Categories
SELANGOR

SAMBUTAN HARI OKU SEDUNIA 2012 PERINGKAT MBPJ – Salam Selangor

Episod 54

Sinopsis:

Bersempena tanggal 3 Disember saban tahun, seluruh Negara menyambut Hari Orang Kelainan Upaya (OKU) Sedunia. Begitu juga bagi bagi pihak berkuasa tempatan (PBT) seperti Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yng turut mengambil inisiatif mengadakan sambutan peringkat MBPJ. Tema sambutan Hari OKU pada tahun ini ialah ?Removing Barriers to Create an Inclusive Accessible Society for All”

MBPJ menyediakan pelbagai inisiatif kemudahan untuk golongan OKU ini seperti

· Servis Transit OKU Percuma

· Kemudahan Tempat Letak Kereta OKU Berbumbung

· Menaiktaraf laluan pejalan kaki mesra OKU

· Laluan bertekstil untuk kemudahan orang buta

· Program Sejahtera Komuniti (SEJATI), Kad Rawatan Percuma untuk OKU.

· Dan pelbagai lagi inisiatif dimasa akan datang

oku

Categories
SELANGOR

RM50,000 Untuk Persatuan Sukan OKU Selangor

KLANG,8 DIS : Kerajaan Selangor memberikan sumbangan berjumlah RM50,000 kepada Persatuan Sukan dan Rekreasi Orang Kelainan Upaya (OKU) Negeri Selangor (PESRON) yang diterima Pengerusinya, Sahidon Hamzah.

Sumbangan ini bagi penajaan ke Kejohanan Sukan Paralimpik Peringkat Kebangsaan 2012 yang akan diadakan di Kuantan,Pahang.

Cek sumbangan itu diserahkan oleh Exco Adat Melayu, Belia dan Sukan, Dr Yunus Hairi pada majlis yang diadakan di Kompleks Sukan Majlis Perbandaran Klang di sini.

Dr Yunus Hairi dalam ucapannya berkata, konsep sukan untuk semua adalah usaha melahirkan masyarakat yang sihat dan cergas.

Ujarnya, aktiviti sukan perlu dilakukan untuk semua peringkat kerana ia mampu memberikan sumbangan kepada kecemerlangan sukan negara.

Dua orang atlet paralimpik yang berjaya dalam Sukan Paralimpik 2012 di London perlu dijadikan inspirasi kepada mereja untuk cemerlang dalam sukan.

“Sukan bukan sekadar untuk menjaga kesihatan dan mendapat pingat tetapi keupayaan sebagai industri.

“Sukan sebagai industri akan memberikan pulangan ekonomi yang bermakna,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Penutup Karnival Sukan OKU Peringkat Negeri Selangor.

Majlis itu adalah anjuran Jabatan Belia dan Sukan Negeri Selangor bersama Persatuan Sukan Dan Rekreasi Orang Kurang Upaya Negeri Selangor (PESRON).

Sukan yang terlibat adalah Futsal,Bola Tampar Duduk,3 on 3 Basketball, Dart, Tenis Kerusi Roda, Tenpin Boling dan Karom.

Habibie : Pluralisme Budaya Kekuatan Sesebuah Negara

SHAH ALAM, 6 DIS : Mantan Presiden Republik Indonesia, Prof Dr Bacharuddin Jusuf Habibie (BJ Habibie) mengingatkan setiap individu supaya mempertahankan pluralisme budaya yang menjadi kekuatan kepada sesebuah negara.

Mengambil contoh negara Indonesia dan Malaysia, Habibie berkata, kedua-dua negara ini sudah mengamalkan pluralisme budaya sejak sekian lama yang membawa kepada perpaduan sesama kaum.

“Pluralisme merupakan satu lambang kekuatan buat sesebuah negara dan ia perlu dipertahankan oleh semua masyarakat.

?Amalan ini akan menyebabkan masyarakat lebih bersikap toleransi dan bertolak ansur,” katanya dalam ucapannya semasa program pidato ?Habibie Dan Transisi Indonesia Ke Demokrasi? di Universiti Selangor pagi tadi.

Dalam ucapannya, beliau turut meningatkan setiap pemimpin supaya sentiasa mengamalkan sikap positif dalam pentadbiran selain berusaha meningkatkan elemen budaya, agama dan penguasaan teknologi.

Habibie mengambil alih tampuk pemerintahan pada May 1998 semasa Indonesia dilanda krisis politik dan ekonomi pada tahun itu.

Beliau diikhtiraf sebagai Presiden yang bertanggungjawab memberi kebebesan bersuara, berpersatuan dan membebaskan media – prinsip-prinsip yang dikekang semasa pemerintahan presiden sebelumnya Jeneral Muhammad Soeharto ? kepada Indonesia.

Turut hadir Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Penasihat Ekonomi Selangor Datuk Seri Anwar Ibrahim,
Speaker Dewan Negeri, Datuk Teng Chang Khim dan Exco-exco Selangor.

Dalam ucapan beliau, Abdul Khalid berkata kejayaan Pakatan Rakyat (PR) Selangor dalam memperkenalkan urus tadbir berhemah, telus dan mementingkan keadilan sosial adalah hasil daripada pendemokrasian pentadbiran yang diamalkan sejak 2008.

Kesan daripada amalan ini kata Abdul Khalid, Selangor berjaya mencatatkan kejayaan dari segi tadbir urus kewangan, pelaburan serta pembangunan modal insan sebagaimana diperakui Laporan Audit Negara 2011.

Menurutnya, Kerajaan Negeri mementingkan program berbentuk kebajikan dan latihan kemahiran kepada golongan wanita, orang kelainan upaya (OKU), warga emas dan kanak-kanak.

Prinsip keterbukaan juga mendorong PR Selangor melaksanakan berbagai langkah untuk membasmi rasuah di dalam pentadbiran.

“Gejala rasuah akan menindas golongan kurang bernasib baik dan menimbulkan ketidak adilan sosial.

?Rasuah juga diakibatkan oleh karenah birokrasi yang berlaku dalam sistem pentadbiran.?

Mangsa Banjir Terharu Terima Bantuan Kerajaan Negeri

BANTING, 18 NOV : Mangsa banjir di pusat penempatan sementara di Sekolah Kebangsaan Rancangan Tanah Belia (RTB) Bukit Changgang di sini melahirkan kegembiraan terhadap keprihatinan Kerajaan Negeri menghulurkan bantuan bagi meringankan beban mereka.

Walaupun tanggungjawab memberi bantuan tersebut seharusnya diusahakan kerajaan persekutuan di bawah Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri namun setakat ini tiada usaha drustik dilakukan pihak terbabit.

Sehubungan itu kerajaan Negeri Selangor dibawah pimpinan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bertindak turun padang untuk menyalurkan bantuan secara terus kepada mangsa banjir.

Salah seorang penduduk di Kampung RTB, Kartini Lamin, 47, merasakan sumbangan itu amat diperlukan untuk menampung perbelanjaannya sekeluarga setelah berhadapan bencana banjir terburuk setakat ini.

Beliau yang memiliki seorang anak dan kakak kurang upaya (OKU) amat berterima kasih dan bersyukur di atas pemberian Kerajaan Negeri.

“Rumah saya mula dinaiki air secara mendadak pada 5 November lalu iaitu ketika pada waktu Subuh. Alhamdulillah, saya dapat selamatkan semua ahli keluarga, namun perabot dan peralatan elektrik musnah semuanya.

“Dengan bantuan sebegini, saya benar-benar bersyukur kerana dapat meringankan beban. Terima kasih Menteri Besar,” katanya gembira.

Berkongsi perasaan sama, Azhar Alias, 47, berkata, beliau terharu atas bantuan yang diberikan, malah katanya ia membuktikan Kerajaan Negeri Selangor adalah sebuah kerajaan yang mementingkan kebajikan rakyat.

“Sudah hampir dua minggu saya menetap di pusat penempatan sementara ini dan hanya dibenarkan pulang dua hari lalu. Keadaan rumah memang sangat teruk. Tetapi, saya tetap bersyukur atas bantuan yang diberikan walaupun jumlahnya kecil, tetapi ia tetap meringankan beban kami sekeluarga,” katanya.

Awal bulan ini menyaksikan sebilangan besar penduduk di daerah Kuala Langat berdepan bencana banjir terburuk yang pernah dicatatkan sepanjang tahun.

Justeru itu, Kerajaan Negeri menyalurkan sumbangan sebayak RM500 untuk setiap keluarga bagi meringankan beban yang dihadapi.

Majlis Penyerahan Sumbangan Kepada Mangsa Bencana Daerah Kuala Langat kepada lebih 300 buah keluarga itu diserahkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Hadir sama, Exco Kebajikan, Wanita, Sains Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail serta Adun Teluk Datuk, Philip Tan.

Sementara itu, Pegawai Daerah Kuala Langat, Mohamad Yasid Bidin berkata, pihaknya melalui Jabatan Pengairan Selangor (JPS) akan memperbaiki ban-ban yang rosak serta membersihkan saliran serta parit tersumbat untuk melancarkan aliran air.

Semalam, Kerajaan Negeri memaklumkan akan memperuntukkan RM500 juta bagi menyelesaikan masalah banjir yang dihadapi di seluruh Selangor ekoran keengganan Kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukan seperti yang dinyatakan dalam Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10).

Perkara ini bakal dibentangkan Menteri Besar pada sesi Dewan Undangan Negeri Selangor yang akan bermula esok.

Categories
NASIONAL

Tiada Pencen : Menteri Sukan ‘Cacat Pemikiran’ Nafi Keupayaan Atlet Paralimpik Negara

SHAH ALAM 7 SEPT: Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek disifatkan sebagai ‘dangkal dan cacat pemikiran’ apabila enggan memberi layanan samarata terhadap atlet paralimpik negara yang memenangi pingat dalam temasya sukan terbesar dunia itu, kata Ahli Jawatankuasa Hak Asasi Majlis Peguam Malaysia, Mohamad Faizal Che Yusuf.

Shabery dipetik berkata standart sukan paralimpik dan sukan olimpik jauh berbeza ketika ditanya adakah atlet paralimpik yang menang pingat untuk negara akan turut diberi pencen sepertimana pemenang pingat olimpik negara yang lain.

Menurut Faizal, kenyataan Menteri tersebut begitu mengguris hati Orang Kurang Upaya(OKU)di negara ini.

“Kenyataan beliau yang dilihat seolah-olah memandang rendah kepada sukan paralimpik. Ternyata pandangan beliau dibuat secara tidak tidak berhati-hati selain menggambarkan ketidaksediaan kerajaan mengiktiraf kedudukan sukan paralimpik di peringkat antarabangsa, ia sekaligus memperkecilkan sumbangan yang diberikan oleh atlet-atlet paralimpik negara,” katanya yang juga Ahli Majlis Presiden Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia.

Tambahnya, pihak kerajaan dan Menteri tentunya sedar sukan paralimpik adalah sukan terbesar dunia yang melibatkan OKU dan kedudukannya sama tinggi dengan sukan olimpik.

Penyertaan atlet-atlet dari Malaysia tentu sekali membawa nama negara apatah lagi bila kemenangan diraih, pingat dibawa pulang.

Jelas Faizal, Akta Orang Kurang Upaya 2008 secara jelas mengiktiraf potensi dan sumbangan OKU dalam negara. Selain itu, kesamarataan kepada OKU sebagai warga negara adalah juga diiktiraf oleh Akta 2008 tersebut.

“Layanan yang berbeza kepada atlet-atlet paralimpik adalah jelas suatu perlanggaran kepada penguatkuasaan Akta 2008 sekaligus suatu diskriminasi terhadap OKU,” jelasnya.

Justeru, selaku wakil kepada OKU umumnya dan atlet-atlet paralimpik khususnya, saya menggesa untuk pihak Menteri dan kerajaan Malaysia mengkaji sehalus-halusnya layanan yang seharusnya diberikan kepada atlet-atlet paralimpik agar ia sama dengan atlet-atlet olimpik negara.

Persoalan saiz kedua-dua sukan tersebut tidak sepatutnya timbul disebabkan atlet-atlet paralimpik dengan kecacatan yang ada masih mampu bersaing di peringkat antarabangsa hingga mampu membawa pulang ingat untuk negara.

“Kejayaan membawa pingat perak bukanlah mudah. Tentunya ia diraih setelah usaha yang bersungguh-sungguh dilakukan.

“Pengiktirafan kerajaan dalam sukan kepada OKU tentunya akan membuka ruang kepada tanggapan yang lebih baik terhadap OKU oleh masyarakat seluruhnya,”katanya lagi.

Categories
SELANGOR

Kenderaan OKU, “Jom Shoping” Musim Perayaan Cadangan Dialog Bajet 2013

KUALA LANGAT, 19 JULAI: Pengangkutan pesakit kronik dan Orang Kelainan Upaya (OKU) bagi menjalani rawatan dan meluaskan skim ‘Jom Shoping’ di musim perayaan merupakan antara cadangan yang dibawa oleh peserta ke sesi majlis tersebut di peringkat daerah ini.

Wakil dari Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Majlis Kanser Nasional (Makna) Kuala Langat, Jacob Mathews, perhatian harus diberikan kepada pesakit yang menghadapi kesukaran bergerak untuk mendapatkan rawatan di hospital.

“Sesetengah mereka nak bergerak dalam rumah sendiri pun susah dan ada yang pakai kerusi roda.

“Kalau ada kenderaan khas untuk ambil dan hantar mereka pulang tentu banyak memudahkan mereka untuk ke hospital buat rawatan,” kata beliau.

Selain itu menurut beliau, kenderaan tersebut juga boleh dimanfaatkan untuk membantu golongan OKU mendapatkan rawatan di hospital.

Jacob merupakan antara 100 peserta ke Sesi Dialog Bajet 2013 Selangor pagi tadi di Dewan Seri Jugra hari ini.

Dalam sesi dialog itu, peserta daripada pelbagai latar belakang mengadakan perbincangan berkumpulan dan merumuskan cadangan yang akan dikemukakan kepada Kerajaan Negeri dalam perancangannya untuk belanjawan 2013.

Program dalam Skim Mesra Usia Emas (SMUE), ‘Jom Shoping’ yang diperkenalkan Kerajaan Negeri turut mendapat perhatian peserta.

“Bagus kalau Skim ‘Jom Shoping’ yang ada sekarang dikembangkan untuk warga emas berbelanja di musim perayaan sebab kita tahu bila tiba musim perayaan pelbagai persiapan perlu disediakan.

“Mungkin dengan adanya program ‘Jom Shoping’ di musim perayaan dapat menambahkan kegembiraan warga emas,” kata Jacob.

Beliau juga menyarankan agar Kerajaan Negeri memperbaiki dan menaikkan taraf Stadium Jugra agar dapat dimanfaatkan masyarakat di Kuala Langat.

“Stadium Jugra adalah sebuah stadium yang dah melahirkan ramai atlit peringkat negeri dan juga kebangsaan, tetapi sekarang stadium itu dah tua, banyak kerosakkannya.

“Jadi, tadi ada dicadangkan agar kemudahan Stadium Jugra dibaik pulih supaya boleh dimanfaatkan oleh penduduk Kuala Langat dan melahirkan generasi sihat,” katanya lagi.

Menurut Jacob, majlis dialog seumpama ini merupakan salah satu alternatif untuk rakyat Selangor mengemukakan sebarang cadangan untuk dipertimbangkan Kerajaan Negeri.

“Dah tiga tahun dialog macam ini diadakan dan saya lihat memang baik untuk rakyat dan Kerajaan Negeri sebab rakyat dapat memberi pandangan dan kerajaan pula dapat mengetahui apa yang perlu dilakukan. Ia satu program yang patut dipuji,” Ujar Jacob.

Categories
NASIONAL

15 Keluarga Terima Sumbangan MBSA Sempena Ramadan

SHAH ALAM 18 JULAI : Seramai 15 keluarga kurang bernasib baik jelas kelihatan gembira apabila menerima sumbangan barangan keperluan asas dan wang tunai sempena bulan Ramadan akan datang daripada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Penyampaian sumbangan itu disampaikan oleh Datuk Bandar MBSA, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan, Timbalan Datuk Bandar, Mohtar Hani dan Timbalan Setiausaha, Roslan Darus.

Mereka yang menerima sumbangan barangan keperluan asas dan wang tunai sebanyak RM100 itu membabitkan ibu tunggal, golongan miskin dan orang kurang upaya (OKU) di Padang Jawa, Kampung Sungai Kandis dan Kampung Jalan Kebun.

 

 

Penerima, Azizah Shaari, 48, berkata dia bersyukur kerana ada pihak sudi membantu terutamanya dalam membuat persiapan untuk Ramadan yang akan datang tidak lama lagi.

“Saya bersyukur kepada semua pihak kerana memberi sumbangan ini, sekurang-kurangnya ianya dapat membantu golongan seperti saya,” katanya yang mempunyai 7 orang anak.

Penerima lain, Ismawati Che Wail,44, berkata sumbangan itu dapat membantu sedikit sebanyak dalam penyediaan keperluan harian bulan Ramadan ini.

“Ia dapat membantu golongan ibu tunggal seperti saya dan empat orang anak saya,” katanya.

Sementara itu, Mohd Jaafar berkata sumbangan itu bertujuan meringankan beban golongan kurang bernasib baik di sekitar Shah Alam untuk mengerjakan ibadah puasa dengan penuh keceriaan dan kegembiraan.

Katanya, sepanjang bulan Ramadan ini, pihaknya akan memberi sumbangan kepada 107 orang daripada golongan warga emas, OKU, ibu tunggal dan keluarga yang berpendapatan rendah serta tanggungan ramai.

Beliau berkata dengan sumbangan itu diharap golongan berkenaan tidak rasa disisihkan daripada golongan lain.

Selain itu, MBSA turut akan menghulurkan sumbangan kepada 80 kakitangan MBSA yang kurang berkemampuan.