Categories
SUKANKINI

Larian Obor: KJ hargai komitmen Selangor

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 31 JULAI: Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin hargai komitmen dan semangat Kerajaan Negeri menzahirkan sokongan terhadap atlet negara yang bakal berjuang menerusi dua kejohanan besar, pada 19 Ogos ini.

Menerusi laman mikro Twitter, Khairy menerusi @khairykj retweet status Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari berhubung program Larian Obor Kejohonan Sukan Sea ke 29 dan Para ASEAN ke 9 Peringkat Kerajaan Negeri Selangor, yang dianjurkan pagi tadi.

“Terima kasih YB (Yang Berhormat),” tweet Khairy.KJ

Menerusi Twitter, Amirudin berkata Kerajaan Negeri sentiasa memberikan sokongan sepenuhnya kepada atlet negara tanpa sebarang kompromi.

“Sentiasa komited, melangkaui sempadan politik. Doa kami buat semua atlet yang berjuang untuk tanahair #KL2017 #BangkitBersama #WeDeliver,” tweet Amirudin.

Terdahulu, Amirudin menyerahkan obor kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya sebelum diserahkan kepada Pegawai Daerah Kuala Langat, Rosli Othman.

Larian yang bermula di Dataran Bangunan SUK itu disertai kira-kira 100 peserta terdiri daripada atlet Majlis Sukan Negeri Selangor dan pemain bola sepak PKNS FC selain kakitangan 12 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Selepas Kuala Langat, Larian Obor KL2017 akan singgah ke Kuala Selangor, Petaling, Sabak Bernam dan Sepang.

Sukan Sea ke 29 dan Para ASEAN ke 9 bakal membuka tirai pada 19 Ogos dan dijadual berakhir pada 30 Ogos ini.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Poskod ditukar, penduduk PJS 9 keliru – FOKUS

Sinopsis

FOKUS Untuk 18102013

Saksikan secara langsung “FOKUS” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT. Pelbagai berita dan maklumat terkini negeri dan nasional yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Penduduk Petaling Jaya Selatan (PJS) 9 keliru dengan perubahan poskod yang dikeluarkan Pos Malaysia bagi kawasan Subang Jaya dan Petaling Jaya.

2. Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) akan mempergiatkan pemantauan kawasan perlombongan pasir untuk memastikan kualiti air sungai terus terpelihara.

3. Jingga 13 membuat laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menuntut siasatan terhadap bekas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek membabitkan kementerian itu ekoran yang dibentangkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012.

Categories
NASIONAL

Konsert K-Pop: SPRM diminta siasat Shabery Cheek

jingga13

PUTRAJAYA 18 OKT : Jingga 13 membuat laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menuntut siasatan terhadap bekas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek membabitkan kementerian itu ekoran yang dibentangkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012.

Ketua Koordinator Jingga 13, Fariz Musa, berkata laporan berkenaan membabitkan isu pembiayaan RM1.6 juta untuk Konsert K-Pop Himpunan Jutaan Belia berjumlah RM87.61 juta dan akaun Majlis Sukan Negara berjumlah RM20 juta bagi wang tajaan syarikat swasta.

Fariz berkata, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, sebelum ini mengesahkan bahawa KBS terpaksa membayar kos pembiayaan artis K-Pop berjumlah RM1.6 juta kerana banyak penaja gagal menyalurkan bantuan.

Shabeery sebagai menteri bertanggungjawab ketika itu pula mendakwa konsert terbabit dibiayai penaja melalui akaun Majlis Sukan Negara (MSN) dan beliau turut bertindak memperlecehkan Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang, sebagai ‘culas’ dalam menyediakan laporan berkenaan.

“Apa yang menimbulkan persoalan ialah percanggahan fakta antara Khairy dan Shabery berkenaan isu terbabit. Sehingga kini, kami masih menantikan jawapan siapa yang benar dan bohong?,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Kata Fariz, beliau turut mempertikaikan perbelanjaan melampau membabitkan RM67.61 juta bagi acara Hari Belia Negara 2012 yang memerlukan satu siasatan oleh SPRM.

“SPRM dan Jabatan Audit Negara harus berganding bahu menggunakan peruntukan undang-undang bagi mendakwa mereka yang terbabit ke muka pengadilan. Jingga 13 turut mendesak Perdana Menteri menggantung tugas Shabery dengan segera,” katanya.

Categories
KENYATAAN MEDIA NASIONAL

Respon terhadap Laporan Ketua Audit Negara mengenai Kementerian Belia dan Sukan

audit 2012

Pendedahan yang dibuat menerusi Laporan Ketua Audit Negara 2012 bukanlah perkara yang mengejutkan buat rakyat Malaysia, yang sudah tidak yakin lagi dengan kesungguhan Kerajaan UMNO-BN untuk membanteras rasuah dan mengukuhkan lagi kebertanggungjawaban pentadbiran.

Ini telah menjadi satu fenomena tahunan, yang mengundang banyak retorik dan janji-janji kosong daripada Kerajaan namun akhirnya tiada tindakan diambil dan kesilapan sama berulang.

Pendirian kami ialah meskipun diadakan begitu banyak mekanisme semak dan imbang, ataupun audit tiga kali setahun tidak akan menyelesaikan masalah ini, apa yang diperlukan ialah keazaman politik Kerajaan untuk menguatkuasakan mekanisme semak dan imbang tersebut. Malangnya, Kerajaan telah berkali-kali gagal dalam ujian kebertanggungjawaban ini.

Saya ingin mengetahui siapakah yang betul di dalam kontroversi konsert K-Pop ? Ketua Audit Negara dan Menteri Belia dan Sukan hari ini Khairy Jamaluddin yang mendakwa Kementerian terpaksa akhirnya membiayai konsert tersebut; atau Ahmad Shabery Cheek, Menteri sebelum Khairy yang mendakwa konsert tersebut dibiayai penaja menerusi akaun Majlis Sukan Negara? Shabery malah mendakwa Ketua Audit culas dalam menyediakan laporan tersebut.

Adakah Khairy bersedia menjamin rakyat Malaysia bahawa Kementeriannya tidak lagi akan terperangkap di dalam perbelanjaan yang dipertikaikan seperti ini apabila Laporan Audit 2013 akan dibentangkan pada 2014 nanti, terutamanya bagi tempoh selepas Mei 2013 apabila beliau dilantik menjadi Menteri.

Kewajaran membelanjakan RM 67.61 juta wang rakyat bagi satu acara seperti Hari Belia Negara 2012 menimbulkan persoalan, apabila kesan positif jangka panjangnya terhadap anak muda boleh dipertikaikan.

Nik Nazmi Nik Ahmad
Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor
Adun Seri Setia

Categories
KENYATAAN MEDIA NASIONAL SELANGOR

SAMM: KPN hilang kewarasan untuk batal 1.7j lesen pemandu

edy noor redzuan SAMM 01

SAMM mengecam pengumuman cadangan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Khalid Abu Bakar untuk membatalkan seramai 1.7 juta pemandu yang di senarai hitam oleh polis trafik jika enggan membayar tunggakan saman lalu lintas.

Ikuti kenyataan media SAMM hari ini

Fiasco Pembatalan Lesen 1.7Juta Pemandu: Siapa Hero Seterusnya?

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) memberi amaran kepada pihak berkuasa supaya tidak sesekali menduga kemarahan rakyat apabila seringkali menghadirkan cadangan yang tidak berperi-kemanusiaan.

Pengumuman Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar sebentar tadi bahawa seramai 1.7 juta pemandu yang disenarai hitam oleh polis trafik supaya dibatalkan lesen memandu jika enggan bayar baki tertunggak saman lalu lintas, adalah keterlaluan dan umpama hilang kewarasan.

Cadangan ‘jahat’ ini dilihat lebih menjengkelkan dengan alasan kononnya tidak berpuas hati dengan keputusan statistik kemalangan Ops Selamat ketika Aidilfitri lalu. Apakah kaitan antara tidak bayar saman dengan peningkatan jumlah kemalangan?

Jika KPN tidak berpuas hati dengan statistik kemalangan, sila buat kajian lebih terperinci punca kemalangan berlaku, sudah pasti bukan kerana pemandu tidak membayar saman. Namun pemikiran yang mungkin dipengaruhi oleh kedudukan kantung kewangan kerajaan maka lahirlah idea yang menafikan hak untuk rakyat memandu.

Apalah nasib rakyat Malaysia, dari menteri sampai ke polis, semuanya seolah berniat untuk menganiaya rakyat. Rakyat yang tersepit dengan kesempitan hidup tidak mampu untuk membayar saman, akhirnya dihukum lagi dengan pembatalan lesen memandu sekaligus bagaikan menghalang seorang ayah menghantar anak ke sekolah.

Jika semalam dapat disaksikan cadangan peminjam PTPTN disenarai dalam CCRIS dan Menteri Belia dan Sukan mendapat nama hasil dari kemelut ciptaan sendiri, kali ini menteri mana pula yang bakal menjuarai isu kononnya membela nasib pemandu yang punya saman ini?

Cukuplah bersandiwara, rakyat bukan bahan eksperimen untuk dicucuk-cucuk dengan cadangan yang menguji kesabaran. SAMM mendesak supaya berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang cadangan, kaji sebelum diumumkan.

SAMM berjanji jika cadangan ini dilaksanakan, SAMM akan menggerak mobilisasi besar mengajak semua pemandu yang mempunyai saman supaya mempertahankan hak untuk ‘hidup’ di tanahair ini. -MZA
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia

Categories
SELANGOR

KBS Jangan Pinggir Sukan Negeri Pakatan Rakyat

amirudin shari

SHAH ALAM 5 JUN : Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin digesa tidak meminggirkan negeri di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat (PR) dalam membangunkan belia dan sukan di negara ini.

Timbalan Pengerusi Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS), Amirudin Shari berkata, ia berikutan kerjasama dan penyelarasan program pembangunan belia dan sukan diperingkat nasional dan negeri dalam penggal sebelum ini mencapai jalan buntu dan terganggu.

“Ia akibat perbezaan faham dan pendirian politik, sudah tiba masanya untuk kita melangsungkan kerjasama membina di antara entiti Kementerian Belia & Sukan dan Majlis Sukan Negeri Selangor.

“Ia bagi memastikan rangka pelan yang lebih mapan dan bersifat inklusif terhadap semua kelompok belia negara,” kata Amiruddin dalam kenyataan medianya.

Katanya sebelum ini, Khairy pada Isnin lalu membuat pengumuman berkenaan Pelan Hala Tuju Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang akan diumumkan beliau bulan depan.

“Mewakili Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) dan penggerak belia di Negeri Selangor, kita menyambut baik langkah proaktif beliau untuk membangun pelan hala tuju yang lebih dinamik dan holistik.

“Langkah ini diyakini selaras dengan konteks pembangunan belia dan sukan masa kini yang semakin kompleks termasuk dengan beberapa perkembangan baru sub-kebudayaan serta teknologi.

“Ini termasuklah meneliti semula Dasar Pembangunan Belia Negara yang sudah lapuk dan hanya disemak kali terakhir pada tahun 1997,” ujar beliau.