Categories
AGENSI SELANGOR

Gagal sedia alat sukat suhu, 13 peniaga pasar dikompaun

SHAH ALAM, 22 MEI: Seramai 13 peniaga Pasar Pagi Jalan Margoda, Sri Damansara dikompaun semalam kerana melanggar tatacara operasi piawai (SOP) perintah kawalan.

Ketua polis Petaling Jaya berkata peniaga terbabit gagal menyediakan pengimbas kod QR MySejahtera dan alat penyukat suhu pelanggan, lapor Harian Metro.

“Polis turut mengeluarkan kompaun kepada dua pengunjung kerana tidak mengimbas dan mendaftar masuk MySejahtera. Operasi dijalankan bersama Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bermula jam 7 pagi,” kata Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid.

Beliau berkata MBPJ turut mengeluarkan saman terhadap 30 peniaga kerana tidak mempunyai lesen perniagaan yang sah selain menyita barang perniagaan milik seorang warga asing.

“Orang ramai termasuk peniaga diingatkan supaya mematuhi SOP ditetapkan kerajaan bagi mengelakkan tindakan diambil terhadap mereka,” kata Mohamad Fakhrudin.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pengarah filem dikompaun RM10,000 buat penggambaran di tempat awam

SEREMBAN, 17 MEI: Seorang pengarah filem tempatan dikompaun RM10,000 kerana melanggar tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan menjalankan aktiviti penggambaran filem di tempat awam di Jeti Penambang 2, Bukit Pelandok, semalam.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Aidi Sham Mohamed berkata kompaun terhadap lelaki berusia 59 tahun dibuat setelah polis menerima maklumat daripada orang awam terdapat penggambaran filem di kawasan terbabit kira-kira pukul 11.30 pagi.

“Kompaun dikeluarkan oleh polis kepada lelaki itu semasa penggambaran sedang dijalankan di jeti berkenaan.

Individu yang dikompaun seharusnya lebih peka dengan SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) iaitu penggambaran hanya dibenarkan dibuat di dalam studio sepanjang tempoh PKP ini dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Jelasnya, polis memandang serius sebarang pelanggaran SOP yang ditetapkan MKN dalam mengawal jangkitan pandemik Covid-19 memandangkan kes wabak itu masih lagi tinggi.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

SOP ziarah Aidilfitri memuaskan, tiada dikenakan kompaun – polis

KUALA LUMPUR, 14 MEI: Pematuhan orang ramai mengenai tatacara operasi piawai (SOP) khususnya kesalahan berkaitan larangan kunjung-mengunjung atau ziarah Aidilfitri berada di tahap memuaskan.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Seri Abd Rahim Jaafar berkata tiada sebarang kompaun dikeluarkan berhubung kesalahan itu semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau berkata sehingga kini yang ada hanyalah kompaun dikenakan ke atas kesalahan tidak memakai topeng muka misalnya, selain tidak mengamalkan penjarakan fizikal.

Pemerhatian di kawasan perumahan juga mendapati jumlah kenderaan adalah tidak banyak menandakan tiada aktiviti berkumpul yang ketara oleh orang awam.

“Walau bagaimanapun pemantauan dan rondaan akan kekal dilakukan dari semasa ke semasa dalam memastikan keadaan ini kekal untuk jangka masa yang lama,” katanya ketika ditemui Bernama hari ini.

Di Selangor, polis terus membuat pemantauan di semua kawasan bagi mengelakkan aktiviti kunjung-mengunjung dilakukan oleh orang ramai.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Baharudin Mat Taib berkata pihaknya memantau di semua kawasan dan akan juga bertindak berdasarkan maklumat orang awam yang dibuat kepada Bilik Gerakan Covid-19 di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam.

Di Melaka, sebanyak 1,031 rumah diperiksa semalam bagi memastikan tiada aktiviti ziarah sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri selaras dengan SOP yang ditetapkan bagi mengekang penularan Covid-19.

Pegawai Turus Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka DSP Nik Ab Halim Nikmat berkata jumlah itu melibatkan pemeriksaan di 471 rumah di daerah Melaka Tengah, Alor Gajah (322) dan Jasin (238).

Di Johor, lebih 40 pegawai dan anggota polis ditugaskan untuk menjalankan pemeriksaan di kawasan perumahan penduduk di sekitar Kota Tinggi, Segamat, Kulai dan Pontian.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Hussin Zamora berkata dalam pemeriksaan itu, tiada kompaun dikeluarkan polis berhubung kesalahan melanggar SOP berkaitan larangan kunjung-mengunjung atau ziarah Aidilfitri pada kali ini.

Menurutnya, pemantauan di kawasannya melibatkan 29 kawasan Felda dan 25 taman perumahan.

Di Perlis, tiada kes kesalahan melanggar SOP berkaitan dengan larangan kunjung-mengunjung dan ziarah Aidilfitri di negeri ini.

Ketua Polis Perlis Datuk Surina Saad berkata sehingga kini hanya satu kompaun dikeluarkan bagi kesalahan rentas negeri tanpa surat kebenaran sejak PKP bermula pada Rabu lepas.

Di Kedah, tiada kompaun dikeluarkan kepada mana-mana individu kerana melanggar larangan itu berikutan polis melakukan pemantauan serta rondaan ke kawasan perumahan bagi memastikan tiada aktiviti ziarah sempena Aidilfitri.

Ketua Polis Daerah Kulim Supt Azhar Hashim berkata 142 rumah diperiksa pada semalam dan hari ini merangkumi kawasan perumahan serta kampung di daerah itu dan secara keseluruhannya penduduk mematuhi larangan itu.

“Kami dapati semua rumah yang diperiksa mematuhi SOP serta jumlah orang yang berada di dalam rumah mengikut jumlah yang sepatutnya.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Langgar SOP, pengunjung pusat hiburan didenda RM470,000

SHAH ALAM, 6 MEI: Seramai 90 individu termasuk pemilik premis hiburan dikompaun sebanyak RM470,000 kerana disyaki melanggar tatacara operasi piawai (SOP) perintah kawalan.

Seramai 51 lelaki dan 39 wanita dikenakan kompaun itu dalam serbuan disertai 35 pegawai polis di Jalan Kia Peng, Kuala Lumpur awal pagi tadi, lapor Berita Harian.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Kuala Lumpur berkata turut dirampas 500 botol minuman keras bernilai RM400,000 bagi membantu siasatan.

“Anggaran kompaun dikeluarkan kepada pemilik premis (kesalahan berulang) dan kesemua pengunjung pusat hiburan itu sebanyak RM470,000.

“Sebanyak 500 botol minuman keras turut dirampas bernilai RM400,000. Keseluruhan kompaun bersama rampasan minuman keras berjumlah RM870,000,” kata Datuk Azman Ayob.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31, Peraturan-Peraturan Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Peraturan 18 PU (A) 97/2021 – iaitu menjalankan aktiviti terlarang), selain Akta Kastam 1976 serta Seksyen 76 Akta Eksais 1976.

Kuala Lumpur dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan mulai esok hingga 20 Mei berikutan terdapat 17 kluster baharu direkodkan selain kes harian makin meningkat.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

SOP baharu bazar Ramadan di Selangor mulai hari ini

SHAH ALAM, 19 APRIL: Kerajaan Selangor menyelaras semula penguatkuasaan tatacara operasi piawaian (SOP) seluruh bazar Ramadan secara berperingkat mulai hari ini.

Dato’ Menteri Besar berkata setiap bazar akan menggunakan laluan sehala bagi mengelak kesesakan selain pelaksanaan sistem bernombor untuk pengunjung.

“Masa untuk pengunjung juga dihadkan. Langkah ini dibuat selepas kita membuat persampelan lima hari pertama bazar beroperasi.

“Taklimat baru pematuhan SOP ini sudah diberi kepada semua penganjur termasuk bazar Raya,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi video di Facebook hari ini.

Menurutnya, berdasarkan laporan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Selangor, terdapat bazar yang tidak mampu mengawal pengunjung hingga bersentuh antara satu sama lain.

“Ada yang tidak imbas kod QR SELangkah (Langkah Masuk Dengan Selamat) atau MySejahtera. Tak beri laporan kehadiran malah membawa anak kecil kurang dari 12 tahun.

“Selepas ini jika langgar SOP lagi, kerajaan negeri menerusi PBT (pihak berkuasa tempatan) akan terus kenakan kompaun atau menutup terus operasi bazar,” katanya.

Bermula 14 April, kerajaan membenarkan datuk bandar, yang dipertua PBT dan pegawai penguat kuasa PBT Gred 19 ke atas mengeluarkan kompaun kepada pihak yang gagal mematuhi SOP bazar Ramadan.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Diberi kuasa keluar kompaun, Kerajaan Negeri sedia beri kerjasama

SHAH ALAM, 15 APRIL: Kerajaan Negeri akan memberi kerjasama penuh selepas Majlis Keselamatan Negara (MKN) memberi kuasa kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) mengeluarkan kompaun bagi ketidakpatuhan tatacara operasi piawai (SOP) di bazar Ramadan.

EXCO kerajaan tempatan berkata usaha itu bagi membantu negara mencegah gelombang Covid-19 yang baharu serta melandaikan lengkuk penularan wabak di negeri ini.

“Semua PBT di Selangor turut diarahkan supaya sentiasa melakukan pemantauan dan pengawalan ketat di tapak bazar Ramadan bagi memastikan pematuhan terhadap SOP,” kata Ng Sze Han dalam kenyataan.

Datuk bandar, yang dipertua dan pegawai penguat kuasa PBT Gred 19 ke atas diberikan kuasa mengeluarkan kompaun terhadap individu ingkar SOP di bazar Ramadan mulai semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kuasa yang diberikan itu bertujuan supaya PBT dapat mengambil tindakan secara terus atas ketidakpatuhan SOP yang berlaku serta kesalahan lain mengikut Akta 342.

Katanya, MKN menerima aduan orang ramai mengenai ketidakpatuhan SOP di beberapa bazar Ramadan di seluruh negara dan perkara itu dipandang serius kerana penularan Covid-19 masih di tahap membimbangkan.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis cadang Neelofa, PU Riz dikompaun

SHAH ALAM, 13 APRIL: Polis mencadangkan Neelofa dan suaminya, PU Riz dikompaun selepas didakwa melanggar tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan.

Ketua polis Dang Wangi berkata pihaknya sudah menyerahkan kertas siasatan majlis perkahwinan pelakon dan pendakwah bebas itu kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan lanjut, lapor Berita Harian.

“Bagaimanapun, timbalan pendakwa raya yang akan putuskan sama ada mereka akan didakwa atau sebaliknya.

“Kertas siasatan sudah diserahkan dan kita cadang pasangan berkenaan dikompaun,” kata Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah.

Pada 28 Mac lalu, polis membuka kertas siasatan berhubung majlis pernikahan pasangan itu selepas siasatan awal mendapati ia gagal mematuhi SOP ditetapkan dan tiada penjarakan fizikal.

Sebelum ini, tersebar di media sosial mengenai gambar majlis perkahwinan Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor dan Muhammad Haris Mohd Ismail di hotel terkemuka yang dikatakan melanggar SOP.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kompaun RM10,000 terpakai semua kategori PKP – menteri

KUALA LUMPUR, 13 MAC: Kompaun RM10,000 mengikut Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit)(Pindaan) 2021 terpakai untuk semua kategori Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata ini bermakna mereka yang berada di kawasan PKP, PKP Bersyarat dan PKP Pemulihan boleh dikenakan kompaun RM10,000 sekiranya melanggar tatacara operasi piawai (SOP) kawasan berkenaan.

“Tapi (orang awam) harus faham, tindakan polis mengeluarkan kompaun itu berdasarkan Ordinan Darurat yang dilaksanakan dan ia adalah untuk keselamatan orang ramai,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis pecah tanah bagi pembangunan projek Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) di Satria Residensi, Sungai Besi, di sini hari ini.

Ismail Sabri sekali lagi menegaskan polis tidak mempunyai kuasa untuk mengurangkan jumlah kompaun yang dikenakan, sebaliknya mereka yang menerima notis kompaun tersebut boleh membuat rayuan di Pejabat Kesihatan Daerah.

Mengikut Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit)(Pindaan) 2021, notis kompaun yang dikenakan bagi pelanggaran SOP PKP ialah RM10,000 berkuat kuasa 11 Mac, manakala syarikat yang melakukan kesalahan sama boleh dikompaun RM50,000.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

95 peratus anggota, pegawai polis sedia terima vaksin

IPOH, 12 MAC: Kira-kira 95 peratus anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh negara bersedia menerima suntikan vaksin Covid-19, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata kira-kira tiga peratus pula tidak dapat menerima vaksin itu kerana masalah kesihatan.

“Yang tidak mahu mengambil vaksin (kerana kesihatan) ini ada di beberapa negeri antaranya Kelantan, Kedah dan Perak. Saya juga akan berusaha menerangkan (kepada baki dua peratus lagi) tentang kebaikan kerana kita ambil pandangan daripada Kementerian Kesihatan.

“Itulah tempat rujukan tempat. Bukan bomoh, pendeta, guru ajaran sesat. Kalau saya tahu mereka ikut ajaran sesat, saya suruh mereka keluar daripada PDRM,” katanya yang ditemui pemberita selepas majlis pemakaian sayap juruterbang dan penutupan kursus lesen juruterbang peribadi di Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara hari ini.

Abdul Hamid berkata demikian ketika ditanya mengenai segelintir pegawai dan anggota PDRM di Kelantan yang dilaporkan enggan menerima suntikan vaksin Covid-19.

Mengulas isu kompaun RM10,000 terhadap individu yang melanggar prosedur operasi standard Covid-19, Abdul Hamid menjelaskan tindakan itu diambil demi keselamatan orang ramai.

“Semalam viral satu notis kompaun ditulis RM10,000. Kesalahan individu itu ialah gagal mendaftar MySejahtera. Peraturan itu dibuat dan dilaksanakan demi keselamatan orang yang berkunjung ke tempat itu. Jika mana-mana individu tidak mengikut peraturan, ia membawa risiko yang besar kepada lain-lain pengunjung di premis tersebut.

“Saya sudah jelaskan, mana-mana tindakan ialah atas budi bicara pegawai yang diberi kuasa untuk kompaun RM10,000, RM1,000, RM50 atau dimaafkan. Begitu juga saman trafik. Kita ada ruang untuk penjelasan dan justifikasi. Boleh merayu.

“Jangan khuatir mengenai RM10,000 ini, tetapi khuatirlah jika dijangkiti Covid-19. Kompaun RM10,000 itu juga untuk pencegahan. Balik-balik muka yang sama atau premis yang sama buat kesilapan,” katanya.

Semalam tular menerusi media sosial mengenai seorang lelaki dikompaun RM10,000 kerana gagal mengimbas kod MySejahtera mahupun mendaftar secara manual di sebuah restoran di Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Dalam perkembangan lain, Abdul Hamid berkata pewartaan Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (No 2) 2021 yang berkuat kuasa hari ini akan memudahkan polis bertindak terhadap penyebar berita palsu berkaitan Covid-19 dan Proklamasi Darurat.

Jelasnya sebelum ini polis perlu mendapatkan perintah untuk siasat (OTI) daripada pejabat pendakwa raya yang kadangkala memakan masa selama seminggu sehingga menyukarkan penguatkuasaan dan tindakan segera dilakukan.

“Untuk mendapatkan OTI bukan lima minit, tetapi makan masa seminggu. Kini kita boleh ambil tindakan terus kepada pesalah, sekali gus menyekat penyebaran berita palsu yang boleh mencetuskan ketidaksenangan hati, kegusaran dan kegemparan umum,” katanya.

Berdasarkan e-Federal Gazette yang dikeluarkan semalam, mana-mana individu yang menyebarkan berita tidak benar mengenai Covid-19 dan Proklamasi Darurat akan dikenakan denda hingga RM100,000 atau dipenjarakan.

Ordinan tersebut diwartakan semalam dan berkuat kuasa hari ini.

Terdahulu di majlis tersebut, seramai sembilan pegawai polis dipakaikan Sayap Juruterbang PDRM.

– BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Dua pemilik premis futsal antara 30 dikompaun tidak patuh SOP PKP

KUALA LUMPUR, 28 FEB: Degil dan ambil mudah perihal patuhi arahan berhubung Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), menyebabkan 30 individu dikompaun di sebuah premis futsal di Gombak di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Arifai Tarawe berkata, kesemua mereka termasuk dua pemilik premis yang didapati gagal mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) PKP penjarakan fizikal dan akitiviti yang masih tidak dibenarkan, dalam sektor sukan serta rekreasi.

Beliau berkata bertindak atas aduan awam, pemeriksaan dilakukan di premis berkenaaan pada 9.30 malam dan mendapati sekumpulan individu bermain futsal di premis itu, dengan tiada pematuhan SOP PKP.

“Susulan itu kompaun dikeluarkan terhadap mereka termasuk pemilik premis,” katanya kepada Bernama.

Semalam, tular di media sosial memaparkan sekumpulan lelaki bermain futsal dalam tempoh PKP dan perkara itu mendapat kecaman daripada warga maya, yang mempersoalkan tindakan mereka.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kompaun RM10,000 bagi pesalah berulang, cetus penularan Covid-19

JELI, 27 FEB: Kompaun RM10,000 yang berkuat kuasa pada 11 Mac ini hanya dikenakan terhadap individu melakukan kesalahan berulang kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta mereka yang boleh mencetuskan penularan Covid-19, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Beliau menjelaskan bahawa keputusan kerajaan menaikkan nilai kompaun daripada RM1,000 kepada RM10,000 bukan dikenakan bagi kesemua kesalahan yang melanggar tatacara operasi piawai (SOP).

“Kita akui ramai yang salah faham dan bimbang dengan jumlah kompaun sehingga RM10,000. Ia bukan dikenakan kepada semua kesalahan termasuk gagal memakai pelitup muka.

“Sebaliknya, untuk kesalahan tertentu iaitu mereka yang degil dengan melakukan kesalahan berulang serta mereka yang melanggar SOP termasuk rentas negeri sehingga menyebabkan berlakunya penularan Covid-19,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat tapak pembinaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli yang baharu di sini hari ini.

Pada 25 Februari lepas, dilaporkan individu yang melanggar peraturan atau SOP yang ditetapkan bagi pencegahan dan kawalan pandemik Covid-19 akan berdepan hukuman denda maksimum RM10,000 mulai 11 Mac ini.

Perkara itu dinyatakan dalam Ordinan Darurat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021 melalui Warta Kerajaan Persekutuan yang dimuat naik dalam Portal rasmi Jabatan Peguam Negara. Ordinan itu turut menyatakan syarikat atau perbadanan yang melakukan kesalahan berkaitan SOP boleh didenda sehingga RM50,000.

Abdul Hamid berkata individu yang dikenakan kompaun RM10,000 itu bagaimanapun boleh membuat rayuan bagi pengurangan kompaun kepada Kementerian Kesihatan.

“Mungkin daripada kompaun RM10,000, hanya dikenakan RM200 sahaja selepas rayuan berdasarkan alasan yang diberikan,” katanya, yang memaklumkan bahawa pihak polis hanya terbabit dalam penguatkuasaan pematuhan SOP dengan mengeluarkan kompaun dan tidak menerima bayaran kompaun.

Abdul Hamid berkata PDRM akan mengesyorkan kepada KKM supaya mengenakan kompaun RM10,000 tersebut terhadap premis hiburan yang beroperasi tanpa lesen.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Pengurusan kediaman tiada kuasa kompaun penghuni ingkar SOP

KUALA LUMPUR, 25 FEB: Pengurusan kondominium atau kawasan perumahan tidak mempunyai kuasa untuk mengenakan kompaun kepada penghuni yang ingkar tatacara operasi piawai (SOP) seperti pemakaian pelitup muka.

Tular di media sosial mengenai seorang kanak-kanak berumur satu tahun yang disaman RM100 oleh pihak pengurusan sebuah kondominium di Ampang kerana tidak memakai pelitup muka ketika berada di dalam lif.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kuasa mengeluarkan kompaun itu adalah daripada Kementerian Kesihatan (KKM) melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) tertakluk kepada Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Setakat ini kita tidak memberikan kuasa kepada pengurusan kondominium dan pangsapuri atau mana-mana pejabat untuk mengambil tindakan. Kuasa pada peringkat pengurusan perumahan hanya berkaitan dengan peraturan di dalam kawasan tersebut seperti menjaga harta.

“Jadi apa dilakukan oleh pihak pengurusan di kondominium Ampang ini adalah salah dan tidak boleh dilakukan. Jadi saya harap mereka menarik balik kompaun RM100 yang diberikan,” katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini.

Selain itu, Ismail Sabri berkata kerajaan tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan bagi tempoh PKP 2.0 ini supaya pemandu dan penumpang dalam satu kenderaan perlu tinggal dalam kediaman yang sama.

Sebaliknya, beliau berkata pemandu dan penumpang boleh datang daripada kediaman yang berbeza mengikut kapasiti tempat duduk kenderaan yang ditetapkan, dan ia merangkumi semua kawasan PKP, PKPB dan PKPP.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata kerajaan belum mempunyai ketetapan berhubung pengeluaran pasport vaksin terhadap individu yang bakal menerima suntikan vaksinasi terbabit.

Beliau berkata setakat ini kerajaan tidak mempunyai sebarang perbincangan untuk membuka sempadan negara susulan pengenalan pasport vaksin itu nanti yang memungkinkan orang ramai kembali melakukan perjalanan ke luar negara.

“Belum ada tarikh lagi untuk itu, kerajaan masih sedang mendapatkan maklum balas daripada pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai pasport vaksin terbabit.

“Hal ini kerana kerajaan tidak mengetahui vaksin apa yang diterima di negara luar untuk membolehkan kemasukan rakyat negara ini ke negara mereka. Jadi perkara ini masih terlalu awal diperkatakan,” katanya.

Beliau berkata perkara berkenaan akan diumumkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan KKM kemudian.

Dalam perkembangan lain beliau berkata polis menahan 460 individu kerana mengingkari PKP semalam.

“Sejumlah 388 daripada mereka dikompaun sementara 70 direman dan dua individu dijamin semalam.

“Mengenai Op Benteng pula, seramai 23 pendatang tanpa izin dan dua tekong ditahan sementara 11 buah kenderaan darat dirampas semalam,” katanya.

– BERNAMA