MB : Guna Rizab Negeri Bina Jambatan Ketiga Di Klang

KLANG, 11 NOV : Kerajaan Negeri akan meneruskan projek pembinaan jambatan ketiga bagi mengatasi masalah kesesakan bandar Klang sekiranya Kerajaan Pusat masih gagal berbuat demikian pada tahun depan, kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Menurut Abdul Khalid, Kerajaan Negeri akan menggunakan rizab yang dimiliki Negeri Selangor untuk melaksanakan projek yang pernah dijanjikan Kerajaan Umno-BN sebelum ini.

Beliau berkata, sewaktu pemerintahan Umno-BN terdahulu, mereka berjanji kepada rakyat Klang untuk membina jambatan tersebut, malah telah melancarkan batu asas bagi membina jambatan tersebut.

Bagaimanapun tegasnya, ia kini dilihat sebagai satu omongan kosong sahaja.

“Rakyat Selangor memberi sumbangan terbesar kepada Malaysia. Oleh itu, tahun depan kita akan adakan pelbagai program untuk rakyat di negeri ini. Rakyat Selangor adalah penyumbang terbesar kepada ekonomi negara, kini sudah tiba untuk pulangkan hasilnya kepada rakyat.

“Tahun depan kalau tidak dibina jambatan ketiga di Klang, kita akan bina dengan menggunakan rizab negeri. Dengan cara itu kita dapat melaksanakan pembangunan secara saksama di Negeri Selangor,” katanya semasa menghadiri Majlis Sambutan Deepavali di Jalan Tengku Kelana, petang tadi.

Terdahulu, Kerajaan Pusat menjanjikan pembinaan jambatan ketiga di Klang bernilai RM230 juta untuk manfaat masyarakat di kawasan itu.

Pembinaan jambatan yang dimulakan sejak tahun 2007 itu bagaimanapun masih gagal disempurnakan sehingga kini ekoran kerja sambil lewa oleh syarikat kontraktor yang dilantik.

Klang Bandar Diraja – Kenali Selangor

 

Sinopsis Klang Bandaraya Diraja:
Klang merupakan antara bandar tertua di Malaysia. Mengikut Sejarah, Klang mula diduduki sejak 2,000 tahun yang dahulu lagi. Catatan ditulis mengenai Klang bermula pada zaman Kerajaan Majapahit sejak 600 tahun dahulu lagi.

Layari http://www.selangorkini.net

Muzium Insitu Jugra Kuala Langat – Kenali Selangor


 

Sinopsis:

Kenali Selangor kali ini menyingkap muzium yang menempatkan beberapa galeri pameran berkisar mengenai zaman pemerintahan Sultan Sir Abdul Samad di mana Bukit Jugra dijadikan pusat pemerintahan baginda.

Sama-sama kita mengenal dengan lebih dekat muzium berkenaan.

Layari http://www.selangorkini.net

Categories
SELANGOR

MPK Raikan Kakitangan, Pesara dan Pelajar Cemerlang

SHAH ALAM 03 NOV : Seramai 98 kakitangan Majlis Perbandaran Klang (MPK) menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2011 di satu majlis di Dewan Hamzah, Klang baru-baru ini.

Turut diraikan pesara kakitangan MPK yang terdiri daripada 38 pesara dan 38 pelajar cemerlang daripada anak-anak kakitangan MPK.

Pemangku Yang Di Pertua MPK, Ehsan Mukri berkata, kakitangan cemerlang merupakan aset berharga dan ia perlu dikekalkan seiring dengan matlamat MPK dalam mengejar bandaraya gemilang 2015.

“Anugerah ini diharap menjadi penyuntik semangat kakitangan dan pada masa yang sama majlis juga menghargai jasa-jasa pesara yang telah menyumbangkan khidmat bakti kepada MPK sejak mula berkhidmat di sini,? Ehsan berkata di dalam majlis tersebut.

Majlis tersebut dirasmikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Khusrin Munawi.

Tambahnya, setiap warga MPK sentiasa diingatkan untuk meningkatkan lagi tahap kualiti dan mutu perkhidmatan sekali gus dapat menambahkan lagi keyakinan penduduk bandar di raja ini kepada majlis.

 

Categories
SELANGOR

Projek Takungan Air RM 20 juta Dijangka Atasi Masalah Banjir

SHAH ALAM, 20 OKT : Kolam takungan air di Sri Sentosa yang dijangka siap dalam masa 18 bulan mampu mengatasi masalah banjir yang berlaku di Daerah Klang kata ADUN Seri Muda, Shuhaimi Shafiei.

Projek RM 20 juta itu diharap dapat menampung limpahan air jika hujan lebat di kawasan Bukit Naga, Seri Gambut , Jalan Pendamar, Johan Setia, Bandar Putera dan Bandar Puteri.

“Mengikut laporan daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dalam Mesyuarat Jawatankuasa Daerah Klang, projek itu akan dimulakan pada bila-bila masa sahaja,” kata Shuhaimi ketika dihubungi TVSelangor.

Dalam pada itu, Shuhaimi berkata penduduk Johan Setia dan Bandar Puteri yang terjejas akibat banjir semalam sudah kembali ke rumah masing-masing selepas dipindahkan ke Dewan Al-Munirah Rumah Anak-Anak Yatim.

Mereka dipindahkan selepas air ketinggian paras paha masuk ke rumah mereka semalam.

Katanya, Pejabat Daerah Klang dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga telah menghulurkan bantuan makanan kepada mereka.

“Kita sedang merekodkan dan meninjau dari rumah ke rumah di mana ada warga emas yang tidak berupaya membersihkan rumah dan kita akan membantunya.

“Dan sekarang ini sedang berlaku proses pembersihan rumah yang mengalami masalah banjir,” jelas Shuhaimi.

Kata Shuhaimi, punca berlakunya banjir itu adalah ekoran Fenomena Astromical Tide yang sudah dijangkakan akan berlaku.

Shuhaimi juga menolak tuduhan bahawa pihak Adun dan Ahli Parlimen tidak melaksanakan tugas dalam mengatasi masalah banjir itu.

“Dalam berita di TV3 ada budak-budak daripada Umno membuat tuduhan mengatakan Ahli Parlimen dan Adun berjanji untuk membawa ekskavator untuk membersihkan laluan air.

“Tuduhan itu berniat jahat kerana orang-orang itu tidak pernah berjumpa dengan pihak saya.

“Mereka hanya mengambil kesempatan politik apabila berlaku masalah banjir untuk menyalahkan kerajaan negeri, ahli parlimen dan adun,” katanya.

 

(KEMAS KINI) Seorang Maut, 5 Cedera Dalam Kejadian Runtuhan Bumbung Banglo

SHAH ALAM, 19 OKT : Polis mengesahkan seorang mangsa maut dalam kejadian runtuhan bumbung konkrit sebuah banglo yang sedang diubah suai di Seksyen 7 di sini. Kesemua enam mangsa adalah pekerja binaan warga Indonesia.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Zahedi Ayob berkata, pada mulanya pihaknya mendapat maklumat terdapat lapan pekerja terperangkap dalam kejadian itu tetapi kemudian dimaklumkan rakan sekerja mereka dikenali sebagai Supardi bahawa hanya enam mangsa yang terlibat.

Mangsa terakhir dikenali sebagai Kasmuji berjaya diselamatkan pada 10.15 malam dan dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan.

Sementara buruh yang maut dikenali sebagai Totok Mochamad Anthony maut.

Mayat mangsa dikeluarkan pasukan penyelamat pada kira-kira 6.24 petang dan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk bedah siasat.

Empat lagi pekerja binaan berusia lingkungan 30-an yang dikenali sebagai Afifin, Waras, Kabir dan Ghadami, yang putus kaki kanan, turut dihantar ke HTAR.

Polis menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada kira-kira 4.29 petang berhubung kejadian di banglo No. 15, Jalan Jed 7/5A, Seksyen 7, milik seorang ahli perniagaan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Othman Abdullah berkata operasi menyelamat dihentikan pada 10.45 malam selepas mangsa keenam dibawa keluar dari runtuhan.

Beliau berkata pihaknya menggunakan kren dengan kekuatan 40 tan bagi mengangkat runtuhan konkrit selain membuat terowong secara manual untuk menyalur bantuan gas oksigen kepada mangsa terakhir sebelum dibawa keluar.

Operasi menyelamat, yang bermula kira-kira 5 petang, diteruskan walaupun hujan lebat bermula 9 malam.

Selain itu, khidmat anjing pengesan Unit K9, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor digunakan sepanjang operasi tersebut.

Anggota SMART juga turut membantu dalam kerja-kerja mencari dan menyelamat.

Sementara itu, Exco Selangor, Dr Yaakob Sapari yang turut turun padang melihat kejadian itu menasihati warga Shah Alam yang berhasrat melakukan pengubahsuaian rumah agar mendapatkan kelulusan daripada pihak berkuasa.

Beliau yang juga Adun Kota Anggerik berkata, ia adalah untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku di masa hadapan yang boleh mengorbankan nyawa.

MPK Banteras Papan Iklan Premis Warga Asing Langgar Peraturan

KLANG 11 SEPT : Majlis Perbandaran Klang (MPK) mengadakan operasi menanggal dan menurunkan papan iklan di premis perniagaan yang dikhususkan untuk warga asing yang tidak mengikut spesifikasi ditetapkan.

Dalam operasi bermula awal pagi itu, sebanyak 26 premis perniagaan dikesan melakukan kesalahan berkaitan papan iklan dengan lebih mengutamakan bahasa ibunda mereka seperti Bahasa Myanmar, Nepal, Vietnam, Bangladesh dan sebagainya.

Pemangku Yang Dipertua MPK, Ehsan Mukri berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) itu akan menjalankan pemantauan dan operasi secara berterusan supaya masalah seperti itu dapat dikawal daripada berleluasa.

Menurutnya, kebanyakan premis perniagaan ini dimiliki pemastautin tetap negara ini dan memiliki lesen perniagaan yang sah.

Beliau berkata, kewujudan premis perniagaan untuk warga asing memang banyak di Klang kerana kebanjiran golongan tersebut yang ramai berikutan peluang pekerjaan yang besar.

“Berdasarkan peraturan, pengusaha premis perniagaan perlu membuat papan iklan dengan menggunakan Bahasa Melayu dengan bahan dan saiznya yang lebih besar iaitu melebih 30 peratus berbanding bahasa lain.

“Malangnya perkara ini tidak berlaku dan kebanyakan premis perniagaan ini lebih mementingkan bahasa ibunda mereka manakala kita menghadapi masalah kerana tidak memahaminya. Ada antara premis ini yang beroperasi tidak mengikut lesen perniagaan seperti pasar mini bertukar menjadi kedai serbaneka,” katanya kepada media di sini hari ini.

Operasi hari ini ditumpukan di sekitar Jalan Raja Hasan, Jalan Pos Baru dan Lorong Kepayang

Operasi ini melibatkan lebih 50 anggota dari Jabatan Penguatkuasa, Jabatan Perlesenan, Jabatan Kejuruteraan dan Jabatan Perkhidmatan Persekitaran MPK.

Selain pasar mini, premis perniagaan lain dikesan terlibat dengan kesalahan adalah restoran, kedai pakaian, kedai cakera padat digital, kedai barangan keperluan harian dan yang lain.

Malah ada premis yang tidak menggunakan papan iklan sebaliknya sekadar memaparkan nama syarikat dengan cat di dinding bangunan.

Ehsan berkata, semua pemilik premis perniagaan tersebut akan dipanggil MPK untuk tujuan peringatan selain pembatalan berhubung kesalahan yang berlaku hari ini.

“Kita juga akan merujuk perkara ini kepada Dewan Bahasa dan Pustaka supaya masalah penggunaan bahasa asing ini dapat diatasi,” katanya.

Categories
SELANGOR

Jawatankuasa Khas Pantau Pembaharuan Lesen Rumah Urut di Klang

KLANG 29 OGOS : Semua lesen premis rumah urut, Pusat Kecantikan dan Penjagaan Kesihatan serta Pusat Refleksologi yang mahu diperbaharui tidak akan dilakukan serta merta seperti amalan biasa.

Sebaliknya, ia akan melalui proses permohonan semula dan akan dibawa untuk dibincangkan di dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Pemantauan Rumah Urut dan Jawatankuasa Kawalan Perniagaan.

Pengerusi Jawatankuasa Khas Pemantauan Rumah Urut, Azmizam Zaman Huri berkata prosedur itu dilakukan berikutan untuk memudahkan pemantauan aktiviti oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Katanya, tindakan itu juga bagi membanteras kewujudan rumah urut haram yang sering diperkatakan pelbagai pihak sebelum ini.

“Dalam mesyuarat baru-baru ini, kita putuskan agar lesen premis itu tidak akan diperbaharui serta merta.

“Mereka perlu melalui beberapa prosedur termasuklah lawatan pihak kami ke premis itu sebelum bersetuju untuk memperbaharui lesen mereka,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Bulanan Majlis Perbandaran Klang (MPK), di sini.

Beliau berkata pihak yang terlibat perlu mengikuti garis panduan baru yang akan dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri.

Aznizam turut menegaskan semua lesen bagi rumah urut dan pusat hiburan di negeri itu dikeluarkan semasa pentadbiran Umno-BN sebelum ini bukan dari Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat.

Untuk rekod, setakat ini sebanyak 52 premis rumah urut dan 16 buah Pusat Refleksologi yang berlesen di sekitar Klang.

Sementara itu, beliau yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) negeri berkata MPK akan mengadakan operasi secara besar-besaran bagi tempoh dua bulan ini sebagai usaha membanteras kegiatan itu.

Katanya, operasi itu termasuklah menurunkan papan tanda gergasi yang menjadi penyumbang kepada kehadiran pelanggan di premis terlibat terutama sekitar Bukit Tinggi dan beberapa lokasi lain kelak.

Tambahnya, beberapa premis sudah dikenalpasti dan akan digempur habis-habisan dalam masa terdekat melalui kerjasama semua jabatan yang terlibat.

MB: Penduduk Klang Mendapat Manfaat Jika Jaga Kebersihan

KLANG, 16 JUN : Sebanyak RM20 juta boleh dipulangkan kepada penduduk Klang jika mereka membantu menjaga kebersihan bandar ini, kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Jumlah tersebut merupaka satu pertiga daripada RM60 juta yang diperuntukan untuk pembersihan sampah di Klang dan boleh dijimat sekiranya warga Klang mengamalkan budaya bersih.

“Jika rakyat turut serta membantu Kerajaan Negeri, kos yang dapat dijimatkan adalah sebanyak RM20 juta dan ianya adalah suatu jumlah yang besar untuk pelbagai program untuk rakyat.

“Kerajaan Negeri tidak akan mengambil lebihan penjimatan peruntukkan yang diberikan, sebaliknya diberikan kepada rakyat sebagai tanda terima kasih,” katanya.

Beliau berkata demikian di dalam ucapannya di Program Penerangan Geran Selangorku di Dewan Orang Ramai Taman Sri Kerayong Kapar semalam.

Serentak dengan itu, Abdul Khalid turut melancarkan poster Kesedaran Penjagaan Kebersihan dalam Bahasa Asing seperti Nepal, Bangladesh, Indonesia dan Burma.

Turut hadir barisan Exco-exco Selangor iaitu, Dr. Halimah Ali, Dr. Xavier Jayakumar, Dr. Yunus Hairi, Rodziah Ismail, Iskandar Abdul Samad dan Dr. Yaakob Sapari.

Juga hadir Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK), Ehsan Mukri dan Pegawai Daerah Klang, Bakhtiar Hussin.

Pada satu program yang lain, Abdul Khalid berkata Kerajaan Negeri komited dalam pembangunan Klang kerana ia bandar penting yang menyumbang terhadap kemajuan Selangor.

Beliau berkata jumlah penduduk Klang mewakili 20 peratus daripada 5.2 juta rakyat Selangor, iaitu kira-kira 1.5 juta orang termasuk rakyat asing.

Menurutnya, pembangunan yang dirancang demi kepentingan rakyat dan tidak berdasarkan keutamaan peribadi atau agenda politik.

“Marilah kita bersama-sama membangunkan Klang dan membawa satu perubahan penting dalam pembangunan ini.

“Ini kerana pendapatan dan pembangunan Klang adalah melebihi Negeri Sembilan dan Melaka,” katanya dalam ucapan majlis Jamuan Bersama Rakyat di Bandar Bukit Tinggi di sini hari ini.

Categories
SELANGOR

Komited Hijaukan Persekitaran

KLANG, 5 JUN: Majlis Perbandaran Klang (MPK) sentiasa menitikberatkan aspek kehijauan setempat termasuk penanaman pokok untuk keindahan Bandar Diraja dan kawasan sekitar.

Pemangku Yang Dipertua MPK, Ehsan Mukri berkata, bagi menikmati sebuah kehidupan yang sejahtera, alam sekitar adalah elemen terpenting, maka pihaknya komited dalam usaha melestarikan kawasan sekitar dan usaha itu akan berjaya melalui kerjasama semua pihak.

Menurutnya, komitmen yang diberikan persatuan penduduk, syarikat swasta dan masyarakat setempat turut akan membantu majlis ke arah mewujudkan persekitaran indah serta ceria.

?Penyediaan landskap yang berkualiti dan sempurna memberi impak yang cukup bermakna untuk semua, terutama di kalangan warga Klang dan ia patut dilakukan secara berterusan kelak.

?Malah hasilnya ini akan menampilkan keindahan dan wujudnya keselesaan persekitaran kehidupan, seterusnya mewujudkan masyarakat yang sejahtera dan berkualiti,? katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Hijau Bumi anjuran MPK dengan kerjasama Gamuda Land dan Persatuan Penduduk Bandar Botanik di sini.

Ehsan berkata, elemen landskap yang indah dan kehijauan setempat yang berkualiti akan memberi keselesaan, selain bakal menarik perhatian pelancong tidak kira dari dalam dan luar negeri, di samping menjadi perhatian orang ramai untuk menetap di situ, khususnya sekitar Bandar Botanik.

Menurutnya, dari Januari hingga April tahun ini, MPK menanam 49,366 pokok dengan purata 12,341 sebulan dan ia menunjukkan komitmen majlis dalam menceriakan persekitaran setempat melalui aktiviti penanaman pokok di kawasan terlibat.

Categories
SELANGOR

Mangsa Banjir Klang Terima Bantuan Dalam Masa Terdekat

KLANG, 2 APRIL : Hampir 1,000 mangsa banjir di kawasan Kampung Delek di sini, bakal menerima bantuan daripada Kerajaan Selangor dalam masa terdekat.

Ketua Pengarah Pusat Khidmat Masyarakat Kampung Delek, Samsul Bahari Ehsan berkata pihaknya telah rekodkan 99 peratus daripada penduduk yang mengalami kerugian daripada banjir yang berlaku pada hari Jumaat lepas.

“Selepas bancian selesai, pihak kami akan menghantar laporan ke Pejabat Daerah untuk tindakan susulan serta meminta bantuan dari Lembaga Zakat Selangor dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).”

Tambah Samsul Bahari, agensi-agensi tersebut akan mengambil masa lebih kurang seminggu untuk memproses permohonan-permohonan tersebut.

Bantuan yang bakal diagihkan termasuk RM300 pada setiap keluarga yang diumumkan oleh Menteri Besar Sabtu lepas.

?Kita akan mengambil lebih kurang satu lagi minggu untuk mengagihkan bantuan tersebut,? beliau berkata ketika ditemui di Bilik Gerakan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK) Kampung Delek di sini hari ini.

Hujan lebat awal pagi Jumaat lalu mengakibatkan beberapa kawasan di Klang mengalami banjir kilat yang disifatkan terburuk di dalam sejarah tempat itu.

Banjir itu dipercayai berpunca daripada kunci air pada sistem saliran gagal berfungsi pada hari tersebut.

Antara kawasan yang teruk dilanda banjir adalah Kampung Delek Kiri, Kampung Delek Kanan, Kampung Delek Baru, Jalan Masjid, Sungai Sireh dan Kampung Keretapi.

Sementara itu ADUN Selat Klang, Dr. Halimah Ali berkata, pihaknya memberikan bantuan kecemasan sebanyak RM50,000 khusus untuk banjir itu.

Wang itu digunakan untuk membantu mengemas rumah dan membeli barang-barang keperluan asas seperti beras bagi warga emas, orang kurang upaya (OKU), pesakit kronik dan ibu tunggal.

“Kita mengambil berat akan golongan-golongan yang kurang bernasib baik dan bantuan ini diharap dapat mengurangkan beban yang mereka tanggung,” jelas Halimah.

Beliau ditemui ketika menyampaikan bantuan beras kepada mangsa banjir Rodiah Saad, 55, di Kampung Delek.

Halimah yang juga Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, mendakwa sehingga kini, Kerajaan Pusat tidak memberi apa-apa sumbangan kepada mangsa banjir.