Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MBSJ hargai sukarelawan bantu urus pusat pemindahan banjir

SHAH ALAM, 28 DIS: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) menghargai bantuan sukarelawan menguruskan bersama 22 pusat pemindahan sementara (PPS) di kawasan pentadbirannya.

Timbalan Datuk Bandar turut berterima kasih kepada pihak yang menjaga kebajikan lebih 5,000 mangsa banjir dan menyeru komitmen itu diteruskan hingga keadaan pulih semula.

“Sesungguhnya dalam mengurus bersama PPS ini amat menuntut pengorbanan, keikhlasan semua sukarelawan dan petugas daripada pelbagai agensi.

“Pengorbanan tanpa mengira penat lelah, masa, tenaga, wang ringgit amatlah dihargai dan kepada Allah kita pohon rahmat yang berterusan,” kata Mohd Zulkurnain Che Ali dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata PPS Sekolah Menengah Kebangsaan USJ23 menempatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 648 orang, selain membantu menguruskan penempatan di dewan serbaguna, sekolah, masjid dan surau.

Mohd Zulkurnain menambah agihan barangan sumbangan juga dibuat secara adil mengikut tatacara ditetapkan secara telus dan tanpa diskriminasi.

“Tidak timbul isu menidakkan hak kepada semua banjir. MBSJ bersama petugas agensi berkaitan dan sukarelawan sedaya upaya membantu tanpa pilih kasih dan menjaga kebajikan lain,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MBSJ jalan operasi tembak gagak, tangani kacau ganggu

SHAH ALAM, 16 DIS: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) akan melaksanakan operasi menembak gagak di lokasi titik panas Sabtu ini bagi menangani masalah kacau ganggu spesies tersebut.

Timbalan pengarah Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategiknya berkata operasi bermula jam 7 pagi hingga 9 malam diadakan dengan kerjasama Majlis Perwakilan Penduduk.

Beliau menjelaskan usaha itu juga bertujuan meningkatkan tahap kebersihan di kawasan bandar raya terbabit.

“Sehubungan itu, warga Subang Jaya diingatkan agar mengambil maklum sekali gus tidak berada di kawasan berhampiran sewaktu aktiviti menembak gagak dijalankan,” kata Azfarizal Abdul Rashid dalam kenyataan.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh layari laman sesawang rasmi http://www.mbsj.gov.my dan platform media sosial MBSJ (Facebook, Instagram dan Twitter) atau hubungi pusat kawalan di talian 03-80247700.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Koridor Sejarah Kampung Baru Seri Setia jadi tarikan baharu

PETALING JAYA, 12 DIS: Koridor Sejarah Kampung Baru Seri Setia bakal menjadi tarikan baharu masyarakat khususnya mereka di kawasan Sungai Way, kata datuk bandar Petaling Jaya.

Mohamad Azhan Md Amir berkata pihaknya menyokong inisiatif penduduk terutama Majlis Perwakilan Komuniti Kampung (MPKK) mewujudkan koridor sejarah melibatkan sesebuah penempatan.

“Usaha mewujudkan koridor sejarah ini baik kerana memberi pendidikan pada masyarakat dan sejarah penubuhan kampung ini. Sebagai orang lama, wajar kita berkongsi sejarah untuk dihayati golongan muda.

“Oleh demikian, MBPJ yakin usaha mewujudkan koridor sejarah ini akan menjadi tarikan masyarakat termasuk orang luar untuk datang ke Sungai Way. Malah, kita juga akan membantu daripada aspek pemilihan lokasi yang bersesuaian,” katanya.

Beliau ditemui dalam Majlis Perasmian Koridor Sejarah Kampung Baru Seri Setia di Dewan Serbaguna Sungai Way hari ini yang dirasmikan EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han.

Tambah Mohamad Azhan, dalam mempromosikan Koridor Sejarah Kampung Baru Seri Setia, MBPJ akan menguar-uarkannya kewujudan pusat ini kepada masyarakat.

“Masyarakat luar perlu tahu sejarah kawasan ini dan kehadiran masyarakat ke Koridor Sejarah Kampung Baru Seri Setia juga dapat membawa kebaikan kepada penduduk,” katanya.

Kampung Baru Seri Setia kini memiliki koridor sejarah sendiri yang mempamerkan pelbagai dokumen dan barangan antik untuk tatapan ramai.

Sze Han ketika merasmikan koridor sejarah pertama di Selangor berkata ia menjadi perintis kepada kampung baru lain selain salah satu destinasi tarikan pelancongan.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Bayar cukai taksiran MBSJ di Shopee, nikmati potongan 10 peratus

SHAH ALAM, 6 DIS: Orang awam boleh melunaskan bayaran cukai taksiran Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) menerusi aplikasi Shopee dan nikmati potongan 10 peratus.

Pihak berkuasa tempatan (PBT) itu menerusi Facebook memaklumkan tawaran berkenaan bermula sejak 1 Disember lalu sehingga 28 Januari tahun depan.

“Dalam usaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada komuniti dalam bandar raya ini, MBSJ berkolaborasi bersama Shopee Malaysia dengan memberi ganjaran potongan sebanyak 10 peratus.

“Potongan ini boleh dinikmati melalui kaedah muat turun aplikasi Shopee dan mendaftar sebagai ahli My@MBSJ,” maklum PBT itu.

Untuk maklumat lanjut, pelanggan boleh mengimbas kod QR yang tertera untuk mendapat maklumat berkenaan inisiatif itu atau layari portal rasmi MBSJ di http://www.mbsj.gov.my.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MBSJ perkenal aplikasi EzyPay mudahkan bayar saman, cukai

SHAH ALAM, 1 DIS: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) memperkenal aplikasi EzyPay bagi memudahkan pelanggan menyemak dan membayar cukai taksiran, kompaun trafik serta lesen perniagaan.

Pembayaran melalui kad kredit, FPX atau e-dompet menjimatkan masa dengan tiada caj tambahan bagi setiap transaksi, kata timbalan pengarah Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategiknya.

“Pelanggan boleh membayar dengan pantas tanpa tunai atau beratur di kaunter, hanya muat turun aplikasi di Google Play Store secara percuma,” kata Azfarizal Abdul Rashid dalam kenyataan.

Beliau berkata inisiatif itu juga bertepatan Pelan Strategik Subang Jaya 2020-2025 antaranya capaian pintar bawah strategik dua iaitu transaksi di hujung jari.

Berikut transaksi yang boleh dibuat melalui EzyPay:

  • Kompaun
  • Tunda
  • Cagaran
  • Lesen
  • Permit bangunan
  • Sisa restoran
  • Sewa petak
  • Lesen anjing
  • Sewaan
  • Urus air
  • Pusara
  • Dewan/gelanggang
  • Bil pelbagai
Categories
PBT SELANGOR

Hampir 100 peratus warga kerja MBSJ lengkap vaksin

SHAH ALAM, 28 OKT: Seramai 1,500 atau 99.21 peratus kakitangan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) lengkap menerima dos vaksinasi Covid-19.

Datuk Bandarnya Noraini Roslan berkata manakala 1,509 atau 99.80 peratus warga kerja pihak berkuasa tempatan itu sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

“Meskipun kebanyakan daripada kita lengkap divaksinasi ingin saya mengingatkan untuk terus mematuhi SOP (tatacara operasi piawai).

“Elakkan tempat sesak, sempit dan sembang dekat, kerapkan amalan mencuci tangan dengan sabun, memakai pelitup muka, tidak bersalaman serta memeriksa suhu badan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Mesyuarat Penuh MBSJ Bil 11/2021 yang bersiaran secara langsung di Facebook Majlis Bandaraya Subang Jaya semalam.

Pada masa sama, Noraini berkata sebanyak 258 kes positif Covid-19 dilaporkan dalam kalangan kakitangan MBSJ sejak pandemik menular sehingga 23 Oktober.

“Bagaimanapun, tiada kes aktif Covid-19 berlaku dalam kalangan warga kerja MBSJ setakat ini,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

MBSJ ungguli anugerah Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam peringkat kebangsaan

SHAH ALAM, 27 OKT: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSA) berjaya merangkul anugerah Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) Inovatif kategori Organisasi peringkat kebangsaan pada 26 Oktober lalu.

Datuk Bandar Noraini Roslan berkata penyampaian anugerah dimenangi menerusi AKRAB majlis disampaikan menerusi Majlis Perasmian Persidangan Psikologi Perkhidmatan Awam ke-25 secara maya.

“MBSJ merupakan satu-satunya pihak berkuasa tempatan di Malaysia yang berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir.

“Alhamdulillah dan tahniah saya ucapkan kepada kumpulan ini yang sentiasa bergerak aktif dan berjaya mengungguli anugerah AKRAB peringkat kebangsaan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Mesyuarat Penuh MBSJ Bil 11/2021 yang bersiaran secara langsung di Facebook Majlis Bandaraya Subang Jaya hari ini.

Sempena sambutan Minggu Kesihatan mental MBSJ 2021, AKRAB turut mengatur pelbagai program antaranya:

1. Vaksin Minda: Daripada Stres Kepada Sukses (25 Oktober)
2. Bicara Psikologi: Kesihatan Mental dan Norma Baharu (25 Oktober)
3. Forum Kesihatan Mental: Emosi Sejahtera, Keluarga Malaysia Bahagia (26 Oktober)
4. Kesihatan Mental: Bilamana Kita Tidak OK (27 Oktober)
5. Cakna Kesihatan Mental: Mental Sihat Keluarga Sejahtera (28 Oktober)
6. Pengurusan Kesihatan Mental: Membina Minda Sihat (29 Oktober)
7. Stress & Relaxation (Stress Management) (29 Oktober)

Categories
PBT SELANGOR

Pertandingan fotografi, video pendek MBSJ tawar hadiah RM14,000

SHAH ALAM, 27 OKT: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) menganjurkan Pertandingan Fotografi dan Video Pendek sempena ulang tahun pertama sebagai bandar raya dengan hadiah keseluruhan RM14,000.

Datuk Bandar Noraini Roslan berkata bertemakan ‘Saya dan MBSJ’ acara itu bermula semalam sehingga 31 Disember ini.

“Bagi kategori fotografi peserta boleh merakam foto secara kreatif dengan memaparkan keindahan bandar, bangunan/mercu tanda, keindahan alam semulajadi, flora dan fauna, kawasan tasik, sungai serta landskap yang terdapat di seluruh kawasan pentadbiran MBSJ.

“Manakala, bagi kategori video pendek pula peserta perlu merekod pengalaman berada di Subang Jaya dengan menyelitkan mesej positif kepada penonton,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Mesyuarat Penuh MBSJ Bil 11/2021 yang bersiaran secara langsung di Facebook Majlis Bandaraya Subang Jaya hari ini.

Hadiah menarik bagi setiap kategori berupa wang tunai serta sijil penyertaan ditawarkan kepada pemenang iaitu johan memenangi RM3,000 diikuti RM2,000 (naib johan), RM1,000 (ketiga) dan lima hadiah saguhati bernilai RM200.

Maklumat lanjut berhubung penyertaan orang ramai boleh mengimbas kod QR tertera di poster atau melayari media sosial rasmi MBSJ.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MBSJ anjur acara larian secara maya Disember ini

SHAH ALAM, 27 OKT: Penduduk Subang Jaya dipelawa menyertai acara larian secara maya anjuran Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) pada 1 hingga 25 Disember ini.

Datuk Bandarnya Noraini Roslan berkata terdapat dua kategori larian iaitu 21 kilometer (half marathon) dan 42 kilometer (marathon).

“MBSJ mengalu-alukan warga Subang Jaya menyertai larian maya itu sempena ulang tahun pertama bandar raya ini di samping mengamalkan gaya hidup sihat.

“Peserta bebas memilih lokasi dan laluan serta mereka perlu menghantar rekod larian lengkap secara dalam talian menggunakan aplikasi larian antaranya Garmin, Strava, Zwift, Nike+, RunKeeper,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Mesyuarat Penuh MBSJ Bil 11/2021 yang bersiaran secara langsung di Facebook Majlis Bandaraya Subang Jaya hari ini.

Menurut Noraini orang ramai yang berminat boleh mendaftar dan membuat bayaran sebanyak RM45 secara dalam talian bermula 20 November hingga 20 Disember.

Peserta akan menerima baju, medal dan hadiah cabutan bertuah yang akan dihantar terus ke kediaman mulai 31 Disember manakala e-sijil dan e-bingkai gambar pula dikirim menerusi emel masing-masing.

Categories
PBT SELANGOR

MBSJ: Kongsi ucapan pendek, hadiah wang tunai menanti

SHAH ALAM, 23 OKT: Penduduk Subang Jaya dipelawa menyertai pertandingan video pendek bagi menzahirkan ucapan sempena ulang tahun pertama Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) diisytihar sebagai bandar raya.

Menerusi Facebook, pihak berkuasa tempatan itu memaklumkan hadiah wang tunai sehingga RM1,800 ditawarkan dan peserta boleh mula sertai sejak 20 hingga 29 Oktober ini.

“Ekspresikan ucapan ulang tahun pertama MBSJ secara paling kreatif dan ungkapkan keunikan mendiami bandaraya ini dalam satu video pendek berdurasi tidak melebihi dua minit.

“Penyertaan adalah terbuka kepada seluruh komuniti Bandaraya Subang Jaya. Hadiah wang tunai yang lumayan menanti anda!,” kata kenyataan itu.

Hadiah pertama sebanyak RM500 ditawarkan manakala tempat kedua (RM400), tempat ketiga (RM300) dan tiga hadiah saguhati sejumlah RM200 kepada setiap peserta.

Setiap penyertaan perlu dimuat turun ke akaun media sosial dan peserta diwajibkan tag akaun rasmi MBSJ antaranya Facebook Majlis Bandaraya Subang Jaya, Instagram dan Twitter @sjcitycouncil serta tanda pagar #ucapanmbsjsetahun

Imbas kod QR yang tertera di poster untuk mengetahui syarat pertandingan.

Categories
PBT SELANGOR

MBSJ sedia fasiliti percuma jayakan PICK Remaja

SUBANG JAYA, 20 OKT: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) menyediakan fasiliti percuma kepada kerajaan persekutuan bagi menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja mulai 14 Oktober.

Datuk Bandar Noraini Roslan berkata kemudahan di Dewan Serbaguna MBSJ, Puchong Indah itu sebagai langkah menyokong pembentukan imuniti kelompok negara ini lebih cepat.

“Pada 26 Julai juga kita menjadikan dewan itu sebagai pusat pemberian vaksin (PPV) berskala kecil bagi membolehkan lebih ramai individu terima pelalian.

“MBSJ turut bertindak proaktif menempatkan 16 kakitangan di PPV Sunway Convention Center pada Jun lalu bagi membantu pengurusan. Ini dapat membantu usaha vaksinasi kerajaan,” katanya berucap di majlis sambutan ulang tahun pertama pihak berkuasa tempatan itu diisytihar bandar raya hari ini.

Minggu lalu Ahli Dewan Negeri Kinrara Ng Sze Han berkata PPV Puchong Indah dibuka untuk pemberian vaksin individu berusia 12 hingga 17 tahun dengan sasaran 1,500 pelajar disuntik sehari.

Program berlangsung selama enam minggu sehingga 18 November dan dijangka melibatkan 25 sekolah.

Categories
PBT SELANGOR

MBSJ bantu hampir 30,000 keluarga susah sepanjang pandemik

SUBANG JAYA, 20 OKT: Seramai 28,457 keluarga berpendapatan rendah (B40) menerima makanan dan keperluan harian sumbangan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) sejak 2019.

Inisiatif dengan peruntukan lebih RM400,000 turut diperluas kepada golongan yang hilang mata pencarian akibat pandemik Covid-19 awal tahun lalu, kata Datuk Bandarnya.

“Majoriti penerima dari keluarga B40 selain kakitangan MBSJ yang berdepan masalah. Kita jangka bilangan penerima meningkat setiap bulan dan pastikan mereka disantuni,” kata Noraini Roslan.

Berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Pertama MBSJ di sini hari ini, beliau berkata pihaknya mewujudkan tabung amal sejak 2019 bagi membantu kumpulan memerlukan.

Tabung yang mengumpul sebanyak RM147,986.35 hasil kutipan derma daripada kakitangan menumpukan aspek pendidikan, infrastruktur dan pembangunan modal insan, jelasnya.

“Daripada jumlah itu, sebanyak RM90,716.20 digunakan bagi membiayai yuran pengajian dan pembelian komputer riba untuk pelajar dari keluarga kurang mampu.

“Kita mahu mereka berupaya dari aspek sosial, ekonomi, kesihatan, keselamatan dan pendidikan bersesuaian dengan cabaran ketika ini,” kata Noraini lagi.