Categories
PBT SELANGOR

Hampir 4,000 peniaga pasar malam, tani di Petaling Jaya beroperasi semula

SHAH ALAM, 28 OGOS: Seramai 3,995 peniaga pasar pagi, malam dan tani di Petaling Jaya kembali beroperasi selepas kerajaan melonggarkan 11 sektor ekonomi minggu lalu.

Timbalan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) berkata jumlah itu melibatkan peniaga di 28 pasar malam, enam pasar pagi serta tiga pasar tani.

“Sehubungan dengan itu majlis menyediakan akujanji kepada peniaga supaya mematuhi syarat lesen perniagaan dan tatacara operasi piawai (SOP).

“Peniaga juga perlu lengkap menerima vaksin Covid-19,” kata Sharipah Marhaini Syed Ali menerusi perutusan mesyuarat bulanan yang berlangsung semalam.

Bermula 16 Ogos, kerajaan membenarkan premis cuci kereta, elektrik dan elektronik, barangan rumah dan peralatan dapur, perabot, peralatan sukan, aksesori kereta dan pusat pengedaran serta jualan kereta dibuka.

Kebenaran turut diberi kepada pasar pagi dan pasar tani; kedai pakaian, fesyen dan aksesori; barang kemas dan kedai gunting rambut

Sementara itu Sharipah Marhaini berkata pihaknya meneruskan pemberian 144 permit bermasa sepanjang Pelan Pemulihan Negara bagi sesi petang dan malam.

“Keseluruhan 318 permit dikeluarkan. Bancian mendapati peniaga yang diberikan permit ini adalah golongan hilang pendapatan dan sumber rezeki,” katanya.

 

Categories
PBT SELANGOR

MBPJ hanya benarkan riadah di taman awam kawasan kejiranan

SHAH ALAM, 18 OGOS: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) hanya membenarkan aktiviti sukan dan riadah secara individu di taman rekreasi awam sekitar kawasan kejiranan.

Unit Komunikasi Korporatnya dalam kenyataan menyebut aktiviti tanpa sentuhan fizikal perlu mematuhi jarak antara dua hingga tiga meter mulai jam 7 pagi hingga 8 malam.

“Penduduk di negeri fasa satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) dibenarkan mengunjungi taman awam bagi riadah namun terhad untuk joging, berbasikal, senaman dan permainan individu.

“Ia tidak boleh melibatkan pengoperasian fasiliti sukan dan aktiviti terhad di taman-taman rekreasi awam berhampiran kediaman sahaja,” kata pihak berkuasa tempatan itu.

Sementara itu, MBPJ memamklumkan beberapa taman rekreasi awam kekal ditutup demi keselamatan orang ramai susulan kes Covid-19 di negeri ini masih tinggi.

Penutupan itu selaras Seksyen 24, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (1988) (Akta 342) dan Akta Polis 1967.

Senarai taman rekreasi awam yang ditutup seperti berikut:

1. Taman Bandaran Kelana Jaya
2. Taman Tasik Komuniti Kelana Jaya
3. Taman Jaya
4. Taman Aman
5. Taman PJS 10
6. Taman Rimba Riang, Kota Damansara
7. Taman Railway
8. Taman Bandar Tasik Mutiara Damansara
9. Taman Padang Kota, Kota Damansara
10.Taman Seksyen 8, Kota Damansara
11.Taman Ara Damansara
12.Taman Ara PJU 1A/29
13.Taman Centre Spine, Bandar Sri Damansara
14.Taman Seksyen 6 Kota Damansara
15.Taman Rakyat Damai Kita, Damansara Damai (Urban Park 1 – 5)
16.Hutan Pendidikan Bukit Gasing

Maklumat lanjut mengenai tatacara operasi piawai (SOP) penuh PPN boleh diakses di laman sesawang www.mkn.gov.my atau melalui media sosial MBPJ.

Kerajaan membenarkan taman rekreasi awam di semua negeri dalam fasa satu PPN dibuka untuk tujuan riadah mulai 16 Ogos.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata langkah itu bagi memastikan kesejahteraan rakyat dipelihara terutama dalam usaha mengurangkan tekanan mental.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MBPJ beri 168 permit niaga bantu individu hilang kerja

SHAH ALAM, 27 JULAI: Sebanyak 168 permit niaga dikeluarkan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) untuk membantu penjaja yang semakin bertambah akibat desakan hidup.

Unit Komunikasi Korporatnya dalam kenyataan menyebut pemberian lesen bawah dasar PKP/PKPD membabitkan lapan kawasan zon ahli majlis setakat 6 Julai.

Menurut pihak berkuasa tempatan (PBT) itu, jenis jualan yang diberikan permit termasuk makanan, minuman dan buah-buahan.

“Konsep pemberian permit ini dibahagikan kepada dua iaitu secara penyusunan (lokasi yang dikhaskan) dan secara in situ (memberi permit di tempat asal),” katanya.

Bagi permit berkonsepkan penyusunan, MBPJ menjelaskan penjaja akan ditempatkan dalam satu kawasan dan disusun mengikut proses cabutan undi petak.

Sementara konsep in situ pula diberikan untuk penjaja yang tidak mendirikan struktur kekal, tidak meninggalkan barang perniagaan dan tidak membuat halangan di lokasi.

“Pemberian permit ini juga akan diperluas lagi ke seluruh Petaling Jaya iaitu ke 24 kawasan zon ahli majlis secara berperingkat.

“Majlis berharap inisiatif ini dapat meringankan kesusahan dan keperitan masyarakat yang kehilangan pekerjaan dan terpaksa menjaja di tepi jalan untuk menjana pendapatan,” kata PBT itu.

Antara kawasan yang diberikan permit setakat ini ialah zon 17 sebanyak 86 permit, zon 24 (37), zon 15 (enam), zon 21 (17), zon 3 (15), zon 8 (lima) dan dua di zon 9.

Categories
PBT SELANGOR

MBPJ: 2,408 mohon lesen dalam talian sepanjang PKP

SHAH ALAM, 16 JULAI: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menerima 2,408 permohonan lesen perniagaan secara dalam talian sepanjang Januari hingga Jun.

Penolong pengarah komunikasi korporatnya berkata dari jumlah itu hampir 60 peratus membabitkan 1,392 pemohon iklan dan permit sementara.

“Itu merupakan permohonan tertinggi daripada peniaga diikuti  tred-pejabat pengurusan sebanyak 1,016. Permohonan secara talian ini dibuka setiap masa bagi memudahkan urusan orang awam,” kata Ahmad Iskandar Mohamad Mukhtar kepada SelangorKini.

MBPJ menyediakan perkhidmatan permohonan secara dalam talian itu sepanjang masa merangkumi lesen iklan luaran, iklan sementara, tred-pejabat pengurusan, establisymen makanan dan permit usahawan mikro.

Langkah ini juga dapat mengawal dan mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 dengan kalangan masyarakat.

Pemohon boleh menghubungi Jabatan Pelesenan di talian 03-79541560 atau emel kepada [email protected] untuk pertanyaan lanjut.

Categories
PBT SELANGOR

MBPJ minta pemilik harta lunas cukai taksiran sebelum 31 Ogos

SHAH ALAM, 14 JULAI: Pemilik harta di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) diminta menjelaskan cukai taksiran pada atau sebelum 31 Ogos ini bagi mengelak dikompaun.

MBPJ menerusi kenyataan memaklumkan pihaknya telah mengemaskini bil tersebut bagi 266,111 pemegang harta membabitkan jumlah semasa dan tunggakan sebanyak RM177.638 juta.

Pelanggan boleh menyemak dan mendapat salinan bil melalui dalam talian https://ecukai.mbpj.gov.my/mbpjesalinanbil dengan menggunakan aplikasi eCukai@MBPJ atau laman ePay@MBPJ.

MBPJ turut menyediakan beberapa kaedah bayaran yang boleh dilaksana secara tunai, cek, wang pos, kiriman wang pos dan kad kredit atau debit.

Untuk maklumat lanjut, boleh melayari laman sesawang www.mbpj.gov.my atau media sosial PBT tersebut atau hubungi Jabatan Perbendaharaan MBPJ di talian 03-7956 3544 sambungan 102/103/108/109 atau layari www.mbpj.gov.my.

Categories
PBT SELANGOR

MBPJ: Peniaga boleh mohon lesen dalam talian sepanjang PKP

SHAH ALAM, 10 JULAI: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menyediakan perkhidmatan permohonan lesen perniagaan secara dalam talian yang dibuka sepanjang masa.

Sekretariat unit komunikasi korporat berkata permohonan merangkumi lesen iklan luaran, iklan sementara, tred-pejabat pengurusan, establisymen makanan dan permit usahawan mikro.

Pemohon boleh menghubungi Jabatan Pelesenan di talian 03-79541560 atau emel kepada [email protected] untuk pertanyaan lanjut.

“Perkhidmatan dalam talian ini merupakan inisiatif majlis untuk memudahkan peniaga memohon lesen perniagaan.

“Di samping itu, dapat mengawal dan mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 dengan masyarakat tidak perlu keluar rumah terutama dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD),” menurut kenyataan jabatan tersebut.

 

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

650 keluarga miskin di PJ dapat bantuan makanan sepanjang PKP

SHAH ALAM, 22 JUN: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mengagihkan bantuan makanan kepada 650 keluarga yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak tahun lalu.

Unit Komunikasi Korporatnya dalam kenyataan menyebut sumbangan bernilai RM100 melalui program PJ City Food Bank turut diberikan kepada 21 rumah kebajikan sekitar Petaling Jaya.

“Pandemik Covid-19 memberi kesan mendalam terutama kepada golongan berpendapatan rendah berikutan ramai yang terputus sumber pendapatan sepanjang tempoh PKP.

“Program ini menyasar keluarga miskin bandar dengan pendapatan isi rumah bawah RM1,500 sebulan dan keutamaan kepada yang mempunyai ramai tanggungan serta orang kelainan upaya (OKU),” katanya.

Kenyataan itu menyebut bantuan tunai dan keperluan asas turut diagihkan kepada 82 kakitangan MBPJ yang dijangkiti Covid-19 serta yang sedang menjalani perintah kuarantin.

Selain itu, Unit Komunikasi Korporatnya berkata pihak berkuasa tempatan tersebut meraikan pelajar B40 di lima sekolah angkat yang mendapat keputusan 5A dan ke atas dalam Sijil Pelajaran Malaysia.

“Selain memberi pengiktirafan, inisiatif ini mampu memberi galakan dan dorongan serta mewujudkan persaingan sihat dalam kalangan pelajar untuk meningkatkan prestasi akademik,” kata MBPJ.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Rai ulang tahun ke-15, MB harap MBPJ terus pacu kejayaan (VIDEO)

SHAH ALAM,22 JUN: Dato’ Menteri Besar mengucapkan selamat maju jaya kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sempena sambutan ulang tahun ke-15.

Menerusi ucapan di Facebook, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pihak berkuasa tempatan (PBT) itu meraikan statusnya sebagai bandar raya mulai Jun 2006.

“Semoga MBPJ terus sukses berkembang menjadi salah satu pemangkin kepada kemajuan negeri dan negara. Selamat maju jaya kepada MBPJ,” katanya dalam paparan keratan video.

Petaling Jaya mula dibuka pada 1952 dan mengalami evolusi pembangunan fizikal, sosial dan ekonomi pesat sehingga kini. Statusnya dinaik taraf daripada perbandaran ke bandar raya pada 20 Jun 2006.

Sempena ulang tahun ke-15, MBPJ menzahirkan inisiatif sosial menerusi pelaksanaan pelbagai program memperkasa masyarakat bertemakan PJ Prihatin Komuniti Sejahtera.

Antara pencapaian terbesar PBT itu ialah perkhidmatan bas percuma-PJ City Bus, Beg Karung Kitar, Geran Komuniti-PJ Seed, PJ City Food Bank dan kebun bandar..

Categories
AGENDA AGENSI NASIONAL SELANGOR

Penghantar tidak boleh jumpa penghuni, letak barang di ruang khas

PETALING JAYA, 17 JUN: Pihak pengurusan strata dilarang membenarkan penghantar barangan atau makanan bertemu secara terus dengan penghuni bangunan.

Ketua Unit Penguatkuasa Cawangan Pengurusan Strata Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berkata mereka sebaliknya perlu menyediakan tempat khas untuk meletak barangan pesanan.

“Jika mereka benarkan penghantar atau pelawat memasuki kediaman penghuni, tindakan kompaun boleh dikenakan kerana melanggar tatacara operasi piawai (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Selain memastikan keselamatan semua, kita juga mahu mengekang wabak Covid-19 daripada menular. Tiada lagi kompromi dan tindakan diambil jika ada yang langgar peraturan,” kata Inspektor Mohammad Izzat Hassan.

Inspektor Mohammad Izzat Hassan. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Beliau ditemui dalam operasi pematuhan SOP pengurusan strata bersama Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di Zenith Residences di sini hari ini.

Mohammad Izzat turut kesal berikutan sistem keselamatan pihak pengurusan strata yang lemah dan perlu diperketat.

“Sepanjang pelaksanaan operasi, kita dapati ada pengurusan melakukan kesalahan am iaitu tidak menyediakan cecair pembasmi kuman di pintu masuk, tidak imbas suhu malah ada yang tidak imbas kod MySejahtera.

“Setakat ini, kita hanya memberi amaran namun jika didapati kesalahan sama berulang tindakan akan diambil,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Kes denggi sekitar Petaling Jaya turun 80 peratus

SHAH ALAM, 11 MEI: Jumlah kes demam denggi sekitar Petaling Jaya susut sehingga 80 peratus membabitkan 386 kes setakat 8 Mei.

Tahun lalu, kawasan tersebut merekodkan 1,976 kes dalam tempoh sama.

Unit Komunikasi Korporat Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) berkata banyak tempat berisiko pembiakan nyamuk Aedes dikesan terutama persekitaran rumah.

“Banyak bekas-bekas botol atau takungan air tidak dilupuskan atau disusun dengan teratur sehingga menyebabkan berlakunya takungan air hujan.

“Keadaan ini akan menambah risiko kepada penduduk ekoran pembiakan nyamuk Aedes yang tidak terkawal,” kata pihak berkuasa tempatan (PBT) itu dalam kenyataan.

Sehubungan itu, MBPJ mengajak orang ramai meluangkan masa selama 10 minit untuk membersihkan kediaman masing-masing bagi mengelak pembiakan Aedes.

“Atas faktor cuaca tidak menentu, MBPJ khuatir pembiakan Aedes mudah berlaku di kediaman atau tempat kerja jika pembersihan terutama bekas takungan air tidak dilakukan,” kata PBT itu.

Berikut saranan MBPJ untuk mencegah pembiakan Aedes:

  • Memeriksa dan melupuskan bekas yang berpotensi menyebabkan pembiakan nyamuk Aedes secara teratur
  • Menggunakan ubat pembunuh jentik-jentik dalam bekas takungan air yang tidak dapat dilupuskan
  • Menggunakan penghalau nyamuk semasa menjalankan akitiviti luar ruamah terutama pada awal pagi dan lewat petang
  • Menyembur aerosol dalam rumah pada lewat senja bagi membunuh nyamuk dewasa
Categories
PBT SELANGOR

MBPJ: Ambil peluang PKP bersih kediaman, elak pembiakan Aedes

SHAH ALAM, 10 MEI: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menyeru masyarakat sekitar memanfaatkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk membersihkan kediaman masing-masing bagi mengelak pembiakan Aedes.

Pihak berkuasa tempatan (PBT) berkata pemeriksaan rutin Jabatan Perkhidmatan Kesihatan dan Persekitaran mendapati banyak tempat berisiko pembiakan nyamuk di kawasan rumah.

“Hasil pemerhatian, banyak bekas-bekas tidak dilupuskan dengan teratur sehingga menyebabkan berlakunya takungan air hujan.

“Keadaan ini akan menambah risiko kepada penduduk ekoran pembiakan nyamuk yang tidak terkawal,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

PBT itu turut meminta penduduk memeriksa dan melupuskan semua bekas berpotensi menyebabkan pembiakan Aedes secara teratur selain menggunakan ubat pembunuh ubat jentik-jentik dalam bekas takungan air.

Menurutnya, penghalau nyamuk boleh digunakan semasa menjalankan aktiviti luar rumah terutama pada waktu pagi dan lewat petang bagi menghalang gigitan serangga tersebut.

Setakat ini, tujuh lokaliti wabak terkawal dikenal pasti di kawasan Petaling Jaya meliputi Apartment Flora Damansara, PJU 8; Kondominium D’Rozelle Seksyen 10, PJU 5; SS 2; SS3; Flat Desa Mentari 2, PJS 6; Mentari Court dan Sri Manja Square PJS 3.

 

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Elak terjebak rasuah, MBPJ tapis ketat calon penjawat awam

SHAH ALAM, 4 MEI: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menapis ketat calon penjawat awam baharu bagi mencegah gejala rasuah dan jenayah.

Datuk Bandarnya Dato’ Mohd Sayuthi Bakar berkata individu yang dilantik kemudian wajib menghadiri kursus yang menekankan aspek kerja dan jati diri.

“Seseorang penjawat awam yang diamanahkan kuasa dan tanggungjawab perlu bertindak secara telus
dengan mematuhi proses atau tatacara undang-undang ditetapkan,” katanya dalam perutusan pada 27 April.

Beliau menegaskan MBPJ tidak berkompromi terhadap kakitangan terlibat rasuah dan memberi kerjasama kepada pihak berkuasa jika ada yang disabitkan dengan gejala itu.

“Tindakan tegas akan diambil termasuk menamatkan khidmat mereka yang didapati terbabit dan bersalah dalam jenayah, rasuah, salah laku yang serius dan kes berulang,” kata Mohd Sayuthi.

Menurut statistik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia antara 2015 hingga 2020, sebanyak 2,683 daripada 5,652 tangkapan rasuah membabitkan penjawat awam.

Kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah dunia bagi tahun 2020 jatuh pada kedudukan 57 daripada 180 negara, berbanding tangga 51 pada 2019.