Categories
AGENDA NASIONAL

Tiada sekatan terhadap kanak-kanak tidak divaksin – menteri

KUALA LUMPUR, 25 JAN: Kerajaan tidak akan mengenakan sekatan kepada kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun yang tidak mendapat vaksin Covid-19, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata golongan itu tidak akan disekat seperti golongan dewasa yang tidak divaksin, kerana Program Imunisasi Covid-19 Kanak-kanak (PICKids), adalah tidak wajib.

Namun menurutnya ibu bapa digalakkan untuk mendaftarkan anak masing-masing di aplikasi MySejahtera (MySJ), demi melindungi mereka daripada Covid-19.

“Daftar anak anda (5-11 tahun) untuk #PICKids di MySJ. Lindungi mereka dari Covid-19,” katanya dalam ciapan terkini di Twitter.

Minggu lalu, Khairy memaklumkan sistem tempahan janji temu pemberian vaksinasi kanak-kanak melalui MySJ akan dibuka pada akhir bulan ini, bermula di Lembah Klang dahulu.

Melalui inisiatif itu, Kementerian Kesihatan (KKM) menyasarkan 70 peratus kanak-kanak lima hingga bawah 12 tahun dalam sistem pendidikan, dapat diberikan dos satu vaksin Pfizer (kanak-kanak) dalam tempoh dua bulan dari tarikh program dilancarkan pada awal Febuari 2022, dan 80 peratus akan menerima dos lengkap dalam tempoh enam bulan.

KKM ketika ini mengambil pendekatan tidak membenarkan kebebasan tertentu dinikmati individu yang lengkap divaksin kepada kumpulan antivaksin, yang antara lain ialah kebenaran makan di restoran.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Elak risiko jangkitan, KKM sasar vaksin 4.1 juta kanak-kanak

SHAH ALAM, 23 JAN: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyasarkan seramai 4.1 juta kanak-kanak menerima vaksin bagi melindungi mereka daripada ancaman Covid-19.

Timbalan menteri kesihatan berkata usaha itu susulan pergerakan bebas ibu bapa termasuk bercuti dan merentasi negeri sedangkan anak-anak belum divaksin, lapor Berita Harian.

Menurut Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, walaupun kanak-kanak berisiko rendah dijangkiti, namun ada antara mereka bergejala teruk dan dimasukkan ke hospital.

“Berdasarkan data dari Januari 2020 hingga kini, seramai 579,000 remaja dan kanak-kanak dijangkiti Covid-19 dengan 299,000 daripadanya berusia antara lima hingga 11 tahun.

“Daripada jumlah itu, seramai 144 remaja bawah usia 18 tahun dilaporkan meninggal dunia, dengan 33 daripadanya berusia antara lima hingga 11 tahun,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan KKM akan melaksanakan pemberian vaksin jenis Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech untuk kanak-kanak berusia lima hingga 12 tahun mulai Februari ini.

Menterinya Khairy Jamaluddin berkata keutamaan diberikan kepada kanak-kanak yang mempunyai masalah kesihatan berikutan mereka lebih berisiko untuk dijangkiti Covid-19.

Categories
AGENDA NASIONAL

Vaksin kanak-kanak lima hingga 12 tahun bermula 3 Februari

SHAH ALAM, 20 JAN: Kementerian Kesihatan (KKM) akan melaksanakan pemberian vaksin Covid-19 untuk kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun bermula Februari ini, sebaik sahaja vaksin Pfizer (kanak-kanak) tiba di Malaysia mulai 31 Januari.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata keputusan itu adalah berdasarkan data, maklumat dan pandangan Kumpulan Kerja Teknikal (TWG), dan panel penulis Garis Panduan Klinikal Vaksinasi Covid-19 Kanak-Kanak.

“Pelancaran program pemberian vaksinasi kanak-kanak berusia lima tahun hingga bawah 12 tahun akan diadakan pada 3 Februari ini di Hospital Tunku Azizah, Kuala Lumpur,” katanya dalam sidang media di Bangunan Parlimen hari ini.

Beliau berkata tempahan janji temu vaksinasi bagi kanak-kanak tersebut akan dibuka secara berperingkat bermula 31 Jan ini, dan dibuka kepada ibu bapa yang tinggal di Lembah Klang dahulu, namun perinciannya akan dimaklumkan dalam masa terdekat.

“Sistem tempahan janji temu melalui MySejahtera akan mula dibuka pada penghujung Januari 2022, dan sebagai permulaan ibu bapa boleh mula mendaftarkan anak sebagai tanggungan dalam aplikasi MySejahtera mereka,” katanya.

Khairy berkata keutamaan untuk pemberian vaksin pada permulaan program ini adalah kepada kanak-kanak yang mempunyai masalah kesihatan seperti penyakit respiratori kronik, kardiovaskular, kencing manis dan penyakit saraf, kerana mereka lebih berisiko untuk mendapat penyakit Covid-19 yang teruk.

Beliau berkata formulasi vaksin Covid-19 Comirnaty yang akan digunakan dalam program vaksinasi adalah formulasi khas untuk kanak-kanak, dan dibekalkan di dalam bebuli 10-dos (penutup jingga) dan perlu dicampur dengan 1.3 mL larutan garam biasa.

“Setiap dos yang diberikan adalah 0.2 mL dan mengandungi 10mcg vaksin mRNA. Dos ini merupakan satu pertiga daripada dos yang digunakan bagi dos dewasa. Program vaksinasi kanak-kanak ini memerlukan dua suntikan dos vaksin dengan sela masa lapan minggu, selepas dos pertama,” katanya.

Khairy berkata berdasarkan data terkini yang diperolehi, sela masa lapan minggu antara dua dos yang diberikan akan memberi kesan tindak balas imuniti dan kadar keberkesanan yang lebih tinggi, serta berpotensi untuk memberikan perlindungan yang lebih lama.

Bagaimanapun beliau berkata seperti vaksin yang lain, vaksin Comirnaty formulasi khas untuk kanak-kanak ini juga boleh memberikan kesan sampingan vaksin yang biasa dialami oleh kanak-kanak, seperti sakit pada tempat suntikan, kemerahan dan bengkak.

“Tindak balas sistemik pula termasuklah keletihan, pening kepala, sakit otot, menggigil dan demam. Kebanyakan kesan sampingan vaksin ini adalah ringan dan sederhana, serta tidak berpanjangan,” katanya.

Jelasnya KKM menyasarkan 70 peratus kanak-kanak lima hingga 11 tahun dalam sistem pendidikan, dapat diberikan dos satu vaksin Pfizer (kanak-kanak) dalam tempoh dua bulan dari tarikh program dilancarkan, dan 80 peratus akan menerima dos lengkap dalam tempoh enam bulan pelaksanaan.

Dalam pada itu Khairy memaklumkan bagi tempoh 25 Jan 2020 hingga semalam, jumlah kes Covid-19 melibatkan individu berumur kurang daripada 18 tahun adalah sebanyak 579,624 kes, dengan 269,773 kes melibatkan kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun.

“Secara keseluruhannya, sebanyak 144 kematian telah direkodkan akibat daripada jangkitan Covid-19 dalam kalangan populasi berumur 18 tahun dan ke bawah. Daripada jumlah tersebut, 31 kes kematian melibatkan kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun,” katanya.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Pakar: Usah tangguh vaksin Covid-19 kepada kanak-kanak

Oleh Nurqalby Mohd Reda

KUALA LUMPUR, 13 JAN: Pemvaksinan Covid-19 ke atas remaja di negara ini boleh dikatakan berjaya, namun hal itu dilihat masih belum dapat meredakan kebimbangan sesetengah ibu bapa yang mempersoalkan keputusan kerajaan untuk memulakan pelalian sama terhadap kanak-kanak bawah 12 tahun serta memberikan dos penggalak kepada remaja.

Rata-rata menjadikan laman sosial sebagai medan meluahkan kekhuatiran tentang keselamatan anak masing-masing, khususnya yang berusia lima hingga 11 tahun, yang menurut mereka masih terlalu muda untuk menerima vaksin tersebut.

Menurut laporan media, pemvaksinan kanak-kanak berusia bawah 12 tahun akan menggunakan vaksin ‘Comirnaty 10mcg Concentrate for Dispersion for Injection’, iaitu sediaan yang lebih rendah kekuatannya berbanding vaksin bagi individu 12 tahun ke atas, sementara dos penggalak untuk remaja pula adalah formula baharu ‘Comirnaty (Tris/Sucrose) 30mcg Solution for Inject’.

Kedua-duanya adalah keluaran syarikat farmaseutikal Pfizer dan telah menerima kelulusan pendaftaran bersyarat daripada Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD).

Ketua pengasuh taska, Nazatul Nadia Mustakim, 27 melakukan aktiviti bersama anak taska ketika Pelancaran Taska Anak Petugas Barisan Hadapan di Bangunan Darul Ehsan, Shah Alam pada 18 Februari 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Dijangkakan 5.9 juta kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun akan menerima vaksin itu pada tahun ini dengan kira-kira 11.8 juta dos disediakan dalam usaha kerajaan memerangi jangkitan virus maut tersebut.

Jangan bertangguh 

Di sebalik tentangan ibu bapa, pakar perubatan berpendapat keputusan kerajaan itu adalah langkah terbaik bagi mengurangkan risiko jangkitan dalam kelompok tersebut, apatah lagi ketika kerajaan sedang mempersiapkan masyarakat untuk hidup bersama-sama endemik.

Timbalan Pengarah Klinikal dan Pakar Perunding Perubatan Respiratori Hospital Universiti Teknologi MARA Prof Madya Dr Ahmad Izuanuddin Ismail berkata kebimbangan tentang aspek keselamatan si anak tidak sepatutnya timbul kerana banyak negara telah melaksanakan program vaksinasi ke atas kanak-kanak mereka.

“Antaranya ialah Amerika Syarikat (AS), Eropah dan jiran kita Singapura yang setakat ini menunjukkan kejayaan,” katanya kepada Bernama.

Berdasarkan laporan media, AS mula memberikan vaksin Covid-19 keluaran Pfizer kepada kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun pada 4 Nov lepas dengan Presidennya Joe Biden menyifatkan permulaan pemberian vaksin itu sebagai “hari yang baik” dalam usaha memerangi pandemik.

Di Eropah pula, Jerman, Sepanyol, Greece dan Hungary antara yang telah memulakan pemvaksinan kanak-kanak mereka, dan dilaporkan terdapat permintaan yang tinggi daripada ibu bapa agar anak mereka diberikan vaksin Covid-19.

Langkah negara terbabit bukan sahaja untuk mengekang penularan virus maut itu tetapi juga bagi membolehkan anak-anak mereka meneruskan sesi persekolahan secara bersemuka.

Negara tetangga, Singapura pula memulakan pelalian kepada kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun pada 27 Dis lepas, juga menggunakan vaksin keluaran Pfizer yang telah diluluskan untuk penggunaan peringkat umur berkenaan.

“Ini bermakna kita sudah ada data tentang keselamatan vaksin itu terhadap kanak-kanak berusia bawah 12 tahun.

“Justeru, kenapa perlu bertangguh lagi sedangkan kita tahu dunia diserang dengan varian baharu seperti Omicron. Malah, kita juga diberitahu tentang varian IHU yang dikesan di Perancis, jadi kita tidak boleh melengahkan lagi pemberian vaksin ini untuk melindungi anak-anak kita,” katanya.

Dr Ahmad Izuanuddin berkata walaupun kesan Covid-19 terhadap kanak-kanak tidak seteruk mereka yang berusia dan golongan berisiko, ada kekhuatiran jangkitan virus itu akan memberi kesan berpanjangan kepada paru-paru kanak-kanak termasuk gejala ‘long Covid’ .

“(vaksinasi) Ini adalah usaha supaya virus Covid-19 tidak menyerang secara terus kepada paru-paru khususnya bagi kanak-kanak yang mempunyai asma.

“Satu kajian yang dijalankan di Scotland baru-baru ini menunjukkan kanak-kanak penghidap asma yang teruk sehingga memerlukan ubat steroid untuk mengawal asma mereka, atau yang mengalami asma dengan kerap, adalah lebih terdedah kepada jangkitan Covid-19 selain berisiko mengalami komplikasi paru-paru sekiranya dijangkiti. Jadi, kumpulan ini digalakkan menerima vaksin,” jelas beliau.

Vaksin baharu 

Pensyarah Kanan di Unit Imunologi, Jabatan Patologi, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia Dr Masriana Hassan pula berkata pemberian vaksin Covid-19 kepada kanak-kanak berusia bawah 12 tahun adalah mengikut dos yang ditetapkan oleh pihak berkaitan termasuk panel penasihat Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA) serta pengeluar vaksin tersebut.

Katanya adalah normal jika kanak-kanak mengalami simptom tertentu termasuk demam selepas menerima suntikan kerana vaksin bertindak balas terhadap tubuh si penerima.

“Kanak-kanak telah diberi imunisasi atau vaksin sejak mereka lahir, contohnya BCG (bagi mencegah penyakit tuberculosis atau TB) dan hepatitis B (mencegah infeksi virus hepatitis B).

Suasana pembelajaran di taska yang mengamal penjarakan fizikal dan mematuhi tatacara operasi piawai.

“Secara amnya badan kita akan bertindak balas apabila ada benda asing (antigen asing) masuk ke dalam tubuh,” katanya yang tidak menolak kemungkinan kebimbangan itu timbul kerana vaksin yang digunakan adalah ciptaan baharu.

Bagaimanapun kata beliau, data-data terkini dan kajian negara luar mendapati hingga kini belum ada laporan tentang komplikasi yang teruk selepas kanak-kanak dalam peringkat usia itu mengambil vaksin Covid-19.

“Buat masa ini, bagi mendapatkan data yang terbaik dan menyeluruh mungkin sukar sebab isu ini perkara baharu, (namun) bagi saya data yang sedia ada boleh dijadikan sebagai rujukan,’’ katanya.

Taska kekal patuh SOP

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia (PPBM) Anisa Ahmad berkata pihaknya menyerahkan kepada pihak berkaitan bagi membuat ketetapan berhubung pemvaksinan kanak-kanak berusia bawah enam tahun.

Menurut beliau, buat masa ini kesemua pengusaha pusat asuhan diminta mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) sedia ada bagi membendung penularan Covid-19 di premis mereka.

“Kami masih melaksanakan SOP yang ketat, sama ada kanak-kanak perlu divaksinasi atau tidak, kami serahkan kepada pakar serta kebijaksanaan ibu bapa untuk memutuskannya,” kata Anisa kepada Bernama.

Pandangan sama turut disuarakan pengusaha Taska Boo Boo Cak Manjaku Siti Rohaniza Mat Isa, 48, yang menyifatkan pematuhan SOP masih merupakan langkah terbaik bagi mengekang penularan jangkitan Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak di taska.

“Bagi saya sebagai pengusaha taska, yang penting adalah SOP yang perlu diikuti dengan betul, bukan sahaja oleh pendidik, malah ibu bapa juga bagi menjamin kesejahteraan kanak-kanak.

“Jika mahu pastikan anak-anak selamat dan terlindung daripada jangkitan COVID-19, ibu bapa boleh dapatkan mereka vaksin,” katanya.

– BERNAMA

Categories
ADN SELANGOR

Hasrat kanak-kanak perempuan OKU miliki papan selaju tertunai

KLANG, 17 DIS: Hasrat seorang kanak-kanak perempuan orang kelainan upaya (OKU) pembelajaran untuk memiliki papan selaju (skateboard) akhirnya tertunai apabila menerima alatan sukan itu semalam.

Nor Aina Muklisya Nor Azli, 9, yang menghidap disleksia mendapat bantuan itu melalui program ‘Kids Wishlist Come True’ anjuran pusat khidmat masyarakat (PKM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa dengan kerjasama syarikat Concentrix.

Ibunya Wan Nurul Akhma Wan Ghazali, 36, berkata anak bongsu daripada dua beradik yang menuntut di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Klang Jaya di sini sudah lama memendam impian memiliki alat sukan tersebut, namun tidak mampu membeli sendiri berikutan kos mahal.

“Selepas YB (Dr G Gunarajah) maklumkan mengenai inisiatif ini, saya segera buat permohonan kerana dia (Aina) sering minta saya belikan walaupun kurang sesuai untuk orang perempuan, apatah lagi kurang upaya.

“Mungkin dia teringin main sebab selalu tengok di YouTube. Saya harap dia seronok dan sekurang-kurangnya tidak bosan kalau duduk di rumah. Saya amat berterima kasih kepada YB yang sudi menunaikan hajat anak saya,” katanya.

Sementara itu, P Thevarani, 39, gembira kerana E Pravien, 9, tidak perlu memakai kasut sekolah untuk bermain bola sepak selepas ini apabila menerima kasut bola jenama Reebok yang diidamkan sekian lama.

Ibu tunggal itu mengakui sukar untuk memenuhi kemahuan anak kedua dari tiga beradik kerana pendapatannya sebagai pembuat kuih sekadar cukup untuk menyara makan dan minum keluarga.

“Kadang-kadang kasihan melihat anak saya yang hanya memakai kasut sekolah bermain bola sepak waktu petang. Saya cuba kumpul wang juga untuk beli sendiri tetapi belum mampu kerana banyak benda lebih penting perlu diselesaikan,” katanya.

E Pravien Nairi, 9, (dua kiri) dan Nor Aina Muklisya Nor Azli, 9, (dua kanan) gembira setelah menerima hadiah pada program Dun Sentosa’s Kids Wish Come True di Pusat Pembangunan Komuniti Taman Sentosa, Klang pada 16 Disember 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
Categories
AGENDA NASIONAL

KKM kumpul 663 sampel kajian kesesuaian Sinovac terhadap kanak-kanak

SIBU, 11 DIS: Kementerian Kesihatan (KKM) mengumpul 663 sampel di seluruh negara untuk kajian bagi menentukan sama ada vaksin Sinovac sesuai diberikan kepada golongan kanak-kanak berusia tiga hingga 11 tahun dalam pencegahan penularan Covid-19 sebelum kelulusan dikeluarkan.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Aaron Dagang berkata kajian tersebut yang ditaja oleh Sinovac Life Sciences Company Limited, China diadakan di sembilan hospital termasuk Hospital Sibu dan Hospital Miri di Sarawak dan melibatkan 2,000 kanak-kanak.

Menurutnya, dapatan awal kajian tersebut boleh diperoleh antara tempoh enam bulan hingga setahun dan daripada jumlah sampel itu sebanyak 508 adalah dari Sarawak.

“Sasaran kajian itu memerlukan 2,000 sampel. Malaysia perlu membuat kajian sendiri terlebih dahulu walaupun sudah ada dapatan kajian sama dari negara-negara lain. Kita amat berhati-hati sebelum meluluskan penggunaan vaksin ini kepada kanak-kanak berusia tiga hingga 11 tahun di negara ini,” katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan kajian yang dijalankan di Pusat Penyelidikan Klinikal (CRC) Hospital Sibu hari ini.

Beliau berkata kajian serupa juga telah dibuat sebelum kelulusan penggunaan bagi remaja berusia 12 hingga 17 tahun sebelum ini dikeluarkan oleh kerajaan.

Aaron berkata setiap kanak-kanak yang terlibat dalam kajian tersebut akan menjalani penilaian tahap kesihatan terlebih dahulu untuk menentukan mereka sihat, dan mereka juga akan menjalani ujian tahap antibodi sebelum dan selepas vaksin.

Pada sidang media sama, Ketua CRC Hospital Sibu Dr Toh Teck Hock berkata sasaran sampel yang perlu diambil Hospital Sibu ialah 410 sampel dan keputusan dapatan awal boleh diperoleh dalam tempoh lebih kurang enam bulan.

Beliau berkata setiap kanak-kanak yang menyertai kajian tersebut juga akan menjalani pemeriksaan menyeluruh dilakukan oleh pakar kanak-kanak.

Katanya, kajian di Hospital Sibu akan dilakukan secara berterusan dan kanak-kanak yang terlibat juga akan dipantau setiap minggu.

Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Hospital Sibu Dr Rachel Teng Li Chin.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Ibu kandung, kekasih disyaki dera anak hingga maut direman seminggu

JOHOR BAHRU, 5 DIS: Seorang wanita dan kekasihnya direman seminggu selepas disyaki mendera hingga menyebabkan kematian anak kandung lelakinya yang berusia lima tahun di sebuah rumah di Nusa Bestari dekat Iskandar Puteri, Jumaat lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata wanita berusia 35 tahun dan lelaki berusia 32 tahun itu direman bermula semalam bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

“Sehingga kini tangkapan kes ini hanya melibatkan dua individu. Mayat mangsa (kanak-kanak lelaki) masih belum dituntut dan berada di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultanah Aminah (HSA).

“Sebelum ini ibu mangsa merupakan seorang tukang cuci, pernah berkahwin banyak kali namun tidak mendaftarkan perkahwinannya dan mempunyai lapan anak,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini hari ini.

Semalam, media melaporkan seorang kanak-kanak lelaki maut dipercayai menjadi mangsa dera ibu kandung dan kekasihnya selepas polis menerima panggilan daripada petugas HSA mengenai kejadian itu pada pukul 12.20 tengah hari, Jumaat lepas.

Sementara itu, Ayob Khan berkata pemeriksaan terhadap mayat seorang kanak-kanak berusia tiga tahun dan tidak diketahui jantina yang ditemukan dalam keadaan reput di tebing sungai di Jalan Anggerik Putih Majidee, Kampung Desa Makmur di sini, semalam, tidak menemukan sebarang unsur jenayah.

Beliau berkata sehingga kini pihaknya masih menunggu laporan lengkap bedah siasat daripada pihak hospital.

“Mayat yang kita jumpa ini tidak sempurna, ada organ yang hilang, kaki pun sudah tiada. Kita masih tidak dapat kesan jantina, bangsa dan sebagainya. Setakat ini tiada elemen jenayah ditemukan,” katanya.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

60 kanak-kanak DUN Seri Setia sertai khatan beramai-ramai

KELANA JAYA, 5 DIS: Seramai 60 kanak-kanak menyertai program berkhatan beramai-ramai anjuran Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia di Hotel Tabung Haji (TH) di sini hari ini.

Program kali kedua dengan kerjasama TH Selangor disertai pelajar sekitar kawasan terbabit berusia lingkungan tujuh hingga 12 tahun, kata Ahli Dewan Negerinya Halimey Abu Bakar.

Menurutnya, program berkhatan secara laser itu membantu ibu bapa melaksanakan ibadah sunah ke atas anak masing-masing selain meredakan rasa takut kanak-kanak.

ADN Seri Setia Halimey Abu Bakar menenangkan seorang kanak-kanak dalam Program Berkhatan Perdana 2021 DUN Seri Setia di Hotel Tabung Haji (TH), Petaling Jaya pada 5 Disember 2021. Foto AHMAD ZAKI JILAN/SELANGORKINI

“Penyertaan program ini dibuka sejak tiga bulan lepas. Pada awalnya ramai ibu bapa risau untuk mengisi borang, namun masuk bulan kedua, sambutan diterima menggalakkan hasil hebahan kepada orang ramai.

“Ibu bapa diberi subsidi dengan bayaran serendah RM80. Pakej ini termasuk ubat tahan sakit, antibiotik, jahitan dan akaun simpanan tabung haji,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran program.

Terdahulu, peserta diarak dengan paluan kompang dari pekarangan hotel berkenaan sebelum dibawa ke bilik khas untuk proses berkhatan mengikut kumpulan.

Mengulas lanjut, Halimey berkata kerjasama dengan TH bertujuan menggalakkan masyarakat Islam menjadi pencarum berikutan ramai yang masih belum berbuat demikian.

“Mungkin ramai yang tahu tetapi tidak mencarum dan ada juga yang langsung tidak tahu. Jadi, TH Selangor akan beri galakan kepada mereka untuk mendaftar sebagai pencarum sebanyak RM10.

“Kita juga akan terus bersama TH Selangor untuk turun ke setiap kawasan di Seri Setia bagi membantu dan meningkatkan kesedaran masyarakat berkenaan kepentingan mencarum,” katanya.

Categories
PENDAPAT RENCANA

Pengasuh, taska tidak berdaftar boleh beri kesan psikologi kanak-kanak

Oleh Erda Khursyiah Basir & Muhammad Basir Roslan

KUALA LUMPUR, 29 NOV: Terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi emosi, psikologi dan tumbesaran kanak-kanak yang diletakkan di rumah pengasuh, taman asuhan kanak-kanak (taska) atau pusat jagaan berdaftar, berbanding dengan yang tidak berdaftar.

Berkongsi perspektif beliau mengenai faktor berkenaan, Pakar Psikologi Kanak-Kanak Universiti SEGi Prof Datin Dr Mariani Md Nor antaranya mengutarakan suasana persekitaran fizikal yang lebih kondusif, bersih dan selamat di samping aktiviti harian disusun secara sistematik dan berjadual bagi proses perkembangan kanak-kanak.

Beliau juga berpandangan, pemakanan yang disediakan mengikut menu yang sesuai untuk kanak-kanak itu juga mempunyai pengaruh dan perlu dititikberatkan.

Dalam masa yang sama, Dr Mariani berkata, pengasuh, taska dan pusat jagaan berdaftar perlu mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi memastikan keselamatan dan kesihatan kanak-kanak terjamin sepanjang tempoh jagaan mereka.

Menurut beliau, senario ini pastinya berbeza dengan pengasuh, taska dan pusat jagaan yang tidak berdaftar kerana mereka tidak terikat dengan sebarang SOP atau peraturan.

“Tidak dinafikan ada pengasuh yang baik, berpengalaman dan mempunyai latar belakang pendidikan awal kanak-kanak, namun ianya banyak bergantung kepada ‘nasib’.

“Alhamdulillah jika ada ibu bapa yang mendapat pengasuh sedemikian. Secara tidak langsung, ini dapat mengurangkan sebarang risiko kejadian buruk berlaku kepada anak-anak mereka.

“Namun begitu, lazimnya dalam persekitaran yang tidak kondusif dan keadaan bebas tanpa peraturan di bawah penjagaan tidak bertauliah, perkembangan fizikal dan emosi kanak-kanak serta sosialisasi mereka pastinya berbeza,” katanya kepada Bernama dalam wawancara eksklusif baru-baru ini.

Ilmu keibubapaan

Mengulas lanjut, Dr Mariani yang juga Presiden Majlis Pengasuhan dan Pendidikan Awal Kanak Kanak Malaysia berkata, kesan psikologi yang dapat dilihat adalah lebih kepada proses tumbesaran dan perkembangan kanak-kanak secara holistik.

Dengan persekitaran fizikal yang tidak kondusif terutama di taska atau tadika tidak berdaftar, kanak-kanak berkemungkinan besar tidak berpeluang untuk bersosial dan mengembangkan kemahiran insaniah mereka

“Ini ditambah dengan ketiadaan aktiviti sepatutnya mengikut peringkat umur seperti bertukar pendapat, membuat keputusan termasuk menerima keadaan ‘kalah dan menang’ yang sepatutnya dipelajari dalam sistem pendidikan yang lebih sistematik, ” katanya.

Keadaan ini, kata beliau, sudah tentu akan mempengaruhi perkembangan kanak-kanak, apatah lagi sekiranya diberi makanan yang tidak sepatutnya (jika berlaku) yang turut mempengaruhi pertumbuhan fizikal mereka.

Menurut Mariani, jika taska dan pusat jagaan berdaftar, risiko seperti penderaan dapat dikurangkan kerana mereka yang menjadi pengasuh wajib mengambil Kursus Asuhan dan Didikan Awal Kanak-Kanak PERMATA (Kursus Asuhan PERMATA /KAP).

“Kursus ini boleh membimbing pengasuh dalam proses mengasuh beserta pendidikan yang lebih berkualiti disertai elemen penuh empati dan sifat sabar yang tinggi.

“Di taska dan pusat jagaan tidak berdaftar pula terdapat risiko sesiapa sahaja boleh diterima untuk bekerja tanpa mengira latar belakang kerana tiadanya peraturan yang menggariskan tenaga pengasuh perlu mempunyai sijil atau kelayakan tertentu untuk mengasuh kanak-kanak,” jelasnya.

Tekanan punca dera

Dalam pada itu, Mariani berkata, tindakan segelintir pengasuh yang tergamak melakukan kekasaran dan penderaan terhadap kanak-kanak adalah disebabkan stres atau tekanan sedia ada.

Ini ditambah dengan masalah lain yang berlanjutan tanpa penyelesaian serta tiadanya sokongan daripada keluarga dan orang sekeliling.

Beliau menjelaskan, kanak-kanak yang lazimnya aktif, lasak dan agresif boleh menjadi ‘bom jangka’ kepada pengasuh yang seterusnya membawa kepada isu penderaan malah lebih teruk kes kematian yang menyayat hati hanya kerana disebabkan tekanan yang gagal dikawal.

Menurut beliau lagi, kajian di dalam dan luar negara kebanyakannya menunjukkan peratusan tinggi penderaan terhadap kanak-kanak adalah disebabkan oleh stres serta beberapa masalah sampingan lain.

“Kanak-kanak yang didera boleh membesar sebagai pendera dan menjadi agresif bergantung kepada tahap penderaan telah berlaku pada mereka.

“Mereka juga mungkin bersifat pasif, tidak mudah percaya kepada orang lain, bersikap kurang yakin diri serta mempunyai estim kendiri yang rendah, ” katanya.

Justeru, kata Mariani, amat penting untuk setiap pengasuh mempunyai ilmu keibubapaan serta pendidikan awal kanak-kanak, yang boleh menjadi panduan dalam membimbing dan mengasuh agar kanak-kanak dapat membesar menjadi insan yang seimbang dari aspek fizikal, mental dan rohaninya sekali gus menjadi pemimpin pelapis kepada masyarakat.

“Ilmu berkaitan penjagaan kanak-kanak boleh menyumbang dalam mencorakkan masa depan mereka. Pengasuh ibarat ibu bapa pada waktu siang (ketika ibu bapa keluar bekerja), maka ilmu ini amat penting untuk dimiliki oleh setiap pengasuh bagi memastikan proses kemenjadian anak-anak berlaku pada landasan yang sepatutnya.

“Pengasuh yang diamanahkan untuk menjaga kanak-kanak perlu mempunyai sifat kepunyaan dan kasih sayang bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku, ” katanya.

Permintaan tinggi

Sementara itu, permintaan yang tinggi untuk pusat jagaan kanak-kanak daripada ibu bapa dan penjaga untuk penyelesaian mudah serta segera, turut menyumbang kepada lambakan pusat jagaan kanak-kanak tidak berdaftar.

Anggota Exco Majlis Kebajikan Kanak-kanak Malaysia (MKKM), Shahida Musa memberitahu Bernama, di samping faktor ibu bapa keluar bekerja, terdapat juga kanak-kanak yang ditempatkan di pusat jagaan apabila berlakunya masalah dalam institusi keluarga seperti penceraian, masalah kewangan dan isu keganasan rumah tangga.

Menurut beliau, selain isu yuran taska atau pusat jagaan berdaftar yang mahal, ada juga ibu bapa yang mementingkan diri, tidak memikirkan perkembangan pertumbuhan anak-anak mereka sehinggakan sanggup meletakkan mereka di pusat jagaan tidak berdaftar.

Keadaan ini juga, tambah beliau, menyumbang kepada kemunculan premis ini ibarat ‘cendawan tumbuh selepas hujan’.

Dalam masa yang sama, terdapat juga pusat jagaan yang beroperasi disebabkan faktor ingin mengaut keuntungan hasil daripada kutipan derma orang ramai.

Shahida berkata, memandangkan terdapat permintaan yang tinggi untuk pusat jagaan kanak-kanak, maka ada pengusaha sama ada berniat baik atau demi keuntungan semata-mata, bertindak membuka dahulu pusat jagaan dan kemudian baru membuat permohonan kepada JKM.

“Terdapat pengusaha yang memperoleh pelbagai kemudahan serta pengiktirafan daripada masyarakat setempat hasil daripada kerja kebajikan mereka selain turut mendapat imbuhan kewangan kerana mengusahakan pusat jagaan.

“Apabila sudah memegang duit yang banyak hasil daripada sumbangan orang ramai, mereka menjadi ‘gelap mata’ dan tidak lagi memikirkan akta atau undang-undang yang sepatutnya dipatuhi,” jelasnya, sambil menambah, pengusaha pusat jagaan wajar menambah ilmu berkaitan aspek penjagaan dan kesihatan kanak-kanak, ilmu pentadbiran pusat jagaan serta ilmu pengurusan kewangan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

700 kanak-kanak dibekal makanan seimbang, atasi isu bantut

SHAH ALAM, 28 NOV: Jumlah penerima bantuan nutrisi makanan meningkat daripada 500 kepada 700 kanak-kanak pada tahun hadapan, kata EXCO kesihatan.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata pertambahan 200 penerima itu bagi memastikan tiada kanak-kanak tercicir menerima makanan seimbang sekali gus menangani isu pertumbuhan terbantut.

“Program di bawah Anak Selangor Anak Sihat (Asas) kita sudah mulakan pada tahun ini dengan kanak-kanak yang layak diberikan susu dan makanan seimbang

“Kita akan meningkatkan bilangan penerima daripada 500 kepada 700 untuk kanak-kanak yang mengalami masalah pertumbuhan terbantut dan kekurangan nutrisi,” kata Dr Siti Mariah Mahmud ketika dihubungi SelangorKini.

Pada Jumaat, Dato’ Menteri Besar ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2022 berkata peruntukan bagi sektor kesihatan awam meningkat kepada RM65 juta pada 2022 berbanding RM56.5 juta pada tahun sebelumnya.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata daripada jumlah itu RM1 juta dibelanja untuk menjayakan bantuan nutrisi makanan selama 10 bulan menerusi Asas.

Beliau memaklumkan program itu diwujudkan susulan kajian satu daripada lima kanak-kanak bawah lima tahun di Malaysia bantut akibat pemakanan tidak seimbang.

Pada 30 Oktober tahun lepas, Dato’ Menteri Besar berkata kajian Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) di projek perumahan rakyat (PPR) Kota Damansara mendapati 33 peratus kanak-kanak di perumahan tersebut mengalami masalah pertumbuhan terbantut dan kekurangan nutrisi.

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Vaksinasi kanak-kanak bawah 12 tahun bermula tahun depan

KUALA LUMPUR, 11 NOV: Pemberian vaksin Covid-19 keluaran Pfizer BioNTech kepada kanak-kanak berusia di bawah 12 tahun akan bermula pada 2022.

Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan buat masa ini, hanya vaksin itu yang tersedia bagi kegunaan kanak-kanak di bawah usia 12 tahun dan sedang menunggu kelulusan regulatori daripada Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat.

“Pihak Pfizer juga dijangka mengemukakan data berkaitan pendaftaran penggunaan vaksin untuk kanak-kanak di bawah 12 tahun pada penghujung tahun ini kepada NPRA (Agensi Regulatori Farmasi Negara) untuk penilaian dan kelulusan pendaftaran,” menurut kementerian itu dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

Menurut kementerian itu, kerajaan kini dalam proses memperoleh vaksin Pfizer BioNTech untuk kegunaan imunisasi bagi golongan itu memandangkan formulasi yang digunakan berbeza daripada populasi dewasa, tertakluk kepada kelulusan NPRA dan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD).

“Adalah dijangkakan seramai 5.9 juta kanak-kanak akan divaksinasi melibatkan anggaran keperluan kuantiti sebanyak 11.8 juta dos,” menurut kementerian itu.

Perkara itu dijelaskan bagi menjawab soalan Wong Chen (PH-Subang) yang ingin tahu sama ada KKM berhasrat memberi suntikan vaksin kepada kanak-kanak berusia lima hingga 12 tahun serta jangkaan ia dilaksanakan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Bomba temui mayat kanak-kanak dengan kesan gigitan buaya

LAHAD DATU, 7 NOV: Seorang kanak-kanak lelaki warga Filipina yang dilaporkan hilang selepas dipercayai diserang buaya di Sungai Kampung Bakau Lama di sini semalam, ditemukan meninggal dunia pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu Sumsoa Rashid berkata mayat Ibrahim Tolento, 10, ditemukan penduduk kampung terapung kira-kira 700 meter dari lokasi kejadian di sungai berkenaan pada 6.41 pagi.

“Mayat ditemukan dengan kesan gigitan di kaki kiri dan pinggang, dipercayai akibat diserang buaya, namun mayat itu masih dalam keadaan sempurna, dan sudah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Katanya beliau difahamkan dalam kejadian sekitar tengah hari semalam, arwah bersama dua rakannya sedang mencari udang di bawah rumahnya untuk dijadikan umpan memancing, apabila mereka tiba-tiba diserang buaya.

“Rumah Ibrahim terletak di atas air, difahamkan mulanya dia dapat melepaskan diri, namun buaya itu menyerang sekali lagi sebelum dia ditarik ke dalam sungai dan hilang,” katanya.

-BERNAMA