Categories
PBT SELANGOR

Ingkar SOP: MBSJ keluar enam notis kompaun kepada pemilik premis niaga

SHAH ALAM, 27 JULAI: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) mengeluarkan enam notis  tawaran kompaun terhadap pemilik premis perniagaan di Taman Perindustrian Seri Kembangan pada 22 Julai lalu.

Timbalan pengarah Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategiknya berkata kompaun dikeluarkan berikutan peniaga tersebut tidak mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) Pelan Pemulihan Negara fasa satu.

“Pemeriksaan ke atas 20 premis perniagaan dan dua kilang dapati ada segelintir pemilik tidak patuhi SOP termasuk sebuah kilang tidak memperbaharui lesen berniaga,” kata Azfarizal Abdul Rashid dalam kenyataan semalam.

Menurutnya, daripada enam notis tawaran kompaun dikenakan itu tiga notis kompaun dikeluarkan mengikut Undang-Undang Kecil 3, Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian MPSJ 2007.

Manakala, katanya masing-masing satu notis di bawah Undang- Undang Kecil 3, Undang- Undang Kecil Iklan MPSJ 2007, Seksyen 46 (1) (a) Akta 133 Akta Jalan , Parit Dan Bangunan (AJPDB) 1974 dan Seksyen 46 (1) (d) Akta 133 Akta Jalan , Parit Dan Bangunan (AJPDB) 1974.

Justeru, Azfarizal menggesa pengusaha kilang dan pemilik premis perniagaan untuk terus mematuhi peraturan MBSJ dan SOP demi mengekang penularan Covid-19.

“MBSJ akan memperhebatkan operasi pemantauan dari semasa ke semasa dengan kerjasama pelbagai agensi selain mengarahkan semua jabatan sentiasa peka aduan setempat,” katanya.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Leka berhibur, enam individu dikompaun RM50,000

KUALA LUMPUR, 2 JULAI: Tindakan enam individu termasuk tiga wanita yang leka berhibur di sebuah pusat hiburan di Jalan Changkat Thambi Dollah di sini mengundang padah apabila dikenakan kompaun berjumlah RM50,000 kerana melanggar tatacara operasi piawai (SOP) Fasa Satu Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohamad Zainal Abdullah berkata dalam serbuan kira-kira 5 petang itu, pemilik premis dikompaun RM25,000 kerana melakukan kesalahan mengikut Peraturan 7(2) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (No 2) 2021 manakala lima pelanggan pula dikompaun RM5,000 seorang di bawah Peraturan 17(1) peraturan sama.

Katanya, seorang wanita Vietnam dan lelaki Bangladesh yang turut berada di premis berkenaan ditahan dan kertas siasatan dibuka mengikut Akta Imigresen 1959/63.

“Semasa serbuan kita mendapati individu berusia 36 hingga 54 tahun berkenaan leka berhibur tanpa menghiraukan penjarakan fizikal serta tidak memakai pelitup muka,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan.

Menurutnya, hasil risikan mendapati premis itu telah beroperasi selama beberapa hari bermula 3 petang dengan hanya membenarkan pelanggan tetap masuk melalui pintu belakang.

Terdahulu, pemilik premis itu memberi alasan kepada pegawai penyiasat bahawa dua pekerja datang ke premis berkenaan untuk mengambil gaji namun membawa beberapa orang rakan untuk menghabiskan stok makanan dan minuman keras di situ susulan arahan tidak membenarkan pusat hiburan beroperasi sepanjang tempoh PKP.

-BERNAMA

Categories
PBT SELANGOR

MPSepang kompaun individu langgar SOP PKP

SHAH ALAM, 29 JUN: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) mengeluarkan kompaun kepada individu dalam kawasan badan pengurusan bersama (JMB) sebuah pangsapuri di Cyberjaya kerana gagal mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).

Yang Dipertua Dato’ Abd Hamid Hussain berkata operasi pematuhan SOP dilaksana dengan kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan membabitkan pengurusan strata di daerah berkenaan pada 23 Jun lalu.

“Hasil daripada operasi tersebut, kita mengenakan kompaun RM1,500 kerana individu terbabit gagal mematuhi surat kelulusan operasi syarikat dan melanggar had jumlah kebenaran pekerja hadir seperti yang diarahkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti).

“Operasi ini bertujuan memastikan JMB dan Perbadanan Pengurusan (MC) strata mematuhi SOP antaranya tidak memalsukan dokumen, menyediakan cecair pembasmi kuman, memastikan pengurusan harta bersama seperti kolam renang, gym dan dewan tidak operasi,” katanya dalam kenyataan.

Abd Hamid berkata sebelum ini pihaknya menjalankan pemantauan dan pemeriksaan di 60 kawasan strata dan mendapati mereka mematuhi SOP namun hanya segelintir ditegur bagi menambah baik.

“Bagaimanapun, kita terus memantau skim strata ini sepanjang tempoh PKP bagi memastikan agensi terlibat mematuhi SOP pengurusan yang ditetapkan,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis kompaun 32 individu main badminton

JOHOR BAHRU, 18 JUN: Gara-gara berkumpul dan bermain badminton di sebuah gelanggang badminton di Skudai, di sini dua hari lepas, 32 individu dikompaun kerana melanggar tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara ACP Rupiah Abd Wahid berkata kesemua mereka dikompaun terdiri daripada pemilik pusat sukan tersebut dan pemain badminton berusia 18 hingga 44 tahun.

Beliau berkata serbuan di premis terletak di Batu 6, Jalan Skudai kira-kira 5.30 petang itu hasil daripada maklumat orang awam.

“Pemilik premis dikenakan kompaun RM2,000 manakala mereka yang bermain badminton masing-masing dikenakan RM1,500 seorang kerana bermain badminton semasa tempoh PKP dan tidak menjaga penjarakan fizikal.

“Kesalahan dilakukan di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) (Kawalan Pergerakan)(No.4)(Pindaan)(No.16) 2021,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata kesemua individu terbabit dibebaskan tanpa syarat sebaik kompaun dikeluarkan dan mereka dikehendaki menjelaskan bayaran di pejabat kesihatan daerah Johor Bahru.

-BERNAMA

Categories
PBT SELANGOR

MPS kompaun dua individu buang sampah di tempat khas peniaga pasar

SHAH ALAM, 17 JUN: Dua individu masing-masing dikompaun RM1,000 selepas membuang sampah di tempat pembuangan dikhaskan untuk peniaga Pasar Taman Sri Gombak, Selasa lalu.

Pengarah Jabatan Korporat Majlis Perbandaran Selayang (MPS) memaklumkan kesalahan itu dikesan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di beberapa kawasan tumpuan.

“Tindakan tidak bertanggungjawab itu menyebabkan limpahan sampah selain kesulitan dan gangguan kepada peniaga di kawasan tersebut.

“Notis kompaun telah dihantar ke kediaman pesalah melalui semakan nombor pendaftaran kenderaan di aplikasi i-Sikap,” kata Mohamad Zin Masoad menerusi kenyataan semalam.

Kompaun dikenakan di bawah Seksyen 5, Undang-undang Kecil Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah (MPS) 2007.

Categories
AGENDA JENAYAH

Majikan dikompaun RM10,000, pemandu kena RM2,000 bawa lebih penumpang

KUALA LUMPUR, 16 JUN: Seorang majikan dikompaun RM10,000 kerana membenarkan 34 pekerja menaiki bas melebihi kapasiti ditetapkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Ketua Polis Daerah Dang Wangi.

Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata pemandu bas yang membawa pekerja binaan warga Bangladesh ditahan di Jalan Tun H S Lee pada jam 7.30 pagi tadi, lapor portal Kosmo!.

“Berdasarkan tatacara operasi piawai (SOP) sepanjang PKP, semua pengangkutan awam hanya dibenarkan membawa 50 peratus jumlah penumpang daripada kapasiti penuh.

“Dalam kes ini, kapasiti penuh bas terbabit adalah 44 penumpang dan sepatutnya hanya membawa 22 penumpang sahaja, ” katanya ditemui di Balai Polis Tun H S Lee di sini hari ini.

Beliau berkata, pemandu bas warga tempatan berusia 40-an turut dikenakan kompaun RM2,000.

Categories
PBT SELANGOR

Pemilik restoran dikompaun RM10,000 operasi selepas 8 malam

SHAH ALAM, 4 JUN: Pemilik sebuah restoran di SS15, Subang Jaya dikompaun RM10,000 kerana beroperasi lebih masa ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh.

Timbalan pengarah Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategik Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) berkata pemantauan anggota penguat kuasa pada Rabu mengesan premis itu masih beroperasi selepas jam 8 malam.

“Pemilik premis juga dikompaun RM1,000 mengikut Undang-Undang Kecil 3, Undang-Undang Kecil Pelesenan Establisymen Makanan kerana menjalankan aktiviti perniagaan tanpa lesen.

“Kompaun RM1,000 turut dikenakan mengikut Undang-Undang Kecil 7, Undang-Undang Kecil Iklan MPSJ 2007 atas kesalahan mempamerkan papan iklan visual tanpa kebenaran,” kata Azfarizal Abdul Rashid menerusi kenyataan semalam.

Beliau berkata pemeriksaan dijalankan sekitar Bandar Puteri, Puchong, Seri Kembangan, Sunway Metro, Bandar Sunway dan SS15 diketuai Timbalan Datuk Bandar Subang Jaya Mohd Zulkurnain Che Ali bersama 11 anggota penguat kuasa.

Waktu operasi perniagaan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dibenarkan bermula jam 8 pagi hingga 8 malam.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Makan di kedai ketika PKP, enam dikompaun RM20,000

KUALA LUMPUR, 3 JUN: Pemilik premis makanan di sebuah kompleks perniagaan ternama di ibu kota dikompaun RM10,000 kerana membenarkan pelanggan makan di dalam premis itu, semasa operasi pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Kuala Lumpur Datuk Azman Ayob berkata dalam operasi 12.45 tengah hari itu, lima pelanggan yang sedang makan di premis berkenaan turut dikompaun RM2,000 seorang.

“Pemeriksaan polis mendapati pelanggan terbabit sedang menjamu selera di premis berkenaan dan tidak mematuhi SOP yang ditetapkan iaitu makan di kedai atau ‘dine-in’ tidak dibenarkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata polis terus giat melakukan pemeriksaan serta tindakan tegas akan diambil ke atas orang ramai yang gagal mematuhi SOP PKP bagi memastikan usaha memutuskan rantaian wabak Covid-19 berjaya.

Kes disiasat mengikut Peraturan 16 PU (A) 243/2021 PKP.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Sambut hari lahir, sembilan individu dikompaun

KUALA LUMPUR, 29 MEI: Akibat meraikan sambutan hari lahir di sebuah pejabat di Pusat Dagangan NZX, Ara Damansara, di sini semalam, sembilan kakitangan pejabat berkenaan dikenakan kompaun RM65,000 keseluruhannya kerana melanggar prosedur operasi standarad (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Lapan individu dikenakan kompaun RM5,000 setiap seorang manakala penganjur majlis itu dikenakan kompaun RM25,000.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berkata kesemua individu berkenaan dikompaun pada 2.15 petang oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya yang membuat pemeriksaan mengejut.

Beliau berkata dalam pemeriksaan itu, pasukan pematuhan PKP IPD Petaling Jaya mendapati majlis itu diadakan di dalam sebuah bilik yang di dalamnya terdapat sembilan individu terdiri daripada lima wanita dan empat lelaki berumur lingkungan 23 hingga 45 tahun.

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan mendapati majlis sambutan hari lahir itu merupakan aktiviti yang terlarang sebagaimana di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

“Kesemua individu yang diperiksa dikenakan kompaun di bawah Peraturan 9 iaitu aktiviti terlarang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menasihatkan orang ramai untuk sentiasa peka dan mematuhi SOP agar dapat bersama-sama memutuskan rantaian COVID-19 bagi kesejahteraan bersama.

— BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Langgar SOP, Siti Nurhaliza dikompaun RM10,000

SHAH ALAM, 27 MEI: Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin dikenakan kompaun RM10,000 kerana melanggar tatacara operasi piawai (SOP) dalam majlis tahnik anak keduanya di Ampang bulan lalu.

Ketua Polis Selangor Dato’ Arjunaidi Mohamed berkata Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa, suami penyanyi terkenal tanah air itu, turut dikompuan pada kadar sama.

“Arahan kompaun dikeluarkan Timbalan Pendakwa Raya selepas meneliti kertas siasatan dan mendapati pasangan berkenaan juga gagal mematuhi penjarakan fizikal sewaktu bergambar dan sebagainya.

“Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan penceramah Ustaz Azhar Idrus, Ustaz Don Daniyal dan Ustaz Iqbal Zain Al Jauhari yang hadir ke majlis turut dikompaun RM2,000,” katanya pada sidang media secara maya hari ini.

Arjunaidi berkata tiga anak Khalid turut dikenakan kompaun dengan jumlah yang sama.

Sebelum ini beberapa gambar berkaitan majlis berkenaan mengundang pelbagai reaksi warga maya termasuk komen negatif mendakwa berlaku aktiviti rentas negeri oleh tetamu yang hadir.

Bagaimanapun Siti Nurhaliza dan Khalid memohon maaf sekiranya menyentuh sensitiviti seluruh masyarakat namun menafikan majlis berkenaan melanggar SOP.

Sementara itu, Arjunaidi berkata pihaknya turut mengenakan kompaun RM2,000 kepada selebriti Norman Hakim dan Abby Abbadi bersama pasangan masing-masing kerana melanggar SOP ketika Aidilfitri.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kompaun RM50,000 tiga peniaga dikurangkan kepada RM2,000

SHAH ALAM, 23 MEI: Kompaun RM50,000 dikenakan kepada tiga peniaga di Kelantan pada April lalu kerana melanggar tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikurangkan kepada RM2,000.

Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan berkata pengurangan dibuat selepas peniaga burger, Wan Mohd Faisal Wan Kadir, 38; peniaga colek, Mohd Azizi Mohd Nor, 42, dan peniaga kedai runcit, Mansah Marjurin, 47, mengemukakan rayuan, lapor MalaysiaKini.

Jelasnya kompaun terhadap Wan Mohd Faisal berdasarkan garis panduan dan tidak boleh dikurangkan kerana merupakan kesalahan kedua.

“Bagi peniaga colek dan kedai runcit itu, kompaun dikeluarkan RM2,000 namun sekiranya ia dibayar dalam tempoh tujuh hari, mereka akan mendapat pengurangan 50 peratus.

“Jika mereka disahkan terdiri daripada golongan B40, mereka layak mendapat 50 peratus lagi pengurangan,” kata Dr Zaini Hussin.

Pada 27 April lalu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Adham Baba berkata kementeriannya menilai semula kompaun RM50,000 terhadap Wan Mohd Faizal atas kesalahan beroperasi melebihi had masa ditetapkan.

Penilaian bagi mempertimbangkan sama ada pengurangan atau pengecualian boleh diberikan jika didapati ada asas munasabah.

 

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Ratusan premis dikompaun gagal patuh skim harga maksimum hari raya

PUTRAJAYA, 22 MEI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengeluarkan kompaun berjumlah RM64,050 serta menyita barangan bernilai RM52,897.31 sepanjang penguatkuasaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2021 (SHMMP HRP 2021) yang bermula dari 21 April hingga 20 Mei lepas.

Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP Azman Adam berkata sebanyak 73 aduan diterima sepanjang tempoh itu yang kesemuanya telah disiasat dan akan diambil tindakan.

Beliau berkata sebanyak 51,138 pemeriksaan ke atas premis di seluruh negara dilaksanakan sepanjang tempoh tersebut.

“Sebanyak 454 tindakan undang-undang telah dikenakan iaitu 91 kes kerana menjual melebihi harga maksimum, 186 kes kerana gagal menggunakan tanda harga khas dan 177 kes tiada tanda harga,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azman berkata secara keseluruhannya, didapati kadar pematuhan dalam kalangan peniaga adalah tinggi pada 99 peratus yang mana barangan harga terkawal dijual mengikut harga maksimum pengeluar, borong dan runcit yang telah ditentukan kerajaan.

“Malah, sesetengah barangan harga terkawal didapati dijual pada harga yang lebih rendah daripada harga maksimum yang ditetapkan. Senario positif ini berlaku kerana persaingan yang sihat selain faktor penawaran dan permintaan yang seimbang di pasaran,” katanya.

Azman berkata kejayaan SHMMP HRP 2021 mendorong KPDNHEP untuk meneruskan pelaksanaan SHMMP bagi Perayaan Pesta Kaamatan dan Hari Gawai 2021 yang akan disambut tidak lama lagi.

Pengumuman mengenai senarai barangan yang terlibat dan harga maksimum akan dibuat oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi pada Isnin ini (24 Mei), katanya.

-BERNAMA