Categories
NASIONAL

Petisyen Helah Undang-Undang Sembunyi Penipuan Pilihan Raya

anwar white

PETALING JAYA 31 JULAI : Penolakan petisyen pilihan raya tanpa alasan munasabah cuma satu helah undang-undang dan cubaan menyembunyikan penipuan pilihan raya di negara ini.

Menurut Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyarankan  badan kehakiman mempertimbangkan hujah kedua-dua pihak yang memfailkan petisyen pilihan raya di mahkamah bukannya menolak petisyen itu atas alasan teknikal semata-mata.

Katanya semua petisyen pilihan raya yang dikemukakan kini sudah tiada makna kerana hakim yang dilantik khas tidak mahu mendengar petisyen itu untuk dibicarakan.

“Saya sudah suarakan kekecewaan kita terhadap sikap hakim-hakim yang dipilih khas untuk mengendalikan kes ini dengan hanya menggunakan su-isu teknikal yang kecil dan tidak munasabah. Bagi saya ia usaha untuk memperbodohkan rakyat.

“Petisyen-petisyen ini ditolak hanya kerana perkara kecil, saya rasa hakim perlu meneliti semula pengajian undang-undang mereka bagi menghormati prinsip keadilan, bukannya mencari alasan supaya kes itu tidak didengari.

“Sepatutnya hakim beri ruang untuk didengar semua pihak, kemudian baru putuskan ia benar atau tidak, tetapi sekarang, ruang itu dinafikan,” katanya.

Sebelum ini, Pakatan Rakyat (PR) memfailkan kira-kira 39 petisyen terhadap keputusan Pilihanraya Umum ke 13 (PRU13) yang lalu.

Isnin lalu, Anwar yang juga Ketua Pembangkang, menggesa Ketua Hakim Negara, Tun Ariffin Zakaria campur tangan dalam isu petisyen pilihan raya ekoran keputusan mahkamah menolaknya tanpa alasan munasabah.

Beliau turut bimbang dengan penolakan petisyen pilihan raya yang kini sudah masuk 10 kes dengan alasan teknikal sedangkan mahkamah meletak jumlah kos yang tinggi setiap petisyen.

Antara petisyen yang mendapat perhatian ialah kes di Balik Pulau apabila mahkamah mengarahkan, Muhammad Bakhtiar Wan Chik membayar kos RM120,000 selepas menfailkan keputusan pilihan raya bagi kawasan itu.

Bagi Parlimen Ketereh, Mahkamah Kota Bharu mengarahkan pempetisyen yang difailkan, Ab Aziz Ab Kadir membayar kos RM40,000 kepada responden pertama, Ahli Parlimennya, Tan Sri Annuar Musa dan masing-masing RM25,000 kepada responden kedua dan ketiga.

Bagi DUN Air Lanas, pempetisyen yang dinamakan Mustapha Deris diarah membayar kos RM30,000 kepada Adun Air Lanas, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Bagi DUN Kok Lanas, pempetisyen Shaberi Mohd Zain diarah membayar RM30,000 kepada Adunnya, Datuk Md Alwi Che Ahmad dan masing-masing RM25,000 kepada responden kedua dan ketiga.

Categories
NASIONAL

Tony Pua Sifatkan EAIC Harimau Tidak Bertaring

tony pua Forum Air

SHAH ALAM 10 JUN : Setiausaha Publisiti DAP,  hari ini menyifatkan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) sebagai harimau tidak bertaring dan penubuhannya hanya kerja kosmetik untuk menenangkan orang ramai disebalik desakan cadangan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) serta bantahan lantang daripada pasukan polis.

Tony berkata demikian sebagi menyangkal dakwaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low yang menyamakan EAIC dengan cadangan penubuhan IPCMC.

Perbezaan antara kedua-dua adalah jelas dalam niat mereka. Sebaliknya, Tony menegaskan EAIC yang ditubuhkan pada 2011 hanya diberi kuasa untuk membuat cadangan kepada organ tatatertib polis atau pendakwaraya.

Penubuhannya adalah sekadar bertujuan menenangkan desakan meluas untuk penubuhan IPCMC pada ketika itu.

“Sedangkan IPCMC seperti yang disyorkan oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja ke atas Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada tahun 2005 adalah jelas sebagai sebuah agensi untuk memeriksa disiplin dan memupuk semangat profesionalisme dalam pasukan polis.

“Jelas, EAIC direka khusus untuk gagalkan objektif IPCMC,” tegasnya dalam satu kenyataan media.

Mengulas lanjut, Tony berkata sejak tiga tahun ditubuhkan, EAIC yang  menerima bajet RM7 juta setahun sekadar mempunyai seorang pegawai penyiasat di samping 23 pekerja lain; termasuk kerani dan juga pemandu.

Kenyataan yang dikeluarkan bekas Ketua Hakim Negara, Abdul Hamid Mohamad bahawa sehingga akhir 2012, EAIC hanya mencadangkan satu tindakan disiplin dan mengeluarkan dua amaran kepada penjawat awam juga membuktikan badan itu sebenarnya tidak efektif.

“Hakikat bahawa kerajaan tidak serius, dengan hanya satu pegawai penyiasat untuk memantau 19 agensi-agensi kerajaan seperti Jabatan Kastam, Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Jabatan Pengangkutan Jalan dan sebagainya adalah bukti niat keseluruhan aktiviti EAIC adalah untuk gagal,” tambahnya.

Lebih dikesalkan, jelas Tony, Menteri JPM itu begitu cepat menyesuaikan diri dengan budaya penipuan BN dengan memungkiri janjinya untuk menyokong cadangan IPCMC yang menurutnya adalah lebih tinggi martabatnya berbanding EAIC.

Paul Low yang ketika itu merupakan Presiden Transparency Intergrity Malaysia pernah berkata tindakan kerajaan mencairkan cadangan IPCMC adalah indikator jelas bahawa kerajaan tidak mampu mengawal pihak-pihak berkuasa.

Dalam satu kenyataan semalam, Paul Low mengumumkan kerajaan mengambil keputusan ‘lebih kurang’ untuk tidak melaksanakan IPCMC tetapi akan melakukan banyak rombakan memperbaiki EAIC yang sedia ada.

Categories
SELANGOR

Ketua Hakim Negara Terima Darjah Kebesaran Selangor

anugerah

SHAH ALAM, 7 FEB : Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria dikurniakan Darjah dan Bintang Kebesaran Negeri Selangor sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Yang ke-67 Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor.

Istiadat pengurniaan Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S) Kelas Pertama kepada beliau disempurnakan DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Bukit Kayangan, di sini hari ini.

Darjah Kebesaran S.P.M.S yang diterima Arifin membawa kepada gelaran ‘Datuk Seri’.

anugerah1

Manakala, Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Panglima Zulkifli Zainal Abidin dikurniakan Darjah Kebesaran Datuk Paduka Mahkota Selangor (D.P.M.S) Kelas Kedua yang membawa gelaran ‘Datuk’.

Kedua-dua penerima ini dikurniakan pingat dalam satu istiadat khas kerana tidak dapat hadir semasa sambutan Ulang Tahun Keputeraan Baginda Sultan, 11 Disember lalu atas faktor bertugas di luar negara.

Hadir sama, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Datuk Teng Chang Khim.

Dalam istiadat sebelum ini, seramai 98 individu dikurniakan Darjah dan Bintang Kebesaran Negeri Selangor.