Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Sekatan jalan raya di semua laluan keluar Lembah Klang

TANJUNG MALIM, 21 MEI: Ribuan kenderaan dikesan keluar dari Lembah Klang melalui Selangor menuju ke arah Utara, Selatan dan Pantai Timur untuk bergerak ke negeri lain, kata Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed.

Beliau berkata, pergerakan kenderaan itu dikesan sehingga 3.00 petang ini.

“Bagaimanapun, sebahagian besar daripada mereka didapati memiliki surat kebenaran untuk bergerak rentas negeri terutama kenderaan komersil,” katanya ketika ditemui pemberita di susur masuk Tanjung Malim, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) di sini, hari ini.

Beliau berkata, polis mengadakan sekatan jalan raya di semua laluan keluar negeri itu melibatkan lebuh raya, jalan negeri dan jalan perbandaran menuju ke negeri lain.

Ribuan pengguna jalan raya mengalami kesesakan lalu lintas yang teruk lebih sejam di laluan keluar dari negeri ini.

Arjunaidi berkata hasil pemantauan pihaknya di semua lokasi sekatan jalan raya di Selangor mendapati jumlah kenderaan yang diarah berpatah balik berkurangan berbanding sebelum ini.

“Contohnya, hari ini sahaja lebih 35 kenderaan diarah berpatah balik ketika melalui sekatan jalan raya di lebuh raya ini.

“Antara faktor kesesakan teruk adalah disebabkan pemeriksaan polis di setiap sekatan jalan raya mengambil masa kerana dibuat secara teliti bagi memastikan kenderaan yang mempunyai kebenaran untuk merentas negeri adalah sahih,” katanya.

Selain itu, Arjunaidi berkata pihaknya akan meningkatkan sekatan jalan raya di lima laluan keluar utama di negeri ini bagi mengekang pergerakan rentas negeri tanpa kebenaran menjelang sambutan Aidilfitri.

Antaranya di Lebuhraya PLUS arah utara berhampiran Plaza Tol Tanjung Malim, PLUS arah selatan berhampiran Plaza Tol Putra Mahkota dan Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) arah selatan berhampiran Plaza Tol Bandar Serania.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA

Kabinet bincang ambil alih PLUS Rabu ini

GEORGE TOWN 13 JAN: Cadangan pengambilalihan konsesi lebuh raya kendalian PLUS Malaysia Bhd (PLUS) dan empat lebuh raya berkaitan Gamuda Bhd di Lembah Klang akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet pada Rabu ini, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Lim berkata pengumuman akan dibuat selepas perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan tempoh bila pengumuman keputusan pengambilalihan konsesi itu akan dibuat.

“Tunggulah pengumuman, saya tidak boleh membuat pengumuman secara spontan kerana itu adalah pengumuman penting, biasanya berdasarkan kenyataan bertulis,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pengarah-Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Malaysia, di sini, hari ini.

Disember lepas, Menteri Kerja Raya Baru Bian dilaporkan berkata Kabinet mengarahkan butiran mengenai pengambilalihan konsesi lebuh raya PLUS itu dibentangkan semula.

PLUS merupakan cabang lebuh raya UEM Group (UEM), anak syarikat Khazanah Nasional Bhd (Khazanah).

UEM dan Khazanah secara kolektif memegang 51 peratus saham dalam PLUS manakala baki 49 peratus dimiliki oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Sementara itu, empat lebuh raya berkaitan Gamuda tersebut ialah Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Lebuhraya Sprint (Sprint) dan Terowong Smart (Smart).

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Ambil alih lebuh raya beri penjimatan RM5.3 bilion

KUALA LUMPUR, 26 JUN: Cadangan kerajaan untuk mengambil alih empat lebuh raya di Lembah Klang dengan kos RM6.2 bilion menerusi penerbitan bon adalah ‘penyelesaian menang-menang’ berikutan penjimatan bayaran pampasan sekurang-kurangnya RM5.3 bilion kepada operator untuk membekukan kadar tol.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam kenyataan hari ini berkata, jumlah penjimatan bayaran itu adalah antara RM5.3 bilion dan RM6.50 bilion.

Pada 22 Jun, Kerajaan Persekutuan telah mengemukakan tawaran bersyarat, tertakluk kepada kelulusan Majlis Jemaah Menteri, untuk mengambil alih empat lebuh raya – Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint), Lebuhraya Shah Alam (Kesas) dan Terowong Jalan Raya dan Pengurusan Air Banjir (SMART) – dengan kos RM6.2 bilion.

Guan Eng berkata, bayaran penjimatan tersebut ialah RM1.92 bilion – RM2.24 billion bagi LDP, RM1.57 bilion – RM2.04 bilion bagi SPRINT, RM1.08 bilion – RM1.19 bilion bagi KESAS dan RM671 juta-RM1.03 bilion bagi SMART.

Kerajaan menawarkan untuk membayar RM2.47 bilion bagi LDP (konsesi tamat pada 2030), RM1.98 bilion bagi SPRINT (2031-2034), RM1.38 bilion bagi KESAS (selepas lanjutan konsesi lima tahun sehingga 2028 diluluskan oleh kerajaan terdahulu) dan RM369 juta bagi SMART (2042).

Menurut Guan Eng, kerajaan tidak mampu membelanjakan RM18 bilion sebagai kos pampasan bagi lebuh raya untuk tidak mengutip caj tol akibat daripada isu-isu yang diwarisi daripada pentadbiran terdahulu yang telah menyebabkan kekangan kewangan.

“Cadangan kos pengambilalihan berjumlah RM6.2 bilion akan dibiayai menerusi terbitan bon yang akan dibayar balik sepenuhnya dan dibayar daripada pungutan caj kesesakan. Ini berbanding kos pampasan RM18 bilion yang perlu dibayar sekiranya kutipan tol dihentikan di lebuh raya-lebuh raya tersebut,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa pengguna lebuh raya juga akan mendapat manfaat daripada membayar caj kesesakan yang dikurangkan secara ketara daripada kadar tol semasa, sekali gus memberi penjimatan sehingga RM180 juta setahun.

“Kerajaan secara prinsipnya akan memberikan diskaun sehingga 30 peratus pada waktu luar puncak dan kadar percuma pada waktu bukan puncak,” katanya.

Guan Eng berkata, faktor lain bagi pengambilalihan lebuh raya itu ialah tempoh konsesi tidak akan dilanjutkan, tetapi akan tamat seperti yang termeterai dalam perjanjian konsesi sedia ada.

“Ketiga, setelah perjanjian tamat, caj kesesakan akan dikurangkan lagi bagi menampung kos operasi dan penyelenggaraan lebuh raya sahaja, tanpa mengandungi sebarang unsur keuntungan,” katanya.

Beliau berkata tawaran bersyarat ini, apabila diluluskan oleh pemegang saham dan pemiutang empat pemegang konsesi lebuh raya tersebut, masih tertakluk kepada kelulusan daripada Majlis Jemaah Menteri.

“Ini secara jelas dinyatakan dalam kenyataan saya pada 22 Jun, 2019 setelah Majlis Jemaah Menteri telah meluluskan secara prinsip pada 27 Februari, 2019, serta kelulusan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad atas tawaran tersebut pada 20 Jun, 2019.

“Saya ingin menyatakan sekali lagi bahawa tawaran-tawaran tersebut yang dibuat selepas melalui ketekunan wajar oleh perunding perbankan profesional adalah sejajar dengan usaha memenuhi komitmen Kerajaan Pakatan Harapan untuk mengambil alih konsesi lebuh raya dan beransur-ansur mengurangkan kadar tol bagi meringankan beban rakyat,” katanya.

– BERNAMA

 

 

Categories
NASIONAL

Kerajaan teruskan inisiatif ambil alih konsesi lebuh raya lain

BUTTERWORTH, 23 JUN: Kerajaan akan meneruskan inisiatif mengambil alih syarikat konsesi lebuh raya yang lain, sekiranya pengambilalihan empat lebuh raya bertol dan formula kutipan tol di lebuh raya itu berjaya, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Katanya pengambilalihan empat syarikat konsesi lebuhraya bertol itu akan menjadi projek perintis, kepada usaha kerajaan meringankan bebanan rakyat, dengan mengurangkan kadar tol pada waktu-waktu tertentu.

“Pengambilalihan ini sebagai satu projek perintis di mana kita akan kurangkan (kadar tol) untuk waktu bukan puncak, ia akan diberikan secara percuma tanpa tol. Tapi untuk waktu-waktu lain akan lihat pengurangan daripada lima, 10, 15 hingga 30 peratus. Tapi untuk waktu puncak akan dikekalkan kadar tol sekarang.

“Jadi, itu sesuatu penambahbaikan yang amat ketara berbanding dulu. Kerajaan juga tidak perlu biayai kosnya, kerana apabila kita gunakan bon untuk biayai pembelian, pembelian balik akan dibiayai oleh kadar tol yang dikutip sungguhpun (kadar) dikurangkan (kerajaan) masih mampu untuk biayai kos ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Jabatan Kastam Diraja Malaysia Pulau Pinang, di sini hari ini.

Semalam, Guan Eng dalam kenyataan mengumumkan Kementerian Kewangan telah memberikan surat tawaran rasmi kepada empat syarikat konsesi lebuh raya dengan harga ‘’enterprise value’’ atau nilai wajar perusahaan berjumlah RM6.2 bilion.

Empat konsesi lebuhraya bertol itu yang Gamuda Bhd mempunyai kepentingan ialah Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint), Lebuhraya Shah Alam (Kesas) dan Terowong SMART (SMART).

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, kerajaan juga memberi jaminan bahawa tiada kenaikan tol untuk tahun-tahun yang akan datang, dan pelaksanaan inisiatif itu di lebuh raya yang lain akan dibincangkan kemudian serta dilakukan secara berperingkat.

Sementara itu, Guan Eng berkata Kementerian Kewangan akan menambah 80 alat pengimbas di semua laluan pintu masuk seluruh negara.

Menurutnya, dengan penambahan alat pengimbas itu dapat membantu pihak Kastam, mengenal pasti dan memproses barangan yang tidak dibenarkan seperti plastik yang dibawa dari negara luar, masuk ke negara ini.

Beliau berkata, pihaknya turut menerima aduan daripada pihak Kastam, yang mengalami kesukaran dalam menjalankan penguatkuasaan berikutan jumlah kontena yang masuk ke negara ini terlalu banyak.

“Kita harus berhati-hati kerana ini ada kesan yang besar ke atas alam sekitar dan kesihatan rakyat. Bila ia dibuka gas-gas dan toksik, haba-haba, yang bahaya akan keluar. Ini amat membahayakan.

“Bagaimana nak jalankan penguatkuasaan, itu satu masalah (ketiadaan pengimbas) oleh pihak Kastam yang saya rasa perlu dikaji dengan lebih teliti dengan kerajaan tempatan, kementerian alam sekitar dan pelbagai pihak,” katanya.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Aliran trafik lancar di beberapa lebuh raya utama malam ini

KUALA LUMPUR, 1 JUN: Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama dilaporkan lancar dan terkawal setakat pukul 8.30 malam ini.

Jurucakap PLUS Malaysia Berhad ketika dihubungi berkata, meskipun terdapat peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya, namun aliran trafik menuju ke utara dan selatan masih lancar.

Sementara itu, jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) (he) berkata aliran trafik di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 dan LPT 2 di kedua-dua arah juga dilapor lancar setakat ini.

“Trafik hanya perlahan sebelum masuk Plaza Tol Gombak dari Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dan sibuk sebelum keluar Plaza Tol Bentong arah timur,” katanya.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1-800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1-800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kesesakan MRR2 berkurangan 24% selepas SUKE dibuka 2020

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 25 JAN: Kesesakkan lalu lintas di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dijangka dapat dikurangkan sehingga 24 peratus apabila Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang Elevated Expressway (SUKE) dibuka, pada awal tahun 2020.

Pegawai Ketua Eksekutif (CEO) Kumpulan Prolintas, Datuk Mohammad Azlan Abdullah berkata, masa perjalanan antara Bukit Antarabangsa ke Sri Petaling yang membabitkan perjalanan sejauh 24.4 kilometer itu juga dapat dijimatkan sehingga 50 minit.

“Lebuh raya ini juga akan menghubungkan lapan jalan utama termasuk enam lebuh raya seperti Duta-Ulu Kelang exspressway (DUKE), Ampang-Kuala Lumpur Elevated Highway (AKLEH), Lebuhraya KL-Seremban, Lebuhraya Cheras-Kajang, Lebuhraya Besraya dan Shah Alam Exspessway (KESAS),” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Taklimat Media Projek SUKE & DASH-PROLINTAS di Galeria SUKE, Excella Business Park Jalan Ampang Putra, Taman Ampang Hilir di sini, hari ini.

Mohammad Azlan berkata, kesesakan di Jalan Ampang dan Jalan Loke Yew juga dapat dikurangkan kira-kira 36 peratus dan 12 peratus selain MRR2.

Katanya, SUKE memiliki 14 transit yang menghubungkan kawasan di sepanjang laluannya dengan satu jumlah transit besar berbanding lebuh raya lain, di Lembah Klang.

Katanya, keadaan itu dijangka memberi impak ekonomi kepada penduduk setempat.

Terdahulu, program Taklimat Media Projek SUKE & DASH dihadiri wakil media yang berpusat, di Lembah Klang.

Selain diberikan taklimat, wakil media turut dibawa melawat salah satu tapak projek lebuh raya itu, di Alam Damai.

Categories
NASIONAL

Tiga faktor punca Lebuhraya Persekutuan banjir

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 2 NOV: Aktiviti pembangunan, halangan kepada sistem saliran sedia ada dan taburan hujan lebat dikenal pasti menjadi punca kepada kejadian banjir kilat, di Lebuhraya Persekutuan berhadapan Angkasapuri, pada 30 Oktober lalu.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, jalan yang dinaiki air itu di kawal selia Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan di bawah konsesi Lebuhraya SPRINT.

“Hujan lebat yang berlaku ini bersifat sementara dengan intensiti hujan pada waktu kejadian adalah selama sejam 20 minit dengan kadar hujan 86.55mm.

“Kadar biasa penurunan hujan adalah sekitar 50mm hingga 60mm,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri bagi menjawab soalan yang dikemukakan Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan (PJS), Hee Loy Sian, di sini, hari ini.

Katanya, pembangunan yang berdekatan kawasan banjir adalah projek pembinaan Lebuhraya Setiawangsa Pantai Express (SPE DUKE 3) dan projek pembangunan South City.

Loy Sian turut mengemukakan soalan tambahan berhubung kesediaan kementerian untuk mengambil tindakan terhadap pemaju berkenaan.

Tengku Adnan dalam jawapannya berkata, tindakan akan diambil jika pemaju gagal mengikuti peraturan ditetapkan.

Kejadian banjir itu turut mengorbankan dua orang pelajar yang tinggal di PPR Muhibbah selain mengakibatkan kesesakan aliran trafik.

Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri sambut baik cadangan lebuh raya rentasi Tanjung Karang

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 5 MEI: Kerajaan Negeri menyambut baik cadangan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk membina Lebuhraya Jajaran Pantai Barat melalui Pekan Tanjung Karang.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad, berkata langkah itu mampu mengelakkan kampung berhampiran terpecah dua jika projek itu merentasi kampung sekitar Tanjung Karang.

ISKANDAR SAMAD“Kita juga tidak mahu perniagaan di pekan itu mati jika berlaku ‘by pass’ dan langkah ini juga dapat mengelakkan tanah orang kampung diambil alih. Tetapi, yang penting perlu dirancang rapi supaya Pekan Tanjung Karang tidak mengalami kesesakkan,” katanya kepada SelangorKini, di sini, hari ini.

Iskandar berkata, JKR masih belum membentangkan jajaran muktamad seperti dilaporkan Sinar Harian kepada Kerajaan Negeri sebelum diluluskan.

Terdahulu, penduduk beberapa kampung sekitar Tanjong Karang membantah cadangan jajaran lebuh raya itu yang akan merentasi beberapa kampung di Tanjong Karang.

Keputusan membina lebuh raya merentasi kampung itu bukan sahaja menjejaskan alam flora, bahkan turut menyebabkan beberapa kampung terpecah dua dan beberapa tanah penduduk di situ juga terpaksa diambil alih.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Lebuh raya: Ambil kira keperluan dan pandangan penduduk 

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 3 NOV: Pembinaan lebuh raya di Selangor perlu mengambil kira keperluan dan pandangan penduduk serta mengikut pelan Pembangunan Berorientasi Transit (TOD) yang digariskan Kerajaan Negeri.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, berkata pembinaan lebuh raya juga bukan penyelesaian mutlak kepada masalah mengurangkan kesesakan.

“Seperti yang dinyatakan dalam Belanjawan Selangor 2016, tekanan pembangunan pesat melebihi kemampuan kapasiti pengangkutan sedia ada.

azmin-sidang“Kerajaan Negeri yakin pembangunan infrastruktur menjadi anjakan pengangkutan awam bersepadu dan lestari dengan menggunakan tanah optimum,” katanya yang menjawab soalan Shahrum Mohd Sharif (BN-Dengkil) berhubung pembinaan Lebuhraya Damansara Shah Alam (DASH).

Mohamed Azmin (PKR-Bukit Antarabangsa), berkata Kerajaan Negeri mengguna pakai Seksyen 20A Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) yang memperuntukkan jabatan atau agensi kerajaan sama ada di peringkat Persekutuan atau Negeri harus berunding dengan Jawatankuasa Perancang Negeri berkenaan sebarang aktiviti pemajuan yang mahu dijalankan di negeri itu.

“Oleh itu, apabila dilantik menjadi Dato’ Menteri Besar, saya berjumpa dengan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof menyatakan hasrat kumpulan ‘Say No To Dash’ berhubung isu berbangkit, pada 19 Mac lalu.

“Saya meminta kementerian dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) untuk meneliti bantahan dan mengemukakan pilihan lain terus kepada penduduk yang tidak bersetuju dengan jajaran terakhir membabitkan kawasan Damansara Perdana,” katanya.

lebuh rayaBeliau difahamkan, proses perbincangan dengan penduduk bersama pihak bertanggungjawab sedang dilakukan dan Prolintas sedang melaksanakan reka bentuk baru untuk dikemukakan kepada penduduk sebelum keputusan terakhir dilakukan.

“Kerajaan Negeri juga menegaskan dalam pertemuan itu berkenaan hasrat kita yang mahu nisbah pengangkutan 60:40 berbanding Kerajaan Persekutuan 40:60,” katanya.

Lebuhraya DASH disahkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), pada 14 Disember 2011.

Kerajaan Negeri meminta Jabatan Perancangan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) untuk mengkaji dan meneliti secara terperinci pembinaan dan jajaran untuk diselaraskan dengan pelan struktur negeri.

Pada 8 Februari hingga 23 Februari 2012, MBSA dan MBPJ mengambil tindakan membentangkan cadangan di taklimat pendengaran awam dan mendapati 98 peratus bersetuju, manakala dua peratus tidak bersetuju.

Mohamed Azmin, berkata MMKN pada 18 April 2012 bersetuju supaya jajaran itu dimasukan ke dalam pelan perancangan tempatan MBSA dan MBPJ selepas pendengaran awam.

“Antara cadangan Kerajaan Negeri adalah meminta Kerajaan Persekutuan memasukkan klausa iaitu apabila kutipan mencapai sasaran, maka projek perlu diserahkan kepada Kerajaan Negeri termasuk apabila tamat konsesi walaupun jika mendapat pulangan awal.

“Pada masa sama, keuntungan perlu adil dan ‘down side’ juga dilaksanakan jika tidak dicapai,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Kerajaan tidak boleh tarik keputusan kerana digertak

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 6 JUL: Sesebuah kerajaan yang baik perlu bertindak secara profesional dan berpendirian tegas serta tidak mudah tunduk kepada gertakan sebarang pihak.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata walaupun tampuk pemerintahan kerajaan digalas parti politik baru, namun keputusan sebelum ini masih kekal ‘valid’.

Bagaimanapun, katanya, keputusan itu masih boleh diperbaiki dan diubah melalui tatacara yang betul berlandaskan undang-undang.

lebuh raya“Untuk pembinaan lebuh raya, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) datang pada kita pada 2012 dan kita setuju secara prinsip bergantung kepada kajian trafik, impak sosial dan penerimaan orang ramai.

“Kita tidak boleh buat perubahan sewenang-wenangnya walaupun ada orang gertak sebab kerajaan tidak sama dengan individu yang boleh tukar keputusan suka hati,” katanya.

Beliau diminta mengulas desakan berterusan wakil rakyat Pakatan Rakyat (PR) yang mahu Kerajaan Negeri menarik balik persetujuan pembinaan lebuh raya yang akan dibina di Selangor termasuk Lebuhraya Kinrara Damansara (KIDEX).

Abdul Khalid sebelum ini berulang kali menegaskan persetujuan itu hanya dibuat secara dasar sahaja dan pembinaan lebuh raya berkenaan masih belum dimasukkan dalam sebarang rancangan tempatan.

“Kita perlu faham perancangan seperti ini dibuat untuk tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang sama seperti pengalaman saya dalam bidang korporat sebelum ini.

mb“Kita tidak boleh bentang rancangan negeri kepada pelabur luar untuk 30 tahun akan datang tetapi menukarnya kemudian dua tahun selepas itu dengan mengatakan bahawa ini tidak boleh itu tidak boleh.

“Inilah yang dipanggil kesinambungan, yang mana kerajaan selepas ini juga terpaksa menerima keputusan yang menteri besar buat,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau memberi contoh perjanjian yang ditandangani antara Barisan Nasional (BN) sebelum ini dengan Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS).

“Contohnya kontrak SYABAS yang ditandangani pada tahun 2004, bila PR dapat ambil alih negeri pada 2008 kita tidak terus boleh buang kontrak berkenaan, sebaliknya terpaksa melalui tatacara betul untuk mengubahnya,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri ambil kira semua aspek bina lebuh raya

Oleh: AFEEQA AFEERA

CHERAS, 6 JUL: Semua pembinaan lebuh raya yang dicadangkan di Selangor akan dikaji sepenuhnya terlebih dahulu dengan mengambil kira semua aspek termasuk kajian alam sekitar di samping memberi kesan positif kepada aliran trafik.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata 22 lebuh raya sudah diluluskan dan kini terdapat enam lagi tambahan lebuh raya yang dirancang Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) sejak beberapa tahun lalu.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri secara prinsip pada tahun 2008 sudah memberi kelulusan supaya LLM membuat kajian berkenaan lebuh raya di Selangor dan memberi kelulusan bersyarat.

Respon Lebuhtaya SUKE-MB“Ini dapat dilihat pada pembinaan lebuh raya pada tahun 2012, yang mana kita beri dengan cara bersyarat antaranya memastikan ia mendapat persetujuan masyarakat sekitar.

“Di samping itu, lebuh raya berkenaan harus memberi kesan positif kepada aliran trafik yang menjadi punca utama kesesakan di Lembah Klang.

“Buat masa ini, terdapat lebih tiga juta kenderaan berada di jalan raya pada satu masa, jika tiada sistem penyelenggaraan sudah tentu akan menyebabkan keadaan trafik yang sangat sesak,” katanya, di sini.

Abdul Khalid berkata, beliau sudah meminta LLM untuk memberi penerangan kepada rakyat melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) berhubung semua projek lebuh raya berkenaan termasuk perancangan masa depan mereka.

Sementara itu, ketika mengulas komentar Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago yang mendakwa “kelulusan secara dasar” kerajaan Selangor bagi enam lebuh raya bersepadu akan memburukkan lagi sumber air di negeri itu, Abdul Khalid berkata, ia hanya satu jangkaan.

mbKatanya, jika lebuh raya yang akan dibina itu mengganggu sistem takungan air, maka kelulusan tidak sewenang-wenangnya akan diberikan.

“Itu jangkaan (Charles) sahaja tetapi apabila membuat lebuh raya, kita juga mengambil kira kajian alam sekitar yang merangkumi kesan negatif kepada apa yang berlaku.

“Kalau terdapat tempat takungan air, kelulusan tidak akan diberikan,” katanya.

Enam lebuh raya yang dicadangkan adalah Lebuhraya Kinrara Damansara (KIDEX), Sungai Besi-Ulu Klang Expressway (SUKE), Serdang Kinrara Putrajaya Expressway (SKIP), Eastern Klang Valley Expressway (EKVE), Lebuhraya Damansara Shah Alam (DASH) dan Lebuhraya Pantai Barat (LPB).

-NFN-

Categories
NASIONAL

Pengambilalihan konsesi lebuh raya RM400 bilion tak masuk akal

Oleh: Norhayati Umor

SHAH ALAM 3 APRIL : Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua menyelar kenyataan Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof yang memberitahu kos mengambil alih konsesi lebuh raya di negara ini mencecah RM400 bilion.

Beliau berkata nilai itu adalah mustahil kerana kos pembinaan 26 lebuh raya kurang daripada RM29 bilion.

plaza tolTony turut mempersoalkan tindakan Barisan Nasional (BN) yang meletakkan jumlah 14 kali ganda dari kos pembinaan sebenarnya iaitu RM28.5 bilion sedangkan perjanjian konsesi lebuh raya jelas menyatakan bahawa kerajaan tidak perlu membuat sebarang pampasan.

“Adakah Kerajaan cuba untuk mengimbangi syarikat konsesi ini untuk kehilangan keuntungan masa depan , walaupun pada hakikatnya perjanjian konsesi lebuh raya dengan jelas menyatakan bahawa kerajaan tidak perlu membuat apa-apa pampasan.

“Terdapat 26 lebuh raya bertol yang beroperasi di Semenanjung Malaysia. Dengan menjadualkan kos pembinaan untuk setiap lebuh raya ini, jumlahnya hanya RM28.5 bilion.

“Manakala lebuh raya yang paling mahal adalah Lebuhraya Utara Selatan bernilai RM5.95 bilion,” katanya dalam kenyataan.

Tony berkata sekiranya jumlah itu merupakan pampasan bagi kehilangan keuntungan masa depan, ia bermakna rakyat di negara ini membayar tol untuk tempoh dua dekad akan datang dan syarikat konsesi akan menerima keuntungan RM370 bilion.

“Kerajaan bagaimanakah yang kita ada ketika ini sedangkan kontrak yang ditandatangani membolehkan syarikat kroni konsesi berpeluang membuat keuntungan

“Hal ini menunjukkan bahawa kerajaan sememangnya tidak berniat untuk membeli balik konsesi tol kerana memberi laluan syarikat kroni mendapatkan keuntungan beratus bilion ringgit,” katanya.

Beliau berkata semua perjanjian konsesi termasuk Lebuh Raya Utara Selatan dan Jambatan Pulau Pinang sudah mencapai persetujuan fasal yang membolehkan Kerajaan Persekutuan untuk membeli balik konsesi.

Ia berdasarkan kos pembinaan dengan jaminan bahawa konsesi akan menerima pulangan 12 peratus setiap tahun sebelum operasi.

“Ini bermakna dengan andaian semua lebuh raya tidak membuat satu sen pun sejak beberapa tahun kebelakangan operasi, kemudiannya membeli balik kos akan mencecah maksimum anggaran RM50 bilion namun anggaran tidak masuk akal Kerajaan Persekutuan sebanyak RM400 bilion.

“Walau bagaimanapun, kebanyakan lebuh raya ini membuat keuntungan yang hebat akan melebihi 12 peratus sejak beberapa tahun, ia bermaksud bahawa tidak ada keperluan bagi Kerajaan untuk mengimbangi keuntungan “tidak mencukupi” pada tahun-tahun operasi sebelumnya.

“Apatah lagi, tidak ada keperluan bagi kerajaan untuk memperoleh semua lebuh raya ini. Kerajaan hanya perlu memberi tumpuan di lebuh raya yang jelas membuat keuntungan yang tidak munasabah, seperti LDP dengan margin keuntungan bersih yang melebihi 40 peratus bagi meringankan beban rakyat,” katanya.

Beliau berkata kenyataan Menteri itu membuktikan BN tidak mengutamakan kepentingan rakyat biasa yang mengalami kadar inflasi tertinggi dalam lebih daripada satu dekad.

Katanya, sebaliknya, ia akan melakukan yang terbaik untuk melindungi keuntungan munasabah yang dinikmati oleh syarikat kroni BN untuk tujuan yang lebih dikenali kepada diri mereka sendiri .

EZY