Categories
KENYATAAN MEDIA

Dasar Automotif Nasional tidak turun harga kereta

Oleh: Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad

Keengganan Barisan Nasional melaksanakan beberapa reformasi dasar yang penting berhubung industri automotif negara akan terus mengekalkan harga kereta di Malaysia pada kadar antara yang termahal di dunia.

Pengumuman Dasar Automotif Nasional 2014 (NAP2014) semalam tidak sedikit pun menyentuh beberapa perkara pokok yang selama ini menyebabkan harga kereta di Malaysia begitu tinggi, iaitu:

1. Pengenaan cukai eksais yang begitu tinggi terhadap setiap pembelian kereta di antara 85% hingga 110%

2. Pelaksanaan dasar permit mengimport (AP) yang tidak telus yang telah mengkayakan kroni tertentu

3. Pemberian rebat cukai eksais yang tidak telus sehingga menyembunyikan struktur kos yang ditanggung oleh industri automotif, ini memberi ruang kepada manipulasi margin keuntungan dalam rantaian pembuatan dan penjualan kereta

Turun Harga kereta 2Barisan Nasional terus enggan memotong cukai eksais yang begitu tinggi dengan alasan kedudukan kewangan negara tidak mengizinkan.

Kenyataan Dato’ Seri Mustapha Mohamad, Menteri Industri dan Perdagangan Antarabangsa (MITI) mengiyakan bulat-bulat kritikan terhadap Barisan Nasional selama ini bahawa pengurusan kewangannya yang lemah telah menyebabkan rakyat terpaksa menanggung pelbagai cukai langsung dan tidak langsung yang tinggi, termasuk cukai eksais kereta.

Pengumuman pemberian rebat dan potongan cukai eksais bagi model dipasang di Malaysia (CKD) terpilih tidak akan menurunkan harga kereta secara keseluruhannya kerana ia hanya melibatkan segmen kereta yang kecil.

Tanpa potongan cukai eksais yang melibatkan keseluruhan industry automotif, langkah-langkah terpencil yang hanya melibatkan beberapa jenis kenderaan sahaja adalah tidak lebih dari gimik (gimmick) untuk meredakan kemarahan rakyat.

Malah, penerusan sistem pemberian rebat sedia ada yang tidak telus dan bergantung kepada budi bicara Menteri akan terus menyembunyikan struktur kos industri automotif dari difahami rakyat.

Apabila tidak ada satu kadar tetap cukai eksais yang dibayar oleh pengguna kerana ia bergantung kepada jumlah rebat cukai eksais yang diberikan atas budi bicara Menteri, boleh berlaku manipulasi harga jualan kereta yang memberi margin keuntungan yang tinggi kepada pengedar/pembuat kereta.

Oleh sebab itulah, KEADILAN berkali-kali mendesak supaya sistem cukai eksais sedia ada dihapuskan sama sekali untuk mengurangkan harga kereta serta-merta apabila pengguna tidak lagi menanggung cukai dan boleh membandingkan harga kereta secara telus dan kompetitif.

Kami juga terus membidas pendekatan Barisan Nasional yang tetap mewar-warkan kononnya harga kereta telah turun apabila beberapa model baru kereta yang diperkenalkan di pasaran pada harga yang kononnya lebih rendah.

Tindakan ini cuba menipu rakyat kerana perbezaan harga dari model lama atau sedia ada yang diperkenalkan bukanlah satu bentuk penurunan harga kereta yang kekal merentasi industri (non-permanent across the board price reduction).

Malah, ada beberapa model yang diperkenalkan dengan diskaun merupakan model lama yang kos pembangunannya sudah pun diperolehi oleh syarikat kereta, lalu membolehkan model itu dijual pada harga yang lebih rendah.

Rakyat menuntut janji Barisan Nasional untuk menurunkan harga kereta secara keseluruhan melibatkan semua model kereta merentasi industri seperti yang diutarakan oleh Pakatan Rakyat.

Untuk menunaikan janji ini, hanya ada satu cara iaitu pemotongan atau penghapusan cukai eksais ke atas kereta secara keseluruhan dan bukannya dihadkan kepada model tertentu seperti yang diumumkan semalam.

Kami juga kecewa dengan dolak-dalih baru yang diberikan oleh Barisan Nasional untuk terus mengekalkan sistem AP dengan alasan lebih banyak kajian yang diperlukan.

Ini tidak lebih dari alasan untuk terus membenarkan golongan tertentu yang rapat dengan Barisan Nasional mendapat keuntungan atas angin sedangkan rakyat terus terbeban dengan harga kereta yang tinggi.

Sepatutnya, Dato’ Seri Mustapha Mohamad sebagai menteri yang bertanggungjawab membuat kajian yang secukupnya terlebih dahulu sebelum memasukkan janji untuk menurunkan harga kereta di dalam akujanji Barisan Nasional dalam PRU13.

Pendekatan berjanji terlebih dahulu dan kemudiannya membeli masa dengan mengumumkan kajian demi kajian adalah satu helah Barisan Nasional yang semakin kerap diamalkan akhir-akhir ini untuk kegagalan mereka mengotakan janji-janji PRU13.
* Rafizi Ramli adalah Pengarah Strategi Ahli Parlimen Pandan
* Nik Nazmi Nik Ahmad adalah Timbalan Speaker Selangor

Categories
KENYATAAN MEDIA

Penahanan pasangan Malaysia di Sweden amat dikesali

Oleh : Nik Nazmi Nik Ahmad

Penahanan Azizul Raheem Awaluddin, Pengarah Tourism Malaysia di Sweden dan isterinya, Shalwati Nurshal kerana dilaporkan memukul anak mereka yang berusia 12 tahun kerana tidak mendirikan solat adalah dikesali.

Tambah pula dilaporkan bahawa pasangan ini telah pun ditahan lebih sebulan sementara keempat anak mereka dipindahkan ke rumah jagaan keluarga bukan Islam.

nik nazmiAnak mereka telah meluahkan hasrat untuk dijaga oleh keluarga Islam di dalam pertemuan mereka dengan Kedutaan Malaysia dan Perkhidmatan Sosial Sweden. Keluarga jagaan mereka turut menyokong hasrat ini. Saya menghargai usaha semua pihak di dalam mendapatkan kebenaran untuk saudara-mara pasangan itu bertemu anak-anak mereka.

Kes ini nampaknya timbul akibat ketidakfahaman antara budaya. Sememangnya kita perlu menghormati undang-undang sesebuah negara namun pada masa yang sama negara tuan rumah sewajarnya sensitif terhadap pelaksanaan undang-undang dan tidak mengambil tindakan yang keterlaluan.

Saya berharap isu ini diselesaikan segera untuk kepentingan semua pihak yang terbabit.

# Nik Nazmi adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia merangkap Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor

Categories
SELANGOR

Nik Nazmi: Reformasi FAM lebih penting daripada jurulatih berprestij

Oleh: Mohd Ezli Mashut

SHAH ALAM 12 JAN: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memerlukan reformasi menyeluruh bermula penukaran Presiden FAM dan struktur organisasi, liga domestik hingga program pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi bagi mengangkat martabat bola sepak Malaysia.

Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata, perubahan itu mesti diinstitusikan dan tidak mengharapkan kekuatan personaliti atau individu semata-mata.

bola-sepak1Nik Nazmi menyambut baik kenyataan daripada Kementeria Belia dan Sukan dan Majlis Sukan Negara yang tidak bersetuju dengan cadangan perlantikan jurulatih yang mahal buat negara.

Katanya beliau merujuk kepada beberapa laporan bahawa FAM sedang mempertimbangkan khidmat bekas jurulatih kebangsaan Jepun, Afrika Selatan dan Nigeria, Philippe Troussier untuk menggantikan K. Rajagopal sebagai jurulatih Harimau Malaya.

Selain itu juga ada laporan yang menyebut Zdenek Zeman (bekas jurulatih Roma, Itali), Bob Houghton dari England, Rudi Voeller dari Jerman dan bekas jurulatih Singapura Radojko Avramovic sebagai calon kerusi panas tersebut.

Sumber-sumber menyebut Troussier meminta lebih RM400,000 sebulan atau RM4 juta setahun untuk memberikan khidmatnya.

nik nazmi“Kita menunggu butir Pelan Pembangunan Bola Sepak Negara yang dibentangkan kepada Kabinet tidak lama lagi.

“Kita berharap penekanan kepada perubahan radikal dan menekankan matlamat jangka masa panjang, kalaupun tidak 100 tahun dapat dapat dipertimbang Kerajaan Persekutuan,” kata Nik Nazmi dalam kenyataan medianya.

Nik Nazmi berkata, Malaysia perlu belajar daripada Jepun, sebuah negara ketinggalan di dalam bola sepak rantau ini, termasuk dengan negara kita pada era sebelum 1990-an, merancang strategi mengangkat mutu bola sepak negara mereka menggariskan Pelan 100 Tahun.

“Kini, lebih kurang dua dekad kemudian pelan mereka (Jepun) sudah membuahkan hasil apabila Jepun layak ke Piala Dunia berturut-turut sejak 1998 dan kini berada di tangga no 2 ranking FIFA di Asia.

“”Hanya apabila isu itu diselesaikan dan ini memerlukan masa yang lama, kita dapat mempertimbangkan jurulatih kebangsaan berprestij untuk membimbing Harimau Malaya,” katanya.

Skuad bola sepak negara menutup kalendar 2013 berada di tangga ke-154.

Kedudukan terbaru Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) menunjukkan skuad negara naik empat anak tangga berbanding kedudukan ke-158 bulan lalu.

Pada Januari 2013, skuad Harimau Malaya menduduki tangga ke-158 disusuli 159 pada Februari, 164 (Mac), 163 (April), 161 (Mei) selain kekal pada kedudukan ke-159 dunia pada Jun dan Julai, Ogos (162), September (161) dan Oktober (160).

EZY

Categories
KENYATAAN MEDIA

Bola sepak Malaysia perlu lebih daripada jurulatih berprestij – Nik Nazmi

Saya merujuk kepada beberapa laporan bahawa FAM sedang  pertimbangkan khidmat bekas jurulatih kebangsaan Jepun,  Afrika Selatan dan Nigeria,  Philippe Troussier untuk menggantikan K. Rajagopal sebagai jurulatih Harimau Malaya.

Selain itu juga ada laporan yang menyebut Zdenek Zeman (bekas jurulatih Roma, Itali), Bob Houghton dari England, Rudi Voeller dari Jerman dan bekas jurulatih Singapura Radojko Avramovic sebagai calon kerusi panas tersebut.

Philippe_Troussier_791646Sumber-sumber menyebut Troussier meminta lebih RM400,000 sebulan atau RM4 juta setahun untuk memberikan khidmatnya.

Sebagaimana yang saya nyatakan sebelum ini, bagi mengangkat martabat bola sepak Malaysia, kita memerlukan reformasi menyeluruh bermula dengan penukaran Presiden FAM dan struktur organisasi tersebut, liga domestik sehinggalah program pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi.

Hanya apabila isu-isu tersebut diselesaikan – dan ini memerlukan masa yang lama – kita dapat mempertimbangkan jurulatih kebangsaan berprestij untuk membimbing Harimau Malaya.

JapanSebab itu apabila negara Jepun, sebuah negara yang ketinggalan di dalam bola sepak rantau ini, termasuk dengan negara kita pada era sebelum 1990an, merancang strategi untuk mengangkat mutu bola sepak negara mereka menggariskan Pelan 100 Tahun!

Kini, lebih kurang dua dekad kemudian pelan mereka sudah membuahkan hasil apabila Jepun layak ke Piala Dunia berturut-turut sejak 1998 dan kini berada di tangga no 2 ranking FIFA di Asia.

Justeru, saya menyambut baik kenyataan-kenyataan dari Kementeria Belia dan Sukan dan Majlis Sukan Negara yang tidak bersetuju dengan cadangan perlantikan jurulatih yang mahal buat negara.

Kita menunggu butir-butir Pelan Pembangunan Bola Sepak Negara yang akan dibentangkan kepada Kabinet tidak lama lagi.

nik nazmiKita berharap penekanan kepada perubahan radikal dan menekankan matlamat jangka masa panjang, kalaupun tidak 100 tahun dapat dapat dipertimbang Kerajaan Persekutuan.

Yang penting, perubahan mestilah diinstitusikan dan tidak berharapkan kekuatan personaliti atau individu semata-mata.

Nik Nazmi Nik Ahmad
Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor
ADUN Seri Setia

 

Categories
KENYATAAN MEDIA

Khairy harus letak jawatan jika gagal bendung kenaikan kos kehidupan

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu, antara manifesto BN di bawah tajuk Pembangunan Infrastruktur Bertaraf Dunia dan Transformasi Luar Bandar ialah “kadar bayaran tol akan diturunkan secara berperingkat.”

Janji itu dilihat untuk menghadapi alternatif yang ditawarkan Pakatan iaitu untuk menghapuskan tol bermula dengan lebuh raya yang sudah mendapat pulangan modal.

Janji BNTernyata BN tidak berani memberi komitmen tersebut kerana mereka lebih berminat menjaga kepentingan kroni di dalam syarikat-syarikat konsesi berbanding kebajikan rakyat.

Namun penurunan itu pun gagal direalisasikan. Menteri di Jabatan Perdana Menteri Abdul Wahid Omar mengesahkan bahawa kenaikan harga tol kini tidak dapat dielakkan pada 2014 atas alasan perjanjian konsesi.

Namun, sebagaimana dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Pandan dan Pengarah Strategi KEADILAN, kerajaan sama menerusi pelbagai syarikat berkaitan kerajaan dan agensi pelaburan amanah yang dikuasi kerajaan mempunyai kepentingan besar di dalam ketiga-tiga syarikat utama konsesi tol di Malaysia. Kesemua syarikat-syarikat ini mengaut keuntungan besar akibat perjanjian konsesi berat sebelah selama ini.

Sahlah bahawa rakyat akan dibebani dengan satu lagi kenaikan kos kehidupan, menjadikan 2014 sebagai Tahun Naik Harga Barang.

Lebih mendukacitakan lagi, Wahid menyatakan kepada rakyat yang tidak berpuas hati dengan kenaikan ini untuk menggunakan jalan alternatif.

Kenyataan beliau telah mengundang kritikan banyak pihak termasuk daripada Pemuda UMNO sendiri. Ketua Pemuda UMNO sendiri, Khairy Jamaluddin, duduk di dalam Kabinet dan membangkitkan bahawa beliau akan membawa isu ini ke mesyuarat Kabinet minggu ini.

nik nazmi gula tepung naikTetapi kita tidak mahu Khairy dan Pemuda UMNO bermain wayang semata-mata berkokok di luar seperti isu penyenaraian hitam ke dalam CCRIS peminjam-peminjam PTPTN dan menyerang TNB dalam isu kenaikan tarif elektrik sebelum ini, tetapi gagal menghentikan satu demi satu kenaikan kos kehidupan ini.

Sekiranya Kabinet yang dianggotai Khairy gagal membendung kenaikan kos kehidupan termasuk isu kenaikan tol ini, saya mencabar Khairy untuk meletak jawatan sebagai Menteri Belia dan Sukan. Lebih baik sahaja beliau memainkan peranan sebagai Ahli Parlimen biasa yang bebas menyuarakan kritikan di luar.

NIK NAZMI NIK AHMAD
TIMBALAN SPEAKER DEWAN NEGERI SELANGOR
AHLI DEWAN UNDANGAN NEGERI SERI SETIA

Categories
SELANGOR

MBPJ arah tutup segara tapak buang sampah haram

OLEH : Asri Sapfie,

PETALING JAYA, 13 NOV : Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mengarahkan sebuah tapak pembuangan sampah sisa domestik ditutup serta-merta di kawasan PJS 5 yang melakukan pembuangan sampah haram sejak lebih tiga bulan lalu.

DSC_0268aAdun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata beliau mengharapkan orang awam memaklumkan kepada pihak berkuasa sekiranya masih terdapat aktiviti pembuangan sampah di kawasan itu.

Katanya, beliau mengemukakan isu ini kepada Jawatankuasa Tindakan Daerah dan pihak yang terbabit untuk diambil tindakan segera.

“Namun melalui maklumat baru yang kami terima, aktiviti pembuangan sampah haram dilaporkan semakin giat dijalankan semula di kawasan ini,” kata Nik Nazmi ketika turun padang bagi melihat sendiri keadaan kawasan tersebut.

Nik Nazmi berkata, penduduk setempat mengadu kegiatan pembuangan sampah haram lebih banyak dilakukan pada hari biasa dan ini menyebabkan jalan utama sesak disebabkan lori-lori yang banyak keluar masuk.

DSC_0253aKatanya, tindakan tidak bertanggungjawab itu juga mengundang bahaya bagi pengguna jalan raya yang lain.

“Penduduk setempat bimbang berikutan kes denggi yang dilaporkan semakin meningkat di kawasan itu di samping berlakunya pencemaran semakin serius,” kata Nik Nazmi.

Penolong Pengarah Penguatkuasa MBPJ, Khai Johari Jamaludin, berkata pihak MBPJ akan memantau sebarang aktiviti yang berlaku di kawasan itu dari semasa ke semasa.

“Sekiranya mereka bertegas untuk meneruskan aktiviti mereka, pihak kami tidak akan teragak-agak untuk mengenakan tindakan lebih serius kepada mereka yang terlibat seperti kompaun dan sita.

“Pemilik kawasan ini perlu hadir ke MBPJ bagi proses permohonan permit dan mereka perlu mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh pihak MBPJ supaya tidak terjadi isu-isu pencemaran dan sebagainya,” kata Khai Johari.

EZY

Categories
SELANGOR

Kes ‘Blackout 505’ Nik Nazmi ditetap 10 Dis

Oleh : Selangor Kini

niknazmiPETALING JAYA 12 NOV : Mahkamah Sesyen Petaling Jaya menetapkan sebutan semula kes ‘Blackout 505’ yang dihadapi Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad pada 10 Disember depan.

Perkara itu ditetapkan oleh Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz di sini,hari ini.

Peguam Eric Paulsen yang mewakili Nik Nazmi berkata, pihaknya memfailkan satu notis rayuan di Mahkamah Rayuan, Putrajaya pada 8 November lalu dan kini sedang menunggu keputusan berhubung perkara itu.

“Pihak kami juga akan memfailkan satu permohonan untuk penggantungan perlaksanaan agar prosiding di Mahkamah Sesyen ditangguhkan bagi proses di Mahkamah Rayuan,” katanya dipetik dari ABN News.

Pada 17 Mei lepas, Nik Nazmi, 31, didakwa gagal memaklumkan kepada Ketua Polis Daerah Petaling Jaya dalam tempoh 10 hari sebelum penganjuran program ‘Blackout 505? di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Nik Azmi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia, didakwa melakukan perbuatan itu di Stadium MBPJ, Kelana Jaya di sini, kira-kira jam 8.30 malam, 8 Mei lepas.

Bagaimanapun Nik Nazmi mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibuat terhadapnya mengikut Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012, yang boleh dihukum mengikut Seksyen 9(5) akta sama, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM10,000 jika sabit kesalahan.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Harga Gula & Tepung, Menteri Diminta Jujur

nik nazmi gula tepung naik

Kenyataan bercanggah daripada Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Hasan Malek, berhubung kenaikan harga barangan asas seperti gula dan tepung dibidas keras Parti Keadilan Rakyat.

Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad meminta menteri Umno-BN itu supaya tidak berdolak-dalik dan jujur memberitahu rakyat perkara sebenar.

Beliau berkata demikian mengulas laporan Utusan Malaysia 20 September lepas yang melaporkan Hasan meminta rakyat Malaysia tidak mempercayai berita bahawa Kerajaan UMNO-BN akan memperluaskan pengurangan subsidi kepada tepung dan gula.

Tidak lama kemudian, pada 6 Oktober semalam, Hasan dilaporkan oleh New Straits Times bahawa kenaikan harga gula dan tepung berkemungkinan naik ekoran daripada usaha pemotongan subsidi Kerajaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Justeru saya ingin bertanya kepada Hasan, adakah subsidi tepung dan gula akan dikurangkan atau tidak?” soal beliau.

Nik Nazmi, yang juga merupakan Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor juga meminta Kerajaan Pusat supaya menjelaskan mengapa subsidi untuk korporat tidak dikurangkan untuk menangani isu ekonomi yang diwar-warkan.

“Pakatan tidak menolak pengurangan subsidi secara total. Namun yang dipertikaikan sehingga hari ini ialah mengapa subsidi untuk rakyat sering dikurangkan terlebih dahulu berbanding subsidi korporat?” kata beliau.

Pemimpin muda PKR itu juga berkata rasionali subsidi sepatutnya dilaksanakan serentak dengan usaha mengekang aliran keluar wang haram dan rasuah yang semakin parah dan mengakibatkan negara mengalami masalah ekonomi.

“Kerajaan sering memberi alasan defisit fiskal untuk mengurangkan subsidi kepada rakyat. Namun yang nyatanya Kerajaan berhadapan defisit keyakinan,” tegas beliau.

Categories
NASIONAL

Pusat Khidmat DUN dan Parlimen Di Bawah Satu Bumbung Eratkan Kerjasama wakil rakyat

wong chen nurul izzah hannah 01

 

SUBANG JAYA 29 JUN : Dengan menempatkan pusat khidmat DUN dan Parlimen di bawah satu bumbung, Wong Chen ia akan memberi kemudahan kepada rakyat untuk berhubung secara terus dengan wakil-wakil rakyat mereka.

Ahli Parlimen Kelana Jaya itu juga optimis pendekatan sedemikian dapat memudahkan segala urusan di samping memberi lebih banyak manfaat kepada rakyat dalam menyelesaikan isu-isu setempat.

“Sekarang kami (bersama Hannah Yeoh-Adun Subang Jaya) akan bekerja dengan lebih erat lagi dan kami pastinya akan menganjurkan program DUN dan Parlimen secara bersama di kawasan ini, begitu juga dengan kawasan Adun Seri Setia, Nik Nazmi.

“Kerjasama-kerjasama yang dijalinkan sejak kempen PRU13 (Pilihan Raya Umum ke 13) lalu dilihat sangat baik dan berjalan lancar dan diharap dapat membawa kebaikan lebih besar kepada rakyat,” jelas Wong Chen yang juga Pengerusi Biro Perdagangan dan Pelaburan PKR.

Wong Chen ditemui pagi tadi sewaktu Majlis Perasmian Pusat Khidmatnya yang disempurnakan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar selain dan Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh.

Selain membuka pejabatnya di atas pejabat Hannah yang terletak di Jalan SS14/1 di sini, beliau juga mempunyai sebuah lagi pejabat iaitu di Pusat Khidmat DUN Seri Setia yang akan mula beroperasi secara rasmi pada Isnin ini.

Kedua-duanya akan beroperasi pada setiap hari bekerja bermula jam 10 pagi hingga jam 5 petang selain turut dibuka kepada umum pada malam Selasa, jam 8 hingga 10 malam (Subang Jaya) dan malam Rabu, jam 9 hingga 11 malam (Seri Setia).

Sementara itu, mengulas persidangan Dewan Rakyat yang sedang berlangsung ketika ini, Wong chen menjelaskan beliau akan membawa isu Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) yang didakwa berat sebelah dan dikhuatiri akan menggugat kepentingan awam.

“Selain daripada isu TPPA yang ditugaskan parti PKR, saya juga jika berpeluang ingin membawa isu kadar jenayah serta masalah kesesakan lalu lintas yang semakin meruncing,” tambah Wong Chen.

Beliau bakal membentangkan perbahasannya selama 15 minit di Dewan Rakyat pada hari Selasa atau Rabu minggu hadapan.

Categories
NASIONAL

Nik Nazmi: Sekat Media Sosial Langkah Undur Ke Belakang

nik nazmi pc

SHAH ALAM 11 JUN: Sekatan media sosial yang dicadangkan sesetengah pihak untuk mencegah penyebaran fitnah, menghina agama dan kaum serta mencaci-maki pemimpin negara merupakan langkah ke belakang jika ia dilaksanakan kelak.

Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, media sosial merupakan realiti masa kini dan Kerajaan Pusat seharusnya memikirkan langkah lebih proaktif berbanding mengambil pendekatan menyekat media sosial seperti Facebook dan Twitter daripada terus digunakan.

Katanya, tindakan sedemikian hanyalah mengundang perasaan tidak puas hati di kalangan rakyat kerana media sosial digunakan hampir setiap rakyat pelbagai peringkat umur di negara ini.

“Bagi saya ini merupakan langkah ke belakang, kerana pada saya, media sosial adalah satu realiti yang berlaku pada hari ini.

“Saya tidak menyatakan bahawa pengguna bebas berbuat apa sahaja, tetapi jika ada apa tindakan yang tidak sesuai, maka ambil tindakan di atas perlakuan tersebut, bukannya menyekat media sosial secara menyeluruh,” katanya kepada TVSelangor.

Sebelum ini, sebuah Pertubuhan Bukan Kerajaan(NGO) meminta kerajaan menyekat laman sosial Facebook seperti yang dilakukan di Iran dan China bagi membendung sebarang perbuatan atau tindakan yang boleh menggugat keamanan negara.

Tindakan ini disebabkan ada segelintir pengguna yang tidak bertanggungjawab menyalahgunakan media sosial ini dengan komen-komen yang tidak bertanggungjawab.

 

 

 

Categories
NASIONAL SELANGOR

Projek Mentari : Bantu Selangor Lahir Generasi Muda Aktif Sukan

Projek Mentari2

SUBANG JAYA, 6 JAN : Dalam usaha melahirkan generasi muda yang aktif dan positif, Pangsapuri Desa Mentari mengambil inisiatif menyediakan pelbagai program menarik berunsurkan pendidikan dan hiburan.

Program yang dikenali sebagai Projek Mentari itu bermula seawal tahun 2007 dengan mensasarkan pelajar peringkat rendah dan menengah, berusia antara 7 hingga 17 tahun dan menetap di pangsapuri itu.

Projek Mentari 3

Pengurusnya, Nur Yasmin Osman berkata, Projek Mentari merupakan projek sukarelawan yang menawarkan kelas tuisyen secara percuma kepada semua peringkat pelajar bagi membina keyakinan diri.

Menurutnya, bagi memastikan pelajar tidak hanya terikat dengan pembelajaran semata-mata, pihak pengurusan Projek Mentari mengambil langkah dengan menganjurkan aktiviti “Play Your Game”, khusus untuk mengasah bakat pelajar dalam acara sukan.

“Kita sedar bahawa golongan muda ini terutamanya lelaki mudah bosan dengan akademik. Ada di kalangan mereka yang pernah berdepan masalah sosial sebaik sahaja keluar daripada projek ini dan seolah-olah hilang hala tuju.

“Justeru, kita mengambil keputusan untuk mengajurkan aktiviti ini sebulan lalu supaya kita dapat membina persahabatan di kalangan mereka di samping memberi tunjuk ajar agar mereka kembali ke landasan yang betul dan melakukan perkara yang bermanfaat,” katanya semasa sesi latihan bola “Play Your Game” di Padang Awam USJ 2, di sini.

Beliau berkata, penganjuran program itu berjaya membentuk sahsiah yang baik di kalangan pelajar, selain menerima sambutan menggalakkan sejak ia mula dianjurkan.

Jelasnya, melalui aktiviti “Play Your Game”, pelajar yang terlibat akan menjalani latihan secara berkala iaitu seminggu sekali sebelum menyertai perlawanan persahabatan.

Projek Mentari1

Sementara itu, Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad berharap supaya program ini akan diteruskan bagi melahirkan lebih ramai pelajar yang berdedikasi serta menanam azam untuk lebih berjaya.

Beliau berkata, program ini telah mendapat pengiktirafan daripada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) yang lain.

“Respons daripada ibu bapa mendapati pelajar yang menyertai projek ini semakin positif, malah pembelajaran juga bertambah baik. Saya ucapkan terima kasih kepada sukarelawan yang menyertai program ini dan berharap orang ramai sama ada pihak persendirian mahupun korporat untuk menyumbang tenaga dan kewangan bagi menjayakannya,” katanya.

Pada acara itu, Nik Nazmi turut menyerahkan sumbangan sejumlah RM6,000 kepada badan itu untuk membeli peralatan bola sepak bagi kegunaan pelajar.

Dalam pada itu, Mohd Hanif Hasan, 16, yang menyertai program itu melahirkan keseronokannya apabila terpilih sebagai salah seorang peserta untuk menyertai program itu.

“Memang seronok kerana dapat beriadah bersama rakan-rakan. Harap-harap ia akan diteruskan kerana aktiviti begini dapat mengasah bakat belia untuk bermain bola,” katanya.

Categories
SELANGOR

Penduduk Terima Geran Selepas 14 Tahun Menunggu

SHAH ALAM, 16 APR: Penduduk Pangsapuri Kayangan kini mampu menarik nafas lega apabila penantian selama 14 tahun untuk memperolehi geran kediaman mereka akan berakhir tidak berapa lama lagi.

Menurut Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar A. Samad kejayaan tersebut adalah kejayaan penduduk Pangsapuri Kayangan.

“Saya nak ucapkan tahniah kepada penduduk kerana kerja ini adalah satu kerja yang rumit sebenarnya.

“Tetapi dengan usaha penduduk, JMB (Badan Pengurusan Bersama) Pangsapuri Kayangan, kerajaan negeri dan Pejabat  Tanah dan Galian telah membuahkan hasil hari ini,” ujar beliau.

Iskandar turut memberitahu, mana-mana pemaju di negeri Selangor yang engkar atau sengaja melengah-lengahkan permohonan geran kepada pembeli rumah akan dikenakan tindakan saman.

“Dalam negara ini, hanya dua negeri yang telah mengambil tindakan kepada pemaju yang gagal menyerahkan geran kepada pembeli rumah dan dua kerajaan negeri tersebut adalah Selangor dan Pulau Pinang.

“Pakatan Rakyat tidak memandang ringan terhadap isu ini, tindakan tegas akan diambil,” ujarnya ketika menyampaikan ucapan dalam Majlis Penyerahan Strata Roll Kepada Pemaju di Pangsapuri Kayangan, Taman Sri Subang.

Menyentuh isu yang sama, Ahli Parlimen Kelana Jaya, Gwo-Burne Loh pula  memaklumkan penyerahan geran hakmilik kini telah sampai di peringkat akhir sebelum di serahkan kepada pemilik kediaman Pangsapuri.

Menurutnya kejayaan ini membuktikan kesungguhan Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor yang ada hari ini telah berusaha untuk menyelesaikan masalah yang ditinggalkan pentadbiran Barisan Nasional sebelum ini.

Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad pula menyifatkan majlis hari ini merupakan satu program yang bersejarah kerana ianya merupakan langkah akhir sebelum penduduk boleh memiliki geran strata kediaman yang mereka beli.

Penasihat JMB Pangsapuri Kayangan, Micheal Lim Giat Eng pula memberitahu, pihak pemaju telah sengaja menambah keluasan sebenar kawasan pangsapuri tersebut yang membolehkan pemaju terbabit memperolehi keuntungan atas kutipan cukai tanah dari pemilik hartanah.

Micheal turut memberitahu dua laporan polis telah dibuat ke atas pemaju yang tidak disebutkan namanya.

Sementara itu, penduduk pangsapuri terbabit, Sue Ann, 50 tahun menyatakan rasa gembira apabila geran strata akan diperolehi dalam jangkamasa terdekat.

“Gembira, rasa tak boleh cakap sebab memang dah lama kita tunggu. Saya beli rumah di sini masa mula-mula buka dulu tetapi sudah tunggu sangat lama baru sekarang boleh dapat geran,” katanya.

Terdahulu dalam majlis yang sama, wakil dari Pejabat Tanah dan Galian telah menyerahkan Master Starata Roll kepada Iskandar.

Dalam upacara yang sama, Iskandar turut menyerahkan Master Strata Roll tersebut kepada tiga wakil penduduk Pangsapuri Kayangan.

Selain Iskandar, Gwo-Burne Loh dan Nik Nazmi turut hadir dalam upacara tersebut adalah Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat Kelana Jaya, Syed Shahir Syed Mohamud.