Categories
NASIONAL SELANGOR

Kerajaan Selangor Beri Bantuan Tanpa Mengira Fahaman Politik

rodziah DUN soal jawab 01

SHAH ALAM 2 JULAI : Kerajaan Negeri mengingatkan semua pegawai kerajaan termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) supaya bersikap professional ketika bertugas dengan mengutamakan kepentingan masyarakat di Selangor tanpa pilih kasih.

Exco Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita, Rodziah Ismail berkata, semua pegawai dan kakitangan diarahkan supaya bersikap terbuka dan penuh tanggungjawab dalam melaksanakan tugas tidak kira fahaman politik.

“Semua pegawai JKM sentiasa diingatkan untuk meningkatkan tahap professionalisma mereka dan meletakkan penerima yang benar-benar memerlukan sebagai asas keutamaan tanpa mengambilkira latar belakang politik.

“Sehubungan itu jika terdapat lagi mana-mana pegawai yang masih melakukan perkara tersebut, sila laporkan nama mereka untuk diambil tindakan selanjutnya.?

Rodziah berkata demikian ketika menjawab soalan Adun Dusun Tua, Razaly Hassan di dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini hari ini.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Rodziah : PM Puji Rosmah Berdasarkan KPI Atau Sebagai Suami Isteri

rosmah-permata-2

SHAH ALAM 28 MEI : Tidak pasti apakah pujian pujian Perdana Menteri terhadap Datin Seri Rosmah Mansor berhubung Projek Permata Negara berlandaskan hubungan suami isteri atau berdasarkan pencapaian Indeks Prestasi Utama (KPI) projek tersebut.

Demikian respon Timbalan Ketua Wanita PKR Pusat, Rodziah Ismail ketika diminta mengulas pujian Datuk Seri Najib Razak dalam Persidangan Women Deliver 2013, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini

Najib dalam ucapannya menyanjung tinggi kerja-kerja kebajikan yang dijalankan isterinya selain mendakwa usaha Rosmah itu memberi dividen besar kepada negara.

Bagaimanapun, Rodziah merasakan Projek Permata yang dicetuskan Rosmah itu tidak mencapai sasaran yang sewajarnya kerana ia hanya tertumpu pada segelintir kumpulan kanak-kanak.

“Saya lebih menggesa Perdana Menteri untuk melihat kebajikan kanak-kanak kepada hak yang lebih menyeluruh tanpa mengira latar belakang mereka samada daripada kawasan kampung atau bandar, untuk mendapat pendidikan awal.

“Isu pendidikan awal kanak-kanak ini sepatutnya dilihat secara lebih menyeluruh sedangkan Projek Permata seolah-olah hanya mensasarkan golongan tertentu dan elit untuk beroleh manfaaat,” ujar Rodziah yang dihubungi melalui panggilan telefon.

Seharusnya, tegas Adun Batu Tiga ini, Kerajaan Persekutuan perlu mewujudkan insentif tertentu untuk disalurkan secara terus kepada ibu bapa khususnya mereka yang berpendapatan rendah, lebih-lebih lagi dalam menghadapi kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Jika dilihat, kebanyakan projek-projek persekutuan ini lebih pentingkan bilangan atau kuantiti sementara kualiti langsung tidak dipantau.

“Malah, kita juga tidak tahu siapa yang benar-benar menerima manfaat daripada projek yang dijalankan,” jelasnya lagi.

Projek Permata Negara mula dilaksanakan pada tahun 2007 dengan tujuan memberi peluang kanak-kanak di bawah umur 4 tahun didedahkan dengan proses pembelajaran awal.

Projek ini juga menerima peruntukan setiap tahun dalam bajet Kerajaan Pusat dan terbaru dalam Bajet 2013 yang dibentangkan September tahun lalu, sejumlah RM111 juta daripada bajet pendidikan diberikan kepada Projek Permata yang diketuai Rosmah ini.

Ia bagaimanapun tidak dimasukkan laporannya dalam Laporan Audit Negara menyebabkan tiada siapa arif dan tahu tentang bagaimana peruntukan yang diterima dibelanjakan.

Berbeza dengan Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor sehingga April lalu, lebih RM600,000 diperuntukkan untuk memberi bantuan Tadika (Skim Tunas) dan Taska (Skim Si Kembar) kepada keluarga yang berpendapatan rendah.

Untuk Skim Tunas, keluarga berpendapatan RM 2,500 sebulan layak untuk mendapat bantuan RM 50 sebulan untuk menghantar anak mereka yang berusia antara empat hingga enam tahun ke tadika.

Sementara itu, bagi Skim Si Kembar, kanak-kanak berusia empat tahun ke bawah layak menerima bantuan RM 100 setiap bulan yang dibayar terus kepada taska yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

MB: Jaga Kebajikan Umat Islam Elak Gejala Murtad

SHAH ALAM 23 NOV : Kebajikan umat Islam perlu dijaga dengan baik dalam usaha memantau gejala murtad daripada berleluasa.

Usaha itu perlu dijalankan secara konsisten dan berterusan kerana menurut Menteri Besar yang juga Exco Hal Ehwal Islam, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kemiskinan adalah antara punca umat Islam terpesong.

“Jadi, kebajikan mesti jadi tumpuan utama kerana mereka yang terjebak dalam gejala ini kebanyakannya terdesak akibat kemiskinan.

“Umat Islam seharusnya dijaga dengan baik oleh institusi Islam sendiri, barulah umat Islam itu kukuh dan kekal dengan Islam,” jelas beliau menjawab soalan daripada Adun Gombak Setia, Datuk Hasan Ali.

Justeru, beliau menggesa institusi seperti Lembaga Zakat, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan lain-lain yang berkaitan untuk bekerjasama menjaga kebajikan umat Islam.

“Kita juga perlu adakan pemantauan yang efisyen dan cekap mengenai perkara ini dan meneliti perkara yang perlu diambil kira.

“Ia bukan usaha yang akan berjaya dalam satu hari namun ia adalah usaha berterusan yang memerlukan sokongan,” tambah beliau yang juga Adun Ijok.

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan peranan Jabatan Agama Islam Selangor(Jais) dalam usaha memerangi gejala murtad.

“Jais mempunyai pasukan khas untuk memantau aktiviti dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap usaha pihak tertentu memurtadkan Umat Islam,” tegas beliau.

Categories
NASIONAL

Rodziah: 20 peratus Ibu Tunggal keluar Daripada Paras Kemiskinan

 

SHAH ALAM, 22 NOV : Sasaran 20 peratus ibu tunggal keluar daripada paras kemiskinan seperti yang disasarkan dua tahun lepas berjaya dilakukan di Selangor.

Angka ini menafikan bahawa Kerajaan Negeri meminggirkan golongan ibu tunggal seperti yang didakwa Umno-BN.

Exco Wanita, Kebajikan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail berkata, tindakan secara menyeluruh dibuat dan setakat ini seramai 27,320 orang ibu tunggal didaftarkan di bawah Kerajaan Negeri Selangor.

Katanya, hampir 11 program yang mempunyai kaitan berhubung bantuan ekonomi ibu tunggal dilaksanakan termasuk penglibatan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Lembaga Zakat Selangor (LZS).

“Sebenarnya isu berkaitan menifesto ini telahpun kita tangani iaitu elaun kepada ibu tunggal tetapi elaun itu bukanlah khusus dalam bentuk bulanan secara terus kepada beliau tetapi dalam bentuk program bulanan khusus.

“Malah program yang kita buat jauh lebih besar dan banyak,” katanya dalam satu sidang media di lobi Dewan Negeri Selangor.

Antara program untuk kepentingan ekonomi ibu tunggal yang dilaksanakan adalah Program Pemberdayaan Wanita menerusi Pusat Wanita Berdaya (PWB), Skim Mikrokredit Bandar dan Luar Bandar (MiMIBAR dan SkimSel), Progran Pemberdayaan Ibu Tunggal SOHO Selangor dan Skim Mikrokredit Wanita Ladang (WALA).

Selain itu, program Skim Bantuan Tadika (TUNAS), Skim Bantuan Asuhan Rakyat (SiKEMBAR) dan Laman Dapur.

Berhubung satu demonstrasi daripada ibu tunggal Selangor yang bakal diadakan esok, Rodziah menyatakan kesudian untuk menerima memorandum berkenaan.

Ujar beliau lagi, sekiranya ada ibu tunggal yang terlepas mahupun belum berdaftar dengan Kerajan Negeri, mereka masih berpeluang untuk berbuat demikian.

“Saya mengalu-alukan dan akan menerima memorandum tersebut. Tetapi dalam masa yang sama ada ketelusan tolong sampaikan senarai mana-mana ibu tunggal yang belum menerima bantuan ini untuk saya tangani secara baik,” katanya.

Categories
SELANGOR

Projek Takungan Air RM 20 juta Dijangka Atasi Masalah Banjir

SHAH ALAM, 20 OKT : Kolam takungan air di Sri Sentosa yang dijangka siap dalam masa 18 bulan mampu mengatasi masalah banjir yang berlaku di Daerah Klang kata ADUN Seri Muda, Shuhaimi Shafiei.

Projek RM 20 juta itu diharap dapat menampung limpahan air jika hujan lebat di kawasan Bukit Naga, Seri Gambut , Jalan Pendamar, Johan Setia, Bandar Putera dan Bandar Puteri.

“Mengikut laporan daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dalam Mesyuarat Jawatankuasa Daerah Klang, projek itu akan dimulakan pada bila-bila masa sahaja,” kata Shuhaimi ketika dihubungi TVSelangor.

Dalam pada itu, Shuhaimi berkata penduduk Johan Setia dan Bandar Puteri yang terjejas akibat banjir semalam sudah kembali ke rumah masing-masing selepas dipindahkan ke Dewan Al-Munirah Rumah Anak-Anak Yatim.

Mereka dipindahkan selepas air ketinggian paras paha masuk ke rumah mereka semalam.

Katanya, Pejabat Daerah Klang dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga telah menghulurkan bantuan makanan kepada mereka.

“Kita sedang merekodkan dan meninjau dari rumah ke rumah di mana ada warga emas yang tidak berupaya membersihkan rumah dan kita akan membantunya.

“Dan sekarang ini sedang berlaku proses pembersihan rumah yang mengalami masalah banjir,” jelas Shuhaimi.

Kata Shuhaimi, punca berlakunya banjir itu adalah ekoran Fenomena Astromical Tide yang sudah dijangkakan akan berlaku.

Shuhaimi juga menolak tuduhan bahawa pihak Adun dan Ahli Parlimen tidak melaksanakan tugas dalam mengatasi masalah banjir itu.

“Dalam berita di TV3 ada budak-budak daripada Umno membuat tuduhan mengatakan Ahli Parlimen dan Adun berjanji untuk membawa ekskavator untuk membersihkan laluan air.

“Tuduhan itu berniat jahat kerana orang-orang itu tidak pernah berjumpa dengan pihak saya.

“Mereka hanya mengambil kesempatan politik apabila berlaku masalah banjir untuk menyalahkan kerajaan negeri, ahli parlimen dan adun,” katanya.