Categories
AGENDA NASIONAL

MBPJ sedia pas bernombor, pastikan pengunjung bazar Ramadan patuh SOP

SHAH ALAM, 14 APRIL: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menyediakan pas bernombor kepada pengunjung bazar Ramadan bagi memastikan tatacara operasi piawaian (SOP) dipatuhi.

Pengarah Jabatan Perlesenan Sharinaz Samsudin berkata pas disediakan di laluan pintu masuk bagi membantu pihaknya mengetahui jumlah pengunjung dalam satu-satu masa, lapor Harian Metro.

“Kita tidak mahu ada kluster bazar Ramadan, sebab itu kita pastikan peniaga mematuhi syarat ditetapkan.

“Saya lihat, rata-rata peniaga dan pengunjung mematuhi SOP. Kita akan pertingkatkan lagi dari semasa ke semasa,” katanya yang turut memantau Bazar Ramadan SS6/1 Kelana Jaya.

Beliau berkata sepanjang Ramadan tahun ini, MBPJ menyediakan 800 lot gerai niaga di 21 tapak bazar.

“Sebelum ini lebih 1,000 tapak tapi kali ini kita hadkan supaya ada penjarakan,” katanya.

Kelmarin, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengarahkan pihak berkuasa memantau ketat operasi bazar Ramadan bagi mencegah perebakan Covid-19 dan kewujudan kluster baharu.

Beliau berkata bilangan peniaga dikurangkan kepada 11,000 berbanding 14,000 orang pada 2019 mengikut amalan norma baharu.

Kerajaan membenarkan operasi bazar Ramadan dan Aidilfitri di seluruh negara tahun ini selepas mendapat pandangan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Categories
PBT SELANGOR

MBPJ perluas kemudahan kutipan bahan kitar semula

SHAH ALAM, 31 MAC: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memperluas kemudahan kutipan bahan kitar semula di beberapa lagi bandar sejajar dengan matlamat membina masa depan bebas sisa.

Datuk bandarnya berkata penambahan itu meliputi Kota Damansara, Mutiara Damansara, Tropicana, Damansara Indah, Aman Suria dan Taman Bukit Mayang Emas yang akan memanfaatkan 11,800 isi rumah.

“Petaling Jaya adalah salah satu daripada kawasan dengan kepadatan penduduk tertinggi di Lembah Klang melebihi 770,000 penghuni dan secara purata menghasilkan 200,000 tan bahan sisa domestik sebulan.

“Jika tidak diurus dengan lestari, sisa buangan bukan sahaja memberi kesan kepada alam sekitar tetapi memudaratkan kesihatan. Justeru, kita harap lebih ramai penduduk melibatkan diri dan menyokong aspirasi ini,” kata Dato’ Mohd Sayuthi Bakar.

Beliau berkata demikian sempena majlis menandatangani memorandum persetujuan (MoA) tiga pihak antara Nestle Malaysia Berhad (Nestle Malaysia) dan KPT Recycle Sdn Bhd (KPT Recycle) bagi perkhidmatan berkenaan di Dewan Sivik MBPJ semalam.

MoA tersebut ditandatangani Mohd Sayuthi bersama Ketua Pegawai Eksekutif Nestle Malaysia Juan Aranols dan Pengarah KPT Recycle Lee Chay Chen sambil disaksikan EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han.

Beliau menambah projek tersebut juga dilaksana susulan kejayaan fasa pertama dilancar Oktober tahun lalu di Ara Damansara dan Bandar Sri Damansara sehingga memudahkan kira-kira 8,300 isi rumah.

Categories
PBT SELANGOR

Jalan PJU 10/1 ditukar sehala, percubaan tiga bulan

SHAH ALAM, 10 MAC: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan menukar aliran lalu lintas dua hala ke sehala melibatkan sebahagian Jalan PJU 10/1 mulai 12 Mac.

Unit Komunikasi Korporatnya berkata percubaan selama tiga bulan bermula dari Jalan PJU 10/1 di persimpangan lampu isyarat berhampiran Sekolah Kebangsaan Damai 1.

Menurut pihak berkuasa tempatan itu, langkah berkenaan yang mendapat kerjasama penduduk bagi mengurangkan kesesakan di kawasan sekitar.

“Dalam tempoh ini, MBPJ akan memantau pergerakan trafik bagi melihat kecekapan dan tahap keselamatan laluan tersebut,” katanya menambah ia akan dikekalkan jika tiada bantahan.

Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut boleh hubungi Unit Lalu Lintas, Jabatan Kejuruteraan MBPJ di talian 03-7958 4221.

Foto ihsan MBPJ
Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Lunas cukai taksiran sebelum 28 Februari, elak didenda

SHAH ALAM, 25 FEB: Pemilik harta sekitar pentadbiran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) diingatkan untuk menjelaskan cukai taksiran sebelum 28 Februari ini.

Pihak berkuasa tempatan (PBT) itu dalam kenyataan memaklumkan bayaran boleh dibuat melalui kaunter atau secara dalam talian bagi mengelak dikompaun.

Menurut MBPJ, kaunter bayaran di ibu pejabat juga akan dibuka hujung minggu ini untuk memudahkan urusan tersebut mulai jam 9 pagi hingga 1 tengah hari.

“Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan masih dilaksana di Selangor, justeru pelanggan yang hadir dinasihatkan untuk mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).

“Orang awam juga digalak membayar cukai melalui aplikasi ecukai@mbpj yang boleh dimuat turun melalui Google Play dan App Store,” maklum PBT berkenaan.

Untuk maklumat lanjut, hubungi Jabatan Perbendaharaan MBPJ di talian 03-7956 3544 sambungan 102/103/108/109 atau layari www.mbpj.gov.my.

Categories
PBT SELANGOR

Kaunter pandu masuk MBPJ kembali operasi

SHAH ALAM, 18 FEB: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) membuka semula operasi kaunter pandu masuk sejak 15 Februari, maklum sekretariat media unit komunikasi korporatnya.

Jabatan itu memaklumkan pelanggan boleh berurusan di kaunter terbabit yang beroperasi dari Isnin hingga Jumaat namun ditutup pada Sabtu, Ahad dan cuti umum.

“Pelanggan yang hadir dinasihatkan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih dilaksanakan di Selangor,” katanya dalam kenyataan.

Waktu operasi kaunter pandu masuk

1. Isnin hingga Khamis – 9 pagi hingga 3 petang
2. Jumaat – 9 pagi hingga 1 petang
3. Sabtu, Ahad dan cuti umum – tidak beroperasi

 

Categories
PBT SELANGOR

MBPJ masih tutup kawasan riadah, minta penduduk patuh arahan

SHAH ALAM, 7 FEB: Hutan Pendidikan Bukit Gasing dan taman awam sekitar Petaling Jaya masih ditutup untuk sebarang aktiviti susulan Perintah Kawalan Pergerakan.

Sekretariat Media Unit Komunikasi Korporat Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memaklumkan langkah itu bagi menjaga keselamatan orang awam berikutan peningkatan kes Covid-19.

“Ini juga untuk memastikan penduduk tidak melanggar undang-undang atau peraturan ditetapkan,” kata pihak berkuasa tempatan itu dalam kenyataan.

Penutupan selaras Seksyen 24, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (1988) (Akta 342) dan Akta Polis 1967.

Bagaimanapun, menurut MBPJ kelonggaran meliputi aktiviti joging dalam kumpulan tidak melebihi dua orang dan berbasikal secara berseorangan kurang 10km dari kediaman.

 

Categories
PBT SELANGOR

MBPJ beli minyak masak terpakai 80 sen sekilo

SHAH ALAM, 25 JAN: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menawarkan pembelian minyak masak terpakai dengan harga RM0.80 sekilogram.

Pihak berkuasa tempatan berkata inisiatif tersebut bagi menggalak orang ramai melupuskan bahan buangan itu dengan cara yang betul dan tidak mengancam kesihatan.

“Jika anda mempunyai minyak masak terpakai, jangan buang terus ke dalam saluran sinki atau longkang.

“Ini bagi mengelakkan gangguan terhadap sumber air, loji rawatan air, tapak pelupusan dan loji kumbahan Indah Water Konsortium (IWK),” katanya menerusi Facebook.

MBPJ menambah orang ramai boleh menghubungi Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam di talian 03-79541440 atau Marini Mohammad di talian 017-3458529 untuk berbuat demikian.

Categories
PBT SELANGOR

19 persatuan penduduk rangkul Anugerah Komuniti Mampan PJ

SHAH ALAM, 23 DIS: Sebanyak 19 persatuan penduduk dan rukun tetangga di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memenangi Anugerah Komuniti Mampan Petaling Jaya 2020.

Pihak berkuasa tempatan berkata program tahunan itu bertujuan mempersiapkan daerah tersebut menjadi lebih sejahtera, makmur dan berdayahuni berdasarkan pelan strategik PJ Smart Sustainable And Resilient 2030 (PJSSR 2030).

“Sepanjang penganjuran hampir dua dekad, MBPJ berjaya melahirkan sebanyak 63 juara dalam kalangan komuniti persatuan penduduk, rukun tetangga dan NGO pembangunan mampan dengan 4,270 projek.

“Pencapaian ini memberi sumbangan kepada kejayaan Petaling Jaya mencapai status ‘The Most Sustainable City in Malaysia’ berdasarkan indeks MURNINET Bandaraya Mampan,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Pemenang tempat pertama membawa pulang wang tunai berjumlah RM35,000 diikuti tempat kedua (RM30,000), ketiga (RM25,000), keempat (RM20,000) dan kelima (RM15,000).

Manakala dua kategori mentor masing-masing menerima RM10,000 diikuti 10 ‘special mention’ (RM4,000) serta dua ‘special commendation’ (RM2,000).

Categories
PBT SELANGOR

MBPJ keluar 287 kompaun buang sampah secara haram

SHAH ALAM, 30 NOV: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mengeluarkan 287 kompaun bagi kesalahan membuang sampah secara haram di kawasan pentadbirannya sepanjang tahun ini.

Datuk Bandar Dato’ Mohd Sayuthi Bakar berkata operasi tersebut merangkumi kawasan titik panas pembuangan sampah haram yang sudah dikenal pasti.

“Objektif tindakan penguatkuasaan bagi mendidik masyarakat Petaling Jaya supaya lebih prihatin terhadap isu kebersihan persekitaran.

“Pelaksanaan ini juga bagi memastikan bandar raya ini kekal mampan, berdaya tahan dan dinamik,” katanya dalam perutusan Mesyuarat Majlis Bil.11/2020 hari ini.

Mohd Sayuthi menambah pihaknya juga menempatkan kamera litar tertutup (CCTV) mudah alih di beberapa lokasi sekitar daerah itu bagi memudahkan pemantauan.

Katanya, pemasangan alat tersebut selaras dengan pelaksanaan Petaling Jaya sebagai bandar raya pintar.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

SPB-PBT: MB ucap tahniah kejayaan tiga PBT raih markah tertinggi

SHAH ALAM, 5 NOV: Dato’ Menteri Besar merakamkan ucapan tahniah kepada tiga pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini yang berjaya meraih markah tertinggi bagi Sistem Penarafan Bintang PBT (SPB-PBT) seluruh Malaysia.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata PBT tersebut ialah Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

“Semoga anugerah ini akan menyuntik warga kerja PBT di Selangor untuk terus memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya di Facebook malam ini.

Sementara itu, berdasarkan semakan di Facebook tiga PBT berkenaan, MBPJ mengumpul markah 97.60 peratus, MBSA (97.50 peratus) manakala MPAJ (96.85 peratus).

Majlis Penganugerahan Bintang Perkhidmatan PBT secara maya disempurnakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin dari kementeriannya di Putrajaya hari ini.

Program itu merupakan julung kali diadakan melibatkan 152 PBT di negara ini bagi mengiktiraf prestasi kerajaan tempatan yang terbaik berdasarkan penilaian SPB.

10 PBT mendapat markah tertinggi dengan Majlis Perbandaran Manjung menyandang tempat pertama, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (kedua) dan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (ketiga).

Sistem pengredan bintang dinilai berdasarkan empat kriteria utama antaranya pengurusan, pengurusan kewangan, pengurusan pelanggan dan perkhidmatan teras.

 

Categories
PBT SELANGOR

MBPJ perkenal portal kumpul data skim strata dalam talian

SHAH ALAM, 24 SEPT: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) melancarkan Sistem Pengurusan eCOB berasaskan portal bagi mengumpul dan menyimpan data skim strata bersepadu perumahan bertingkat secara dalam talian.

Datuk bandarnya berkata sistem itu memudahkan Unit Pesuruhjaya Bangunan (COB) MBPJ memantau pelaksanaan tempoh mesyuarat agung tahunan dan laporan kewangan badan pengurusan bersama (JMB) atau komuniti (JMC).

“Sistem ini boleh dijadikan satu pembaharuan dalam urusan pentadbiran penyampaian perkhidmatan kerana ia merupakan sistem yang lebih efektif dan sistematik serta mudah untuk diuruskan.

“Segala maklumat yang diperoleh melalui portal itu juga dapat membantu dalam perancangan, penggubalan dan pelaksanaan dasar oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor dan MBPJ dalam agenda pembangunan serta transformasi kerajaan demi kesejahteraan penduduk strata di Petaling Jaya,” kata Dato’ Mohd Sayuthi Bakar dalam kenyataan.

Beliau menjelaskan bagi memperluaskan penggunaan portal itu, Unit COB MBPJ akan mengadakan tiga siri seminar khusus dan latihan kepada JMB dan JMC mengenai cara penggunaannya.

Laman Portal eCOB boleh dilayari di https://skep.lphs.gov.my/mbpj dan untuk makluman lanjut boleh hubungi unit itu di talian 03-7960 1646.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Red Giants dibenar guna Stadium MBPJ musim hadapan

SHAH ALAM, 11 OGOS: Selangor mendapat kebenaran daripada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menggunakan stadium miliknya bagi saingan liga musim hadapan.

Setiausaha agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) memaklumkan persetujuan secara lisan dicapai hasil pertemuan selama sejam bersama Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato’ Mohd Sayuthi Bakar semalam.

“MBPJ setuju FAS menggunakan Stadium MBPJ untuk saingan liga secara verbal (lisan) untuk tahun hadapan. (Bagaimanapun) masih perlu hantar surat permohonan rasmi dan sebagainya yang kami akan usahakan dalam masa terdekat,” kata Dr Johan Kamal Hamidon ketika dihubungi.

Terdahulu FAS memaklumkan Red Giants kekal beraksi di Stadium UiTM di sini sehingga penghujung musim berikutan kerja baik pulih bumbung dan pendawaian elektrik di Stadium Shah Alam.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar berkata kerosakan di Stadium Shah Alam sedang diteliti sebelum mengeluarkan perbelanjaan sepatutnya untuk proses naik taraf.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kos menggantikan bumbung polikarbonat serta pendawaian elektrik pada bumbung mencecah RM30 juta manakala kos keseluruhan RM250 juta.

Stadium berkapasiti 80,000 penonton itu dibuka secara rasmi pada Julai 1994 dan pernah menjadi gelanggang utama skuad Harimau Malaya hingga 1997.