Categories
AGENDA NASIONAL

Parlimen: Naik taraf parit, kolam takungan atasi banjir kilat di bandar

SHAH ALAM, 6 OKT: Kejadian banjir kilat yang semakin kerap berlaku di bandar berpunca perubahan iklim semasa, kata timbalan menteri alam sekitar dan air.

Datuk Mansor Othman berkata keputusan itu diperoleh hasil pemantauan dilakukan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

“Banjir kilat berlaku selepas hujan berkeamatan tinggi dan surut selepas enam jam. Sekiranya hujan melebihi reka bentuk saliran, banjir tetap berlaku walaupun tak ada halangan dalam saluran air

“Namun faktor sistem saliran serta halangan dalam saluran air dan hujan lebat turut menyumbang kejadian berkenaan,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Ahli parlimen Nibong Tebal itu berkata bagi mengatasi masalah banjir kilat di bandar, JPS melaksanakan beberapa langkah termasuk menyedarkan masyarakat supaya tidak membuang sampah ke dalam sistem perparitan.

“Kita sediakan pelan pengurusan lembangan sungai bersepadu, tebatan banjir dan kajian saluran induk mesra alam di bandar utama untuk dijadikan panduan pihak berkuasa tempatan (PBT)

“JPS akan sediakan garis panduan manual mesra alam selain menjalin kerjasama dengan PBT untuk mantapkan pematuhan kebenaran merancang,” katanya.

Beliau berkata JPS turut memperbaiki sistem saliran menerusi kerja pembinaan dan menaik taraf infrastruktur seperti kolam takungan dan perparitan.

Pada 26 September beberapa kawasan sekitar bandar raya Shah Alam antaranya Batu Tiga, Seksyen 4, Seksyen 10, Seksyen 13 dan Seksyen 25 dilanda banjir kilat susulan hujan lebat yang berlarutan selama beberapa jam.

Categories
ADN SELANGOR

MPK, JPS diminta kaji semula kawasan saliran elak limpahan banjir

SHAH ALAM, 21 SEPT: Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) diminta mengkaji semula kawasan saliran longkang dan sungai di Pelabuhan Klang bagi mengelak limpahan banjir jika berlaku fenomena air pasang besar.

Ahli Dewan Negerinya Azmizam Zaman Huri berkata insiden ban pecah di beberapa lokasi berikutan fenomena itu semalam menyebabkan air laut melimpah dan menjejaskan penempatan berhampiran.

“Dua kawasan ban pecah tersebut adalah di Kampung Pendamar dan Taman Teluk Gedung Indah, Pelabuhan Klang.

Limpahan air laut susulan fenomena air pasang besar di Pelabuhan Klang pada 20 September 2020. Foto Pusat Khidmat Rakyat Pelabuhan Klang

“Manakala di Taman Selat Damai Pelabuhan Klang pula, terdapat beberapa kawasan menjadi laluan air masuk yang mengakibatkan air laut melimpah di sebahagian kawasan kejiranan di sana,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Beliau menambah pihaknya menghubungi pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi berkaitan untuk membaiki ban pecah serta menambah baik fasiliti sedia ada bagi mengelak kejadian sama berulang.

Menurutnya, MPK melalui Jabatan Kejuruteraan turut menghantar jentera bagi membaiki kerosakan ban di Taman Teluk Gedung Indah sebagai usaha jangka pendek menutup rekahan dan lubang pecah.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

JPS bina dinding lindungi rumah terjejas air pasang besar

SHAH ALAM, 20 SEPT: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan membina dinding di sekeliling empat kediaman di Kampung Sungai Janggut, Jeram yang sering terjejas susulan kejadian air pasang besar.

Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN) Selangor memaklumkan ketika ini JPS meletakkan satu unit pam berhampiran kawasan tersebut untuk menyedut keluar air laut yang melimpah.

“Kawasan penempatan yang dinaiki air pasang mulai surut beransur-ansur. Kerja-kerja pembaikan kekal ban akan dilaksanakan sebaik selesai fenomena ini,” kata agensi tersebut dalam laporannya.

Kemasukan air pasang besar di kampung tersebut pagi semalam berikutan hakisan teruk pada benteng pantai sekali gus menjejaskan empat kediaman di kawasan berhampiran.

UPBN juga memaklumkan sebuah pusat pemindahan dibuka berdekatan Sekolah Kebangsaan Tambak Jawa bagi menempatkan mangsa yang terkesan dengan insiden itu.

Kawasan lain yang turut terjejas di Kuala Selangor ialah Medan Muara Ikan Bakar Jeram, Pantai Remis, Sungai Sembilang, Apartmen Warisan Sungai Sembilang, Sasaran Sungai Buloh, Jeti Sungai Janggut dan Jalan Utama Klang-Telok Intan (Pasir Penambang).

Kelmarin, benteng di beberapa kawasan sekitar pantai Kuala Langat turut runtuh susulan ombak kuat dan kerja baik pulih giat dijalankan.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

JPS nilai pembaikan struktur benteng di Pantai Remis

SHAH ALAM, 19 SEPT: Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor (JPS) akan menilai struktur benteng di Pantai Remis yang terhakis teruk susulan fenomena air pasang besar pagi tadi.

Ketua Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor Ahmad Fairuz Mohd Yusof berkata penilaian merangkumi kiraan kos serta jangka masa baik pulih yang akan dilakukan.

“Berikutan kejadian itu, sebanyak empat buah rumah di Kampung Sungai Janggut, Jeram yang terletak berdekatan pantai berkenaan dimasuki air kira-kira jam 7 pagi tadi.

“Setakat ini penduduk belum berpindah, namun pemantauan akan dibuat dari masa ke semasa,” katanya memaklumkan benteng berkenaan terhakis akibat ombak setinggi 5.7 meter.

Semalam, benteng di beberapa kawasan sekitar pantai Kuala Langat turut runtuh susulan ombak kuat dan kerja baik pulih giat dijalankan.

Pusat Hidografi Nasional menjangka paras air laut di sekitar Sepang, Kuala Langat, Klang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam berada pada tahap maksimum iaitu 5.8 meter.

Fenomena air pasang besar dijangka berlaku antara jam 5 hingga 8 pagi pada 19 dan 20 September, 17 hingga 19 Oktober serta 15 dan 16 November.

Berikutan itu, penduduk di kawasan terlibat dinasihatkan tidak melakukan aktiviti di pesisiran pantai bermula hari ini.

Categories
AGENSI SELANGOR

Amaran banjir dua hari awal tingkat siap sedia

SHAH ALAM, 9 MAC: Amaran banjir dikeluarkan dua hari lebih awal berbanding enam jam membantu jabatan dan agensi berkepentingan dalam pengurusan situasi itu, kata ketua pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor.

Datuk Gapar Asan berkata ia dilaksanakan melalui Program Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) menggunakan sistem analisis lebih awal berdasarkan ramalan cuaca Jabatan Meteorologi Malaysia.

Beliau berkata, kemarau juga merupakan ancaman menyebabkan bekalan air untuk kegunaan beberapa sektor berkepentingan disebabkan taburan hujan dan sumber air tidak sekata serta peningkatan keperluan terutama di pusat bandar.

“National Water Balance System (NAWABS) di Lembangan Sungai Bernam dan Lembangan Sungai Klang sedang dilaksanakan dengan usahasama peringkat persekutuan,” katanya pada Majlis Perhimpunan Penjawat Awam Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak hari ini.

Beliau berkata program itu salah satu mekanisme untuk mengetahui sumber air tersedia yang dapat meramal kemarau dua bulan lebih awal dan amaran 14 hari lebih awal untuk tindakan agensi.

PRABN diwujudkan Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli ekoran banjir besar di lapan negeri pada Disember 2014 yang merekodkan 25 kematian dengan perpindahan melebihi 500,000 dan kos kemusnahan melebihi RM2.85 bilion.

Komponen utama PRABN adalah membangunkan sistem pengesanan data hidrologi, sistem pangkalan data dan infrastruktur ICT; sistem ramalan dan pemodelan banjir serta sistem amaran dan hebahan.

Categories
AGENSI SELANGOR

RM9.5 juta selenggara kolam takungan di Selangor

KLANG, 19 NOV: Sejumlah RM9.5 juta dibelanjakan tahun ini bagi penyelenggaraan kolam takungan di Selangor.

Timbalan Pengarah (Pembangunan) II Jabatan Pengairan dan Saliran negeri (JPS), Ir Saari Abdullah berkata pihaknya melaksanakan pelbagai skop kerja berdasarkan keutamaan mengikut keperluan dan kerosakan di kawasan berkenaan.

Beliau berkata antaranya membuang kelodak dan enapan, membaiki tebing kolam, membaiki struktur inlet dan outlet, menyelenggara parit, membaiki struktur perangkap sampah, pembersihan sampah di dalam kolam, menyelenggara serta membaiki struktur landskap.

“Program penyelenggaraan itu semakin giat dilaksanakan setiap tahun ke atas kolam takungan yang dirasa kritikal dan memerlukan tindakan pembaikan walaupun ia bukan kolam banjir milik JPS.

“Ia dilaksanakan sejak 2016 secara berkala dan selain peruntukan Kerajaan Persekutuan, JPS turut menggunakan peruntukan mengurus yang diterima daripada Kerajaan Negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas pelancaran Program Penyelenggaraan Kolam Takungan Banjir Selangor di Kolam Takungan Bandar Puteri di sini.

Hadir sama EXCO Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian Dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim dan Ahli Dewan Negeri Sentosa, Dr G Gunarajah.

Ir Saari berkata setakat ini JPS berjaya mengambil alih penyelenggaraan 110 kolam takungan berbanding 553 keseluruhannya.

“JPS sentiasa berusaha memastikan fungsi kolam takungan ini terpelihara dengan melaksanakan kerja penyelenggaraan berkala di kawasan terbabit,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata JPS sedang membuat permohonan bagi pewartaan kolam takungan itu, namun memerlukan masa lama khusunya bagi mewartakan kolam yang lama terbina dan tidak mempunyai maklumat ukur lengkap.

Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

Pencapaian subjek pendidikan Islam di Selangor meningkat

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 27 JUN: Pencapaian subjek pendidikan Islam termasuk Bahasa Arab semakin meningkat, di Selangor, kata Pengarah Jabatan Pendidikan Selangor (JPS), Mohd Salleh Mohd Kassim.

Beliau berkata, ia dapat dilihat melalui keputusan Sijil Pelajaran Malaysia, pada 2017 berbanding tahun sebelumnya.

Katanya, hal itu sekali gus membuktikan usaha Sektor Pendidikan Islam JPS termasuk guru dan kakitangan Pejabat Pendidikan Daerah amat membanggakan, di sebalik pelbagai program dilaksanakan.

“Ia adalah pengiktirafan kepada pelajar dan guru yang berusaha gigih. Semoga ia menjadi pendorong kepada kita untuk meningkatkan kualiti dan prestasi mencapai matlamat negara maju,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Kualiti Pendidikan Islam (AKPI), di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah, di sini.

Sebanyak 56 anugerah disampaikan kepada pemenang termasuk Anugerah Pelajar Cemerlang SPM 2017 (kelas aliran agama), Anugerah Pelajar Terbaik Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2017, Anugerah Kelas Kemahiran Al-Quran Tingkatan 5 2017 dan Anugerah Pengurusan Bilik j-QAF 2017.

Pada masa sama, Mohd Salleh berkata, anugerah itu bertujuan mengiktiraf warga pendidik Selangor yang komited membangunkan martabat pendidikan Islam dalam arus pendidikan.

“Saya harap Kerajaan Selangor dengan kerjasama Exco Agama Islam, Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin terus bekerjasama dengan pihak JPS,” katanya.

 

Categories
PBT SELANGOR

JPS naik taraf kolam takungan

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SELAYANG, 27 APR: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengambil inisiatif menaik taraf kolam takungan air di beberapa kawasan yang terbabit dengan banjir kilat, baru-baru ini.

MPS Suliman_Abd_RahmanYang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Suliman Abd Rahman berkata, pihaknya sudah dihubungi wakil JPS iaitu Timbalan Pengarah JPS, Azmi Ibrahim bagi memaklumkan usaha projek takungan banjir yang sedang dilaksanakan.

“JPS akan melihat kembali beberapa kawasan yang sesuai untuk membina kolam takungan air bagi menangani banjir kilat yang berlaku.

“Selain itu, MPS juga meminta JPS untuk membuat penyelenggaraan kolam takungan terbabit dari semasa ke semasa,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat penuh MPS di Bangunan MPS, di sini, semalam.

Terdahulu, berlaku insiden banjir membabitkan beberapa kawasan antaranya Kampung Sungai Serai, Taman Tun Perak, kawasan Kuang juga Kundang, pada 16 dan 18 April lalu.

Sekurang-kurangnya tiga pusat pemindahan dibuka bagi menyediakan keperluan bantuan awal.

Categories
PBT SELANGOR

JPS lantik kontraktor baik pulih cerun runtuh

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 25 APRIL: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melantik kontraktor untuk membaiki cerun yang dilaporkan runtuh serta mendap di tebing Sungai Kerayong.

Pegawai Komunikasi Korporat Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Norhayati Ahmad berkata, beliau dimaklumkan perkara itu dan tindakan akan diambil segera.

“Kerja baik pulih adalah di bawah JPS, namun MPAJ telah dimaklumkan bahawa JPS telah melantik kontraktor untuk membaiki cerun tersebut,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Sebelum ini, tebing Sungai Kerayong di Taman Lembah Maju yang terletak bersebelahan kuaters guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pandan Indah dilaporkan runtuh dan mendap akibat arus deras.

Kejadian yang berlaku pada Selasa lalu itu turut mengakibatkan sebuah kereta jatuh ke dalam tebing sungai.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Segerakan peruntukan JPS, suburkan semangat federalisme

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 9 MAC: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menggesa Kerajaan Persekutuan menyalurkan segera peruntukan RM300 juta kepada Jabatan Pengairan Saliran (JPS) Negeri Selangor bagi membaiki ban yang rosak di pesisir pantai akibat fenomena air pasang besar.

Ahli Parlimen Gombak itu menjelaskan, Kerajaan Negeri sebelum ini sudah meluluskan peruntukan segera RM4.3 juta bagi kerja pembaikan.

“Keseluruhan pesisir pantai yang terkesan sejauh 70 kilometer (km) daripada kseluruhan 291km dengan kos RM300 juta.

azmin-parlimen“Saya berharap Kerajaan Persekutuan dapat segera meluluskan peruntukan yang diperlukan JPS Selangor bagi menyegerakan kerja baik pulih dan naik taraf ban di persisiran pantai Negeri Selangor,” katanya ketika menyertai sesi perbahasan Menjunjung Kasih Titah Seri Paduka Yang Dipertuan Agong, di Dewan Rakyat, hari ini.

Katanya, kesan kemusnahan ban persisir pantai itu mengakibatkan beberapa kampung mengalami banjir kilat.

Pada masa sama, Mohamed Azmin turut menggesa Kerajaan Persekutuan menyuburkan semangat federalisme bersama Kerajaan Negeri supaya setiap pembangunan yang ingin dilakukan dapat dibincangkan secara profesional.

Beliau berkata, Seksyen 20A Akta 172 Akta Perancangan Pembangunan Desa 1972 menyebut kewajipan untuk berunding Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri bagi setiap cadangan pembangunan, namun perkara tu tidak berlaku, sejak 2008.

Sebagai contoh, katanya, Pembangunan Bandar Pelabuhan dan Perindustrian di Pulau Carey yang dikatakan bernilai lebih RM200 bilion hanya diketahui menerusi laporan media.

“Putrajaya bertanggungjawab memastikan pengagihan ini dilakukan secara adil dan saksama kepada Selangor,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

PAC syor SOP agih tender JPS dipertingkat

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 22 FEB: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negeri (PAC) mengesyorkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor mempertingkatkan prosedur operasi standard (SOP) supaya proses pengagihan tender dapat dilakukan dengan lebih baik.

Pengerusinya, Ng Suee Lim berkata, penemuan beberapa kelemahan dalam mesyuarat kali ini boleh diperbaiki bagi mengelakkan berlakunya ‘projek sakit’ di kemudian hari yang akhirnya memangsakan rakyat serta Kerajaan Negeri.

“PAC mahu memastikan semua tender dan peruntukan yang diagihkan untuk kepentingan rakyat ini dapat mencapai objektif memberikan pulangan bernilai.

“Kita dapat memastikan kontraktor yang memasuki tender berwibawa dan berkelayakan serta menepati syarat. Kita tidak mahu berlakunya salah guna kuasa atau terlepas pandang kelemahan dan akhirnya rakyat menyalahkan Kerajaan Negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mempengerusikan Pendengaran Tertutup PAC berhubung Pemberian Tender JPS di Bilik Mesyuarat Tingkat 1, Bangunan Annex.

Katanya, semua agensi Kerajaan Negeri perlu lebih teliti dalam soal terma dan syarat supaya projek diberikan kepada kontraktor yang layak disamping harga bersesuaian.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

JPS sasar pembangunan 85 projek pembangunan negeri

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 4 NOV: Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri (JPS) mensasarkan 85 projek pembangunan baru untuk tempoh 2017 menerusi peruntukan RM135 juta.

Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri, Zaidy Abdul Talib berkata, jumlah tersebut dimanfaatkan sepenuhnya untuk tujuan naik taraf kemudahan termasuklah pengaliran sistem saliran negeri.

“Peruntukan RM135 juta yang diterima JPS pada tahun 2017 merupakan peruntukan pembangunan.

ybzaidy-2“Peruntukan ini tentunya akan digunakan bagi kerjapembangunan dan menaik taraf yang melibatkan 85 projek keseluruhan dalam Rancangan Malaysia ke 11,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas inisiatif yang bakal dibangunkan JPS menerusi peruntukan Belanjawan Negeri yang diumumkan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Sementara itu, beliau berkata, kerja penyelenggaraan sungai pula akan menggunakan sejumlah peruntukan tahunan sebagai inisiatif memastikan pembaikan kawasan persisiran pantai negeri terkawal.

Sebelum ini, JPS Selangor memainkan peranan cukup efektif menyediakan pelbagai program dan pelan jangka panjang untuk pembaikan pembangunan dan penyelenggaraan kawasan persisiran pantai negeri.

Ia termasuk tindakan proaktif yang digerakkan agensi tersebut untuk bersiap sedia ekoran fenomen air pasang besar yang melanda perairan negeri, pada Oktober lalu.

-NFN-