juga mereka sengaja menangguhkan urusan pengguna untuk selesaikan masalah, mereka mengatakan ya tapi dalam masa yang sama memberikan pelbagai kerumitan terhadap pengguna.?

Marimuthu menambah undang-undang perbankan seharusnya diperketatkan lagi untuk mengawal sikap sambil lewa pihak bank.

Kempen ini akan berlangsung selama 45 hari bermula hari ini dan pengguna hanya perlu menekan butang ‘suka’ (like) di Facebook: Right to My Statement bagi menyatakan sokongan.

“Apabila sudah mencapai sasaran sokongan, kita akan memastikan Bank Negara Malaysia akan mengeluarkan arahan kepada bank-bank seluruh Malaysia untuk memenuhi tuntutan pengguna.”

Marimuthu mensasarkan sokongan daripada 500,000 pelayar Facebook untuk kempen ini.