Categories
SELANGOR

Zawawi minta media lapor berita sahih

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 31 JUL: Media massa diminta terus bekerjasama menyalurkan laporan berita sahih dan benar kepada rakyat demi kebaikan serta kesejahteraan semua.

Calon Pakatan Harapan, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, pelbagai maklumat dan berita ditagih rakyat khususnya pengundi yang mengikuti perkembangannya dalam menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) yang bakal menjelang tidak lama lagi.

“Saya berharap semua media bekerja saban hari dan waktu supaya dapat menyampaikan berita yang tepat kepada orang ramai berhubung PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis.

“Diharap media juga dapat memberi kesedaran kepada masyarakat khususnya pengundi akan tanggungjawab mereka keluar mengundi, pada 4 Ogos ini,” katanya ketika mengadakan lawatan di Pusat Media Jabatan Penerangan untuk PRK DUN Sungai Kandis, di sini, hari ini.

Beliau berkata, promosi berterusan Jabatan Penerangan dan media dalam perkara berkaitan pasti akan memberi kesan kepada pengundi untuk menunaikan tanggungjawab itu.

Katanya, ia juga berhubung kefahaman peranan rakyat bersuara dalam negara demokrasi seperti di negara ini.

“Kemudahan lengkap dan selesa di pusat ini pastinya dapat mewujudkan keadaan bekerja lebih kondusif dan mampu membantu petugas media menghasilkan idea bagi laporan berita yang baik.

“Saya mendoakan semua media yang terbabit dalam PRK DUN Sungai Kandis dapat menjalankan tugas dan bekerjasama baik dengan semua pihak,” katanya.

Categories
NASIONAL

Petugas media bengang penyokong Najib ganggu sidang media AG

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 5 JUL: Petugas media yang membuat liputan perbicaraan Datuk Seri Mohd Najib Razak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam kesal dengan kekecohan ditimbulkan penyokong bekas Perdana Menteri itu sehingga mengganggu sidang media Peguam Negara.

Wartawan Malaysian Insight, Nabihah Hamid berkata, kejadian terbabit mengganggu tugas wakil media yang terpaksa berasak-asak sejak awal pagi bagi memberi liputan terbaik untuk masyarakat.

“Pandangan saya sebagai pengamal media, orang ramai tidak seharusnya mengganggu sidang media Peguam Negara kerana tidak jadi isu beliau mahu menggunakan Bahasa Inggeris memandangkan sidang media tersebut turut jadi tumpuan media asing.

“Lebih menyedihkan kekecohan tercetus di saat peguam negara belum lagi memulakan sidang media di mana ini sangat mengganggu kerja media yang daripada pagi komited untuk memberikan laporan. Kami tersepit, berjam menunggu sidang media,” katanya kepada SelangorKini di sini, hari ini.

Sementara itu, Wartawan Bernama, Ali Imran pula berkata kejadian semalam membuktikan orang awam tidak sepatutnya menyertai sidang media yang lazimnya dikhaskan untuk petugas media sahaja.

“Kejadian hari ini (semalam) membuktikan orang awam tidak layak dibenarkan masuk ke mana-mana sidang media.

“Kami menunggu lebih dua jam untuk sidang akhbar Peguam Negara, Tommy Thomas selepas sesi pendakwaan Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Daripada awal sudah dibisikkan kepada polis, ada orang awam yang menyelit di celah wartawan, kami takut keadaan jadi lain nanti tetapi polis pun tak ada kuasa nak halang orang awam berada di kawasan awam,” tulisnya di status media sosial facebook beliau.

Ali berkata, keadaan selepas itu menjadi semakin tidak terkawal apabila orang awam yang turut berada dalam kelompok petugas media mula melaungkan kata-kata provokasi.

Katanya, melihatkan keadaan yang semakin tegang menyebabkan Tommy mengambil keputusan membatalkan sidang media beliau.

Beliau turut kesal dengan gelagat penyokong Najib yang menggunakan alasan kebebasan bersuara apabila pihak polis mula bertindak mengawal keadaan.

“Kami yang wartawan ini kemudiannya yang susah sebab sidang media dibatalkan dan bila Peguam Negara nak buat sidang media selepas itu, tiada maklumat tepat lokasi sampai pindah empat kali,” katanya lagi.

Kejadian semalam turut mendapat reaksi pelbagai pihak termasuk wartawan veteran, Mat Zahari Ali dan penyair terkenal, Pyan Habib Rahman.

“Itulah masalahnya bila hak wartawan dinodai oleh mereka yang taksub,” ulas Mat Zahari.

Sementara itu, Pyan Habib turut menyindir sikap tidak bertanggungjawab penyokong Najib yang kononnya memperjuangkan Bahasa Melayu meninggalkan sampah bertaburan di laluan masuk mahkamah.

“Selepas letih berjiihad, poster berbahasa Inggeris ditinggalkan bersepah oleh mereka yang memperjuang Bahasa Melayu,” sindir beliau pada status facebooknya.

Categories
SELANGOR

Media terima akses, tiada sekatan aju soalan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 24 JUN: Petugas media diberikan akses bertanyakan sebarang soalan kepada pimpinan tertinggi Kerajaan Persekutuan dan Negeri yang hadir pada Majlis Rumah Terbuka Eidul Fitri, peringkat negeri di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, pagi ini.

Langkah itu sekali gus mengenepikan sentimen kononnya pentadbiran Pakatan didakwa tidak lagi mesra media selepas berjaya mentadbir kepimpinan tertinggi Putrajaya.

Antara pimpinan tertinggi Putrajaya yang diajukan soalan daripada pemberita, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Kedua-duanya memberikan akses mudah diajukan soalan daripada pemberita, membabitkan isu-isu semasa negara.

Selain itu, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari turut memberikan ruang kepada pemberita mengajukan soalan selepas selesai mengiringi Duli Yang Mah Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang turut hadir pada program rumah terbuka itu.

Lebih istimewa, Dato’ Menteri Besar itu turut memberikan peluang kepada media rasmi Kerajaan Malaysia, Radio Televisyen Malaysia (RTM) berlintas langsung menerusi slot Berita Nasional Jam 1, di TV1.

Perkembangan positif itu sekali gus mencerminkan keterbukaan pimpinan Pakatan Harapan Persekutuan dan Negeri dalam mengangkat amalan kebebasan media, sebagaimana yang diperjuangkan gabungan itu sebelum ini.

Berbanding keadaan sebelumnya di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang jarang bertemu media dalam program-program rasmi Kerajaan Malaysia.

=EZY=

 

Categories
NASIONAL

Media perlu jadi semak dan imbang bukan pengampu

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 26 MEI: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu media berhenti daripada mengampu pemimpin kerajaan dengan menerbitkan berita baik.

Beliau juga mahu media berperanan serius menimbang dan menyediakan berita seimbang dalam negara ini.

“Cara media mengampu menyebabkan pemimpin itu rosak.

“Memang, ramai pihak gembira apabila Pakatan Harapan (PAKATAN) menang dan ramai yang sokong PAKATAN.

“Namun, selepas reda, media berhak menegur dan mengkritik Kerajaan Negeri mahupun Kerajaan Persekutuan,” katanya di Pulau Pinang, semalam.

Pada masa sama, Anwar mahu ahli politik juga berlapang dada dan menerima kritikan dan tidak menghentam media kerananya.

“Ia menjadi contoh bagaimana media sebelum ini mengampu pemimpin dengan menyiarkan berita palsu.

“Dia ini pemimpin terbaik dunia. Ekonomi terbaik. Pendidikan? Juga terbaik di dunia. Kesihatan? Terbaik di dunia.

“Haprak, penipu semuanya. Sebab itu kita mesti terima kenyataan. Media seperti mana suara rakyat harus bebas untuk memberikan pandangan dan teguran dan pemimpin tidak harus bertindak melenting seperti pemimpin Umno,” katanya.

Pada Pilihanraya Umum Ke 14, PAKATAN berjaya membawa tsunami rakyat, sekali gus berjaya menukar pentabiran sejak 61 tahun lalu.

Ia sekali gus menyaksikan berita akhbar dan televisyen menukar berita cemuhan kepada mereka kepada berita-berita indah.

=EZY=

 

Categories
SELANGOR

Rakyat boleh tengok TV3, tapi jangan lupa SelangorKini – MB

OLEH ERMIZI MUHAMAD

GOMBAK, 13 MEI: Seiring prinsip kebebasan media yang dipertahankan Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN), Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, rakyat kini sudah boleh mempercayai laporan berita yang dipaparkan media arus perdana.

Dato’ Menteri Besar itu berkata, ia termasuklah laporan berita daripada agensi, TV3 milik Media Prima dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang kini disifatkan lebih terbuka melaporkan senario politik terkini negara.

“Saya berharap mulai malam ini, orang awam sudah boleh menonton TV3 dan RTM. Sebab sejak 10 Mei lalu, saya rasa macam pelik sedikit.

“Apabila saya buka TV jam 8.00 malam di TV3 dan RTM, ada berita tentang Kerajaan Selangor yang mengatakan Dato’ Menteri Besarnya telus dan bertangunggjawab,” seloroh Mohamed Azmin.

Kata Mohamed Azmin, perubahan itu didorong atas tekanan dan perubahan yang dilakukan rakyat, pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) lalu, yang menyaksikan perubahan besar kepada senario politik semasa.

“Jangan marah mereka (TV3 dan RTM) lagi, di bawah PAKATAN kita menghormati prinsip kebebasan media, jadi semua sekarang ini boleh tonton TV3, boleh beli Utusan Malaysia dan Sinar Harian.

“Tapi jangan lupa Astro Awani dan SelangorKini. Mereka banyak bantu kita,” katanya ketika berucap pada Majlis Kesyukuran Kemenangan Rakyat Parlimen Gombak di Dataran Greenwood, petang ini.

Hadir sama, barisan pimpinan Ahli Dewan Negeri (ADN) kawasan Parlimen itu, Amirudin Shari, Hilman Idham dan Saari Sungip.

Dalam perkembangan itu, majlis kesyukuran itu turut dimeriahkan dengan kehadiran lebih 5,000 masyarakat Gombak, di sini.

Terdahulu, Pakatan Harapan menetapkan prinsip kebebasan media diangkat sebagai asas memastikan rakyat mendapat maklumat tepat tanpa pengisian kandungan berita berunsur fitnah terhadap mana-mana pihak.

Kerajaan Pakatan menekankan akan terus mendukung prinsip itu dengan melaksanakan dasar kebebasan media, di Putrajaya.

Ketika pentadbiran Kerajaan Barisan Nasional di Putrajaya, media arus perdana digunakan sebagai agen penyampaian berita fitnah terhadap Pakatan yang dibuat bagi memburukkan imej pimpinan pembangkang ketika itu.

Bagaimanapun, hanya media rasmi Kerajaan Negeri dan media alternatif yang dilihat lebih cenderung menyampaikan maklumat secara telus tanpa mengikut kepartian.

=EZY=

Categories
GLOBAL

3 kuasa dunia ancam kebebasan akhbar

PARIS 25 APR: Kebebasan akhbar di seluruh dunia berhadapan ancaman susulan usaha Presiden Donald Trump, Russia dan China menghapuskan semua perbezaan, kata pemerhati hari ini.

Pertubuhan Reporters Without Borders (RSF) memberi amaran ‘suhu kebencian dan permusuhan’ terhadap amaran digabungkan dengan cubaan meningkat mengawal media memberi ancaman kepada demokrasi.

Dalam laporan tahunannya, wartawan menjadi sasaran gelombang penguasaan kuku besi dengan pemimpin menyatakan permusuhan terhadap mereka.

Ia menuduh tiga kuasa utama dunia iaitu AS, China dan Russia, mengetuai ancaman terhadap kebebasan akhbar, dengan Trump kerap melancarkan serangan peribadi terhadap wartawan dan Beijing mengeksport ‘model kawalan media’ untuk membasmi perbezaan pandangan di Asia.

Kecenderungan ke arah ‘pemimpin’ dan ahli politik di Eropah, dicetuskan oleh Moscow, mengancam kebebasan di wilayah yang pernah menjadi paling selamat, tambah RSF, dengan Hungary, Slovakia dan Poland semakin membimbangkan.

Presiden Czech, Milos Zeman, muncul di sidang akhbar dengan raifal Kalashnikov palsu yang tertera perkataan ‘untuk wartawan’, manakala bekas pemimpin Slovakia, Robert Fico, menggelar wartawan ‘pelacur anti-Slovakia kotor’ dan ‘dubuk bodoh’.

“Kebencian terang-terangan ditunjukkan kepada wartawan adalah bahaya dan ancaman kepada demokrasi.

“Pemimpin politik menyemarakkan kebencian kepada wartawan, merendahkan konsep perdebatan umum berdasarkan fakta.

“Bagi mempertikai kesahihan kewartawanan hari ini adalah bermain dengan api politik yang amat bahaya,” kata ketua RSF, Christophe Deloire.

SUMBER: AFP

 

Categories
NASIONAL

Pengamal media gusar Akta Anti Berita Tidak Benar

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 12 APR: Akta Anti Berita Tidak Benar 2018 sememangnya menggusarkan hati sebahagian besar pengamal media, di negara ini.

Wartawan penyiaran, Hafiz Marzukhi berkata, tugas media adalah menyiarkan laporan yang diberi oleh pelbagai pihak termasuk pemerintah juga pembangkang.

“Daripada segi perundangan akta itu perlu dalam era media sosial, namun saya bimbang bagi pihak media kerana di Malaysia terdapat banyak dakwaan yang dibuat pelbagai pihak.

“Sebagai media, tugas kami adalah melaporkan tetapi adakalanya sukar untuk mendapatkan pengesahan daripada kedua-dua pihak, tidak kiralah pihak yang mendakwa atau didakwa.

“Apa yang dipersoalkan ialah bagaimana mekanisma penentuan berita tidak benar itu? jika mahkamah yang menentukan, adakah semua laporan berita tidak benar akan didengar di mahkamah atau terdapat tapisan daripada pihak lain?,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Sementara itu wartawan kanan Malay Mail, Yiswaree Palansamy pula berpendapat, akta itu berkemungkinan menyebabkan ada agensi media yang rugi.

Katanya, ia secara fizikalnya tidak ada masalah. Tetapi isu besarnya adalah daripada segi mekanisma penguatkuasaan yang dilihat mungkin tidak adil buat agensi media.

“Risiko penarikan semula berita yang dikatakan tidak benar akan berlaku apabila seseorang tidak suka dengan berita itu dan mahu ia diturunkan, maka dia boleh ke mahkamah dan meminta hakim untuk mengeluarkan perintah penarikan semula berita secara ex-parte tanpa dihadiri wartawan atau syarikat media yang menerbitkan berita itu.

“Ini bermakna, hakim harus membuat keputusan bahawa berita itu benar atau tidak hanya berdasarkan pandangan si pengadu tanpa mendengar pandangan wartawan atau syarikat media berkenaan.

“Selepas syarikat media menerima arahan mahkamah, maka berita itu perlu diturunkan terlebih dahulu, sudah tentu ini menyebabkan kerugian besar kepada syarikat media kerana mereka berpotensi kehilangan pendapatan pengiklanan dan lebih teruk kehilangan pembaca yang mungkin mula sangsi kepada kredibiliti media itu. Adakah ini adil?,” katanya.

Categories
SELANGOR

Azmin tegur media, jangan lapor berita tidak sahih tentang Selangor!

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KAJANG, 13 MAC: Media seharusnya berperanan secara kompetitif dan bersikap adil dalam melaporkan berita terhadap pimpinan parti politik di negara ini.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menegaskan agar media tidak bersikap prejudis dengan laporan berita tidak benar dan berunsur fitnah terhadap pentadbiran Kerajaan Selangor.

“Saya tidak ada TV (media peribadi) seperti mereka, hinggakan Selangor nak minta 5 minit di televisyen rasmi (media arus perdana) pun susah.

“Apa yang ada cuma setiap malam, Selangor diserang dan difitnah dengan laporan berat sebelah dan tidak benar.

“Seharusnya pihak media bertanggungjawab melaporkan fakta dan tidak menyebarkan ‘fake news’ seperti yang berlaku sejak kebelakangan ini,” katanya pada Majlis Projek Menaik Aras Jambatan dan Projek Membaikpulih Penstabilan Tebing Sungai Jelok, Pekan Kajang, pagi ini.

Terdahulu, Kerajaan Negeri Selangor terus mendapat liputan meluas media arus perdana dengan laporan berat sebelah yang disifatkan Mohamed Azmin sebagai ‘berkepentingan’ kepada pentadbiran Putrajaya.

Beliau mengaitkan laporan utama sebuah akhbar rasmi kawalan Umno Barisan Nasional yang memetik kenyataan tidak benar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada siri lawatan turun padangnya di Parlimen Hulu Selangor minggu lalu.

“Perdana Menteri mengeluarkan pelbagai kenyataan, termasuklah isu perumahan yang didakwa terlalu mahal dan tidak munasabah.

“Tetapi Perdana Menteri tidak sedar, 70 peratus harga Rumah Selangorku adalah di bawah RM200,000 berbanding PR1MA dengan harganya yang mencecah sehingga RM400,000.

“Tetapi kenapa media (arus perdana) tidak ketengahkan fakta ini kepada rakyat? Realitinya, Rumah Selangorku adalah paling murah jika dibandingkan Persekutuan dan negeri-negeri lain.

“Kerajaan negeri berjaya yakinkan pemaju untuk bersama-sama mempertahankan kebajikan rakyat meskipun hartanah di Selangor mahal,” katanya.

Pada lawatan Perdana Menteri itu, Najib turut melemparkan retorik janji politik kepada warga Hulu Selangor kononnya mampu mengangkat martabat masyarakat Selangor menerusi pelaksanaan dasar baru di negeri itu.

Bagaimanapun Mohamed Azmin secara berseloroh berkata, rakyat Selangor lebih bijak menilai kejayaan pentadbiran negeri sejak Pakatan berjaya menerajui kepimpinan Selangor pada 2008.

Ia termasuklah keberkesanan dasar Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) yang terus memberi manfaat jangka panjang kepada warga Selangor.

Categories
NASIONAL

KEADILAN yakin isu dimain media Umno-BN gagal pengaruhi rakyat

OLEH HAFIZAN TAIB

JOHOR, 26 NOV: KEADILAN yakin propaganda dimainkan media kawalan Umno-Barisan Nasional (BN) bagi memburukkan kepimpinan Pakatan Harapan (PAKATAN) tidak berhasil.

Ini kerana rakyat hari ini khususnya generasi muda, kata Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, sudah bersedia melakukan perubahan terhadap pentadbiran negara dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

“Rakyat sedia maklum media hari ini dikuasai Umno-BN tetapi generasi muda mempunyai akses kepada media sosial dan dalam talian.

“Maka mereka boleh membuat pertimbangan dan penilaian berhubung maklumat diberikan media milik Umno-BN sama ada betul atau tidak.

“Saya yakin dengan pengundi muda yang bersedia membawa perubahan dalam PRU akan datang,” katanya kepada media selepas majlis Jelajah KEADILAN Peduli Rakyat di Tebrau, di sini, semalam.

Mohamed Azmin berkata, pelbagai isu dimainkan media arus perdana itu dianggap KEADILAN sebagai isu kecil menjelang PRU.

“Apabila PRU semakin dekat dan PAKATAN menjadi kuat maka fitnah juga semakin kencang.

“Pasti mereka cuba memecahbelahkan dan cuba memberikan imej tidak baik kepada PAKATAN,” katanya.

Sejak akhir-akhir ini, media yang condong kepada Umno-BN sering memberikan laporan negatif terhadap PAKATAN dalam usaha mengalihkan tumpuan rakyat.

=EZY=

Categories
PBT SELANGOR

Kerjasama baik MPSp, media berterusan

OLEH HAFIZAN TAIB

CYBERJAYA, 25 NOV: Majlis Perbandaran Sepang (MPSp) berharap kerjasama baik bersama media dapat terus dipereratkan demi kebaikan bersama.

Yang Dipertuanya, Dato’ Puasa Taib, berkata pihak berkuasa tempatan (PBT) merakamkan penghargaan kepada pihak media yang sentiasa membantu.

“Kita tahu peranan media dalam membantu pentadbiran negara, negeri, PBT dan pihak lain sangat penting.

“Saya berterima kasih dan menghargai kerjasama media falam melaporkan berita terutama berkaitan MPSp sama ada memihak atau sebaliknya,” katanya dalam majlis MPSp bersama media – ‘Media Appreciation Night’ di Taman Tasek Cyberjaya di sini, semalam.

Sebagai penjawat awam, Puasa berkata, beliau dan kakitangan MPSp sentiasa berusaha menjalankan tanggungjawab dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat dan negeri.

“Berhubung majlis bersama media ini, ia adalah program tahunan dan kali ketiga diadakan di sepanjang saya mengetuai MPSp.

“Saya berharap ia bakal berterusan pada masa akan datang,” katanya.

Turut hadir dalam majlis itu Timbalan Yang Dipertua MPSp, Muhammad Hafiz Shaari dan Pengerusi Kelab Media Putrajaya, Norliza Abd Rahman.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: ‘Rugi’ langgan akhbar tiada orang nak baca

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 12 NOV : Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata Kerajaan Negeri mahu media menggunakan demokrasi sedia ada untuk menyampaikan maklumat tepat dan adil bukan melakukan fitnah atau tohmahan.

Beliau berkata, tidak ada keperluan untuk Kerajaan Negeri melanggan akhbar yang ‘tidak mendapat sambutan pembaca’.

“Buat apa nak beli akhbar yang tiada orang nak baca.

“Saya kira kita kena terima kenyataan orang Melayu pun sudah tidak membaca Utusan Malaysia.

“Kita tengok sambutan sekarang ini terhadap akhbar Sinar Harian jauh lebih baik sambutan daripada Utusan Malaysia, jadi kenapa kita harus membazir membeli dan melanggan surat khabar yang tidak dibaca”, katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pekeliling pemberhentian langganan akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian pada Majlis Pecah Tanah Masjid Kota Kemuning, Shah Alam.

Sebelum ini, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri mengarahkan semua jabatan dan agensi Kerajaan Negeri menghentikan langganan akhbar di bawah Utusan Malaysia berkuatkuasa serta-merta.

Arahan itu dikeluarkan melalui pekeliling bertarikh 9 November dan ditandatangani oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya.

Pekeliling berkenaan turut mengarahkan semua jabatan, agensi dan anak syarikat Kerajaan Negeri agar memberi tumpuan kepada melanggan akhbar syarikat Kerajaan Negeri seperti SelangorKini, Sinar Harian dan The Star sahaja.

=EZY=

Categories
SELANGOR

‘Selangor Commvergence MBI & Media Selangor’ medan interaksi terbaik media Selangor

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 25 OGOS: Program ‘Selangor Commvergence MBI & Media Selangor’ menyediakan ruang interaksi terbaik kepada kumpulan pegawai komunikasi dalam Kerajaan Negeri.

Selain itu, aktiviti dijalankan Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) dengan kerjasama Bahagian Komunikasi Korporat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) itu juga dapat mengeratkan hubungan antara satu sama lain juga medan berkongsi ilmu dan pandangan demi kebaikan bersama.

Ketua Jabatan Komunikasi Korporat MBI, Haniza Abd Aziz berkata, program itu nyata membawa manfaat berguna kepada semua pihak yang terbabit secara langsung dalam sistem perhubungan awam dan media Selangor.

“Tujuannya adalah menyediakan satu landasan untuk kita berinteraksi supaya lebih mengenali antara satu sama lain dan terpenting dapat menyampaikan informasi utama daripada Kerajaan Negeri serta organisasi berkaitan.

“Ia juga bagi memberi perkembangan terkini kepada rakan komunikasi di organisasi lain di dalam Selangor mengenai inisiatif atau produk juga promosi ingin disampaikan,” katanya kepada SelangorKini ketika ditemui dalam program diadakan di The Saujana Hotel, Subang, di sini, semalam.

MBI (1)Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam, Shahrin Ahmad berkata, pelaksanaan program itu memberi ruang kepada semua pihak menyuarakan pandangan dan cadangan ke arah penambahbaikan dalam urusan kerja masing-masing.

“Di samping itu, fasilitator yang memberi ceramah dilihat sebagai nilai tambah untuk mengenal pasti pendekatan baru yang ada mungkin boleh diguna pakai dalam kerja seharian.

“Saya harap program sebegini dapat diadakan secara lebih kerap dan berkala supaya dapat menambah ilmu pengetahuan,” katanya.

Bagi Pegawai Komunikasi Korporat Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Norhayati Ahmad, penganjuran program terbabit dianggap tepat pada masanya kerana ia membuka ruang kepada pegawai perhubungan awam dan komunikasi mengetahui perkembangan terbaru termasuk berkaitan media sosial.

“Dengan adanya program ini, kita dapat meningkatkan lagi pengetahuan dalam menggunakan media sosial dan medium sesuai dalam mempromosikan Pihak Berkuasa Tempatan masing-masing.

“Diharap, program ini dapat disertai lebih banyak pihak dan agensi berkaitan dalam program akan datang juga daripada segi penyampaian, penggunaan bahasa Malaysia dialu-alukan tetapi bukan masalah dalam penggunaan bahasa lain kerana ia dijalankan secara santai serta tidak formal,” katanya.

Hampir 100 pegawai perhubungan awam dan komunikasi menyertai ‘Selangor Commvergence MBI & Media Selangor’ diadakan itu.