Categories
SELANGOR

70 Lampu Jalan Atasi Risiko Kemalangan Ke Pekan Bangi

SHAH ALAM 6 OKT: Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM250,000 melalui geran Selangorku bagi pemasangan lampu jalan di laluan sejauh lima kilometer antara jalan Universiti Kebangsaan Malaysia(UKM) ke Pekan Bangi Lama.

Sebanyak 70 lampu jalan dipasang bagi memudahkan penduduk Bangi Lama dan pengguna jalan raya yang menggunakan laluan ini di waktu malam yang terdedah kepada pelbagai risiko kecelakaan.

Kelmarin, Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching dan Adun Bangi, Dr Shafie Abu Bakar bersama wakil Jabatan Kerja Raya Selangor(JKR) meninjau bagi melihat pemasangan lampu jalan berkenaan.

Sementara itu, Dr Shafie berkata, JKR memaklumkan permohonan dibuat bagi memasang lampu di atas jalan itu pada bulan Julai tahun ini dan sebanyak 49 lampu sudah siap dipasang.

“Ini bermakna sebanyak 21 tiang perlu dipasang lagi hingga ke Pusat Penyelidikan Atom di Jalan UKM-Bangi dan ia akan disempurnakan dalam tempoh dua minggu lagi,” katanya.

Dalam pada itu, sebanyak lima syarikat bertanggungjawab terhadap pemasangan lampu jalan ini iaitu Electric Setuah, Khidmat Jaya Engineering, Dinurai Trading, ANR Letrik Enterprise dan Zeksha.

Bagaimanapun, Nie Ching berkata, penyaluran bekalan elektrik ke lampu jalan akan mengambil masa lebih sebulan memandangkan perlu memohon lima akaun bagi laluan itu.

“Permohonan dikemukakan dan kita berharap pihak Tenaga Nasional Berhad(TNB) dapat meluluskan permohonan ini secepat mungkin,” katanya dalam satu laporan akhbar hari ini.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Pembinaan Masjid Baru Kota Kemuning Akan Dimasukkan Dalam Bajet 2013

SHAH ALAM 18 SEPT: Penduduk Islam di sekitar Kota Kemuning diharap bersabar untuk melihat sebuah masjid dibina di kawasan berkenaan kerana peruntukkan pembinaannya akan dimasukkan dalam Bajet Negeri Selangor 2013.

Adun Seri Muda, Shuhaimi Shafiei berkata masjid baru Kota Kemuning akan diberi keutamaan dalam Bajet 2013 Kerajaan Negeri yang akan dibentangkan November ini dan penduduk diminta menggunakan dahulu surau yang diberikan kebenaran untuk menunaikan solat Jumaat buat sementara waktu.

“Saya sedia maklum keperluan penduduk, kerana itulah saya dan tujuh pengerusi surau menubuhkan Jawatankuasa Pembinaan Masjid Kota Kemuning (JPMKK) sejak akhir 2009.

“Namun demikian, keutamaan pembinaan masjid ketika ini didahulukan kepada penduduk di Taman Sri Muda kerana memohon masjid baru sejak 28 tahun lepas dan Kampung Johan Setia yang sudah memohon sejak 25 tahun lepas berbanding Kota Kemuning yang baru memasuki 11 tahun,” katanya kepada TVSelangor hari ini.

Shuhaimi berkata, sebanyak tiga buah surau di kawasan Kota Kemuning diberikan kebenaran solat jumaat yang diluluskan pada tahun 2010 dan 2011 lalu.

“Kerana keperluan penduduk, maka saya sokong surau Al-Firdaus dan Surau Al-Hijrah dan Surau Kemuning Utama untuk diberi kebenaran solat Jumaat bagi menampung lebih 10,000 penduduk di kawasan ini,” katanya.

Menurutnya, JPMKK sehingga kini masih mengutip derma yang diberi kebenaran oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) sehingga tempohnya tamat.

“Saya menyeru JPMKK agar meneruskan usaha mereka dan bekerjasama lebih erat dengan pejabat saya dan pejabat Ahli Parlimen dalam usaha mendapatkan dana tambahan bagi pembinaan masjid baru itu,” ujarnya.

Isu ini dibangkitkan sebuah akhbar harian yang menyiarkan laporan usaha membina masjid itu terbantut berikutan dana tidak mencukupi walapun cadangan pembinaannya diluluskan lebih setahun lalu.

Sehingga kini dilaporkan JPMKK menerima sumbangan sebanyak RM500,000 daripada pelbagai pihak dengan kos pembinaan masjid baru dianggarkan berjumlah RM5 juta.

Ketika mengulas perkara itu, Shuhaimi berkata, hak mendirikan masjid tertakluk di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri bersama Pejabat Agama Islam Daerah (PAID), JAIS, MAIS dengan pemantauan Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Jawatankuasa pembinaan masjid hanya boleh mengusulkan cadangan, Kerajaan Negeri melalui MAIS akan memutuskan perkara itu,” katanya lagi.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Jalan Besar Seri Kembangan JKR Diminta Ambil Tindakan Segera

SHAH ALAM, 17 SEPT – Adun Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah telah meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) supaya mengambil tindakan segera berhubung kelewatan penyiapan projek Jalan Besar Seri Kembangan.

Beliau ketika dihubungi TV Selangor mengakui, berlaku sedikit kelewatan terhadap projek berkenaan ekoran masalah berkaitan kontraktor yang dipertanggungjawabkan menyiapkan jalan tersebut.

Tegasnya, kontraktor berkenaan dilantik sendiri oleh JKR dan Kerajaan Selangor hanya memberikan peruntukkan.

“Saya telah mengadu kepada pihak JKR dan mereka sudah memberikan surat amaran kepadanya. Mereka sedang mempertimbangkan untuk membatalkannya kontraktor bermasalah ini.

“JKR agensi kerajaan pusat. Ini jalan faderal,” katanya yang juga Exco Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Haram.

Beliau menambah, kos projek berkenaan yang menelan kos RM36 juta akan kekal meskipun berlaku kelewatan dalam menyiapkan projek berkenaan.

Semalam, bekas Adun Seri Kembangan, Datuk Liew Yuen Keong, membangkitkan isu projek naik taraf Jalan Besar Seri Kembangan dan penyusunan sistem lalu lintas sehala.

Menurutnya, projek juga diumum bermula Januari dan sepatutnya siap September selepas majlis pecah tanah dilakukan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim awal tahun ini.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Projek Jalan Raya Umno-BN Menyusahkan Peniaga di Semenyih

 

SEMENYIH, 3 SEPT: Projek penurapan jalanraya Kerajaan Umno-BN di sebuah kampung di sini menyusahkan penduduk apabila kedai mereka sering dimasuki air setiap kali ia hujan.

Peniaga dan pemilik kedai Kampung Sungai Jai, Beranang, mendakwa mereka terpaksa membersihkan kedai daripada air yang mengalir masuk daripada jalan tersebut yang berhadapan premis mereka.

Projek menaiktaraf laluan alternatif bagi Kuala Lumpur – Seremban itu didakwa diuruskan pejabat DUN Semenyih bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) Persekutuan.

MP Hulu Langat, Dr. Che Rosli Che Mat berkata, banjir ini disebabkan keadaan jalan baru ini terlalu tinggi serta ketiadaan longkang bagi mengalirkan air daripada masuk ke kedai-kedai berhampiran.

“Jalan ini diturap setinggi hampir enam inci tetapi longkang yang sepatutnya penting bagi mengalirkan air terutama ketika hujan tidak dibina,” katanya ketika meninjau keadaan jalan di sini hari ini.

Tambahnya, penduduk di kawasan Beranang menghargai jalan yang diturap serta lampu isyarat baru namun biarlah ia dalam keadaan sempurna tanpa menyusahkan mana-mana pihak.

Seorang peniaga kedai gambar, Wan Mohd Zambri Wan Husin, mengadu kedainya sering dimasuki air sejak jalan ini siap diturap bulan lalu dan ianya menyusahkan urusan perniagaannya.

“Apabila datang musim hujan, saya terpaksa membersihkan kedai setiap hari kerana dimasuki air dan ianya benar-benar merumitkan saya,” katanya ketika ditemui.

Bagi peniaga kedai gunting rambut Sivarajan Muniandy, JKR sudah berjanji akan membina longkang di depan kedai-tersebut.

“Jurutera JKR ada berjumpa saya dan mereka berjanji untuk membina longkang bagi mengatasi masalah banjir tetapi tiada apa-apa perkembangan sampai sekarang,” katanya.

Sementara itu, Dr. Che Rosli berkata, beliau akan mengadakan perbincangan lanjut dengan JKR untuk melihat pelan projek seterusnya mengatasi masalah ini.

Turut hadir ketika tinjauan dilakukan adalah Ketua Kampung Sungai Jai, Beranang, Mat Asnawi Mat Daud dan Penyelaras DUN Semenyih, Nor Azlan Mohamad.

Categories
NASIONAL SELANGOR

56,000 Set Hamper Diagih Bantu Golongan Miskin

SHAH ALAM 11 OGOS : Kerajaan Negeri mengagihkan 56 ribu set hamper barangan makanan kepada 56 DUN seluruh Selangor untuk diagih-agihkan kepada masyarakat miskin dan berpendapatan rendah sempena Hari Raya Aidil Fitri

Pembantu Khas Kepada Exco Selangor, Abdul Razak Ismail berkata, setiap DUN akan menerima 1,000 set untuk diagih-agih di kawasan masing-masing.

Antara barangan set hamper tersebut ialah beras 5 kg, minyak masak 1 kg, gula 1 kg, mihun, paket ketupak dan minuman kordial.

“Exco Kerajaan Negeri Selangor, YB Dr Xavier Jayakumar meluangkan masa meninjau kerja-kerja pengagihan di Stor JKR Seksyen 17, Shah Alam,” kata Abdul Razak dalam kenyataan medianya.

Ujarnya, Kerajaan Negeri komitted untuk meringan bebanan kewangan golongan yang kurang bernasib baik bagi menyambut hari raya tidak berapa lama lagi.

“Tegasnya lagi Kerajaan Negeri membelanjakan RM2.3 juta bagi program ini bagi memastikan golongan ini juga dapat merasai dari hasil perolehan negeri,” katanya.

Kerajaan Negeri Tidak Sekat BN Mohon Geran Selangorku

SHAH ALAM, 10 JUL : Kerajaan Negeri Selangor tidak menyekat permohonan pihak pembangkang (Umno-BN) sekiranya ingin menggunakan peruntukan Geran Selangorku di kawasan masing-masing bagi pembangunan infrastruktur.

Menurut Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, permohonan peruntukan itu tidak hanya terhad kepada Adun sahaja, tetapi turut terbuka kepada persatuan dan ketua kampung.

“Kerajaan Negeri tidak menyekat sebarang permohonan daripada mana-mana pihak. Malah, sejak ia dilancarkan, kita menerima banyak permohonan, tetapi keutamaan itu kebiasaannya diberikan kepada Adun berkenaan,” katanya.

Abdul Khalid berkata demikian semasa menjawab pertanyaan mulut daripada Datuk Muhammad Bushro Mat Johor (Paya Jaras-BN) berhubung penggunaan Geran Selangorku dalam Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri sentiasa memantau pelaksanaan projek di bawah peruntukan geran itu secara berkala bagi memastikan ia diurus secara telus.

“Kos yang kita buat tidak berikan keuntungan lumayan kepada kontraktor. Pemberian projek dibuat secara sebut harga dan dipantau pelaksanaannya. Kita akan buat semakan sekiranya berlaku keraguan.

“Kerajaan Negeri memberi kepercayaan kepada profesional seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) dan PBT untuk jalankan tugas mereka dengan cara terbaik supaya duit amanah untuk kepetingan rakyat itu berjalan dengan baik,” ujarnya.

Sementara itu, ketika menjawab soalan Dr Shafie Abu Bakar (PAS-Bangi) berhubung peruntukan Geran Selangorku dalam Bajet 2013, Abdul Khalid menjelaskan ia bergantung kepada keuntungan anak syarikat Kerajaan Negeri.

Kerajaan Negeri Selangor memperuntukkan sejumlah RM300 juta bagi pelaksanaan ?Geran Selangorku? melalui Bajet 2012 untuk faedah rakyat Selangor.

Peruntukan geran ini adalah berasaskan dana sumbangan dividen daripada GLC Negeri serta keuntungan operasi Perbadanan Menteri Besar (MBI) yang berjaya mendapatkan hutang-hutang lapuk dari Syarikat Talam Corporation.

Antara program yang dilaksanakan melalui Geran Selangorku adalah pengenalan gaji minima (RM10 juta), program memperkasakan wanita (RM30 juta), program keusahawanan muda (RM30 juta), pembinaan infrastruktur sukan (RM30 juta), program sokongan pendidikan (RM30 juta).

Selain itu, program dari kebajikan kepada pekerjaan (RM20 juta) dan program jangkaan kehidupan bandar (RM10 juta), infrastruktur (RM50 juta), program pembasmian rasuah dan penyelewengan (RM15 juta) dan program pengukukan demokrasi (RM5 juta).

Di samping itu, program pengukuhan budaya (RM3 juta), pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar (RM5 juta), program pejabat ke rakyat (RM10 juta), program penerangan maklumat negeri (RM10 juta), program peningkatan kualiti hidup rakyat (RM5 juta), program peningkatan kemahiran penjawat awam (RM5 juta) dan penggerak dan pembangunan luar bandar (RM22 juta)

Penduduk Kecewa Aduan Tidak Dipedulikan JKR

AMPANG 6 JULAI : Penduduk Taman Kencana kecewa aduan mengenai kerosakan lampu jalan di Jalan Bunga Raya, di sini sejak tiga bulan lalu tidak diambil peduli oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).

Seorang penduduk, Osman Ali, 65 berkata, ketiadaan lampu jalan menyebabkan kawasan rumahnya tidak selamat dan menjadi sasaran pencuri.

“Kereta anak saya dicuri di hadapan rumah ini dan keadaan kawasan ini yang gelap pada waktu malam kerana lampu jalan di jalan utama rosak,” katanya.

Sementara itu, ketiadaan lampu jalan di satu selekoh tajam di persimpangan laluan ini ke Jalan Lingkaran Tengah Dua (MRR2) mengundang bahaya kepada pengguna pada waktu malam.

Ahli Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Supiramany Sinnapayal berkata, beliau sudah mengajukan masalah ini kepada JKR tetapi pelbagai alasan diberikan.

“JKR memberitahu kelewatan ini disebabkan tiada alat mencukupi bagi memperbaiki lampu jalan ini,” katanya ketika ditemui di sini.

Katanya, JKR seharusnya bertanggungjawab dengan menyediakan lampu jalan sementara sehingga lampu jalan ini diperbaiki memandangkan jalan ini dibawah pengurusan JKR sendiri,” katanya lagi.

Adun Teratai, Jenice Lee pula mendakwa JKR lepas tangan dan bersikap sambil lewa kerana perkara ini boleh dibincangkan bersama MPAJ.

“MPAJ menawarkan diri untuk membantu dalam masalah ini tetapi tiada tindakan selanjutnya diambil oleh JKR,” katanya yang juga Setiausaha Publisiti DAP Selangor.

Seorang lagi penduduk, Asiah Jusoh, 58, berkata, jalan ini turut menjadi laluan pelumba haram pada setiap hujung minggu.

Selain itu, dalam isu berlainan, Jenice berkata, jalan ini yang baru diturap oleh JKR dua minggu lalu tidak memenuhi spesifikasi kerana terlalu nipis.

“Spesifikasi yang ditetapkan adalah 40 milimeter(mm) tetapi kenapa JKR hanya menurap kira-kira 20mm sahaja?” soalnya.

Categories
NASIONAL

‘Road Gang’ Kurangkan Kos Penyelenggaraan

SUBANG JAYA 2 JULAI : Cadangan mewujudkan ‘Road Gang’ dalam melaksanakan projek yang mampan serta penyelenggaraan jalan raya secara ‘In House'(dalaman) dilihat mampu mengurangkan kos penyelenggaran.

‘Road Gang’ itu melibatkan kerja-kerja penyelenggaraan awam yang dilaksanakan sendiri secara jabatan dengan mengambil kira pengurusan skop, kos, masa dan kualiti bagi mencapai hasil kerja yang berkualiti, cepat dan berpatutan dengan wang yang dilaburkan.

Jurutera Daerah Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuala Selangor, Shukri Ishak dalam perbentangannya menerangkan pengurangan kos itu di ambil kira dari segi perbezaan penyelenggaraan oleh kontraktor dan pihak jabatan.

Katanya, kerja perlaksanaan ‘Patching’ di peringkat jabatan hanya akan menelan belanja sebanyak RM26.38 bagi satu meter persegi berbanding dengan perlaksanaan kontraktor sebanyak RM90.97 meter persegi.

“Manakala bagi kerja-kerja membaharu muka yang dilakukan oleh jabatan akan menelan belanja sebanyak RM200 per tan berbanding yang dilakukan oleh kontraktor iaitu sebanyak RM251.40 per tan,” katanya ketika membentangkan Dialog Bajet Selangor 2013 bertajuk ‘Pengurusan projek yang mampan menjamin pengimbangan kualiti, kos, skop dan masa di samping membudayakan penyelenggaraan jalan raya secara In House’.

Jelasnya, tiga perkara utama yang perlu ada dalam perlaksanaan ‘Road Gang’ itu antaranya melibatkan sumber manusia iaitu secara teknikal dan bukan teknikal serta mesin dan peralatan selain keperluan bahan mentah.

“Ia penting bagi memastikan kerja-kerja yang akan dilakukan mengikut spek kajian yang betul.

“Selain itu, perlu ditekankan juga empat perkara penting dalam pengurusan kawalan kualiti iaitu latihan teknikal kakitangan terlibat, mengenalpasti piawaian teknikal yang digunakan, mengguna pakai sistem pengurusan kualiti dan pengawalan kualiti bahan mentah,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, bagi penubuhan ‘Road Gang’ itu, pihak jabatan perlu menyediakan peralatan mesin untuk kerja-kerja pembaikian dan pembinaan jalan kira-kira sebanyak RM3.2 juta.

Sementara itu, Pengarah JKR Selangor, Datuk Abdullah Abd Rahman berkata tiga masalah utama yang timbul dalam perlaksanaan itu ialah peralatan yang tidak mencukupi, kakitangan yang tidak terlatih dalam pengendalian kerja-kerja dan kos penyelenggaraan tinggi.

Bagaimanapun, ia boleh diatasi dengan meningkatkan latihan amali dan kursus teknikal kepada pekerja, menambah kakitangan kontrak, menyewa peralatan yang melibatkan kos yang tinggi sekiranya dibeli, memberi intensif elaun panas kepada kakitangan dan melakukan secara berperingkat mengikut kemampuan jabatan.

Penubuhan ‘Road Gang’ itu dicadangkan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, ia diwujudkan kerana melihat penswastaan penyelenggaraan jalan yang giat dijalankan dalam masa beberapa tahun ini.

Hadir sama, Abdul Khalid, Yang diPertua Majlis Daerah Kuala Selangor, Noraini Roslan, Exco Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Selangor, Ronnie Liu dan Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh.

Categories
SELANGOR

SELCAT Puas Hati Berhubung Pendengaran Isu Banjir

SHAH ALAM, 16 APR : Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban, dan Ketelusan Selangor (SELCAT) berpuas hati terhadap penerangan kesemua agensi peringkat negeri yang dipanggil berhubung isu banjir di Hulu Langat, Kajang, Ampang, dan Klang.

Sehubungan itu, Pengerusinya, Datuk Teng Chang Kim menyifatkan sesi pendengaran awam yang pertama kali melibatkan bencana alam ini berjaya dilaksanakan walaupun jangkamasa yang diberikan kepada agensi berkenaan untuk membuatkan persiapan adalah singkat.

Sementara itu, Teng turut memuji langkah yang dibuat oleh JPS kerana berjaya menyediakan laporan lengkap mengenai perangkaan Rancangan Malaysia Ke Lapan hingga ke 10 berhubung projek-projek tebatan banjir yang dilaksanakan.

” Kesemua jabatan yang dipanggil, Pejabat Daerah, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR) diberi masa yang suntuk untuk menyiapkan maklumat dan kesemuanya berjaya menyediakannya,” katanya di sidang media sejurus selesai sesi hari ini.

Selain itu, beliau turut mengulas mengenai keberkesanan pendengaran awam berhubung isu bencana alam kerana ia berguna kepada kerajaan negeri untuk mendapat maklumat secara terus mengenai proses dan kaedah yang diambil agensi berkaitan.

Jesteru itu, beliau menyarankan supaya sesi pendengaran awam ini diteruskan untuk membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat.

Dalam sidang media sama, Teng turut melahirkan kebimbangan terhadap peruntukan kerajaan pusat yang semakin berkurangan menerusi RMK-10 berjumlah RM1.9 juta.

“Kerajaan Pusat perlu mengkaji semula peruntukan projek fizikal untuk menambahbaik projek tebatan banjir di Selangor dengan segera kerana isu bencana alam berada ditahap membimbangkan,” katanya.

Sebelum ini, menerusi RMK-9 Kerajaan Pusat memperuntukkan RM57 juta dan ia berkurangan dalam RMK-10 kepada RM1.9 juta bagi projek fizikal tebatan banjir.