Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Perubahan iklim beri kesan buruk terhadap kanak-kanak

Oleh Muhammad Basir bin Roslan

KUALA LUMPUR, 3 NOV: Mungkin banyak pihak tidak menyedari hakikat kanak-kanak juga turut terkesan dengan perubahan iklim serta kemerosotan alam sekitar.

Kajian yang dikendalikan dua universiti tempatan dengan kerjasama Unicef Malaysia baru-baru ini mendapati, kedua-dua fenomena alam itu mempunyai kesan buruk ke atas pertumbuhan, perkembangan serta kesejahteraan kanak-kanak di Malaysia.

Ini kerana kanak-kanak mempunyai tahap toleransi yang lebih rendah terhadap risiko iklim dan alam sekitar. Apatah lagi kajian berkenaan turut mendapati kanak-kanak sering menjadi mangsa yang teruk terkesan apabila berlaku bencana yang ada kaitan dengan banjir, kemarau dan kebakaran hutan.

Meskipun menanggung impak teruk, “kanak-kanak secara konsisten tersisih dalam perencanaan proses dan dasar iklim.”

Unicef (Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) baru-baru ini melancarkan indeks risiko iklim – Children Climate Risk Index – yang pertama kali memberi fokus kepada kanak-kanak dan menyenaraikan negara berdasarkan pendedahan kanak-kanak kepada kejutan iklim serta alam sekitar.

Malaysia berada di tangga ke-61 dalam senarai negara yang kurang memberi penekanan kepada kanak-kanak yang terdedah kepada risiko perubahan iklim.

Seorang wanita membawa dua kanak-kanak meredah air banjir menggunakan tilam angin di Kampung Baru Bukit Mentok pada 8 Januari 2021. Foto: BERNAMA

Kesan ke atas komuniti terpinggir

Menyedari akan pentingnya menjaga kebajikan kanak-kanak daripada kesan perubahan iklim di Malaysia, Unicef Malaysia berganding bahu dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) untuk menjalankan kajian mengenai “Impact of Climate Change on Children: A Malaysian Perspective” (ICCC) antara Mac 2020 hingga Mei 2021.

Laporan ICCC berkenaan dilancarkan di UKM pada 29 Oktober 2021 oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dr Hishamuddin Mohd Hashim, bagi pihak Timbalan Menteri, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff.

Menurut Pakar Program Inovasi dan Kelestarian Unicef Malaysia, Issmail Nnafie, perubahan iklim memberi kesan ke atas kanak-kanak Malaysia dalam pelbagai cara, termasuk penyakit bawaan vektor, penyakit bawaan air dan penyakit pernafasan, yang berkait dengan perubahan iklim, kemerosotan alam sekitar serta pencemaran.

Ianya juga mengakibatkan gangguan kepada akses mendapatkan pendidikan di samping kecederaan dan kematian berpunca daripada banjir dan taufan.

“Unicef akan terus berganding bahu dengan pihak kerajaan, akademik dan masyarakat bagi menangani isu kemerosotan alam sekitar dan perubahan iklim serta mewujudkan persekitaran yang mampan serta selamat untuk kanak-kanak dan golongan muda di Malaysia, ” katanya, ketika ditemui pada majlis pelancaran ICCC.

Ketua penyelidik Laporan ICCC, Prof Dr Mazrura Sahani pula berkata, salah satu hasil penemuan penting kajian mereka ialah kanak-kanak dalam masyarakat yang terpinggir adalah paling mudah terkesan dengan risiko iklim dan alam sekitar.

Kanak-kanak yang terpinggir itu termasuk daripada masyarakat Orang Asli, mereka yang tidak mempunyai dokumen sah serta miskin bandar.

Turut termasuk dalam kumpulan ini adalah kanak-kanak yang ditinggalkan, tidak didaftarkan semasa dilahirkan atau mempunyai kecacatan.

Dr Mazrura berkata, hasil kajian mereka diperolehi daripada tiga kajian kes dengan latar belakang geografi serta masyarakat yang berbeza.

“Kami memilih dan mengkaji kumpulan minoriti, berdokumen dan tanpa dokumen di Pulau Gaya, Sabah; Orang Asli Temiar yang tinggal di kawasan pergunungan Pos Kuala Mu, Sungai Siput, Perak; dan keluarga B40 di Program Perumahan Rakyat (PPR) Sungai Bonus di Setapak, Kuala Lumpur,” katanya.

Menurut beliau lagi, di Pos Kuala Mu, pihaknya mendapati hanya 58 peratus kanak-kanak Orang Asli boleh pergi ke sekolah semasa berlaku keadaan cuaca melampau, yang menyebabkan tanah runtuh dan banjir kilat. Ini kerana pada masa kejadian, satu-satunya akses jalan terputus untuk ibu bapa Orang Asli yang menunggang motosikal untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah.

Malahan, beliau menambah, kanak-kanak berkenaan adalah paling terus terkesan akibat perubahan cuaca kerana kemiskinan serta keadaan sosial serta ekonomi.

Ini ditambah dengan lokasi geografi, kesulitan memperolehi perkhidmatan penting seperti air dan sanitasi dan juga isu buta huruf.

Jurang tadbir urus

Dr Mazrura, yang juga profesor Kesihatan Awam dengan pengkhususan dalam Alam Sekitar dan Epidemiologi Pekerjaan di UKM berkata, Laporan ICCC juga mengetengahkan bukan semua aspek hak kanak-kanak dipertimbangkan secara saksama dalam rangka kerja tadbir urus Malaysia mengenai iklim dan alam sekitar.

Keadaan ini membuatkan sudah sampai masanya untuk semua pihak yang berkepentingan memberi keutamaan untuk bertindak.

“Masalah utama ialah kebanyakan dasar dan undang-undang yang dikaji untuk kajian ini wujud sebelum perubahan iklim menjadi isu global. Sebagai contoh, perubahan iklim tidak disebut secara khusus dalam Akta Tenaga Boleh DiPerbaharui 2011. Akibatnya, isi kandungan tidak selaras dengan ikrar Malaysia di peringkat antarabangsa.

“Oleh yang demikian, diharapkan Laporan ICCC ini akan membangkitkan seruan untuk campur tangan segera pembuat dasar serta pihak yang berpengaruh untuk mewujudkan dasar perubahan iklim dan alam sekitar yang peka dengan kepentingan kanak-kanak.

“Pada masa ini, undang-undang serta dasar berhubung dengan alam sekitar tidak mengiktiraf kanak-kanak sebagai pemunya hak dan pemegang taruh yang penting, ” katanya sambil menambah, jurang ini melemahkan perlindungan untuk kesihatan serta kesejahteraan kanak-kanak dalam berlakunya perubahan iklim.

Gelagat Murid Tabika Perpaduan Kampung Baru Rasah Umayr Falique Mohd Fuzaimi Irwan semasa melalui proses pembelajaran dalam norma baharu dengan memakai pelitup muka dan menjarakkan diri antara murid lain ketika tinjauan pada hari pertama pembukaan sesi persekolahan tadika pada 1 Julai 2020. Foto BERNAMA

Undang-undang prihatin kanak-kanak

Laporan ICCC mengesyorkan agar satu rangka kerja tadbir urus yang lebih sensitif kanak-kanak diwujudkan dengan memastikan juga supaya undang-undang, dasar dan pelan yang berkaitan secara jelas menangani peranan kanak-kanak serta kesan perubahan iklim ke atas kanak-kanak.

“Hak kanak-kanak untuk mendapatkan persekitaran yang sihat perlu secara sistematik dan ditafsirkan oleh Perlembagaan dan diintegrasikan dalam udang-undang serta dasar negara, ” kata Dr Mazrura.

Menurut beliau, Laporan ICCC turut mencadangkan langkah untuk memperkukuhkan sektor pendidikan untuk menjadi pintar iklim sebagai menghadapi impak perubahan iklim.

“Sebagai contoh, kita boleh mewujudkan inisiatif seperti sekolah pintar iklim dengan infrastruktur yang kukuh bagi memastikan isu penutupan sekolah dan gangguan pendidikan apabila berlaku bencana alam dapat diminimumkan, ” tambahnya.

Sementara itu, penyelidik bersama Laporan ICCC, Prof Dr Ramzah Dambul dari UMS berkata, pandemik Covid-19 turut mendedahkan hubungan kompleks antara alam sekitar, kesihatan dan ekonomi, berdasarkan banyak kajian.

“Kesan selepas krisis perubahan iklim sewaktu pandemik Covid-19 dilihat sebagai peluang terbaik untuk sesebuah negara membina semula kelestarian, dengan menempatkan kanak-kanak serta perubahan iklim di tempat teratas agenda.

“Ini mesti dimulai dengan Pelan Pemulihan Negara (PPN) kerana masa ini adalah yang tepat untuk mewujudkan kehidupan yang lebih selamat untuk kanak-kanak pada hari ini dan esok, ” katanya.

Laporan ICCC boleh diakses di laman sesawang berikut: https://www.unicef.org/malaysia/reports/impact-climate-change-children

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Wujudkan akta kuat kuasa jenayah terhadap kanak-kanak di media sosial

KUALA LUMPUR, 3 NOV: Isu penguatkuasaan jenayah terhadap kanak-kanak di media sosial, peluang pendidikan kanak-kanak dan persediaan menghadapi negara tua, antara perkara diberi tumpuan dalam mesyuarat Majlis Sosial Negara (MSN), yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kelmarin.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam satu kenyataan hari ini menyatakan mesyuarat secara sidang video itu, bersetuju agar satu undang-undang mewajibkan penyimpanan data pelanggan seragam oleh penyedia perkhidmatan internet, akan dibangunkan bagi meningkatkan penguatkuasaan jenayah terhadap kanak-kanak di media sosial.

“Mesyuarat itu juga membangkitkan mengenai keperluan memberi peluang pendidikan kepada semua kanak-kanak, termasuklah kanak-kanak di sekolah pemulihan dan juga banduan muda yang sedang menjalani hukuman.

“MSN turut bersetuju untuk tindakan yang berkaitan dengan pindaan Seksyen 77 (3) Akta Kanak-kanak 2001, dilaksanakan bagi membolehkan lebih ramai banduan muda di Sekolah Henry Gurney, mendapat peluang pembelajaran yang lebih holistik,” menurut kenyataan itu lagi.

Selain itu, mesyuarat tersebut turut dimaklumkan, berkaitan inisiatif yang diambil oleh kerajaan dalam memastikan penularan pandemik Covid-19 dapat dikurangkan dalam kalangan pekerja asing.

Menurut kenyataan itu mesyuarat juga menyentuh isu persediaan Malaysia ke arah Negara Tua pada tahun 2030, berdasarkan unjuran peratusan penduduk yang berumur 60 tahun dan ke atas, yang akan mencecah 15.3 peratus daripada keseluruhan bilangan penduduk.

Mesyuarat tersebut turut dihadiri menteri-menteri Kabinet, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman dan pegawai kanan kementerian, serta agensi terlibat.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kanak-kanak 11 tahun maut jatuh pangsapuri, rancangan untuk cuti bertukar tragedi

PUTRAJAYA, 26 OKT: Seorang kanak-kanak perempuan meninggal dunia selepas terjatuh dari tingkat tujuh pangsapuri di Presint 5, semalam.

Bapanya Md Rizal Ramdzan, 42, berkata beliau lima sekeluarga termasuk anak keduanya itu Keisya Nawrah, 11, pada mulanya amat teruja semalam dengan rancangan percutian ke Janda Baik di Pahang minggu ini, namun pada sebelah petang ia bertukar menjadi tragedi.

Ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Putrajaya hari ini, penjawat awam itu berkata anaknya tidak menunjukkan apa-apa perubahan sebelum kejadian.

Keisya Nawrah dilaporkan terjatuh dari tingkat tujuh pangsapuri pada sekitar pukul 6.15 petang, sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Putrajaya pada kira-kira 7 malam.

Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP A.Asmadi Abdul Aziz berkata kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sementara menunggu post mortem, dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Pakar: Pastikan anak kecil dilindungi daripada Covid-19

Oleh Nurqalby Mohd Reda

KUALA LUMPUR, 22 OKT: Keputusan kerajaan membenarkan pergerakan rentas negeri bermula 11 Okt lepas bagi mereka yang telah lengkap vaksinasi Covid-19, adalah antara khabar yang paling ditunggu-tunggu oleh masyarakat yang rata-rata tidak sabar untuk pulang ke kampung atau pergi bercuti.

Jumlah kenderaan di atas jalan yang meningkat secara mendadak, khususnya pada hujung minggu lepas, adalah bukti ahli masyarakat memanfaatkan sepenuhnya “kebebasan” yang diberikan oleh kerajaan itu selepas hampir dua tahun pergerakan dibataskan demi mengekang penularan virus maut tersebut.

Namun, dalam keghairahan menikmati kelonggaran itu, perlu diingat bahawa ancaman Covid-19 belum berakhir, sementelah masih ada kelompok yang belum menerima vaksin, khususnya kanak-kanak berusia bawah 12 tahun.

Risiko yang dihadapi oleh kelompok usia ini sudah acap kali dibangkitkan oleh pakar, namun hingga kini kerajaan belum membuat ketetapan berhubung isu pemvaksinan untuk golongan itu. Justeru, sementara menantikan keputusan kerajaan, terserah kepada ibu bapa dan penjaga untuk memastikan anak kecil mereka dilindungi daripada dijangkiti Covid-19.

Sentiasa basuh, sanitasi tangan

Mengulas perkara itu, pakar kesihatan pekerjaan, kecemasan dan kesihatan awam Dr Hanafiah Bashirun menasihati orang ramai agar mengehadkan pergerakan dan tidak sewenang-wenangnya berkunjung ke pelbagai lokasi.

“Tujuan utama dibenarkan merentas negeri adalah bagi mereka yang sudah lama tidak menziarahi orang tua agar dapat pulang ke kampung, tetapi janganlah sebelum pulang ke kampung kita pergi bercuti di sana sini.

“Jika terlalu banyak tempat persinggahan, kita bukan sahaja boleh merisikokan anak-anak, terutamanya yang belum divaksinasi, tetapi berkemungkinan membawa pulang virus Covid-19 yang akhirnya boleh menjangkiti orang tua kita,” katanya.

Beliau turut menasihati ibu bapa yang mempunyai anak kecil dan berhasrat pulang ke kampung, agar melakukan perancangan sebaik mungkin bagi memastikan anak-anak mereka tidak terdedah kepada persekitaran yang sesak dengan orang ramai.

Antara yang beliau cadangkan ialah membawa bekal makanan dari rumah agar tidak perlu singgah di kedai makan semasa dalam perjalanan pulang ke kampung.

“Begitu juga jika singgah di mana-mana seperti surau dan masjid, sentiasa jaga penjarakan fizikal dan semua ahli keluarga termasuk anak-anak kecil, wajib sanitasi tangan. SOP ini adalah paling asas untuk mencegah jangkitan Covid-19,” tegasnya.

Dr Hanafiah turut menggalakkan individu dewasa melakukan ujian kendiri secara berkala sebagai saringan awal sepanjang berada di kampung, sekali gus melindungi diri dan juga ahli keluarga yang lain daripada dijangkiti virus maut tersebut.

“Sejurus tiba di kampung, wajib lakukan ujian kendiri yang merupakan langkah terbaik untuk kita membuat pengesanan awal kerana saya yakin, pada waktu ini kita bukan sahaja bertemu dengan orang tua, tetapi juga berhimpun dengan adik-beradik yang tiba dari lokasi berbeza.

“Sekalipun kita mandi atau sanitasi tangan sebelum bersentuhan dengan ahli keluarga yang lain, belum tentu dapat melindungi orang lain, terutama kanak-kanak daripada virus itu,” katanya.

Dr Hanafiah juga mencadangkan orang ramai menyediakan kit ujian kendiri yang disifatkannya lebih murah dan mudah berbanding ujian calitan di klinik.

“Sekiranya ada seorang didapati positif, ahli keluarga lain pula boleh membuat swab test di klinik kesihatan untuk mengesahkan status kesihatan mereka,’’ katanya.

Kawalan kendiri

Bagi Timbalan Pengarah (Klinikal) Hospital Universiti Teknologi MARA Prof Madya Dr Ahmad Izuanuddin Ismail pula, langkah terbaik untuk mengelakkan anak daripada dijangkiti Covid-19 ialah tidak membawa mereka ke kawasan tumpuan ramai kerana golongan itu amat cenderung mendapat jangkitan kuman pada saluran pernafasan dan paru-paru.

Apatah lagi katanya, agak sukar untuk memastikan kanak-kanak, khususnya yang berusia lima tahun ke bawah, mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) pencegahan jangkitan Covid-19 seperti membasuh tangan dan menjaga jarak fizikal, selain mereka juga tidak digalakkan memakai pelitup muka kerana boleh menyebabkan kesukaran bernafas.

“Walaupun Covid-19 telah biasa dalam kehidupan kita, ibu bapa perlu ingat masih ada kuman atau virus lain yang berada dalam persekitaran dan mudah menjangkiti kanak-kanak, selain kesannya pun ada masa lebih teruk daripada Covid-19, seperti virus influenza dan pneumokokal,’’ katanya kepada Bernama.

Bersandarkan pada senario itu, Dr Ahmad Izuanuddin yang merupakan pakar perubatan dalaman (umum) dan perubatan respiratori, menyarankan ibu bapa memastikan bayi dan anak-anak kecil, khususnya yang berusia bawah lima tahun, sudah dilengkapi pelalian yang ditetapkan di bawah Program Imunisasi Kebangsaan (NIP).

NIP katanya boleh melindungi golongan itu daripada penyakit berkaitan pernafasan, terutamanya influenza, radang paru-paru (pneumonia), batuk kokol dan haemophilus influenzae.

“Biasanya vaksin ini (berkaitan penyakit pernafasan) diberikan kepada bayi semasa berusia dua, tiga dan lima bulan serta dos booster ketika berumur 18 bulan. Vaksin influenza dan pneumokokal bukan vaksin wajib tetapi digalakkan pengambilannya,” jelas beliau.

Dr Ahmad Izuanuddin turut menasihati ibu bapa yang membawa anak-anak mereka merentas negeri agar segera melakukan ujian Covid-19 ke atas si anak sekiranya menunjukkan gejala seperti demam dan selesema.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kanak-kanak enam tahun maut jatuh bangunan hotel

GEORGE TOWN, 19 OKT: Seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun maut dipercayai terjatuh dari sebuah hotel dekat Tanjung Tokong di sini semalam.

Menerusi satu perkongsian yang tular di media sosial, insiden malang itu difahamkan berlaku pada kira-kira 11.30 pagi selepas mangsa selesai mandi di kolam renang dan berjalan ke bilik penginapannya bersama ahli keluarga sebelum meluru memasuki lif tanpa disertai ahli keluarga lain.

Keluarga mangsa dari Sungai Petani, Kedah dikatakan cuba mencarinya selepas itu sebelum dikejutkan dengan penemuan kanak-kanak tersebut yang tidak sedarkan diri di tingkat satu hotel dan dipercayai meninggal dunia selepas terjatuh.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Suffian Santong ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata siasatan sedang dijalankan.

“Buat masa sekarang, saya hanya boleh sahkan kejadian memang berlaku. Balai Tanjung Tokong menerima maklumat pada 12.20 tengah hari dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pakar: Data cukup, ibu bapa tambah yakin benar anak divaksin

KUALA LUMPUR, 18 OKT: Langkah kerajaan menunggu hasil kajian dan data secukupnya berkaitan keberkesanan dan keselamatan vaksin Covid-19 terhadap kanak-kanak di bawah 12 tahun, sebelum memutuskan melaksanakan vaksinasi terhadap golongan itu adalah tindakan bijak, menurut pakar.

Pengasas Persatuan Malaysian Doctors Club (MDC) Dr Muhammad Hakim Nordin berkata tindakan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin yang tidak gopoh membuat keputusan berkenaan perkara itu juga, adalah praktikal.

“Tindakan (menunggu data) yang bijak…mereka (kanak-kanak) adalah golongan berisiko rendah… jadi kenapa kita perlu berikan kepada kanak-kanak kepada sesuatu (vaksinasi) yang kita masih tidak tahu keselamatan dan keberkesanan sepenuhnya lagi.

“… setahu saya, WHO (Pertubuhan Kesihatan Dunia) belum lagi galakkan vaksinasi terhadap kanak-kanak bawah 12 tahun,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, walaupun ada syarikat vaksin telah mengesahkan keselamatan penggunaan produknya, namun ia bergantung kepada WHO untuk membuktikan bahawa vaksin-vaksin tersebut selamat digunakan kepada kanak-kanak di bawah 12 tahun.

Khairy sebelum ini memaklumkan Kementeriannya telah mengadakan rundingan dengan sebuah syarikat pengeluar vaksin Covid-19, yang sedang membuat persiapan untuk menghantar data berkaitan (keselamatan dan keberkesanan vaksin kepada kanak-kanak bawah 12 tahun) kepada semua badan kawal selia seluruh dunia termasuk Malaysia.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Klinikal dan Pakar Perunding Imunologi Kanak-Kanak Hospital Canselor Tuanku Muhriz Dr Adli Ali berkata beliau percaya kerajaan sedang menilai beberapa jenis vaksin untuk dipertimbangkan kepada golongan tersebut.

Katanya, data yang mencukupi akan menambah keyakinan ibu bapa untuk membenarkan anak-anak mereka divaksin.

“Saya percaya mereka (kerajaan) sedang lihat apa vaksin yang sesuai dan untuk vaksinasi kanak-kanak bawah 12 tahun ini, mereka dah mengambil kira beberapa data termasuk vaksin Sinovac yang telah mengeluarkan data yang mengatakan ia selamat digunakan kepada kanak-kanak berumur 6-12 tahun,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, syarikat vaksin Pfizer BioNTech telah mengeluarkan kenyataan bahawa vaksin itu kini selamat digunakan kepada kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun.

Sementara itu, Pakar Mikrobiologi Klinikal Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Prof Madya Dr Nurul Azmawati Mohamed berkata untuk memberi vaksin kepada kanak-kanak bukan satu keputusan yang mudah.

Menurutnya, sekiranya ujian klinikal telah dilakukan dan disahkan selamat dan berkesan kepada kanak-kanak di luar negara, laporan ujian tersebut perlu dikaji oleh pakar di peringkat Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kanak-kanak tiga tahun kes pertama pelancong Langkawi positif Covid-19

ALOR SETAR, 30 SEPT: Jabatan Kesihatan Negeri Kedah hari ini mengesahkan terdapat kes pertama positif Covid-19 melibatkan pelancong di Langkawi bagi gelembung pelancongan iaitu kanak-kanak berumur tiga tahun.

Pengarah Kesihatan Kedah Dr Othman Warijo berkata hasil siasatan Pejabat Kesihatan Daerah Langkawi, kanak-kanak berasal dari Nilai, Negeri Sembilan itu tiba bersama ibu bapanya di Langkawi pada 7.30 malam, 24 Sept lepas dengan penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2).

Beliau berkata pada keesokannya (25 Sept), kanak-kanak itu mula mengalami demam dan dibawa mendapatkan rawatan pada 26 Sept, kemudian disahkan positif Covid-19.

“Sehingga hari ini, hanya satu kes positif dilaporkan melibatkan pelancong ke Langkawi dan tidak ada penularan dalam kalangan ahli keluarga dan penduduk setempat.

“Keadaan pesakit adalah bergejala ringan dan diletakkan di bawah pemantauan CAC (Pusat Penilaian Covid-19) Daerah Langkawi manakala kontak rapat yang lain adalah tidak bergejala dan semuanya telah lengkap vaksinasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Othman berkata hasil siasatan mendapati selain ibu bapanya, terdapat tiga saudara yang merupakan penduduk tempatan di pulau pelancongan itu menjadi kontak rapat kepada kanak-kanak berkenaan.

“Kesemua lima kontak rapat telah diambil swab dan diberikan arahan kuarantin selama 10 hari. Hasil keputusan swab kesemua kontak rapat adalah negatif,” katanya.

Beliau berkata hasil siasatan juga mendapati kemungkinan jangkitan ke atas kanak-kanak itu berlaku sebelum melancong ke Langkawi lagi dan siasatan lanjut serta pengesanan kontak rapat masih diteruskan.

Katanya, ibu bapa kanak-kanak itu mendapat vaksinasi lengkap dan bukannya kes positif Covid-19 ataupun kontak rapat kepada kes positif virus berkenaan serta tidak bergejala.

“Saringan RTK-Antigen menggunakan air liur ke atas ibu bapa kanak-kanak ini telah dijalankan di KLIA2 iaitu sebelum berlepas ke Langkawi dan disahkan negatif. Dimaklumkan, kanak-kanak ini tidak mengalami gejala sebelum perjalanan dan semasa saringan kesihatan di KLIA2 sebelum berlepas ke Langkawi,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan belum putus suntik vaksin kanak-kanak bawah 12 tahun

PUTRAJAYA, 2 SEPT: Malaysia belum membuat sebarang ketetapan mengenai vaksinasi Covid-19 terhadap kanak-kanak berumur 12 tahun, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

“Tiada sebarang kelulusan untuk vaksinasi pediatrik di Malaysia mahupun di mana-mana tempat ketika ini. Ia masih dalam kajian oleh agensi pengawalseliaan sama ada badan Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) mahupun Pihak Berkuasa Kawalan Kesihatan Kebangsaan (NHRA).

“Sebaik sahaja kita ada cukup data untuk menyokong bahawa adalah selamat untuk memberikan vaksin kepada kanak-kanak, barulah kita akan bawa ia kepada jawatankuasa vaksin untuk pertimbangan dan membuat keputusan mengenainya,” katanya pada persidangan media mengenai perkembangan terkini Covid-19 semalam.

Menurutnya, pengeluar vaksin Pfizer-BioNTech, sedang dalam proses menampilkan vaksin Covid-19 khusus buat kanak-kanak dan vaksin itu mempunyai dos yang berbeza daripada dos untuk dewasa.

Beliau berkata dengan ketiadaan vaksinasi yang diluluskan untuk mereka yang berumur 12 tahun ke bawah, langkah vaksinasi orang dewasa di sekolah-sekolah akan menjadi cara terbaik untuk memastikan anak-anak yang belum diberi vaksin terselamat.

Khairy berkata Kementerian Kesihatan mungkin akan menimbangkan keperluan mewajibkan vaksinasi Covid-19 dalam usaha menangani masalah berkaitan anti-vaksin, sambil menambah beliau juga hampir mencadangkan supaya semua anggota kabinet diwajibkan mengambil vaksin.

Bagaimanapun katanya buat waktu ini kerajaan tidak akan mewajibkan pengambilan vaksin oleh orang ramai.

“Saya belum sampai ke tahap saya akan mengesyorkan supaya seluruh anggota kabinet diwajibkan untuk menjalani vaksinasi,” katanya.

Khairy berkata satu dasar baharu mengenai ujian Covid-19 akan dilaksanakan tidak lama lagi khusus bagi mereka yang menolak untuk mendapatkan vaksin, yang bukan disebabkan faktor perubatan.

Beliau berkata di bawah dasar ini, seseorang perlu melakukan ujian diri dengan alat ujian Covid-19 secara berkala untuk memastikan mereka bebas dari virus.

“Sebaik sahaja kita masuk ke fasa endemik, sama ada anda telah divaksin atau tidak, anda perlu menjalani ujian kendiri dengan kerap.

“Bagi mereka yang yang enggan divaksin, mereka perlu mempunyai jadual tertentu ujian yang perlu dipatuhi. Sama ada ia menggunakan kit ujian segera dan sekiranya ia (keputusan) positif, akan disahkan oleh ujian PCR,” katanya.

Sehubungan itu Khairy berkata kerajaan dalam mesyuarat kabinet hari ini telah bersetuju menetapkan harga siling bagi alat ujian diri Covid-19.

Beliau berkata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi akan membuat pengumuman mengenai perkara itu tidak lama lagi.

Menurutnya ketika ini terdapat 11 jenama alat ujian diri Covid-19 yang telah mendapat kelulusan bersyarat oleh Kementerian Kesihatan untuk kegunaan awam.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Wanita 18 tahun ke atas dipelawa sertai kursus asuhan kanak-kanak percuma

SHAH ALAM, 1 SEPT: Wanita berusia 18 tahun ke atas yang ingin menceburi bidang pengasuhan dan penjagaan kanak-kanak dipelawa menyertai kursus percuma anjuran Kerajaan Negeri.

Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) berkata peserta terpilih program Intensif Perkembangan Kanak-Kanak (KIPK) akan menyertai kursus dalam talian bermula 24 hingga 26 September selain menerima bantuan pelan internet bernilai RM50.

“Permohonan dibuka pada 27 Ogos hingga 12 September, pendaftaran boleh dibuat melalui laman sesawang https://e-kipk.yawas.my/permohonan/,” katanya di Facebook hari ini.

Kerajaan Negeri memperkenalkan KIPK pada 2013 untuk mendedahkan wanita di negeri ini mengenai ilmu pengasuhan.

Melalui ilmu itu, mereka boleh meningkatkan kemahiran untuk menjana pendapatan dalam pengasuhan anak-anak kecil di rumah.

KIPK telah berjaya melahirkan lebih 1,000 peserta sejak diperkenalkan sembilan tahun lalu.

 

Categories
AGENDA JENAYAH

Polis selamat tiga beradik disyaki mangsa dera

PETALING JAYA, 28 OGOS: Polis menyelamatkan tiga kanak-kanak yang disyaki menjadi mangsa penderaan di sebuah pangsapuri di Kota Damansara, di sini semalam.

Ketiga-tiga beradik berusia antara empat dan tujuh tahun itu mempunyai kesan lebam dan kecederaan di badan dipercayai akibat didera, kata Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid.

Berikutan itu, polis menahan seorang ibu tunggal dan seorang lelaki, masing-masing berusia 30 dan 38 tahun, bagi membantu siasatan kes itu dan polis turut merampas tiga batang rotan pelbagai saiz.

Beliau berkata kediaman yang diserbu polis pada pukul 4 petang semalam itu didiami seorang ibu tunggal warga tempatan bersama tiga anaknya serta seorang lelaki warga tempatan dipercayai kekasih wanita itu.

“Polis menerima laporan kes itu pada Khamis daripada seorang wanita yang mendapat maklumat mengenai kejadian tersebut daripada penghuni lain pangsapuri berkenaan. Pengadu pegi ke pangsapuri suspek untuk buat pemeriksaan dan pengesahan berhubung maklumat yang diterimanya.

“Pengadu menasihatkan ibu tunggal berkenaan agar tidak memukul anaknya dan suspek telah menyerahkan anaknya iaitu seorang kanak-kanak perempuan berumur empat tahun untuk dijaga oleh pengadu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Fakhrudin berkata pemeriksaan terhadap badan kanak-kanak berusia empat tahun itu mendapati ada kesan lebam dan kecederaan pada anggota badan dan dia dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk rawatan lanjut.

Berikutan itu, beliau berkata polis menyerbu kediaman kanak-kanak itu dan menyelamatkan seorang kanak-kanak perempuan berumur enam tahun dan seorang kanak-kanak lelaki berumur tujuh tahun.

Kedua-dua mereka juga mempunyai kesan kecederaan pada badan disyaki akibat penderaan dan  mereka dihantar ke PPUM untuk rawatan lanjut.

Mereka akan dirujuk kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk tindakan selanjutnya, katanya sambil memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana melakukan penderaan terhadap kanak-kanak.

Mohamad Fakhrudin menasihatkan agar masyarakat sentiasa peka dengan kejadian jenayah yang berlaku di kawasan kediaman dan kejiranan tempat tinggal dan melaporkan sebarang kejadian keganasan rumah tangga atau penderaan kanak-kanak dengan menghubungi talian kasih 15999 untuk bantuan segera.

— BERNAMA

 

Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Waspada penjenayah siber, elak anak jadi mangsa

Oleh Balkish Awang

KUALA LUMPUR, 26 OGOS: Isu eksploitasi kanak-kanak menggunakan Internet boleh membarah memandangkan kanak-kanak serta remaja hari ini membesar dengan gajet yang mempunyai akses kepada pelbagai bentuk kandungan tidak sesuai dalam talian.

“Sajian internet” saban hari kepada kanak-kanak terutamanya sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dibimbangi memberi implikasi negatif kepada minda serta rohani mereka.

Malahan, situasi ini turut membebankan ibu bapa dengan tanggungjawab untuk memastikan keselamatan anak mereka daripada menjadi mangsa eksploitasi penjenayah siber.

Dalam hal ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memainkan peranan untuk membanteras jenayah siber termasuk yang melibatkan kanak-kanak.

Dalam satu jawapan bertulis kepada Bernama, MCMC memaklumkan, dalam mewujudkan persekitaran digital selamat untuk kanak-kanak dalam talian, Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) merangka satu Dasar Perlindungan Kanak-Kanak Negara untuk mencapai matlamat perlindungan kanak-kanak.

Ianya termasuk merangka inisiatif dan tindakan secara holistik bagi membendung eksploitasi serta jenayah terhadap kanak-kanak, sama ada dalam talian mahupun luar talian. Ia juga memastikan setiap kanak-kanak mendapat perlindungan daripada pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi.

Jalin kerjasama untuk ketatkan penguatkuasaan

Dalam aspek penguatkuasaan pula, MCMC sentiasa menjalin kerjasama baik dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), khususnya Bahagian Siasatan Seksual, Penderaan dan Kanak-kanak (D11), KPWKM serta Interpol di peringkat antarabangsa dalam operasi penguatkuasaan secara bersama.

“Ini merangkumi aspek penguatkuasaan dan tindakan sekatan terhadap kandungan atau laman-laman sesawang yang berkaitan pedofilia dan pornografi kanak-kanak,” jelas MCMC.

Selain itu, MCMC turut menasihati para ibu bapa dan penjaga agar sentiasa mengikuti perkembangan mengenai risiko dan ancaman dalam talian serta perisian kawalan yang boleh digunakan untuk memantau aktiviti penggunaan Internet oleh anak-anak mereka.

Ibu bapa juga harus membuka ruang berkomunikasi dengan anak-anak serta memberi kebebasan kepada anak-anak untuk menceritakan pengalaman atau masalah mereka tanpa dipersalahkan.

Beri perlindungan pada kanak-kanak

Bagi memastikan kanak-kanak di Malaysia terus dilindungi dalam alam persekitaran digital, MCMC turut meneliti pelbagai aspek bagi memperkukuhkan perlindungan kanak-kanak dalam talian.

Ianya termasuk pemantapan inisiatif keterlibatan bersama kementerian, agensi kerajaan dalam meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai penggunaan parental control tools oleh ibu bapa atau penjaga.

Agensi itu juga memantapkan kawal selia serta kerjasama bersama kementerian, agensi kerajaan dan agensi penguatkuasaan seperti PDRM di samping menyediakan platform dari aspek tindakan intervensi di peringkat teknikal dan dasar serta aktiviti penguatkuasaan.

MCMC juga senantiasa melakukan pemantapan kolaborasi pelbagai fungsi antara agensi dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) dalam meningkatkan kesedaran masyarakat berhubung keselamatan kanak-kanak di Internet.

“Selain itu, MCMC turut melaksanakan pemantapan platform advokasi dan kesedaran sedia ada seperti Klik Dengan Bijak (KDB) dan Malaysian ICT Volunteer (MIV).

“Ini bagi memupuk budaya penggunaan aplikasi dan perkhidmatan media baharu, secara bijaksana dan berhemah serta bekerjasama dengan pelbagai Institut Pengajian Tinggi (IPT) dalam menjalankan penyelidikan berkenaan dengan keselamatan dan perlindungan kanak-kanak dalam talian,” kata MCMC.

Berhubung bilangan laman sesawang pornografi kanak-kanak yang disekat setakat ini, difahamkan antara tahun 2015 sehingga Julai 2021, sejumlah 407 laman berkaitan pedofilia dan pornografi kanak-kanak disekat melalui kerjasama MCMC, PDRM dan Interpol.

Manakala bagi peruntukan undang-undang yang ada di negara ini untuk menangani isu kanak-kanak dikesploitasi menerusi talian adalah Akta Kanak-Kanak 2001, Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 dan Kanun Keseksaan.

Bukan tanggungjawab kerajaan sahaja

Dalam pada itu, MCMC menegaskan, langkah mengawal selia akses terhadap sesuatu kandungan di Internet bukan menjadi tanggungjawab pihak kerajaan semata-mata tetapi juga melibatkan semua pihak termasuk ibu bapa.

Oleh yang demikian, MCMC menggerakkan inisiatif berbentuk kesedaran di seluruh negara seperti KDB dan MIV bagi mendidik serta menggalakkan masyarakat agar mengamalkan kawalan kendiri, menggunakan Internet secara berhemah serta memupuk budaya penggunaan media baharu secara bijaksana.

Inisiatif Parental Control Tools turut digerakkan dengan kerjasama penyedia perkhidmatan Internet (ISP) bagi mengupayakan pengguna Internet, khususnya golongan ibu bapa, dengan kemudahan untuk memantau dan menyaring kandungan yang diakses oleh keluarga serta anak-anak, bagi mengelakkan penularan kandungan yang tidak diingini.

“Turut dilaksanakan ialah jalinan kerjasama dengan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) menerusi penganjuran seminar perlindungan kanak-kanak dalam talian pada Mac 2021 dalam usaha membina kebingkasan kanak-kanak ketika dalam talian.

“Jika ada pengguna yang ternampak sesuatu kurang elok dalam media sosial, maklumkan kepada pihak berkuasa untuk perhatian mereka. Pengguna juga boleh membantu dengan memberikan tip penting kepada pihak berkuasa untuk tindakan susulan,” tegas MCMC.

Kesan besar pada psikologi kanak-kanak

Berkongsi pandangan, Dr Norhayati Mohd Noor, Pensyarah Kanan Kaunseling (Keluarga & Perkahwinan) , Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia berkata, naluri kanak-kanak yang suka kepada perkara yang menyeronokkan dan banyak pergerakan tingkah laku turut mendorong kesan negatif internet kepada psikologi mereka.

Menurut beliau, psikologi kanak-kanak sentiasa menerima apa sahaja yang dilihat dan didengar dengan pancainderanya.

“Tahap kebolehan dan kemampuan kognitif menganalisis dan menapis maklumat yang diterima hasil dari apa yang dilihat dan didengar oleh kanak-kanak masih rendah.

“Oleh itu, apa jua maklumat yang dipaparkan media massa yang ada di internet sudah pasti kanak-kanak tidak boleh membezakan mana yang positif mana yang negatif tanpa bimbingan orang dewasa,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi baru-baru ini.

Mengulas situasi kanak-kanak zaman kini yang lebih terancam serta mudah untuk dipergunakan serta dieksploitasi menerusi dalam talian, Norhayati mengakui kewujudan masalah berkenaan dan bersetuju bahawa sebahagian besar kehidupan kanak-kanak terancam dengan gajet dan internet.

Beliau menambah, persekitaran kehidupan kanak-kanak sama ada di rumah, di sekolah atau di mana-mana pun, sentiasa terdedah dengan gajet dan internet terutama semasa Pandemik Covid-19, selain sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) pun melalui atas talian.

“Kita boleh lihat sehingga iklan dan apa juga drama serta media massa memaparkan kehidupan seolah-olah tidak sempurna tanpa gajet.

“Oleh yang demikian gambaran di dalam kognitif kanak-kanak hanya tertanam keseronokan hidup dengan gajet. Bagi kanak-kanak, tanpa gajet kehidupan ini tidak seronok dan tidak bermakna,” katanya.

Norhayati berkata, berdasarkan pengalaman beliau dalam mengendalikan ketagihan dalam kanak-kanak semasa sesi kaunseling keluarga, kanak-kanak mempelajari sikap tantrum (pemarah) dan menangis yang melampau sebagai cara mereka mahukan keinginan mereka terhadap gajet dipenuhi oleh ibu bapa.

“Maka hal demikian juga akan membentuk satu sikap yang berpanjangan iaitu pada satu masa kanak-kanak ini menjadi remaja dan orang dewasa yang tiada kemahiran mengawal diri dan sekaligus menjadikan mereka seorang yang panas baran,” katanya.

Mudah terdedah jadi mangsa

Norhayati berkata, sama ada kanak-kanak ataupun tidak, kecenderungan akan dipergunakan atau boleh menjadi mangsa eksploitasi adalah bergantung kepada di mana kanak-kanak itu berada dan siapa ibu bapa atau penjaga kanak-kanak tersebut.

“Seperti yang kita tahu kanak-kanak adalah individu yang lemah dan mudah mendapat simpati dari orang dewasa terutama masyarakat di Malaysia. Sering kali kita lihat ramai kanak-kanak sejak sekian lama dijadikan pengemis atau peminta sedekah, Malah ramai ibu-ibu warga asing menggunakan anak-anak sebagai alat menagih simpati pada orang ramai.

“Malah jika kita lihat ada yang diviral melalui internet, kanak-kanak sering menjadi alat untuk ibu bapa mendapatkan simpati dalam mendapatkan bantuan terutama dari segi kewangan. Maka apa yang saya hendak katakan berkemungkinan besar kanak-kanak boleh dieksploitasi atau dipergunakan memang tinggi,” katanya.

Beliau juga tidak menolak akan berlaku pada masa akan datang pelbagai aktiviti perniagaan yang tidak sihat menggunakan kanak-kanak.

“Apa yang membimbangkan mungkin akan berlaku di Malaysia menjual gambar-gambar kanak-kanak kepada pelaku pornografi yang sudah berlaku di luar negara.

“Yang membimbangkan saya juga ada individu perseorangan yang mencari sumber kewangan atas kerja NGO menggunakan kanak-kanak dalam mendapat simpati. Bentuk eksploitasi yang lain adalah kanak-kanak ini yang masih tidak dapat berfikir dalam membezakan dan masih hidup dengan permainan boleh dijadikan duta iklan dalam menjual alat-akat permainan yang tidak sihat,” katanya.

Pada masa yang sama, Norhayati berkata, undang-undang seperti Akta Kanak-kanak 2001 yang memberi fokus kepada keselamatan dan perlindungan kepada kanak-kanak dari salah laku seksual dan juga aktiviti keganasan kepada kanak-kanak sewajarnya dilihat semula.

“Perlu lihat semula bagaimana akta ini turut mampu melindungi dan menjaga keselamatan kanak-kanak bukan sahaja dari segi keselamatan fizikal tetapi juga dari segi keselamatan emosi dan keselamatan mental terutama yang boleh menyebabkan kesihatan mental kanak-kanak terjejas teruk.

“Peranan dan tanggungjawab ibu bapa kepada perlindungan anak-anak sewajarnya diperhalusi dengan lebih terperinci terutama dalam pengurusan penggunaan gajet dan internet anak-anak mereka di rumah. Penguatkuasaan undang-undang ke atas ibu bapa yang mengabaikan keselamatan anak-anak dari segi emosi dan mental seharusnya diambil kira sebagai pengabaian tanggungjawab ibu bapa kepada anak-anak,” katanya.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Kanak-kanak paling berisiko sebagai golongan tidak divaksin

Oleh Nina Muslim

KUALA LUMPUR, 17 OGOS: Sejak kebelakangan ini, jumlah kanak-kanak yang dimasukkan ke hospital akibat Covid-19 menunjukkan peningkatan ketara, dan ini dipercayai oleh pakar perubatan ada kaitan dengan penularan varian Delta yang semakin dominan di negara ini.

Perunding pakar kardiologi pediatrik Prof Madya Dr Norazah Zahari berkata perkembangan itu, khususnya dalam tempoh dua bulan lepas, menyebabkan satu tingkat di Kompleks Kesihatan Wanita dan Kanak-Kanak, Pusat Perubatan Universiti Malaya diperuntukkan bagi merawat kanak-kanak bergejala Covid-19, berbanding hanya satu wad sebelum ini.

“Ada beberapa kes yang dimasukkan ke ICU (unit rawatan rapi). (Mereka) mengalami komplikasi jantung akibat jangkitan Covid-19,” katanya kepada Bernama, dan menambah satu daripada kes tersebut disahkan sebagai sindrom keradangan pelbagai sistem pada kanak-kanak (MIS-C).

MIS-C merupakan komplikasi Covid-19 yang serius, iaitu suatu keadaan di mana keradangan berlaku pada pelbagai organ seperti jantung, paru-paru, pembuluh darah serta buah pinggang. Sekalipun kemungkinan untuk kanak-kanak mengalami gejala Covid-19 yang teruk adalah kecil, jelas mereka tidak kebal jangkitan itu.

Pakar kesihatan kini menggambarkan penularan Covid-19 sebagai “pandemik golongan tidak divaksinasi” yang diburukkan lagi oleh kehadiran dominan varian Delta. Buat masa ini Malaysia belum membenarkan kanak-kanak divaksinasi sekalipun vaksin keluaran Pfizer-BioNTech diluluskan untuk kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah.

“Golongan yang tidak divaksinasi ini dilihat sebagai lompang dan mereka menjadi golongan yang paling terdedah – kanak-kanak dan remaja,” kata Prof Madya Dr Mas Ayu Said, pakar epidemiologi di Universiti Malaya (UM).

“Jika anda langsung tidak mempunyai antibodi, amat mudah (untuk anda dijangkiti), seolah-olah anda membuka pintu yang membolehkan ia (virus) masuk,” tambah beliau.

Peningkatan kes melibatkan kanak-kanak berserta penularan varian Delta menyaksikan kembalinya gesaan agar kerajaan melaksanakan pemvaksinan ke atas remaja.

Pada 15 Ogos lepas, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin mengumumkan pemvaksinan ke atas golongan berusia 12 hingga 17 tahun bermula 15 Sept ini. Keutamaan diberikan kepada mereka yang komorbid dan pelajar sekolah sebelum diperluas kepada generasi lebih muda, bergantung pada bekalan vaksin.

Langkah itu disambut baik oleh pakar, namun mereka bimbang kelonggaran tatacara operasi piawai (SOP) yang diumumkan oleh beberapa negeri untuk golongan yang lengkap dua dos vaksin akan menyebabkan kanak-kanak terus terdedah. Antara kelonggaran itu ialah membenarkan ibu bapa makan di premis bersama anak-anak serta melakukan perjalanan rentas negeri.

Setakat 14 Ogos lepas, sebanyak 51.7 peratus penduduk Malaysia, menyamai 72.1 peratus orang dewasa menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin. Daripada jumlah itu, 31.9 peratus atau 44.5 peratus lengkap dua dos vaksin.

Seorang jururawat menyiapkan dos vaksin Moderna di pusat vaksinasi di Dresden Fair, Jerman pada 29 Julai 2021. Foto REUTERS

Biar lambat asalkan dapat

Peningkatan kes kanak-kanak yang tidak divaksinasi dijangkiti Covid-19 akibat penularan varian Delta turut berlaku di negara lain termasuk negara yang melaksanakan pemvaksinan ke atas orang dewasa dan remaja mereka.

Lebih mudah berjangkit berbanding campak, ada data tentatif yang menunjukkan strain itu berpotensi menyebabkan jangkitan lebih serius. Malah, orang yang telah divaksinasi juga boleh dijangkiti dan menyebarkan virus, cuma dalam tempoh singkat dan pada kadar lebih rendah berbanding mereka yang tidak divaksinasi.

Di Malaysia, kerajaan mengambil masa dua bulan sebelum membenarkan golongan muda diberikan vaksin disebabkan kebimbangan tentang kemungkinan mereka mengalami miokarditis dan perikarditis – keradangan pada jantung.

Kebimbangan itu ada asasnya dengan Pfizer dan Moderna kini meletakkan label amaran tentang kemungkinan kesan sampingan dalam kalangan remaja selepas dos kedua, namun pakar perubatan yang berpandangan kemungkinan risiko tersebut berlaku amat rendah, menegaskan dalam soal ini manfaatnya jauh lebih besar berbanding risiko.

“Tak mengapa lambat, asalkan dapat,” kata perunding pakar pediatrik Datuk Dr Musa Mohd Nordin ketika dihubungi Bernama melalui WhatsApp.

“Memang bagus JKJAV (Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin) menimbang keputusan berdasarkan sains dan analisis risiko-faedah,” katanya.

Memetik data Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat, beliau berkata risiko mengalami keradangan jantung akibat jangkitan Covid-19 bagi kelompok usia 12 hingga 17 tahun ialah 13 kali ganda untuk lelaki dan 24 kali ganda bagi perempuan, berbanding mendapatnya akibat vaksinasi.

Bagaimanapun, kadar insiden ialah 67 daripada sejuta dos kedua bagi lelaki dan sembilan daripada sejuta bagi perempuan. Setakat ini belum ada kes kematian dilaporkan.

Seorang murid Tahun Satu Sekolah Kebangsaan St Monica menyesuaikan diri dengan norma baharu serta tatacara operasi piawai (SOP) dengan menggunakan cecair pembasmi kuman sebelum memulakan sesi persekolahannnya yang bermula pada 1 Mac 2021. Foto BERNAMA

Suntikan vaksin sebelum kembali ke sekolah

Pemvaksinan ke atas golongan remaja yang dianggar Jabatan Perangkaan Malaysia berjumlah 2.7 juta orang, akan mengambil masa dan sebahagian daripada mereka tidak akan sempat divaksinasi sebelum sesi persekolahan bersemuka bermula kembali, dijadualkan pada 3 Okt ini.

Ketua Jawatankuasa Penasihat Bebas Vaksinasi Covid-19 Prof Datuk Dr Awang Bulgiba Awang Mahmud berkata tidak ada keperluan untuk membuka semula sekolah kecuali untuk dijadikan sebagai pusat pemvaksinan pelajar.

“Saya secara peribadi berpendapat tidak perlu lagi diadakan sesi bersemuka kerana penggal persekolahan tahun ini sudah hampir tamat, melainkan untuk pemvaksinan,” katanya menerusi WhatsApp.

Beliau berkata setiap pejabat kesihatan daerah mempunyai pasukan kesihatan sekolah yang berpengalaman dalam melaksanakan pemvaksinan ke atas kanak-kanak, dan mereka boleh digerakkan untuk tujuan itu.

Pekeliling Kementerian Kesihatan bertarikh 12 Ogos menyenaraikan 12 tempat untuk pelajar sekolah mendapatkan vaksin termasuk hospital, klinik kesihatan serta program outreach.

Dr Mas Ayu yang juga pakar perubatan kesihatan awam di Jabatan Perubatan Kemasyarakatan dan Pencegahan UM menyarankan agar pusat pemberian vaksin (PPV) mega turut dimasukkan dalam senarai itu.

“Berdasarkan momentum semasa, saya rasa kita boleh capai 50 peratus pelajar sekolah dalam tempoh tiga bulan,” katanya.

Beliau juga menyarankan agar PPV menyediakan laluan khas untuk keluarga bagi memudahkan proses kerana mereka yang berusia 18 tahun ke bawah memerlukan persetujuan ibu bapa atau penjaga sebelum divaksinasi, dan pada masa sama boleh juga dimanfaatkan untuk pemvaksinan keseluruhan isi rumah.

Belum waktunya beri banyak kelonggaran

Pakar kesihatan berpandangan belum waktunya untuk pihak berkuasa memberikan kelonggaran kepada mereka yang lengkap vaksinasi, khususnya ibu bapa yang tinggal atau bekerja dengan anak-anak, memandangkan Malaysia belum mencapai tahap imuniti kelompok.

Dr Awang Bulgiba menyifatkan kelonggaran yang diberikan itu sebagai “kurang bijak” dan boleh menjejaskan kejayaan yang disaksikan oleh Malaysia sekarang hasil program imunisasi tersebut.

“Kita perlu mengasaskan jangkaan kita tentang ‘kehidupan normal’ pada persediaan melawan Covid-19 untuk jangka masa yang lama. Perkara praktikal yang perlu dilakukan ialah menyelesaikan pemvaksinan secepat mungkin agar kita dapat mencapai imuniti kelompok,” katanya.

Beliau juga berkata Malaysia harus terus memantau kadar penularan dalam masyarakat selain mengekalkan SOP seperti pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal sebelum melonggarkan sekatan secara beransur-ansur.

Dr Norazah pula berkata beliau tidak menggalakkan ibu bapa keluar rumah, baik dengan anak-anak ataupun tidak, sehingga semua kanak-kanak divaksinasi atau pandemik dapat dikawal.

“Kalau mereka perlu juga keluar, patuhilah SOP bagi memastikan orang kesayangan yang belum divaksinasi di rumah selamat,” katanya.

-BERNAMA