Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MBSJ tawar 17 program, insentif sempena ulang tahun pertama

SUBANG JAYA, 20 OKT: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) mengadakan 17 program serta tawaran insentif kepada orang ramai bermula Oktober hingga Disember sempena sambutan ulang tahun yang pertama hari ini.

Datuk Bandar Subang Jaya Noraini Roslan berkata program itu melibatkan pelbagai aktiviti antaranya pertandingan sampaikan ucapan ulang tahun, fotografi dan video pendek, kuiz kenali MBSJ serta anugerah badan pengurusan komuniti strata terbaik.

Dalam tempoh sama pihaknya turut menawar pengurangan pas bulanan parkir bertingkat SS 15 daripada RM159 kepada RM100 selain pengecualian caj bayaran lewat cukai taksiran serta insentif rebat fi proses pelan bangunan.

“Majlis turut mengadakan bacaan Surah Yasin dan Bicara Perdana pada Jumaat ini. Minggu depan kita anjurkan program secara langsung di Media Selangor menerusi Bual Santai Bersama Datuk Bandar.

“Semua aktiviti dan insentif ini bertujuan meraikan komuniti sekali gus mempromosi kejayaan dan pencapaian majlis. Ia juga sebagai menghargai pemegang taruh yang banyak memberi sokongan untuk MBSJ meningkatkan kualiti perkhidmatan,” katanya berucap di majlis sambutan itu.

MBSJ merupakan pihak berkuasa tempatan berstatus bandar raya ketiga di negeri ini selepas Majlis Bandaraya Shah Alam dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya berkuat kuasa 20 Oktober tahun lalu.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pengisytiharan status berkenaan dibuat selepas mendapat perkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Skuad Pantas MBSJ jalani latihan, siap siaga hadapi bencana

SHAH ALAM, 14 OKT: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) menjalankan latihan dan uji cuba peralatan bantuan kecemasan sebagai persiapan menghadapi musim monsun timur laut.

Uji cuba bot aluminium, bot getah, set jana kuasa dan pam air dilakukan 37 anggota pasukan tindakan segera (Pantas) serta 10 anggota bomba, kata timbalan pengarah jabatan korporatnya.

Azfarizal Abdul Rashid memaklumkan aset logistik seperti kenderaan, khemah, dewan dan balai masyarakat yang berpotensi dijadikan pusat pemindahan sementara turut diperiksa.

“Pemeriksaan ini jika berkemungkinan berlaku sesuatu kejadian bencana sekali gus memastikan peralatan berada dalam keadaan siap siaga digunakan,” katanya menerusi kenyataan semalam.

Beliau berkata pihaknya mengaktifkan bilik gerakan bencana di pusat kawalan dan panggilan yang beroperasi dari jam 8 pagi hingga 10 malam, namun tertakluk arahan Kerajaan Negeri.

“Pusat ini juga sentiasa memantau sistem amaran paras air di empat lokasi dan berkongsi maklumat amaran di platform media sosial MBSJ,” katanya.

Sementara itu, Azfarizal berkata sebanyak 19 titik panas banjir dikenal pasti di kawasan pentadbiran terbabit dan kontraktor digerakkan untuk memastikan sistem saliran diselenggara mengikut jadual.

Untuk rekod, sebanyak 85 kes kecemasan dan bencana berlaku di bawah pentadbiran MBSJ sejak Januari hingga September tahun ini dengan banjir kilat melibatkan 15 kes, tanah runtuh (enam), pokok tumbang (54) serta lain-lain (10).

Categories
AGENDA NASIONAL

Nestle, MBSJ bekerjasama kutip bahan kitar semula di Subang Jaya

SHAH ALAM, 7 OKT: Nestle Malaysia Berhad (Nestle) menandatangi memorandum persefahaman (MoU) dengan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) bagi mengutip bahan kitar semula di daerah itu.

Nestle menerusi kenyataan berkata program Kutipan & Kitar Semula Pintu ke Pintu ke Subang Jaya bertujuan mengurangkan pengeluaran sisa isi rumah selain melaksanakan sistem pengurusan sisa pepejal yang lebih berkesan di kawasan bandar.

Pengeluar produk makanan dan minuman terkemuka itu menjelaskan buat masa ini khidmat kutipan bahan kitar semula dijalankan di kaki lima di lapan taman perumahan di Petaling Jaya membabitkan lebih 20,000 isi rumah.

Tambahnya, fasa pertama program itu dilaksanakan di Zon 1 dan 4 di Subang Jaya yang memanfaatkan sekurang-kurangnya 5,500 isi rumah seterusnya ke Zon 3 dan 6 melibatkan 8,500 isi rumah menjelang akhir tahun ini.

Terdahulu, majlis MoU program dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Nestle Juan Aranols serta Yang Dipertua MBSJ yang juga Datuk Bandar Subang Jaya Noraini Roslan.

Aranols berkata program tersebut bukan sahaja memudahkan penduduk untuk mengitar semula, tetapi juga menyediakan platform yang sesuai untuk mendidik penduduk tentang langkah kitar semula yang berkesan.

“Kami ingin meningkatkan liputan ke kawasan kediaman yang lebih luas sejajar dengan wawasan kami untuk memastikan tiada pembungkusan, termasuk plastik, berakhir di tapak pelupusan sampah atau dibuang sebagai sampah sarap dan meningkatkan usaha mengurangkan penggunaan dan kebergantungan kepada plastik mentah,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

MBSJ: Guna kemudahan taman awam dengan cermat sebaik dibuka 1 Okt

SHAH ALAM, 29 SEPT: Penduduk Subang Jaya diingatkan supaya menggunakan kemudahan di taman awam dengan cermat sebaik pembukaan semula pada 1 Oktober ini.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) berkata kerja pembersihan di semua taman awam dijalankan melalui program taman selamat bersama Majlis Perwakilan Penduduk baru-baru ini untuk keselesaan.

“Penduduk perlu memelihara habitat haiwan dan dilarang memberi makan. Sekiranya terdapat masalah gangguan daripada haiwan, mereka diminta buat aduan kepada MBSJ untuk penyelesaian.

“Selain itu, penduduk harus menerapkan amalan kebersihan dan kerap mencuci tangan selain mengelak menyentuh muka dengan tangan,” kata Noraini Roslan pada mesyuarat penuh MBSJ Bil.10/2021 secara maya hari ini.

Beliau turut menasihati masyarakat supaya sentiasa mengawal penjarakan fizikal antara satu sama lain ketika mengunjungi taman awam bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19.

“Semua aktiviti sukan dan rekreasi tidak bersentuhan dan dilakukan secara individu dengan mematuhi penjarakan sekurang-kurangnya satu hingga tiga meter,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

97 peratus kakitangan MBSJ lengkap vaksin

SHAH ALAM, 29 SEPT: Seramai 1,476 atau 97.62 peratus kakitangan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) lengkap menerima dos vaksin setakat ini.

Datuk Bandar Noraini Roslan berkata seramai 1,497 atau 99.01 peratus kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu pula mendapat sekurang-kurangnya satu dos suntikan pelalian.

“Walaupun menerima suntikan vaksin, masih diingatkan supaya terus mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan dengan mengelak 3S (sesak, sempit dan sembang dekat),” katanya ketika mesyuarat penuh MBSJ Bil.10/2021 secara maya hari ini.

Sementara itu, beliau berkata sebanyak 249 kes positif dilaporkan dalam kalangan kakitangan MBSJ sejak pandemik menular sehingga 26 September.

Noraini menjelaskan lima kes aktif dikesan setakat ini dengan seorang kakitangan dirawat di hospital manakala selebihnya menjalani kuarantin di rumah.

Keseluruhannya, sebanyak 70,237 kes positif Covid-19 direkodkan dalam kawasan pentadbiran MBSJ sehingga kini.

 

Categories
PBT SELANGOR

MBSJ galak pelanggan perbaharui lesen niaga, iklan dalam talian

SHAH ALAM, 29 SEPT: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) menggalakkan pelanggan memperbaharui lesen perniagaan dan iklan 2022 secara dalam talian menerusi portal Ezy MBSJ bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19.

Datuk Bandar Noraini Roslan berkata pembayaran mudah tanpa daftar masuk melalui pautan https://ezy.mbsj.gov.my/lesen boleh dibuat mulai 1 Oktober sehingga 7 Januari tahun depan.

“Pembaharuan lesen dengan kaedah norma baharu amat digalakkan berbanding pilihan secara bersemuka di kaunter MBSJ bagi mengurangkan aktiviti secara fizikal dalam tempoh pandemik.

“Inisiatif disediakan memberi manfaat kepada pelanggan kerana dapat menjimatkan kos dan mereka bebas melaksanakan transaksi di mana-mana sahaja tanpa waktu yang terhad,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan mesyuarat penuh MBSJ Bil.10/2021 secara maya hari ini.

Menurut Noraini, tatacara pembaharuan dan pembayaran melalui portal berkenaan juga disediakan sebagai pemudahcara kepada pelanggan.

“MBSJ menyediakan borang janji temu jabatan pelesenan melalui platform google form bagi pelbagai saluran pertanyaan berkaitan isu pelesenan termasuk informasi pembaharuan lesen atau permit lain-lain kategori,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Taman awam MBSJ dibuka kepada pengunjung mulai 1 Oktober

SHAH ALAM, 25 SEPT: Taman awam di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dibuka kepada orang ramai mulai 1 Oktober depan.

Pembukaan itu selaras peralihan Selangor kepada fasa dua Pelan Pemulihan Negara mulai 10 September lalu yang membenarkan aktiviti sukan dan riadah secara individu di kawasan terbuka mengikut tatacara operasi piawai (SOP).

Taman-taman itu dibuka bermula jam 6 pagi hingga 10 malam dan penggunaan kemudahan alatan senaman serta permainan kanak-kanak dibenarkan.

Maklumat mengenai SOP penuh PPN boleh diakses di laman sesawang Majlis Keselamatan Negara (MKN) www.mkn.gov.my dan media sosial rasmi MBSJ.

Taman awam di bawah pentadbiran MBSJ ditutup kepada orang ramai pada 1 Jun lalu susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

 

Categories
PBT SELANGOR

Halang lalu lintas, MBSJ keluar 82 notis tawaran kompaun

SHAH ALAM, 24 SEPT: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) mengeluarkan 82 notis tawaran kompaun terhadap pemilik kenderaan atas kesalahan menghalang lalu lintas di Jalan Pipit 4, Puchong Jaya pada Rabu.

Timbalan pengarah jabatan korporat dan pengurusan korporatnya berkata notis mengikut Perintah Pengangkutan Jalan (Peruntukan Tempat Letak Kereta) MPSJ 2007 dikeluarkan semasa operasi bersepadu dijalankan bersama polis Serdang.

Azfarizal Abdul Rashid memaklumkan polis turut mengeluarkan 30 saman POL 170A kepada pesalah trafik atas pelbagai kesalahan dalam operasi jam 10 pagi itu.

“Tindakan penguatkuasaan dilaksanakan berikutan kesalahan menghalang lalu lintas dilakukan pemilik kenderaan dengan meletak kenderaan mereka di bahu dan selekoh jalan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata pemantauan dan penguatkuasaan terhadap halangan lalu lintas akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi mendidik orang awam.

“Penguatkuasaan ini bagi memastikan jalan raya selamat daripada sebarang halangan yang boleh membahayakan pengguna jalan raya,” kata Azfarizal.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Penjaja Taman Puncak Jalil lega terima lesen niaga sementara MBSJ

SUBANG JAYA, 8 SEPT: Seorang peniaga nasi ganja di Taman Puncak Jalil di sini mengakui tidak lagi perlu berniaga dalam ketakutan selepas memperoleh lesen sementara.

Mohd Hafiz Mahat, 43 berkata sebelum ini setiap kali berniaga dia berada dalam situasi bimbang kerana khuatir beroperasi tanpa lesen yang sah.

“Saya dah berniaga lebih tiga tahun secara ‘rambo’… ada la beberapa kali di saman dengan denda RM80 setiap kali di saman.

Penjual nasi ganja, Mohd Hafiz Mahat, 43. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Lepas dapat lesen rasa lega kerana sekarang dah ‘halal’. Alhamdulilah terima kasih kepada MBSJ (Majlis Bandaraya Subang Jaya) atas peluang yang diberikan ini,” katanya pada majlis penyerahan lesen sementara di sini, semalam.

Menurut Mohd Hafiz dia memohon lesen berkenaan pada awal tahun ini.

Penjual nasi lemak, Normiza Halim, 39 pula tidak menjangka akan memperoleh lesen kerana baru menjalankan perniagaan di kawasan berkenaan beberapa hari yang lalu.

Beliau berkata sebelum ini dia berniaga di Kuala Lumpur dan berpindah ke kawasan itu kerana dimaklumkan MBSJ memudahkan urusan permohonan mendapatkan lesen sementara.

“Inilah rezeki sepanjang dua tahun berniaga dengan tujuan membantu suami yang hilang kerja ketika PKP (perintah kawalan pergerakan) kini memperoleh lesen,” katanya.

Semalam, seramai 120 peniaga menerima lesen sementara dari MBSJ yang disampaikan EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han.

Datuk Bandar Subang Jaya Noraini Roslan berkata langkah tersebut untuk membantu golongan berpendapatan rendah (B40) menjana semula pendapatan.

Categories
PBT SELANGOR

120 penjaja di Taman Puncak Jalil terima lesen sementara

SUBANG JAYA, 7 SEPT: Sebanyak 120 lesen sementara yang dikeluarkan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) diberikan kepada penjaja di Taman Puncak Jalil di sini, hari ini.

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berkata angka itu adalah tinggi jika dibandingkan hanya enam peniaga sahaja yang mempunyai lesen sah di kawasan berkenaan sebelum ini.

“Sebelum ini hanya enam daripada 80 pemilik gerai di kawasan ini mempunyai lesen yang didaftarkan dengan MBSJ.

“Bagaimanapun MBSJ memutuskan untuk pertimbang permohonan penjaja terutama dalam situasi ramai terkesan akibat Covid-19,” katanya ditemui pemberita selepas menyerahkan 120 lesen sementara kepada penjaja.

Pada 18 Januari, MBSJ mengeluarkan 850 permit perniagaan sementara bagi membantu golongan terkesan akibat Covid-19.

Datuk Bandar Subang Jaya Noraini Roslan berkata langkah tersebut untuk membantu golongan berpendapatan rendah (B40) menjana semula pendapatan.

Categories
PBT SELANGOR

Ingkar SOP: MBSJ keluar enam notis kompaun kepada pemilik premis niaga

SHAH ALAM, 27 JULAI: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) mengeluarkan enam notis  tawaran kompaun terhadap pemilik premis perniagaan di Taman Perindustrian Seri Kembangan pada 22 Julai lalu.

Timbalan pengarah Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategiknya berkata kompaun dikeluarkan berikutan peniaga tersebut tidak mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) Pelan Pemulihan Negara fasa satu.

“Pemeriksaan ke atas 20 premis perniagaan dan dua kilang dapati ada segelintir pemilik tidak patuhi SOP termasuk sebuah kilang tidak memperbaharui lesen berniaga,” kata Azfarizal Abdul Rashid dalam kenyataan semalam.

Menurutnya, daripada enam notis tawaran kompaun dikenakan itu tiga notis kompaun dikeluarkan mengikut Undang-Undang Kecil 3, Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian MPSJ 2007.

Manakala, katanya masing-masing satu notis di bawah Undang- Undang Kecil 3, Undang- Undang Kecil Iklan MPSJ 2007, Seksyen 46 (1) (a) Akta 133 Akta Jalan , Parit Dan Bangunan (AJPDB) 1974 dan Seksyen 46 (1) (d) Akta 133 Akta Jalan , Parit Dan Bangunan (AJPDB) 1974.

Justeru, Azfarizal menggesa pengusaha kilang dan pemilik premis perniagaan untuk terus mematuhi peraturan MBSJ dan SOP demi mengekang penularan Covid-19.

“MBSJ akan memperhebatkan operasi pemantauan dari semasa ke semasa dengan kerjasama pelbagai agensi selain mengarahkan semua jabatan sentiasa peka aduan setempat,” katanya.

 

Categories
PBT SELANGOR

MBSJ seru penduduk segera bayar cukai taksiran

SHAH ALAM, 15 JULAI: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) menggesa orang ramai menjalankan tanggungjawab membayar cukai taksiran dengan segera.

Menerusi Facebook, pihak berkuasa tempatan itu memaklumkan pembayaran cukai taksiran itu adalah bagi memastikan fasiliti, infrastruktur dan kemudahan awam dapat disediakan serta diselenggara dengan baik.

“Tarikh bayaran akhir adalah selewat-lewatnya pada 31 Ogos ini.

“Warga MBSJ boleh membuat semakan e-Bil dengan mengimbas kod QR pada poster dengan mendaftar sebagai ahli di pautan www.mbsj.gov.my,” katanya.