Categories
PBT SELANGOR

SPRM Selangor jangka lebih 12,000 staf PBT jawab tinjauan rasuah

KLANG, 9 DIS: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor menjangka seramai 12,098 kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini menjawab kaji selidik berkaitan rasuah.

Timbalan Pengarah Pencegahannya Abdul Razak Deraof berkata tinjauan sempena sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa (Hara) dibuat melalui imbasan kod QR bermula hari ini.

“Kaji selidik ini memudahkan SPRM menilai dan membantu PBT merangka serta membuat perancangan inisiatif pencegahan rasuah pada masa hadapan.

“Saya yakin jumlah responden yang disasarkan untuk semua PBT dapat dicapai,” katanya selepas melancarkan Hara PBT Perangi Rasuah peringkat Majlis Perbandaran Klang (MPK) di sini.

Dalam majlis itu, warga kerja MPK melafazkan ikrar integriti korporat dan menandatangani memorandum persefahaman bersama SPRM Selangor diwakili yang dipertuanya Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin.

Sementara itu, Abdul Razak menambah semua PBT negeri ini dibekalkan pelitup muka sebagai bahan kempen Hara 2020 yang juga sebahagian daripada norma baharu susulan Covid-19.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menetapkan 9 Disember sebagai Hari Antirasuah Antarabangsa untuk meningkatkan kesedaran masyarakat berhubung kegiatan itu.

Categories
AGENSI SELANGOR

Wanita PAKATAN Selangor sedia isi kuota 30 peratus ahli majlis

SHAH ALAM, 9 DIS: Pemimpin wanita Pakatan Harapan (PAKATAN) Selangor bersedia mengisi kuota 30 peratus ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) sesi 2021-2022.

Menerusi kenyataan bersama, ketua wanita gabungan tiga parti itu berkata seramai 84 calon menepati kriteria untuk menyandang jawatan tersebut.

“Kami yakin justifikasi ini mengambil kira rujukan polisi Kerajaan Negeri yang ditetapkan pada 2013 berhubung penglibatan wanita.

“Polisi ini menyediakan garis panduan kepada PBT untuk sekurang-kurangnya 30 peratus penglibatan wanita sebagai pembuat dasar,” katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat Selangor Rodziah Ismail, Ketua Wanita DAP Selangor Lee Kee Hiong dan Ketua Wanita AMANAH Rawiyiah Zakaria.

Mereka turut merakam penghargaan kepada Dato’ Menteri Besar yang komited melaksanakan polisi tersebut selain peruntukan RM71.3 juta untuk pembangunan wanita dalam Belanjawan 2021.

Pada 2 Julai, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata hampir 25 peratus wanita negeri ini memainkan peranan sebagai pembuat dasar dan keputusan di peringkat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Categories
EXCO SELANGOR

Ahli majlis baharu PBT dilantik bermula Januari 2021

PUCHONG, 5 DIS: Seramai 279 ahli majlis baharu pihak berkuasa tempatan (PBT) akan dilantik pada 1 Januari tahun depan.

EXCO kerajaan tempatan berkata pelantikan membabitkan 122 individu dari Parti Keadilan Rakyat, DAP (97) dan Parti Amanah Negara (60).

“Tempoh perkhidmatan sehingga 31 Disember 2022 dan saya berharap semuanya berjalan lancar,” kata Ng Sze Han selepas mengagihkan kalendar 2021 kepada orang ramai di pasar pagi Puchong Jaya hari ini.

Beliau turut berpuas hati terhadap prestasi ahli majlis PBT pada penggal lalu dan memaklumkan kebanyakan perkhidmatan mereka disambung tahun depan.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Selangor dahului negeri lain keluar lesen sementara bantu peniaga

SHAH ALAM, 24 NOV: Kerajaan Negeri bertindak lebih pantas membantu rakyat menjalankan perniagaan melalui program lesen sementara.

EXCO kerajaan tempatan berkata penerima lesen dibenarkan menjalankan operasi sehingga Disember tahun hadapan.

“Ketika ini pihak berkuasa tempatan (PBT) giat mengenal pasti tapak sesuai serta selamat bagi menempatkan lebih ramai peniaga.

“Tindakan ini lebih awal dari pelaksanaan zon bebas niaga sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya. Kerajaan Negeri mengalu-alukan negeri lain mengikut jejak ini demi kepentingan penjaja,” kata Ng Sze Han kepada SelangorKini.

Selain 3,000 lesen niaga sementara dikeluarkan sehingga kini, beliau berkata pemberian bantuan sekali bayar RM500 turut dilakukan bagi menjaga kebajikan peniaga ketika berdepan pandemik Covid-19.

“Kerajaan juga mengecualikan bayaran fi lesen selama enam tahun berturut-turut termasuk tahun hadapan,” katanya.

Bermula Ogos lalu, PBT negeri ini bermula dari Majlis Bandaraya Shah Alam memberikan permit sementara kepada peniaga tidak berlesen dan ia membantu golongan berpendapatan rendah (B40) menjana pendapatan seterusnya merangsang pertumbuhan ekonomi.

Categories
ADN SELANGOR

Tukar penguat kuasa PBT, elak salah guna kuasa

SHAH ALAM, 10 NOV: Pihak berkuasa tempatan (PBT) dicadang menukar anggota penguat kuasa ke jabatan lain dalam tempoh tertentu bagi mengelak salah guna kuasa.

Ahli Dewan Negeri Pelabuhan Klang berkata kebanyakan kakitangan didapati bertugas di jabatan sama dalam tempoh yang lama antara 20 hingga 30 tahun.

“Kita bukan hendak tuduh sesiapa tetapi kita kena belajar daripada kes salah laku sebelum ini.

“Jadi Kerajaan Negeri wajar pertimbangkan langkah untuk pindahkan penguat kuasa ke jabatan lain, mungkin dalam tempoh tiga hingga empat tahun sekali,” kata Azmizam Zaman Huri.

Beliau bercakap pada sesi perbahasan Rang Undang-Undang Lembaga Urus Air Selangor (Luas) Pindaan 2020 pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini semalam.

Sementara itu, Azmizam berkata penguat kuasa PBT memainkan peranan penting dalam usaha mencegah pencemaran air di negeri ini.

DNS semalam meluluskan pindaan enakmen Luas yang memperuntukkan hukuman lebih berat terhadap pencemar air dengan menaikkan denda minimum RM200,000 dan maksimum RM1 juta manakala penjara sebagai hukuman mandatori.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

PBT sita lebih 1,500 premis dimonopoli warga asing sepanjang PKP

SHAH ALAM, 9 NOV: Pihak berkuasa tempatan (PBT) menyita sejumlah 1,694 premis dimonopoli warga asing sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

EXCO kerajaan tempatan berkata sitaan tertinggi dilakukan Majlis Bandaraya Shah Alam iaitu 429 diikuti Majlis Perbandaran Ampang Jaya sebanyak 267 serta Majlis Perbandaran Klang dan Majlis Daerah Hulu Selangor masing-masing 236.

“Mengikut data, sejumlah 1,232 peniaga warga asing dikesan memonopoli perniagaan di negeri ini dan paling ramai adalah dalam kawasan Majlis Bandaraya Petaling Jaya iaitu 1,013,” kata Ng Sze Han.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Batang Kali, Harumaini Omar pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Sze Han berkata Kerajaan Negeri memerlukan kerjasama agensi lain bagi menangani isu pendatang asing yang cuba memonopoli perniagaan di negara ini.

“PBT tiada kuasa lakukan tangkapan, sekiranya ada tangkapan, ia adalah menerusi operasi bersepadu bersama Jabatan Imigresen.

“Untuk tangani masalah sepenuhnya, kita perlukan kerjasama imigresen tangkap warga asing tanpa permit yang sah,” katanya menjawab soalan tambahan ADN Meru, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Anugerah lima bintang: EXCO harap lebih banyak PBT Selangor raih kedudukan teratas

SHAH ALAM, 7 NOV: Kerajaan Selangor berharap lebih banyak pihak berkuasa tempatan (PBT) mampu berada dalam kelompok sepuluh teratas bagi Sistem Penarafan Bintang Perkhidmatan PBT pada masa hadapan.

EXCO kerajaan tempatan  berkata masih ada ruang untuk kesemua 12 PBT di Selangor menambah baik mutu penyampaian perkhidmatan bagi meraih pengiktirafan tersebut.

“Baru-baru ini diumumkan senarai sepuluh PBT terbaik (seluruh negara) yang menerima anugerah bintang penyampaian perkhidmatan. Dalam sepuluh terbaik, PBT dari Selangor mengisi tiga tempat iaitu Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

“(Kejayaan) itu jelas menunjukkan bahawa PBT Selangor cemerlang, namun (perkhidmatan) PBT negeri ini tidak terhenti di situ dan akan teruskan untuk mengejar kejayaan yang lebih cemerlang,” kata Ng Sze Han menerusi Facebook hari ini.

Pada majlis penganugerahan bintang perkhidmatan PBT dalam talian 5 November lalu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin mengumumkan MBPJ di kedudukan keempat, MBSA (kelima) manakala MPAJ (kesembilan).

Menerusi kenyataan statistik KPKT, buat julung kali dalam sejarah kesemua tiga PBT di Wilayah Persekutuan, 12 di Selangor, Pulau Pinang (dua) dan Melaka (empat) mencipta rekod bertaraf cemerlang lima bintang.

Secara keseluruhan, 74 daripada 152 PBT seluruh Malaysia dinilai sebagai lima bintang manakala 53 empat bintang diikuti 16 (tiga bintang), enam (dua bintang) dan tiga (satu bintang).

Berdasarkan penilaian KPKT sendiri, kesemua 17 PBT bertaraf bandar raya di negara ini diberi status lima bintang selain 31 majlis perbandaran, 24 majlis daerah dan dua agensi.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PBT luar bandar terima dana urus sisa pepejal

SHAH ALAM, 6 NOV: Pihak berkuasa tempatan (PBT) luar bandar menerima bantuan kewangan daripada Kerajaan Negeri untuk menguruskan sisa pepejal.

EXCO kerajaan tempatan berkata PBT berstatus majlis daerah dan perbandaran tidak mempunyai hasil mencukupi untuk menanggung kos tersebut pada setiap tahun.

“Pada 2019, Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) menerima bantuan kewangan RM1.25 juta, Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) RM878,000, Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) RM1.34 juta dan Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) RM1.97 juta.

“Pada tahun ini, MPKL mendapat dana RM1.27 juta, MDKS (RM1.61 juta), MDHS (RM1.46 juta) dan MDSB (RM1.97 juta),” kata Ng Sze Han.

Beliau menjawab soalan wakil rakyat Dusun Tua Edry Faizal Eddy Yusof berhubung pengurusan sisa pepejal kawasan luar bandar pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini

Sze Han berkata PBT terlibat perlu mengemukakan permohonan dan nilai kontrak pada setiap tahun untuk bantuan kewangan.

“Kerajaan Negeri berharap bantuan ini akan memastikan kebersihan kawasan luar bandar terutama kampung bagan, kampung baru, kampung tradisi dan kampung tersusun,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

SPB-PBT: MB ucap tahniah kejayaan tiga PBT raih markah tertinggi

SHAH ALAM, 5 NOV: Dato’ Menteri Besar merakamkan ucapan tahniah kepada tiga pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini yang berjaya meraih markah tertinggi bagi Sistem Penarafan Bintang PBT (SPB-PBT) seluruh Malaysia.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata PBT tersebut ialah Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

“Semoga anugerah ini akan menyuntik warga kerja PBT di Selangor untuk terus memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya di Facebook malam ini.

Sementara itu, berdasarkan semakan di Facebook tiga PBT berkenaan, MBPJ mengumpul markah 97.60 peratus, MBSA (97.50 peratus) manakala MPAJ (96.85 peratus).

Majlis Penganugerahan Bintang Perkhidmatan PBT secara maya disempurnakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin dari kementeriannya di Putrajaya hari ini.

Program itu merupakan julung kali diadakan melibatkan 152 PBT di negara ini bagi mengiktiraf prestasi kerajaan tempatan yang terbaik berdasarkan penilaian SPB.

10 PBT mendapat markah tertinggi dengan Majlis Perbandaran Manjung menyandang tempat pertama, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (kedua) dan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (ketiga).

Sistem pengredan bintang dinilai berdasarkan empat kriteria utama antaranya pengurusan, pengurusan kewangan, pengurusan pelanggan dan perkhidmatan teras.

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Aplikasi CEPaT 2.0 tawar 25 perkhidmatan baharu

SHAH ALAM, 24 OKT: Aplikasi tanpa tunai ‘Citizen E-Payment Platform’ (CEPaT) bakal menyediakan 25 perkhidmatan baharu kepada orang ramai serta 30 kaedah pembayaran dalam talian.

Pengarah urusan Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) berkata aplikasi tersebut dinaik taraf ketika ini dan orang ramai dijangka boleh memuat turun versi 2.0 pada awal Disember.

“Aplikasi CEPaT versi 1.0 menawarkan perkhidmatan agak terhad serta hanya digunakan tiga pihak berkuasa tempatan (PBT) manakala capaian versi 2.0 lebih meluas apabila akan digunakan lapan PBT di Selangor.

“Usaha menambah baik aplikasi seiring sasaran memastikan perkhidmatan berbayar Kerajaan Negeri dibuat dalam platform ini menjelang 2022,” kata Dr Fahmi Ngah kepada SelangorKini.

Beliau berkata walaupun bilangan pengguna berdaftar versi 1.0 hanya kira-kira 3,000 namun merekodkan nilai transaksi berjumlah RM450,000 dalam tempoh setahun penggunaannya.

Aplikasi itu yang dilancarkan pada 1 Ogos 2019 menggunakan teknologi awanan berasaskan ‘cloud’ untuk semua perkhidmatan berbayar kerajaan di pelbagai peringkat meliputi khidmat permohonan lesen, kompaun dan cukai taksiran.

CEPat boleh dimuat turun menerusi Playstore bagi pengguna Android dan AppStore bagi IOS.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Smart Selangor Parking bakal dilaksana seluruh PBT

SHAH ALAM, 19 OKT: Penggunaan aplikasi Smart Selangor Parking (SSP) yang bakal dilaksanakan di seluruh negeri dalam tempoh terdekat memberi penjimatan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).

EXCO kerajaan tempatan berkata sistem dalam talian itu turut mengurangkan penggunaan kertas dan penyelenggaraan mesin parkir, selain memudahkan urusan orang ramai.

“Kerajaan Negeri dalam peringkat akhir memuktamadkan perkara ini, cuma apa yang boleh katakan sistem yang bakal digunakan adalah canggih serta memudahkan kita semua kerana tidak perlu mencari ejen jualan kupon.

“Belanjawan Kerajaan Negeri pada setiap tahun menekankan usaha merealisasikan Selangor Negeri Pintar menjelang 2025 dan pelaksanaan SSP antara usaha ke arah tersebut,” kata Sze Han kepada SelangorKini.

Pada 8 Februari, Sze Han berkata SSP yang diperkenalkan pada Julai 2018 menjadi aplikasi parkir nombor satu negara dengan 10 daripada 12 PBT negeri ini menggunakan aplikasi tersebut, selain Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Beliau berkata Selangor menyasarkan sejuta pengguna SSP pada tahun ini.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

PBT terus pantau premis, batal lesen jika gagal patuh SOP

SHAH ALAM, 4 OKT: Pihak berkuasa tempatan (PBT) terus memantau semua premis perniagaan selepas kes positif Covid-19 kembali melonjak tiga angka sejak beberapa hari lalu.

EXCO kerajaan tempatan berkata pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap premis yang gagal mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan termasuk menarik semula lesen.

“Kita telah ada SOP yang menyeluruh, yang penting adalah pemantauan. PBT akan teruskan pemantauan ke premis-premis.

“Tindakan tegas termasuk tarik balik lesen perniagaan boleh dilakukan sekiranya tidak mematuhi SOP,” kata Ng Sze Han ketika dihubungi.

Kerajaan Negeri sebelum ini membenarkan semua premis perniagaan dibuka semula sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) malah waktu operasi restoran makanan dilanjutkan sehingga jam 2 pagi.

Bagaimanapun arahan terbaharu waktu operasi restoran berkonsepkan bar dihadkan sehingga jam 11 malam sebagai langkah mengekang penularan wabak berkuatkuasa 3 Oktober lalu.