Categories
NASIONAL

Tiada kesan negatif fizikal pada anak usahawan kosmetik

KUALA LUMPUR, 4 MEI: Pemeriksaan awal Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) terhadap anak perempuan usahawan kosmetik Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman mendapati tiada kesan negatif pada kanak-kanak itu.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, pemeriksaan itu mendapati tidak kesan negatif secara fizikal dan psikologi yang dialami Qadejah El Zahra, 9, atau nama timangannya Cess, rentetan kes dirotan Aliff Syukri.

“JKM sudah siasat dan laporan mendapati tiada kesan negatif ke atas anak beliau, (namun) sekarang ini kita nak rujuk kepada hospital pula.

“Kita tahu niatnya (Aliff Syukri) untuk mendidik anaknya, tapi (dia) dipamerkan (kongsi video). Jika (dilihat) keterlaluan memang JKM telah ambil tindakan,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan Ramadan kepada masjid dan surau Parlimen Pandan, di Ampang, hari ini.

Susulan kes itu, Dr Wan Azizah, yang juga Timbalan Perdana Menteri, turut menasihatkan ibu bapa agar mengamalkan pendekatan yang lebih baik atau ‘good parenting’.

“Kami mahu mengutamakan kepentingan kanak-kanak, (sebab), itulah kita perlu tekankan ‘good parenting’,” katanya.

Baru-baru ini, isu Aliff Syukri merotan anak perempuannya itu menjadi tular kerana perbuatannya itu didakwa sebagai mendera anak.

Pada Selasa lepas, beberapa badan bukan kerajaan (NGO) yang menyifatkan perbuatan itu sebagai penderaan fizikal membuat laporan polis ke atas Aliff Syukri kerana merotan Cess dengan alasan kanak-kanak itu membuka tudung.

Difahamkan, pegawai psikologi JKM bertemu keluarga Aliff Syukri dan membuat pemeriksaan terhadap kanak-kanak itu, semalam.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

JKM salur lebih RM600 juta bantu warga emas, OKU

KUALA LUMPUR, 1 APR: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyalurkan lebih RM600 juta bagi membantu 166,028 Orang Kelainan Upaya (OKU), pesakit kronik dan warga emas tahun lepas.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh berkata, mereka dibantu menerusi dua skim bantuan kewangan iaitu Bantuan Orang Tua dan Bantuan Penjagaan Pesakit Kronik serta OKU Terlantar.

Beliau berkata, JKM juga menyediakan perkhidmatan dan kemudahan pengangkutan kepada warga emas untuk mendapat pemeriksaan dan rawatan kesihatan di hospital atau klinik kesihatan menerusi Unit Penyayang Warga Emas (UPWE) dengan seramai 2,262 warga emas mendapat manfaat daripada program itu pada 2018.

“Selain itu, program Khidmat Bantu di Rumah (KBDR) atau Home Help Service juga dilaksana bagi meningkatkan kesejahteraan hidup warga emas dan OKU,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PH-Masjid Tanah) yang ingin tahu langkah kerajaan dalam membantu golongan khususnya ibu tunggal dan warga emas yang tidak mempunyai pendapatan untuk mendapatkan rawatan lanjutan seperti hemodialisis.

Hannah berkata, sehingga Disember 2018, seramai 8,994 isi rumah iaitu 7,135 isi rumah warga emas dan 1,859 isi rumah OKU menerima perkhidmatan KBDR yang dilaksanakan JKM itu.

Sementara itu katanya, kementerian melalui Yayasan Kebajikan Negara (YKN) memperuntukkan anggaran RM4 juta bagi membiayai rawatan dialisis kepada pesakit buah pinggang yang terpilih di seluruh negara setiap tahun.

“Kesemua individu yang ditaja sepenuhnya itu terdiri pesakit buah pinggang yang kurang berkemampuan dengan pendapatan bulanan di bawah RM1,200 sebulan dan sedang mendapatkan rawatan di pusat dialisis kelolaan YKN di seluruh negara,” katanya.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Polis bantu JKM periksa latar belakang pengasuh

PEKAN, 12 NOV: Polis DiRaja Malaysia (PDRM) akan bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam menyalurkan bantuan pemeriksaan latar belakang pengasuh kanak-kanak.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata kejadian penderaan dan kematian melibatkan bayi dan kanak-kanak kebelakangan ini memerlukan langkah penyelesaian lebih tuntas.

Menurutnya, kejadian yang berlaku menjadi ‘wake up call’ kepada polis untuk turut sama mengambil tindakan bersesuaian dengan kuasa yang ada.

“Kita boleh membantu dari segi maklumat sama ada pengasuh terbabit atau keluarganya pernah terbabit dengan jenayah atau pun penagih dadah seperti berlaku dalam kes-kes (dera) sebelum ini.

“Memang sebelum ini kita ada membantu dengan menjalankan siasatan dan membawa pesalah ke muka pengadilan tetapi polis mahu ke peringkat seterusnya sebagai langkah pencegahan.

“Kita akan terus memantau mereka yang membuka pusat jagaan sama ada berdaftar atau tidak bagi mengelakkan kejadian sama berulang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Penutupan Persidangan Tahunan Polis Bantuan Malaysia kali ke-30 (APAC-30) di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman Datuk Rosli Ab Rahman, Timbalan Ketua Polis Pahang Datuk Mohd Yusri Hassan Basri dan Presiden Persatuan Polis Bantuan Malaysia Datuk Aishah Mohammad.

Media sebelum ini, melaporkan bayi berusia 11 bulan Nur Muazara Ulfa Mohammad Zainal meninggal dunia pada Jumaat lepas, selepas dua hari berada dalam keadaan kritikal di Hospital Serdang, Selangor.

Bayi itu dipercayai didera secara fizikal dan seksual oleh suami kepada pengasuhnya selain pemeriksaan kesihatan mendapati mangsa juga didera secara seksual dipercayai dilakukan oleh suami kepada pengasuhnya yang positif dadah.

Noor Rashid seterusnya menasihatkan ibu bapa supaya lebih teliti ketika memilih pengasuh untuk menjamin keselamatan anak yang ditinggalkan dalam jagaan mereka.

“Ibu bapa seharusnya memeriksa latar belakang penjaga atau pengasuh yang ingin mereka upah. Ini kerana adakala mereka tidak tahu bahawa pengasuh, suami atau ahli keluarga yang tinggal bersama mempunyai rekod berkaitan dadah dan jenayah.

“Banyak kes berlaku terutamanya melibatkan ibu bapa yang menghantar anak ke pengasuh persendirian tidak tahu dengan siapa mereka berurusan,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

 

Categories
SELANGOR WANITA & KEBAJIKAN

Sukarelawan JKM Hulu Selangor gotong-royong rumah asnaf

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

BATANG KALI, 24 SEPT: Sukarelawan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Hulu Selangor mengambil inisiatif menjalankan aktiviti gotong-royong membersih dan mengemas rumah asnaf di Kampung Sungai Masin, di sini.

Asnaf terbabit, Amran Mohd Saad, 46, adalah Orang Kelainan Upaya (OKU) dan kini menetap dengan kakaknya.

Pegawai JKM, Muhammad Shaiful Harun berkata, seramai 30 sukarelawan turut serta dalam aktiviti gotong-royong itu, membabitkan kerja penggantian bumbung dan pintu serta mengecat dinding rumah.

Katanya, mereka turut membersih dan mengemas bilik bagi mengurangkan beban penghuni rumah itu.

“Asnaf ini adalah penerima bantuan bagi program Khidmat Bantu Di Rumah yang dilaksanakan sukarelawan melalui gotong-royong.

“Saya berharap dengan adanya inisiatif ini akan dapat membantu asnaf tersebut untuk menjalani kehidupan dalam suasana lebih selesa dan rumah yang bersih,” katanya pada program Jalinan Kasih Gotong-Royong Sukarelawan, di sini, Sabtu lalu.

Sebelum itu, perasmian program disempurnakan Ahli Dewan Negeri Batang Kali, Harumaini Omar.

Beliau memuji komitmen diambil pihak sukarelawan JKM bagi menjayakan program membantu golongan memerlukan.

Muhammad Shaiful berkata, pihaknya berusaha meringankan beban sebagai satu kerja amal, memandangkan asnaf terbabit turut mengalami kekangan kewangan dan tenaga.

“Justeru, kami amat mengalukan penyertaan orang ramai termasuk badan korporat dalam program sedemikian untuk dimanfaatkan kepada golongan kurang berkemampuan,” katanya.

 

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

JKM sedia lindung mangsa seksual bapa

KUALA LUMPUR, 11 OGOS: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bersedia memberi perlindungan kepada remaja yang menjadi mangsa jenayah seksual bapa kandungnya, sementara kes itu diselesaikan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata,
pihaknya akan memberi kerjasama kepada pihak berkuasa terlibat berhubung kes itu.

“Sekarang ini memang kita tidak boleh mengganggu siasatan tetapi apa jua diarahkan mahkamah juga polis, kami akan memberikan kerjasama.

“Selalunya dalam keadaan begini, jika tiada keluarga paling rapat atau mereka rasa tidak mampu melindungi kanak-kanak ini, JKM akan ambil untuk diberi perlindungan sementara,” katanya lapor BERNAMA.

Beliau sebelum itu ditemui selepas menghadiri majlis minum petang sempena ulang tahun ke-48 majalah Wanita terbitan Utusan Karya Sdn Bhd, di sini, semalam.

Pada 9 Ogos lalu, seorang bapa dihadapkan ke Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-kanak atas lebih 600 pertuduhan meliwat, merogol dan melakukan seksual fizikal terhadap anak perempuan kandungnya yang berusia 15 tahun.

Pada 10 Ogos lalu, bapa berkenaan sekali lagi dihadapkan ke mahkamah sama atas dakwaan 444 pertuduhan meliwat anak perempuan kandungnya sebanyak tiga kali sehari selama tujuh bulan sejak Januari hingga Julai lalu.

Categories
SELANGOR

JKM: Pelbagaikan program bantu warga emas

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM 17 NOV: Kerajaan Negeri disarankan menyediakan pelbagai program kepada warga emas bagi menjadi contoh kepada negeri lain.

Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM) Selangor, Zuhami Omar, berkata hal itu selaras Selangor negeri maju dan mempunyai warga emas tertinggi dengan jumlah 327,703 daripada 6.3 peratus penduduk negeri itu.

zuhaimi Pengarah JKM a“Statistik itu menjadikan Petaling paling ramai dengan jumlah seramai 108,454. Kita juga mahu pihak berkuasa tempatan (PBT) menyediakan kemudahan warga emas dengan baik termasuk keselamatan dan persekitaran.

“Dari jumlah itu, warga emas wanita teramai iaitu 1.34 juta manakala lelaki seramai 1.2 juta,” katanya kepada Selangor Kini.

Beliau berkata demikian selepas Sambutan Hari Warga Emas peringkat negeri 2015 di Wisma PKPS, di sini.

Dalam majlis itu, seramai kira-kira 700 warga emas hadir memeriahkan sambutan.

Selain cabutan bertuah, warga emas dihiburkan oleh Penyanyi, Dayangku Intan.

EZY

Categories
SELANGOR

Warga emas, ibu tunggal, OKU dan miskin terus dapat pembelaan

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 17 NOV: Sejumlah peruntukan disediakan tahun depan kepada warga emas, ibu tunggal, orang kelainan upaya (OKU) dan golongan miskin dalam pelbagai aktiviti pembangunan golongan terbabit.

Exco Kesihatan, Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita, Dr Daroyah Alwi, berkata hal itu kerana golongan terbabit perlu diberikan perhatian bagi memastikan golongan itu diiktiraf.

Katanya, ia hasil perbincangan dalam pertemuan di Cameron Highland bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Sambutan hari Wanita Peringkat Negeri Selangor 2015 - YB Daroyah Alwi (3)“Peruntukan itu tidak banyak tetapi kita cuba menguruskan peruntukan itu seoptimum mungkin supaya ia sampa ke sasaran.

“Sebagai contoh kita akan bincang sediakan program advokasi kanak-kanak kerana ketika ini banyak kes penderaan kanak-kanak, culik mahupun kes pemerdagangan.

“Empat kategori ini dirangka program baru, contohnya untuk OKU kita peruntukan RM500,000 bagi ‘smart’ didik Selangor dan kita melihat dengan lebih menyeluruh perancangan 2016,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Selangor Kini selepas merasmikan Sambutan Hari Warga Emas peringkat negeri 2015 di Wisma PKPS, di sini.

Dalam program itu, Dr Daroyah berkata mahu sektor swasta dan kerajaan berganding bahu menjalin kerjasama menyediakan persekitaran selamat dan kondusif kepada warga emas.

“Bertepatan dengan tema ‘Kami Sayang Kamu’, Kerajaan Negeri mengharapkan masyarakat di negeri berbilang kaum ini menghayati serta mengekalkan keharmonian.

“Perlu diingatkan pentingnya mengambil berat mengenai segala keperluan dan kehendak golongan ini dan jadikan mereka warga emas yang aktif dan produktif terhadap pembangunan negara,” katanya.

EZY

Categories
SELANGOR

Lebih Setengah Juta Telah Dibelanjakan Untuk Bantuan Pra Sekolah

Skim Tunas Selangor Tadika Padang Jawa 08

SHAH ALAM 3 APRIL : Sehingga kini, Kerajaan Negeri telah membelanjakan lebih RM 600,000 untuk memberi bantuan Tadika dan Taska kepada keluarga yang berpendapatan rendah.

Ini sekaligus menyangkal dakwaan serta tindakan pihak tertentu yang menyaman Kerajaan Negeri kerana kononnya gagal menunaikan janji pilihanraya 2008 untuk memberi bantuan pra sekolah.

Bagi tahun 2012, Skim Bantuan Tadika Selangor (Tunas) yang mula dilancarkan pada Julai tahun itu berjaya menarik penyertaan seramai 1,903 kanak-kanak daripada 217 buah tadika yang menyertai skim tersebut.

Tahun lalu, RM 210,475 dibelanjakan untuk skim Tunas, di mana keluarga berpendapatan RM 1,500 mendapat RM 50 sebulan untuk menghantar anak mereka ke tadika.

Skim Tunas Selangor Tadika Padang Jawa 05Namun, atas permintaan masyarakat, tahun ini Kerajaan Negeri menaikkan syarat itu kepada keluarga yang berpendapatan RM 2,500 sebulan.

Syarat kelayakan baru itu berjaya menarik 2,420 kanak-kanak daripada 406 buah tadika sehingga hujung Mac lalu dengan peruntukan berjumlah RM 430,220.

Bagi Skim Si Kembar pula, bermula awal tahun ini sehingga Mac lalu, seramai 164 kanak-kanak berusia empat tahun ke bawah layak menerima bantuan RM 100 setiap bulan yang dibayar terus kepada 34 buah taska yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Modal Insan, Dr. Halimah Ali berkata, saman tersebut tidak seharusnya timbul kerana bantuan sudahpun disalurkan.

“Ramai yang layak dan memenuhi syarat sudahpun menerima manfaat daripada inisiatif Skim Bantuan Tunas ini.

“Kita pastinya akan teruskan skim ini pada masa-masa akan datang dengan penambahbaikan agar rakyat terus memperoleh manfaat daripada program ini,” jelasnya.

Categories
SELANGOR

Banyak Program Kementerian Wanita Tidak Dinilai Audit Negara

KUALA LUMPUR 17 OKT : Banyak program yang membabitkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat tidak diberi penilaian dalam Laporan Ketua Audit Negara 2011, kata Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusoff.

Katanya, banyak program yang dilaksanakan tidak dibuat penilaian terhadap keberkesanan perlaksanaannya.

“Contohnya, bantuan kebajikan. Bantuan itu tidak menyeluruh, kita tidak tahu sejauh mana keberkesanannya untuk rakyat keluar daripada kemiskinan,” katanya kepada pemberita di Parlimen.

Beliau menambah perkara itu merupakan satu kelemahan dan kegagalan yang perlu diberi perhatian kementerian terbabit.

Audit Negara yang dibentangkan Isnin lalu melaporkan, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mempunyai kelemahan apabila gagal menyelesaikan hal berbangkit yang dikemukakan dalam laporan audit 2009.

Mengikut laporan itu, tiga skim di bawah JKM diaudit iaitu bantuan orang tua, elaun pekerja cacat dan bantuan kanak-kanak.

?Pengauditan yang dijalankan antara bulan Jun hingga September 2011 mendapati masih terdapat kelemahan dalam pengurusan program ini di mana isu yang pernah dibangkitkan dalam LKAN 2009 masih lagi berlaku di lapan Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah/Jajahan/Bahagian (PKMD/J/B) yang dilawati,? kata laporan itu.

Antara kelemahan pentadbiran yang dinyatakan ialah proses siasatan bagi 114 (33.4 peratus) daripada 341 permohonan tidak dapat diselesaikan mengikut tempoh yang ditetapkan dalam piagam pelanggan.

?Pemakluman keputusan bagi 275 (57.1 peratus) daripada 482 permohonan melewati piagam pelanggan yang ditetapkan dengan kelewatan antara 8 hingga 10 hari.

?Wang bantuan yang tidak dapat diagihkan berjumlah RM1.58 juta melibatkan 778 baucar lewat dimasukkan ke dalam akaun bank kerajaan di antara 7 hingga 245 hari,? laporan itu dipetik.

JKM Didakwa Gagal Bayar Bantuan Bulanan Kanak-Kanak Bulan Oktober

SHAH ALAM 5 OKT: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) digesa menjelaskan kegagalan jabatan tersebut mengeluarkan bayaran kepada penerima bantuan kanak-kanak bagi bulan Oktober yang sepatutnya dibuat pada 2 Oktober lalu.

Kegagalan JKM membuat makluman awal menyebabkan para penerima bantuan terpaksa menghadapi kesulitan untuk menyara kanak-kanak di bawah tanggungan mereka.

Demikian menurut Exco Kebajikan, Kebudayaan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail kepada TV Selangor hari ini.

“Jika bantuan ini dihentikan bukan disebabkan kehilangan kelayakan, apa akan berlaku kepada keluarga penerima?

“Jadi tindakan proaktif itu perlu dibuat dan JKM tak boleh sekadar memberhentikan bantuan, tetapi apa tindakan sokongan lain juga perlu difikirkan,” kata beliau.

Rodziah juga berkata, kementerian bertanggungjawab seharusnya memohon peruntukan tambahan sekiranya peruntukan yang disediakan tidak mencukupi.

JKM merupakan sebuah jabatan di bawah bidang kuasa Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang diterajui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Terdahulu, Rodziah dimaklumkan bahawa penerima bantuan kanak-kanak sekurang-kurangnya melibatkan penerima bantuan di Daerah Petaling Jaya tidak menerima bantuan bulanan untuk bulan Oktober.

Bertindak dari maklumat tersebut, Rodziah mengambil tindakan menghubungi Timbalan Pengarah JKM Selangor, Mohd Hasbi Abd Rashid untuk mendapat penjelasan lanjut.

Menurut Rodziah, Hasbi memaklumkan kepada beliau bahawa pihaknya tidak mengetahui apa-apa berkenaan isu yang dikemukakan.

Bagaimanapun, Pegawai JKM Petaling Jaya, Surnani Masturi ketika dihubungi TV Selangor memberitahu, kegagalan bayaran bantuan kanak-kanak bagi bulan Oktober dibuat disebabkan masalah teknikal di peringkat JKM negeri.

“Ia bukan diperingkat kami, kami di peringkat daerah sediakan voucer kepada JKM negeri dan JKM negeri proses untuk buat bayaran.

“Kami cuma dimaklumkan oleh JKM negeri, ada masalah teknikal yang menyebabkan bayaran gagal dibuat, tetapi masalah teknikal yang bagaimana saya tak tahu,” ujar Surnani.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Rodziah Bantu Mangsa Kebakaran Seksyen 19

SHAH ALAM 16 OGOS : Keprihatinan Adun Batu Tiga, Rodziah Ismail sedikit sebanyak membantu meringankan beban mangsa kebakaran empat buah rumah di Jalan Tajak 19/4 di sini.

Sekurang-kurangnya, nikmat Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi dapat diraikan, kata salah seorang mangsa tersebut, Norhafizah Hanapi, 29.

“Pada hari kejadian lagi, sewaktu pihak bomba masih melakukan misi memadam api, YB Rodziah Ismail ada datang melawat kami dan membawa sumbangan.

“Dan hari ini juga kami berbesar hati beliau sudi menjenguk perkembangan kami dengan sedikit sumbangan, menjadikan kami kembali ceria menjelang lebaran beberapa hari lagi,” ujar ibu beranak dua ini.

Petang semalam, Rodziah melawat mangsa-mangsa tersebut dengan membawa sumbangan daripada pihak Lembaga Zakat Selangor (LZS) serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Setiap mereka menerima RM 1,000 daripada LZS dan RM 2,500 daripada JKM.

“Sebelum ini YB (Rodziah) ada nyatakan untuk dapatkan bantuan membaiki bumbung RM10,000 bagi setiap rumah daripada Kerajaan Negeri.

“Kami harap beliau dapat usahakan bantuan tersebut demi meringankan beban kami,” ujar Norhafizah penuh harapan.

Kejadian kebakaran berlaku pada 27 Julai lalu berpunca dari kejadian fius terbakar di sebuah rumah sebelum api merebak melalui bumbung rumah ke rumah yang lain.